Showing posts with label Juwie. Show all posts
Showing posts with label Juwie. Show all posts

16 December 2013

Juwie Juwie Juwie (1987 & 1989)

Pada 1987, kumpulan rock BumiPutra Rockers (BPR) telah mengeluarkan album pertama mereka yang berjudul Selamat Pagi Malaysia. Salah satu lagu dalam album tersebut berjudul Juwie Juwie Juwie, hasil ciptaan kumpulan BPR sendiri, manakala senikatanya ditulis oleh penyanyi kumpulan itu, Joey.

Juwie mungkin satu-satunya penulis senikata Malaysia yang namanya diabadikan oleh penulis senikata lain sebagai subjek untuk sebuah lagu, dan ini berlaku seawal 1987. Walau bagaimanapun, senikata lagu Juwie Juwie Juwie bukanlah menceritakan tentang Juwie seorang penulis senikata, tetapi merujuk kepada Juwie (yang turut digelar "Mama") seorang wartawan hiburan yang sangat terkenal pada 1980-an.

Senikata lagu rock Juwie Juwie Juwie berbentuk santai & menunjukkan penghargaan penulisnya terhadap peranan wartawan hiburan bernama Juwie dalam memeriahkan dunia artis dan hiburan di Malaysia pada waktu itu. Dalam senikata itu, artis baru (termasuklah kumpulan BPR) digambarkan mendambakan perhatian Juwie bagi dipaparkan dalam ruangan kelolaannya yang sangat popular dalam majalah URTV dan akhbar Mingguan Malaysia.

Juwie menjadi ikon dalam bidang penulisan hiburan di Malaysia pada 1980-an. Di atas ialah logo untuk ruangan tetap "Auw!!" kelolaan Juwie yang diterbitkan secara mingguan dalam akhbar sisipan Pancaindera (Utusan Malaysia edisi Jumaat) pada 1987.

JUWIE JUWIE JUWIE
(pencipta lagu: BumiPutra Rockers / penulis senikata: Joey)

Majalah hiburan banyak di pasaran
Berbagai kisah di sana sini
Gosip para artis, cerita nan romantis
Di bawah kelolaan Juwie

Ramai artis Mama liputkan
Ramai muda-mudi yang turut serta
Mama paparkan penyanyi, Mama paparkan pelakon
Tapi kami yang Mama lupa

Juwie, Juwie, Juwie
Tulis nama ku di dalam ruangan mu
Juwie, Juwie, Juwie
Papar gambar ku di halaman majalah mu

Ku lihat Mama di URTV
Ku terbaca di Mingguan Malaysia
Poster warna-warni, fesyen menarik hati
Pasti akan ku beli



Pada 1989, sempena ulangtahun ke-50 akhbar Utusan Malaysia, wartawan hiburan senior, Bahyah Mahmud (BAM), telah menulis sebuah artikel khas bagi menghargai peranan besar Juwie dalam penulisan hiburan, khususnya zaman setelah Juwie berpindah kerja daripada Berita Harian kepada Utusan Malaysia.

BAM turut menceritakan serba sedikit kisah peribadi Juwie, yang nama sebenarnya ialah Abdul Jalil Salleh, dan merupakan seorang khunsa yang tidak berselindung mengenai status kejantinaannya. Menurut BAM, keadaan diri Juwie yang sebegitu menyebabkannya pernah mengalami tekanan jiwa yang kuat sehingga terpaksa mendapatkan khidmat pakar perubatan. Juwie dikatakan pernah cuba untuk menukar jantinanya di Singapura pada 1970 (zaman persekolahannya) tetapi membatalkan hasrat tersebut setelah mendapat nasihat oleh pakar jiwa dan ibu bapanya.

