Showing posts with label Tentang Blog. Show all posts
Showing posts with label Tentang Blog. Show all posts

28 January 2015

ANX 6 tahun

  • Arkib Negara X kini 6 tahun (2009-2015).
  • Sudah 9 bulan (sejak April 2014) tiada entri terbaru kerana sibuk dengan hal lain.
  • Tetap berminat untuk teruskan projek ANX ini kerana masih banyak bahan terkumpul yang belum disiarkan.
  • Belum pasti bila entri terbaru dapat disiarkan, tapi yang pasti sebelum 2015 berakhir.
  • Wajah & template ANX perlu diubah terlebih dulu supaya lebih bersemangat untuk terus mengarkib.
  • Selamat menunggu dengan sabar, ANX akan kembali.

27 January 2014

ANX 5 tahun

Arkib Negara X (ANX) berusia 5 tahun pada 24 Januari 2014, dan seperti biasa, ini ialah entri tahunan untuk melihat kembali apa yang telah lepas dan apa-apa yang berkaitan.

Tentang 2013:
  • Twitter ANX dilancarkan pada 20 Januari 2013 tapi kurang aktif, sekadar berkongsi pautan entri-entri terbaru.
  • ANX mendapat ulasan pendek dan dipaparkan dalam akhbar Utusan Malaysia pada 17 Ogos 2013.

Tentang entri 2013:
  • Jumlah entri tahunan meningkat kembali iaitu sebanyak 66 entri pada 2013 berbanding cuma 22 entri pada 2012.
  • Sasaran untuk siarkan 10 entri bulanan gagal dan menyebabkan rekod 88 entri pada 2011 masih belum dapat diatasi.
  • Entri-entri 2013 disiarkan hampir pada setiap bulan, cuma bulan Mei tiada sebarang entri.
  • Penyiaran entri selama 11 bulan pada 2013 mengatasi rekod 2011 yang menyiarkan entri selama 9 bulan.
  • ANX berjaya menyiarkan entri yang ke-200 pada Mac 2013.

Tentang capaian 2013:
  • Pageviews bulanan tertinggi 2013 ialah pada Julai dengan lebih 60,000 capaian.
  • Pageviews bulanan terendah 2013 ialah pada Februari dengan lebih 30,000 capaian.
  • Pageviews harian tertinggi 2013 ialah pada hari kematian Noreen Noor (22 Oktober), melebihi 5,000 capaian.
  • Pageviews keseluruhan berjaya mencecah 1 juta capaian pada Mei 2013, iaitu selepas lebih 4 tahun ANX beroperasi.

Pageviews ANX menjadi tidak normal pada hari kematian Noreen Noor

Jumlah keseluruhan pageviews ANX pada 18 Mei 2013

Tentang kategori entri:
  • 1990-an kekal sebagai kategori Dekad yang paling banyak bahan (melebihi 100 entri), diikuti oleh 1980-an (melebihi 50 entri).
  • Kategori Tahun yang paling banyak entri ialah 1992 (melebihi 20 entri), manakala 1978 dan 2014 masing-masing belum ada entri.
  • Entri pertama 2010 akhirnya telah disiarkan pada Januari 2014.

Tentang beberapa entri:

Tentang carian yang membawa pengunjung ke ANX:
  • Kata carian nombor 1 paling popular sepanjang masa ialah "gambar bogel zarina zainuddin", iaitu sesuatu yang tiada dalam ANX.
  • Kata carian nombor 2 dan 3 paling popular sepanjang masa masing-masing ialah "zaiton sameon" dan "rozita che wan".
  • Kata carian "arkib negara x" berjaya menjadi antara yang paling popular sepanjang masa dengan menduduki tempat ke-7.
  • ANX akhirnya melonjak ke muka surat pertama Google untuk kata carian "arkib negara", hampir mengatasi laman web Arkib Negara Malaysia.

