Showing posts with label Ramlah Ram. Show all posts
Showing posts with label Ramlah Ram. Show all posts

23 December 2013

Anugerah Industri Muzik - AIM ke-3 (1996)

Majlis Anugerah Industri Muzik (AIM) kali ke-3 telah berlangsung pada 23 Mac 1996 (Sabtu) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. Ia dianjurkan oleh MAPV (Persatuan Pengeluar dan Pengedar Fonogram & Videogram Malaysia) dan buat pertama kalinya disiarkan secara langsung di televisyen melalui saluran RTM. AIM ke-3 diacarakan oleh Harith Iskander dan Kassandra Kassim. Kumpulan KOOL diberi peluang membuat persembahan pembukaan, manakala artis yang membuat persembahan selingan pula terdiri daripada Amelina, kumpulan Shades, Salleh Yaacob, Ramlah Ram, kumpulan Search, Sheila Majid dan lain-lain.

Para pemenang AIM ke-3 semasa segmen penutup (atas)
& para hadirin/penonton (bawah)

Berikut ialah senarai calon-calon akhir & para pemenang AIM ke-3 dalam kategori-kategori yang telah sedia wujud:

ALBUM TERBAIK
Unplugged Gema Di Timur Jauh (Search) - Pemenang (Penerbit: Search)
Awie Live Unplugged (Awie)
Man Bai (Man Bai)
Terang... Sang (Zainal Abidin)
Wajah (Aishah)

ALBUM POP TERBAIK
Wajah (Aishah) - Pemenang (Penerbit: Azlina & Azlan Abu Hassan, Fauzi Marzuki, Jari, Jenny Chin, Johan Abdullah, Mac Chew & Ross Ariffin)
Awas Da'Soundtrack (KRU)
Man Bai (Man Bai)
Setia Ku Di Sini (Ziana Zain)
Unplugged Gema Di Timur Jauh (Search)

ALBUM ROCK TERBAIK
Gema Di Timur Jauh (Search) - Pemenang (Penerbit: Search)
Idelogi (MAY)
Jujur (Spring)
Orang Asing (Wings)
Slash (Slash)

ALBUM IRAMA TRADISIONAL TERBAIK
Asyik (Amelina) - Pemenang (Penerbit: Iwan & Ruslan Mamat)
Angkat Kaki (Sheeda)
Jeling Menjeling (S.M. Salim & Yusni Hamid)
Melayu Klasik (Uji Rashid & Hail Amir)
Nota: Dalam AIM ke-2 (1995), kategori di atas bernama Album Tradisional Terbaik. Nama kategori ditukar menjadi Album Irama Tradisional Terbaik kerana album-album yang dicalonkan "bukan benar-benar 100 peratus bersifat tradisional".
LAGU TERBAIK
Jentayu (Nora, Sheila Majid & Johan Nawawi) - Pemenang (Pencipta: Johan Nawawi. Penulis lirik: Usman Awang)
Cinta Beralih Arah (Aishah)
Gerimis Mengundang (Slam)
Kau Ilhamku (Man Bai)
Teguh (Ning Baizura)

VOKAL TERBAIK (LELAKI)
Awie (Awie Live Unplugged) - Pemenang
Amy Search (Gema Di Timur Jauh)
Ayai (Illusi)
Man Bai (Man Bai)
Zamani Slam (Terbaik Slam)

VOKAL TERBAIK (WANITA)
Ziana Zain (Setia Ku Di Sini) - Pemenang
Aishah (Wajah)
Nora (Debaran)
Ramlah Ram (Ramlah Ram)
Sharifah Aini (Seraut Wajah Semerdu Suara)

