Showing posts with label Sehari Dalam Hidup. Show all posts
Showing posts with label Sehari Dalam Hidup. Show all posts

20 December 2013

Mohd Nidzam Adha (1991)

Menurut Juwie, Mohd Nidzam Adha ialah "penyerang harapan pasukan bolasepak Negeri Perak Darul Ridzuan yang paling popular di kalangan remaja". Wartawan hiburan Juwie menemubual Nidzam pada Januari 1991 untuk ruangan Sehari Dalam Hidup yang disiarkan dalam akhbar sisipan Pancaindera (Mingguan Malaysia). Tambah Juwie lagi, "Ramai gadis menyifatkan Nidzam sebagai pemain bolasepak paling cun di tanahair".

Mohd Nidzam Adha Bin Yusoff lahir pada 11 Mac 1968 di Kampung Boyan, Taiping, Perak, dan merupakan anak ke-6 dari 10 beradik. Beliau mendapat pendidikan di Sekolah Rendah King Edward 1, di mana beliau mula bergiat dalam sukan bolasepak. Beliau melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah King Edward sehingga tingkatan 5 (1985). Selepas tamat persekolahan, beliau menganggur selama setahun sambil mengasah bakatnya bermain bolasepak dalam posisi sayap kanan bersama Kelab Pemuda Taman Raja Idris di Taiping.

Menjelang penghujung 1980-an, bakat Nidzam dikesan oleh jurulatih pasukan bolasepak Dewan Bandaraya Ipoh (DBI), Encik Ahmad Niza, yang mencadangkan supaya Nidzam bekerja sebagai pekerja am (dan selepas itu menjadi juruteknik) di DBI dan sekaligus diberi peluang bermain dalam pasukan bolasepak DBI.

Pada 1990, Nidzam (22 tahun) terpilih untuk bermain dalam posisi penyerang untuk pasukan bolasepak Negeri Perak di mana beliau terlibat dalam perlawanan Liga Semi Pro dan Piala Malaysia. Nidzam berjaya menjaringkan 6 gol di sepanjang tahun itu, suatu pencapaian cemerlang untuk pemain baru sepertinya.

Mohd Nidzam Adha:
  1. "naik motor Kawasaki"
  2. "makan tak tentu tempat. Mana sempat Nidzam bantai"
  3. "suka makan nasi goreng ayam yang pedas-pedas dan minum fresh oren"
  4. "minat cerita perang dan komedi"
  5. "suka dengar lagu terutama yang pop dan slow-rock. Asal lagu tu top aje, Nidzam suka dengar"

24 October 2013

Aleeza Kassim (1989)

Pada 1989, Aleeza Kassim yang kini dikenali sebagai pelakon telah ditampilkan dalam ruangan Poster Kelolaan Juwie dan ditemu bual oleh wartawan hiburan terkenal itu untuk ruangan Sehari Dalam Hidup. Ketika itu Aleeza baru berusia 19 tahun dan merupakan seorang peragawati yang sedang mencipta nama. Aleeza yang pernah memenangi pertandingan 'ratu cantik' Dewi Remaja 1988 semakin mendapat perhatian para peminat hiburan tempatan dalam tahun 1989 apabila dia muncul sebagai penyeri dalam video muzik lagu Janganlah Menghancurkan nyanyian Shidee (lihat video di bawah) yang disiarkan dalam rancangan popular Muzik-Muzik '89 terbitan TV3. Aleeza mengikut jejak seorang lagi peragawati, Julia Rais (rujuk entri akan datang), yang tiba-tiba dikenali ramai setelah muncul dalam video muzik lagu Isabella persembahan kumpulan Search beberapa bulan lebih awal pada tahun yang sama.

Lahir pada 26 April 1970 di Kuala Lumpur
Ruangan Sehari Dalam Hidup kelolaan Juwie menceritakan tentang aktiviti seharian para selebriti yang ditemu bual. Antara topik yang gemar diperbualkan oleh Juwie ialah mengenai pemakanan para selebriti. Aleeza Kassim dikatakan jarang bersarapan, tapi menu pilihannya ialah "roti dan air Horlicks". Makanan tengahari yang digemari Aleeza ialah Al-Turki Al-Bukhari ("campuran daging kerbau dengan lembu yang digulai sama rempah-rempah kari"). Waktu malam pula Aleeza jarang makan nasi, "cuma makan buah-buahan", dan dia suka "mengunyah buah asam" sebelum tidur. Selain itu, tidak banyak latar belakang Aleeza yang dikongsi oleh Juwie bersama para pembaca. Madah Juwie tentang Aleeza: "Senyumannya amat menggoda sehingga melemaskan jiwa lelaki di lautan asmara".

