Showing posts with label 1992. Show all posts
Showing posts with label 1992. Show all posts

25 December 2013

Wann dalam Pancaindera (1991 & 1992)

Menurut Pancaindera, "Wann semakin tembam" pada 1991!

Seorang penulis tidak bernama (yang gaya tulisannya bukan seperti Juwie) telah menulis perihal ketembaman Wann. Kata si penulis mengenai "foto terbaru Wann" yang dipaparkan pada muka hadapan akhbar tersebut: "Amboi... tembamnya pipi dia! Susuk badannya pun semakin mengental. Tidak gemuk dan tidak kurus. Body solid macam nilah sesuai untuk kecantikan seorang perempuan".

Apa yang peliknya, si penulis itu tidak menemubual Wann sendiri, sebaliknya telah menghubungi ibu Wann bagi 'menyelidik' punca ketembaman Wann. Jelas ibu Wann, "Wann hari-hari makan pil vitamin. Sejak ambil vitaminlah dia jadi tembam". Wann juga dikatakan "kuat tidur" pada ketika itu. Pada 1991, penyanyi Wann yang berusia 21 tahun mula terlibat dalam bidang lakonan & muncul dalam filem Jaket Biru.

10 Feb 1991
12 Jan 1992

Nota tambahan:
Sebelum berlakon dalam filem Jaket Biru (1991), Wann pernah muncul di layar perak sebagai penyanyi undangan dalam filem Pelumba Malam (1989).

11 October 2013

dR. Sam (1992)

Penyanyi terkenal era 1980-an, dR. Sam (biasanya disebut Doktor Sam), telah ditemu bual oleh wartawan hiburan terkenal, Juwie, pada 1992 untuk ruangan Sehari Dalam Hidup yang diterbitkan dalam akhbar sisipan Pancaindera (Mingguan Malaysia). Berikut ialah maklumat tentang dR. Sam yang terkandung dalam artikel hasil temu bual tersebut.
  • Nama sebenar dR. Sam ialah Salim Ibrahim.
  • Nama gelaran asalnya ialah "dR. Sam Rasputin", nama yang diberi oleh Ali Bakar (penganjur persembahan pentas) pada 1980. Nama gelaran itu kemudian dipendekkan menjadi dR. Sam.
  • dR. Sam lahir pada 23 Mei 1953 di Seremban, Negeri Sembilan.
  • Keluarga dR. Sam berasal dari Kampung Bayam, Kota Bharu, Kelantan.
  • Bapa dR. Sam bertugas sebagai anggota polis, maka keluarganya sering berpindah tempat tinggal.
    • dR. Sam mendapat pendidikan di Sekolah Rendah St. John, Kuala Lumpur (darjah 1 hingga 6); Sekolah Menengah St. John, Kuala Lumpur (tingkatan 1 hingga 3); Sabah College, Kota Kinabalu (tingkatan 4 hingga 5); Institut Pendidikan, Kota Bharu (tingkatan 6 pada 1971).
    • Ketika berusia 20 tahun (1973), dR. Sam merantau ke benua Eropah "untuk menimba berbagai pengalaman baru".
    • Selama 5 tahun (1973-1978), dR. Sam menimba pengalaman sebagai 'busker' (bermain gitar & menyanyi di jalanan) di London, Jerman & Scandinavia.
    • Setelah lama merantau, dR. Sam pulang ke Malaysia pada 1979 dan meneruskan kerjaya sebagai 'busker' di pasar-pasar malam sekitar Damansara, Petaling Jaya & Kuala Lumpur.
    • Ali Bakar memperkenalkan "dR. Sam Rasputin" sebagai penyanyi pentas pada 1980 dalam persembahan Pesta Budaya di Panggung Anniversari, Kuala Lumpur. dR. Sam mula menjadi terkenal setelah wartawan hiburan menulis mengenai persembahannya yang dikatakan "lain dari orang lain". dR. Sam pun meneruskan kerjaya barunya sebagai penyanyi pentas dalam banyak persembahan anjuran Ali Bakar di merata tempat.
      • dR. Sam melangsungkan perkahwinan dengan Fauziah Yunus pada 8 Ogos 1981.
      • Syarikat rakaman PolyGram menawarkan kontrak sebagai penyanyi rakaman kepada dR. Sam dan beliau berjaya mengeluarkan album pertamanya, Abu Nawas (1983), diikuti oleh album Sayang Oh Sayang (1984).
      • dR. Sam bergabung dengan kumpulan Musafir dan mengeluarkan album Saya Anak Malaysia (1986) & Semarak Merdeka (1987), kedua-duanya juga terbitan syarikat rakaman PolyGram.
      • Syarikat rakaman EMI pula kemudian mengeluarkan album dR. Sam yang berjudul Sinar Harapan (1989).
      • Pada 1992, dR. Sam mengusahakan perniagaan khidmat penghantaran barangan di bawah nama dR. Express yang beroperasi di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.
        Lagu Saya Anak Malaysia nyanyian dR. Sam dengan diiringi oleh kumpulan Musafir menjadi sangat popular pada 1986. Lagu yang menceritakan serba sedikit riwayat hidup dR. Sam itu dicipta olehnya sendiri manakala senikata lagu itu ditulis oleh S. Amin Shahab dan diterbitkan oleh M. Nasir. Pada tahun yang sama, dR. Sam muncul sebagai pelakon dalam filem Kembara Seniman Jalanan (1986) yang menceritakan tentang liku-liku hidup seorang penyanyi yang bermula di jalanan sehinggalah berjaya menjadi penyanyi rakaman, suatu kisah yang ada sedikit persamaan dengan kehidupan dR. Sam.

        SAYA ANAK MALAYSIA
        (pencipta lagu: dR. Sam / penulis senikata: S. Amin Shahab)

        Sembilan belas lima puluh tiga, bulan lima aku dilahirkan
        Di sebuah negeri yang diberi nama, Negeri Sembilan
        Selepas itu aku dibesarkan, di negeri Kelantan
        Aku belajar di sekolah orang putih, dekat dengan Pasir Puteh

        Saya anak Malaysia, saya anak Malaysia
        Saya anak Malaysia, saya anak Malaysia

        Lepas sekolah aku merayau, negeri mat saleh aku merantau
        Tempat orang indah sekali, tapi Malaysia tetap di hati

        Saya anak Malaysia, saya anak Malaysia
        Saya anak Malaysia, saya anak Malaysia

        Sampai masa aku pun balik, makwe ku tengok dia pelik
        Dia kata "You nak jadi apa?", aku kata "Itu Tuhan punya kuasa"
        Lemah lembut sopan santun, sudah menjadi darah daging ku
        Walaupun aku nampaknya kutu, aku hormat orang tua ku

        Saya anak Malaysia, saya anak Malaysia
        Saya anak Malaysia, saya anak Malaysia


        Nota tambahan:
        • dR. Sam pernah diundang berlakon watak kecil dalam filem Mekanik (1983). Dialognya dalam filem itu memberitahu bahawa nama 'Sam' adalah akronim daripada 'Saya anak Malaysia' (tapi lagu Saya Anak Malaysia belum pun wujud ketika itu & hanya dikeluarkan 3 tahun kemudian).
        • dR. Sam juga pernah muncul sebagai pelakon undangan dalam filem Kepala Angin (1987) dengan membawakan watak sebagai doktor yang antara kepakarannya ialah merawat buah dada. Watak yang aneh dalam sebuah filem yang agak nakal.
        dR. Sam Rasputin berlakon dalam filem
        Mekanik (1983), Kembara Seniman Jalanan (1986) & Kepala Angin (1987)

        Nota tambahan 2 (21.11.2013):
        dR. Sam juga pernah berlakon dalam filem Matinya Seorang Patriot (1984) arahan Rahim Razali.

        30 September 2013

        Skim cepat kaya Pak Man Telo (1992)

        Pak Man Telo ialah nama gelaran kepada Osman Hamzah, seorang pengendali skim cepat kaya yang paling popular di Malaysia pada era 1980-an. Skim cepat kaya - biasanya beroperasi secara haram - menerima wang deposit daripada orang ramai (pelabur) dengan menjanjikan pulangan dividen yang besar kepada mereka dalam tempoh yang singkat. Pak Man Telo dikatakan menjalankan operasi skim cepat kaya yang dinamakan Skim Pestama Berhad sejak penghujung dekad 1970-an. Skim cepat kaya tersebut juga dikenali dengan nama Skim Pak Man Telo.

        Pak Man Telo berasal dari Taiping, Perak. Beliau pernah bertugas sebagai wartawan akhbar Warta Negara pada 1960-an dan kemudian menjadi wartawan sambilan di Bernama pada 1970-an sebelum menceburi 'bidang' skim cepat kaya. Sejak beroperasi pada hujung 1970-an, Skim Pak Man Telo semakin meningkat popular dan mendapat kepercayaan daripada orang ramai kerana ia dikatakan berjaya mengekalkan pembayaran dividen dengan lancar kepada setiap pelaburnya dalam tempoh bertahun-tahun lamanya.

