Showing posts with label Din Beramboi. Show all posts
Showing posts with label Din Beramboi. Show all posts

29 October 2010

Majalah Varia Lawak & Lanun (1997)

Majalah Varia Lawak pertama kali dikeluarkan pada 15 April 1997. Majalah ini adalah kesinambungan daripada Majalah Ujang yang dihentikan penerbitannya setelah keluaran ke-74 (1 Mac 1997). Penantian para pembaca dan peminat Majalah Ujang yang menunggu keluaran seterusnya pada 15 Mac & 1 April akhirnya terjawab pada 15 April 1997, tetapi bukan dengan kegembiraan sebaliknya dengan seribu pertanyaan pula, apabila yang hadir di pasaran bukanlah Majalah Ujang sebaliknya majalah Varia Lawak yang kelihatan begitu mirip sekali dengan Majalah Ujang, hinggakan bentuk dan warna perkataan Lawak pada muka depan majalah ini juga kelihatan sama seperti perkataan (atau jenama) UJANG sebelum itu. Apa yang pasti, majalah Varia Lawak menampilkan kartunis Ujang.

Setelah membelek-belek muka depan majalah Varia Lawak, senarai kartunis dan warga kerja, serta isi kandungan di dalamnya, ternyata majalah ini adalah kelahiran semula Majalah Ujang, tetapi dengan menggunakan nama lain sahaja, iaitu nama ruangan hiburan (Varia Lawak) dalam muka tengah Majalah Ujang dahulu. Hampir semua kartun dan ruangan yang sebelum ini disiarkan dalam Majalah Ujang terdapat dalam keluaran pertama majalah Varia Lawak, kecuali dengan sedikit perubahan. Antara perubahannya ialah tiada lagi kartun semuka bernama Lawak Antarabangsa, ruangan Hoi Din Beramboi pula dinamakan sebagai Assalamualaikum Pak Din, manakala ruangan Editorial pula menjadi Tazkirah. Agak menarik juga apabila melihat iklan buku cerita Usop Sontorian yang sebelum ini pernah disiarkan dalam Majalah Ujang, tetapi dalam majalah Varia Lawak ini buku tersebut ditukar nama menjadi Usop Mersing! Daripada situ, pandangan awal pembaca dapat menduga bahawa kartunis Ujang ketika itu sedang berhadapan dengan masalah hakcipta.

Dalam ruangan Buletin Beramboi (nama yang sama seperti dalam Majalah Ujang), disiarkan berita pendek yang bertajuk "Ujang berpisah dengan Kharisma", disertai dengan gambar kartunis Ujang sedang merenung nasibnya di hadapan setimbun Majalah Ujang keluaran terakhir. Berita tersebut cuma menyatakan bahawa kartunis Ujang telah "menubuhkan syarikat penerbitannya sendiri iaitu Multi-Triple Vision Sdn Bhd", dan Varia Lawak adalah "majalah lama yang diberi nafas baru". Tiada penjelasan lanjut mengenai apa yang sebenarnya terjadi dengan Majalah Ujang.

Dalam keluaran ke-2 majalah Varia Lawak, ruangan Buletin Beramboi menyatakan: "Segala unsur-unsur syirik, takbur dan riak akan cuba disingkirkan dari majalah ini", "Diharapkan cita-cita murni ini dapat dilaksanakan demi menguatkan lagi kecintaan masyarakat kepada Islam". Selain itu terdapat poster kecil dengan lukisan gambar kumpulan nasyid Raihan yang bertajuk "Bersama Bangkitkan Syiar Islam". Ketika itu ramai pembaca sudah mula menyedari arah tuju majalah Varia Lawak yang banyak menyiarkan kartun dan isi kandungan yang berteraskan ajaran Islam dan pada masa yang sama mengurangkan unsur-unsur yang tidak baik dalam penyampaian humor.

Dalam keluaran ke-4 majalah Varia Lawak, terdapat kartun 6 muka surat yang bertajuk "Haaa? Ujang Dah Resign?!" lukisan kartunis Duku. Kartun tersebut menceritakan suasana di pejabat urusan Majalah Ujang ketika kartunis Ujang menghilangkan diri dan sudah beberapa hari tidak hadir ke pejabat. Khabar angin di kalangan kartunis dalam cerita itu mengatakan bahawa kartunis Ujang sudah meletakkan jawatan. Oleh kerana ketiadaan ketua yang boleh meluluskan bayaran claim mereka, ditunjukkan beberapa kartunis pergi untuk menjual kartun mereka kepada sebuah syarikat penerbitan di mana mereka semua terkejut apabila mendapati kartunis Ujang adalah pemilik syarikat baru tersebut. Di hujung kartun tersebut, kartunis Duku menulis: "Hidup Ujang! Eh, hidup Ibrahim Anon!!"