29 Mei 1989

Beberapa maklumat & petikan mengenai/oleh Juwie dalam artikel tersebut:
  • Juwie lahir di Singapura pada 9 Julai (tahun tidak dinyatakan). Bapanya berasal dari Johor dan merupakan bekas anggota polis di Singapura. Ibunya berasal dari Melaka.
  • Juwie mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Sang Nila Utama, Singapura; Yayasan Anda Akademik, Kuala Lumpur (Sijil Tinggi Persekolahan); Institut Teknologi MARA, Shah Alam, Selangor (kursus perhotelan selama 3 bulan).
  • Juwie mula bekerja pada 1974 sebagai wartawan di akhbar Berita Harian dan berkhidmat di situ hampir 10 tahun sebelum berpindah ke akhbar Utusan Malaysia pada sekitar pertengahan 1980-an.
Kata BAM:
  • "Dia menggunakan nama Juwie sebagai nama seorang mak nyah"
  • "Pernah juga orang menelefon bertanya: Juwie tu lelaki ke perempuan? Suaranya lembut.. romantik!"
  • "Juwie yang terkenal dengan sifat peramah dan mudah mesra"
  • "Dia mahu semua tulisannya adalah benar. Tidak ada penafian. Lantaran itu dia sentiasa berhati-hati pada setiap kisah yang dipaparkan"
  • "Juwie tidak pernah menghampakan harapan seseorang artis. Apa yang diceritakan oleh artis, itulah yang ditulisnya tanpa tokok tambah. Apa lagi untuk menulis hal-hal yang tidak pernah dibualkan"
  • "Pernah dulu dia membuat keputusan untuk berhenti kerja gara-gara dia diarahkan oleh boss nya menulis dengan tujuan jahat untuk memfitnahkan serta mendedahkan keaiban seorang artis ternama tanahair"
  • "Juwie telah banyak menempuh kesengsaraan, tekanan jiwa untuk hidup dan menyesuaikan diri dalam masyarakat yang kurang memahami kehidupan insan-insan mak nyah"
  • "Juwie mengaku jiwanya sering terseksa dengan cemuhan masyarakat"
  • "Demikian pengakuan Juwie yang terus terang menyatakan dia adalah bekas pesakit jiwa yang selama 14 tahun menerima rawatan, masuk wad keluar wad iaitu di wad sakit jiwa di Singapura, Johor Baharu dan Kuala Lumpur"
  • "Dia banyak mendapat bimbingan moral Islam dari Encik Anwar Ibrahim (Menteri Pendidikan) yang pada ketika itu (zaman persekolahan Juwie) menjadi Pengarah Yayasan Anda Akademik"
Kata Juwie:
  • "Saya ni pondan! Memang sudah ditakdirkan saya dilahirkan sebagai khunsa! Ini bukan kehendak ku. Dan bukan juga doa ibu bapa ku"
  • "Aku anggap penderitaan jiwa dalam diri ku ini sebagai dugaan Allah. Tentunya ada muslihat di sebalik derita dan keanehan insan seperti ku ini"
  • "Aku yakin, Tuhan tidak lahirkan aku untuk derita di dunia ini. Aku juga yakin, bahawa penderitaan itu suatu rahmat Allah. Dengan menghayati penderitaan itu aku bertambah insaf. Aku rasa bertambah dekat padaNya"

