Showing posts with label Maria Arshad. Show all posts
Showing posts with label Maria Arshad. Show all posts

23 February 2013

Persatuan Bola Sepak Artis Wanita Malaysia (1981)

Penyanyi terkenal Rafeah Buang, di dalam ruangan penulisannya yang diterbitkan oleh majalah URTV pada 1998, telah menceritakan mengenai penyanyi 1960-an, Rickino Bajuri daripada kumpulan pop yeh yeh, The Cliffters. Gambar yang menghiasi rencana tersebut menunjukkan Rickino Bajuri pada 1981 sedang bergambar bersama pasukan Persatuan Bola Sepak Artis Wanita Malaysia.


Ahli pasukan bola sepak tersebut terdiri daripada para pelakon atau penyanyi wanita, antaranya ialah Maria Arshad, Sukarni Jaafar, Rohana Jalil, Rosnah Mohd Noor, Maria Kamal, Anisah Yahya Sulung, Suhaili Shamsudin dan 7 orang lagi yang nama mereka tidak dinyatakan, mungkin juga kerana mereka tidak begitu terkenal. Pasukan bola sepak tersebut dilihat memakai jersi yang di hadapannya bertulis "ARTIS WANITA"

26 May 2011

Hilangnya artis simbol seks (1993)

Di Malaysia istilah "simbol seks" biasanya dikaitkan dengan penyanyi atau pelakon (umumnya disebut sebagai artis) yang sering tampil dengan gaya seksi atau mempunyai daya tarikan seksual. Walau bagaimanapun, hampir keseluruhan penulis hiburan tempatan akan menggunakan istilah simbol seks hanya untuk artis perempuan sahaja.

Apabila membicarakan tentang simbol seks, secara tipikalnya hanya artis (terutamanya perempuan) yang akan dikaitkan dengan istilah tersebut dan bukannya golongan selebriti lain seperti pemuzik, pengarah filem, bintang sukan, model, personaliti televisyen dan sebagainya. Mungkin juga kerana hanya artis yang dilihat lebih gemar berketerampilan seksi berbanding golongan selebriti lain, atau lebih tepat lagi hanya artis sahaja yang sebenarnya sering ditonjolkan oleh media cetak terutamanya akhbar tabloid dan majalah hiburan dalam gaya yang membolehkan mereka digelar sebagai simbol seks. Dalam erti kata lain, akhbar tabloid dan majalah hiburan sebenarnya mencipta artis simbol seks serta membantu mereka mengekalkan gelaran tersebut. Artis simbol seks tidak wujud dengan sendirinya.

Penciptaan artis simbol seks dianggap penting dalam membantu melariskan jualan akhbar tabloid dan majalah hiburan serta produk-produk keluaran artis tersebut seperti album dan filem. Dekad 1970-an hingga 1990-an adalah era penciptaan artis simbol seks tempatan. Istilah simbol seks secara umumnya mungkin dianggap sebagai provokatif (terutamanya pada masa kini di mana ia tidak lagi digunakan dengan meluas) tetapi di Malaysia pada suatu ketika dahulu gelaran simbol seks diterima sebagai sesuatu yang lumrah dan tidak bersifat mencerca. Antara artis yang pernah digelar sebagai simbol seks dalam tahun 1980-an ialah seperti Maria Arshad, Noorkumalasari, Sahara Yaakob, Noreen Noor dan Rosnah Mohd Noor. Apabila mereka tidak lagi aktif dalam bidang hiburan pada awal 1990-an, maka pihak media cetak pun memulakan penciptaan artis simbol seks generasi baru seperti Zarina Zainuddin, Sofia Jane, Ramziela dan Nor Albaniah!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...