VOKAL TERBAIK (BERKUMPULAN)
Nora, Sheila Majid & Johan Nawawi (Jentayu) - Pemenang
KOOL (KOOL)
Shades (Shades)
Uji Rashid & Hail Amir (Melayu Klasik)
Wings (Orang Asing)
Nota: 1) Syarat pencalonan dipinda bagi membenarkan hanya kumpulan yang mempunyai lebih dari seorang penyanyi dicalonkan dalam kategori Vokal Terbaik - Berkumpulan. Dalam AIM terdahulu, kumpulan-kumpulan yang hanya mempunyai seorang penyanyi (terutamanya kumpulan muzik rock) juga dapat dicalonkan. 2) Kumpulan Wings melalui album Orang Asing mempunyai dua orang penyanyi iaitu Mel & Joe.
ARTIS BARU TERBAIK (LELAKI)
Man Bai - Pemenang
Adik Irwan
Ayai
Korie
Shamsul Ghau Ghau
Nota: Syarat pencalonan dipinda bagi membenarkan artis yang pernah merakamkan album bersama kumpulan muzik (seperti Man Bai - Gersang, dan Ayai - Illusi) diiktiraf sebagai artis baru setelah masing-masing merakamkan album secara solo. Syarat tersebut juga digunakan untuk kategori Artis Baru Terbaik - Wanita. Syarat tersebut dianggap adil kerana terdapat artis yang pernah merakamkan album secara solo dan kemudiannya menyertai sebuah kumpulan lalu diiktiraf sebagai artis baru, contohnya kumpulan KOOL yang menampilkan penyanyi lama, Hairee.
ARTIS BARU TERBAIK (WANITA)
Nurul - Pemenang
Azie
Farra
Min Malik
Sheeda

ARTIS BARU TERBAIK (BERKUMPULAN)
Shades - Pemenang
A To Z
KOOL
KU2

KULIT ALBUM TERBAIK
Debaran (Nora) - Pemenang (Perekabentuk: Foo Chi Wei)
Bukan Niatku (Iklim)
Farra (Farra)
Man Bai (Man Bai)
Setia Ku Di Sini (Ziana Zain)

VIDEO MUZIK TERBAIK
Sahabat (Fauziah Latiff) - Pemenang (Pengarah: C.L. Hor)
60's TV (OAG)
Kau Ilhamku (Man Bai)
Tumandong Kito (Zainal Abidin)
You & I (Ning Baizura)

RAKAMAN ALBUM TERBAIK
Di Suatu Hari Di Suatu Waktu (Teacher's Pet) - Pemenang (Jururakam: Amir, Dot & Razman)
Gitarmental (U.K's)
Motivasi (KU2)
Pictures (Michael Veerapen)
Unplugged Gema Di Timur Jauh (Search)

ANUGERAH SRI WIRAMA
Dato' Ahmad Merican

Berikut pula ialah senarai calon-calon akhir & para pemenang AIM ke-3 dalam kategori-kategori yang baru diwujudkan:

ALBUM INGGERIS TEMPATAN TERBAIK
Some Of This Is Real (Amir Yusoff) - Pemenang (Penerbit: Amir Yusoff)
Grey (Saturnine)
OAG (OAG)

ANUGERAH KEMBARA MALAYSIA
Sheila Majid

ANUGERAH KEMBARA ASING
Sandii Suzuki (Jepun)
Nota: Kategori yang dihapuskan dalam AIM ke-3 (1996) ialah Album Antarabangsa Terbaik yang diperkenalkan dalam AIM ke-2 (1995). Namun, mulai AIM ke-4 (1997) diperkenalkan pula kategori Album Indonesia Terbaik.
Sheila Majid (kiri) & kumpulan Search (kanan) membuat persembahan
Para pemenang AIM ke-3: Awie (kiri) & kumpulan Search (kanan)
Amelina, pemenang AIM ke-3, turut membuat persembahan
Sandii Suzuki, pemenang pertama & terakhir Anugerah Kembara Asing
Banyak lagi foto AIM ke-3 di bawah:

25 December 2011

Kemalangan jalan raya 4 artis terkenal (1990)

Apabila mengimbas kembali kisah kemalangan jalan raya yang melibatkan artis terkenal pada 1990, nama Zaiton Sameon yang akan muncul dahulu kerana kesan yang menimpa beliau dianggap sangat tragis hingga ke hari ini. Oleh kerana itu tidak ramai orang yang mengingati kisah-kisah 'kemalangan popular' lain yang berlaku pada tahun yang sama.

