Showing posts with label Foto oleh khys. Show all posts
Showing posts with label Foto oleh khys. Show all posts

21 December 2010

Cintailah Bahasa Kita (2007)





Program Cintailah Bahasa Kita mula diperkenalkan pada 1987. Gambar di atas menunjukkan logo program tersebut yang dipasang pada bahagian bawah bangunan KOMTAR di Pulau Pinang. Bangunan KOMTAR siap dibina pada 1985 dan logo tersebut telah terpasang di situ sejak 1987 hingga 2007 ketika gambar ini diambil.

Walau bagaimanapun, logo Cintailah Bahasa Kita itu kini tidak lagi berada di tempat yang biasa dilihat sejak lebih 20 tahun lepas. Logo tersebut telah diturunkan tidak lama setelah Pulau Pinang mula diperintah oleh parti politik yang baru pada 2008. Kepada para pejuang bahasa yang bersifat politikal mungkin mereka akan merasakan yang tindakan menurunkan logo tersebut mempunyai niat yang tidak baik. Tetapi dari sudut pandangan yang lebih rasional, papan tanda logo tersebut sememangnya kelihatan sudah terlalu usang dan akan membahayakan orang ramai sekiranya ia terjatuh dengan sendiri setelah diabaikan tanpa penyelenggaraan sejak sekian lama oleh pemerintah yang terdahulu.

Program Cintailah Bahasa Kita kini dikenali sebagai program Cintailah Bahasa Kebangsaan Kita. Namun begitu harapan untuk melihat papan tanda baru program tersebut kembali dipasang di tempat yang sama khasnya, atau di negeri Pulau Pinang umumnya, adalah amat tipis dan kemungkinan besar tidak akan berlaku sama sekali.

Foto: KHYS

03 December 2010

Aliph (2007)

Aliph ialah suatu jenama kasut sukan dan kasual buatan Malaysia yang terkenal pada dekad 1980-an. Pengeluar jenama Aliph iaitu Sime Darby Footwear Sdn Bhd pernah menaja kasut Aliph untuk digunakan (sebagai product placement) dalam penggambaran beberapa buah filem tempatan seperti Rozana Cinta '87, Jejaka Perasan & Ragam Pemandu.

Kasut Aliph juga menjadi kegemaran ramai artis rock tempatan sehingga tercetusnya jenama Aliph Search pada sekitar 1987 yang dipercayai merupakan kasut pertama yang meletakkan nama artis tempatan (iaitu kumpulan Search) sebagai sebahagian daripada nama produk. Selepas itu, kumpulan Lefthanded juga pernah bekerjasama dalam memasarkan rekabentuk terbaru kasut Aliph. Gandingan jenama kasut dengan ikon muzik diketahui menjadi antara strategi pemasaran yang popular, contohnya kasut jenama antarabangsa LA Gear pernah bergandingan dengan Michael Jackson & Ella pada penghujung dekad 1980-an, malah di pasaran terkini juga terdapat pelbagai rekabentuk kasut jenama Converse - Metallica & Black Sabbath atau kasut jenama Vans - Iron Maiden & Slayer umpamanya.

Dalam tahun 2007, selepas menerbitkan beberapa keping gambar dan sedikit cerita mengenai kasut Aliph di dalam laman web MuzikRock.com, saya cuba menjejak semula saki baki peninggalan jenama Aliph ini yang sudah tidak lagi dikeluarkan sejak pertengahan dekad 1990-an. Dua pasang kasut Aliph baru (stok lama) akhirnya berjaya dibeli dengan harga di bawah RM100.

Gambar di atas menunjukkan sebahagian daripada barangan jualan di salah sebuah kedai barangan terpakai di Kuala Lumpur pada tahun 2007. Dapat dilihat kasut Aliph berwarna hitam itu ditandakan dengan harga RM220 sepasang, manakala kasut Aliph berwarna putih/biru di sebelah kanan pula berharga RM300 sepasang! Sebagai perbandingan, harga asal sepasang kasut-kasut tersebut ketika dikeluarkan lebih 15 tahun dahulu cuma sekitar RM30 ke RM45 sahaja.

