Showing posts with label cross-dressing. Show all posts
Showing posts with label cross-dressing. Show all posts

13 April 2014

Chef Wan berpakaian wanita (2000)

Sempena "perhimpunan artis-artis" yang dinamakan Parti Cit Cat pada Julai 2000, diadakan beberapa acara seperti persembahan pentas dan sukaneka. Parti Cit Cit 2000 anjuran Azwan Ali Production berlangsung selama 3 hari di Desaru Impian Resort, Johor, dan melibatkan seramai 17 orang "artis ternama". Antara mereka yang terlibat ialah penyanyi Shawn Baharin dan "tukang masak profesional", Chef Wan.


Dalam satu persembahan pentas di Parti Cit Cit 2000, Chef Wan telah tampil sebagai penari dengan berpakaian "ala wanita Hindustan" bagi mengiringi nyanyian Shawn Baharin.


Selebriti lelaki berpakaian wanita lazimnya dianggap sebagai suatu bentuk 'hiburan' dan sering dijadikan selingan dalam banyak persembahan pentas sejak sekian lama.

26 August 2012

"Cun-lah" Richie Rachman (1990)

Richie Rachman kembali terkenal sebagai pengacara rancangan Bilik 7 yang disiarkan oleh saluran ntv7 beberapa bulan lepas, iaitu sebuah rancangan yang membicarakan kisah kontroversi para artis tempatan masa kini. Setelah puas menyaksikan Richie menyiasat dan mencungkil rahsia para artis di dalam rancangan tersebut, kini Bilik ANX menyiarkan sekeping gambar Richie Rachman yang pernah disiarkan oleh akhbar Pancaindera pada 1990.

Gambar Richie Rachman yang sedang menggayakan pakaian wanita ini disiarkan oleh wartawan hiburan terkenal, Juwie, yang memperkenalkan Richie sebagai "pengarang majalah Remaja". Di dalam majalah Remaja ketika itu Richie menggunakan nama "Kamal 'Richie' Rachman". Juwie dengan selamba mengusik Richie dengan menyatakan bahawa "Dia bukan awek tapi macam mama Juwie juga". Macam mama Juwie!

Gambar Richie Rachman yang dikatakan "Cun-lah" ini dirakamkan semasa majlis Malam Wartawan yang diadakan di PWTC, Kuala Lumpur, di mana para wartawan berkumpul sambil berhibur dan menunjukkan bakat masing-masing. Richie Rachman memilih untuk menari mengikut irama lagu Copacabana lengkap dengan berpakaian wanita.

24 May 2011

DJ Nasa THR berpakaian wanita (2002)

Cara mudah untuk membuat lawak dalam bidang hiburan di Malaysia ialah dengan menyuruh seseorang selebriti lelaki menukar imejnya menjadi wanita. Terlalu banyak contoh untuk diberikan sejak dari zaman filem hitam putih hinggalah ke zaman Farouk Hussain. Jarang sekali terdapat seseorang selebriti wanita yang menukar imejnya menjadi lelaki dijadikan bahan lawak. Okey, memang ada, contohnya Nor Aliah Lee dan Sharmaine Farouk yang dipakaikan misai dalam filem XX Ray serta beberapa lagi contoh yang sangat terhad serta kurang diingati (Nota: Edika Yusof juga dipakaikan baju kurung di penghujung filem XX Ray itu untuk menimbulkan elemen komedi)

Bagaimana selebriti lelaki berpakaian wanita dianggap mudah untuk menghiburkan para penonton adalah sukar untuk dijelaskan. Mungkinkah faktor keterbukaan mereka yang dilihat seolah-olah memperbodoh atau memalukan diri sendiri mampu menggeletek hati segelintir penonton? Tetapi sekiranya formula tersebut dianggap berjaya menimbulkan elemen komedi, kenapa tidak ada lebih banyak adegan atau pertunjukan di mana selebriti wanita ditukarkan menjadi lelaki? Sukar untuk menyorokkan bentuk fizikal mereka agaknya, atau sememangnya wanita berpakaian lelaki adalah sesuatu yang sudah dianggap normal, maka ia tidak lagi mampu untuk dijadikan bahan ketawa?

