Showing posts with label banned. Show all posts
Showing posts with label banned. Show all posts

20 April 2014

Lagu Yasmin Yusuf diharamkan oleh RTM (1981)

15 Julai 1981
Miss Malaysia-Universe 1978, Yasmin Yusuf, ialah seorang penyanyi yang pernah mengeluarkan album pertama pada 1979. Yasmin berjaya mengeluarkan album keduanya yang berjudul Harapan pada 1981.

Album tersebut telah menimbulkan kontroversi melalui sebuah lagu yang berjudul "Goyang Goyang, Dansa Bersama", di mana lagu itu telah diharamkan oleh stesen penyiaran Radio & Televisyen Malaysia (RTM) kerana dikatakan "melanggar kesopanan dan tata kesusilaan masyarakat Melayu".

Pihak RTM menjelaskan, "Perkataan dalam lagu Goyang-Goyang itu mempunyai unsur-unsur yang kurang sopan didengar dan telah melanggar garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri. Oleh itu pihak RTM tidak teragak-agak mengambil langkah positif untuk mengharamkan lagu itu dari siaran melalui radio dan televisyen".

Namun begitu, lagu "Goyang Goyang, Dansa Bersama" diluluskan untuk siaran di Singapura. Lagu itu dicipta oleh Karim Iskandar dan senikatanya ditulis oleh A. Husaini Ajmain.

* Lagu "Goyang Goyang, Dansa Bersama" tidak dijumpai dalam internet & senikatanya tidak dapat disiarkan buat masa ini. Sekiranya sesiapa ingin berkongsi pautan lagu itu atau senikatanya, sila tinggalkan komen.

12 April 2014

Lagu Ada-Ada diharamkan di Singapura (1970)

Penyanyi & kumpulan pop yeh yeh dari Singapura, A. Romzi & The Hooks, pernah mengeluarkan sebuah album mini (4 lagu) yang menggunakan judul "A. Romzi & The Hooks" (EMI Records / EGEP 651). Salah sebuah lagu dalam album keluaran 1968 itu berjudul "Ada-Ada". Lagu tersebut agak popular tapi tidaklah setanding dengan lagu-lagu mereka yang lebih awal, iaitu Dendang Remaja & Zunika (1967), yang popular sehingga kini.

Setelah 2 tahun dikeluarkan, lagu "Ada-Ada" tiba-tiba saja menimbulkan kegemparan apabila ia diharamkan daripada siaran Radio Singapura pada 1970. Pengharaman siaran lagu "Ada-Ada" dilaporkan oleh akhbar sebagai kes pertama seumpamanya yang melibatkan lagu berbahasa Melayu. Pengharaman itu berpunca daripada pelancaran "Kempen Anti Nakotik (ganja)" oleh Kementerian Kebudayaan Singapura.

Senikata lagu "Ada-Ada" dikatakan "mengandongi unsor2 yang memuja ganja" (Berita Harian Singapura, 19 Mac 1970)

ADA-ADA
(pencipta lagu: T. Hashim / penulis senikata: A. Romzi)

Ku berjalan-jalan di taman bunga
Tapi tiada tujuan yang utama
Ku mencari barang yang tiada
Entah kan tersandung batu di sana

Kata kawan-kawan sungguh istimewa
Tapi tiada berkesan dan tiada juga ku rasa

Kini... ada-ada
Tapi... tak guna


  • Maksud senikata lagu "Ada-Ada" yang ringkas itu agak kabur dan tidak jelas langsung apa yang dikatakan sebagai "memuja ganja" yang menjadi penyebab kepada pengharamannya pada 1970.
  • Lagu "Ada-Ada" dalam video di atas kurang berkualiti dan kedengaran rosak pada beberapa bahagian. Untuk mendengar versi yang lebih baik, boleh dapatkan MP3 di muziknusantara.com

Nota tambahan:
Lagu-lagu luar negara yang turut diharamkan siarannya daripada Radio Singapura pada 1970 ialah: The Pusher (kumpulan Steppenwolf, 1968); Happiness Is A Warm Gun (kumpulan The Beatles, 1968); Puff, The Magic Dragon (trio Peter, Paul & Mary; 1963). Semua lagu itu dikatakan "memuja ganja" (Berita Harian Singapura, 5 Mac 1970)

28 September 2013

Album Celebriti Super Mengancam (1994)

Album Celebriti Super Mengancam (atau ringkasnya Album Celebriti) ialah sebuah majalah tidak berkala yang diterbitkan oleh Citra Juara Sdn Bhd pada 1994. Album Celebriti sebagaimana namanya jelas mengandungi koleksi gambar-gambar selebriti (atau lebih popular disebut artis) yang dikategorikan sebagai "Super Mengancam". Secara tipikalnya, artis yang menjadi tumpuan dalam majalah-majalah sebegitu hanyalah daripada golongan wanita sahaja, mungkin juga kerana ia telah terbukti akan lebih laris terjual?


"Mengancam" pada awal 1990-an ialah perkataan bahasa pasar yang telah berevolusi daripada maksud asalnya (iaitu mendatangkan bahaya) dan digunakan oleh remaja dan muda-mudi ketika itu bagi melabel sesuatu benda atau orang yang mempunyai sifat atau rupa fizikal yang begitu menarik perhatian. Dalam konteks dunia hiburan, "mengancam" biasanya digunakan untuk merujuk kepada artis wanita atau lelaki yang seksi, cantik atau pun kacak. "Super Mengancam" pula mungkin bermaksud berkali-kali ganda "mengancam" (atau pada masa kini boleh disebut "mengancam gila").

Kulit depan Album Celebriti menampilkan gambar pelakon Zarina Zainuddin dalam gaya yang seksi atau... mengancam! Zarina ialah fokus utama majalah tersebut yang nampaknya memang sengaja mengambil kesempatan di atas isu kontroversinya yang masih menjadi tumpuan ketika itu. Selain gambar-gambar, Album Celebriti menyiarkan artikel pendek berserta biodata mengenai artis yang ditampilkan. Antara artis lain yang ditampilkan dalam majalah tersebut ialah para pelakon baru ketika itu seperti Zara Ibrahim, Laila Nasir & Sharifah Edora.


Tidak lama selepas terbitnya Album Celebriti, Zarina Zainuddin telah tampil membuat kenyataan bahawa majalah tersebut diterbitkan tanpa kebenaran, di mana artikel yang kononnya memetik kata-katanya itu adalah rekaan pihak penerbit semata-mata tanpa pernah bertemu bual dengannya. Zarina juga menjelaskan bahawa gambar-gambar sensasi yang disiarkan itu bukanlah yang terbaru sebaliknya ia diambil pada sekitar 1990 untuk sebuah majalah hiburan lain, maka gambar-gambar itu bukan kepunyaan penerbit Album Celebriti, Citra Juara Sdn Bhd.

Zarina Zainuddin dalam temu bualnya bersama Harian Metro pada 8 Jun 1994 memberitahu bahawa dia mengenali pihak yang terlibat dalam menyebarkan gambar-gambar lama tersebut kepada penerbit Album Celebriti, dan dia akan mengambil tindakan undang-undang bagi menghalang mereka daripada terus mengaut untung secara salah. Turut dinyatakan bahawa Album Celebriti mengandungi hampir 150 keping gambar, dan artis-artis lain yang turut dieksploitasi termasuklah Jacinta Lee, Jasmin Hamid, Maria Farida & Wendy Wong.

Menurut laman web KDN Malaysia, majalah Album Celebriti Super Mengancam telah pun diharamkan pada 14 Julai 1994.


Nota mengancam:
"You ni mengancam la" - kata seorang peminat perempuan kepada Awie dalam salah satu adegan filem Pemburu Bayang (1993)

27 June 2013

RTM gam Elite (1999)

Pada Sabtu, 9 Oktober 1999, anggota kumpulan Elite, Watie (Norwati Sadali) yang berusia 23 tahun telah ditahan oleh pihak berkuasa di Jalan P. Ramlee, Kuala Lumpur pada sekitar pukul 3.40 pagi, atas 2 kesalahan trafik iaitu memandu kereta dalam keadaan mabuk dan memandu kereta tanpa lesen yang sah. Pada 12 Oktober 1999, Watie telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Kuala Lumpur di mana dia mengaku bersalah dan telah menerima hukuman denda sebanyak RM1800.