Pada masa kini pula tidak mengejutkan lagi sekiranya terlihat kasut Aliph terpakai diniagakan misalnya dalam pasaran Mudah.my dengan harga sekitar RM500 sepasang. Melalui perkenalan dengan beberapa orang penggemar kasut Aliph, maklumat yang didapati bahawa ada di antara mereka yang membeli kasut Aliph stok lama yang belum digunakan dengan harga hampir RM700 sepasang!

Jenama Aliph kembali popular:
Top Ten Sneaks and Music Collaboration (ShiftyMag issue #4, August 2009)
Gila kasut Aliph (Metro Ahad, 13 Jun 2010)
Mohd Nazari collects shoes of rock stars for the fun of it (The Star, 12 October 2010)

Maklumat tambahan:
Pada pertengahan tahun 2010, Sime Darby telah mengeluarkan minyak masak dengan jenama Alif.

Foto: KHYS

25 October 2010

Iklan Maya Karin (2006)



Maya Karin pertama kali muncul sebagai pelakon filem dalam Seri Dewi Malam (2001), diikuti dengan filem No Problem (2001) dan Mr. Cinderella 2 (2003). Nama beliau melonjak naik selepas membintangi filem Pontianak Harum Sundal Malam (2004) di mana beliau mencipta sejarah dengan memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik dalam Festival Filem Asia Pasifik (FFAP) di Jepun, yang belum pernah dimenangi oleh mana-mana pelakon wanita Malaysia sebelum itu. Maya berusia 25 tahun ketika itu. Sebagai perbandingan, P. Ramlee melalui filem Anak-ku Sazali pertama kali memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik FFAP pada 1957 ketika berusia 28 tahun.

Setelah berlakon dalam filem Pontianak Harum Sundal Malam II (2005), Maya terpilih sebagai model untuk iklan sebuah syarikat telekomunikasi terkenal. Papan iklan gergasi dipasang di bangunan tertentu sekitar Kuala Lumpur, menampilkan gambar Maya Karin dalam gaya yang begitu menawan. Dua tahun kemudian, Maya terus "berkuasa" apabila memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik dalam Festival Filem Malaysia 2008 melalui filem Anak Halal.





Foto: KHYS

13 February 2009

Kg. Pisang (2006)

Friday the 13th, berjaya dipopularkan oleh filem Hollywood bagi merujuk kepada kejadian-kejadian seram yang mungkin berlaku dalam zaman moden kini. Di Malaysia, kepercayaan terhadapnya tidaklah begitu kuat, namun nama sebuah kampung ini pastinya mengundang perasaan 'seram' yang juga terhasil daripada pengaruh filem popular, iaitu Kampung (Kg.) Pisang. Tempat dalam gambar ini mungkin satu daripada beberapa lagi tempat yang bernama Kg. Pisang yang wujud di Malaysia, ia terletak dalam kawasan Seberang Perai, Pulau Pinang. Tidak ramai yang mempedulikan kampung ini.

Pada 2005, sebuah filem berjudul Zombie Kg. Pisang memulakan penggambarannya di negeri Perak, dan ia ditayangkan dalam tahun 2007. Bagi kebanyakan penonton, nama Kg. Pisang itu seolah-olah satu rekaan semata-mata untuk filem seram-komedi tersebut. Namun ia sememangnya wujud, dan kini setiap Kg. Pisang di mana saja tempatnya akan selamanya dikaitkan dengan Zombie!

Foto: KHYS

03 February 2009

Klinik Negara, Kuala Lumpur (2007)

Tidak dapat dipastikan tarikh kewujudan klinik ini, mungkin pada dekad 1980-an? Selain Klinik Negara ini, sudah tentu di Kuala Lumpur juga terletaknya Tugu Negara, Bank Negara, Masjid Negara, Muzium Negara, Istana Negara dan lain-lain lagi. Klinik Negara yang tidak terkenal ini terletak di Jalan Putra, tidak jauh daripada kompleks The Mall.

Foto: KHYS
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...