Gaya seksi yang lazim ketika itu,
kombinasi sut renang dengan kain pareo
Poster Kelolaan Juwie
Kanta lekap berwarna - terutamanya biru - menjadi trend artis ketika itu

11 October 2013

dR. Sam (1992)

Penyanyi terkenal era 1980-an, dR. Sam (biasanya disebut Doktor Sam), telah ditemu bual oleh wartawan hiburan terkenal, Juwie, pada 1992 untuk ruangan Sehari Dalam Hidup yang diterbitkan dalam akhbar sisipan Pancaindera (Mingguan Malaysia). Berikut ialah maklumat tentang dR. Sam yang terkandung dalam artikel hasil temu bual tersebut.
  • Nama sebenar dR. Sam ialah Salim Ibrahim.
  • Nama gelaran asalnya ialah "dR. Sam Rasputin", nama yang diberi oleh Ali Bakar (penganjur persembahan pentas) pada 1980. Nama gelaran itu kemudian dipendekkan menjadi dR. Sam.
  • dR. Sam lahir pada 23 Mei 1953 di Seremban, Negeri Sembilan.
  • Keluarga dR. Sam berasal dari Kampung Bayam, Kota Bharu, Kelantan.
  • Bapa dR. Sam bertugas sebagai anggota polis, maka keluarganya sering berpindah tempat tinggal.
    • dR. Sam mendapat pendidikan di Sekolah Rendah St. John, Kuala Lumpur (darjah 1 hingga 6); Sekolah Menengah St. John, Kuala Lumpur (tingkatan 1 hingga 3); Sabah College, Kota Kinabalu (tingkatan 4 hingga 5); Institut Pendidikan, Kota Bharu (tingkatan 6 pada 1971).
    • Ketika berusia 20 tahun (1973), dR. Sam merantau ke benua Eropah "untuk menimba berbagai pengalaman baru".
    • Selama 5 tahun (1973-1978), dR. Sam menimba pengalaman sebagai 'busker' (bermain gitar & menyanyi di jalanan) di London, Jerman & Scandinavia.
    • Setelah lama merantau, dR. Sam pulang ke Malaysia pada 1979 dan meneruskan kerjaya sebagai 'busker' di pasar-pasar malam sekitar Damansara, Petaling Jaya & Kuala Lumpur.
    • Ali Bakar memperkenalkan "dR. Sam Rasputin" sebagai penyanyi pentas pada 1980 dalam persembahan Pesta Budaya di Panggung Anniversari, Kuala Lumpur. dR. Sam mula menjadi terkenal setelah wartawan hiburan menulis mengenai persembahannya yang dikatakan "lain dari orang lain". dR. Sam pun meneruskan kerjaya barunya sebagai penyanyi pentas dalam banyak persembahan anjuran Ali Bakar di merata tempat.
      • dR. Sam melangsungkan perkahwinan dengan Fauziah Yunus pada 8 Ogos 1981.
      • Syarikat rakaman PolyGram menawarkan kontrak sebagai penyanyi rakaman kepada dR. Sam dan beliau berjaya mengeluarkan album pertamanya, Abu Nawas (1983), diikuti oleh album Sayang Oh Sayang (1984).
      • dR. Sam bergabung dengan kumpulan Musafir dan mengeluarkan album Saya Anak Malaysia (1986) & Semarak Merdeka (1987), kedua-duanya juga terbitan syarikat rakaman PolyGram.
      • Syarikat rakaman EMI pula kemudian mengeluarkan album dR. Sam yang berjudul Sinar Harapan (1989).
      • Pada 1992, dR. Sam mengusahakan perniagaan khidmat penghantaran barangan di bawah nama dR. Express yang beroperasi di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.
        Lagu Saya Anak Malaysia nyanyian dR. Sam dengan diiringi oleh kumpulan Musafir menjadi sangat popular pada 1986. Lagu yang menceritakan serba sedikit riwayat hidup dR. Sam itu dicipta olehnya sendiri manakala senikata lagu itu ditulis oleh S. Amin Shahab dan diterbitkan oleh M. Nasir. Pada tahun yang sama, dR. Sam muncul sebagai pelakon dalam filem Kembara Seniman Jalanan (1986) yang menceritakan tentang liku-liku hidup seorang penyanyi yang bermula di jalanan sehinggalah berjaya menjadi penyanyi rakaman, suatu kisah yang ada sedikit persamaan dengan kehidupan dR. Sam.

