Showing posts with label 1970-an. Show all posts
Showing posts with label 1970-an. Show all posts

12 April 2014

Lagu Ada-Ada diharamkan di Singapura (1970)

Penyanyi & kumpulan pop yeh yeh dari Singapura, A. Romzi & The Hooks, pernah mengeluarkan sebuah album mini (4 lagu) yang menggunakan judul "A. Romzi & The Hooks" (EMI Records / EGEP 651). Salah sebuah lagu dalam album keluaran 1968 itu berjudul "Ada-Ada". Lagu tersebut agak popular tapi tidaklah setanding dengan lagu-lagu mereka yang lebih awal, iaitu Dendang Remaja & Zunika (1967), yang popular sehingga kini.

Setelah 2 tahun dikeluarkan, lagu "Ada-Ada" tiba-tiba saja menimbulkan kegemparan apabila ia diharamkan daripada siaran Radio Singapura pada 1970. Pengharaman siaran lagu "Ada-Ada" dilaporkan oleh akhbar sebagai kes pertama seumpamanya yang melibatkan lagu berbahasa Melayu. Pengharaman itu berpunca daripada pelancaran "Kempen Anti Nakotik (ganja)" oleh Kementerian Kebudayaan Singapura.

Senikata lagu "Ada-Ada" dikatakan "mengandongi unsor2 yang memuja ganja" (Berita Harian Singapura, 19 Mac 1970)

ADA-ADA
(pencipta lagu: T. Hashim / penulis senikata: A. Romzi)

Ku berjalan-jalan di taman bunga
Tapi tiada tujuan yang utama
Ku mencari barang yang tiada
Entah kan tersandung batu di sana

Kata kawan-kawan sungguh istimewa
Tapi tiada berkesan dan tiada juga ku rasa

Kini... ada-ada
Tapi... tak guna


  • Maksud senikata lagu "Ada-Ada" yang ringkas itu agak kabur dan tidak jelas langsung apa yang dikatakan sebagai "memuja ganja" yang menjadi penyebab kepada pengharamannya pada 1970.
  • Lagu "Ada-Ada" dalam video di atas kurang berkualiti dan kedengaran rosak pada beberapa bahagian. Untuk mendengar versi yang lebih baik, boleh dapatkan MP3 di muziknusantara.com

Nota tambahan:
Lagu-lagu luar negara yang turut diharamkan siarannya daripada Radio Singapura pada 1970 ialah: The Pusher (kumpulan Steppenwolf, 1968); Happiness Is A Warm Gun (kumpulan The Beatles, 1968); Puff, The Magic Dragon (trio Peter, Paul & Mary; 1963). Semua lagu itu dikatakan "memuja ganja" (Berita Harian Singapura, 5 Mac 1970)

02 April 2014

Kontroversi lagu Dendam Ku Kerana Maria (1972)

Lagu Dendam Ku Kerana Maria nyanyian penyanyi Singapura, Ismail Haron, dikeluarkan pada 1972. Lagu itu ialah saduran daripada lagu I Did What I Did For Maria (1971) nyanyian penyanyi Tony Christie dari England. Senikata lagu Dendam Ku Kerana Maria ditulis sendiri oleh Ismail Haron berdasarkan senikata lagu asalnya.

Radio Singapura ketika itu meluluskan penyiaran lagu Dendam Ku Kerana Maria yang menceritakan tentang pembunuhan dan balas dendam. Namun, kontroversi tercetus apabila seorang pendengar radio menulis kepada akhbar dan mempersoalkan senikata lagu itu yang sememangnya sangat luar biasa untuk sebuah lagu berbahasa Melayu.

Petikan akhbar Singapura (Jun 1972)

Lagu Dendam Ku Kerana Maria kemudian mendapat perhatian banyak pihak dan tidak mengejutkan apabila ada pihak yang mencadangkan supaya lagu itu diharamkan penyiarannya. Namun, ada juga pihak yang mampu menerima lagu itu sebagai sekadar fiksyen & hiburan, sama seperti pelbagai filem atau bahan bacaan yang mengisahkan perbuatan jenayah.

DENDAM KU KERANA MARIA
(pencipta lagu: Copyright Control / penulis senikata: Ismail Haron / penerbit: Kassim Masdor)

Dunia, selamat tinggal aku ucapkan
Hari ini ku terima hukuman
Hukuman yang berat 'kan ku terima
Ku membalas dendam kerna (untuk) Maria

Ke rumah musuh ku, ku pergi seorang
Pembunuh isteri ku, akan ku habiskan
Keris di tangan ku, akan ku darahkan
Untuk kau Maria, ku berkorban
Biar nyawa segan, ku gadaikan

Dengan hati geram, terus aku menerkam
Pembunuh isteri ku, tak dapat melawan
Nyawanya ku ambil, kerna Maria
Puas rasa hati, kerna Maria

Kini, sungguh pun aku akan dihukum
Tiada ku takut dan tiada gerun
Fikiran ku tenang, tiada apa
Menjadi pembunuh, kerna Maria

Tiada ku sangka, pembunuh isteri ku
Kawan ku yang lama, yang ku sangka jujur
Setelah kau noda, kau membunuh Maria
Mempersyaitan diri pada Maria
Ku membalas dendam kerna Maria

26 June 2013

Muruku Ikan PoPo (1975 & 2012)

Muruku Ikan berjenama PoPo, atau ringkasnya muruku PoPo, ialah sejenis makanan ringan buatan Malaysia yang boleh dikatakan popular sehinggakan wujudnya versi tiruan! Jenama muruku PoPo ini telah wujud sejak 1975 dengan menggunakan tanda niaga berdaftar imej bayi meniarap. Pada bungkusan kecil muruku PoPo yang sah, tercetak tulisan besar "Barangan Asli" di samping ayat peringatan yang sangat serius untuk mana-mana pembungkus makanan ringan, iaitu "Jangan Tertipu Dengan Keluaran Tiruan. Beware Of Imitation". Begitulah kuatnya pengaruh muruku PoPo dalam pasaran makanan ringan tempatan!


