Showing posts with label ratu cantik. Show all posts
Showing posts with label ratu cantik. Show all posts

30 April 2013

Rozita Che Wan dalam Miss South East Asia Queen (1992)

Pertandingan ratu cantik Miss South East Asia Queen telah dianjurkan buat pertama kalinya oleh D'Touch Promotion pada 26 Julai 1992 di Hotel Crown Princess, Kuala Lumpur. Melalui nama pertandingan itu, dapat diketahui bahawa ia mempertandingkan bekas pemenang-pemenang pertandingan ratu cantik dari serata Asia Tenggara. Seramai 14 orang ratu cantik dari Malaysia (3), Filipina (3), Indonesia (3), Singapura (3), Brunei (1) & Thailand (1) telah menyertai pertandingan itu.

Peserta dari Malaysia & gelaran yang pernah dimenangi:
  • Samantha Schubert (23 tahun / Miss Malaysia-World 1991)
  • Rozita Che Wan (18 tahun / Miss Malaysia-Intercontinental 1992)
  • Penny Soon (21 tahun / Miss Malaysia-Dreamgirl 1992)

Antara peserta dari negara-negara lain & gelaran yang pernah dimenangi:
  • Kristina Rahman (Brunei / 18 tahun / Tempat ke-4 Miss Teen di Singapura)
  • Amelia Joy (Filipina / 21 tahun / Miss Philippines-Charm 1992)
  • Viftra Burgos (Filipina)
  • Sharon Tan (Singapura)
  • Indira Hasbullah (Indonesia)

Rozita Che Wan (ratu cantik remaja yang popular) mewakili Malaysia

Keputusan pertandingan Miss South East Asia Queen 1992:
  • Amelia Joy (Tempat pertama Miss South East Asia Queen 1992. Hadiah sampingan: Miss Body Beautiful & Miss Giamax Elegant)
  • Penny Soon (Tempat ke-2 Miss South East Asia Queen 1992. Hadiah sampingan: Miss Super Trim & Miss Crowning Glory)
  • Samantha Schubert (Tempat ke-3 Miss South East Asia Queen 1992. Hadiah sampingan: Miss Balenciaga)
  • Viftra Burgos (Tempat ke-4 Miss South East Asia Queen 1992)
  • Sharon Tan (Tempat ke-5 Miss South East Asia Queen 1992)
  • Rozita Che Wan (Hadiah sampingan: Miss Agfa Colour Photogenic & Miss A O Winning Look)
  • Kristina Rahman (Hadiah sampingan: Miss Friendship)
  • Indira Hasbullah (Hadiah sampingan: Miss Personality)

Peserta dari Malaysia memenangi tempat ke-3

Beberapa lagi gambar para pemenang di bawah:

27 April 2013

Nor Albaniah - ratu cantik menjadi pelakon (1989)

Pelakon yang terkenal melalui filem Adik, Nor Albaniah, berasal dari Ulu Kinta, Perak. Sebelum menjadi pelakon, dia pernah menyandang gelaran Ratu Taiping 1988 ketika berusia 19 tahun. Tidak lama selepas itu, dalam tahun yang sama, Nor Albaniah telah mendapat peluang untuk berlakon filem pertamanya iaitu Kolej 56 arahan Ahmad Fauzee. Filem Kolej 56 yang ditayangkan pada 1989 menampilkan lakonan Nor Albaniah dalam watak tambahan sebagai Tengku Noraini.

Nor Albaniah ketika berusia 20 tahun (1989)
Pada 1989 juga Nor Albaniah telah berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir pertandingan Miss Malaysia-Universe, di mana dia merupakan satu-satunya peserta akhir berbangsa Melayu. Namun, nasib tidak menyebelahi Nor Albaniah apabila dia tidak dapat hadir pada hari pertandingan itu kerana "gangguan kesihatan". Menurut Nor Albaniah, "Saya sakit mata sampai sepet sebelah". Jadi, terlepaslah peluang Nor Albaniah untuk membuktikan kehebatannya dalam arena ratu cantik peringkat kebangsaan.

Petikan filem Kolej 56 (1989)
Dalam arena filem pula, Nor Albaniah semakin mendapat perhatian apabila dia diberi peluang untuk berlakon filem keduanya, Main-Main Hantu (penggambaran pada 1989), juga dalam watak tambahan. Hanya melalui filem ketiganya, Adik (1990), barulah Nor Albaniah diberi peluang untuk melakonkan watak utama, di mana dia juga mula ditonjolkan dalam imej seksi. Poster gambarnya di tepi kolam renang dalam majalah URTV pada waktu itu turut meningkatkan lagi popularitinya (rujuk entri akan datang).

