Showing posts with label cium. Show all posts
Showing posts with label cium. Show all posts

30 December 2013

Filem 18SX pertama - Litar Kasih (1996)

"Filem Litar Kasih terbitan United Movie mencatat sejarah sebagai filem Melayu pertama yang diklasifikasikan", lapor Utusan Malaysia pada 25 Januari 1996.

Sebelum 1996, sistem klasifikasi - atau pengkelasan filem mengikut kategori tertentu - tidak wujud di Malaysia. Filem Litar Kasih arahan Eddie Pak menjadi filem tempatan yang pertama sekali diklasifikasi di Malaysia. Pasti ramai tidak tahu bahawa Litar Kasih pada mulanya diluluskan oleh Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM) dalam kategori Umum (U), iaitu setelah filem itu dipotong sebanyak 7 adegan yang dikatakan "mempunyai unsur kurang sihat untuk tontonan kanak-kanak".

Adegan-adegan yang dipotong daripada Litar Kasih versi U ialah yang berkaitan dengan:
  • "pelacuran"
  • "ciuman"
  • "lumba motosikal haram"
  • "rogol"
  • "suasana dalam kelab"
  • "dialog yang mempunyai mesej lucah"

Pihak penerbit Litar Kasih selepas itu membuat rayuan kepada LPFM agar dapat meluluskan kembali 4 daripada adegan-adegan yang dipotong itu dengan alasan bahawa pemotongan adegan-adegan itu telah menjejaskan kesinambungan jalan cerita filem itu. Pihak LPFM menerima rayuan tersebut dan bersetuju untuk meluluskan Litar Kasih tanpa potongan tetapi dengan syarat filem itu mestilah diklasifikasi untuk tontonan penonton berumur 18 tahun ke atas sahaja.


Semasa sistem klasifikasi filem diperkenalkan pada 1996, terdapat 4 kategori filem '18 tahun ke atas' iaitu 18SG, 18SX, 18PA & 18PL. Litar Kasih termasuk dalam kategori 18SX, yang bermaksud "Filem ini mengandungi unsur-unsur seks yang tidak keterlaluan".

Berikut ialah penjelasan Eddie Pak mengenai beberapa adegan yang pada mulanya dipotong oleh LPFM:
  • "adegan cium yang digambarkan (antara Azhar Sulaiman dan Linda Rafar) adalah menerusi bayang-bayang bukannya adegan cium yang sebetulnya"
  • "adegan nenek (Mek Habsah) dirogol oleh seorang kolonial memaparkan situasi biasa bukannya bersifat perkauman"
  • "adegan Sally (lakonan Aishah Atan) melayan pelanggan juga terpaksa diwujudkan. Hanya melalui adegan itu sahaja menjadikan adik Sally iaitu Mira (Linda Rafar) tahu pekerjaan Sally yang menyara persekolahannya selama ini"

Walau bagaimanapun, versi Litar Kasih yang dikeluarkan dalam format VCD tidak mengandungi "adegan nenek dirogol". Ketiadaan adegan tersebut langsung tidak menjejaskan jalan cerita filem itu kerana ia sekadar adegan sampingan.

VCD Litar Kasih - dikeluarkan semasa permulaan 'zaman VCD' di hujung 1990-an
Adegan-adegan pembukaan Litar Kasih dimulai dengan maklumat klasifikasi filem
Kiri: Adegan cium yang pada mulanya dipotong oleh LPFM
Kanan: Adegan aksi bermotosikal
Kiri: Aishah Atan sebagai Sally yang terlibat dalam kegiatan pelacuran
Kanan: Liza Abd. Latiff (bekas isteri Amy Search) sebagai Madam Ng (ibu ayam)