Selepas keluaran ke-4 majalah Varia Lawak, perubahan besar terjadi pada barisan kartunis yang menerajui majalah ini, di mana nama-nama seperti Gayour, Nik, Petai, Bawang, Ubi, Kobis Bunga, Keladi, Bacang, Padi & Manggis telah hilang daripada senarai nama kartunis, lantas menambahkan lagi misteri kepada kewujudan majalah Varia Lawak ini ketika itu.

Kartun bersiri paling popular dalam majalah Varia Lawak bertajuk Kartini, yang mula disiarkan dalam keluaran ke-5. Kartun drama komedi berdasarkan kisah benar karya kartunis Tembakau itu terus mencipta sejarahnya yang tersendiri dalam masa beberapa tahun selepas itu. Majalah Varia Lawak keluaran ke-7 (15 Julai 1997) merupakan keluaran terakhir, di mana pada muka belakangnya terdapat iklan majalah Lanun yang dikatakan "Akan Terbit!"

Setelah berakhirnya terbitan majalah Varia Lawak, muncul pula majalah Lanun pada 1 Ogos 1997 yang menggunakan slogan "Rekreasi Minda Anda!". Melihatkan nombor keluaran ke-8 yang tercetak pada muka depan majalah ini, dapatlah difahami bahawa Lanun bukanlah sebuah lagi majalah baru tetapi sekadar menukar nama dengan mengekalkan isi kandungan seperti keluaran majalah Varia Lawak sebelum itu, malah bentuk dan warna perkataan LANUN juga sama seperti Varia LAWAK. Satu perbezaan yang dapat dilihat ialah perubahan nama ruangan Assalamualaikum Pak Din yang ditukar menjadi Assalamulaikum Ujang.

Kehadiran majalah Lanun ini bersamaan tarikh dengan kemunculan semula Majalah Ujang keluaran ke-75, iaitu keluaran yang telah tergendala selama 5 bulan.

Pada keluaran ke-12 (1 Oktober 1997), majalah Lanun diterbitkan dalam edisi khas, iaitu berkembar sekali dengan majalah Buletin Lubuk. Sebelum itu, Buletin Lubuk merupakan ruangan berita aktiviti memancing yang disiarkan sejak daripada keluaran majalah Varia Lawak lagi. Uniknya majalah Buletin Lubuk ialah kerana semua kartun yang disiarkan mempunyai tema yang sama iaitu berkaitan dengan aktiviti memancing. Majalah tumpangan Buletin Lubuk akhirnya diterbitkan sebagai sebuah majalah yang berasingan pada 1 September 1998.

Pada keluaran ke-25 (1 Mei 1998), majalah Lanun telah menghentikan terus penggunaan maskot dan nama Din Beramboi atau Pak Din, satu tindakan yang dipercayai ada kaitannya dengan masalah hakcipta juga.

22 October 2010

Majalah Boom! (1995)

Majalah Boom! pertama kali dikeluarkan pada 1 Julai 1995. Majalah bulanan bersaiz komik antarabangsa ini berharga RM2.80, dan ia dipercayai muncul setelah melihat kejayaan Majalah Ujang pada 1994. Pada muka depan Boom! keluaran pertama, terdapat logo bulat yang tertera nama Ahadiat Akashah, yang merupakan penerbit majalah ini. Ahadiah Akashah yang merupakan seorang novelis terkenal juga pernah muncul sebagai penulis undangan dalam beberapa keluaran awal Majalah Ujang.

Majalah Boom! menampilkan beberapa orang kartunis baru yang tidak terkenal. Boleh dikatakan persembahan majalah ini tidaklah begitu menarik dengan ruangan yang bercampur aduk dan tidak tersusun rapi. Selain mengandungi kartun humor biasa yang semuanya kelihatan sangat amatur, terdapat juga ruangan penulisan yang turut menampilkan Ahadiat Akashah dengan cerpen Balak Cun dan Streets Kid. Aznil Nawawi yang bertindak sebagai Co-Editor juga disenaraikan sebagai salah seorang penulis.