Carian "arkib negara" dalam Google pada 1 Oktober 2013

Tentang 2014:
  • Foto header terbaru telah ditukar pada 1 Januari 2014.
  • Sasaran 2014 ialah untuk mengatasi rekod 88 entri pada 2011. Perlukan sekurang-kurangnya di antara 7 hingga 8 entri sebulan.
  • Entri yang ke-300 dijangka dapat disiarkan dalam 2014. Entri hari ini ialah yang ke-247.
  • ANX akan cuba untuk menyiarkan entri selama 12 bulan sepanjang 2014 bagi mengatasi rekod 2013 (11 bulan).
  • Jumlah keseluruhan pageviews baru mencecah 1.3 juta capaian, masih terlalu jauh untuk mensasarkan 2 juta capaian, tapi tak mustahil ia boleh terjadi dalam 2014.

Sekian.

01 January 2014

Foto header ANX 2014

Selamat tahun baru 2014!

Arkib Negara X (ANX) kini menukar foto header yang baru bagi menyertakan tahun 2014 (lihat di atas). Sekiranya anda membaca entri ini dari tempat lain, sila ke blog ANX untuk melihat foto tersebut.

Foto header 2014 menampilkan para selebriti dan unsur penapisan, iaitu antara kategori entri yang menjadi tumpuan ramai pembaca. Imej-imej yang digunakan kali ini kesemuanya telah pernah dijadikan entri.

Semalam, foto header 2013 (lihat di bawah) telah pun dijadikan entri bagi menceritakan kisah di sebaliknya, iaitu mengenai Konsert Sheila Majid di Universiti Malaya dibantah (1989).


ANX juga akhirnya selesai meng'entri'kan kesemua imej yang terdapat pada foto header 2012 (lihat di bawah). Berikut ialah senarai kesemua entri yang terlibat (susunan imej dari atas-kiri mengikut pusingan jam).

  1. Sahara Yaakob tak buas seks (1989)
  2. Jacinta Lee dalam majalah Playboy (1986)
  3. Majalah Mangga (1995)
  4. Gambar majalah Mangga "ditapis!" (1995)
  5. "Rock is dead!" (1994)
  6. Pembinaan Mimaland (1971)
  7. Budaya punk di KL (1997)
  8. Majalah Ujang (1994) - keluaran pertama
  9. RTM haramkan lagu Paul Lekakis (1991)
  10. Erra Fazira dalam Miss Malaysia-World (1992)
  11. MetroVision - TV4 (1995 & 1996)
  12. Juwie Juwie Juwie (1987 & 1989)
  13. Filem 18SX pertama - Litar Kasih (1996)
  14. Album Celebriti Super Mengancam (1994)
  15. Majalah Rileks! (1997)
  16. Permata Yang Hilang (1992)
  17. Kisah Benar oleh Wahid Kasran (1992)
  18. Lirik dua makna Zaleha Hamid (1993 & 1995)
  19. Majalah Ujang (1994) - Din Beramboi
  20. Kalendar Zarina Zainuddin (1993)
  21. Disket artis bogel (1994)
  22. Koleksi Blues Untuk Aku (1999 & 2001)
  23. Wann dalam Pancaindera (1991 & 1992)

31 August 2013

ANX dalam Utusan Malaysia (2013)

Blog Arkib Negara X (ANX) telah dipaparkan dalam akhbar Utusan Malaysia pada 17 Ogos 2013. Ruangan mingguan Gajet & Klik dalam sisipan .COM akhbar itu memberi tumpuan kepada beberapa Laman Web, Blog, Facebook & Youtube yang mempunyai isi kandungan yang menarik & bermaklumat. ANX kini mengarkibkan kisah ANX!



Merdeka!

24 January 2013

ANX 4 tahun

Hari ini genap 4 tahun Arkib Negara X (ANX) beroperasi!

Ini adalah entri tahunan yang cuba untuk melihat kembali apa yang telah disiarkan oleh ANX dan beberapa kemungkinan yang akan dilakukan oleh ANX pada masa akan datang. Mungkin tiada apa yang menarik untuk dibaca pada kali ini, tambahan pula entri ini adalah teks panjang yang langsung tidak bergambar, jadi sila tunggu entri seterusnya untuk membaca dan melihat isi kandungan biasa yang akan disiarkan dalam beberapa hari lagi.

