Showing posts with label Lembaga Penapisan Filem. Show all posts
Showing posts with label Lembaga Penapisan Filem. Show all posts

30 December 2013

Filem 18SX pertama - Litar Kasih (1996)

"Filem Litar Kasih terbitan United Movie mencatat sejarah sebagai filem Melayu pertama yang diklasifikasikan", lapor Utusan Malaysia pada 25 Januari 1996.

Sebelum 1996, sistem klasifikasi - atau pengkelasan filem mengikut kategori tertentu - tidak wujud di Malaysia. Filem Litar Kasih arahan Eddie Pak menjadi filem tempatan yang pertama sekali diklasifikasi di Malaysia. Pasti ramai tidak tahu bahawa Litar Kasih pada mulanya diluluskan oleh Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM) dalam kategori Umum (U), iaitu setelah filem itu dipotong sebanyak 7 adegan yang dikatakan "mempunyai unsur kurang sihat untuk tontonan kanak-kanak".

Adegan-adegan yang dipotong daripada Litar Kasih versi U ialah yang berkaitan dengan:
  • "pelacuran"
  • "ciuman"
  • "lumba motosikal haram"
  • "rogol"
  • "suasana dalam kelab"
  • "dialog yang mempunyai mesej lucah"

Pihak penerbit Litar Kasih selepas itu membuat rayuan kepada LPFM agar dapat meluluskan kembali 4 daripada adegan-adegan yang dipotong itu dengan alasan bahawa pemotongan adegan-adegan itu telah menjejaskan kesinambungan jalan cerita filem itu. Pihak LPFM menerima rayuan tersebut dan bersetuju untuk meluluskan Litar Kasih tanpa potongan tetapi dengan syarat filem itu mestilah diklasifikasi untuk tontonan penonton berumur 18 tahun ke atas sahaja.


Semasa sistem klasifikasi filem diperkenalkan pada 1996, terdapat 4 kategori filem '18 tahun ke atas' iaitu 18SG, 18SX, 18PA & 18PL. Litar Kasih termasuk dalam kategori 18SX, yang bermaksud "Filem ini mengandungi unsur-unsur seks yang tidak keterlaluan".

Berikut ialah penjelasan Eddie Pak mengenai beberapa adegan yang pada mulanya dipotong oleh LPFM:
  • "adegan cium yang digambarkan (antara Azhar Sulaiman dan Linda Rafar) adalah menerusi bayang-bayang bukannya adegan cium yang sebetulnya"
  • "adegan nenek (Mek Habsah) dirogol oleh seorang kolonial memaparkan situasi biasa bukannya bersifat perkauman"
  • "adegan Sally (lakonan Aishah Atan) melayan pelanggan juga terpaksa diwujudkan. Hanya melalui adegan itu sahaja menjadikan adik Sally iaitu Mira (Linda Rafar) tahu pekerjaan Sally yang menyara persekolahannya selama ini"

Walau bagaimanapun, versi Litar Kasih yang dikeluarkan dalam format VCD tidak mengandungi "adegan nenek dirogol". Ketiadaan adegan tersebut langsung tidak menjejaskan jalan cerita filem itu kerana ia sekadar adegan sampingan.

VCD Litar Kasih - dikeluarkan semasa permulaan 'zaman VCD' di hujung 1990-an
Adegan-adegan pembukaan Litar Kasih dimulai dengan maklumat klasifikasi filem
Kiri: Adegan cium yang pada mulanya dipotong oleh LPFM
Kanan: Adegan aksi bermotosikal
Kiri: Aishah Atan sebagai Sally yang terlibat dalam kegiatan pelacuran
Kanan: Liza Abd. Latiff (bekas isteri Amy Search) sebagai Madam Ng (ibu ayam)