Pada 18 Jun 1990 berlaku kemalangan yang melibatkan dua buah kereta di Gombak, Selangor. Salah sebuah kereta dinaiki oleh pemain gitar terkenal, Man Kidal, daripada kumpulan rock Lefthanded. Kemalangan yang berlaku pada pukul 10.00 malam itu mengakibatkan kematian anak bongsu Man Kidal iaitu Syafida yang berusia 18 bulan. Kereta yang mereka naiki ketika itu dipandu oleh pemain dram Lefthanded, Man Dayak, yang mengalami cedera ringan. Penumpang lain dalam kereta tersebut ialah 3 ahli keluarga Man Kidal iaitu isterinya, anak sulungnya (Farah) dan adik iparnya. Kesemua mereka mengalami kecederaan kecil.

Keesokan harinya, pada 19 Jun 1990 berlaku pula kemalangan yang melibatkan penyanyi Azmeer (kini pencipta lagu) dan Ramlah Ram. Kereta yang mereka naiki bersama ketika itu dipandu oleh sepupu Ramlah yang bernama Hamdan Harun. Mereka bertiga dalam perjalanan untuk keluar makan apabila kemalangan itu berlaku di Jalan Damansara, Kuala Lumpur pada pukul 11.30 malam. Akibat kemalangan tersebut, Azmeer yang duduk di kerusi penumpang bahagian depan cedera serius di bahagian muka dan mata kanannya dimasuki kaca, manakala Ramlah dan Hamdan sekadar cedera ringan.

Azmeer dibawa ke wad kecemasan Hospital Universiti pada pukul 12.33 tengah malam. "Menurut keterangan yang dikeluarkan oleh Pengarah Hospital Universiti, Dr. Gurmukh Singh, bahagian muka Azmeer dipenuhi kaca ketika dibawa ke wad kecemasan hospital tersebut". Pada awal pagi 20 Jun itu Azmeer terus menjalani pembedahan pertama yang tamat pada pukul 3.30 pagi. Pada petang hari yang sama keluarga Azmeer yang berasal dari Singapura telah mendapat kebenaran daripada Hospital Universiti untuk memindahkan Azmeer ke Hospital Besar Singapura. Azmeer dibawa keluar dari Hospital Universiti dengan kawalan rapi oleh ahli keluarganya yang menghalang para jurugambar daripada merakamkan wajah Azmeer secara dekat. Untuk pengetahuan, kemalangan tersebut bukanlah yang pertama buat Azmeer kerana beliau "pernah terlibat dalam satu kemalangan hingga mengakibatkan tangan kirinya cacat"

Kedua-dua kemalangan tersebut sememangnya tidak dapat 'menandingi' tragedi yang berlaku lebih awal pada 21 Februari 1990. Kisah sedih yang menimpa Zaiton Sameon itu kini sedang difilemkan dan akan ditayangkan pada 2012. Penyanyi popular 1980-an itu cedera parah di bahagian kepala setelah terlibat dalam kemalangan di Jalan Kuala Lumpur-Ipoh dekat Batang Kali. Kecederaan Zaiton dikatakan telah melemahkan daya ingatannya hingga memusnahkan terus kegemilangan yang pernah dikecapinya sebagai penyanyi suatu masa dahulu. Lebih menambahkan kesengsaraan ialah apabila anak tunggal Zaiton, Azirwan Abu Bakar, meninggal dunia dalam kemalangan yang sama. Van yang mereka naiki telah dilanggar oleh lori dalam kemalangan dahsyat itu (ada digambarkan dalam filem). Seorang lagi yang meninggal dunia ialah pemuzik pengiring Zaiton, Ismail Shaari.