        8 Mac 1992
        Namun kelancaran operasi Skim Pak Man Telo mula goyah pada penghujung dekad 1980-an. Pada 1 Oktober 1989, beberapa pegawai dari Bank Negara Malaysia (BNM) telah menyerbu rumah Pak Man Telo di Taiping bagi menyiasat kegiatan skim cepat kaya yang dikendalikannya. BNM menyerbu rumah Pak Man Telo buat kali kedua pada 23 November 1989 dan merampas wang tunai hasil deposit orang ramai sebanyak RM1.7 juta. Dengan bukti yang ada, Pak Man Telo berserta isterinya (Maimunah Taib) dan anak lelaki mereka (Abdul Rahman Osman) bakal menghadapi masalah.

        Berikut ialah rentetan detik-detik terakhir Skim Pak Man Telo:
        • 11 Januari 1990 - Pak Man Telo dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan melanggar Akta Bank & Industri Kewangan 1989 kerana mengambil deposit berjumlah RM20 juta daripada orang ramai tanpa memiliki lesen. Isteri dan anak lelaki Pak Man Telo pula dituduh bersubahat. Mereka bertiga tidak mengaku bersalah. Pak Man Telo dibebaskan dengan ikat jamin RM1 juta dan pasportnya dirampas, manakala isterinya dan anak lelaki mereka dibebaskan dengan ikat jamin setiap seorang RM200 ribu dengan seorang penjamin. Kes mereka bakal dibicarakan.
        • 13 Mac 1990 - Pak Man Telo, isterinya dan anak lelaki mereka dibicarakan di mahkamah. Pak Man Telo mengaku bersalah atas tuduhan mengambil deposit tanpa memiliki lesen. Hukuman ke atas Pak Man Telo akan dijatuhkan keesokan harinya. Isteri dan anak lelaki Pak Man Telo dibebaskan. Hakim memerintahkan supaya wang tunai RM1.7 juta yang dirampas dari rumah Pak Man Telo dipulangkan kepadanya kerana tiada peruntukan yang membolehkan BNM berbuat demikian.
        • 14 Mac 1990 - Pak Man Telo dijatuhkan hukuman denda RM250 ribu atau setahun penjara. Beliau membayar denda itu dengan wang tunai. Walaupun Pak Man Telo bersalah, tetapi para penyokongnya yang berada di mahkamah menyambut 'kebersalahan' Pak Man Telo dengan penuh kegembiraan (lihat gambar di atas) dan berkali-kali melaungkan "Hidup Pak Man"! Para pemerhati menjangka yang Skim Pak Man Telo akan hancur selepas itu tetapi sebaliknya skim cepat kaya itu telah mendapat pendedahan yang semakin meluas dan menjadi sangat popular.
        • April hingga Ogos 1990 - Skim Pak Man Telo beroperasi seperti biasa, deposit tetap diterima daripada orang ramai yang jumlahnya semakin meningkat. Pulangan dividen berjumlah 10 peratus daripada nilai pelaburan telah dibayar tanpa gagal, malah kadar dividen itu kemudiannya telah dinaikkan kepada 12 peratus! Mungkin ramai orang yang berjaya menjadi kaya dengan cepat dalam tempoh 'gemilang' itu.
        • September 1990 - Para pelabur Skim Pak Man Telo mula mengesan yang pulangan dividen mereka sudah tidak dimasukkan ke dalam akaun bank seperti bulan-bulan sebelumnya. Ada sesetengah pelabur pula hanya menerima separuh daripada pulangan dividen yang sepatutnya. Manakala pelabur-pelabur yang menerima pulangan dividen melalui cek pula mendapati ia adalah 'cek tendang'.
        • 19 September 1990 - Para pelabur menyerbu rumah Pak Man Telo di Taiping bagi meminta penjelasan mengenai status pelaburan mereka.
        • 20 September 1990 - Pak Man Telo mengumumkan penurunan kadar dividen daripada 12 peratus kepada cuma 5 peratus. Beliau memberi alasan bahawa ia berpunca daripada kemelesetan ekonomi dunia akibat Perang Teluk (yang meletus pada 2 Ogos 1990). Selain itu beliau menyalahkan kejadian penyelewengan di kalangan "ajen-ajen".
        • 15 Januari 1991 - Keadaan semakin teruk, Pak Man Telo gagal membayar pulangan dividen yang dijanjikan. Para pelabur berkerumun di rumahnya bagi menuntut kembali wang pelaburan masing-masing. Kekecohan terjadi dan kereta Pak Man Telo turut dirosakkan.
        • 28 Februari hingga 5 Mac 1991 - Enam orang lelaki telah menculik anak lelaki Pak Man Telo, Abdul Razak Affendi (19 tahun), dan mengurungnya di Hotel Tropicana, Kuala Lumpur, namun mereka semua berjaya diberkas oleh pihak polis.
        • 15 Mac 1991 - Para penculik anak Pak Man Telo telah dihadapkan ke mahkamah.
        • 6 April 1991 - Seorang pelabur Skim Pak Man Telo akhirnya membuat laporan polis mengenai penyelewengan yang berlaku. Pak Man Telo kemudian telah ditahan selama beberapa minggu oleh pihak polis dari Bukit Aman, Kuala Lumpur. Selepas itu Pak Man Telo telah dibuang daerah di Kuala Terengganu, Terengganu.
        • 17 Julai 1991 - Hasil siasatan lanjut, Bank Negara Malaysia telah mendakwa Pak Man Telo di mahkamah atas tuduhan mengambil deposit sebanyak RM99.09 juta daripada orang ramai (dianggarkan 50 ribu orang) tanpa memiliki lesen. Pak Man Telo tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan. Beliau dibenarkan ikat jamin sebanyak RM2 juta sementara menunggu perbicaraan pada awal 1992.
        • 2 Mac 1992 - Setelah perbicaraan selesai, Pak Man Telo yang ketika itu berusia 65 tahun telah didapati bersalah buat kali kedua, dan mahkamah menjatuhkan hukuman 'penjara setahun' dan 'denda RM500 ribu atau penjara setahun'. Pak Man Telo akhirnya merengkok dalam penjara selama setahun bermula pada tarikh beliau ditahan (17 Julai 1991). Bagi hukuman kedua, Pak Man Telo gagal membayar denda RM500 ribu dan beliau dipenjarakan lagi selama setahun bermula pada 2 Mac 1992.

        Akhbar melaporkan kes skim cepat kaya Pak Man Telo sebagai "salah satu skandal kewangan yang terbesar" di Malaysia, setanding dengan kes Bumiputra Malaysia Finance (BMF) dan kehilangan lebih RM22 juta dari Bank Negara Malaysia. Bezanya, Pak Man Telo hanyalah seorang bekas wartawan dan bukanlah pakar dalam bidang ekonomi atau pun berkemahiran dalam sistem kewangan, tetapi dengan hanya bersandarkan kepercayaan daripada orang ramai, beliau mampu 'berskandal' (walaupun akhirnya tumpas) melibatkan jumlah wang yang sangat melampau.

        Nota tambahan:
        1. Menurut Kamus Dewan, skim bermaksud "rancangan", dan skim cepat kaya bermaksud "skim pelaburan yang kononnya boleh memberikan pulangan (keuntungan) yang segera dan sangat lumayan".
        2. Asal usul nama gelaran "Pak Man Telo" (Osman Hamzah) tidak diceritakan dalam artikel yang dirujuk. Dalam arena hiburan tempatan, seorang pelawak pentas pada hujung 1980-an pernah menggunakan nama Pak Man Telo (beliau pernah berlakon filem Janda Meletup pada 1990), tetapi beliau bukanlah Osman Hamzah.
        3. Selain Skim Pestama Berhad (Skim Pak Man Telo) yang secara haram mengumpul sebanyak RM99.09 juta wang deposit orang ramai, terdapat banyak lagi skim cepat kaya yang pernah beroperasi di Malaysia sehingga awal 1992, antaranya ialah:
        • Skim 350 (mengumpul deposit RM70 juta)
        • Skim Tingcon Credit Development Sdn Bhd (RM60 juta)
        • Skim Permata Bakti (RM30 juta)
        • Skim 120 (RM20 juta)
        • Skim Permata Mahir (RM19 juta)
        • Skim Sri Emas Enterprise (RM10 juta)

        14 July 2013

        Kelas 2020 - teater Rahim Razali (1992)

        Karya teater berjudul Kelas 2020 hasil tulisan dan arahan Rahim Razali telah dipentaskan di Matic, Jalan Ampang, Kuala Lumpur mulai 9hb hingga 16hb Mei 1992. Teater Kelas 2020 secara jelas diinspirasikan daripada idea Wawasan 2020 yang dicetuskan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, Dr. Mahathir Mohamad, tidak lama sebelum itu pada 1991. Para pelakon yang terlibat dalam teater Kelas 2020 ialah Ahmad Tarmimi Siregar (sebagai Profesor Agus), Erma Fatima (pelajar bernama Intan Cahaya), Tiara Jacquelina, Zulkarnain Ramli, Abdul Manan Sulaiman, Haliza Misbun, Amruz Shaari dan Rajentheran.