Nasa atau Nasaruddin Karim mula terkenal sebagai juruhebah radio (lebih popular dengan gelaran DJ) semasa bertugas di stesen Time Highway Radio (THR) sekitar pertengahan 1990-an. Sebelum itu beliau pernah menjadi DJ sambilan di stesen Reddifusion sejak 1987 selain bertugas sebagai Pegawai Perhubungan Awam di sebuah syarikat rakaman. Pada 2002, DJ Nasa terlibat di dalam Konsert Gegar THR.fm yang diadakan di Ipoh, Perak di mana beliau yang berusia 37 tahun ketika itu telah membuat persembahan pentas dengan melakonkan watak seorang wanita. Secara berjenaka majalah hiburan VariaPop telah melabelkan Cik Nasa sebagai "cun", "menggoda" dan "vogue"!

31 March 2011

Farouk Hussain berpakaian wanita (2001)

Farouk Hussain adalah seorang pelakon yang sering membawakan watak komedi. Beliau mula terkenal melalui telefilem Anak Mami pada 1994. Entah bagaimana, lama kelamaan watak komedi yang dilakonkannya sering berkehendakkannya melakonkan watak wanita. Farouk semakin dikenali melalui watak sebegitu apabila muncul melakonkan watak wanita tua dalam siri komedi Senario pada hujung 1990-an. Farouk juga tidak segan silu membawakan watak wanita dalam acara hiburan, contohnya pada Malam Glamor Parti Cit Cat di Kuantan, Pahang pada 2001 (lihat gambar). Walau bagaimanapun, penyiaran lakonan lelaki dalam watak wanita tidak lagi dibenarkan. Telefilem New Boyz The Telemovie pernah diharamkan pada 2002 kerana menampilkan watak Farouk sebagai pelajar perempuan.

23 December 2010

VCD New Boyz The Telemovie diharamkan (2002)



Bermula pada tahun 2001 begitu banyak telefilem telah dikeluarkan dalam format VCD. Pelbagai penerbit tiba-tiba muncul untuk bersaing dalam pasaran telefilem VCD yang begitu popular ketika itu. Antara pihak penerbit yang muncul secara tiba-tiba itu ialah di kalangan syarikat rakaman muzik seperti FMC (dengan telefilem Helah contohnya), Life Records (Sakinah), Warner Music (Azura 2003), Music Valley (Gosok) dan lain-lain. Boleh dikatakan semua syarikat rakaman tersebut menampilkan artis atau penyanyi mereka sebagai pelakon utama bagi setiap telefilem yang diterbitkan. Puncanya ialah kerana kemerosotan pasaran muzik tempatan ketika itu. Syarikat rakaman tersebut perlu menanti beberapa tahun selepas itu untuk pasaran muzik kembali melonjak dengan popularnya kaedah muat turun lagu dan nada dering.



Syarikat rakaman Suria Records atau SRC juga tidak terkecuali daripada menyertai penerbitan telefilem VCD. Pada 2002, SRC telah menerbitkan New Boyz The Telemovie yang menampilkan lakonan semua anggota kumpulan New Boyz yang diketuai oleh penyanyinya Tomok. Walau bagaimanapun, New Boyz The Telemovie yang diarahkan oleh Azwan Ali itu telah diharamkan oleh pihak Lembaga Penapisan Filem (LPF) yang tidak membenarkan penampilan watak perempuan yang dilakonkan oleh lelaki. Dalam telefilem komedi tersebut watak pelajar perempuan bernama Siti Payung telah dilakonkan oleh Farouk Hussain. Oleh kerana Siti Payung merupakan salah seorang watak pembantu yang penting, maka cubaan penerbit untuk menyunting semula telefilem tersebut dengan membuang watak Siti Payung telah gagal dan menyebabkan VCD New Boyz The Telemovie tidak dapat dipasarkan.



Nota tambahan:
Penampilan watak perempuan yang dilakonkan oleh lelaki pernah dipopularkan oleh siri komedi 1990-an seperti Baba & Nyonya, Jangan Ketawa dan Senario. Beberapa episod siri komedi Senario pernah diharamkan daripada tayangan apabila peraturan sebegitu mula diperkenalkan oleh LPF. Farouk Hussain ialah antara pelakon yang pernah diundang bagi melakonkan watak perempuan dalam siri komedi Senario.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...