Showing posts with label homoseks. Show all posts
Showing posts with label homoseks. Show all posts

22 June 2013

Isu gay dalam lagu kumpulan Elite (1998)

Dalam bulan Mac 1998, kumpulan Elite telah mengeluarkan album kedua mereka yang berjudul Tamparan. Terdapat beberapa lagu popular dalam album tersebut, antaranya ialah Tamparan Wanita, Sesuatu Di Dalam Dirimu & Trauma. Kumpulan KRU sebagai pencipta lagu-lagu kumpulan Elite turut menghasilkan sebuah lagu yang menyentuh isu gay.

Lagu yang diberi judul Dirinya Dirimu Diriku itu berkisarkan tentang konflik percintaan seorang wanita apabila dia mendapat tahu rahsia bahawa teman lelakinya turut mempunyai hubungan percintaan dengan seorang lelaki lain. Senikata lagu itu menyarankan bahawa teman lelaki si wanita itu sekadar berpura-pura mencintai si wanita demi untuk mengaburi mata orang ramai daripada mengetahui bahawa dia sebenarnya adalah gay. Baris akhir senikata itu menyimpulkan bahawa motif penipuan si lelaki itu ialah kerana untuk menjaga statusnya yang berkemungkinan merupakan seorang yang ternama.

DIRINYA DIRIMU DIRIKU
(pencipta lagu & penulis senikata: KRU - Norman, Yusry & Edry)

Desas desus ku diberitahu
Apa berlaku di belakangku
Memang percaya memangnya benar
Tiada angin pohon tak bergoyang

Kini terjadi tidak dinafi
Mata sendiri menjadi saksi
Jangan kau tentang yang jelas terang
Cinta kau songsang hina dan curang

Dirinya dirimu diriku
Katakan padaku betapa malu
Dirinya dirimu diriku
Katakan saja rahsia dirimu
(Katakan saja rahsia hidupmu)

Apakah kau sangka ku boneka
Diam memejam mata
Maaf salah masa salah wanita untuk kau dusta
Kau bukan lelaki sebenar

Cukuplah sudah segala helah
Aku perintah berpaling arah
Tidak ku mahu lagi bertemu
Diriku malu apa berlaku

Cuba sedarlah cinta kau dosa
Dan sampai bila tidak ke mana
Guna wanita untuk mengabur mata
Berpura-pura status dijaga















Nota tambahan:
  • Suatu kebetulan yang menarik ialah, apabila album kumpulan Elite, Tamparan, dikeluarkan dalam bulan Mac 1998, pada bulan itu jugalah keluarnya album To'ki yang mengandungi lagu Joget Menyanyi yang senikatanya juga turut menyentuh isu gay.
  • Lebih kurang sebulan selepas keluarnya album Tamparan, kumpulan Elite telah dilanda masalah apabila salah seorang anggotanya, Abby Elite, telah digantung keahlian kerana "masalah disiplin" (menurut kenyataan pihak pengurusan kumpulan Elite). Setelah digantung keahlian sehingga Jun 1998, Abby Elite & pihak pengurusan kumpulan Elite masih tidak dapat menyelesaikan masalah tersebut sehingga menyebabkan Abby Elite terpaksa disingkirkan. Abby yang tidak lagi dibenarkan menggunakan nama gelaran Elite selepas itu telah menukarkan namanya kepada Abby Abadi.
  • Setahun selepas keluarnya album Tamparan, kumpulan Elite dilanda kontroversi apabila gambar lucah Linda Elite (yang dikatakan palsu) telah tersebar dalam internet pada Mac 1999, manakala pada lewat tahun yang sama Watie Elite telah mengaku bersalah di mahkamah atas dakwaan memandu kereta dalam keadaan mabuk. Sebagai hukuman tambahan, lagu-lagu kumpulan Elite kemudiannya telah diharamkan siarannya oleh stesen penyiaran RTM (rujuk entri-entri akan datang).

31 March 2013

Homoseks dan lesbian dalam lagu To'ki (1998)

To'ki pernah terkenal dengan lagu nyanyiannya, Biasan, pada sekitar awal 1990-an. Walaupun dengan suaranya yang mantap dan tersendiri, tetapi To'ki tidak berjaya untuk menjadi penyanyi yang bertahap popular. Situasi begitu, dari dulu hingga kini dianggap lumrah dalam arena hiburan tempatan yang lebih mengutamakan paras rupa berbanding bakat.

Dalam bulan Mac 1998, To'ki telah mengeluarkan album barunya yang berjudul Hujan Emas. Salah satu lagu yang terdapat dalam album tersebut berjudul Joget Menyanyi. Lagu berentak tradisional yang agak popular dan menarik didengar itu adalah ciptaan dan tulisan To'ki sendiri. Apa yang mungkin kurang disedari oleh para pendengar ialah mengenai kisah di dalam senikata lagu itu.

Senikata lagu Joget Menyanyi mengandungi pemerhatian dan mungkin juga komentar tersirat penulisnya terhadap isu homoseks dan lesbian di Malaysia pada 1990-an. To'ki telah mengesahkan mengenai kandungan senikata lagu itu apabila ditanya oleh wartawan hiburan, Nas Ahmad. Kata To'ki, "Ini cerita benar Nas. Ada satu tempat peranginan terkenal kat sini dah jadi macam sarang homo dan lesbian. Saya pergi kat sana untuk berehat sambil cari ilham tapi terperanjat tengok perkara ni berlaku depan mata saya sendiri".

Artikel bertajuk "Homoseks dan lesbian dalam lagu To'ki" ditulis oleh Nas Ahmad pada 8 Jun 1998 dan hanya disiarkan beberapa bulan kemudian dalam majalah hiburan URTV pada 15 September 1998.



JOGET MENYANYI
(pencipta lagu & penulis senikata: To'ki)

Di kampung ini
Di depan tangga pohon melambai
Hai angin tiup
Katanya sepoi bahasa

Gerimis turun
Tak sangka kilat guruh berdentum
Di kampung ini
Ku rasa damai sekali

Jalan pesisiran pantai
Ramai gadis berpegangan tangan
Si pemudanya pula
Jatuh cinta sesama

Mari menyanyi
Mari menyanyi
Mari menyanyi
Menyanyi

Nota tambahan:
  • Dalam bulan Mac 1998 juga terbitnya sebuah lagi lagu - persembahan oleh penyanyi wanita tempatan - yang senikatanya berkisarkan isu gay (rujuk entri akan datang)
  • Dalam artikel yang sama, Nas Ahmad juga mengulas mengenai kulit album To'ki yang berjudul Hujan Emas, di mana To'ki dikatakan seolah-olah meniru gaya Amy Search (dalam album solo pertama pada 1994) dengan tidak berpakaian dan berkepala botak.
  • Memandangkan salah satu lagu dalam album Hujan Emas oleh To'ki merujuk kepada suatu 'gejala' seks, terlintas di fikiran mengenai kemungkinan wujudnya konotasi berkaitan seks - iaitu 'golden shower' - dalam terjemahan bahasa Inggeris tajuk album itu?
  • Kulit album Hujan Emas menggambarkan To'ki sedang 'menikmati' hujan emas. Walau bagaimanapun, tiada lagu berjudul Hujan Emas dalam album tersebut.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...