Showing posts with label Zarina Zainuddin. Show all posts
Showing posts with label Zarina Zainuddin. Show all posts

28 September 2013

Album Celebriti Super Mengancam (1994)

Album Celebriti Super Mengancam (atau ringkasnya Album Celebriti) ialah sebuah majalah tidak berkala yang diterbitkan oleh Citra Juara Sdn Bhd pada 1994. Album Celebriti sebagaimana namanya jelas mengandungi koleksi gambar-gambar selebriti (atau lebih popular disebut artis) yang dikategorikan sebagai "Super Mengancam". Secara tipikalnya, artis yang menjadi tumpuan dalam majalah-majalah sebegitu hanyalah daripada golongan wanita sahaja, mungkin juga kerana ia telah terbukti akan lebih laris terjual?


"Mengancam" pada awal 1990-an ialah perkataan bahasa pasar yang telah berevolusi daripada maksud asalnya (iaitu mendatangkan bahaya) dan digunakan oleh remaja dan muda-mudi ketika itu bagi melabel sesuatu benda atau orang yang mempunyai sifat atau rupa fizikal yang begitu menarik perhatian. Dalam konteks dunia hiburan, "mengancam" biasanya digunakan untuk merujuk kepada artis wanita atau lelaki yang seksi, cantik atau pun kacak. "Super Mengancam" pula mungkin bermaksud berkali-kali ganda "mengancam" (atau pada masa kini boleh disebut "mengancam gila").

Kulit depan Album Celebriti menampilkan gambar pelakon Zarina Zainuddin dalam gaya yang seksi atau... mengancam! Zarina ialah fokus utama majalah tersebut yang nampaknya memang sengaja mengambil kesempatan di atas isu kontroversinya yang masih menjadi tumpuan ketika itu. Selain gambar-gambar, Album Celebriti menyiarkan artikel pendek berserta biodata mengenai artis yang ditampilkan. Antara artis lain yang ditampilkan dalam majalah tersebut ialah para pelakon baru ketika itu seperti Zara Ibrahim, Laila Nasir & Sharifah Edora.


Tidak lama selepas terbitnya Album Celebriti, Zarina Zainuddin telah tampil membuat kenyataan bahawa majalah tersebut diterbitkan tanpa kebenaran, di mana artikel yang kononnya memetik kata-katanya itu adalah rekaan pihak penerbit semata-mata tanpa pernah bertemu bual dengannya. Zarina juga menjelaskan bahawa gambar-gambar sensasi yang disiarkan itu bukanlah yang terbaru sebaliknya ia diambil pada sekitar 1990 untuk sebuah majalah hiburan lain, maka gambar-gambar itu bukan kepunyaan penerbit Album Celebriti, Citra Juara Sdn Bhd.

Zarina Zainuddin dalam temu bualnya bersama Harian Metro pada 8 Jun 1994 memberitahu bahawa dia mengenali pihak yang terlibat dalam menyebarkan gambar-gambar lama tersebut kepada penerbit Album Celebriti, dan dia akan mengambil tindakan undang-undang bagi menghalang mereka daripada terus mengaut untung secara salah. Turut dinyatakan bahawa Album Celebriti mengandungi hampir 150 keping gambar, dan artis-artis lain yang turut dieksploitasi termasuklah Jacinta Lee, Jasmin Hamid, Maria Farida & Wendy Wong.

Menurut laman web KDN Malaysia, majalah Album Celebriti Super Mengancam telah pun diharamkan pada 14 Julai 1994.


Nota mengancam:
"You ni mengancam la" - kata seorang peminat perempuan kepada Awie dalam salah satu adegan filem Pemburu Bayang (1993)

05 May 2011

Disket artis bogel (1994)

Pada 1994, apabila akhbar Harian Metro memaparkan tajuk besar "Disket Artis Bogel" pada muka hadapannya, hanya satu nama artis yang boleh dikaitkan dengan berita tersebut iaitu Zarina Zainuddin walaupun nama beliau tidak dinyatakan. Walaupun kes gambar bogel Zarina mula terbongkar pada 1991 tetapi tiga tahun kemudian pun masyarakat terutamanya peminat hiburan tempatan masih memperkatakan mengenainya, mungkin kerana kes sebegitu amat jarang berlaku dan ia telah diberi publisiti yang agak meluas oleh wartawan hiburan. Apabila lebih ramai orang yang tahu mengenai gambar bogel tersebut, maka permintaan untuk melihatnya telah dijadikan suatu perniagaan oleh pihak tertentu.

Disket, yang disifatkan oleh Harian Metro ketika itu sebagai "peralatan canggih", telah dijadikan medium baru untuk penyebaran bahan lucah dalam zaman I.T. ketika itu. Harian Metro melaporkan bahawa terdapat "lebih 30 gambar artis berkenaan", dan "hanya beberapa keping menunjukkan artis berkenaan berbogel manakala selebihnya adalah gambar separuh bogel dan berpakaian seksi", di mana "gambar artis berkenaan berpakaian seksi itu dipercayai disalin daripada majalah hiburan tempatan". Disket artis bogel tersebut dilaporkan dijual di beberapa kedai pengedar perisian komputer di Kuala Lumpur dan telah tersebar ke "seluruh negara", di mana Harian Metro tidak lupa untuk menegaskan bahawa "seluruh negara" itu adalah "termasuk di Pantai Timur" (Nota: Laporan berita itu ditulis seolah-olah ia berlaku di Kuala Terengganu)

Nota tambahan:
Pada muka surat belakang berita di atas, terdapat laporan mengenai kes video lucah Made In Keratong.

10 February 2009

Kalendar Zarina Zainuddin (1993)

Nama Zarina Zainuddin sememangnya menjadi topik besar dunia hiburan sepanjang 1992. Dalam tahun 1993 pula terdapat usaha mengharamkan semua hasil lakonan beliau daripada ditayangkan. Pada Januari '93, majalah Media Hiburan memulakan edisi tahun baru dengan menghadiahkan poster kalendar besar (4 x mukasurat majalah) ini kepada para pelanggan mereka.

26 January 2009

Pendedahan berani aktres Zarina Zainuddin (1992)

ISBN 983-9814-00-1
Cetakan Kedua, November 1992

Penulis: Seri Bayu
Penerbit: Boulevard Publishing

Biografi yang menceritakan kisah hidup pelakon Zarina Zainuddin ini diterbitkan tidak lama selepas tersebarnya gambar bogel beliau pada 1991. Buku bersaiz kecil ini mengandungi 91 mukasurat yang turut memuatkan gambar-gambar Zarina sebagai model, pelakon dan juga gambar-gambar bersama keluarga dan zaman kanak-kanak beliau. Matlamat penerbitan buku ini bertujuan menceritakan apa yang sebenarnya terjadi sehingga mencetuskan salah satu kontroversi terbesar dunia hiburan Malaysia ketika itu. Mungkin juga untuk membersihkan sedikit nama dan maruah Zarina yang telah tercemar dan memberitahu pada umum bahawa beliau sebenarnya menjadi mangsa khianat dan tipu daya pihak yang tidak bertanggung jawab. Seperti mana biografi lain, kisah bermula dengan kelahiran beliau pada 1970, zaman persekolahan era 1980-an, sehinggalah detik hitam pada satu sesi fotografi majalah, dan bagaimana mula tersebarnya gambar-gambar bogel tersebut setelah beliau tidak mampu membayar wang ugutan. Kisah ini semua ditulis semula oleh Seri Bayu, seorang penulis lirik lagu-lagu pop yang begitu terkenal pada era 1980-an.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...