Pihak pengurusan kumpulan Elite iaitu KRU Records kemudiannya telah menggantung keahlian Watie selama 3 bulan berkuatkuasa mulai 24 Oktober 1999. Tidak cukup dengan hukuman-hukuman tersebut, pada 31 Oktober 1999, pihak akhbar melaporkan bahawa stesen penyiaran RTM pula mengambil tindakan susulan dengan mengharamkan (atau gam) penyiaran lagu-lagu kumpulan Elite melalui semua saluran radio & televisyen milik RTM. Walau bagaimanapun, tempoh pengharaman tersebut tidak dinyatakan.


Nota tambahan:
Watie Elite baru saja muncul sebagai pelakon tambahan dalam filem Pecah yang mula ditayangkan di pawagam sejak 13 Jun 2013.

27 March 2013

Chewing Gum diharamkan di Singapura (1992)

Pada 2 Januari 1992, pihak berkuasa Singapura mula mengharamkan 'chewing gum' (gula-gula getah) di negara tersebut. Pengharaman itu merangkumi perbuatan memakan 'chewing gum' dan juga proses menjual atau membeli 'makanan' tersebut. Pihak berkuasa menyifatkan 'chewing gum' sebagai perosak kemudahan awam, di mana sisa 'makanan' itu sering dibuang atau dilekatkan di merata-rata tempat misalnya pada kerusi di dalam keretapi atau bas, di dalam lif, di tempat pejalan kaki, serta di pelbagai tempat atau pada benda awam lain.

Menurut kajian sebelum itu, secara purata sebanyak 400 gumpalan sisa 'chewing gum' terpaksa dibersihkan daripada kerusi di dalam lebih kurang 60 buah tren MRT pada setiap malam, dan kerja-kerja tambahan itu telah melibatkan kenaikan kos penyelenggaraan. Banyak pihak bersetuju dengan pengharaman tersebut, tetapi ada juga pihak yang berpendapat bahawa sekatan secara langsung sebegitu tidak akan mendidik orang ramai untuk memperbaiki sikap buruk masing-masing.

Menjelang hari pengharaman 'chewing gum' pada awal 1992, para peniaga di Singapura telah berusaha untuk menghabiskan stok 'chewing gum' masing-masing dengan menjualnya pada harga yang murah.


Nota tambahan:
  • Pada 2002, 'chewing gum' yang telah di-preskripsi oleh doktor untuk tujuan perubatan mula dibenarkan penggunaannya di Singapura.
  • Pada 2004 pula, sejenis 'chewing gum' yang dikhususkan sebagai pengganti nikotin ("nicotine-replacement", "sugarless, medicinal gum") mula dijual secara terbuka di Singapura, di mana orang ramai boleh membelinya tanpa mendapat preskripsi oleh doktor terlebih dahulu.

Trivia:
Ini ialah entri yang ke-200.

24 March 2013

Kejohanan Gusti Wanita Dunia di Malaysia dibatalkan (1988)

Akhbar tempatan pada 1988 melaporkan bahawa Kejohanan Gusti Wanita Dunia bakal diadakan di Stadium Negara, Kuala Lumpur, pada 7 & 8 November tahun tersebut. Perlawanan gusti itu dirancang oleh Az Media Communications yang juga merupakan penyelaras penerbitan majalah Dunia Gusti. Seramai 12 orang penggusti wanita dari kelab-kelab gusti antarabangsa akan terlibat dalam perlawanan tersebut. Walau bagaimanapun, Kejohanan Gusti Wanita Dunia yang julung kali dianjurkan itu tidak berjaya diadakan apabila ia dibatalkan oleh pihak berkuasa Malaysia.

Menurut Az Media Communications - seperti yang disiarkan dalam majalah Dunia Gusti keluaran Disember 1988 - "Perlawanan tersebut terpaksa dibatalkan di saat-saat akhir kerana sebab-sebab teknikal yang sukar diterima akal pemikiran yang waras dan matang". Menurut syarikat itu lagi, "Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan dasar liberal tidak dapat menerima erti kenyataan tersebut, hanya berdasarkan kepada implikasi yang belum tentu diperkatakan atau disuarakan oleh mana-mana pihak yang kontra kepada pertunjukan tersebut".

F.L.A.I.R
5 Nov 1988
(Sabtu)
Akhbar New Straits Times pada November 1988 melaporkan bahawa kesemua 12 orang penggusti wanita itu hanya berjaya sampai ke Singapura tetapi tidak dibenarkan untuk memasuki Malaysia ("12 women wrestlers - entry still not approved"). Seorang lagi wartawan pula mempersoalkan rasional di sebalik pembatalan perlawanan tersebut sedangkan dalam masa yang sama stesen televisyen milik kerajaan iaitu RTM2 tidak menghadapi sebarang masalah dalam menyiarkan rancangan perlawanan gusti wanita yang berjudul F.L.A.I.R pada setiap minggu, yang sudah tentunya dapat ditonton oleh orang ramai tanpa halangan ("Women wrestling series on RTM2 contradicts government ban on the performers).

Nota tambahan:
  • Perlawanan gusti oleh para penggusti antarabangsa telah banyak kali diadakan di Malaysia, antara yang terawal ialah pada 13 Jun 1971 di Stadium Negara, Kuala Lumpur. Perlawanan tersebut membabitkan penggusti seperti 'Killer' Kowalski, 'Bulldog' Bob Brown, 'Tiger' Jeet Singh, Mr. Fuji, King Kurtis, Mark Lewin, Spiron Asrion dan Dino Lanza.
  • Antara penggusti wanita yang pernah ditampilkan dalam rancangan F.L.A.I.R pada 1988 ialah Devila, Miss Linda, Katie Kincaid, Athena, Blue Maxi, Viking Princess, Randy Rocket dan Sunset Rose.

18 February 2013

20/20 - lagu KRU yang diharamkan (1992)

20/20 ialah judul salah sebuah lagu yang terdapat dalam album pertama kumpulan rap KRU, Canggih, yang dikeluarkan pada 1992. Seperti yang diketahui umum, senikata lagu rap itu merujuk kepada Wawasan 2020 yang telah dicetuskan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, Dr. Mahathir Mohamad, pada 1991.

Dalam Buku Skrap Awas! KRU yang dikeluarkan pada 1994, tercatat bahawa 11 buah lagu daripada album Canggih telah diharamkan oleh Kementerian Penerangan Malaysia pada 1992, di mana lagu-lagu terbabit tidak boleh disiarkan oleh semua stesen penyiaran RTM. Salah sebuah lagu yang telah diharamkan ketika itu ialah 20/20.

Walau bagaimanapun, punca pengharaman lagu itu bukanlah kerana ada sesuatu yang tidak kena dengan Wawasan 2020, walaupun sememangnya tindakan itu dirasakan sedikit pelik, seolah-olah stesen penyiaran RTM sendiri menentang lagu yang menyokong Wawasan 2020. Namun begitu, punca sebenar pengharaman lagu 20/20 (dan banyak lagu lain daripada album KRU, Canggih) ialah kerana penggunaan 'bahasa rojak', di mana Bahasa Melayu & Inggeris telah dicampur-adukkan.

Merujuk kepada senikata lagu 20/20, didapati 'bahasa rojak'nya tidaklah terlalu banyak mana pun, hanya terdapat pada rangkap korus: "Bersatu kita maju, bersatu. Two zero, two zero". Begitulah tegasnya (walaupun dianggap keterlaluan) stesen penyiaran RTM dalam menapis dan mengharamkan lagu-lagu pada suatu ketika dahulu.

20/20
(pencipta lagu: Edry / penulis senikata: Norman)

Dr. M menyeru kita bersatu
Membangunkan Malaysia menjelang abad dua ribu
Mengatur langkah ku satu per satu
Fikirkan strategi berkesan untuk maju
Untuk mu Malaysia negara yang tercinta
Ku sematkan usaha untuk taburkan jasa
Kita mengejar masa, bukan masa yang kejar kita
Lipat ganda us'ha mu berjuang untuk Malaysia
Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh
Tanamkanlah prinsip begitu agar Malaysia kukuh
Biar pun apa 'kan terjadi
Ku tetap anak bangsa mu, Malaysia hanya untuk mu

(korus)
Bersatu kita maju, bersatu
Two zero, two zero
Bersatu kita maju, bersatu
(Two zero, two zero)

Tingkatkan produktiviti mu
Jauhi dari gejala yang merugikan mu
Marilah kita bangunkan negara
Ke tahap kemajuan yang boleh dibangga

Muda-mudi membina Malaysia
Marilah kita seia sekata
Kitalah harapan nusa dan bangsa
Melaksanakan tugas 'tuk generasi kita
Biar hujan, panas, di waktu kerja mu
Janganlah jadi alasan kerja mu terbeku
Semadikanlah semangat cekal mu
Bangunlah bangsa ku, bangunlah negara ku

Utamakanlah perpaduan negara
Bekerjasama tanpa mengira bangsa
Kerana kita semuanya anak Malaysia
Agar tercapai matlamat negara kita

Nota tambahan:
"2020 - 2,507 hari lagi"

20 December 2012

Novel-novel Yahya Samah (1983)

Yahya Samah ialah seorang penulis novel yang terkenal pada 1980-an. Dalam tahun 1983, empat buah novel tulisannya telah diterbitkan oleh Penerbitan Pena Sdn Bhd. Novel-novel tersebut berjudul Kelkatu, Sofia, Anak Muda Karam Di Pantai & Pecah Berderai. Setiap satu daripada novel tersebut cuma berharga di antara $2.50 hingga $4.50.