Tahun lepas jumlah entri ANX berkurangan dengan mendadak berbanding tahun-tahun sebelumnya. Alasan biasa, makin sibuk dengan kerja-kerja lain. Entri kali ini pun baru mencecah bilangan yang ke-183, sangat sedikit berbanding tempoh 4 tahun beroperasi. Walau bagaimanapun, dijangka dan diharapkan tahun 2013 ini akan menyaksikan ANX mencapai entri yang ke-200 dan berjaya mengatasi jumlah entri tahun-tahun sebelum ini. Untuk tahun ini ANX mensasarkan untuk menyiarkan 10 entri pada setiap bulan (walaupun sasaran yang biasanya dibuat sebelum ini semuanya gagal!).

Sempena 4 tahun ANX, satu akaun twitter rasmi telah dibuka beberapa hari lepas. Untuk mengikutinya sila ke laman twitter.com/ArkibNegaraX atau klik sahaja Follow pada widget yang terdapat di blog. Buat permulaan, twitter ANX akan digunakan untuk mempromosi entri terkini di blog sahaja. Pada masa akan datang, mungkin twitter ANX dapat digunakan untuk mengarkibkan bahan-bahan terbaru yang ringkas, sama ada teks mahu pun foto (belum difikirkan kesesuaiannya dengan batasan ruang di dalam twitter).

Sementara itu laman facebook.com/ArkibNegara yang dibuka pada Ogos 2012 juga masih belum memiliki isi kandungannya yang tersendiri, sekadar menyiarkan kembali entri-entri lama dengan sepenuhnya. Bahan-bahan terbaru yang dirancang untuk disiarkan di dalam facebook ANX ialah foto-foto tambahan kepada entri-entri terdahulu. Foto-foto tersebut tidak akan disiarkan di dalam blog, hanya khas untuk siaran di dalam facebook (dan mungkin twitter). Sila like atau follow!

Tentang sambutan para pengunjung dan pembaca blog ANX, bulan Disember 2012 telah mencatatkan peningkatan mendadak, iaitu melebihi 90,000 pageviews, rekod tertinggi selama 4 tahun ANX beroperasi (sebelum itu rekod tertinggi ialah pada Jun 2012 dengan lebih 53,000 pageviews). Entri yang membawa pengunjung dengan begitu banyak dalam bulan terakhir 2012 itu ialah kisah Kemalangan Jalan Raya 4 Artis Terkenal. Kemungkinan besar entri tersebut berjaya mendapat perhatian meluas hasil daripada tayangan filem terbaru kisah hidup Zaiton Sameon yang bermula pada November 2012. Jumlah keseluruhan pageviews ANX juga kini mencecah lebih 840,000 dan diharapkan akan dapat mencapai sejuta pageviews menjelang penghujung 2013.

Mengenai isi kandungan ANX pula, entri-entri berkaitan dengan kisah hiburan dan selebriti tempatan tetap menjadi tumpuan utama para pengunjung dan pembaca. Kisah Zarina Zainuddin masih lagi menjadi entri yang paling banyak diakses dalam tempoh 4 tahun ini. Sementara kata carian yang paling popular pula ialah tentang Rozita Che Wan. Mungkin ANX boleh menyiarkan beberapa lagi entri mengenai 2 nama popular tersebut. Nama yang tidak kurang hangatnya dan menjadi carian ramai selain Zaiton Sameon ialah pelakon seksi, Ziela Jalil. Perkara ini mengingatkan kepada rancangan ANX untuk menyiarkan entri mengenai Julia Rais dan Zila Bakarin yang masih belum tercapai (mungkin kedua-dua nama itu ramai juga peminatnya). Namun begitu, kisah selebriti lelaki kurang mendapat perhatian ramai walaupun telah hampir diseimbangkan jumlah entri mereka berbanding jumlah entri berkaitan selebriti perempuan.