Muruku PoPo yang berstatus Halal ini dihasilkan dengan ramuan Tepung Dhall, Minyak Kelapa Sawit, Sos Ikan (Ekstrak Ikan Bilis, Garam, Gula), Garam & Gula. Ia dikeluarkan oleh syarikat Thien Cheong Sdn Bhd yang beroperasi di Butterworth, Pulau Pinang. Muruku PoPo turut dijual dalam bungkusan yang lebih besar, yang bercetak dengan ayat yang menggambarkan betapa seriusnya tahap peniruan terhadap jenama popular ini: "Jika sesiapa melaporkan kepada syarikat kami tentang keluaran palsu yang tidak disahkan, akan mendapat wang sagu RM20,000.00, wang sagu akan dibahagikan serata jika melebihi seorang".


Maklumat tambahan:

Sejarah syarikat pengeluar muruku PoPo

Facebook rasmi muruku PoPo

28 September 2012

Bintang RTM - Sani Abu Yamin (1971)

Pertandingan bakat nyanyian peringkat akhir Bintang RTM 1971 telah diadakan di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada 27 September. Dalam pertandingan itu Sani Abu Yamin yang berasal dari Kuala Lumpur telah berjaya menjadi johan dan menerima hadiah wang sebanyak $1000 di samping pingat dan piala pusingan.


Sani Abu Yamin atau nama penuhnya Md Sani Abu Yamin kemudiannya mendapat peluang merakamkan album bersama syarikat rakaman EMI dengan menggunakan nama M. Sani. Antara album M. Sani yang pernah dikeluarkan ialah Kerna Senyum Ku Terpikat (1974) selain beberapa EP (album mini) seperti Rindu Hati Ku Tidak Terkira & Sedangkan Lidah Lagi Tergigit (duet bersama Sharifah Aini).

Genap 30 tahun selepas bergelar johan Bintang RTM, M. Sani (50 tahun) yang tidak lagi menyanyi dan ketika itu menguruskan gerai makanan telah menggemparkan negara apabila dia didakwa di mahkamah atas tuduhan merogol anak perempuannya yang berusia 11 tahun. Tarikh kejadian rogol itu ialah pada 26 September 2001. Setelah dibicarakan, pada 2005 mahkamah mendapati M. Sani bersalah dan dia dijatuhkan hukuman penjara selama 19 tahun.

Nota tambahan:
Naib johan Bintang RTM 1971 ialah Yusof Mohammad & A. Mohd Hassan, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Rozaimah Mustapha & Hassan Razak. Persembahan para peserta dalam pertandingan akhir Bintang RTM 1971 diiringi oleh persembahan muzik Orkes RTM dan ia telah dirakam dan dipasarkan dalam bentuk piring hitam. Berikut ialah senarai lagu dan nama para peserta yang bertanding. Lagu-lagu yang dipersembahkan terbahagi kepada 2 kategori:

Jenis Baru:
1. Jauh Jauh (Sani Abu Yamin)
2. Oh Di-Mana (S. Razalie)
3. Hanya Pada Mu (Zurina Hassan)
4. Anak Siapa (A. Naob Harris)
5. Satu Dalam Seribu (S. M. Buang)
6. Perahu Ladju (Rozaimah Mustapha)
7. Seruling Di-Lembah Sunyi (Yusof Mohammad)
8. Hanya Sekejap (Majinah Ali)

Jenis Lama:
1. Resam Dunia (A. Mohd Hassan)
2. Laksamana Mati Di-Bunoh (Shamsuddin Lamin)
3. Kr. Terkenang2 (Zainal Abidin Udoh)
4. Sri Tambak (Saftuyah Bujang)
5. Gunong Bentan (Azmi Othman)
6. Kr. Tumbang Harapan (M. Jamil Jamaluddin)
7. Nasib Panjang (Hassan Razak)

Rancangan Bintang RTM 1971 ditaja oleh Lever Brothers (Malaysia) Sdn Bhd.

03 August 2012

A Man Of Malaysia (1976)

Tun Razak atau nama penuhnya Abdul Razak Bin Hussein merupakan Perdana Menteri Malaysia kedua yang mula berkhidmat pada 1970. Beliau meninggal dunia pada 1976 dalam usia 53 tahun. Setelah kematian beliau, The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad telah menerbitkan sebuah buku kenang-kenangan yang berjudul A Man Of Malaysia. Tajuk sampingan buku dwi-bahasa ini ialah 'Seluruh hidupnya untuk Malaysia' dan ia dijual dengan harga $3.50. Buku setebal 104 mukasurat ini dimulakan dengan pendahuluan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Suffian, yang antara lain menulis: "Malaysia telah kehilangan seorang putera dan seorang patriot yang gagah dan ulung"

