Showing posts with label hobi. Show all posts
Showing posts with label hobi. Show all posts

18 January 2011

Brick Game (1992)



Brick Game adalah nama sejenis permainan video mudah alih (menggunakan bateri) yang digemari ramai di Malaysia pada sekitar awal 1990-an. Permainan tersebut dengan nama asalnya Tetris telah lebih dulu popular kepada pengguna komputer di mana ia dimainkan melalui penggunaan cakera liut bersaiz 5.25 inci yang perlu dimasukkan ke dalam sistem komputer. Format permainan asal sebegitu mungkin hanya digemari oleh pengguna komputer yang mahir. Peminat permainan video di Malaysia pula lebih awal mengenali permainan Tetris pada hujung 1980-an melalui mesin permainan video bersaiz besar yang hanya terdapat di pusat permainan video, di mana setiap mesin perlu dimasukkan wang syiling 20 sen sebelum ia boleh digunakan. Apabila format permainan mudah alih Brick Game pula muncul di pasaran, ia berjaya mendapat perhatian ramai dalam waktu yang singkat. Peraturan permainannya yang sangat mudah untuk difahami dan dikawal menyebabkannya mendapat perhatian daripada semua golongan masyarakat, tidak kira orang tua atau muda. Permainan video mudah alih tersebut juga dijual dengan murah di merata tempat termasuk di pasar malam. Mendapat blok panjang yang mampu memadamkan 4 baris blok sekaligus merupakan suatu kepuasan ketika itu, apatah lagi apabila blok panjang muncul berturut-turut apabila anda begitu memerlukannya.


Foto: Tiga orang anggota kumpulan Search sedang asyik menaip mesej? Tidak! SMS belum wujud dan tiada telefon bimbit senipis itu pada 1992. Masa untuk Brick Game sementara menunggu konsert bermula.

Game over.

27 January 2009

Figurine Panini (1986)

Figurine Panini "merupakan pengeluar kad-kad bergambar yang terbesar di dunia", diasaskan di Amerika oleh syarikat Panini U.S.A. Inc dan diedarkan di Malaysia oleh Marketlink Malaysia Sdn Bhd. Pada asasnya kad-kad bergambar yang dimaksudkan ialah dalam bentuk pelekat (sticker) di mana pengumpul kad perlu membeli buku khas yang diterbitkan untuk melekatkan gambar-gambar tersebut, contohnya di sini seperti buku Thundercats dan The Transformers. Kad yang ingin dikumpul dijual berasingan dan boleh dibeli minimum sekeping tetapi tidak boleh memilih jenis gambar kerana ia berbungkus. Sekiranya pembeli mendapat kad yang serupa, dia boleh bertukar-tukar dengan kawan-kawan yang turut memiliki hobi yang sama.

Buku Thundercats yang dikeluarkan di Malaysia telah diterjemah ke dalam Bahasa Melayu, ia menceritakan sejarah dan perjuangan pasukan Thundercats dalam menentang penjahat. Di sepanjang cerita, terdapat ruang-ruang kosong untuk melekatkan gambar supaya pembaca mendapat gambaran yang lebih jelas. Buku ini juga menyertakan sebuah poster Lion-O menghunus pedang saktinya.

Buku The Tranformers pula tidak diterjemah dan masih mengekalkan Bahasa Inggeris. Untuk melengkapkan gambaran setiap robot Transformers, pengumpul kad perlu rajin membeli dan bertukar-tukar kad sehingga lengkap kesemuanya. Setiap buku mempunyai lebih 200 ruang untuk melekatkan gambar.

Selain dua buah buku tersebut, Figurine Panini juga terkenal dengan buku WWF - Threatened Animals yang memperkenalkan spesis haiwan terancam, dan juga buku Barbie untuk kanak-kanak perempuan menghabiskan zaman 1980-an mereka.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...