Menariknya, Yahya Samah bukan terkenal melalui penulisannya yang berstatus tinggi, tetapi kebanyakan novel Yahya Samah ketika itu menjadi perhatian kerana ia dikatakan mengandungi unsur lucah atau lebih baik lagi jika ia dikatakan sebagai bahan bacaan dewasa.

Iklan 4 buah novel Yahya Samah terbitan 1983 tersebut telah mempergunakan nilai sensasi "Yahya Samah" bagi mempromosikan novel-novel tulisannya. Iklan itu memperkenalkan penulisan Yahya Samah sebagai "panas dan mendebarkan". Yahya Samah dikatakan "terkenal dengan novel-novel yang dianggap lucah"

Iklan itu turut menyenaraikan novel lama Dahaga & Perahu Kecil Belayar Malam sebagai antara novel terlaris pernah ditulis oleh Yahya Samah. Manakala 4 buah novel terbaru yang diiklankan itu dikatakan mengandungi "kisah yang lebih panas!"


Walau bagaimanapun, Yahya Samah tidaklah menumpukan penulisannya terhadap bahan bacaan dewasa samata-mata. Sebagai penulis terkenal, beliau juga menulis bahan bacaan umum, misalnya novel Jatuh Ke Laut yang juga terbit pada 1983 telah dipromosikan sebagai "novel kanak-kanak"

Nota kemas kini (12 Jan 2013):
  1. Novel berjudul Sofia tulisan Yahya Samah yang diterbitkan oleh Penerbitan Pena Sdn Bhd telah diharamkan pada 6 Disember 1984 (maklumat daripada laman web KDN)
  2. Versi asal (dengan ejaan lama) novel berjudul Sofia tulisan Yahya Samah pernah diterbitkan oleh Pustaka Titiwangsa pada 1967 (tidak dapat diarkibkan kerana di luar daripada skop ANX, iaitu tahun 1970 ke atas)

06 December 2011

Lagu-lagu yang diharamkan oleh RTM (1989)

Pada 1980-an, stesen penyiaran Radio & Televisyen Malaysia (RTM) terkenal dengan ketegasannya dalam menghalang penyiaran lagu-lagu atas pelbagai sebab. Lagu-lagu yang tidak diluluskan atau diharamkan penyiarannya oleh RTM ketika itu biasanya dirujuk oleh orang ramai dan wartawan hiburan sebagai 'kena gam'. RTM tidak hanya mengharamkan sesebuah lagu untuk mengawal penyebaran kandungan yang tidak elok misalnya lirik yang kurang sopan atau lucah, tetapi lebih 'menarik' sekali apabila RTM juga bertindak mengharamkan lagu-lagu yang disifatkan oleh mereka sebagai sumbang (tidak sedap didengar). Dalam erti kata lain, ketika itu RTM menganggap diri mereka seolah-olah pakar dalam penilaian teknik nyanyian dan permainan muzik, maka mana-mana lagu yang tidak mencapai mutu rakaman yang ditetapkan oleh mereka tidak akan disiarkan. Terdapat juga sebab-sebab lain yang tidak berkaitan dengan lagu atau muzik yang boleh menyebabkan sesebuah lagu itu diharamkan, misalnya penyanyi lagu tersebut ialah lelaki berambut panjang, maka lagu tersebut akan kena gam.

Sepanjang tempoh keaktifan RTM dalam mengharamkan lagu-lagu iaitu sehingga tahun-tahun awal 1990-an, banyak lagi sebab yang diwujudkan apabila perlu bagi mengharamkan sesebuah lagu. Ketika muzik rap dan hip hop mula berkembang dengan lahirnya artis seperti KRU, lagu-lagu dwibahasa (Melayu-Inggeris) dan yang menggunakan bahasa pasar (seperti "sempoi", "gua/lu") turut diharamkan. Kemunculan lebih banyak stesen penyiaran (terutamanya radio) swasta pada pertengahan 1990-an yang tidak menghalang penyiaran lagu-lagu sedemikian telah perlahan-lahan menyebabkan usaha pengharaman lagu oleh RTM menjadi kurang berkesan kerana pendengar boleh mendengar lagu tersebut melalui stesen swasta.

Sebuah laporan eksklusif pada 22 April 1989 menyatakan bahawa RTM telah mengharamkan "sebanyak 71 buah lagu dari 20 buah album tempatan" hanya dalam tempoh 3 bulan pertama tahun itu. Dinyatakan bahawa sebab pengharaman lagu-lagu itu ialah:

"Kerana nyanyian" - 48 lagu
"Kerana masalah teknikal iaitu vow" - 8 lagu
"Kerana lagu saduran" - 8 lagu
"Kerana senikata" - 1 lagu
"Kerana ciptaan dan gubahan yang tiada keaslian" - 6 lagu

Tajuk lagu-lagu yang diharamkan oleh RTM:

1. Ababil (nyanyian Ababil) - kerana nyanyian
2. Halu Haloba (Ababil) - kerana nyanyian
3. Umpama Mimpi (Ababil) - kerana nyanyian
4. Warna Cinta (Ababil) - kerana nyanyian
5. Ringgit (Ababil) - kerana nyanyian
6. Rindu (Ababil) - kerana nyanyian
7. Badai Cinta (Ababil) - kerana nyanyian
8. Mawar Jingga (Ababil) - kerana "vow"
9. Hidup Topengan (Ababil) - kerana "vow"

Nota: Dengan pengharaman 9 buah lagu daripada album pertama kumpulan rock Ababil (gambar mereka disiarkan sedang tersenyum, pastinya sebelum mengetahui tentang pengharaman lagu-lagu mereka) menjadikan mereka artis paling banyak lagu diharamkan dalam senarai yang dikeluarkan itu. Satu-satunya lagu Ababil yang diluluskan untuk siaran berjudul Cinta Belum Berakhir.

10. Sisa Cinta (nyanyian Viking) - kerana nyanyian
11. Jeritan Irama (Viking) - kerana nyanyian
12. Teruskan Perjuangan (Viking) - kerana nyanyian
13. Pastikan Kebebasan (Viking) - kerana nyanyian
14. Damai dan Darah (Viking) - kerana nyanyian
15. Viking (Dalam Pelayaran) (Viking) - kerana nyanyian

16. Pancaran Laser (nyanyian Laser Ray / album Pancakara Di Cakerawala) - kerana nyanyian
17. Selembut Sutera (Steeler / Pancakara Di Cakerawala) - kerana nyanyian
18. Ilusi Fenomena Cinta (Hydra / Pancakara Di Cakerawala) - kerana nyanyian
19. Dunia atau Neraka (Saxo / Pancakara Di Cakerawala) - kerana nyanyian
20. Salam Rindu (Rhythm Machine / Pancakara Di Cakerawala) - kerana nyanyian
21. Angkara Manusia (A.S.K / Pancakara Di Cakerawala) - kerana nyanyian

22. Jangan Kau Pergi (nyanyian Manimala) - kerana nyanyian
23. Selalu Di Hatimu (Manimala) - kerana saduran
24. Kau Yang Bergaya (Manimala) - kerana saduran
25. Bahagialah Bersama (Manimala) - kerana saduran
26. Beginikah Berakhirnya (Manimala) - kerana saduran
27. Seruling Bamboo (Manimala) - kerana saduran
28. Mandi Mandu (Manimala) - kerana saduran

29. Cik Cik Boom (nyanyian Melissa Saila) - kerana nyanyian & saduran
30. Tarian Kota (Melissa Saila) - kerana saduran
31. Irama Rinduku (Melissa Saila) - kerana ciptaan/gubahan
32. Pesan Untuk Teman (Melissa Saila) - kerana ciptaan/gubahan
33. Kerana Dia Aku Rela (Melissa Saila) - kerana ciptaan/gubahan
34. Harapan Gemilang (Melissa Saila) - kerana ciptaan/gubahan