Buku A Man Of Malaysia menghimpunkan rencana-rencana hasil tulisan A. Samad Ismail, Adibah Amin dan Mohamed Noordin Sopiee. Isi kandungan buku ini dibahagikan kepada beberapa bab bertulis atau bergambar seperti berikut:
  1. Tun Razak - Peribadinya (Tun Razak the man), oleh A. Samad Ismail
  2. Tun dan zamannya (The man and his times), oleh Mohamed Noordin Sopiee
  3. Detik-detik hidup Tun (Tun through the years)
  4. Tun dan keluarga (The family man)
  5. Tun yang saya kenali (The man I knew), oleh Zain Azraai & Tuanku Jaafar (Yang Dipertuan Besar Negri Sembilan)
  6. Petikan kata-kata Tun (Quotes)
  7. Keluarga yang ditinggalkannya (The family he leaves behind), oleh Adibah Amin
Bahagian terbaik untuk buku sebegini tentulah himpunan gambar kenangan yang berpuluh-puluh keping (mungkin juga ratusan) dalam bentuk hitam putih mahu pun berwarna. Di mukasurat tengah buku ini terdapat sekeping poster Tun Razak bersama isterinya sedang berekreasi dengan sampan di sebuah tasik. Selain daripada gambar-gambar semasa zaman kegemilangan Tun Razak, buku ini juga turut merakamkan detik-detik sedih kepulangan jenazah beliau dari London dan juga suasana di hari pengkebumiannya pada 1976.

Di bawah ialah beberapa lagi gambar menarik yang terdapat dalam buku A Man Of Malaysia:

02 April 2012

Sabda Bintang (1976 & 1979)


URTV, 1976

Sabda Bintang ialah ruangan ramalan nasib yang disiarkan oleh majalah URTV pada sekitar 1970-an. Ramalan nasib tersebut dibuat mengikut jenis zodiak/bintang atau tarikh kelahiran seseorang. Bintang seperti Aquarius, Leo, Cancer, Libra, Sagittarius dan sebagainya dikatakan dapat mengkategorikan manusia ke dalam kelompok tertentu yang berkongsi sifat-sifat dan pemikiran yang serupa. Pengkategorian sebegitu memudahkan para peramal nasib dalam memastikan ramalan mereka tepat kepada sebilangan besar pembaca. Sekiranya ramalan tersebut tidak tepat, bulan depan masih ada untuk ramalan seterusnya. Maka begitulah ruangan ramalan nasib dalam akhbar dan majalah mendapat pembaca setianya. Ruangan sebegitu mungkin biasa menggunakan nama seperti Horoskop dan sebagainya, tetapi majalah URTV memilih untuk menggunakan nama Sabda Bintang di mana Sabda bermaksud kata-kata yang diucapkan. Walau bagaimanapun pada masa kini Sabda tidak lagi boleh digunakan sewenang-wenangnya, apatah lagi oleh objek seperti bintang yang berlambangkan kepala kambing atau pun ketam. Sekian sabda ANX.


URTV, 1979

31 July 2011

Rancangan Talivisyen Singapura (1976)

Negeri Singapura telah berpisah daripada negara Malaysia pada 1965. Selepas perpisahan itu terbentuklah negara republik Singapura. Oleh kerana kedudukan dan hubungan yang agak rapat antara Malaysia dan Singapura, maka banyak perkara masih saling berkait di antara kedua-dua buah negara selepas daripada itu. Salah satu kesan peninggalan Singapura yang kekal agak lama dalam dunia hiburan Malaysia ialah susunan rancangan yang disiarkan oleh stesen Talivisyen Singapura, iaitu Chanel 5 & Chanel 8. Susunan rancangan tersebut dihebahkan secara meluas dalam akhbar dan majalah tempatan seolah-olah siaran Talivisyen Singapura dapat ditonton di seluruh Malaysia sedangkan sebenarnya hanya beberapa bahagian kecil dalam negeri di selatan Malaysia sahaja yang dapat mengikuti siaran tersebut.

Publisiti terhadap rancangan Talivisyen Singapura itu berlangsung bertahun-tahun di sepanjang dekad 1970-an hingga hujung 1980-an. Pernah berlaku semasa di hujung hayat publisiti sebegitu di mana hanya akhbar mingguan (hari Ahad) sahaja yang akan menyiarkan susunan rancangan Talivisyen Singapura sedangkan akhbar harian tidak lagi menyiarkannya. Ia membayangkan seolah-olah rakyat Malaysia diberi keistimewaan untuk menonton siaran Talivisyen Singapura pada hari Ahad sahaja. Tidak mustahil juga sekiranya selepas melihat susunan rancangan tersebut ada penonton yang akan berusaha mencari siaran Talivisyen Singapura walaupun mereka sebenarnya berada di utara Malaysia. Pada awal 1990-an, selepas stesen TV3 di Malaysia memperkenalkan rancangan Sekapur Sirih & Melodi (dan mungkin juga Kuali) pada setiap hari Ahad, rakyat Malaysia tidak lagi berselera untuk menonton siaran Talivisyen Singapura, maka berakhirlah penyiaran susunan rancangan Talivisyen Singapura dalam akhbar dan majalah tempatan.

Antara rancangan yang pernah disiarkan oleh stesen Talivisyen Singapura pada 1976 ialah: Berita Rengkas, Pentas Kanak-Kanak, Mission Impossible, Tom & Jerry, Sesame Street, Bakat Remaja, New Adventures Of Superman, Space 1999, Woody Woodpecker, Atom Ant, Police Woman, Pusparama, Mary Tyler Moore Show, Panduan Pengguna, Lone Ranger, Combat, Boxing, June Allyson Show dan lain-lain.

15 July 2011

Bolasepak wanita Piala Malaysia (1976)

Perlawanan bolasepak wanita Piala Malaysia telah diadakan buat pertama kali pada 1976. Perlawanan akhirnya berlangsung pada 16 Ogos 1976 di Padang Stesen, Seremban, Negri Sembilan. Pasukan yang layak ke perlawanan akhir itu ialah pasukan Negri Sembilan dan pasukan Singapura. Seramai 2,000 orang penonton hadir bagi menyaksikan perlawanan untuk merebut Piala Malaysia kategori wanita yang julung kalinya diadakan.