Nota tambahan 1 - sebelum klasifikasi:
  • Sekitar setahun sebelum LPFM melaksanakan sistem klasifikasi filem, industri hiburan Malaysia dikejutkan dengan pengharaman filem Amok pada 1995. Amok yang berlatarkan kisah kehidupan bebas di era 1970-an akhirnya diluluskan oleh LPFM untuk tayangan pada pertengahan 1995 setelah dipotong adegan-adegan yang provokatif.
  • Turut terlibat dengan isu penapisan pada 1995 ialah rancangan bual bicara, Teleskop, terbitan TV3. Rancangan yang disiarkan secara langsung itu diharamkan oleh Kementerian Penerangan Malaysia setelah salah seorang jemputan dalam salah satu episod, iaitu pengarah filem, Nasir Jani, menyebut perkataan lucah ("four-letter word", kata akhbar) semasa membicarakan tentang isu cetak rompak.
  • Pada 1995 juga, Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad, telah membangkitkan isu V.H.S (violence, horror & sex) yang dilihat semakin banyak disiarkan oleh stesen televisyen tempatan. Terdapat pihak yang mencadangkan supaya rancangan atau filem berkaitan V.H.S - yang tidak sesuai untuk tontonan kanak-kanak - disiarkan pada waktu tertentu umpamanya pada lewat malam. Selepas sistem klasifikasi filem wujud pada 1996, rancangan atau filem '18 tahun ke atas' hanya boleh disiarkan di televisyen selepas pukul 10 malam.

Nota tambahan 2:
  • Filem 18SX kedua ialah Panas (1998) - rujuk entri akan datang.

28 March 2013

Persembahan Shah Rukh Khan di Malaysia (1998 & 1999)

Susulan populariti pelakon filem Hindi, Shah Rukh Khan, yang mencapai kemuncaknya dengan penayangan filem Kuch Kuch Hota Hai (1998), maka suatu konsert yang melibatkan pelakon itu telah diadakan di Malaysia pada 30 Oktober 1998. Konsert yang berlangsung  di Stadium Tertutup Malawati (Shah Alam, Selangor) itu menampilkan Shah Rukh Khan bersama pasangannya dalam filem Dil To Pagal Hai (1997), pelakon yang juga sedang popular iaitu Karisma Kapoor.

Selain tumpuan utama kepada 2 orang pelakon dari India tersebut, aturcara konsert itu tanpa dirancang telah melibatkan seorang pelakon terkenal tempatan, Lydiawati. Kehadiran Lydiawati di atas pentas konsert itu bukanlah kerana statusnya sebagai selebriti, tetapi ia berlaku secara kebetulan apabila diadakan segmen khas bersama penonton. Lydiawati - yang merupakan salah seorang penonton yang duduk di bahagian hadapan stadium - bernasib baik apabila terpilih untuk naik ke atas pentas bertemu dengan Shah Rukh Khan.


Selain dapat bertemu dan berbual dengan Shah Rukh Khan di atas pentas, Lydiawati juga berpeluang menunjukkan kebolehannya menyanyikan sedikit lagu Meri Mehbooba daripada filem Pardes (1997) yang dilakonkan oleh Shah Rukh Khan. Selepas itu, Shah Rukh Khan telah mengajak Lydiawati menari bersamanya. Di sepanjang segmen tarian itu, Shah Rukh Khan telah mendukung Lydiawati sebanyak 2 kali hingga mendapat sorakan kuat oleh para penonton. Lydiawati kemudiannya dihadiahkan poster besar Shah Rukh Khan. Sebelum berpisah, mereka berpelukan di atas pentas dan Lydiawati mengambil kesempatan mencium pipi Shah Rukh Khan. Sekali lagi para penonton bersorak dengan kuat.


Hampir setahun kemudian, pada 24 Oktober 1999, Shah Rukh Khan kembali lagi dalam sebuah konsert yang berlangsung di Stadium Shah Alam, Selangor. Konsert The Awesome Foursome yang dihadiri oleh ribuan penonton itu turut menampilkan persembahan oleh Salman Khan, Juhi Chawla dan Twinkle Khanna, kesemuanya pelakon filem Hindi yang sedang popular. Lydiawati sekali lagi hadir sebagai penonton, tetapi apabila diadakan segmen khas bersama penonton, bukanlah Lydiawati yang sekali lagi bernasib baik, tetapi seorang lagi pelakon wanita tempatan telah terpilih untuk bertemu Shah Rukh Khan di atas pentas. Pelakon tersebut ialah Syanie.