Nota tambahan 1 - sebelum klasifikasi:
  • Sekitar setahun sebelum LPFM melaksanakan sistem klasifikasi filem, industri hiburan Malaysia dikejutkan dengan pengharaman filem Amok pada 1995. Amok yang berlatarkan kisah kehidupan bebas di era 1970-an akhirnya diluluskan oleh LPFM untuk tayangan pada pertengahan 1995 setelah dipotong adegan-adegan yang provokatif.
  • Turut terlibat dengan isu penapisan pada 1995 ialah rancangan bual bicara, Teleskop, terbitan TV3. Rancangan yang disiarkan secara langsung itu diharamkan oleh Kementerian Penerangan Malaysia setelah salah seorang jemputan dalam salah satu episod, iaitu pengarah filem, Nasir Jani, menyebut perkataan lucah ("four-letter word", kata akhbar) semasa membicarakan tentang isu cetak rompak.
  • Pada 1995 juga, Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad, telah membangkitkan isu V.H.S (violence, horror & sex) yang dilihat semakin banyak disiarkan oleh stesen televisyen tempatan. Terdapat pihak yang mencadangkan supaya rancangan atau filem berkaitan V.H.S - yang tidak sesuai untuk tontonan kanak-kanak - disiarkan pada waktu tertentu umpamanya pada lewat malam. Selepas sistem klasifikasi filem wujud pada 1996, rancangan atau filem '18 tahun ke atas' hanya boleh disiarkan di televisyen selepas pukul 10 malam.

Nota tambahan 2:
  • Filem 18SX kedua ialah Panas (1998) - rujuk entri akan datang.

08 June 2011

Kontroversi tayangan filem x-rated (1972)

Filem x-rated (atau berklasifikasi X) umumnya merujuk kepada filem yang bertemakan seks atau mengandungi adegan-adegan yang sangat melampau dan tidak sesuai untuk tontonan kanak-kanak. Filem-filem sebegitu juga digelar sebagai filem dewasa dan Malaysia mengharamkan semua filem x-rated, jadi pengkelasan filem dalam kategori X sememangnya tidak wujud pada masa kini.

Gambar di atas menunjukkan para penonton sedang menunggu di luar bangunan pawagam Odeon di Kuala Lumpur untuk menonton filem Sex And Life, iaitu sebuah filem x-rated! Ia berlaku pada sekitar awal 1970-an.

Menurut kajian seorang sarjana bernama Tripat Narayanan mengenai penayangan filem di Malaysia di antara tahun 1970 hingga 1973, filem-filem x-rated pernah ditayangkan di Malaysia pada awal 1970-an, di mana pada ketika itu pihak penapis filem sedang cuba untuk memperkenalkan sistem pengkelasan filem, dan filem-filem x-rated seperti Sex And Life, X-Phobia, Old Man's Biological Urge dan lain-lain telah dilepaskan untuk tayangan di pawagam sebagai satu bentuk eksperimen atau percubaan. Seperti yang dijangka, banyak pihak dan orang ramai yang membantah tindakan tersebut. Maka pada 1972 sebuah jawatankuasa khas telah dibentuk bagi mengkaji mengenai kontroversi isu seks dan keganasan dalam filem. Hasilnya selepas itu semua filem x-rated telah diharamkan di Malaysia.

Nota tambahan:
Lembaga Penapisan Filem (LPF) Malaysia mengambil masa yang terlalu lama untuk memperkenalkan sebuah sistem pengkelasan filem. Hanya pada 1996 filem-filem yang ditayangkan di Malaysia mula diklasifikasikan sama ada untuk tontonan Umum (U) atau 18 Tahun Ke Atas (18SG, 18SX, 18PA, 18PL). Pada 2008 klasifikasi PG13 mula diperkenalkan, manakala pada 2010 klasifikasi 18 pula diperkenalkan bagi menggantikan keempat-empat klasifikasi 18 Tahun Ke Atas yang asal.

17 May 2011

Adegan bogel dalam filem Debu-Debu Kasih (1995)