Kelebihan bermain di tempat sendiri tidak menjamin kemenangan kepada pasukan Negri Sembilan yang akhirnya tewas kepada pasukan Singapura dengan jaringan 0-2. Pasukan Singapura menunjukkan kehebatan mereka dengan menjaringkan gol pertama seawal minit ke-4, dan kemudiannya gol kedua pada minit ke-45. Akhbar Singapura memuji pasukan Singapura dengan menulis, "It's dominance prevailed throughout the game, with accurate passing and clever moves". Walaupun tewas, pasukan Negri Sembilan tetap menunjukkan permainan yang baik. Secara keseluruhannya akhbar menyimpulkan, "The women really knew how to play football"

Nota tambahan:
Kemenangan pasukan bolasepak wanita Singapura dalam perlawanan akhir Piala Malaysia kategori wanita yang pertama seakan-akan mengulangi sejarah pasukan bolasepak lelaki Singapura yang merupakan pemenang perlawanan akhir Piala Malaya yang pertama pada 1921.

26 June 2011

Pemilihan Penyanyi Popular Tahun 70-an (1979)



Pada awal 1979, Persatuan Penyanyi Tanah Air (PAPITA) dengan kerjasama majalah URTV telah menganjurkan satu undian umum bagi memilih penyanyi tempatan popular 1970-an. Undian tersebut terbahagi kepada 2 kategori iaitu Penyanyi Lelaki & Penyanyi Wanita, dan ia dijalankan melalui pos dengan cara menghantar borang yang disediakan dalam majalah tersebut. Senarai penyanyi yang dicalonkan oleh PAPITA bagi Pemilihan Penyanyi Popular Tahun 70-an ialah seperti berikut.

Penyanyi-Penyanyi Lelaki Tahun 70-an (hingga 1978):
  1. A. Razak
  2. A.J. Ajmain
  3. Ahmadi Hassan
  4. Andre Goh
  5. Andy Yunus
  6. D.J. Dave
  7. Dahlan Zainuddin
  8. Deddy M. Borhan (lebih terkenal sebagai penerbit filem pada 1980-an)
  9. Hail Amir
  10. Hail Chik
  11. Hanafiah Yunus
  12. J. Mizan
  13. Jasmin Hussin
  14. Latiff Ibrahim
  15. M. Daud
  16. M. Daud Kilau
  17. M. Ramli
  18. M. Sani
  19. M. Shariff
  20. Rahman Kadir
  21. Ruslan Yuss
  22. S. Rosli
  23. S. Sudirman
  24. Shamsudin Lamin
  25. V. Sarangabani (paling rare!)
Penyanyi-Penyanyi Wanita Tahun 70-an (hingga 1978):
  1. Anita Sarawak (masih aktif!)
  2. Dahlia Ahmad
  3. Efa Rizan
  4. Faridah Mansor
  5. Fatimah Razak
  6. Habibah Yaakob
  7. Hamidah Ahmad
  8. Hamidah Buang
  9. Juli Remie
  10. Junainah M. Amin
  11. Khatijah Ibrahim
  12. Mazuin Hamzah
  13. Milah Hussin
  14. Mimi Loma
  15. Noor Kumalasari
  16. Rahimah Rahim
  17. Rina Rahman
  18. Rohani Aziz
  19. Rose Iskandar
  20. Rozita
  21. Saadiah Saat
  22. Salmiah Hassan
  23. Sarina Hashim
  24. Sharifah Aini (masih aktif!)
  25. Suhaili Shamsuddin
  26. Uji Rashid
  27. Zalifah Ibrahim
Sekiranya anda tidak mengenali sesetengah daripada nama-nama penyanyi popular di atas malah tidak pernah mendengar langsung lagu-lagu nyanyian mereka tidak mengapa, kerana generasi berikutnya pada 32 tahun akan datang juga akan bertanya soalan yang sama tentang siapakah itu Faizal Tahir, Mawi, Stacy atau pun Jaclyn Victor, nama seakan-akan pakcik dan makcik yang tidak glamor dan tidak mungkin pernah popular saja gayanya. Sudahlah cara mengundi pun melalui SMS, sangat ketinggalan zaman, orang dah tak guna telefon bimbit lah!

08 June 2011

Kontroversi tayangan filem x-rated (1972)

Filem x-rated (atau berklasifikasi X) umumnya merujuk kepada filem yang bertemakan seks atau mengandungi adegan-adegan yang sangat melampau dan tidak sesuai untuk tontonan kanak-kanak. Filem-filem sebegitu juga digelar sebagai filem dewasa dan Malaysia mengharamkan semua filem x-rated, jadi pengkelasan filem dalam kategori X sememangnya tidak wujud pada masa kini.

Gambar di atas menunjukkan para penonton sedang menunggu di luar bangunan pawagam Odeon di Kuala Lumpur untuk menonton filem Sex And Life, iaitu sebuah filem x-rated! Ia berlaku pada sekitar awal 1970-an.

Menurut kajian seorang sarjana bernama Tripat Narayanan mengenai penayangan filem di Malaysia di antara tahun 1970 hingga 1973, filem-filem x-rated pernah ditayangkan di Malaysia pada awal 1970-an, di mana pada ketika itu pihak penapis filem sedang cuba untuk memperkenalkan sistem pengkelasan filem, dan filem-filem x-rated seperti Sex And Life, X-Phobia, Old Man's Biological Urge dan lain-lain telah dilepaskan untuk tayangan di pawagam sebagai satu bentuk eksperimen atau percubaan. Seperti yang dijangka, banyak pihak dan orang ramai yang membantah tindakan tersebut. Maka pada 1972 sebuah jawatankuasa khas telah dibentuk bagi mengkaji mengenai kontroversi isu seks dan keganasan dalam filem. Hasilnya selepas itu semua filem x-rated telah diharamkan di Malaysia.