Di bawah ialah gambar-gambar Zaiton Sameon semasa dirawat di Hospital Besar, Kuala Lumpur pada sekitar April 1990, iaitu semasa musim Hari Raya Aidilfitri:



Zaiton Sameon terlantar di Wad ICU & Wad 6A, Hospital Besar, Kuala Lumpur selama 83 hari sejak hari pertama kemalangannya. Gambar-gambar di bawah ialah keadaan beliau semasa hari terakhirnya di hospital itu pada 14 Mei 1990 sebelum dibenarkan pulang ke rumah. Masih kelihatan jelas kesan parut pada bahagian leher dan bawah mulutnya. Kakitangan hospital dan para peminat melambaikan tangan semasa melihat Zaiton dibawa pulang oleh ahli keluarganya.



Menurut cerita kakak Zaiton iaitu Lily Sameon, sejurus selepas kemalangan berlaku Zaiton dibawa ke Wad ICU dalam keadaan koma, mukanya bengkak serta patah kaki kiri. Melihat keadaan Zaiton ketika itu, doktor yang merawatnya meramalkan yang Zaiton tidak mempunyai harapan untuk hidup. Menurut Lily lagi, dalam proses rawatan selanjutnya semasa di hospital selepas itu, Zaiton sering meracau dan tidak dapat tidur. Keluarnya Zaiton dari hospital dalam keadaan selamat telah menidakkan ramalan awal doktor. Zaiton mungkin dilihat tidak sembuh sepenuhnya seperti keadaan asal semasa beliau bergelar penyanyi popular dahulu, tetapi pada ahli keluarganya Zaiton Sameon telah "hidup semula"

21 January 2011

Anugerah Janda Hot (2011)



Majalah Media Hiburan keluaran bulan Januari 2011 telah menyiarkan senarai pencalonan awal untuk Anugerah PPMH (Pilihan Pembaca Media Hiburan) 2010/2011. Pelbagai kategori anugerah telah disediakan untuk para pembaca memilih siapakah selebriti Top 5 pilihan masing-masing bagi setiap kategori.

Salah satu kategori yang disediakan ialah Anugerah Janda Hot yang menyenaraikan selebriti wanita yang telah bercerai tetapi masih dianggap mempunyai daya tarikan tersendiri. Calon-calonnya ialah:

Abby Abadi, Norish Karman, Maya Karin, Watie Elite, Sarimah Ibrahim, Rozita Che Wan, Anne Ngasri, Wan Sharmila, Nurul Wahab, Raja Azura, Nora Danish, Natasha Hudson, Siti Nordiana, Ramlah Ram, Noraniza Idris, Fauziah Latiff, Azharina, Atilia, Dira, Azza Elite, Fiza Elite, Farah Asyikin, Wan Nor Azlin, Anne Abdullah, Emma Akma, Mas Idayu.

Anugerah Janda Hot mungkin sesuatu yang tidak terdapat dalam dunia hiburan di negara lain. Tetapi di Malaysia, terutamanya pada masa kini, status kejandaan seseorang selebriti wanita merupakan antara bahan gosip terlaris dalam media cetak dan elektronik. Situasi tersebut yang suatu masa dahulu mungkin kurang digembar-gemburkan malah dianggap tabu, tetapi kini siapa sangka gelaran Janda Hot sudah semakin hampir untuk menyaingi populariti gelaran Artis Seksi. Janda kini diiktiraf dengan anugerah dan populariti, malah Janda mampu dijadikan sebagai jenama produk. Dalam erti kata lain, Janda itu okey.

Kemaskini 29 Januari 2012:
Anugerah Janda Hot 2011 dimenangi oleh Nora Danish.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...