35. Sengketa Damai (nyanyian Jefriddin & Norzie / album Jasamu Di Kenang Volume 2) - kerana nyanyian
36. Gurindam Jiwa (Jefriddin & Norzie / Jasamu Di Kenang Volume 2) - kerana nyanyian
37. Ikan Di Laut Asam Di Darat (Jefriddin & Norzie / Jasamu Di Kenang Volume 2) - kerana nyanyian
38. Terbuku Di Kalbu (L. Ramlie & Norzie / Jasamu Di Kenang Volume 2) - kerana nyanyian
39. Joget Malaysia (L. Ramlie & Norzie / Jasamu Di Kenang Volume 2) - kerana nyanyian
40. Gelora (L. Ramlie & Norzie / Jasamu Di Kenang Volume 2) - kerana nyanyian

41. Nyanyian Rindu (nyanyian Azman) - kerana nyanyian
42. Pesta Hari Jadi (Azman) - kerana nyanyian
43. Sentuhanmu (Azman) - kerana "vow"

44. Ingatlah (nyanyian Lovehunters) - kerana nyanyian
45. Hidup Sederhana (Lovehunters) - kerana nyanyian
46. Realiti (Lovehunters) - kerana nyanyian
47. Halusinasi (Lovehunters) - kerana nyanyian

48. Namamu Di Hatiku (nyanyian Moses Vadham) - kerana nyanyian
49. Perjalanan Cinta (Moses Vadham) - kerana nyanyian
50. Mencari Cinta Yang Hilang (Moses Vadham) - kerana nyanyian

51. Pelita Kasih (nyanyian Mathias Gomez) - kerana nyanyian
52. Rintik Hujan (Mathias Gomez) - kerana nyanyian
53. Kerasukan (Mathias Gomez) - kerana nyanyian

54. Katakanlah (nyanyian Roy) - kerana nyanyian
55. Sepanjang Perjalanan (Roy) - kerana nyanyian

56. Keredaan (nyanyian Shima & The Boys) - kerana nyanyian
57. Kelkatu Gugur Sayapnya (Shima & The Boys) - kerana nyanyian

58. Tragedi (nyanyian Helter Skelter) - kerana nyanyian
59. Digigit Bebayang Silam (Helter Skelter) - kerana nyanyian

60. Permata Budi (nyanyian Ibnor Riza) - kerana nyanyian
61. Damaikan Resahku (Ibnor Riza) - kerana nyanyian

62. Tugu Cinta (instrumental / album Juara Lagu '88) - kerana "vow"
63. Kau Kunci Cintaku (Dalam Hatimu) (instrumental / Juara Lagu '88) - kerana "vow"

64. Renungan (nyanyian Point Blank) - kerana nyanyian/vow
65. Perisai Cinta (Point Blank) - kerana nyanyian/vow

66. Hero (nyanyian Sharm) - kerana nyanyian/vow
67. Sepi Tak Bertemu (Sharm) - kerana nyanyian/vow

68. Hamba Yang Tak Tahu (nyanyian A. Ramlie) - kerana saduran

69. Cintaku Cintamu (nyanyian Zamree) - kerana nyanyian

70. Tanjung Puteri (nyanyian Loving Born) - kerana senikata

Jumlah lebih 70 buah lagu (tempatan sahaja) yang diharamkan oleh RTM hanya dalam tempoh 3 bulan pertama 1989 mungkin boleh dianggap sedikit dalam zaman tersebut di mana berpuluh-puluh buah album baru dikeluarkan dalam sebulan. Tetapi mengambil kira tempoh keseluruhan zaman di mana RTM aktif mengharamkan lagu, tidak keterlaluan untuk mengandaikan bahawa jumlah keseluruhan lagu-lagu yang pernah diharamkan oleh RTM telah mencecah angka beribu-ribu lemon. Dalam tahun 1989 sahaja sudah pasti beratus-ratus lagu menjadi mangsa sekatan RTM dalam usaha 'murni' mereka untuk memastikan rakyat Malaysia khususnya pendengar siaran radio dan televisyen RTM mendapat hiburan yang bermutu dan tidak sumbang.

Nota tambahan:
  • Adakah lagu-lagu yang diharamkan dulu masih diharamkan kini? Tidak lagi, kebanyakannya telah boleh disiarkan tanpa sekatan. Contohnya lagu pertama dalam senarai di atas yang berjudul Ababil telah banyak kali disiarkan oleh stesen radio Muzik FM.
  • Antara cara perlaksanaan sekatan: Lagu-lagu yang diharamkan akan ditandakan secara manual pada kulit album sebagai panduan kepada juruhebah radio untuk tidak menyiarkannya. Di bawah ialah contoh kulit cakera padat untuk juruhebah radio RTM pada 1993.


28 August 2011

Pemain bolasepak Abbas Saad (1995 & 2011)

Abbas Saad ialah pemain bolasepak yang diimport oleh Singapura dan biasa bertanding dalam perlawanan bolasepak Piala Malaysia pada awal 1990-an. Abbas berasal dari Australia, dan kehebatannya bermain bolasepak di bahagian serangan menjadikannya popular dan digelar bintang bolasepak, setanding dengan rakan sepasukan, Fandi Ahmad. Pada 1994, Abbas membantu pasukan Singapura memenangi Piala Malaysia dengan menjaringkan 3 gol, dan melayakkannya dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan akhir. Abbas menjadi wira (buat seketika) setelah berjaya menamatkan penantian 14 tahun Singapura untuk memenangi kembali piala tersebut.

Tahun 1995 menjadi titik hitam dalam kerjaya Abbas Saad apabila dia didapati bersalah dalam mengatur atau merancang keputusan beberapa perlawanan Piala Malaysia yang disertainya pada 1994. Pada Jun 1995, Abbas telah didenda sebanyak $50,000 dan diharamkan daripada bermain bolasepak secara profesional buat selama-lamanya. Kesalahan besar yang dilakukan oleh Abbas tidak melunturkan semangat ratusan peminatnya yang datang mengucapkan selamat tinggal kepada Abbas di lapangan terbang sebelum dia pulang ke negara asalnya tidak lama kemudian.

Abbas Saad tiba-tiba muncul semula pada awal 2011 dalam sebuah iklan yang mempromosikan sebuah restoran di Kuala Lumpur. Dengan lengkap berjersi, makanan di tangan kiri dan bolasepak di kaki kanan, Abbas diperkenalkan sebagai Former International Footballer & Malaysia Cup Legend. Kata Abbas, "I have always liked to eat a good Chawarma in between goals. Al-Amar Express serves the best Chawarma in town". Tanda tangan, Abbas Saad.

Nota tambahan:
Penggunaan tandatangan selebriti pada iklan produk yang mereka tampil telah diamalkan sejak sekian lama. Adakah ia sekadar hiasan, atau untuk menambah lebih keyakinan kepada bakal pembeli, atau sememangnya suatu formula pemasaran yang terbukti berkesan dalam melariskan produk?

02 July 2011

Singapura haramkan majalah Cosmopolitan (1982)

Cosmopolitan ialah sebuah majalah bulanan untuk pembaca wanita yang asalnya diterbitkan di Amerika Syarikat dan diedarkan ke banyak negara lain termasuk Singapura. Pada 1982, Kementerian Kebudayaan Singapura mula mengharamkan penjualan majalah Cosmopolitan setelah mendapati beberapa artikel yang terkandung di dalamnya mengandungi unsur seksual yang dianggap bertentangan dengan nilai dan budaya tempatan. Sebelum pengharaman itu, Cosmopolitan berjaya diedarkan sebanyak 3 keluaran di Singapura. Hanya setelah 22 tahun kemudian iaitu pada 2004, barulah pihak berkuasa Singapura membenarkan semula penjualan majalah Cosmopolitan, tetapi dengan beberapa syarat iaitu setiap majalah perlu dibungkus dengan plastik dan perlu meletakkan label bagi menjelaskan yang isi kandungannya tidak sesuai untuk bacaan remaja dan kanak-kanak. Majalah Cosmopolitan juga diterbitkan di Malaysia tetapi dalam edisi berbeza.

