Showing posts with label Res2. Show all posts
Showing posts with label Res2. Show all posts

28 April 2013

Kumpulan Res2 (1993)

Dalam tempoh 2 bulan selepas Feminin diperkenalkan sebagai kumpulan rap wanita yang pertama, muncul pula 2 buah lagi kumpulan rap wanita iaitu Res2 dan M's Teen, kedua-duanya diperkenalkan dalam waktu yang hampir sama pada awal 1993.

Kumpulan Res2 - disebut sebagai Restu - ditubuhkan pada penghujung 1992 ketika demam muzik rap sedang melanda Malaysia. Mungkin berinspirasikan nama kumpulan rap yg sedang popular iaitu 4U2C, maka Res2 juga memilih nama yang menggunakan nombor sebagai pengganti (sebahagian) perkataan. Pada mulanya pihak media cetak agak bercelaru untuk menulis nama Res2, ada yang menulisnya sebagai Rest-2 dan ada pula yang menulisnya sebagai Res'2. Hanya selepas album mereka dikeluarkan tidak lama kemudian barulah ejaan nama Res2 dapat dipastikan.


Anggota Res2 semasa awal kemunculan mereka ialah Baby Arin (15 tahun), Erin (18 tahun), Ezza (17 tahun), Yati (17 tahun) & Wati (17 tahun). Mereka berlima pada asalnya merupakan penari sambilan dalam kumpulan Tag Dancers pimpinan Shawal. Tugas mereka ketika itu ialah sebagai penari iringan kepada penyanyi-penyanyi popular yang membuat persembahan pentas. Pengarah Promosi syarikat rakaman Suria Records (SRC) iaitu Mas Omar telah mengesan bakat mereka dan seterusnya membentuk mereka menjadi sebuah kumpulan penyanyi.


Pada November 1993, album pertama Res2 berjudul 3C - Cita-Cita & Cinta mula dipasarkan oleh SRC. Album lagu-lagu pop, tarian dan berunsur rap itu mendapat perhatian meluas dan dilaporkan menerima tempahan awal sebanyak 30 ribu unit. Antara lagu popular Res2 ialah Kepastian Dan Pengertian yang muziknya digubah oleh kumpulan hip hop terawal Malaysia, Krash Kozz. Lagu-lagu lain dalam album tersebut ialah 3C, Rasa Sayang, Pesta Res2, Jejaka Idaman, Wawasan & Remaja. Sebuah lagi lagu yang berjudul Sentuhan Cinta ialah saduran daripada lagu popular "(Dying Inside) To Hold You" nyanyian asal penyanyi dari Amerika, Timmy Thomas.


Pada 1994, Res2 telah ditampilkan sebagai penyanyi undangan dalam filem Putera arahan Zulkeflie M. Osman. Pada waktu itu juga mereka mula ditonjolkan oleh majalah-majalah hiburan dalam gaya dan imej yang seksi, terutama sekali anggota dua beradik, Baby Arin & Erin.

Petikan filem Putera (1994)

Nota tambahan:
Baby Arin masih terlibat dalam bidang hiburan walaupun kurang aktif. Filem terbaru lakonannya, Kecoh! Hantu Raya Tok Chai, sedang ditayangkan di pawagam sejak 18 April 2013 yang lalu.

19 March 2013

Lagu Wawasan oleh Res2 (1993)

Res2 ialah kumpulan penyanyi wanita kedua selepas Feminin yang muncul semasa zaman 'muzik rap' sedang meningkat popular di Malaysia pada sekitar awal 1990-an. Res2 telah mengeluarkan album pertama berjudul "3C - Cita-Cita & Cinta" pada 1993. Salah satu daripada 10 buah lagu yang terdapat dalam album tersebut berjudul Wawasan.

Lagu Wawasan oleh Res2 berentak tarian dengan menampilkan gaya rap dalam nyanyian. Seperti yang diketahui umum, tajuk lagu tersebut merujuk kepada idea Wawasan 2020 yang dicetuskan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, Dr. Mahathir Mohamad, pada 1991.

Rujukan kepada idea Wawasan 2020 dalam bidang seni dan hiburan sememangnya menjadi ikutan ramai pada sekitar waktu itu. Di kalangan artis rap, kumpulan KRU memulakannya dengan mengeluarkan lagu 20/20 pada 1992. Selain artis rap, kumpulan muzik rock juga tidak ketinggalan dalam mengabadikan idea Wawasan 2020 ke dalam karya-karya mereka.

WAWASAN
(pencipta lagu: Mei Sian / penulis senikata: Mahzan B)

Kami Res2 datang lagi, era baru dikecapi
Satu arah ke wawasan, kami rakan tetap diteguh

Ikut rentak irama ini, jangan lupa wawasan ini
Demi satu matlamat untuk tari tarian bentuk seni
Hidup kita pasti berjaya, demi harga maruah diri
Harus ingat pada janji wawasan, cipta pasrah abadi

Kita perlu berani dalam menuju wawasan ini
Walau ada yang halangi, terus jua mengharungi
Walau letih menghantui, lincah pantas menari
Sering langkah murni walau mana kita pergi

Kami Res2! Kami Res2!
Usah cuba mengharapkan, pasti wujud kemajuan

Demi negara yang dicintai...

Kami Res2 datang lagi, era baru dikecapi (Yo! Yo! Yo!)

Kami Res2 datang lagi, era baru dikecapi
Satu arah ke wawasan, kami rakan tetap diteguh

Kami Res2 datang lagi, era baru dikecapi (Yo! Yo! Yo!)

Nota tambahan:
"2020 - 2,478 hari lagi"
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...