        Lakonan Ahmad Tarmimi Siregar & Erma Fatima
        Teater Kelas 2020 menceritakan tentang aktiviti sekumpulan pelajar universiti tempatan di bawah bimbingan seorang Profesor pada tahun 2020. Ketika teater tersebut dipentaskan pada 1992, tahun 2020 masih terlalu jauh jaraknya iaitu 28 tahun ke hadapan. Teater berbentuk futuristik itu cuba mengimpikan serba sedikit keadaan Malaysia dan masyarakatnya pada tahun 2020. Malaysia digambarkan dengan positif dalam teater Kelas 2020 di mana ia berjaya menjadi negara maju setelah mencapai kesemua cabaran utama Wawasan 2020 yang ditetapkan.

        Dalam teater Kelas 2020, watak Profesor Agus cuba menimbulkan kesedaran para pelajarnya terhadap budaya serta gaya hidup generasi 1990-an yang telah pun dihapuskan menjelang tahun 2020. Sebagai perbandingan, masyarakat Malaysia pada tahun 2020 yang diwakili oleh para pelajar tersebut digambarkan bersifat nasionalistik dengan menggunakan hanya bahasa kebangsaan yang baku (bahasa loghat negeri termasuk bahasa etnik lain tidak lagi digunakan oleh orang ramai). Selain itu, pengaruh budaya asing yang bercambah di Malaysia juga telah dihapuskan menjelang tahun 2020 versi teater Kelas 2020.

        Profesor Agus (Ahmad Tarmimi Siregar) & para pelajarnya
        Dalam usaha mendidik para pelajarnya, Profesor Agus yang berusia 50 tahun menugaskan mereka untuk mementaskan sebuah teater berjudul Wawasan Pak Wan yang ditulis olehnya semasa bergelar pelajar pada 1990-an. Isi kandungan teater-dalam-teater itu tidak diceritakan dengan lebih lanjut, tetapi diperlihatkan kesukaran para pelajar tersebut untuk menghayati perwatakan generasi 1990-an daripada segi percakapan dan pemakaian. Turut diselitkan dalam penceritaan teater Kelas 2020 ialah tentang penganjuran Sukan Olimpik 2020 di Malaysia yang menawarkan hadiah istimewa kepada para pemenang, antaranya ialah kereta Proton berkuasa solar!

        Nota tambahan:
        "2020 - 2,361 hari lagi"

        30 April 2013

        Rozita Che Wan dalam Miss South East Asia Queen (1992)

        Pertandingan ratu cantik Miss South East Asia Queen telah dianjurkan buat pertama kalinya oleh D'Touch Promotion pada 26 Julai 1992 di Hotel Crown Princess, Kuala Lumpur. Melalui nama pertandingan itu, dapat diketahui bahawa ia mempertandingkan bekas pemenang-pemenang pertandingan ratu cantik dari serata Asia Tenggara. Seramai 14 orang ratu cantik dari Malaysia (3), Filipina (3), Indonesia (3), Singapura (3), Brunei (1) & Thailand (1) telah menyertai pertandingan itu.

        Peserta dari Malaysia & gelaran yang pernah dimenangi:
        • Samantha Schubert (23 tahun / Miss Malaysia-World 1991)
        • Rozita Che Wan (18 tahun / Miss Malaysia-Intercontinental 1992)
        • Penny Soon (21 tahun / Miss Malaysia-Dreamgirl 1992)

        Antara peserta dari negara-negara lain & gelaran yang pernah dimenangi:
        • Kristina Rahman (Brunei / 18 tahun / Tempat ke-4 Miss Teen di Singapura)
        • Amelia Joy (Filipina / 21 tahun / Miss Philippines-Charm 1992)
        • Viftra Burgos (Filipina)
        • Sharon Tan (Singapura)
        • Indira Hasbullah (Indonesia)

        Rozita Che Wan (ratu cantik remaja yang popular) mewakili Malaysia

        Keputusan pertandingan Miss South East Asia Queen 1992:
        • Amelia Joy (Tempat pertama Miss South East Asia Queen 1992. Hadiah sampingan: Miss Body Beautiful & Miss Giamax Elegant)
        • Penny Soon (Tempat ke-2 Miss South East Asia Queen 1992. Hadiah sampingan: Miss Super Trim & Miss Crowning Glory)
        • Samantha Schubert (Tempat ke-3 Miss South East Asia Queen 1992. Hadiah sampingan: Miss Balenciaga)
        • Viftra Burgos (Tempat ke-4 Miss South East Asia Queen 1992)
        • Sharon Tan (Tempat ke-5 Miss South East Asia Queen 1992)
        • Rozita Che Wan (Hadiah sampingan: Miss Agfa Colour Photogenic & Miss A O Winning Look)
        • Kristina Rahman (Hadiah sampingan: Miss Friendship)
        • Indira Hasbullah (Hadiah sampingan: Miss Personality)

        Peserta dari Malaysia memenangi tempat ke-3

        Beberapa lagi gambar para pemenang di bawah:

        20 April 2013

        Kulit album 2020 oleh kumpulan rock Babylon (1992)

        Babylon ialah salah sebuah daripada ratusan kumpulan muzik rock yang ditubuhkan di Malaysia dalam dekad 1980-an. Babylon dianggap unik apabila ia dianggotai oleh sepasang kembar yang bernama Hussein (penyanyi) dan Hassan (pemain gitar). Anggota lain Babylon semasa mereka mengeluarkan album pertama pada 1990 ialah Kamal (pemain bass) dan Nahar (pemain dram). Pada 1992, sebelum isu rambut panjang mencapai kemuncaknya, Babylon berjaya mengeluarkan album kedua dan terakhir mereka yang diberi judul 2020.


        Tajuk album 2020 oleh Babylon secara jelas merujuk kepada idea Wawasan 2020 yang dicetuskan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, Dr. Mahathir Mohamad, pada 1991. Walaupun tiada lagu berjudul 2020 dalam album rock tersebut, tetapi terdapat sebuah lagu yang berjudul Wawasan, yang senikatanya ditulis oleh Loloq (antara bait senikatanya, "Mari melintas laut yang terbelah, ke wawasan dua puluh dua puluh"). Selain itu, apa yang lebih menariknya mengenai album 2020 ialah tentang rekabentuk kulit albumnya yang menampilkan sebuah lukisan yang agak ringkas tetapi unik.

        Lukisan bertemakan fantasi pada kulit album 2020 menggambarkan keadaan bandaraya Kuala Lumpur yang sudah tentunya berlatarkan tahun 2020, iaitu tahun di mana Malaysia disasarkan bakal menjadi negara yang berstatus maju. Apa yang uniknya - dan mungkin mengejutkan - ialah gambaran oleh pelukisnya yang membayangkan bahawa Kuala Lumpur, atau lebih tepat lagi mercu tanda ikonik Bangunan Sultan Abdul Samad, bakal menjadi usang, malah ditenggelami oleh tanah pada tahun 2020! Manakala latar belakang lukisan itu pula menunjukkan kewujudan beberapa buah bangunan ala futuristik. Turut kelihatan dalam lukisan menarik itu ialah tinggalan tulang haiwan yang tersadai di suatu sudut.

        Tidak dapat dipastikan siapakah pelukis kulit album 2020 tersebut. Apa yang pasti, lukisan itu bukanlah mempunyai niat yang jahat, sebaliknya dapat disimpulkan bahawa karya unik itu sebenarnya mempunyai maksud tersirat dan mungkin juga komentar pelukisnya mengenai masa hadapan Malaysia dalam tempoh 28 tahun daripada waktu itu. Kulit album tersebut juga tidak bermasalah atau menimbulkan persoalan mahu pun konflik ketika ia dikeluarkan pada 1992. Mungkin juga isu rambut panjang ketika itu telah mengalihkan perhatian pihak berkuasa daripada menilai kulit album tersebut yang sekiranya disalah tafsir dahulu boleh saja dianggap sebagai cubaan untuk memburuk-burukkan Wawasan 2020.

        Nota tambahan:
        • Pihak berkuasa Malaysia suatu ketika dahulu sememangnya biasa menapis kulit-kulit album terutamanya daripada artis luar negara. Antara isu yang pernah menjadi bahan berita di peringkat antarabangsa ialah penapisan kulit album kumpulan metal dari Amerika, Megadeth, yang berjudul Youthanasia pada 1994 (rujuk entri akan datang, mungkin)
        • "2020 - 2,446 hari lagi"

        30 March 2013

        Ratu Kebaya Mak Nyah (1992)

        Mak nyah popular, Mimie Zarina, telah mengadakan majlis sambutan harijadinya yang ke-45 tahun pada 20 September 1992 di Dewan Kompleks Sukan Bangsar, Kuala Lumpur. Wartawan hiburan Juwie melaporkan bahawa "Hampir tujuh ratus kaum mak nyah dan artis turut hadir" ke majlis tersebut.

        Antara acara yang berlangsung dalam majlis tertutup itu ialah persembahan nyanyian oleh para penyanyi terkenal seperti DJ Dave, Iwan, Rohana Jalil dan Jaafar Onn. Acara kemuncaknya pula ialah suatu pertandingan yang dinamakan Ratu Kebaya Mak Nyah. Juwie tidak melaporkan lebih lanjut mengenai pertandingan tersebut, maka tidak diketahui berapa ramai mak nyah yang telah mengambil bahagian, atau siapakah para pengadil yang menentukan para pemenangnya.