Nota tambahan:
  • Dalam kalangan artis tempatan, Nor Albaniah mempunyai hubungan kekeluargaan dengan penyanyi & pelakon 1980-an, Isma Aliff, yang merupakan abang iparnya.
  • Nor Albaniah pernah cedera parah di kepalanya selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya yang turut mengorbankan nyawa suaminya pada 1996 (rujuk entri akan datang).

28 December 2012

Ratu Perak - Riguan Rashidi (1988)

Peserta tunggal berbangsa Melayu dalam pertandingan akhir Ratu Malaysia-Dunia (Miss Malaysia-World) 1988 ialah Riguan Rashidi. Pertandingan tersebut yang berlangsung pada 14 September 1988 disertai oleh 14 orang ratu cantik yang mewakili negeri-negeri dalam Malaysia. Riguan yang ketika itu berusia 24 tahun mewakili negeri Perak setelah dia berjaya dipilih sebagai Ratu Perak pada tahun yang sama.


Riguan berkelulusan diploma (lanjutan) dalam bidang Kajian Perniagaan daripada Institut Teknologi MARA (ITM). Dia bekerja sebagai pegawai pemasaran di sebuah syarikat swasta dan dalam masa yang sama menjadi peragawati secara sambilan. Menurut Riguan, namanya yang agak unik itu adalah pemberian daripada moyangnya.


Dalam pertandingan akhir Miss Malaysia-World 1988, nasib tidak menyebelahi Riguan apabila peserta bernama Sue Wong Choy Fun (Ratu Pahang berusia 19 tahun) dipilih sebagai pemenang utama. Riguan sekadar mendapat tempat keempat. Selepas daripada itu nama Riguan terus tenggelam kerana dia sememangnya tidak berminat untuk menceburi bidang hiburan. Kata Riguan, "saya tidak minat berlakon dan tidak ada suara nak menyanyi"

17 January 2011

Miss Perak (1970)

Pertandingan ratu cantik Miss Perak 1970 telah diadakan pada 5 April di bandar Ipoh, dan ia disertai oleh hanya 6 orang! Jumlah penyertaan yang terlalu sedikit itu berpunca daripada khabar angin yang mengatakan bahawa setiap peserta perlu memperagakan pakaian tanpa memakai baju dalam atau coli. Pemenang pertandingan tahun itu ialah Cik Josephine Lena Wong yang berusia 18 tahun. Josephine yang bekerja sebagai wakil penjual kereta dan mempunyai ukuran badan 36-24-36.5 itu berjaya layak untuk bertanding pula dalam pertandingan Miss Malaysia-Universe.

Nota tambahan: Miss Malaysia-Universe (1970)
Dalam pertandingan peringkat kebangsaan ini, Josephine yang mewakili negeri Perak sekali lagi mencipta kejayaan dengan memenangi gelaran Miss Malaysia-Universe 1970 dengan mengalahkan para peserta dari negeri-negeri lain. Josephine kemudiannya mewakili Malaysia dalam pertandingan peringkat antarabangsa, Miss Universe 1970 di Amerika Syarikat, di mana dia telah berjaya mara hingga ke peringkat separuh akhir yang merupakan pencapaian terbaik Malaysia ketika itu. Josephine juga terpilih dalam senarai 'Best In Swimsuit' di samping 9 peserta antarabangsa lain.


Pertandingan Miss Malaysia-Universe (kiri) dan Miss Universe (kanan)

12 October 2010

Rozita Che Wan (1991)

Rozita Che Wan, kini terkenal sebagai seorang pelakon dan model iklan, bolehlah dianggap terlewat memasuki bidang seni dan hiburan tempatan. Dalam tahun 1991, ruangan bakat baru dalam sebuah akhbar telah memperkenalkan seorang jelitawan bernama "Rozieta Che Wan, atau lebih manja dengan panggilan Rozi" yang ketika itu baru berusia 18 tahun. Rozita diperkenalkan sebagai "seorang ratu cantik dan peragawati yang sedang giat maju dan ingin mencipta nama". Beliau juga dikatakan "sudah menyandang tujuh gelaran ratu cantik dalam beberapa pertandingan yang disertainya sepanjang tahun lepas"

Jelas sekali kelewatan Rozita berkecimpung dalam bidang seni dan hiburan adalah kerana komitmen beliau terhadap rumahtangga yang dibinanya pada usia awal 20-an. Hanya dalam dekad 2000-an nama Rozita Che Wan mula menjadi sebutan. Antara filem yang dibintanginya ketika usia sudah melebihi 30-an ialah Dunia Baru The Movie (2008), Sepi (2008), Sifu & Tongga (2009), Jangan Tegur (2009) dan 4 Madu (2010)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...