Nota tambahan:
Majalah bulanan Playboy khusus untuk pembaca lelaki mula diterbitkan di Amerika Syarikat pada 1950-an dan pernah dijual di Singapura dalam dekad tersebut dengan harga $2.10 senaskah. Mulai 1 Januari 1960, pihak berkuasa Singapura mula mengharamkan penjualan majalah Playboy yang banyak memaparkan gambar bogel wanita. Pengharaman tersebut adalah sebahagian daripada kempen kerajaan Singapura untuk membanteras budaya kuning. Akhbar tempatan melaporkan, "It was a sad moment for some, but the bunnies had to leave Singapore"

20 June 2011

Majalah Gedung Kartun (2009)

Majalah Gedung Kartun keluaran pertama telah dikeluarkan pada 1 September 2009. "Majalah Jenaka Alternatif" setebal 68 muka surat ini telah diterbitkan oleh Sepakat Efektif Sdn Bhd dan dijual dengan harga RM4.00 senaskah. Pandangan awal berdasarkan nama majalah Gedung Kartun ini, ia boleh dikatakan hanyalah sebuah lagi majalah kartun tempatan yang biasa, tetapi apabila dilihat pada kartun utama di muka hadapannya, jelas sekali majalah ini mempunyai isi kandungan yang sangat jauh berbeza daripada majalah-majalah kartun yang pernah diterbitkan di Malaysia sebelum itu.

Muka hadapan Gedung Kartun Vol: 01 memaparkan karikatur Perdana Menteri (PM) Malaysia yang sedang mengibarkan sebuah bendera sambil melaungkan "Merdeka". Watak kanak-kanak bernama Dol Kerepek diperlihatkan menegur "Tuan" PM mengenai kesalahan beliau dalam memilih bendera untuk dikibarkan. Hanya melalui kartun utama itu dapat disimpulkan mengenai keberanian penerbit dalam menghasilkan majalah kartun "alternatif" ini. Adakah masyarakat umum dan pembaca di Malaysia semakin terbuka dan dapat menerima kritikan atau sindiran dalam bentuk kartun sebegitu? Mungkin ya dan mungkin tidak, bergantung sepenuhnya kepada siapa yang disindir dan pihak mana yang pembaca tersebut sebelahi. Adakah pihak yang disindir boleh berdiam diri dan menerima sindiran sebegitu? Mungkin ya dan mungkin tidak, bergantung kepada seserius manakah sindiran itu dan sebesar manakah kuasa yang mereka ada untuk bertindak balas.

Majalah Gedung Kartun dikelola oleh kartunis Zunar sebagai Ketua Editor dan juga pengkarya. Kartunis lain yang terlibat ialah seperti Jonos (turut melukis muka hadapan), Ronasina, Cabai dan lain-lain. Turut serta menyumbangkan karya ialah Pyanhabib dan A. Samad Said. Isi kandungan majalah ini keseluruhannya menyentuh mengenai dunia politik serta isu sosial dan semasa tempatan. Menurut tulisan prakata oleh Zunar, majalah ini "menawarkan kandungan dengan mesej berat yang disampaikan dalam bentuk santai", "tidak hanya bersifat lucu tetapi ia juga menyadur mesej yang mengkritik, mengulas, mengolah, memberi informasi dan kesedaran tentang isu-isu yang semasa". Dalam ruangan penafian pula tertulis: "Tulisan atau lukisan yang disiarkan tidak bertujuan untuk memburukkan sesiapa atau cuba melahirkan apa-apa provokasi tapi hanyalah satu idea atau pandangan dari setiap mata kaca pelukis/penulis itu sendiri"

Antara tajuk-tajuk kartun/tulisan yang disiarkan dalam Gedung Kartun ialah Perampok Merdeka, Ragam Datuk Nazak, Negaraku, Nostalgia 98, DemoKERASi, 2 Tun, Peludah Bahasa, Selangor Tanah Airku dan lain-lain. Karya-karya yang disiarkan sememangnya menarik dan sesungguhnya suatu alternatif kepada penggemar kartun yang sebelum itu hanya dihidangkan dengan lambakan kartun komedi biasa tanpa isi kandungan yang serius. Namun begitu pembaca yang kurang mengikuti perkembangan semasa di Malaysia mungkin agak sukar untuk memahami beberapa karya terutamanya yang 'terlalu ringkas tanpa penjelasan lanjut' yang dipaparkan (apa lagi kalau majalah ini dibaca semula oleh generasi akan datang). Gaya lukisan (termasuk sedikit muka surat berwarna) juga agak menarik terutamanya yang melibatkan seni karikatur.

Walau bagaimanapun, tema utama majalah Gedung Kartun yang jelas memihak kepada pihak 'pembangkang' pastinya sukar untuk diterima oleh sebahagian besar masyarakat umum, dan adalah tidak mengejutkan apabila majalah ini akhirnya telah diharamkan oleh pihak 'kerajaan' hanya selepas satu keluaran sahaja. Tentu menarik sekiranya majalah ini dapat terus diterbitkan dan pada masa yang sama mungkin para penerbit lain dapat menerbitkan pelbagai lagi majalah kartun sealiran yang memihak kepada beberapa golongan yang berbeza. Pastinya semua orang akan berpeluang mendapat bahan bacaan yang diinginkan mengikut citarasa masing-masing. Tapi apa kan daya, tahap keterbukaan dalam berkarya dan kebebasan untuk menyampaikan pendapat masih lagi disekat buat masa sekarang.

07 May 2011

Majalah Al Mukminah (1986)

Majalah Al Mukminah adalah salah satu daripada pelbagai bahan penerbitan yang pernah diterbitkan oleh Bahagian Penerangan pergerakan Al Arqam yang diasaskan pada 1968. Menjelang pertengahan 1980-an, Al Arqam yang memperjuangkan dakwah Islam telah berjaya mempunyai beribu-ribu ahli dan pengikut setia.

Majalah bulanan Al Mukminah mula diterbitkan pada Februari 1986 dan dipasarkan secara jualan langsung dengan harga $1.00. Kebiasaannya penjual majalah itu yang terdiri daripada ahli Al Arqam sendiri akan kelihatan berlegar di tempat tumpuan umum seperti stesen bas misalnya bagi memasarkan pelbagai bahan penerbitan Al Arqam.

Seperti mana slogannya iaitu "Penyuluh Peranan Wanita Islam Sebenar", majalah Al Mukminah disasarkan kepada golongan pembaca wanita. Ketua Pengarang majalah Al Mukminah ialah Ustazah Khadijah Aam, dan majalah itu kebiasaannya memaparkan lukisan atau ilustrasi pada kulit hadapannya. Berdasarkan keluaran ke-9 (Oktober 1986) seperti dalam gambar di atas, antara isi kandungan yang disiarkan dalam majalah yang hanya setebal 28 muka surat itu ialah seperti ruangan rencana, temubual, surat dari kampus, novel bersiri, soal jawab, mari berzikir dan berdoa, mari bertutur bahasa syurga, sajak, cerpen dan sebagainya. Kulit belakang keluaran tersebut dihiasi dengan sajak nukilan Ustaz Ashaari Muhammad, pengasas Al Arqam.

Pergerakan Al Arqam akhirnya telah diharamkan oleh kerajaan Malaysia pada 1994 setelah ia dianggap menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar.

Ustaz Ashaari meninggal dunia pada 2010.

***





Sebahagian daripada gambar hiasan dalam majalah wanita Al Mukminah yang menggambarkan suasana pergerakan Al Arqam pada 1980-an.

28 April 2011

Konsert Kitaro di Singapura (1995)

Peminat hiburan di Malaysia pastinya mengingati larangan berambut panjang terhadap artis lelaki yang dikenakan oleh Kementerian Penerangan yang diterajui oleh Tok Mat sekitar tahun 1987 hingga 1999. Namun mungkin ramai yang tidak tahu bahawa kerajaan Singapura sebenarnya telah lebih awal lagi memperkenalkan peraturan sebegitu. Selepas berlangsungnya festival muzik rock terbesar, Woodstock pada 1969 di Amerika, Singapura mula melarang kemasukan pelancong lelaki berambut panjang atas alasan untuk menyekat kemasukan pengaruh hipi. Malah pada 1970 terjadi suatu kes melibatkan 3 orang lelaki rakyat Malaysia yang rambut panjang mereka telah dipotong oleh polis Singapura!