        Pertandingan Ratu Kebaya Mak Nyah itu akhirnya dimenangi oleh 'Nazira Kassim' yang berasal dari Muar, Johor, yang memakai baju kebaya berwarna biru. Manakala tempat kedua dimenangi oleh 'Sharifah Azura Syed Anuar' yang berasal dari Melaka dan memakai baju kebaya berwarna hitam. Gambar kedua-dua pemenang di samping penganjur majlis, Mimie Zarina, telah disiarkan dalam akhbar Pancaindera pada 27 September 1992.

        27 March 2013

        Chewing Gum diharamkan di Singapura (1992)

        Pada 2 Januari 1992, pihak berkuasa Singapura mula mengharamkan 'chewing gum' (gula-gula getah) di negara tersebut. Pengharaman itu merangkumi perbuatan memakan 'chewing gum' dan juga proses menjual atau membeli 'makanan' tersebut. Pihak berkuasa menyifatkan 'chewing gum' sebagai perosak kemudahan awam, di mana sisa 'makanan' itu sering dibuang atau dilekatkan di merata-rata tempat misalnya pada kerusi di dalam keretapi atau bas, di dalam lif, di tempat pejalan kaki, serta di pelbagai tempat atau pada benda awam lain.

        Menurut kajian sebelum itu, secara purata sebanyak 400 gumpalan sisa 'chewing gum' terpaksa dibersihkan daripada kerusi di dalam lebih kurang 60 buah tren MRT pada setiap malam, dan kerja-kerja tambahan itu telah melibatkan kenaikan kos penyelenggaraan. Banyak pihak bersetuju dengan pengharaman tersebut, tetapi ada juga pihak yang berpendapat bahawa sekatan secara langsung sebegitu tidak akan mendidik orang ramai untuk memperbaiki sikap buruk masing-masing.

        Menjelang hari pengharaman 'chewing gum' pada awal 1992, para peniaga di Singapura telah berusaha untuk menghabiskan stok 'chewing gum' masing-masing dengan menjualnya pada harga yang murah.


        Nota tambahan:
        • Pada 2002, 'chewing gum' yang telah di-preskripsi oleh doktor untuk tujuan perubatan mula dibenarkan penggunaannya di Singapura.
        • Pada 2004 pula, sejenis 'chewing gum' yang dikhususkan sebagai pengganti nikotin ("nicotine-replacement", "sugarless, medicinal gum") mula dijual secara terbuka di Singapura, di mana orang ramai boleh membelinya tanpa mendapat preskripsi oleh doktor terlebih dahulu.

        Trivia:
        Ini ialah entri yang ke-200.

        27 February 2013

        Anugerah Bintang-Bintang Popular ke-6 (1992)

        Anugerah Bintang-Bintang Popular (ABP) 1992 merupakan edisi kali ke-6 sejak ia mula dianjurkan oleh akhbar Berita Harian pada 1987. ABP memilih para pemenang berdasarkan undian orang ramai serta para pembaca Berita Harian yang perlu mengisi borang pengundian yang disediakan di dalam akhbar tersebut dan menghantarnya melalui pos.

        Untuk ABP 1992, undian dijalankan menjelang penghujung 1992 sehingga awal Februari 1993. Pengumuman pemenang serta penyampaian anugerah diadakan tidak lama kemudian dalam tahun 1993 dengan kerjasama stesen penyiaran RTM. Penaja utama ABP 1992 ialah jenama peralatan rumah, Singer ("menawan keluarga bahagiaaa")

        Berbanding tahun-tahun sebelumnya, ABP 1992 menampilkan kelainan apabila memperkenalkan 7 kategori baru! Jika sebelum itu hanya terdapat kategori-kategori untuk Filem (4), Penyanyi (3) & Artis Paling Popular (1), tetapi untuk ABP 1992 diperkenalkan pula kategori-kategori untuk TV (5) & Artis Komedi (2).

        Sepertimana kebanyakan program anugerah yang biasa diadakan, para pemenangnya akan sentiasa diingati manakala calon-calon akhir yang tidak bernasib baik akan pantas dilupakan. Agak menarik sekiranya dapat diimbas kembali senarai para pencabar kepada para pemenang dalam setiap kategori. Berikut ialah senarai para pemenang dan juga calon-calon akhir ABP 1992.

        Penyanyi Lelaki Popular:
        • Hattan
        • Jamal Abdillah
        • Nash (pemenang)
        Tiada bekas pemenang ABP yang lepas dicalonkan dalam kategori di atas. Nash yang baru mencuba nasib sebagai penyanyi solo selepas keluar daripada kumpulan Lefthanded bertuah apabila dapat memenangi kategori di atas buat kali pertama. Nash juga berjaya mengekalkan popularitinya apabila dia kembali dicalonkan dalam kategori yang sama pada ABP 1993.

        Penyanyi Wanita Popular:
        • Aishah (pemenang)
        • Sheila Majid
        • Ziana Zain
        Aishah menang buat kali ke-3 berturut-turut (sejak ABP 1990) dalam kategori di atas. Populariti Aishah terus menurun selepas 1992 apabila dia tidak berjaya dicalonkan semula dalam kategori yang sama pada ABP 1993.

        Penyanyi Berkumpulan Popular:
        • Exist
        • Fotograf (pemenang)
        • Iklim
        Fotograf berjaya menewaskan Iklim yang merupakan pemenang 2 kali berturut-turut (ABP 1990 & 1991) dalam kategori di atas. Namun begitu tanpa adanya lagi lagu sehebat Di Alam Fana Cinta, Fotograf tidak berjaya mengekalkan populatiri mereka dan gagal dicalonkan semula dalam kategori yang sama pada ABP 1993.

        Pelakon Filem Lelaki Popular:
        • Badrul Muhayat
        • Eman Manan (pemenang)
        • M. Nasir
        Saingan sengit di antara Eman Manan dengan Badrul Muhayat yang merupakan pemenang kategori di atas pada ABP 1991. Kejayaan Eman pada ABP 1992 ini adalah kemenangannya buat kali ke-3 (setelah ABP 1987 & 1990) dalam kategori yang sama. Keunggulan Eman terbukti apabila dia berjaya mengekalkan kemenangannya dalam kategori yang sama pada ABP 1993.

        Pelakon Filem Wanita Popular:
        • Deanna Yusof
        • Erma Fatima (pemenang)
        • Fauziah Ahmad Daud
        Erma Fatima menang kategori di atas buat kali ke-2 berturut-turut selepas pertama kali memenanginya pada ABP 1991. Namun begitu Erma tidak berjaya mengekalkan popularitinya dan gagal dicalonkan semula dalam kategori yang sama pada ABP 1993. Fauziah Ahmad Daud yang merupakan bekas pemenang kategori di atas pada ABP 1987 membuktikan kemampuannya mengekalkan populariti apabila dia kembali dicalonkan dalam kategori yang sama pada ABP 1993.

        Pelakon Filem Pembantu Lelaki Popular:
        • Azwan Ali
        • Hani Mohsin
        • Imuda (pemenang)
        Imuda ialah seorang lagi bekas pemenang ABP yang berjaya mengulangi kemenangannya dalam kategori yang sama buat kali ke-2 berturut-turut selepas ABP 1991. Imuda juga berjaya mengekalkan popularitinya apabila dia kembali dicalonkan dalam kategori yang sama pada ABP 1993.

        Pelakon Filem Pembantu Wanita Popular:
        • Didie Alias
        • Kuza (pemenang)
        • Noorkumalasari
        Kategori di atas juga mengulangi keputusan ABP 1991 apabila Kuza memenanginya buat kali ke-2 berturut-turut. Kuza juga turut berjaya mengekalkan popularitinya apabila dia kembali dicalonkan dalam kategori yang sama pada ABP 1993.

        Penghibur TV Lelaki Popular:
        • Imuda
        • Nash
        • Salleh Yaacob (pemenang)
        Salleh Yaacob terpilih sebagai pemenang pertama kategori penghibur yang baru diperkenalkan pada ABP 1992, menewaskan Imuda yang lebih popular dalam kategori filem dan Nash yang lebih popular dalam kategori penyanyi. Walau bagaimanapun, Salleh gagal mengekalkan popularitinya apabila dia tidak dicalonkan semula dalam kategori yang sama pada ABP 1993.

        Penghibur TV Wanita Popular:
        • Fauziah Latiff (pemenang)
        • Norsheila Amin
        • Shima
        Fauziah Latiff terpilih sebagai pemenang pertama kategori penghibur yang baru diperkenalkan pada ABP 1992. Fauziah membuktikan keunggulannya apabila dia berjaya mengekalkan kemenangannya dalam kategori yang sama pada ABP 1993.