Nota tambahan:
Lembaga Penapisan Filem (LPF) Malaysia mengambil masa yang terlalu lama untuk memperkenalkan sebuah sistem pengkelasan filem. Hanya pada 1996 filem-filem yang ditayangkan di Malaysia mula diklasifikasikan sama ada untuk tontonan Umum (U) atau 18 Tahun Ke Atas (18SG, 18SX, 18PA, 18PL). Pada 2008 klasifikasi PG13 mula diperkenalkan, manakala pada 2010 klasifikasi 18 pula diperkenalkan bagi menggantikan keempat-empat klasifikasi 18 Tahun Ke Atas yang asal.

16 May 2011

Pembedahan menukar jantina pertama di Singapura (1971)

Pada Julai 1971 seorang lelaki Singapura berketurunan Cina berusia 24 tahun telah menjalani pembedahan menukar jantina di Hospital Kandang Kerbau, Singapura. Itu adalah pertama kali pembedahan sedemikian dilakukan di Singapura atau negara serantau. Pembedahan selama 3 jam itu dilakukan oleh 3 orang pakar bedah bernama S.S. Ratnam, Khew Khoon Shin dan R. Sundarason.

Selepas kejayaan tersebut, seorang lagi lelaki berusia 25 tahun turut menjalani pembedahan menukar jantina pada bulan Oktober tahun yang sama.

Nota tambahan:
Pada 1974, doktor S.S. Ratnam telah mengetuai sekumpulan pakar bedah daripada University Of Singapore bagi melakukan pembedahan menukar jantina ke atas seorang wanita berketurunan Cina berusia 24 tahun. Pembedahan yang dianggap unik dan sangat kompleks itu dilakukan dalam 4 peringkat di Hospital Kandang Kerbau. Pada pembedahan peringkat pertama yang dilakukan beberapa bulan lebih awal, zakar tiruan telah dibentuk daripada tisu dan kulit yang diambil daripada bahagian pinggang pesakit. Pembedahan peringkat ketiga yang dilakukan pada Disember tahun itu menyaksikan pasukan pembedahan mengambil masa 90 minit bagi mencantumkan zakar tersebut kepada badan pesakit. Saluran kencing kemudiannya dibentuk semasa pembedahan terakhir beberapa bulan kemudian.

18 April 2011

Topless di-Jakarta dalam URTV (1971)

Majalah Utusan Radio & TV atau kini dikenali dengan nama ringkasnya URTV mula diterbitkan pada 15 Januari 1970 dengan menggunakan slogan "Majallah Hiboran Untok Semua". Harganya ketika itu sebanyak 40 sen (agak mahal) dan majalah yang diterbitkan dua kali dalam sebulan itu menghidangkan berita dan cerita hiburan dari dalam dan luar negara. Dalam keluaran ke-41 (15 September 1971), majalah URTV (permit penerbitan KDN 5037) pernah menyiarkan sebuah rencana di muka surat 2 yang bertajuk "Topless di-Jakarta" yang dihiasi dengan beberapa keping gambar penari bogel wanita (hanya ditapis bahagian yang paling erm.. menonjol sahaja). Ketika itu kawalan terhadap bahan bercetak tidak setegas seperti sekarang. Majalah URTV sejak dari awal penerbitannya merupakan bahan bacaan umum yang tidak menghadkan umur pembacanya.

Petikan renchana dan gambar:

28 March 2011

P. Ramlee vs. MGR (1972)

Pada 20 Julai 1972, Malaysia dikunjungi oleh pelakon filem legenda India iaitu M.G. Ramachandran atau nama glamournya MGR. Pada ketika itu tiada nama lain yang lebih layak untuk menyambut kedatangan MGR ke Malaysia selain daripada satu-satunya legenda filem Melayu, P. Ramlee. Tiada siapa menyangka bahawa hayat P. Ramlee di dunia hanya tinggal lebih kurang 10 bulan sahaja daripada hari bersejarah itu. P. Ramlee bersama ribuan peminat filem telah menyambut kedatangan MGR di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, iaitu negeri kelahiran P. Ramlee. Pada hari itu, MGR dan P. Ramlee, dua ikon filem tersohor dunia sempat bergambar bersama.

P. Ramlee meninggal dunia pada 29 Mei 1973 semasa filem terakhirnya Laxmana Do Re Mi masih ditayangkan di pawagam. MGR pula meneruskan kerjaya lakonannya sehingga filem terakhir pada 1978 sebelum bersara dan meninggal dunia pada 1987.

25 March 2011

Pesawat MAS dirampas dan terhempas di Johor (1977)

Pada 4 Disember 1977 lebih kurang jam 8.15 malam dilaporkan bahawa sebuah pesawat MAS (Malaysian Airlines) telah meletup dan terhempas semasa dalam penerbangan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur dan Singapura. Dua puluh minit sebelum kemalangan ngeri itu, juruterbang terbabit dikatakan telah memberi amaran kepada menara kawalan di lapangan terbang Subang (Kuala Lumpur) bahawa pesawat jenis Boeing 737 yang sedang dipandunya itu telah dirampas oleh kumpulan pengganas Japanese Red Army yang membawa bahan letupan. Pesawat yang membawa seramai 100 orang penumpang itu juga terpaksa membatalkan pendaratan di Subang dan meneruskan penerbangan ke Singapura. Bangkai pesawat yang terhempas itu dijumpai di Tanjung Kupang, Johor. Laporan akhbar 2 hari kemudian memberitahu bahawa perampas pesawat itu hanya terdiri daripada seorang sahaja, dan nama serta kewarganegaraannya tidak dapat dipastikan.