Kisah menarik yang tidak berkaitan dengan hiburan dan selebriti akan tetap disiarkan oleh ANX walaupun kebanyakannya kurang mendapat perhatian ramai (kisah budaya popular yang paling mendapat perhatian ramai ialah tentang Pembinaan Mimaland). Masih banyak isu semasa dan perkara atau benda yang pernah wujud serta peristiwa yang pernah berlaku tidak berapa lama dahulu yang mungkin ingin diketahui oleh segelintir orang yang berminat atau sesiapa sahaja yang ingin mengambil tahu, maka ia sangat wajar untuk diarkibkan. Sekadar pemberitahuan, ANX masih belum menyiarkan beberapa lagi entri berkaitan buku Chronicle Of Singapore (perlu diberi perhatian segera). ANX sememangnya berminat untuk menyiarkan lebih banyak lagi entri berkaitan bahan bacaan seperti buku, majalah dan akhbar/tabloid, terutama sekali terbitan lama yang sudah tidak wujud lagi (atau lebih baik, telah diharamkan!) pada masa sekarang.

Berkenaan kategori entri, nampaknya jumlah entri untuk dekad 1990-an semakin jauh mengatasi jumlah entri dekad-dekad lain. Sememangnya kisah-kisah 1990-an yang menarik terdapat begitu banyak dalam simpanan ANX dan banyak lagi yang hanya menunggu masa untuk disiarkan. Jika sebelum ini ANX cuba untuk menyeimbangkan jumlah entri bagi setiap dekad dan tahun, tetapi sejak beberapa bulan lepas peraturan itu telah dihentikan, sebaliknya kisah-kisah yang unik, luar biasa atau mempunyai daya penarik yang kuat akan diutamakan tanpa mengira dekad atau tahunnya. Walau pun begitu, ANX akan cuba memberi perhatian pada tahun yang masih kekosongan entri iaitu 1978, 2010 dan semestinya 2013 yang baru bermula.

Satu lagi kategori entri yang mungkin perlu diberi perhatian ialah tentang negara lain (kecuali Singapura, Brunei dan Indonesia sangat kekurangan entri). Buat masa sekarang, entri tentang selebriti Indonesia, Nike Ardilla Mati Kemalangan, semakin mendapat perhatian. Mungkin ANX boleh menyiarkan beberapa lagi entri berkaitan beliau yang sememangnya begitu popular dan pernah menghiasi muka hadapan majalah hiburan Malaysia suatu ketika dahulu. Selain itu, ANX akan cuba untuk mencari bahan-bahan lain yang menarik tentang Brunei dan Indonesia, tidak kiralah mengenai selebriti atau pun perkara-perkara lain.

Akhir sekali, sempena ulang tahun ANX yang kebetulan jatuh pada setiap awal tahun, foto header blog juga telah diganti dengan yang baru bagi menyertakan sekali tahun terkini, 2013. Tahun lepas, foto header 2012 bercirikan cacamarba dengan menampilkan imej-imej selebriti dan unsur-unsur popular serta sensasi. Kalau diperhatikan foto header tahun lepas itu, ada beberapa imej yang masih belum dijadikan entri (mungkin akan disiarkan tidak lama lagi. sepatutnya sudah disiarkan).

Terbaru, foto header 2013 (lihat di atas sekali, atau sila ke blog jika anda membaca entri ini daripada tempat lain) merujuk kepada kategori entri yang agak kurang popular iaitu Isu Semasa. Kisah yang terdapat dalam foto header terbaru itu juga sebenarnya belum pernah dijadikan entri. Sila ikuti blog/facebook/twitter ANX untuk mengetahui bilakah kisah tentang foto header itu akan disiarkan dan apakah kisah di sebaliknya.

Foto header terbaru itu, bertentangan dengan foto header lama yang cacamarba, memaparkan ciri kekemasan, dengan tulisan yang lebih kecil dan foto yang lebih besar, selaras dengan gaya terbaru entri ANX yang kini menyiarkan teks seringkas yang boleh (kadang-kadang panjang, kalau perlu) dan memberi perhatian kepada penyiaran foto yang lebih besar, dan kalau perlu, lebih daripada satu foto akan disiarkan (tidak seperti sebelum ini yang mengehadkan penyiaran foto bagi setiap entri).