        Drama TV Popular:
        • Antara Insaf Dan Sedar
        • Opah (pemenang)
        • Wawasan
        Drama TV yang sememangnya popular, Opah, terpilih sebagai pemenang pertama kategori di atas yang baru diperkenalkan pada ABP 1992. Walau bagaimanapun, kategori di atas hanya bertahan setahun sahaja dan telah dimansuhkan mulai ABP 1993, kemungkinan besar kerana ia tidak selari dengan skop ABP yang menghargai 'bintang' (individu) dan bukannya 'karya'.

        Pelakon TV Lelaki Popular:
        • Ahmad Tarmimi Serigar
        • Jins Shamsuddin (pemenang)
        • Mustapha Kamal
        Pelakon veteran Jins Shamsuddin terpilih sebagai pemenang pertama kategori pelakon TV yang baru diperkenalkan pada ABP 1992. Tidak menghairankan apabila Jins yang lebih dikenali sebagai pelakon filem tidak berjaya dicalonkan semula dalam kategori yang sama pada ABP 1993.

        Pelakon TV Wanita Popular:
        • Dian P. Ramlee
        • Norlida Ahmad (pemenang)
        • Zaiton Hussein @ Opah
        Norlida Ahmad terpilih sebagai pemenang pertama kategori pelakon TV yang baru diperkenalkan pada ABP 1992. Norlida sebelum itu pernah memenangi kategori pelakon filem pada ABP 1989 & 1990. Norlida berjaya mengekalkan popularitinya apabila dia kembali dicalonkan dalam kategori pelakon TV pada ABP 1993.

        Artis Komedi Lelaki Popular:
        • Acapan
        • Jalil Hamid (pemenang)
        • Sabri Yunus
        Jalil Hamid terpilih sebagai pemenang pertama kategori artis komedi yang baru diperkenalkan pada ABP 1992. Saingan terkuat Jalil semestinya ialah Sabri Yunus. Ketiga-tiga calon dalam kategori di atas berjaya mengekalkan populariti masing-masing apabila kembali dicalonkan dalam kategori yang sama pada ABP 1993.

        Artis Komedi Wanita Popular:
        • Norlia Ghani
        • Ruminah Sidek
        • Wan Maimunah (pemenang)
        Wan Maimunah yang begitu popular melalui siri komedi Pi Mai Pi Mai Tang Tu terpilih sebagai pemenang pertama kategori artis komedi yang baru diperkenalkan pada ABP 1992. Wan Maimunah membuktikan keunggulannya apabila dia berjaya mengekalkan kemenangannya dalam kategori yang sama pada ABP 1993.

        Artis Paling Popular:
        • Eman Manan (pemenang)
        Kategori di atas yang terbuka dan tidak mempunyai calon akhir telah diperkenalkan pada ABP 1990 yang dimenangi oleh penyanyi Aishah. Pada ABP 1991, penyanyi Zainal Abidin pula memenanginya. Eman Manan ialah pemenang ke-3 kategori di atas dan merupakan pelakon pertama yang berjaya terpilih sebagai Artis Paling Popular pada ABP 1992.

        24 February 2013

        Mak nyah popular - Mimie Zarina (1992)

        "Di kalangan ribuan kaum mak nyah yang terdapat di seluruh tanahair, nama Mimie Zarina memang tidak asing lagi" - Begitulah ayat pengenalan tulisan wartawan hiburan Juwie dalam ruangan popularnya, Sehari Dalam Hidup, edisi 27 September 1992. Ruangan tersebut yang sering disiarkan di muka surat akhir akhbar sisipan Pancaindera memaparkan rencana hasil temubual Juwie dengan pelbagai selebriti, sama ada artis popular atau pun bakat baru, termasuklah selebriti sukan seperti pemain bola sepak dan sebagainya.

        Mimie Zarina boleh dikatakan kurang dikenali kini tetapi dia merupakan salah seorang selebriti mak nyah yang popular pada 1980-an. Apabila Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan mengasaskan Persatuan Mak Nyah Wilayah Persekutuan pada hujung 1980-an, Mimie telah dipilih untuk memegang jawatan Presiden. Kewujudan Persatuan Mak Nyah secara sah itu tidak bertahan lama apabila ia diabaikan setelah ketua pengarah JKM bertukar ganti.

        1992
        Nama sebenar Mimie Zarina ialah Mohd Shamsuddin Abdul Rahman, dilahirkan pada 1947 dan berasal dari Teluk Intan, Perak. Dia menuntut sehingga tingkatan lima di Sekolah Menengah Anglo Chinese di Teluk Intan. Mimie terlibat dalam dunia hiburan sebagai pelakon watak-watak kecil dalam beberapa buah filem seperti Bas Kondaktor (1986), O.K. (1990) & Thermometer 3 (1990-an). Dalam adegan akhir filem Bas Kondaktor, Mimie telah mengejutkan para penonton apabila dia berani tampil dengan berpakaian renang!

        Selain daripada filem, Mimie juga pernah berlakon dalam drama swasta yang bertajuk Kisah Si Tua & Liku-Liku Jalanan. Kerjaya tetap Mimie sebenarnya ialah sebagai tukang jahit, di mana dia sering menerima tempahan daripada artis-artis wanita selain daripada para pelanggan biasa. Menurut Juwie, "Mimie amat pakar dalam menjahit fesyen pakaian baju kurung dan kebaya". Juwie telah menemu bual Mimie selepas majlis sambutan harijadi mak nyah popular itu yang ke-45 tahun di Kuala Lumpur pada September 1992.

        "Aku tidak minta dilahirkan begini. Diriku tidak ada tempat dalam masyarakat.
        Mereka memanggil aku... pondan" - petikan dialog Mimie Zarina
        daripada filem Bas Kondaktor (1986) arahan Z. Lokman
        Petikan filem O.K. (1990) arahan Aziz Sattar

        18 February 2013

        20/20 - lagu KRU yang diharamkan (1992)

        20/20 ialah judul salah sebuah lagu yang terdapat dalam album pertama kumpulan rap KRU, Canggih, yang dikeluarkan pada 1992. Seperti yang diketahui umum, senikata lagu rap itu merujuk kepada Wawasan 2020 yang telah dicetuskan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, Dr. Mahathir Mohamad, pada 1991.

        Dalam Buku Skrap Awas! KRU yang dikeluarkan pada 1994, tercatat bahawa 11 buah lagu daripada album Canggih telah diharamkan oleh Kementerian Penerangan Malaysia pada 1992, di mana lagu-lagu terbabit tidak boleh disiarkan oleh semua stesen penyiaran RTM. Salah sebuah lagu yang telah diharamkan ketika itu ialah 20/20.

        Walau bagaimanapun, punca pengharaman lagu itu bukanlah kerana ada sesuatu yang tidak kena dengan Wawasan 2020, walaupun sememangnya tindakan itu dirasakan sedikit pelik, seolah-olah stesen penyiaran RTM sendiri menentang lagu yang menyokong Wawasan 2020. Namun begitu, punca sebenar pengharaman lagu 20/20 (dan banyak lagu lain daripada album KRU, Canggih) ialah kerana penggunaan 'bahasa rojak', di mana Bahasa Melayu & Inggeris telah dicampur-adukkan.

        Merujuk kepada senikata lagu 20/20, didapati 'bahasa rojak'nya tidaklah terlalu banyak mana pun, hanya terdapat pada rangkap korus: "Bersatu kita maju, bersatu. Two zero, two zero". Begitulah tegasnya (walaupun dianggap keterlaluan) stesen penyiaran RTM dalam menapis dan mengharamkan lagu-lagu pada suatu ketika dahulu.

        20/20
        (pencipta lagu: Edry / penulis senikata: Norman)

        Dr. M menyeru kita bersatu
        Membangunkan Malaysia menjelang abad dua ribu
        Mengatur langkah ku satu per satu
        Fikirkan strategi berkesan untuk maju
        Untuk mu Malaysia negara yang tercinta
        Ku sematkan usaha untuk taburkan jasa
        Kita mengejar masa, bukan masa yang kejar kita
        Lipat ganda us'ha mu berjuang untuk Malaysia
        Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh
        Tanamkanlah prinsip begitu agar Malaysia kukuh
        Biar pun apa 'kan terjadi
        Ku tetap anak bangsa mu, Malaysia hanya untuk mu

        (korus)
        Bersatu kita maju, bersatu
        Two zero, two zero
        Bersatu kita maju, bersatu
        (Two zero, two zero)

        Tingkatkan produktiviti mu
        Jauhi dari gejala yang merugikan mu
        Marilah kita bangunkan negara
        Ke tahap kemajuan yang boleh dibangga

        Muda-mudi membina Malaysia
        Marilah kita seia sekata
        Kitalah harapan nusa dan bangsa
        Melaksanakan tugas 'tuk generasi kita
        Biar hujan, panas, di waktu kerja mu
        Janganlah jadi alasan kerja mu terbeku
        Semadikanlah semangat cekal mu
        Bangunlah bangsa ku, bangunlah negara ku

        Utamakanlah perpaduan negara
        Bekerjasama tanpa mengira bangsa
        Kerana kita semuanya anak Malaysia
        Agar tercapai matlamat negara kita

        Nota tambahan:
        "2020 - 2,507 hari lagi"

        29 January 2013

        Salonmay - alat khas untuk wanita (1991 & 1992)

        Pada masa kini terdapat pelbagai bentuk iklan yang menawarkan pelbagai kaedah untuk mencantikkan diri terutamanya untuk para wanita. Boleh dikatakan semua iklan sebegitu mengesyorkan bahawa bentuk badan yang menarik ialah antara ciri penting yang dapat menjadikan seseorang itu kelihatan cantik atau kacak. Seperti yang banyak diiklankan, definisi utama bagi menggambarkan 'bentuk badan menarik' ialah seseorang itu mestilah 'tidak gemuk'. Manakala untuk seseorang yang sememangnya 'tidak gemuk', definisi lain pula dipakai untuk menggambarkan 'bentuk badan menarik', di mana antara definisi yang paling popular khususnya kepada kaum wanita ialah mereka mestilah mempunyai bentuk payudara yang menarik.