Tiada laporan mengenai aksi dukung mendukung di antara Shah Rukh Khan dengan Syanie dalam konsert pada 1999 itu di atas sebab-sebab yang cukup jelas serta berat untuk diceritakan.

Para penonton konsert The Awesome Foursome (1999)

Nota tambahan:
Pada Oktober 2008, Shah Rukh Khan telah diberi pingat Darjah Mulia Seri Melaka yang membawa gelaran Datuk.

18 June 2011

Ziela Jalil "macam Dolly Parton" (1989)

Nama Ziela Jalil serta perkataan tarzan dan bogel pernah menjadi topik utama dalam dunia perfileman di Malaysia pada 1989. Ziela meneruskan tradisi pelakon Malaysia yang membintangi filem di Indonesia, dan Tarzan Rimba (atau Tarzan Raja Rimba) adalah filem yang mendapat publisiti paling meluas berbanding filem-filem usahasama Indonesia lakonan pelakon Malaysia yang lain. Kontroversi tercetus apabila terdapat berita atau gosip yang menyatakan bahawa terdapat adegan bogel dalam filem tersebut, walaupun sebenarnya perkara tersebut tidaklah terlalu mengejutkan kerana sememangnya filem-filem Indonesia diketahui biasa memaparkan adegan sebegitu. Tetapi apabila adegan bogel tersebut dikaitkan dengan Ziela, maka banyak pihak tertanya-tanya sejauh mana kebenarannya kerana filem tersebut telah ditapis dengan hebat di Malaysia. Wartawan Utusan Malaysia yang bertugas di Jakarta ketika itu iaitu Syahbudin Abdullah akhirnya tampil membuat laporan khas mengenai pengalamannya menonton pita video filem Tarzan Rimba versi tanpa tapisan di Indonesia.

Dalam laporan bertajuk "Seluar Ziela kena koyak" itu, Syahbudin menyatakan bahawa beliau dapat menonton adegan-adegan yang tidak diluluskan untuk tayangan di pawagam (terutamanya di Malaysia), antaranya ialah adegan membuka baju yang melibatkan watak lakonan Ziela yang bernama Karina. Komen Syahbudin, "Memang itu bukan Ziela. Saya lihat dada wanita yang bogel itu kurang montok dari dada Ziela. Saya juga melihat ada perbezaan pada rambut". Adegan lain yang mengeksploitasi tubuh Ziela dalam filem Tarzan Rimba ialah semasa watak Ziela ditangkap oleh penjahat dan seluarnya dikoyak sehingga menampakkan seluar dalam. Komen Syahbudin lagi, "Saya ulang tayang video, dan jelas, seluar dalam dan paha yang saya nampak itu bukan milik stand-in macam yang mula tadi". Syahbudin juga menyatakan bahawa terdapat adegan watak Ziela mandi di sebatang sungai di mana "kemeja-t Ziela basah dan melekap pada tubuh", dan paling sensasi sekali ialah adegan cium selepas watak Ziela bertemu dengan Tarzan (lakonan Barry Prima), di mana Syahbudin mengomen dalam nada lucu, "Cinta saya pada Ziela hancur berkecai, waktu melihat bibir mungil Ziela bercantum dengan bibir Barry Prima. Walaupun itu Karina, tapi yang bercantum adalah bibir Ziela"!

Selepas pendedahan oleh wartawan Syahbudin itu, Ziela yang ketika itu berusia 19 tahun telah tampil dalam majalah URTV dan menjelaskan, "Apa lagi yang boleh Ziela katakan? Dah Ziela terangkan berulang kali, adegan-adegan berahi tu bukan lakonan Ziela tapi dilakonkan oleh pelakon stand-in". Kata beliau lagi, "Waktu adegan cium, perhatikan bibir pelakon perempuannya, tak sama dengan bibir Ziela. Begitu juga waktu adegan buka pakaian, tengoklah betul-betul buah dada pelakon perempuannya, tak sama dengan Ziela punya. Dia punya kecil. Ziela punya, kan dah terkenal macam Dolly Parton"!