Dalam satu laporan lain diberitahu bahawa kesemua 93 penumpang dan 7 krew penerbangan telah terkorban dalam tragedi udara yang dikatakan terburuk di Malaysia itu. Salah seorang mangsa yang terkorban ialah Menteri Pertanian, Dato' Seri Ali Haji Ahmad. Oleh kerana tiada saksi yang terselamat, maka kaitan kejadian itu dengan kumpulan Japanese Red Army tidak dapat dipastikan, dan penyiasat hanya berharap kepada kotak hitam (perakam suara dan maklumat penerbangan) yang hanya dijumpai beberapa minggu kemudian. Selain itu timbul juga masalah untuk mengebumikan semua mangsa kerana identiti mereka yang sangat sukar untuk dikenal pasti akibat daripada kemalangan yang terlalu dahsyat di mana tiada satu pun mayat dalam keadaan sempurna. Beberapa orang ketua pelbagai agama telah berbincang dan mencapai kata sepakat bahawa kesemua 100 mangsa (yang terdiri daripada pelbagai agama) akan dikebumikan secara serentak di sebuah tapak perkuburan khas yang terletak di Jalan Kebun Teh, Johor Bahru. Pengebumian besar-besaran itu dilakukan 5 hari selepas kejadian.

Hasil siasatan ke atas kotak hitam pesawat terbabit telah didedahkan dalam satu laporan rasmi 9 bulan selepas kejadian. Laporan itu menyatakan bahawa juruterbang dan seorang pegawai penerbangan telah ditembak oleh perampas (tidak diketahui berapa orang) beberapa minit sebelum pesawat itu menjunam jatuh ke negeri Johor. Rakaman suara itu memperdengarkan bunyi tembakan sebanyak 3 kali, dan juruterbang bernama G.K. Ganjoor sempat merayu "No, please, don't" sebelum dia ditembak. Data lain menunjukkan bahawa kejadian itu berlaku semasa pesawat berada pada ketinggian 4,000 kaki di mana pesawat itu sedang dalam keadaan menurun untuk mendarat di lapangan terbang Paya Lebar, Singapura. Sebelum bunyi tembakan itu, terdapat juga suara seseorang yang tidak dikenali berkata "You bluff us". Terdengar juga percakapan dalam bahasa asing dalam rakaman itu tetapi laporan rasmi menyatakan bahawa kewarganegaraan perampas itu tidak dapat dikenal pasti. Kotak hitam itu juga mendedahkan bahawa seseorang cuba memandu atau mengawal pesawat itu selepas juruterbang ditembak. Sebaik sahaja tembakan berlaku, pesawat itu mula menjunam dan terhempas ke bumi pada kelajuan 450 knots. Laporan rasmi itu juga menyatakan bahawa tiada kejadian letupan yang berlaku di atas pesawat terbabit.

26 February 2011

Separuh akhir Piala Malaysia - Singapura vs. Selangor (1977)



Pertandingan bolasepak Piala Malaysia 1977 peringkat separuh akhir di antara pasukan Singapura dan Selangor telah berlangsung di Stadium Nasional, Singapura pada hari Jumaat 13 Mei (Friday the 13th!). Pasukan manakah yang menang dan layak ke pertandingan akhir adalah penting dalam sejarah bolasepak Malaysia, tetapi penting juga untuk peminat bolasepak sentiasa mengingati tragedi malang yang berlaku beberapa jam sebelum pertandingan tersebut bermula.

Sebanyak 33,147 keping tiket telah disediakan untuk para penonton, dan ia akan hanya mula dijual mulai jam 8 malam pada hari pertandingan! Terdapat juga sebilangan peminat bolasepak yang berbaris di hadapan kaunter tiket seawal jam 10 pagi lagi. Sebaik sahaja waktu bekerja bagi kebanyakan orang tamat pada jam 5 petang hari tersebut, jumlah orang ramai yang berbaris telah bertambah berkali-kali ganda ramainya. Keadaan orang ramai yang berbaris panjang sememangnya dalam suasana tenang dan sabar menunggu kaunter tiket dibuka seperti yang kelihatan dalam gambar di atas.

Sebaik sahaja kaunter tiket dibuka, kekecohan pun mula terjadi di mana orang ramai di bahagian belakang yang sudah hilang sabar telah menyerbu ke hadapan hingga berlaku kejadian tolak menolak. Orang ramai yang berbaris di hadapan termasuk wanita dan kanak-kanak telah menjadi mangsa rempuhan tersebut hingga ada yang terjatuh malah dipijak. 44 orang cedera dalam kejadian tersebut manakala seorang lelaki meninggal dunia akibat serangan jantung.

Nota tambahan:
Pasukan Selangor tewas kepada Singapura pada peringkat separuh akhir itu. Singapura kemudiannya menewaskan Pulau Pinang dalam pertandingan akhir Piala Malaysia 1977 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 28 Mei. Selepas 12 tahun tidak memenangi Piala Malaysia, akhirnya Singapura berjaya membawa pulang piala kebanggaan bolasepak tempatan itu menyeberangi Tambak Johor.