        SAYA ANAK MALAYSIA
        (pencipta lagu: dR. Sam / penulis senikata: S. Amin Shahab)

        Sembilan belas lima puluh tiga, bulan lima aku dilahirkan
        Di sebuah negeri yang diberi nama, Negeri Sembilan
        Selepas itu aku dibesarkan, di negeri Kelantan
        Aku belajar di sekolah orang putih, dekat dengan Pasir Puteh

        Saya anak Malaysia, saya anak Malaysia
        Saya anak Malaysia, saya anak Malaysia

        Lepas sekolah aku merayau, negeri mat saleh aku merantau
        Tempat orang indah sekali, tapi Malaysia tetap di hati

        Saya anak Malaysia, saya anak Malaysia
        Saya anak Malaysia, saya anak Malaysia

        Sampai masa aku pun balik, makwe ku tengok dia pelik
        Dia kata "You nak jadi apa?", aku kata "Itu Tuhan punya kuasa"
        Lemah lembut sopan santun, sudah menjadi darah daging ku
        Walaupun aku nampaknya kutu, aku hormat orang tua ku

        Saya anak Malaysia, saya anak Malaysia
        Saya anak Malaysia, saya anak Malaysia


        Nota tambahan:
        • dR. Sam pernah diundang berlakon watak kecil dalam filem Mekanik (1983). Dialognya dalam filem itu memberitahu bahawa nama 'Sam' adalah akronim daripada 'Saya anak Malaysia' (tapi lagu Saya Anak Malaysia belum pun wujud ketika itu & hanya dikeluarkan 3 tahun kemudian).
        • dR. Sam juga pernah muncul sebagai pelakon undangan dalam filem Kepala Angin (1987) dengan membawakan watak sebagai doktor yang antara kepakarannya ialah merawat buah dada. Watak yang aneh dalam sebuah filem yang agak nakal.
        dR. Sam Rasputin berlakon dalam filem
        Mekanik (1983), Kembara Seniman Jalanan (1986) & Kepala Angin (1987)

        Nota tambahan 2 (21.11.2013):
        dR. Sam juga pernah berlakon dalam filem Matinya Seorang Patriot (1984) arahan Rahim Razali.

        24 February 2013

        Mak nyah popular - Mimie Zarina (1992)

        "Di kalangan ribuan kaum mak nyah yang terdapat di seluruh tanahair, nama Mimie Zarina memang tidak asing lagi" - Begitulah ayat pengenalan tulisan wartawan hiburan Juwie dalam ruangan popularnya, Sehari Dalam Hidup, edisi 27 September 1992. Ruangan tersebut yang sering disiarkan di muka surat akhir akhbar sisipan Pancaindera memaparkan rencana hasil temubual Juwie dengan pelbagai selebriti, sama ada artis popular atau pun bakat baru, termasuklah selebriti sukan seperti pemain bola sepak dan sebagainya.

        Mimie Zarina boleh dikatakan kurang dikenali kini tetapi dia merupakan salah seorang selebriti mak nyah yang popular pada 1980-an. Apabila Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan mengasaskan Persatuan Mak Nyah Wilayah Persekutuan pada hujung 1980-an, Mimie telah dipilih untuk memegang jawatan Presiden. Kewujudan Persatuan Mak Nyah secara sah itu tidak bertahan lama apabila ia diabaikan setelah ketua pengarah JKM bertukar ganti.

        1992
        Nama sebenar Mimie Zarina ialah Mohd Shamsuddin Abdul Rahman, dilahirkan pada 1947 dan berasal dari Teluk Intan, Perak. Dia menuntut sehingga tingkatan lima di Sekolah Menengah Anglo Chinese di Teluk Intan. Mimie terlibat dalam dunia hiburan sebagai pelakon watak-watak kecil dalam beberapa buah filem seperti Bas Kondaktor (1986), O.K. (1990) & Thermometer 3 (1990-an). Dalam adegan akhir filem Bas Kondaktor, Mimie telah mengejutkan para penonton apabila dia berani tampil dengan berpakaian renang!