Sekian.

31 August 2012

Facebook ANX

Pelbagai cara dibuat oleh pelbagai pihak untuk menyambut atau memperingati Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-55 tahun hari ini. Blog Arkib Negara X (ANX) tidak mahu ketinggalan menumpang tarikh penting ini dengan membuka sebuah laman Facebook: www.facebook.com/arkibnegara

Tujuan pembukaan Facebook ANX ialah bagi tujuan mempromosi blog ini selain untuk memudahkan perkongsian maklumat dengan lebih meluas. Selama ini ANX tidak pernah dipromosikan terutamanya di luar daripada jaringan blog, sama ada secara spam atau pun meninggalkan link di mana-mana yang sempat. Namun begitu terdapat ramai juga pembaca yang mahu berkongsi entri atau link ANX di pelbagai laman lain seperti forum dan media sosial seperti Facebook & Twitter, serta tidak lupa untuk mengkreditkan ANX apabila dijadikan rujukan dalam laman web lain. Berbanyak-banyak terima kasih diucapkan atas usaha tersebut.

Dengan kewujudan Facebook ANX, diharapkan ia akan memudahkan lagi proses perkongsian maklumat dan menambahkan lagi bilangan pembaca yang terdapat di luar daripada jaringan blog. Like Facebook ANX!

"Merdeka!"

01 April 2012

ANX 3 tahun

Arkib Negara X sudah pun berusia 3 tahun pada 24 Januari lepas, tapi entri-entri yang disiarkan di sini sebenarnya belum pun mencecah 200 jumlahnya. Terlalu sikit! Tahun lepas ANX berehat selama 3 bulan, dan tahun ini pun ANX telah berehat selama 3 bulan. Alasan, macam biasa, sibuk buat kerja-kerja lain. Tapi sekarang rasanya sudah sampai masa untuk ANX kembali meneruskan proses pengarkiban ini. Walau bagaimanapun untuk kali ini ANX mungkin akan menyediakan entri secara lebih santai dengan tidak membuat banyak rujukan seperti sebelum ini yang mana telah memakan banyak masa dan menyebabkan tidak banyak entri dapat disediakan. Yang penting kini ialah kuantiti entri, dengan bahan-bahan bergambar, berserta dengan tulisan yang lebih ringkas, mungkin. Terima kasih kerana masih terus mengikuti perkembangan blog ANX yang kini menggunakan imej header yang baru!

24 January 2011

ANX 2 tahun

Hari ini genaplah 2 tahun blog Arkib Negara X (ANX) bersiaran, walaupun sebenarnya dalam tempoh tersebut ia terpaksa direhatkan selama satu setengah tahun! Itulah sebabnya kini ANX baru sampai pada entri yang ke-79. Anda tidak perlu membaca seterusnya kerana entri kali ini sekadar ingin mengimbas kembali hasil pengumpulan bahan yang telah berjaya disiarkan setakat ini dan mungkin juga sedikit tip mengenai entri akan datang.

Melihat kembali tag atau kategori entri, nampaknya ANX telah berjaya menyiarkan bahan bagi setiap Dekad walaupun 1970-an masih terlalu kekurangan entri, manakala 1990-an pula sudah banyak entri berbanding Dekad lain. Bagi kategori Tahun pula, masih terlalu banyak Tahun yang belum mempunyai sebarang entri. Setakat ini 1988 dan 1992 merupakan Tahun yang mempunyai paling banyak entri. Jadi selepas ini saya akan memastikan supaya setiap Tahun mempunyai sekurang-kurangnya 2 entri, dan perhatian yang lebih akan diberikan kepada Dekad yang kekurangan entri. ANX juga nampaknya perlu menyiarkan lebih banyak entri untuk kategori Negara Lain walaupun bahan dari Malaysia masih tetap diutamakan.