Pada 1984, pemuzik instrumental terkenal Jepun iaitu Kitaro yang berimej rambut panjang telah hadir untuk mengadakan konsert di Singapura. Malangnya beliau tidak dibenarkan memasuki Singapura oleh para pegawai di Lapangan Terbang Changi kecuali beliau akur untuk memotong rambutnya di situ dan pada ketika itu. Kitaro tidak memotong rambutnya, konsertnya dibatalkan serta merta, dan beliau pulang ke Jepun dengan penerbangan seterusnya. Hanya pada hujung 1980-an Singapura melonggarkan peraturan tersebut, contohnya sebuah kumpulan heavy metal (tentunya berambut panjang), Loudness (juga dari Jepun) berjaya membuat konsert di Singapura pada 1989. Manakala di Malaysia pada ketika itulah larangan terhadap artis lelaki berambut panjang mula diperketatkan oleh Tok Mat.

Selepas 11 tahun berlalu, cubaan kedua Kitaro untuk mengadakan konsert di Singapura akhirnya berjaya pada 1995.

23 March 2011

Filem Melayu klasik diharamkan (2003)

Pada 12 April 2003, dilaporkan bahawa pihak Lembaga Penapisan Filem Malaysia telah mengharamkan 4 buah filem Melayu klasik iaitu filem Anak Buluh Betung (1966), Gergasi (1958), Sumpah Wanita (1960) dan Semusim Di Neraka (1971). Punca pengharaman itu dikatakan kerana kandungan filem-filem itu yang menyimpang daripada ajaran agama. Secara kebetulan keempat-empat filem itu melibatkan lakonan Aziz Jaafar (meninggal dunia pada 2005). Walau bagaimanapun kesemua filem itu sempat diedarkan dalam format VCD.



Trivia:
Ini ialah entri yang ke-100.

07 February 2011

Pakaian seksi Wann yang menggemparkan (1991)

Wann muncul dengan album pertamanya pada 1988 ketika dia berusia 18 tahun. Kebanyakan penyanyi wanita ketika itu boleh dikatakan mempunyai identiti suara yang tersendiri, begitu juga dengan Wann. Dalam tahun 1990, Wann sudah pun mempunyai 4 buah album dengan banyak lagu popular. Dia juga semakin dikenali ramai dengan imej seksi atau lebih tepat lagi suka berpakaian yang mendedahkan bentuk tubuh badan.

Pada 3 Ogos 1991, Wann yang hampir berusia 21 tahun ketika itu dengan beraninya telah berpakaian mendedahkan dada dalam satu persembahan makan malam yang dianjurkan oleh Pergerakan Pemuda Dan Wanita UMNO cawangan Pasir Salak, Perak. Wartawan hiburan telah memberi publisiti yang hebat dengan menulis, "Orang Perak gempar pasal cerita Wann pakai baju maxi hijau yang seksi hingga terjojol paras dadanya yang mengghairahkan sewaktu menyanyi di majlis makan malam Semalam Di Pasir Salak di Majlis Bandaran Teluk Intan".

Antara penonton yang "terperanjat dan kesal" dengan penampilan Wann malam itu ialah "kira-kira seribu pemimpin UMNO termasuk tokoh wanita dari 104 cawangan UMNO bahagian Pasir Salak", tetapi mungkin juga ramai di antara penonton tersebut terutamanya lelaki yang hanya terperanjat tetapi tidak kesal, malah mungkin juga merasa bertuah seperti pengirim gambar ini iaitu saudara Abu Bakar Al-Sidek yang sempat mengambil gambar Wann di majlis tersebut yang tentunya tidak dihadiri oleh jurugambar hiburan.

Wann sempat menyanyikan 3 lagu (daripada 8 lagu yang dijanjikan) sebelum diarahkan turun daripada pentas akibat bantahan daripada segolongan penonton yang "terperanjat dan kesal". Majlis seterusnya berlangsung dengan aman apabila Dato' M. Daud Kilau mengambil alih pentas persembahan, malah tiada sesiapa pun yang terperanjat dengan penampilan beliau.

26 January 2011

Soundtrack Panggilan Pulau (1994)

Pada tahun 1994, filem Panggilan Pulau (asalnya lakonan P. Ramlee dan Normadiah pada 1954) telah dibikin semula oleh pengarah dan pelakon Ahmad Fauzee. Pembikinan semula filem tersebut adalah atas dasar minat Ahmad Fauzee yang begitu mendalam kepada filem klasik terutamanya yang dilakonkan oleh P. Ramlee. Malah Ahmad Fauzee mendaftarkan nama syarikat penerbitan filemnya sebagai Studio Jalan Ampas Sdn Bhd!

Untuk melengkapkan filem Panggilan Pulau versi baru itu, sebuah album petikan lagu-lagu dari filem (soundtrack) telah diterbitkan oleh syarikat rakaman Musicland. Apabila album tersebut berada di pasaran, ia telah mengejutkan banyak pihak yang merasakan bahawa gambar kulit depan album tersebut agak erotik atau memberahikan. Gambar yang dimaksudkan itu menunjukkan Ahmad Fauzee hampir mencium leher Sharmaine Farouk yang kepalanya berkeadaan terlentok sambil matanya terpejam. Sememangnya ia suatu rekaan kulit album yang mampu menarik perhatian ramai, walaupun agak kurang jelas tentang apa yang sebenarnya ingin disampaikan oleh gambar tersebut mengenai isi kandungan album dan filem itu.

Kontroversi tersebut telah menyebabkan pihak syarikat rakaman menarik balik jualan album itu lalu menggantikan kulit album asal itu dengan kulit album rekaan terbaru yang memaparkan gambar-gambar pelakon filem versi lama dan baru. Selain itu, tempoh tayangan filem Panggilan Pulau versi baru itu yang bermula pada 29 September 1994 turut menimbulkan tanda tanya kepada orang ramai, kerana tayangannya dihentikan secara tiba-tiba hanya selepas beberapa hari tayangan tanpa diberi sebarang penjelasan. Ada pihak menimbulkan spekulasi bahawa pembikinan semula filem itu tidak mendapat kebenaran daripada pemegang hakcipta asalnya iaitu syarikat Shaw Brothers Ltd hingga memaksa tayangannya dihentikan supaya tidak disaman. Walau bagaimanapun, spekulasi tersebut lenyap begitu sahaja tanpa jawapan yang pasti.

Pada awal 2000-an, syarikat Cipta Video Sdn Bhd telah menerbitkan VCD filem Panggilan Pulau versi 1994. Apa yang agak mengejutkan peminat filem tempatan ialah apabila kulit depan VCD tersebut menggunakan gambar asal kulit album soundtrack yang pernah mencetuskan kontroversi dahulu. Apa yang lebih menarik perhatian mengenai kulit VCD itu ialah bagaimana pereka bentuknya telah mengubahsuai gambar asal tersebut dengan menjauhkan jarak kedudukan kepala Ahmad Fauzee dengan leher Sharmaine Farouk, dan kemudiannya menambah efek seolah-olah gambar tersebut terkoyak. Kulit VCD itu tidak mencetuskan kontroversi. Sama ada masyarakat 2000-an sudah lebih berfikiran terbuka, atau pengubahsuaian gambar itu berjaya mengejek tindakan pengharamannya pada 1994.

Sesiapa yang belum menonton filem Panggilan Pulau versi 1994 mungkin tertanya-tanya benarkah terdapatnya adegan cium leher yang mencetuskan kontroversi itu? Jawapannya: tiada. Ahmad Fauzee tidak mencium leher Sharmaine Farouk, dia cuma mencium bibirnya sahaja!


Kulit album soundtrack rekaan baru (kiri) dan Kulit VCD (kanan)


Adegan daripada filem

05 January 2011

Konsert Michael Jackson (1996)

Konsert Michael Jackson HIStory World Tour '96 pada mulanya dijadualkan akan berlangsung pada hari Ahad 27 Oktober 1996 di Stadium Shah Alam, Selangor. Iklan mengenai penganjuran konsert serta penjualan tiket telah berjalan 3 minggu lebih awal. Walau bagaimanapun, lebih kurang 2 minggu sebelum konsert berlangsung, pihak kerajaan negeri Selangor telah bertindak membatalkan konsert tersebut dengan menarik balik permit persembahan. Dalam erti kata lain, Selangor mengharamkan konsert Michael Jackson.