        Selain daripada filem, Mimie juga pernah berlakon dalam drama swasta yang bertajuk Kisah Si Tua & Liku-Liku Jalanan. Kerjaya tetap Mimie sebenarnya ialah sebagai tukang jahit, di mana dia sering menerima tempahan daripada artis-artis wanita selain daripada para pelanggan biasa. Menurut Juwie, "Mimie amat pakar dalam menjahit fesyen pakaian baju kurung dan kebaya". Juwie telah menemu bual Mimie selepas majlis sambutan harijadi mak nyah popular itu yang ke-45 tahun di Kuala Lumpur pada September 1992.

        "Aku tidak minta dilahirkan begini. Diriku tidak ada tempat dalam masyarakat.
        Mereka memanggil aku... pondan" - petikan dialog Mimie Zarina
        daripada filem Bas Kondaktor (1986) arahan Z. Lokman
        Petikan filem O.K. (1990) arahan Aziz Sattar

        10 February 2011

        Azmi Mahmud (1991)

        Azmi Mahmud ialah penjaga gol pasukan bolasepak negeri Kedah yang terkenal pada awal 1990-an. Beliau menjadi tumpuan peminat sukan tanahair setelah pasukan Kedah berjaya menumpaskan pasukan Singapura dalam pertandingan akhir Piala Malaysia pada 15 Disember 1990. Selepas Radhi Mat Din ditemubual oleh Juwie untuk ruangan Sehari Dalam Hidup, kini giliran Azmi pula.

        Mohd Azmi Mahmud lahir pada 6 Mei 1967 di Parit Buntar, Perak. Ya, beliau bukan anak jati Kedah, tetapi ketika di tingkatan empat beliau telah melanjutkan pelajaran ke Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) di Alor Setar, Kedah. Semasa di KSAH, Azmi terpilih untuk mewakili pasukan Sekolah-Sekolah Kedah dalam pertandingan Piala Rahman semasa acara Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM). Ketika di tingkatan lima pula, Azmi yang sememangnya dari awal telah bermain dalam posisi penjaga gol, telah terpilih untuk mewakili pasukan Pelajar Malaysia dalam Pertandingan Bolasepak Sekolah-Sekolah Asia yang diadakan di Jakarta, Indonesia. Pasukan Pelajar Malaysia mendapat tempat ketiga dalam pertandingan tersebut.

        Sebaik sahaja tamat persekolahan, Azmi mula bermain untuk pasukan Kedah dalam pertandingan Piala Presiden pada 1986 hingga 1988. Dalam usia 20 tahun, Azmi Mahmud akhirnya terpilih untuk menyertai Pasukan Malaysia di samping khidmat tetap beliau dalam pasukan Kedah. Pada 1990 Azmi menerima Pingat Jaksa Kebaktian yang dikurniakan oleh Sultan Kedah. Hobi Azmi ialah bermain video game di kompleks City Point dan menonton filem Hindustan di TV2. Azmi Mahmud memandu kereta Proton Knight!

        03 February 2011

        Radhi Mat Din (1989)

        Radhi Mat Din adalah salah seorang daripada pemain bolasepak pasukan negeri Kedah yang popular pada hujung 1980-an. Sesiapa sahaja yang terpilih untuk ditemubual oleh wartawan hiburan Juwie dalam ruangan Sehari Dalam Hidup ini boleh dikatakan seorang yang popular. Tambahan pula tidak ramai ahli sukan yang mendapat perhatian dalam ruangan hiburan.

        Radhi Mat Din atau Di lahir pada 17 Julai 1965 di Pokok Sena, Alor Setar, Kedah. Ketika itu beliau bermain bolasepak untuk pasukan Kedah di bahagian midfield, di samping kerja tetap beliau sebagai kerani di pejabat Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah.

        Tidak lengkap sebuah temubual dengan wartawan hiburan tempatan sekiranya tidak menyentuh soal makan dan minum. Peminat hiburan terutamanya di Malaysia berasa amat bertuah apabila mengetahui seorang selebriti sukan seperti Radhi bersarapan cucur kodok pisang dengan air kopi, tidak jauh bezanya daripada mereka semua. Apalah gunanya bercerita mengenai sarapan sekiranya tidak bercerita mengenai makan tengahari. "Wow! Best tau!" komen Juwie apabila Radhi memberitahu bahawa dia "suka makan nasi lauk sambal tumis ikan bilis campur petai". Makan malam? "Sekarang ni tengah musim durian, jadi Di suka makan pulut sama durian", "Sambil tu kami makan garam-belacan dengan nenas atau mangga". Maka begitulah temubual ini mendapat tajuknya: "Suka makan garam-belacan"!
        Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...