Showing posts with label Tiara Jacquelina. Show all posts
Showing posts with label Tiara Jacquelina. Show all posts

02 October 2013

Perkahwinan Hani Mohsin & Tiara Jacquelina (1993)

Pelakon terkenal Hani Mohsin Hanafi (28 tahun), hero filem Nadia (1992), melangsungkan perkahwinan dengan Tiara Jacquelina Eu Abdullah (26 tahun) pada 11 September 1993 di kediaman keluarga Hani di Ipoh, Perak. Tiara juga ketika itu merupakan seorang pelakon yang semakin terkenal setelah muncul dalam filem Mat Som (1990), namun pastinya tidak ramai yang mengingati penglibatan awal Tiara sebagai finalis Miss Malaysia-World 1986 ketika usianya 19 tahun dan menggunakan nama Jacquie @ Jacqueline Eu. Jacquie telah diberi nama "Tiara Jacquelina" oleh seorang penerbit filem dari Indonesia semasa sedang berlakon dalam filem pertamanya, Irisan-Irisan Hati (1988). Apabila Jacquie memeluk agama Islam sebelum berkahwin dengan Hani pada 1993, nama "Tiara Jacquelina" dikekalkan sebagai nama barunya.


Foto-foto majlis pernikahan Hani & Tiara ini dipetik dari majalah Perempuan keluaran November 1993 (20 tahun yang lalu!). Majlis persandingan mereka diadakan beberapa bulan selepas pernikahan. Penulis majalah tersebut mencatatkan bahawa Hani & Tiara "ditangkap berkhalwat oleh pegawai pencegah maksiat beberapa bulan lalu", dan penulis itu menyimpulkan bahawa "setiap sesuatu yang berlaku ada hikmah yang tersembunyi di sebaliknya".


Beberapa lagi foto majlis pernikahan Hani & Tiara di bawah:

14 July 2013

Kelas 2020 - teater Rahim Razali (1992)

Karya teater berjudul Kelas 2020 hasil tulisan dan arahan Rahim Razali telah dipentaskan di Matic, Jalan Ampang, Kuala Lumpur mulai 9hb hingga 16hb Mei 1992. Teater Kelas 2020 secara jelas diinspirasikan daripada idea Wawasan 2020 yang dicetuskan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, Dr. Mahathir Mohamad, tidak lama sebelum itu pada 1991. Para pelakon yang terlibat dalam teater Kelas 2020 ialah Ahmad Tarmimi Siregar (sebagai Profesor Agus), Erma Fatima (pelajar bernama Intan Cahaya), Tiara Jacquelina, Zulkarnain Ramli, Abdul Manan Sulaiman, Haliza Misbun, Amruz Shaari dan Rajentheran.

Lakonan Ahmad Tarmimi Siregar & Erma Fatima
Teater Kelas 2020 menceritakan tentang aktiviti sekumpulan pelajar universiti tempatan di bawah bimbingan seorang Profesor pada tahun 2020. Ketika teater tersebut dipentaskan pada 1992, tahun 2020 masih terlalu jauh jaraknya iaitu 28 tahun ke hadapan. Teater berbentuk futuristik itu cuba mengimpikan serba sedikit keadaan Malaysia dan masyarakatnya pada tahun 2020. Malaysia digambarkan dengan positif dalam teater Kelas 2020 di mana ia berjaya menjadi negara maju setelah mencapai kesemua cabaran utama Wawasan 2020 yang ditetapkan.

Dalam teater Kelas 2020, watak Profesor Agus cuba menimbulkan kesedaran para pelajarnya terhadap budaya serta gaya hidup generasi 1990-an yang telah pun dihapuskan menjelang tahun 2020. Sebagai perbandingan, masyarakat Malaysia pada tahun 2020 yang diwakili oleh para pelajar tersebut digambarkan bersifat nasionalistik dengan menggunakan hanya bahasa kebangsaan yang baku (bahasa loghat negeri termasuk bahasa etnik lain tidak lagi digunakan oleh orang ramai). Selain itu, pengaruh budaya asing yang bercambah di Malaysia juga telah dihapuskan menjelang tahun 2020 versi teater Kelas 2020.

Profesor Agus (Ahmad Tarmimi Siregar) & para pelajarnya
Dalam usaha mendidik para pelajarnya, Profesor Agus yang berusia 50 tahun menugaskan mereka untuk mementaskan sebuah teater berjudul Wawasan Pak Wan yang ditulis olehnya semasa bergelar pelajar pada 1990-an. Isi kandungan teater-dalam-teater itu tidak diceritakan dengan lebih lanjut, tetapi diperlihatkan kesukaran para pelajar tersebut untuk menghayati perwatakan generasi 1990-an daripada segi percakapan dan pemakaian. Turut diselitkan dalam penceritaan teater Kelas 2020 ialah tentang penganjuran Sukan Olimpik 2020 di Malaysia yang menawarkan hadiah istimewa kepada para pemenang, antaranya ialah kereta Proton berkuasa solar!

Nota tambahan:
"2020 - 2,361 hari lagi"
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...