        Lebih 20 tahun yang lalu, pada awal 1990-an, iklan "jenama antarabangsa" Salonmay sering kelihatan di dalam akhbar dan majalah tempatan. Salonmay diiklankan sebagai "Alat khas untuk wanita yang menghadapi masalah buah dada". Alat khas yang dikatakan "mudah dan selamat digunakan" itu sebenarnya lebih dikenali oleh orang ramai ketika itu sebagai erm... 'pam tetek'. Iklan Salonmay, alat khas yang dipasarkan dalam saiz M dan L pada 1991 turut - dengan selambanya - menggambarkan tatacara penggunaannya dalam bentuk ilustrasi.

        1991
        Apa yang menariknya, iklan Salonmay yang seterusnya tidak lama kemudian telah ditapis! Tiada lagi ilustrasi tatacara penggunaannya, malah perkataan "buah dada" juga sudah tidak kelihatan lagi dan digantikan dengan "tubuh badan". Yang lebih menarik, iklan Salonmay versi baru itu turut menyiarkan gambar trofi Golden Brain Award 1977 dan The First Top Ten Outstanding Inventors bagi membuktikan keberkesanan alat itu, malah - mungkin atas permintaan besar pasaran tempatan - saiz S juga sudah mula dijual. Dapatkannya di Pertama Kompleks, Kuala Lumpur!

        1992

        23 December 2012

        Kereta Proton CARES (1992)

        "Edaran Otomobil Nasional (EON) telah memasarkan dua model baru kereta nasional yang dinamakan Proton CARES, Khamis lalu" (Utusan Malaysia, 2 Disember 1992)

        Proton CARES ialah jenama kereta Malaysia yang amat istimewa kerana ia hanya dikeluarkan sebanyak 200 unit sahaja pada 1992! Nama CARES ialah akronim untuk Clean Air Regulated Emission System (Sistem Penapis Udara Berkawal) iaitu ciri khas yang diperkenalkan pada kereta tersebut. Secara ringkasnya CARES bermaksud kereta tersebut mengandungi "sistem suntikan bahan api pelbagai punca" yang berfungsi untuk "menambahkan kelancaran dan mendatangkan prestasi yang lebih baik"


        Proton CARES yang dikeluarkan dalam 2 model, Salon SE & Aeroback GL, secara fizikalnya adalah berdasarkan rekabentuk Proton Saga Iswara yang telah dikeluarkan lebih awal. Model Salon SE berharga RM42,500 manakala model Aeroback GL berharga RM43,000 termasuk insurans, cukai jalan & aksesori. Identiti khas Proton CARES ialah pada rupa luarannya di mana ia hanya dikeluarkan dalam 1 warna sahaja iaitu hijau metalik sebagai simbol "keprihatinan terhadap alam sekitar"

        15 June 2011

        Erra Fazira dalam Miss Malaysia-World (1992)



        Pertandingan akhir ratu cantik Miss Malaysia-World 1992 telah berlangsung pada 23 Ogos di Hotel Crown Princess, Kuala Lumpur. Pertandingan tahun itu merupakan siri yang paling diingati ramai kerana seperti yang diketahui umum ia telah dimenangi oleh Erra Fazira yang kini merupakan seorang pelakon terkenal. Ketika itu nama Erra belum dicipta dan beliau masih menggunakan nama asalnya Fazira.

        Pertandingan akhir tersebut disertai oleh 14 orang gadis, iaitu:
        1. Priscilla Ku (24 tahun, berasal dari Melaka)
        2. Cecelia Leong (21, Wilayah Persekutuan)
        3. Lam Woon Nee (20, Perak)
        4. Cynthia Ong (18, Pulau Pinang)
        5. May Yeoh (19, Selangor)
        6. Jojo Tan (19, Johor)
        7. Chew Sing Yee (21, Pulau Pinang)
        8. Fazira Wan Chek (18, Wilayah Persekutuan)
        9. Liew Soo Fon (18, Sarawak)
        10. Wennie Chia (23, Selangor)
        11. Tina Chia (25, Sabah)
        12. Catherine Gripes (19, Sarawak)
        13. Cecelia Lim (25, Johor)
        14. Melissa Choy (25, Melaka)
        Sebelum pertandingan akhir itu berlangsung, media cetak telah memberikan publisiti yang lebih kepada Fazira kerana statusnya sebagai "peserta Melayu tunggal". Akhbar tabloid Panca (Mingguan Malaysia) menggambarkan Fazira sebagai seorang yang mempunyai perawakan dan personaliti yang menarik, senyuman yang "mengancam", wajah yang anggun menawan dan jelingan mata yang menggoda. Fazira yang ketika itu masih berusia remaja dilaporkan sedang menuntut dalam bidang komputer di Cyma College, Petaling Jaya, dan beliau juga pernah muncul sebagai model iklan televisyen untuk bedak berjenama Zaiton.

        Kemenangan Fazira dalam pertandingan Miss Malaysia-World 1992 itu telah melayakkannya menerima hadiah wang tunai $6,000 berserta trofi dan lain-lain barangan berharga. Selain itu Fazira turut memenangi gelaran Miss Polignac Physique dan Miss Fuji Photogenic yang menyediakan hadiah wang tunai $1,000. Dengan kemenangan itu juga Fazira terpilih untuk mewakili Malaysia dalam pertandingan Miss World 1992 yang diadakan di Afrika Selatan pada Disember tahun itu.

        Pemenang lain dalam pertandingan akhir Miss Malaysia-World 1992 itu ialah Jojo Tan yang mendapat tempat kedua dan menerima hadiah wang tunai $3,000, dan Cecelia Lim Mei Ping yang mendapat tempat ketiga dan menerima hadiah wang tunai $2,000. Kedua-dua mereka yang berasal dari Johor turut menerima trofi dan lain-lain barangan berharga.

        24 April 2011

        KRU bertemu MC Hammer (1992)

        Pada 1990, muzik hip hop atau disebut juga rap mula meningkat popular di Malaysia melalui artis barat seperti Vanilla Ice dengan lagu Ice Ice Baby, dan MC Hammer dengan lagu U Can't Touch This. Kedua-dua artis tersebut banyak mempengaruhi remaja tempatan untuk meminati muzik sedemikian yang langsung tidak popular sebelum itu, dan dalam tempoh hanya 2 tahun kemudian, Malaysia sudah pun mempunyai artis rap tempatan yang sangat popular seperti kumpulan 4U2C dan KRU. Pada hujung 1991, MC Hammer telah mengeluarkan album seterusnya yang popular dengan lagu Too Legit To Quit, dan beliau sempat berkunjung ke Kuala Lumpur pada 1992 untuk mempromosikan album itu. Akhbar tempatan ketika itu menggelar MC Hammer sebagai Raja Rap. Bertuahnya KRU apabila berpeluang mendekati Raja Hammer kerana mereka semua sememangnya di bawah syarikat rakaman yang sama iaitu EMI yo!

        18 January 2011

        Brick Game (1992)



        Brick Game adalah nama sejenis permainan video mudah alih (menggunakan bateri) yang digemari ramai di Malaysia pada sekitar awal 1990-an. Permainan tersebut dengan nama asalnya Tetris telah lebih dulu popular kepada pengguna komputer di mana ia dimainkan melalui penggunaan cakera liut bersaiz 5.25 inci yang perlu dimasukkan ke dalam sistem komputer. Format permainan asal sebegitu mungkin hanya digemari oleh pengguna komputer yang mahir. Peminat permainan video di Malaysia pula lebih awal mengenali permainan Tetris pada hujung 1980-an melalui mesin permainan video bersaiz besar yang hanya terdapat di pusat permainan video, di mana setiap mesin perlu dimasukkan wang syiling 20 sen sebelum ia boleh digunakan. Apabila format permainan mudah alih Brick Game pula muncul di pasaran, ia berjaya mendapat perhatian ramai dalam waktu yang singkat. Peraturan permainannya yang sangat mudah untuk difahami dan dikawal menyebabkannya mendapat perhatian daripada semua golongan masyarakat, tidak kira orang tua atau muda. Permainan video mudah alih tersebut juga dijual dengan murah di merata tempat termasuk di pasar malam. Mendapat blok panjang yang mampu memadamkan 4 baris blok sekaligus merupakan suatu kepuasan ketika itu, apatah lagi apabila blok panjang muncul berturut-turut apabila anda begitu memerlukannya.