Filem Debu-Debu Kasih (1995) yang bertemakan drama romantik telah diterbitkan dan diarahkan oleh Pansha (Panchacharam), seorang penerbit filem tempatan yang terkenal sejak 1980-an dengan syarikat Panshah Film dan kemudiannya Berjaya Filem. Debu-Debu Kasih ialah filem kedua arahan Pansha, dan filem itu memperkenalkan Sham (Visa) dan Aida Aris sebagai pelakon utama.
Selepas mencetuskan kontroversi pada 1993 dengan filem terbitannya, Perempuan, Isteri & .....? (arahan U-Wei Saari), Pansha sekali lagi tampil dengan sebuah filem yang tidak kurang panasnya di mana rekaan poster filem Debu-Debu Kasih memperlihatkan Sham dan Aida sedang berpelukan. Poster tersebut yang diluluskan oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) telah mendapat kritikan kerana dianggap "mempunyai unsur-unsur yang mengghairahkan". Pihak kerajaan negeri Kelantan pula mengambil langkah yang lebih drastik apabila mengarahkan supaya sebahagian daripada poster itu yang memaparkan gambar Aida ditutup. Di sebalik kontroversi tersebut, filem Debu-Debu Kasih sebenarnya tidak begitu berjaya menarik perhatian para penonton apabila cuma membuat kutipan tiket lebih RM300,000 sahaja.

Jadi, apa yang lebih mencuri perhatian dalam filem Debu-Debu Kasih selain daripada adegan Syam menyelamatkan (ya lah tu) Aida daripada mati lemas?

23 March 2011

Filem Melayu klasik diharamkan (2003)

Pada 12 April 2003, dilaporkan bahawa pihak Lembaga Penapisan Filem Malaysia telah mengharamkan 4 buah filem Melayu klasik iaitu filem Anak Buluh Betung (1966), Gergasi (1958), Sumpah Wanita (1960) dan Semusim Di Neraka (1971). Punca pengharaman itu dikatakan kerana kandungan filem-filem itu yang menyimpang daripada ajaran agama. Secara kebetulan keempat-empat filem itu melibatkan lakonan Aziz Jaafar (meninggal dunia pada 2005). Walau bagaimanapun kesemua filem itu sempat diedarkan dalam format VCD.



Trivia:
Ini ialah entri yang ke-100.

23 December 2010

VCD New Boyz The Telemovie diharamkan (2002)



Bermula pada tahun 2001 begitu banyak telefilem telah dikeluarkan dalam format VCD. Pelbagai penerbit tiba-tiba muncul untuk bersaing dalam pasaran telefilem VCD yang begitu popular ketika itu. Antara pihak penerbit yang muncul secara tiba-tiba itu ialah di kalangan syarikat rakaman muzik seperti FMC (dengan telefilem Helah contohnya), Life Records (Sakinah), Warner Music (Azura 2003), Music Valley (Gosok) dan lain-lain. Boleh dikatakan semua syarikat rakaman tersebut menampilkan artis atau penyanyi mereka sebagai pelakon utama bagi setiap telefilem yang diterbitkan. Puncanya ialah kerana kemerosotan pasaran muzik tempatan ketika itu. Syarikat rakaman tersebut perlu menanti beberapa tahun selepas itu untuk pasaran muzik kembali melonjak dengan popularnya kaedah muat turun lagu dan nada dering.



Syarikat rakaman Suria Records atau SRC juga tidak terkecuali daripada menyertai penerbitan telefilem VCD. Pada 2002, SRC telah menerbitkan New Boyz The Telemovie yang menampilkan lakonan semua anggota kumpulan New Boyz yang diketuai oleh penyanyinya Tomok. Walau bagaimanapun, New Boyz The Telemovie yang diarahkan oleh Azwan Ali itu telah diharamkan oleh pihak Lembaga Penapisan Filem (LPF) yang tidak membenarkan penampilan watak perempuan yang dilakonkan oleh lelaki. Dalam telefilem komedi tersebut watak pelajar perempuan bernama Siti Payung telah dilakonkan oleh Farouk Hussain. Oleh kerana Siti Payung merupakan salah seorang watak pembantu yang penting, maka cubaan penerbit untuk menyunting semula telefilem tersebut dengan membuang watak Siti Payung telah gagal dan menyebabkan VCD New Boyz The Telemovie tidak dapat dipasarkan.



Nota tambahan:
Penampilan watak perempuan yang dilakonkan oleh lelaki pernah dipopularkan oleh siri komedi 1990-an seperti Baba & Nyonya, Jangan Ketawa dan Senario. Beberapa episod siri komedi Senario pernah diharamkan daripada tayangan apabila peraturan sebegitu mula diperkenalkan oleh LPF. Farouk Hussain ialah antara pelakon yang pernah diundang bagi melakonkan watak perempuan dalam siri komedi Senario.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...