Nota tambahan:
Filem Tarzan Rimba yang diedarkan di Malaysia dalam format VCD telah ditapis dengan begitu hebat. Kebiasaannya VCD sesebuah filem akan mempunyai 2 cakera, tetapi VCD Tarzan Rimba versi Malaysia mampu dimuatkan dalam hanya 1 cakera sahaja (66 minit). Adegan bogel yang diceritakan di atas semestinya tiada dalam VCD Tarzan Rimba versi Malaysia, manakala adegan-adegan lain yang sensasi sesetengahnya telah dipendekkan.

26 January 2011

Soundtrack Panggilan Pulau (1994)

Pada tahun 1994, filem Panggilan Pulau (asalnya lakonan P. Ramlee dan Normadiah pada 1954) telah dibikin semula oleh pengarah dan pelakon Ahmad Fauzee. Pembikinan semula filem tersebut adalah atas dasar minat Ahmad Fauzee yang begitu mendalam kepada filem klasik terutamanya yang dilakonkan oleh P. Ramlee. Malah Ahmad Fauzee mendaftarkan nama syarikat penerbitan filemnya sebagai Studio Jalan Ampas Sdn Bhd!

Untuk melengkapkan filem Panggilan Pulau versi baru itu, sebuah album petikan lagu-lagu dari filem (soundtrack) telah diterbitkan oleh syarikat rakaman Musicland. Apabila album tersebut berada di pasaran, ia telah mengejutkan banyak pihak yang merasakan bahawa gambar kulit depan album tersebut agak erotik atau memberahikan. Gambar yang dimaksudkan itu menunjukkan Ahmad Fauzee hampir mencium leher Sharmaine Farouk yang kepalanya berkeadaan terlentok sambil matanya terpejam. Sememangnya ia suatu rekaan kulit album yang mampu menarik perhatian ramai, walaupun agak kurang jelas tentang apa yang sebenarnya ingin disampaikan oleh gambar tersebut mengenai isi kandungan album dan filem itu.

Kontroversi tersebut telah menyebabkan pihak syarikat rakaman menarik balik jualan album itu lalu menggantikan kulit album asal itu dengan kulit album rekaan terbaru yang memaparkan gambar-gambar pelakon filem versi lama dan baru. Selain itu, tempoh tayangan filem Panggilan Pulau versi baru itu yang bermula pada 29 September 1994 turut menimbulkan tanda tanya kepada orang ramai, kerana tayangannya dihentikan secara tiba-tiba hanya selepas beberapa hari tayangan tanpa diberi sebarang penjelasan. Ada pihak menimbulkan spekulasi bahawa pembikinan semula filem itu tidak mendapat kebenaran daripada pemegang hakcipta asalnya iaitu syarikat Shaw Brothers Ltd hingga memaksa tayangannya dihentikan supaya tidak disaman. Walau bagaimanapun, spekulasi tersebut lenyap begitu sahaja tanpa jawapan yang pasti.

Pada awal 2000-an, syarikat Cipta Video Sdn Bhd telah menerbitkan VCD filem Panggilan Pulau versi 1994. Apa yang agak mengejutkan peminat filem tempatan ialah apabila kulit depan VCD tersebut menggunakan gambar asal kulit album soundtrack yang pernah mencetuskan kontroversi dahulu. Apa yang lebih menarik perhatian mengenai kulit VCD itu ialah bagaimana pereka bentuknya telah mengubahsuai gambar asal tersebut dengan menjauhkan jarak kedudukan kepala Ahmad Fauzee dengan leher Sharmaine Farouk, dan kemudiannya menambah efek seolah-olah gambar tersebut terkoyak. Kulit VCD itu tidak mencetuskan kontroversi. Sama ada masyarakat 2000-an sudah lebih berfikiran terbuka, atau pengubahsuaian gambar itu berjaya mengejek tindakan pengharamannya pada 1994.

Sesiapa yang belum menonton filem Panggilan Pulau versi 1994 mungkin tertanya-tanya benarkah terdapatnya adegan cium leher yang mencetuskan kontroversi itu? Jawapannya: tiada. Ahmad Fauzee tidak mencium leher Sharmaine Farouk, dia cuma mencium bibirnya sahaja!


Kulit album soundtrack rekaan baru (kiri) dan Kulit VCD (kanan)


Adegan daripada filem
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...