        Foto: Tiga orang anggota kumpulan Search sedang asyik menaip mesej? Tidak! SMS belum wujud dan tiada telefon bimbit senipis itu pada 1992. Masa untuk Brick Game sementara menunggu konsert bermula.

        Game over.

        04 January 2011

        Terjemahan tajuk filem (1990 & 1992)

        Program Cintailah Bahasa Kita yang bermula pada 1987 tidak hanya meliputi penerbitan ilmiah atau urusan rasmi sahaja, tetapi turut melibatkan dunia hiburan tempatan. Seperti yang diketahui umum, majoriti kumpulan muzik rock yang muncul dengan banyaknya dalam tahun 1980-an didapati menggunakan nama Inggeris, contohnya Search, Bloodshed, Wings, Junction dan Crossfire. Selaras dengan program Cintailah Bahasa Kita, pihak berkuasa telah menyarankan supaya kumpulan muzik mula menggunakan nama dalam bahasa Melayu. Terdapat beberapa buah kumpulan rock yang mengikut saranan tersebut dengan menukar nama mereka, misalnya kumpulan Scarecrow menjadi Masa, D' Episodes (Halilintar), Mixed Blood (Satira), Blue Steel (Inspirasi), Wild Fingers (Zabarjad) dan sebagainya. Kesan positif daripada program tersebut menyebabkan banyak kumpulan rock yang muncul pada penghujung 1980-an dan awal 1990-an mula mengutamakan nama Melayu, contohnya seperti kumpulan Gersang, Putra, Iklim, Rajawali, Teras dan sebagainya.



        Selain itu, industri filem juga tidak terkecuali daripada dilibatkan ke dalam program Cintailah Bahasa Kita apabila semua filem dari luar negara yang hendak ditayangkan perlu diterjemahkan tajuk masing-masing kepada bahasa Melayu, contohnya seperti filem Kindergarten Cop yang diterjemahkan sebagai Polis Tadika (1990), Child's Play 2 - Mainan Syaitan Bahagian Ke-2 (1990), The Last Of The Mohicans - Mohican-Mohican Terakhir (1992), dan Scent Of A Woman - Mengharungi Alam Dewasa (1992). Sesetengah terjemahan tajuk filem mungkin kelihatan agak lucu, sesetengah yang lain pula diterjemahkan secara lurus, namun ada juga tajuk filem yang diterjemahkan kepada maksud yang jauh berbeza tetapi tetap merujuk kepada isi kandungan filem tersebut.



        Hingga kini tajuk filem dari luar negara tetap diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, tetapi tidak lagi diiklankan dengan begitu ketara seperti suatu ketika dahulu. Namun begitu timbul sedikit kemusykilan apabila filem tempatan sendiri yang berbahasa Melayu atau Cina didapati menggunakan tajuk bahasa Inggeris tanpa perlu diterjemahkan, seperti filem Driving School (1990), Queen Control (1992), Scoop (1996), Iman Alone (1998), No Problem (2001), I Know What You Did Last Raya (2004), The Beautiful Washing Machine (2004), Love Conquers All (2006), Rain Dogs (2006), I'm Not Single (2008) dan sebagainya.

        Tidak salah apabila filem tempatan menggunakan bahasa Inggeris sebagai tajuk filem atas nama kreativiti atau strategi pemasaran, tetapi kenapa tiada terjemahan tajuk kepada bahasa Melayu seperti mana filem-filem luar negara yang lain? Bagaimana agaknya jika (Senario, Gerak Khas, Dunia Baru) The Movie diterjemahkan? "Sebuah Filem" mungkin? Biar janggal pada permulaan, sudah lama nanti pasti okey.

        26 December 2010

        Feminin - kumpulan rap wanita yang pertama (1992)

        Pada bulan Disember tahun 1992 peminat hiburan tempatan diperkenalkan kepada sekumpulan penyanyi wanita yang digelar Feminin. Wartawan Samsor Junet yang menemubual kumpulan Feminin untuk rencana pengenalan ini memastikan bahawa pembaca tidak tertanya-tanya siapakah di antara anggota kumpulan itu yang gemarkan minuman oren dan siapa pula yang gemarkan nasi goreng ayam. Kumpulan Feminin terdiri daripada 5 orang remaja yang masih bersekolah. Kesemua mereka sebelum itu pernah bergiat sebagai penari bersama syarikat Edrina Collection yang diuruskan oleh Eddriss Razhe yang kemudiannya juga bertindak sebagai pengurus kepada kumpulan Feminin.

        Kemunculan kumpulan Feminin pada hujung 1992 ialah ketika demam muzik rap baru hendak bermula di Malaysia, iaitu setelah kumpulan 4U2C dan KRU berjaya mengeluarkan album pertama masing-masing dalam tahun yang sama. Oleh kerana itu, adalah tidak menghairankan apabila kumpulan Feminin yang baru hendak mencuba nasib dalam bidang nyanyian akan serta merta dibentuk untuk menjadi "kumpulan rap wanita tempatan yang pertama". Walau bagaimanapun, genre rap hanyalah merupakan batu loncatan untuk kumpulan Feminin menjadi popular kerana apabila mengeluarkan album pertama mereka dalam tahun 1993, kumpulan Feminin lebih dikenali dengan lagu pop dan lagu yang berentak tarian berbanding dengan lagu-lagu yang mempunyai banyak unsur rap.

        20 September 2010

        Kisah Benar oleh Wahid Kasran (1992)

        Cerpen dalam ruangan Kisah Benar ini mula disiarkan oleh akhbar Mingguan Malaysia (edisi Ahad) pada 5 Januari 1992. Penulis utamanya menggunakan nama pena Wahid Kasran. Pernah juga seorang penulis wanita bernama Normala Hamzah diberi peluang menulis dalam ruangan Kisah Benar ini, tetapi gaya dan arah penulisan beliau jauh berbeza daripada yang disampaikan oleh Wahid Kasran. Dalam Mukadimah siri pertama Kisah Benar, Pengarang akhbar itu menulis: "Ruangan ini kita namakan Kisah Benar. Cerita yang kita paparkan adalah satu kisah yang sebenarnya berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Maklumat-maklumat yang kita perolehi adalah dari sumber yang diakui kesahihannya. Bagaimanapun, nama dan tempat yang digunakan dalam kisah benar ini bukanlah nama dan tempat yang sebenarnya"

        Siri pertama Kisah Benar oleh Wahid Kasran ini berjudul "Setiap petang suaminya ke masjid rupa2nya ke rumah isteri muda". Cerpen pertama tersebut tiadalah apa-apa yang istimewa sangat, cuma dengan mengetahui bahawa ia adalah suatu kisah benar tentang kisah rumahtangga yang pernah berlaku, dan bukannya suatu cerita rekaan semata-mata, telah menyebabkan ramai orang jadi berminat untuk membacanya.

        Setelah berminggu-minggu ruangan Kisah Benar ini disiarkan, dapat dilihat kecenderungan penulisnya untuk menulis kisah benar yang hanya bersangkutan dengan kisah rumahtangga, keruntuhan moral, pergaulan bebas, dan lain-lain gejala tidak sihat, tetapi boleh dikatakan semuanya melibatkan perkara berkaitan seks, contohnya pelacuran, perzinaan, sumbang mahram, rogol, pengguguran dan sebagainya, malah hubungan sah suami isteri turut dijadikan bahan cerita (contohnya poligami, kemandulan, lemah syahwat, kuat syahwat dan sebagainya). Oleh kerana itu ruangan Kisah Benar ini tiadalah menyiarkan kisah benar berkaitan penagihan dadah, pembunuhan, rompakan bersenjata, kemalangan jalan raya, mahupun kisah-kisah jenayah lain (kecuali ketika penulisnya bukan Wahid Kasran, yakni hanya berlaku satu atau dua kali sahaja)

        Antara judul menarik cerpen Kisah Benar yang pernah disiarkan ialah seperti:
        - Gara2 isteri mandul, suami berkahwin secara senyap2
        - Suami rela isteri digagahi
        - Gigolo yang lincah akhirnya bertaubat
        - Suami jauh di mata isteri gian menggila
        - Akibat tunduk pada nafsu, nenek terjebak
        - Mahmud suami yang baik tapi isteri main gila
        - Bila ibu bapa tinggalkan anak2 berbulan lamanya
        - Di kota besar biasanya andartu jadi mangsa
        - Isteri kurus kering dapat suami seks maniac
        - Suami terpaksa tinggalkan isteri kerana tak tahan
        - Walid dan Juliet Tan jinak-jinak merpati
        - Bapa borek anak rintik
        - Bila janda dapat lelaki bujang
        - Pak Endut tenggelam bersama anak sendiri
        - Bersultan di mata beraja di hati
        - Isteri dingin pembantu rumah jadi sasaran

        Kepakaran penulisnya Wahid Kasran dalam mengarang setiap kisah benar ini adalah melalui pemilihan perkataan, ungkapan atau pembayang yang boleh mencetuskan imaginasi pembaca malah dapat menimbulkan unsur humor. Contohnya perkataan atau ungkapan seperti 'telaga kontang', 'topi Perancis' (kondom), 'pemburu segi tiga emas', 'bukit bukau', 'lorong sempit', 'seludang mayang' (zakar), 'menggagahi', 'rumput rampai', 'hot dog', 'apam', 'tiang seri', 'karburetor', 'gunung berapit', 'biji kundang', 'bercucuk tanam', 'benda tiga segi', 'nafsu bahamiah' (sepatutnya batiniah), 'belayar ke Pulau Penyedap', 'asah pensil', 'pusaka emak' dan sebagainya.