Penganjuran konsert artis luar negara di Stadium Shah Alam bukanlah sesuatu yang asing kerana setahun sebelum itu kumpulan rock Bon Jovi pernah membuat persembahan di situ. Menteri Besar Selangor ketika itu, Muhammad Muhd Taib memberitahu Harian Metro bahawa konsert Michael Jackson "bertentangan dengan nilai masyarakat tempatan". Beliau juga berkata "hanya penyanyi atau artis yang menjadi role model yang baik dibenarkan mengadakan persembahan di Stadium Shah Alam", contohnya seperti "Sheila Majid". Tetapi hakikatnya konsert "role model yang baik" Sheila Majid juga sebenarnya pernah dibantah oleh para mahasiswa pada 1989. Sesiapa sahaja yang mengikuti perkembangan pembatalan atau pembantahan konsert di Malaysia akan serta merta mengerti bahawa tujuan utama tindakan sebegitu selalunya adalah semata-mata untuk mengangkat imej pertubuhan politik tertentu supaya dilihat sebagai pengawal moral yang baik kepada masyarakat umum.

Konsert Michael Jackson dianjurkan oleh Jojo Entertainment dan ditaja oleh Mutiara Telecom. Tiket dijual di antara harga RM65 hinggalah RM350, dan dijangkakan lebih 60,000 penonton akan hadir ke lokasi asal di Stadium Shah Alam. Oleh kerana lokasi asal tidak dapat digunakan dan tiket juga telah terjual serta persiapan telah dilakukan, maka pihak penganjur terpaksa memindahkan lokasi konsert ke Stadium Merdeka, Kuala Lumpur yang hanya mampu memuatkan seramai 40,000 penonton. Memandangkan jumlah jangkaan penonton yang pastinya akan melebihi kapasiti Stadium Merdeka, maka konsert Michael Jackson telah ditambah sehari lagi, iaitu pada 29 Oktober 1996, hari Selasa!

Berikut adalah beberapa perkara menarik mengenai kunjungan Raja Pop, Michael Jackson selama 5 hari ke Malaysia pada 26 Oktober hingga 30 Oktober 1996 mengikut kronologi:
  • Demonstrasi membantah kehadiran Michael telah diadakan pada hari Jumaat, 25 Oktober 1996 berhampiran Masjid Negara, Kuala Lumpur.
  • Michael tiba dari Singapura (selepas mengadakan konsert di sana) dengan jet peribadi yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz pada hari Sabtu, 26 Oktober 1996 jam 2.30 petang.
  • Lebih kurang 1,000 orang peminat menyambut ketibaan Michael di lapangan terbang tersebut (lihat gambar di hujung entri ini).
  • Pihak pengurusan lapangan terbang turut memeriahkan suasana dengan menayangkan video klip Michael melalui skrin-skrin televisyen.
  • Michael diberi sambutan tradisional yang lengkap dengan tepak sirih, kompang dan bunga manggar, manakala bunga orkid telah ditabur di sepanjang laluan beliau di lapangan terbang (Nota: bunga orkid juga digunakan dalam konsert beliau semasa persembahan lagu Earth Song).
  • Michael dijemput menaiki sebuah van bernombor plet BCN 2 milik Raja Muda Selangor lalu di bawa ke Hotel Concorde, Kuala Lumpur dengan diiringi oleh 2 buah motosikal polis trafik. Pihak polis menyangkal dakwaan bahawa Michael diberi layanan VIP sebaliknya iringan polis trafik tersebut adalah bagi mengelakkan kesesakan lalulintas yang mungkin terjadi akibat orang ramai yang ingin melihat Michael dari dekat.

  • Ketibaan Michael di Hotel Concorde disambut dengan paluan irama oleh alat muzik tradisional rebana ubi.
  • Michael dan rombongannya seramai 150 orang telah menyewa keseluruhan tingkat 17, 18, 19 dan 20 di hotel tersebut, termasuk bilik-bilik khas untuk membuat latihan tarian dan tempat simpanan barangan mainan.
  • Lebih kurang 500 orang peminat menunggu ketibaan Michael di perkarangan hotel, tetapi cuma 50 orang kanak-kanak dari Rumah Ozanam mendapat keistimewaan untuk masuk bertemu Michael di lobi hotel serta mendapatkan tandatangan beliau.
  • Orang awam tidak dibenarkan memasuki Hotel Concorde sehingga jam 7 malam pada hari ketibaan Michael. Hanya tetamu hotel yang berdaftar dan para jemputan khas dibenarkan masuk.
  • Michael hanya berehat seketika di hotel. Pada jam 6.15 petang hari yang sama, Michael dan para pengawalnya termasuk beberapa orang anggota polis telah pergi ke kompleks membeli belah 1 Utama di Bandar Utama. Para pengunjung 1 Utama seakan tidak percaya dan ramai peminat yang menjerit apabila melihat kelibat Michael yang kelihatan menuju ke kedai Toys R Us. Pengurus kedai barangan mainan terkenal itu yang terkejut dengan kehadiran Michael telah mengarahkan pintu kedai ditutup sementara Michael membeli barangan mainan seperti patung Superman & Batman, pistol air serta buku kanak-kanak. Setelah hampir 2 jam berada di situ, Michael dilaporkan membelanjakan sebanyak RM800.

  • Pada hari pertama (Ahad) konsert, peminat berkumpul di luar Stadium Merdeka seawal jam 3 petang (lihat gambar di hujung entri ini). Konsert bermula pada jam 9 malam.
  • Konsert malam pertama disaksikan oleh 40,000 penonton termasuk VIP seperti Raja Permaisuri Agong, kerabat Diraja, serta Menteri dan Datuk Bandar.
  • Dua buah lagu penutup konsert iaitu Earth Song dan Heal The World turut melibatkan penyertaan hampir 30 orang rakyat Malaysia yang terdiri daripada kanak-kanak hingga warga tua yang berperanan sebagai penyanyi koir.
  • Seorang lelaki warga tua yang memakai tanda nama Maryono turut kelihatan bertugas di Stadium Merdeka. Beliau yang dilihat memegang beg dan lampu minyak tanah dipercayai adalah seorang bomoh yang diupah oleh pihak penganjur bagi berdoa (atau mengamalkan lain-lain aktiviti perbomohan!) supaya hujan tidak turun di stadium yang tidak berbumbung itu (Nota: lokasi asal iaitu Stadium Shah Alam mempunyai bumbung yang boleh ditutup). Atas ketentuan Tuhan, hujan tidak turun semasa berlangsungnya konsert.

  • Pada hari ketiga (Isnin) Michael di Kuala Lumpur, pihak penganjur telah mengaturkan pertemuan beliau dengan 30 orang kanak-kanak (berumur 4 hingga 12 tahun) yang dipilih khas bagi berkenal mesra dengan Michael di Hotel Concorde. Kanak-kanak tersebut dijamu dengan pizza dan turut menerima barangan mainan yang dibeli sendiri oleh Michael sebelum itu di Toys R Us. Pertemuan selama 2 jam itu berakhir pada jam 10.30 malam dengan setiap seorang kanak-kanak mendapat tandatangan Michael. Salah seorang kanak-kanak bertuah itu, Mohamad Warith Zuhairi dari Subang Jaya telah menerima patung mainan Power Rangers dan tandatangan Michael pada lengan kirinya. Adik Warith yang berusia 6 tahun ketika itu berkata bahawa dia tidak akan membasuh atau membuang tandatangan Michael pada lengannya.
  • Semasa menginap di Hotel Concorde, Michael dilaporkan menikmati hidangan makan tengahari berupa ayam tandoori yang dimasak khas oleh chef peribadi beliau di dalam dapur bilik suite mewahnya.

  • Konsert hari kedua (Selasa) diakhiri dengan Michael menyebut berkali-kali "Saya cinta Kuala Lumpur".
  • Kenyataan tidak rasmi menyatakan bahawa kos penganjuran 2 buah konsert Michael di Malaysia menelan belanja melebihi RM3 juta.

  • Pada hari terakhir (Rabu) Michael di Kuala Lumpur, pihak pengurusan dan pekerja Hotel Concorde seramai 200 orang telah mengaturkan majlis perpisahan dengan Michael di bumbung tempat letak kereta di tingkat bawah hotel itu pada jam 10.30 pagi. Mereka turut disertai oleh 15 orang pemuzik Kebudayaan Seri Wilayah yang memainkan muzik tradisional Melayu. Pada jam 10.50 pagi Michael 'menghadiri' majlis tersebut dari kejauhan nun dari bilik suitenya di tingkat 18. Kemunculan Michael di jendela dengan wajah yang tersenyum cukup bermakna kepada orang ramai di bawah. Berpuluh-puluh belon berwarna-warni yang bertulis "We'll Miss You" lantas dilepaskan ke udara. Belon-belon tersebut membawa sepanduk yang bertulis "Heal The World! Jumpa Lagi!". Michael terus tersenyum lalu menghembuskan ciuman serta mengangkat topinya kepada orang ramai di bawah.