Seorang lagi penulis yang terlibat dalam majalah ini ialah Mior Ahmad, atau lebih dikenali hari ini sebagai Din Beramboi. Dalam majalah ini Mior menulis untuk watak yang bernama Che' Din The Original. Dalam ruangan Panas! Panas! Panas!, Che' Din telah menceritakan serba sedikit tentang perebutan nama dan watak Din Beramboi yang sebenarnya telah dicipta oleh Mior Ahmad sendiri sebelum ia diciplak oleh Majalah Ujang. Che' Din menulis dalam loghat daerah, kata beliau:

"Satu ketiko dulu, kalau ado yang ingek, pornah tak dongar kaset tentang kisah seorang tuo: Ha... pak cik dulu tinggal Kedah. Lepas tu pak cik beli bas mini duo, pak cik niagokan. Pak cik niago, niago, niago, lepas tu entah macam mano, pak cik kayo tau! Kayo sangat pak cik!!"

(Nota: kaset tersebut telah tersebar di kalangan orang ramai sebelum kewujudan Majalah Ujang)

Meneruskan ceritanya, Che' Din memberitahu, "Sobonar eh, tak do siapo yang gilo. Tak do lah pak cik sampai pakai selipor kek botis. Populariti kaset tu kalau nak diikuitkan, tersebar ke seluruh Malaysia. Lopeh tu, adolah berbagai-bagai pihak yang mengaku dio punya. Yang paling sodih, watak pak cik dijadikan watak utamo dalam sebuah majalah humur. Kalau iyo pun nak pakai watak tu, berbincanglah caro elok. Macam R.A.P (Roslan Aziz Production) tu, sanggup cari pak cik mintak kebonaran nak potik sebahagian isi kaset untuk lagu Zainal Abidin. Takkan lah ponorbit majalah tu tak bolu buat macam tu. Abih segalo idea, caro pak cik borcakap dalam kaset tu diciplak dan digunakan sewenang-wenangnyo"

Perjuangan Mior Ahmad (Din Beramboi / Che' Din The Original) untuk menuntut hakcipta sepenuhnya ke atas nama watak rekaannya itu akhirnya berjaya, dan Majalah Ujang telah tidak lagi menggunakan nama Din Beramboi mulai penghujung 1997, manakala majalah Lanun pula menghentikan penggunaan nama Din Beramboi mulai pertengahan 1998. Namun begitu nasib majalah Boom! sama seperti banyak lagi majalah kartun lain yang kurang identiti tersendiri, di mana majalah ini juga tidak dapat bertahan lama dalam pasaran.

08 October 2010

Majalah Ujang (1994)

Majalah Ujang pertama kali dikeluarkan pada 1 Januari 1994. Majalah kartun dan humor ini pada mulanya dikeluarkan hanya sekali dalam sebulan. Setelah 4 keluaran bulanan berjaya diterbitkan dan mendapat sambutan hebat, majalah Ujang mula dikeluarkan sebanyak 2 kali dalam sebulan pula. Majalah Ujang merupakan kesinambungan daripada kejayaan beberapa buah majalah kartun tempatan lain yang dipelopori dalam dekad 1970-an dan 1980-an, seperti majalah Gila-Gila, Gelihati dan Batu Api. Majalah Ujang menggunakan nama salah seorang kartunis tempatan paling terkenal iaitu Ujang. Kartunis Ujang mula terkenal ketika beliau berkarya dalam majalah Gila-Gila di mana beliau mencipta fenomenanya yang tersendiri ketika itu (dekad 1980-an) dengan menghasilkan beberapa karya popular seperti Aku Budak Minang, Aca, Atuk, Intelligent Blues Club dan Jibam. Keinginan kartunis Ujang untuk mencurahkan sepenuh ideanya dalam penerbitan majalah Gila-Gila pada awal dekad 1990-an tidak kesampaian lantas memaksa beliau menubuhkan Kharisma Publications Sdn Bhd pada 12 Oktober 1993 bagi menerbitkan Majalah Ujang.

Dalam ruangan editorial Majalah Ujang keluaran ke-5 (15 April 1994) seperti dalam gambar di atas, kartunis Ujang menulis: "Mula-mula aku handle produksi satu majalah humor sebelum UJANG ini, aku cuba menjadikannya majalah yang terkelakar dan menghiburkan. Tetapi mendapat tentangan dari editor dan pihak atasan dengan alasan konsep dan format yang aku buat tu nampak bodoh. Kononnya kita mesti nampak elit, kita mesti carry moral, mesti ada unsur-unsur educational dan macam-macam lagi. Merapu-merapu ni tak main, malu pada golongan cerdik-pandai. Maka sering le berselisih sehingga aku naik boring. Maka aku pun angkat kaki dan menerbitkan sendiri majalah yang benar-benar memberi kepuasan kepada diri aku sendiri dan pembaca semua. Tapi sejak akhir-akhir ni, aku tengok majalah tu pun dah berubah mengikut rentak UJANG dan begitu juga majalah-majalah humor lain. Kita dah boleh jumpa Pujaan Sirap (lagu-lagu merapu) di dalam majalah dia orang, kita dah boleh tengok pantun-pantun gila dalam column dia orang dan banyak lagi. Secara tak langsung dia orang telah mengiktirafkan UJANG sebagai market-leader"