        Tidak berapa lama selepas mendapat perhatian ramai pembaca, penulisnya mula mengarang dalam gaya penulisan yang berirama pula. Contohnya: "Jadi drebar teksi kalau tak sabar dah lama gulung tikar, kerenah penumpang yang tak sopan dan bersikap kasar, nak ditegur tentu bertengkar, dibiarkan semakinlah kurang ajar, dahlah jalan jem bikin hati berdebar, semua benar-benar mencabar". Kadang-kadang perkataan Inggeris juga diselitkannya supaya jadi lebih menarik seperti: "Mungkin begini keadaannya bagi perempuan-perempuan yang jadi fulltime house wife, sex is very important in life, kononnya tengah muda and still alive, gian jikalau tidak didrive". Keupayaan penulisnya untuk mengekalkan ayat berirama dari mula hingga akhir cerpen amat digemari oleh ramai pembaca. Namun begitu bahagian yang selalu ditinggalkan oleh pembaca ialah bahagian mukadimah atau intro cerpen di mana penulisnya akan menulis perkara-perkara yang umum tanpa mengaitkan dengan watak atau jalan cerita.

        Setelah setahun disiarkan, cerpen Kisah Benar dalam akhbar Mingguan Malaysia mencapai tahap populariti yang agak tinggi. Dalam tahun 1993, sebuah akhbar tabloid telah menerbitkan ruangan cerpen yang juga menggunakan nama Kisah Benar. Begitu juga dengan siri TV Kisah Benar yang diterbitkan oleh syarikat swasta dan disiarkan oleh TV3. Menyedari usaha yang dipelopori olehnya ditiru pihak lain, Wahid Kasran sempat menyindir pihak terbabit dalam mukadimah ruangan Kisah Benar: "Nampaknya di TV dan di akhbar tabloid turut menyiarkan Kisah Benar, berentap untuk menampilkan jalur-jalur sinar, kerana menyedari bahawa unsur human interest paling audien gemar, jadi meniru yang dah popular serupalah bertelanjang di kamar. Perkataan kisah benar memanglah sesiapa pun boleh pakai, tetapi yang menggunakan kemudian seolah-olah idea dah pokai, walhal ada perkataan lain misalnya kisah sebenar, kisah betul, peristiwa benar sebagai judul sebagai tangkai, mengapa yang dah orang gunakan harus diungkai. Meniru memang kerja mudah, macam pengemis yang menadah-nadah, sampai bila sindrom tiru berpenyudah"

        Ruangan Kisah Benar oleh Wahid Kasran ini bertahan agak lama, terbitan kali terakhir yang dapat dikesan ialah dalam tahun 1994 di mana ketika itu dapat dilihat campur tangan pihak Pengarang akhbar yang mula menyunting dan menyelitkan banyak petikan firman dan hadis ke dalam naskah cerpen hingga kadang-kadang ruangan yang asalnya kecil itu mampu menjadi hampir satu mukasurat penuh. Berkemungkinan juga ruangan Kisah Benar ini masih disiarkan sehingga masuk tahun 1995. Sememangnya ruangan Kisah Benar ini ketika itu dilihat sudah hilang pengaruhnya apabila konsep atau 'jenama' Kisah Benar ini mula popular di siaran TV pula, walaupun sebenarnya cerita bervisual yang disiarkan oleh TV itu jauh ketinggalan daripada apa yang mampu diberikan oleh sebuah tulisan.

        "Kisah Benar yang Wahid Kasran tulis stylenya lain daripada yang lain, firman, hadis, gurindam, seloka dan sindiran kemas terjalin, tambahan pula diolah daripada kejadian tulen, usahlah pembaca sangsi waima itu haruslah yakin"





        Nota tambahan:
        Dalam tahun 1997 juga telah terbit dua buah majalah yang menumpang populariti 'jenama' Kisah Benar seperti di bawah

        16 September 2010

        Permata Yang Hilang (1992)

        ISBN 983-9074-00-8
        Cetakan Ketiga 1992

        Penulis: Ibnu Yusof
        Penerbit: Add Sell - Al Kafilah, Kelantan
        Harga: $25.00

        Cetakan pertama buku Permata Yang Hilang ini ialah pada 1992, namun hanya dalam tempoh tidak sampai setahun ia telah diulang cetak sebanyak dua kali! Begitu sekali sambutan terhadap buku ini ketika itu, sehinggalah sampai ke tahap buku ini mempunyai versi cetak rompak. Buku bahasa Melayu ini turut mempunyai judul bahasa Inggeris iaitu The Lost Jewel, manakala judul sampingannya ialah Seni Nafkah Batin, dan keterangan ringkas pada kulit buku menjelaskan isi kandungan buku ini yang berkaitan dengan "Koleksi Ilmiah Islam, Tradisional Serta Moden, Khas Untuk Bakal Pengantin Dan Suami Isteri". Buku setebal 216 mukasurat ini juga pernah dikeluarkan dalam versi kulit keras semasa cetakan awalnya.

        Buku ini pernah mencetuskan kontroversi kerana isi kandungannya yang berkaitan dengan pengetahuan seksual dilihat tidak sesuai untuk penjualan secara terbuka kepada sesiapa sahaja. Ilustrasi atau lukisan yang terkandung dalam buku ini juga secara jelas menjadi punca ia tidak sesuai untuk tatapan umum, sebaliknya perlu dilabel sebagai bahan bacaan dewasa sahaja. Antara ilustrasi yang terkandung dalam buku ini ialah gambaran zakar & faraj, serta posisi persetubuhan.

        Walau bagaimanapun antara isi kandungan yang paling menimbulkan kontroversi sehingga buku ini tidak dibenarkan untuk jualan ialah yang berkaitan dengan amalan kuno dan mistik masyarakat silam yang dikhuatiri boleh membawa kepada kesesatan akidah. Contohnya terdapat bab yang membicarakan tentang jampi serapah dan pembuatan tangkal azimat yang lengkap dengan ayat dan tulisan yang tidak diketahui maksudnya dengan jelas. Ayat atau doa yang jelas menyimpang dari ajaran Islam (contohnya, "Masua Sukur menjadi pohon. Tajuk Malai menjadi dahan. Ya Illahi Tuhanku. Tabul cahaya memandang mabuk dan malai. Bedak disapu Muhammad mengirai" dan banyak lagi) juga turut diajar melalui buku ini, begitu juga cara penggunaan azimat dan tangkal seperti meletakkannya di bawah lidah atau mengikatnya pada paha, yang jelas sekali bertentangan dengan ajaran Islam.

        Pada bab Hakikat Bayangan Firasat, penulis buku memberi peringatan: "Bahagian ini hanyalah untuk menambah pengetahuan, jangan diamalkan, ditakuti menyesatkan akidah". Walaupun begitu tidak mustahil ada pembaca di zaman kini yang pendek akal lalu mudah mempercayai amalan kuno rekaan manusia zaman dulu, contohnya 'keupayaan' menilik bentuk tubuh atau anggota badan lalu memberi maksud yang tertentu, seperti "Saiz faraj sama dengan saiz mulut", "Ibu jari kaki lelaki dan saiz zakarnya", dan lain-lain lagi 'khayalan silam' seperti Firasat Tahi Lalat dan Bulan Melangsungkan Perkahwinan, yang mana kesemuanya adalah rekaan manusia zaman dahulu semata-mata.

        Bibliografi yang terdapat pada mukasurat akhir antara lain menyenaraikan beberapa buah kitab lama bertulisan jawi seperti "Tajul Muluk (tulisan Sheikh Hassan bin Sheikh Ishak Fatani)", "Hukum Jima' (Al-Fadhil Ahmad bin Sulaiman Kamal Basha)", "Kasyaful Asrar (Sheikh Muhammad Salleh Abdullah Mengkabui)" dan "Mutala'al Badrin (Muhammad Ismail Daud)", selain banyak buku-buku bahasa Melayu lain termasuk yang berbahasa Inggeris seperti "Kamasutra (Sir Richard Burton)", "Shiatsu (William Schulz)" dan "What Is The Origin Of Man? (Dr. Maurice Buccaille)". Penulis juga menjelaskan rujukan utama untuk sumber maklumatnya ialah "secara lisan dari beberapa orang pewaris", "kemudian membuat perbincangan lisan dengan pewaris yang lain untuk tujuan rujukan silang dan bagi lebih memahami duduk perkara", namun penulis tidak menyenaraikan siapakah sebenarnya "pewaris" tersebut.


        Iklan dalam surat khabar
        Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...