22 February 2011

Pembinaan Mimaland (1971)

Taman rekreasi yang terkenal pada era 1980-an iaitu Mimaland mula dibina dalam tahun 1971. Nama Mimaland yang agak unik itu sebenarnya adalah singkatan daripada gabungan perkataan Malaysia In Miniature Land. Ia dibina di sebuah kawasan berbukit seluas 300 ekar di Ulu Gombak tidak jauh dari Kuala Lumpur. Pembinaan Mimaland dibuat dalam beberapa fasa dan dibuka secara berperingkat.

Fasa pertama Mimaland yang siap dalam tahun 1970-an mengandungi 24 buah motel dan 5 buah chalet serta sebuah kolam renang. Antara tarikan utama Mimaland pada peringkat awalnya ialah 'taman haiwan prasejarah' yang mengandungi binaan model-model dinosaur bersaiz besar yang begitu mengagumkan para pengunjung ketika itu. Beberapa buah filem tempatan pernah membuat penggambaran di situ.

Pada 1984 Mimaland memperkenalkan pula satu lagi tarikan terbarunya iaitu kolam renang yang dikatakan terbesar di Asia Tenggara, dan semestinya papan luncur air gergasi yang sangat tinggi yang begitu digemari oleh ramai pengunjung. Selain itu Mimaland juga mempunyai beberapa lagi bahagian lain, antaranya ialah sebuah tasik untuk aktiviti bersampan dan memancing, kawasan 'giant maze', serta kawasan untuk merentas rimba.

Setelah bertahun-tahun Mimaland menceriakan hidup ramai orang, sesuatu yang tidak diingini berlaku juga. Satu kemalangan telah terjadi di kawasan papan luncur air gergasi Mimaland pada Januari 1993 yang menyebabkan kematian seorang warganegara Singapura berusia 27 tahun. Kejadian malang itu mengejutkan orang ramai hingga memaksa pihak Mimaland menutup sementara kawasan yang terlibat iaitu kolam renang dan papan luncurnya bagi dilakukan kerja-kerja penambahbaikan. Pada Mei 1994 pula, berlaku kerosakan pada dinding kolam renang yang sama yang berpunca daripada kejadian kecil tanah runtuh hingga menyebabkan air lumpur memasuki kolam renang tersebut. Sekali lagi, kawasan tersebut ditutup kepada orang ramai.

Pihak pengurusan Mimaland kemudiannya telah diseret ke mahkamah oleh beberapa pihak termasuk agensi kerajaan di atas beberapa dakwaan kesalahan, antaranya ialah kelemahan dalam kawalan keselamatan, serta menjadi punca kepada beberapa masalah alam sekitar. Sepanjang pendakwaan kes tersebut pihak mahkamah telah menghalang Mimaland daripada meneruskan operasinya. Akibat tidak dapat lagi bertahan tanpa beroperasi, Mimaland akhirnya terpaksa menutup terus pintunya buat selama-lamanya pada 1994. Kesan peninggalan Mimaland masih wujud hingga kini.


Kiri: Papan luncur air gergasi pada 1984
Kanan: Pintu gerbang Mimaland pada 2008

Nota tambahan:


1980 - Filem Tuan Besar, antara filem tempatan terawal yang membuat penggambaran di Mimaland. Kelihatan pintu gerbang Mimaland dengan logo Bunga Raya, dan adegan pelakon Rahim Jailani dan Fauziah Ahmad Daud sedang melawat taman haiwan prasejarah. Juga kelihatan tasik tempat Azroy dan Suzana bersampan dalam filem Gila-Gila Remaja lima tahun kemudian.


1983 - Filem Mekanik, dimulakan dengan ucapan terima kasih kepada Mimaland. Taman haiwan prasejarah sekali lagi menjadi lokasi pilihan, kali ini untuk menggambarkan babak fantasi zaman batu lakonan Azmil Mustapha dan Julie Faridah (yang kelihatan di situ sedang membasuh buah betiknya sambil ditemani oleh dinosaur yang jinak)


1985 - Filem Gila-Gila Remaja mempunyai banyak dialog kegemaran ramai, antaranya ialah: "Esok jangan lupa, Mimaland!" yang diucapkan oleh pelakon Faizal Hussein. Lokasi tasik menjadi pilihan untuk babak lagu selingan, dan selepas itu Azroy dan Suzana singgah minum di restoran tepi tasik. Kelihatan pekerja di tempat sewa sampan itu memakai t-shirt seragam yang bertulis Mimaland.


1987 - Filem Tempo '88 memilih lokasi penting di Mimaland iaitu kawasan kolam renang terbesar di Asia Tenggara dan papan luncur air gergasi yang menjadi punca berakhirnya era Mimaland enam tahun kemudian. Dua orang pelakon tidak terkenal berlegar-legar di situ dalam sebuah babak mengarut yang diakhiri dengan aksi tipikal, iaitu seseorang perlu jatuh ke dalam kolam renang, dan semestinya orang yang ingin menolongnya juga akan terjatuh sama. Sangat filem Melayu 80-an.

09 February 2011

Miss Malaysia - Yasmin Yusuf (1979)

Di sebelah ialah gambar Yasmin Yusuf dalam tahun 1979. Beliau pernah memenangi pertandingan Miss Malaysia-Universe pada 1978 ketika berusia 22 tahun. Yasmin yang merupakan seorang mahasiswa di sebuah universiti di England dalam jurusan kemanusiaan telah menyertai pertandingan tersebut "hanya untuk suka-suka" semasa pulang bercuti di Malaysia. Mungkin kerana kecantikan Yasmin, seorang anak kacukan Malaysia-Jerman (ibunya bernama Brigitte @ Zaleha), serta kepintarannya dalam pelajaran telah melayakkannya memenangi pertandingan tersebut walaupun ada pihak tertentu ketika itu yang merasakan bahawa Yasmin tidak layak menjadi Ratu Malaysia kerana beliau berdarah kacukan.

