Showing posts with label Noreen Noor. Show all posts
Showing posts with label Noreen Noor. Show all posts

14 April 2014

Perkahwinan Noreen Noor (1990)

Pelakon terkenal Noreen Noor berkahwin buat kali ke-2 pada 27 Disember 1990. Perkahwinan tersebut dibuat secara sederhana tanpa mendapat publisiti pihak media. Hanya pada pertengahan Januari 1991 barulah majalah URTV dapat menyiarkan kisah perkahwinan itu - yang bertajuk "Noreen Noor kahwin senyap-senyap" - dengan gambar-gambar eksklusif yang disumbangkan oleh pihak luar.


Noreen Noor (31 tahun) berkahwin dengan Baharuddin Ngah (40 tahun), seorang pegawai tinggi Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) yang berasal dari Terengganu. Percintaan mereka berlangsung tidak sampai setahun iaitu bermula dengan perkenalan pada awal 1990 sehinggalah perkahwinan pada hujung tahun yang sama. Tahun berikutnya, Noreen Noor telah melahirkan anak kandung tunggalnya, Danial Baharuddin.



Nota tambahan:
Noreen Noor berkahwin kali pertama pada 11 Ogos 1984, ketika berusia 25 tahun. Suami pertamanya ialah kerabat Diraja Pahang, Tengku Kamaruzzaman Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar, seorang pegawai tentera. Mereka tidak dikurniakan anak. Pada 1987, Noreen Noor telah berpisah dengan Tengku Kamaruzzaman, dan mereka bercerai secara sah tidak lama kemudian. Hujung 1989, Noreen Noor membuat pengakuan tentang perceraiannya itu, dan majalah URTV telah menyiarkan kembali gambar lama Noreen Noor bersama bekas suami pertamanya seperti di bawah.

Noreen Noor bersama bekas suami pertama

03 April 2012

Nissan Stanza - Noreen Noor (1983)

Sekiranya pada 1982 penyanyi pop Mazuin Hamzah terpilih untuk mengiklankan kereta Datsun Pulsar, pada tahun berikutnya pelakon terkenal Noreen Noor pula terpilih untuk mengiklankan sebuah lagi jenama kereta. Nissan Stanza 1600 dikatakan sebagai "kereta masa depan" dengan ciri seperti "kotak gear 5 kelajuan yang comel" dan sebagainya. Sebelum terkenal melalui filem Talak pada 1984, Noreen merupakan seorang penyanyi, tetapi agak kurang terkenal. Dalam tahun 1983 juga Noreen telah mengeluarkan sebuah album berjudul Kepastian di mana syarikat pengedar kereta Tan Chong & Sons turut terlibat dalam merekabentuk kulit album itu yang menampilkan gambar Noreen melentikkan badannya di sisi sebuah kereta.

Nota tambahan:
Tandatangan, Noreen Noor.

26 May 2011

Hilangnya artis simbol seks (1993)

Di Malaysia istilah "simbol seks" biasanya dikaitkan dengan penyanyi atau pelakon (umumnya disebut sebagai artis) yang sering tampil dengan gaya seksi atau mempunyai daya tarikan seksual. Walau bagaimanapun, hampir keseluruhan penulis hiburan tempatan akan menggunakan istilah simbol seks hanya untuk artis perempuan sahaja.

Apabila membicarakan tentang simbol seks, secara tipikalnya hanya artis (terutamanya perempuan) yang akan dikaitkan dengan istilah tersebut dan bukannya golongan selebriti lain seperti pemuzik, pengarah filem, bintang sukan, model, personaliti televisyen dan sebagainya. Mungkin juga kerana hanya artis yang dilihat lebih gemar berketerampilan seksi berbanding golongan selebriti lain, atau lebih tepat lagi hanya artis sahaja yang sebenarnya sering ditonjolkan oleh media cetak terutamanya akhbar tabloid dan majalah hiburan dalam gaya yang membolehkan mereka digelar sebagai simbol seks. Dalam erti kata lain, akhbar tabloid dan majalah hiburan sebenarnya mencipta artis simbol seks serta membantu mereka mengekalkan gelaran tersebut. Artis simbol seks tidak wujud dengan sendirinya.

Penciptaan artis simbol seks dianggap penting dalam membantu melariskan jualan akhbar tabloid dan majalah hiburan serta produk-produk keluaran artis tersebut seperti album dan filem. Dekad 1970-an hingga 1990-an adalah era penciptaan artis simbol seks tempatan. Istilah simbol seks secara umumnya mungkin dianggap sebagai provokatif (terutamanya pada masa kini di mana ia tidak lagi digunakan dengan meluas) tetapi di Malaysia pada suatu ketika dahulu gelaran simbol seks diterima sebagai sesuatu yang lumrah dan tidak bersifat mencerca. Antara artis yang pernah digelar sebagai simbol seks dalam tahun 1980-an ialah seperti Maria Arshad, Noorkumalasari, Sahara Yaakob, Noreen Noor dan Rosnah Mohd Noor. Apabila mereka tidak lagi aktif dalam bidang hiburan pada awal 1990-an, maka pihak media cetak pun memulakan penciptaan artis simbol seks generasi baru seperti Zarina Zainuddin, Sofia Jane, Ramziela dan Nor Albaniah!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...