Majalah Ujang pada mulanya berharga RM2.20 dan menggunakan slogan "Majalah Lawak Antarabangsa", manakala maskot majalah ini ialah watak lelaki kurang siuman yang dinamakan Din Beramboi. Selain watak Din Beramboi, Majalah Ujang juga terkenal dengan kartun bersiri Abe (karya Ujang, lukisan Aie) & Bersama Selamanya (karya & lukisan Gayour), dan juga novel bersiri Aku Hidup Dalam Blues (tulisan Toyon). Bahagian tengah Majalah Ujang yang dinamakan Varia Lawak menampilkan ruangan humor berkaitan dunia hiburan tempatan dan antarabangsa, serta pelbagai ruangan penulisan kreatif. Beberapa keluaran awal Majalah Ujang juga menampilkan penulis undangan seperti Ahadiat Akashah & Ras Adiba Radzi.

Dalam tempoh 3 tahun pertama kewujudan Majalah Ujang, tidak dapat dinafikan bahawa majalah ini berjaya menempa nama sebagai majalah kartun tempatan paling popular. Pelbagai barangan koleksi cenderamata Din Beramboi telah dihasilkan, termasuk 2 buah rakaman album komedi dalam bentuk kaset yang berjudul Radio 9 (1994) dan Live In Seremban (1995). Selain itu buku-buku kompilasi kartun Abe (1995) dan Bersama Selamanya Vol.1 (1996) juga turut diterbitkan. Malah watak kartun Usop Sontorian karya kartunis Ujang juga berjaya dihasilkan dalam bentuk animasi bersiri pada 1994 dan disiarkan oleh stesen TV tempatan tidak lama kemudian. Pada 1996 Kharisma Publications mula menerbitkan majalah Usop Sontorian khas untuk pembaca kanak-kanak dan pengikut siri TVnya. Dalam Majalah Ujang keluaran ke-70 (1 Januari 1997) sempena ulangtahun ke-3, ruangan Buletin Beramboi melaporkan bahawa Majalah Ujang berjaya mengekalkan jualan tertinggi sebanyak 360,000 naskah sebulan!

Di sebalik kejayaan yang dicapai, tanpa disangka-sangka oleh ribuan para peminat dan pembaca, Majalah Ujang keluaran ke-74 (1 Mac 1997) adalah merupakan keluaran terakhir Majalah Ujang! Selama 5 bulan berikutnya, Majalah Ujang 'hilang' daripada pasaran tanpa sebab yang pasti. Situasi tersebut menimbulkan keresahan dan tanda tanya di kalangan para peminat kartun tempatan. Tambahan pula ketika itu muncul sebuah majalah kartun lain yang hampir serupa dengan Majalah Ujang tetapi menggunakan nama Varia Lawak! (nama yang sama seperti segmen hiburan dalam bahagian tengah Majalah Ujang)

Akhirnya pada 1 Ogos 1997, Majalah Ujang kembali diterbitkan dengan keluaran yang ke-75, tetapi dengan beberapa perubahan, terutama sekali yang paling ketara ialah ketiadaan kartunis Ujang di dalam majalah yang menggunakan namanya sendiri! Selain itu novel bersiri Aku Hidup Dalam Blues juga dihentikan penyiarannya dengan tanpa kesudahan. Tiga bulan kemudian, Majalah Ujang telah menghentikan penggunaan nama maskotnya iaitu Din Beramboi, lalu digantikan dengan nama Pak Cik Din (maskot masih sama). Maka, bermulalah era baru Majalah "Ujang"

Mulai 1 Mac 1998, Majalah Ujang tidak lagi diterbitkan oleh Kharisma Publications apabila Pengarah Urusan yang baru iaitu Md. Othman Yusof (MOY) menukarkan nama syarikat penerbitan itu kepada nama MOY Publications Sdn Bhd.

Iklan keluaran pertama Majalah Ujang dalam surat khabar pada awal Januari 1994:

Utusan Malaysia (kiri) & Harian Metro (kanan)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...