Melihat kepada senarai 10 Entri Popular, setakat ini entri berkaitan selebriti hiburan tetap menjadi kegemaran ramai. Pastinya saya akan mencari lebih banyak bahan untuk Nama Popular seperti Zarina Zainuddin, Rozita Che Wan, Jacinta Lee, Ramziela dan Sahara Yaakob. Nama Popular lain seperti Mokhtar Dahari juga mendapat perhatian ramai, jadi ANX akan menyiarkan lebih banyak entri berkaitan selebriti sukan. Selain itu entri sulung ANX berkaitan punk masih mendapat perhatian ramai, mungkin juga saya perlu mencari bahan tambahan berkaitan topik tersebut untuk disiarkan. Entri Kisah Benar oleh Wahid Kasran dan Permata Yang Hilang juga terus mendapat perhatian ramai, tetapi tiada lagi bahan tambahan mengenai dua topik tersebut untuk disiarkan.

Sejak memulakan Musim ke-2 pada September 2010, ANX berjaya mencapai sasaran siaran sebanyak 3 entri seminggu. Cuma bermula pada Disember lalu banyak entri yang telah tertangguh kerana saya telah dijemput untuk menulis dalam sebuah majalah secara bulanan. Entri-entri yang tertangguh itu telah disiarkan dalam bulan ini. Bermula tahun 2011 ini saya mensasarkan pula untuk menyiarkan sekurang-kurangnya 15 entri sebulan, walaupun perlu meluangkan banyak masa juga untuk tugasan menulis dalam majalah. Bagi memudahkan urusan, sebentar tadi saya telah siap menyenaraikan 100 tajuk entri yang dirasakan menarik untuk disiarkan dalam tempoh 6 bulan akan datang.

Berkenaan kategori entri akan datang, ANX akan memperbanyakkan lagi senarai boyband, girl group dan kumpulan S. Gelaran seperti ratu cantik, Miss Malaysia dan Bintang RTM juga akan diberi perhatian. Semalam ANX baru menyenaraikan tag baru iaitu kahwin dan cerai, dan akan memperkenalkan pula tag mualaf tidak lama lagi. Dalam kategori Isu Sensasi pula, terdapat beberapa tag yang kekurangan entri seperti 18 tahun ke atas dan cross-dressing yang akan diberi perhatian. Secara peribadi saya berminat untuk menyiarkan lebih banyak entri berkaitan banned (pengharaman) dan censorship (penapisan). Beberapa hasil pengubahsuaian gambar (photoshop) dalam majalah memang menarik untuk ditelitikan.

Selain itu sudah tentulah terdapat beberapa lagi poster dan gambar selebriti perempuan zaman dulu seperti Ziela Jalil, Julia Rais, Sofia Jane, Maria Farida, Wann, Zila Bakarin dan lain-lain yang menunggu giliran untuk disiarkan. Selebriti lelaki tidak terkecuali. Selain topik hiburan, selebriti dan budaya popular, tidak dilupakan juga pelbagai bahan berita dan isu semasa yang serius seperti kisah tragedi dan jenayah, yang mungkin sudah dilupakan atau belum pernah anda ketahui akan disiarkan sepanjang tahun ini. Untuk pengetahuan anda, ANX tidak dapat menyiarkan lebih banyak entri dalam kategori Barang Koleksi kerana kesukaran untuk memastikan tahun keluaran setiap barangan dengan tepat, tetapi mungkin ia boleh disiarkan dalam beberapa entri khas sebagai gambar hiasan sahaja.

10 October 2010

Arkib Negara X

Sejak dua hari lepas, blog ini telah direkabentuk semula dengan menampilkan wajah baru. Template asal yang digunakan sejak awal 2009 dulu telah digantikan dengan template baru yang lebih tersusun dan kemas. Namun begitu, tema warna yang agak kekelabuan dulu masih dikekalkan, termasuklah warna imej latar yang digunakan sekarang.