Nota tambahan:
  1. Maksud khunsa dalam Kamus Dewan: "orang yg mempunyai dua alat kelamin".
  2. Pada 1990, M. Nasir muncul dengan senikata lagu Midnight Blues (persembahan kumpulan Wings) yang seakan-akan merujuk kepada Juwie dalam rangkap pertama: "Si manis di belakang Kowloon rupanya sang khunsa. Ada jua wajah yang pernah ku lihat di akhbar, auw!". Rangkap lain senikata lagu itu turut menyentuh beberapa golongan "tersisih" yang disimpulkan sebagai "sampah masyarakat". Juwie melalui ruangannya dalam akhbar sisipan Pancaindera (Mingguan Malaysia, 18 Mac 1990) telah mengecam penulisan senikata oleh M. Nasir itu yang dianggapnya sebagai sangat kasar dan berunsur menghina. Kata Juwie, "Lirik itu ternyata menghina. Kita hidup tidak boleh menghina makhluk Allah. Siapalah diri kita hendak menghina orang lain?". Tambah Juwie, "Sepatutnya M. Nasir bersyukur atas nikmat Allah yang telah memberikan kemewahan padanya sebagai orang Singapura yang dapat menumpang mencari rezeki di Malaysia".
  3. Juwie pernah berlakon watak kecil dalam filem Tuan Badul (1979), tetapi ketika itu dia belum menggunakan nama Juwie, dan namanya dikreditkan sebagai "Jalil Salleh".
"Abang Din nak epal?" - antara dialog Jalil Salleh (Juwie)
yang melakonkan watak Siti dalam filem Tuan Badul (1979)

01 October 2010

Majalah Mangga (1995)

Majalah Mangga diterbitkan oleh Utusan Melayu (M) Berhad mulai April 1995. Ketika itu konsep dan kandungan Mangga bukanlah seperti yang dikenali umum ketika ini. Majalah bulanan bersaiz kecil setebal lebih kurang 80 mukasurat ini pada mulanya menampilkan slogan Bukan Sebarang Komik. Ya, komik. Kerana itulah nama majalah ini tidak menjurus kepada dunia hiburan, muzik atau filem, sebaliknya nama yang lebih umum dan sedikit keanak-anakan.

Kandungan Mangga pada mulanya adalah gabungan separuh kartun dan komik, dan separuh lagi kisah dunia hiburan tempatan. Dengan itu muka depannya juga menampilkan gabungan lukisan (kartun atau karikatur) dan gambar-gambar artis pada masa yang sama. Kartun yang disiarkan di bahagian dalam juga kadang-kadang menyentuh isu semasa, dunia politik dan sukan, selain kartun komedi yang biasa dilihat. Terdapat juga beberapa ruangan komik bersiri yang bergenre drama, dan bukan komedi. Ruangan hiburannya pula seperti majalah hiburan lain, memaparkan kisah peribadi artis, dan sedikit publisiti album serta filem terbaru. Pengarang utama Mangga ketika itu seperti ramai yang telah tahu ialah Juwie.

Hasil gabungan komik, kartun, dan dunia hiburan dalam kandungan Mangga ketika itu telah mendapat perhatian begitu ramai serta pelbagai golongan pembaca. Pada keluaran ke-8 (tidak sampai setahun diterbitkan) seperti yang ditunjukkan dalam gambar di atas, Juwie mengumumkan bahawa Mangga ketika itu telah mencecah edaran sebanyak 75,000 naskah sebulan. Dalam tahun 1997 (setelah lebih 2 tahun diterbitkan) muka depan Mangga dengan bangganya mencetak bahawa jumlah edarannya telah mencecah lebih 200,000 naskah sebulan! Dalam tahun 1998 pula terdapat label 'Lebih 1 juta pembaca' pada muka depan Mangga. Tidak lama kemudian bilangan mukasuratnya juga ditambah kepada lebih 100 mukasurat, di mana iklan para penaja berselang seli disiarkan dengan banyaknya.

Kemudian secara perlahan-lahan juga dapat dilihat pengurangan dalam penyiaran kartun dan komik yang menjadi tunjang awal kandungan Mangga, malah kadang-kadang tiada langsung gambaran komik pada muka depannya walaupun masih menggunakan slogan Bukan Sebarang Komik. Ruangan komik di bahagian dalam juga yang pada awalnya menggunakan lebih 40 mukasurat telah dikurangkan menjadi tidak sampai 10 mukasurat dan kian hari semakin berkurangan. Akhirnya dalam tahun 2002 (setelah 7 tahun diterbitkan) slogan majalah Mangga telah ditukar kepada Bukan Sebarang Hiburan.