  • Acara terakhir yang sepatutnya disertai oleh Michael di Kuala Lumpur ialah pertemuan khas dengan 50 orang kanak-kanak daripada Tasputra Perkim, Spastic Home dan Rumah Ozanam. Acara tersebut yang melibatkan pemberian barangan mainan dan makan tengahari dijadualkan berlangsung selama 30 minit di Hard Rock Cafe bersebelahan dengan Hotel Concorde. Malangnya Michael cuma meluangkan masa 3 minit sahaja di situ kerana beliau dikatakan merasa kurang senang melihat ramai orang dewasa juga turut serta berada di situ bersama-sama dengan peminatnya yang paling utama iaitu kanak-kanak. Hard Rock Cafe yang ditutup kepada orang awam sempena acara tersebut telah dihias cantik dengan belon dan turut disediakan hidangan istimewa, tetapi kehadiran ramai ibu bapa kepada kanak-kanak yang tidak diundang telah menyebabkan Michael meninggalkan acara tersebut. Kanak-kanak dari Rumah Ozanam yang baru tiba dengan bas hanya sempat melihat Michael bergegas keluar. Namun begitu, semua kanak-kanak yang hadir tetap menerima barangan mainan yang ditinggalkan oleh Michael.

  • Sebaik sahaja meninggalkan Hard Rock Cafe, Michael diiringi ke lobi hotel sambil kelihatan tersenyum dan melambai tangan ke arah ratusan peminat yang memanggil namanya serta jeritan selamat jalan dan "Bye, Michael!". Kelibat Michael hilang setelah beliau masuk ke dalam van Toyota yang membawanya ke lapangan terbang untuk berlepas ke destinasi konsert yang seterusnya di Bombay, India.
  • Michael dan rombongannya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz lebih kurang jam 12 tengahari. Walau bagaimanapun, 2 buah jet peribadi (Boeing 707) milik Michael yang sepatutnya berlepas pada jam 1 petang telah terkandas apabila tidak mendapat pelepasan untuk mendarat di Madras, India. Hanya pada jam 2.30 petang (Rabu, 30 Oktober 1996) jet yang membawa Michael dibenarkan terbang meninggalkan Malaysia.

23 December 2010

VCD New Boyz The Telemovie diharamkan (2002)



Bermula pada tahun 2001 begitu banyak telefilem telah dikeluarkan dalam format VCD. Pelbagai penerbit tiba-tiba muncul untuk bersaing dalam pasaran telefilem VCD yang begitu popular ketika itu. Antara pihak penerbit yang muncul secara tiba-tiba itu ialah di kalangan syarikat rakaman muzik seperti FMC (dengan telefilem Helah contohnya), Life Records (Sakinah), Warner Music (Azura 2003), Music Valley (Gosok) dan lain-lain. Boleh dikatakan semua syarikat rakaman tersebut menampilkan artis atau penyanyi mereka sebagai pelakon utama bagi setiap telefilem yang diterbitkan. Puncanya ialah kerana kemerosotan pasaran muzik tempatan ketika itu. Syarikat rakaman tersebut perlu menanti beberapa tahun selepas itu untuk pasaran muzik kembali melonjak dengan popularnya kaedah muat turun lagu dan nada dering.



Syarikat rakaman Suria Records atau SRC juga tidak terkecuali daripada menyertai penerbitan telefilem VCD. Pada 2002, SRC telah menerbitkan New Boyz The Telemovie yang menampilkan lakonan semua anggota kumpulan New Boyz yang diketuai oleh penyanyinya Tomok. Walau bagaimanapun, New Boyz The Telemovie yang diarahkan oleh Azwan Ali itu telah diharamkan oleh pihak Lembaga Penapisan Filem (LPF) yang tidak membenarkan penampilan watak perempuan yang dilakonkan oleh lelaki. Dalam telefilem komedi tersebut watak pelajar perempuan bernama Siti Payung telah dilakonkan oleh Farouk Hussain. Oleh kerana Siti Payung merupakan salah seorang watak pembantu yang penting, maka cubaan penerbit untuk menyunting semula telefilem tersebut dengan membuang watak Siti Payung telah gagal dan menyebabkan VCD New Boyz The Telemovie tidak dapat dipasarkan.



Nota tambahan:
Penampilan watak perempuan yang dilakonkan oleh lelaki pernah dipopularkan oleh siri komedi 1990-an seperti Baba & Nyonya, Jangan Ketawa dan Senario. Beberapa episod siri komedi Senario pernah diharamkan daripada tayangan apabila peraturan sebegitu mula diperkenalkan oleh LPF. Farouk Hussain ialah antara pelakon yang pernah diundang bagi melakonkan watak perempuan dalam siri komedi Senario.

29 November 2010

Servis Sidek diharamkan (1982)

Pada penghujung dekad 1970-an 'lahir'nya beberapa bintang sukan muda yang dikenali sebagai anak-anak Sidek atau adik beradik Sidek. Misbun Sidek, Razif Sidek dan Jalani Sidek mencipta nama dalam arena sukan badminton Malaysia dalam masa yang begitu cepat. Banyak kejuaraan yang mereka menang di dalam negara ketika itu hingga layak dipilih mewakili negara ke pertandingan badminton peringkat antarabangsa dalam usia yang masih remaja.

Adik beradik Sidek menjadi terkenal serta merta dalam arena badminton antarabangsa setelah mereka memperkenalkan teknik servis (pukulan bulu tangkis) yang luar biasa, yang tidak pernah terfikir boleh dilakukan oleh mana-mana pemain badminton di dunia. Teknik servis tersebut kini dikenali sebagai Servis Sidek.

Cara melakukan Servis Sidek ialah dengan sebelah tangan memegang kepala bulu tangkis ke arah atas, manakala bahagian bulunya pula menghala ke arah permukaan gelanggang. Sebelah tangan lagi yang memegang raket perlu berada dalam kedudukan untuk membuat pukulan backhand (memukul bulu tangkis dengan tolakan pergelangan tangan, dan bukannya dengan hayunan keseluruhan tangan). Setelah berada dalam kedudukan tersebut, servis akan dilakukan dengan tolakan raket ke arah bahagian bulu. Bulu tangkis yang dipukul sebegitu akan berpusing-pusing melayang ke arah gelanggang lawan. Servis Sidek dianggap menyukarkan pihak lawan untuk membalas pukulan kerana pihak lawan perlu betul-betul pasti bilakah kepala bulu tangkis yang berpusing-pusing itu akan menghadap ke arah mereka sebelum ia boleh dipukul kembali, kerana pukulan balas yang salah pada bahagian bulu akan menyebabkan hantaran yang tidak sempurna malah boleh menyebabkan bulu tangkis melekat pada jaringan raket pihak lawan.

Penggunaan Servis Sidek mendapat banyak bantahan dalam arena badminton antarabangsa ketika itu, tetapi bukanlah kerana ia memberi kelebihan kepada adik beradik Sidek semata-mata. Servis Sidek sebenarnya boleh digunakan oleh semua pemain badminton di seluruh dunia untuk kelebihan mereka sendiri, malah adik beradik Sidek sendiri juga tidak terlepas daripada menjadi 'mangsa' teknik servis ciptaan mereka itu. Kontroversi teknik pukulan bulu tangkis yang luar biasa itu memaksa Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF) mengambil keputusan untuk mengharamkan penggunaan Servis Sidek pada 1980. Oleh kerana terdapat perbezaan pendapat di mana beberapa buah negara selain Malaysia telah menyokong penggunaan Servis Sidek, maka pengharaman itu dibatalkan setahun kemudian.

Pada 29 Mac 1982, pasangan beregu Razif (19 tahun) dan Jalani (18 tahun) mencipta sejarah dengan memenangi pertandingan badminton berprestij All England yang sudah lama tidak dimenangi oleh Malaysia. Sejurus selepas itu IBF mengambil keputusan untuk mengharamkan terus Servis Sidek daripada digunakan dalam semua pertandingan badminton di seluruh dunia dengan alasan bahawa bulu tangkis dicipta untuk dipukul pada bahagian kepalanya dan bukan bulunya. Walaupun begitu, kejayaan adik beradik Sidek menjuarai satu demi satu pertandingan badminton antarabangsa selepas itu membuktikan kehandalan semulajadi mereka dalam sukan ini. Sekiranya Servis Sidek tidak diharamkan dulu, mungkinkah telah tercipta pula teknik pukulan balas yang tidak kurang hebatnya?
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...