28 January 2015

ANX 6 tahun

  • Arkib Negara X kini 6 tahun (2009-2015).
  • Sudah 9 bulan (sejak April 2014) tiada entri terbaru kerana sibuk dengan hal lain.
  • Tetap berminat untuk teruskan projek ANX ini kerana masih banyak bahan terkumpul yang belum disiarkan.
  • Belum pasti bila entri terbaru dapat disiarkan, tapi yang pasti sebelum 2015 berakhir.
  • Wajah & template ANX perlu diubah terlebih dulu supaya lebih bersemangat untuk terus mengarkib.
  • Selamat menunggu dengan sabar, ANX akan kembali.

20 April 2014

Lagu Yasmin Yusuf diharamkan oleh RTM (1981)

15 Julai 1981
Miss Malaysia-Universe 1978, Yasmin Yusuf, ialah seorang penyanyi yang pernah mengeluarkan album pertama pada 1979. Yasmin berjaya mengeluarkan album keduanya yang berjudul Harapan pada 1981.

Album tersebut telah menimbulkan kontroversi melalui sebuah lagu yang berjudul "Goyang Goyang, Dansa Bersama", di mana lagu itu telah diharamkan oleh stesen penyiaran Radio & Televisyen Malaysia (RTM) kerana dikatakan "melanggar kesopanan dan tata kesusilaan masyarakat Melayu".

Pihak RTM menjelaskan, "Perkataan dalam lagu Goyang-Goyang itu mempunyai unsur-unsur yang kurang sopan didengar dan telah melanggar garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri. Oleh itu pihak RTM tidak teragak-agak mengambil langkah positif untuk mengharamkan lagu itu dari siaran melalui radio dan televisyen".

Namun begitu, lagu "Goyang Goyang, Dansa Bersama" diluluskan untuk siaran di Singapura. Lagu itu dicipta oleh Karim Iskandar dan senikatanya ditulis oleh A. Husaini Ajmain.

* Lagu "Goyang Goyang, Dansa Bersama" tidak dijumpai dalam internet & senikatanya tidak dapat disiarkan buat masa ini. Sekiranya sesiapa ingin berkongsi pautan lagu itu atau senikatanya, sila tinggalkan komen.

19 April 2014

Biodata Benjy (1998)

Khaeryll Benjamin atau Benjy atau anak Azean Irdawaty, mula dikenali sebagai pelakon sejak zaman kanak-kanak lagi iaitu melalui filem Perempuan (1988). Benjy dilahirkan pada 17 September 1978. Gambar di bawah ketika dia berusia 20 tahun.


Petikan biodata Benjy pada 1998:

Warna kegemaran: Hitam, putih, biru & peach
Makanan kegemaran: Nasi daging masak merah & escargot
Minuman kegemaran: Teh O ais limau
Pelakon diminati: Al Pacino & Daniel Day-Lewis
Buku kegemaran: Godfather & Malcolm X
Pil yang ditelan:
- 8 biji pil vitamin C
- 4 biji pil B complex
- 3 biji pil Lestine E
- 3 biji pil kalsium
- 1 biji pil garlic
- 1 biji pil beta cartin
- 3 biji pil fiber
- 1 biji pil daily multivitamin
- 1 scoop profin

Untuk biodata penuh, rujuk gambar di atas.

14 April 2014

Perkahwinan Noreen Noor (1990)

Pelakon terkenal Noreen Noor berkahwin buat kali ke-2 pada 27 Disember 1990. Perkahwinan tersebut dibuat secara sederhana tanpa mendapat publisiti pihak media. Hanya pada pertengahan Januari 1991 barulah majalah URTV dapat menyiarkan kisah perkahwinan itu - yang bertajuk "Noreen Noor kahwin senyap-senyap" - dengan gambar-gambar eksklusif yang disumbangkan oleh pihak luar.


Noreen Noor (31 tahun) berkahwin dengan Baharuddin Ngah (40 tahun), seorang pegawai tinggi Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) yang berasal dari Terengganu. Percintaan mereka berlangsung tidak sampai setahun iaitu bermula dengan perkenalan pada awal 1990 sehinggalah perkahwinan pada hujung tahun yang sama. Tahun berikutnya, Noreen Noor telah melahirkan anak kandung tunggalnya, Danial Baharuddin.