Seperti yang diketahui umum ketika ini, majalah Mangga lebih dikenali sebagai sebuah majalah hiburan bahasa Melayu yang masih mengekalkan sesi fotografi di sekitar kolam renang mahupun kawasan sejenis dengannya seperti taman air, pantai, dan sebagainya. Sebelum kewujudan Mangga, telah banyak majalah hiburan lain yang mengambil pendekatan yang serupa, lihat sahaja majalah lama VariaPop, Media Hiburan, Pesta dan beberapa lagi yang terkenal dalam dekad 1980-an dan 1990-an, semuanya tidak lekang daripada sesi fotografi sebegitu. Namun kini majalah hiburan bersaiz besar tersebut sama ada telah tidak diterbitkan atau tidak lagi menerbitkan fotografi sedemikian rupa. Oleh itu yang kekal menerbitkan fotografi sekitar kolam renang sekarang cumalah majalah Mangga.

Kekerapan penyiaran gambar sekitar kolam renang dalam majalah Mangga kemudiannya mula disedari oleh orang ramai yang tidak gemarkan paparan sebegitu, tapi entah kenapa mereka sering saja mendapat peluang sama ada sengaja atau tidak untuk melihat gambar-gambar sedemikian. Mungkin atas hasil rungutan atau teguran golongan tersebut, maka dalam tahun 2005 muncullah slogan 'Berenang Untuk Kesihatan' atau 'Berenang Menyihatkan Badan' bagi menghiasi ruangan yang melibatkan fotografi sekitar kolam renang. Slogan tersebut dipelopori oleh gambar para peserta rancangan Akademi Fantasia 2.

Slogan 'Berenang Untuk Kesihatan' juga seakan menjadi penggalak kepada lebih banyak penyiaran gambar-gambar sedemikian rupa. Sekiranya dulu lebih banyak model yang bergambar di tepian kolam renang sahaja, kini banyak juga model yang disuruh menampilkan aksi seperti berenang di dalam kolam renang untuk menjadikan foto mereka selari dengan slogan tersebut.

Setelah lebih 10 tahun diterbitkan, akhirnya dalam tahun 2007 Juwie meninggalkan jawatan Pengarang majalah Mangga.


Osama Bin Laden pernah menghiasi muka depan Mangga keluaran November 2001. Gambar pin-up dan biodata beliau turut disiarkan di bahagian dalam.

Variasi poster muka tengah Mangga:

Keluaran Jun 2007 (kiri) & Julai 2007 (kanan)

02 February 2009

Ramziela dan kucing hitam (1990)

7 Oktober 1990, nampak macam Majalah Mangga kan? Tapi masa itu mana ada Mangga. Namun yang pasti orang kuat Mangga memang berasal daripada Pancaindera Mingguan Malaysia. Juwie, setiap minggu dalam ruangan Poster Kelolaan Juwie pasti akan menghidangkan foto-foto artis terkenal mengikut siapa yang sedang popular dan artis yang paling banyak permintaan daripada peminat. Dan pastinya artis yang 'berani mati' atau paling seksi ketika itu mendapat keutamaan. Contohnya Ramziela, diangkat sebagai artis paling seksi 1990! Walaupun prestasi nyanyiannya tidaklah membanggakan. Kini foto-foto sebegini telah tiada lagi di akhbar Pancaindera. Sebaliknya bercambah lebih banyak menerusi majalah Mangga.

Namun begitu, ruangan Poster Kelolaan Juwie tidak hanya diingati dengan aksi 'maut berani mati' sebegini, sebaliknya turut dingati dengan paparan poster Metallica, Testament, Over Kill, Bon Jovi, Yngwie Malmsteen, Bruce Dickinson dan banyak lagi artis/kumpulan rock/metal luar negara, dan pastinya ratusan kumpulan rock kapak tempatan pernah menghiasi ruangan Poster Kelolaan Juwie yang cukup terkenal itu. Kini semuanya sudah berakhir.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...