Susun atur tag (Jenis Maklumat) yang sebelum ini semakin memanjang di sebelah kiri juga telah ditukar kedudukannya ke sebelah kanan bagi memberi ruang kepada lebih banyak senarai tahun dan kategori entri yang akan disiarkan pada masa akan datang. Oleh kerana jumlah tag yang telah melebihi 100 kategori, maka pengkelasan tag mengikut tema tertentu telah dilakukan bagi memudahkan rujukan.

Selain itu, perubahan yang agak ketara ialah pada nama blog ini yang kini dikenali sebagai Arkib Negara X (ANX). Walaupun nama asal blog sebelum ini iaitu Arkib Negara tidak mempunyai sebarang percanggahan dengan nama organisasi lain seperti contohnya Arkib Negara Malaysia (kerana blog Arkib Negara mengandungi skop bahan yang tidak hanya terhad berkaitan dengan negara Malaysia sahaja tetapi turut berkaitan dengan negara-negara lain juga), tetapi perubahan nama asal kepada nama Arkib Negara X telah dilakukan bagi mewujudkan satu nama yang lebih menarik perhatian (catchy) dan tidak kelihatan terlalu serius.

Nama Arkib Negara X juga lebih sesuai dengan skop entri blog ini yang memaparkan bahan/berita yang kebanyakannya tidak akan menjadi suatu bahan/berita yang ingin diarkibkan secara rasmi oleh sesebuah negara, dan bahan/berita tersebut juga hanya terhad bermula dari tahun 1970 hingga kini.

Walaupun nama blog ini diubah, tetapi URL masih tetap sama - arkibnegara.blogspot.com

Nota tambahan:
X mewakili sesuatu yang bercanggah daripada kelaziman, sesuatu yang khusus berbeza, macam American History X, macam The X-Files, macam X-rated. Generasi X pula merupakan kumpulan manusia yang membesar dalam dekad 1970-an, manakala semua manusia yang lahir dalam dekad 1970-an tergolong dalam kumpulan Generasi X, golongan yang tidak pernah mengalami zaman getir Perang Dunia, macam saya, macam anda, macam orang lain. X ialah huruf Roman yang mewakili nombor sepuluh, yang merupakan tarikh istimewa hari ini - 10.10.10.

15 September 2010

Musim ke-2

"Arkib Negara" kini kembali untuk berkongsi bahan, gambar & maklumat yang berkaitan dengan skop blog ini. Pada awal 2009 dahulu, saya bercita-cita untuk membuat entri harian, tapi nampaknya kurang berjaya dan hanya bertahan hampir sebulan sahaja. Selepas itu banyak perkara berlaku dalam kehidupan dan kerjaya saya hingga menyebabkan "Arkib Negara" tidak dapat diteruskan.

Sejak beberapa bulan lepas saya telah membuat penyusunan semula bahan-bahan yang terbengkalai dahulu, ditambah lagi dengan bahan-bahan terbaru yang sempat dicari, maka kini "Arkib Negara" bersedia untuk beroperasi semula dalam Musim ke-2! Walau bagaimanapun, konsep entri harian yang gagal dahulu terpaksa dihentikan. Kini "Arkib Negara" berharap dapat menyediakan 3 entri terbaru pada setiap minggu, atau dikurangkan kepada 1 atau 2 entri sahaja sekiranya kesuntukan masa.

Selamat melihat dan membaca, mulai esok. Terima kasih kerana sabar menunggu, dan juga atas maklum balas dan komen-komen yang anda berikan.

24 January 2009

Pengenalan

Semasa melakukan pengumpulan maklumat untuk laman web kelolaan saya, terjumpa banyak bahan yang mungkin menarik untuk dikongsi bersama, tetapi tidak berkaitan atau tidak sesuai untuk dimasukkan ke dalam laman web tersebut. Kesemuanya saya kumpulkan di sini untuk tatapan anda.

Penafian:
Maklumat, gambar dan bahan yang dipaparkan di Arkib Negara X (ANX) ini adalah hak milik pihak penerbitan masing-masing dan disiarkan di sini sebagai rujukan semata-mata. Sebarang penyalahgunaan maklumat, gambar dan bahan daripada ANX adalah ditanggung sepenuhnya oleh pihak yang menyalahgunakannya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...