Nota tambahan:
Noreen Noor berkahwin kali pertama pada 11 Ogos 1984, ketika berusia 25 tahun. Suami pertamanya ialah kerabat Diraja Pahang, Tengku Kamaruzzaman Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar, seorang pegawai tentera. Mereka tidak dikurniakan anak. Pada 1987, Noreen Noor telah berpisah dengan Tengku Kamaruzzaman, dan mereka bercerai secara sah tidak lama kemudian. Hujung 1989, Noreen Noor membuat pengakuan tentang perceraiannya itu, dan majalah URTV telah menyiarkan kembali gambar lama Noreen Noor bersama bekas suami pertamanya seperti di bawah.

Noreen Noor bersama bekas suami pertama

13 April 2014

Chef Wan berpakaian wanita (2000)

Sempena "perhimpunan artis-artis" yang dinamakan Parti Cit Cat pada Julai 2000, diadakan beberapa acara seperti persembahan pentas dan sukaneka. Parti Cit Cit 2000 anjuran Azwan Ali Production berlangsung selama 3 hari di Desaru Impian Resort, Johor, dan melibatkan seramai 17 orang "artis ternama". Antara mereka yang terlibat ialah penyanyi Shawn Baharin dan "tukang masak profesional", Chef Wan.


Dalam satu persembahan pentas di Parti Cit Cit 2000, Chef Wan telah tampil sebagai penari dengan berpakaian "ala wanita Hindustan" bagi mengiringi nyanyian Shawn Baharin.


Selebriti lelaki berpakaian wanita lazimnya dianggap sebagai suatu bentuk 'hiburan' dan sering dijadikan selingan dalam banyak persembahan pentas sejak sekian lama.

12 April 2014

Lagu Ada-Ada diharamkan di Singapura (1970)

Penyanyi & kumpulan pop yeh yeh dari Singapura, A. Romzi & The Hooks, pernah mengeluarkan sebuah album mini (4 lagu) yang menggunakan judul "A. Romzi & The Hooks" (EMI Records / EGEP 651). Salah sebuah lagu dalam album keluaran 1968 itu berjudul "Ada-Ada". Lagu tersebut agak popular tapi tidaklah setanding dengan lagu-lagu mereka yang lebih awal, iaitu Dendang Remaja & Zunika (1967), yang popular sehingga kini.

Setelah 2 tahun dikeluarkan, lagu "Ada-Ada" tiba-tiba saja menimbulkan kegemparan apabila ia diharamkan daripada siaran Radio Singapura pada 1970. Pengharaman siaran lagu "Ada-Ada" dilaporkan oleh akhbar sebagai kes pertama seumpamanya yang melibatkan lagu berbahasa Melayu. Pengharaman itu berpunca daripada pelancaran "Kempen Anti Nakotik (ganja)" oleh Kementerian Kebudayaan Singapura.

Senikata lagu "Ada-Ada" dikatakan "mengandongi unsor2 yang memuja ganja" (Berita Harian Singapura, 19 Mac 1970)

ADA-ADA
(pencipta lagu: T. Hashim / penulis senikata: A. Romzi)

Ku berjalan-jalan di taman bunga
Tapi tiada tujuan yang utama
Ku mencari barang yang tiada
Entah kan tersandung batu di sana

Kata kawan-kawan sungguh istimewa
Tapi tiada berkesan dan tiada juga ku rasa

Kini... ada-ada
Tapi... tak guna


  • Maksud senikata lagu "Ada-Ada" yang ringkas itu agak kabur dan tidak jelas langsung apa yang dikatakan sebagai "memuja ganja" yang menjadi penyebab kepada pengharamannya pada 1970.
  • Lagu "Ada-Ada" dalam video di atas kurang berkualiti dan kedengaran rosak pada beberapa bahagian. Untuk mendengar versi yang lebih baik, boleh dapatkan MP3 di muziknusantara.com

Nota tambahan:
Lagu-lagu luar negara yang turut diharamkan siarannya daripada Radio Singapura pada 1970 ialah: The Pusher (kumpulan Steppenwolf, 1968); Happiness Is A Warm Gun (kumpulan The Beatles, 1968); Puff, The Magic Dragon (trio Peter, Paul & Mary; 1963). Semua lagu itu dikatakan "memuja ganja" (Berita Harian Singapura, 5 Mac 1970)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...