Selepas itu Yasmin telah berpeluang mewakili Malaysia dalam pertandingan Miss Universe yang diadakan di Acapulco, Mexico pada 24 Julai 1978. Malaysia akhirnya memenangi tempat ketiga kategori Pakaian Kebangsaan Terbaik, tewas kepada India dan Korea yang masing-masing memenangi tempat pertama dan kedua. Di samping meneruskan pengajiannya di universiti, gelaran ratu cantik yang diterima Yasmin juga telah membuka peluang kepadanya untuk menjadi penyanyi rakaman. Syarikat WEA Records telah menerbitkan album (piring hitam) pertama berjudul Yasmin pada 1979 manakala album keduanya berjudul Harapan telah diterbitkan pada 1981. Pada 1983 Yasmin muncul dengan filem pertama lakonannya berjudul Mekanik di mana beliau melakonkan watak tambahan sebagai setiausaha yang seksi. Selain dikenali melalui lakonan dalam drama bersiri Opah pada 1980-an, Yasmin juga terkenal sebagai penyampai radio berbahasa Inggeris.


Adegan filem Mekanik

19 January 2011

Miss Malaysia-World (1973)



Narimah Mohd Yusoff adalah wanita berbangsa Melayu pertama yang memenangi pertandingan Miss Malaysia-World pada 1973. Narimah kemudiannya mewakili Malaysia ke pertandingan Miss World 1973 yang diadakan di Royal Albert Hall, London.



Nota tambahan:
Miss Malaysia-World dan Miss Malaysia-Universe adalah dua pertandingan yang berbeza. Tiga orang wanita berbangsa Melayu pernah memenangi pertandingan Miss Malaysia-Universe dalam tahun 1960-an.

17 January 2011

Miss Perak (1970)

Pertandingan ratu cantik Miss Perak 1970 telah diadakan pada 5 April di bandar Ipoh, dan ia disertai oleh hanya 6 orang! Jumlah penyertaan yang terlalu sedikit itu berpunca daripada khabar angin yang mengatakan bahawa setiap peserta perlu memperagakan pakaian tanpa memakai baju dalam atau coli. Pemenang pertandingan tahun itu ialah Cik Josephine Lena Wong yang berusia 18 tahun. Josephine yang bekerja sebagai wakil penjual kereta dan mempunyai ukuran badan 36-24-36.5 itu berjaya layak untuk bertanding pula dalam pertandingan Miss Malaysia-Universe.

Nota tambahan: Miss Malaysia-Universe (1970)
Dalam pertandingan peringkat kebangsaan ini, Josephine yang mewakili negeri Perak sekali lagi mencipta kejayaan dengan memenangi gelaran Miss Malaysia-Universe 1970 dengan mengalahkan para peserta dari negeri-negeri lain. Josephine kemudiannya mewakili Malaysia dalam pertandingan peringkat antarabangsa, Miss Universe 1970 di Amerika Syarikat, di mana dia telah berjaya mara hingga ke peringkat separuh akhir yang merupakan pencapaian terbaik Malaysia ketika itu. Josephine juga terpilih dalam senarai 'Best In Swimsuit' di samping 9 peserta antarabangsa lain.


Pertandingan Miss Malaysia-Universe (kiri) dan Miss Universe (kanan)

03 January 2011

Sabun Gayla (1974)

"Ini dia Gayla - sabun mandi dingin ais (Ice cool toilet soap - Gayla)"

Pada awal tahun 1970-an, syarikat Lever Brothers di Malaysia telah mengeluarkan sabun mandi berjenama Gayla! Dari mana asal usul perkataan gayla? Sudah tentu bukan daripada bahasa Melayu, malah bukan juga daripada bahasa Inggeris. Kemungkinan besar nama Gayla adalah hasil daripada gabungan perkataan bahasa Inggeris, Gay, dengan perkataan bahasa Melayu, La (sebutan ringkas untuk Lah)

Pada tahun 1970-an di Malaysia, perkataan gay tidak lebih daripada sekadar membawa maksud riang dan gembira seperti mana yang tergambar pada wajah model iklan sabun Gayla ini. Model perempuan tersebut juga digambarkan dalam keadaan berbogel, dan iklan ini disiarkan dalam majalah Wanita keluaran Januari 1974. Nombor siri kelulusan iklan ini pada penjuru kiri bawah tertulis "GAY/1/M"

Apabila membandingkan dengan situasi zaman sekarang, penerbitan iklan sebegini pastinya akan menjadi suatu isu hangat, malah pengeluar produk juga pastinya akan berfikir banyak kali sebelum menggunakan jenama dan paparan sebegini, bukan hanya kerana maksud gay kini secara umumnya merujuk kepada sifat homoseksual (yang berkonotasi negatif pada masyarakat umum, malah akan mengecilkan skop pasaran produk kepada golongan tertentu?), tetapi juga kerana paparan gambar bogel pada iklan dalam media cetak telah dilarang sama sekali. Walaupun kita tahu bahawa semua orang kini boleh melihat gambar bogel yang lebih hebat daripada dalam iklan ini dengan mudah melalui internet, tetapi pastinya tidak ramai daripada kita yang merasakan perlu untuk mengatakan bahawa perbuatan kita itu okey.

"Gayla - kesegaran dingin ais yang anda benar-benar nikmati"

Nota tambahan:
Nama Gayla telah didaftarkan sebagai tanda dagang oleh Lever Brothers di Amerika pada 1935. Cadangan mengenai penciptaan nama tersebut seperti di atas adalah imaginasi penulis sahaja.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...