Showing posts with label jenayah. Show all posts
Showing posts with label jenayah. Show all posts

30 September 2013

Skim cepat kaya Pak Man Telo (1992)

Pak Man Telo ialah nama gelaran kepada Osman Hamzah, seorang pengendali skim cepat kaya yang paling popular di Malaysia pada era 1980-an. Skim cepat kaya - biasanya beroperasi secara haram - menerima wang deposit daripada orang ramai (pelabur) dengan menjanjikan pulangan dividen yang besar kepada mereka dalam tempoh yang singkat. Pak Man Telo dikatakan menjalankan operasi skim cepat kaya yang dinamakan Skim Pestama Berhad sejak penghujung dekad 1970-an. Skim cepat kaya tersebut juga dikenali dengan nama Skim Pak Man Telo.

Pak Man Telo berasal dari Taiping, Perak. Beliau pernah bertugas sebagai wartawan akhbar Warta Negara pada 1960-an dan kemudian menjadi wartawan sambilan di Bernama pada 1970-an sebelum menceburi 'bidang' skim cepat kaya. Sejak beroperasi pada hujung 1970-an, Skim Pak Man Telo semakin meningkat popular dan mendapat kepercayaan daripada orang ramai kerana ia dikatakan berjaya mengekalkan pembayaran dividen dengan lancar kepada setiap pelaburnya dalam tempoh bertahun-tahun lamanya.

8 Mac 1992
Namun kelancaran operasi Skim Pak Man Telo mula goyah pada penghujung dekad 1980-an. Pada 1 Oktober 1989, beberapa pegawai dari Bank Negara Malaysia (BNM) telah menyerbu rumah Pak Man Telo di Taiping bagi menyiasat kegiatan skim cepat kaya yang dikendalikannya. BNM menyerbu rumah Pak Man Telo buat kali kedua pada 23 November 1989 dan merampas wang tunai hasil deposit orang ramai sebanyak RM1.7 juta. Dengan bukti yang ada, Pak Man Telo berserta isterinya (Maimunah Taib) dan anak lelaki mereka (Abdul Rahman Osman) bakal menghadapi masalah.

Berikut ialah rentetan detik-detik terakhir Skim Pak Man Telo:
  • 11 Januari 1990 - Pak Man Telo dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan melanggar Akta Bank & Industri Kewangan 1989 kerana mengambil deposit berjumlah RM20 juta daripada orang ramai tanpa memiliki lesen. Isteri dan anak lelaki Pak Man Telo pula dituduh bersubahat. Mereka bertiga tidak mengaku bersalah. Pak Man Telo dibebaskan dengan ikat jamin RM1 juta dan pasportnya dirampas, manakala isterinya dan anak lelaki mereka dibebaskan dengan ikat jamin setiap seorang RM200 ribu dengan seorang penjamin. Kes mereka bakal dibicarakan.
  • 13 Mac 1990 - Pak Man Telo, isterinya dan anak lelaki mereka dibicarakan di mahkamah. Pak Man Telo mengaku bersalah atas tuduhan mengambil deposit tanpa memiliki lesen. Hukuman ke atas Pak Man Telo akan dijatuhkan keesokan harinya. Isteri dan anak lelaki Pak Man Telo dibebaskan. Hakim memerintahkan supaya wang tunai RM1.7 juta yang dirampas dari rumah Pak Man Telo dipulangkan kepadanya kerana tiada peruntukan yang membolehkan BNM berbuat demikian.
  • 14 Mac 1990 - Pak Man Telo dijatuhkan hukuman denda RM250 ribu atau setahun penjara. Beliau membayar denda itu dengan wang tunai. Walaupun Pak Man Telo bersalah, tetapi para penyokongnya yang berada di mahkamah menyambut 'kebersalahan' Pak Man Telo dengan penuh kegembiraan (lihat gambar di atas) dan berkali-kali melaungkan "Hidup Pak Man"! Para pemerhati menjangka yang Skim Pak Man Telo akan hancur selepas itu tetapi sebaliknya skim cepat kaya itu telah mendapat pendedahan yang semakin meluas dan menjadi sangat popular.
  • April hingga Ogos 1990 - Skim Pak Man Telo beroperasi seperti biasa, deposit tetap diterima daripada orang ramai yang jumlahnya semakin meningkat. Pulangan dividen berjumlah 10 peratus daripada nilai pelaburan telah dibayar tanpa gagal, malah kadar dividen itu kemudiannya telah dinaikkan kepada 12 peratus! Mungkin ramai orang yang berjaya menjadi kaya dengan cepat dalam tempoh 'gemilang' itu.
  • September 1990 - Para pelabur Skim Pak Man Telo mula mengesan yang pulangan dividen mereka sudah tidak dimasukkan ke dalam akaun bank seperti bulan-bulan sebelumnya. Ada sesetengah pelabur pula hanya menerima separuh daripada pulangan dividen yang sepatutnya. Manakala pelabur-pelabur yang menerima pulangan dividen melalui cek pula mendapati ia adalah 'cek tendang'.
  • 19 September 1990 - Para pelabur menyerbu rumah Pak Man Telo di Taiping bagi meminta penjelasan mengenai status pelaburan mereka.
  • 20 September 1990 - Pak Man Telo mengumumkan penurunan kadar dividen daripada 12 peratus kepada cuma 5 peratus. Beliau memberi alasan bahawa ia berpunca daripada kemelesetan ekonomi dunia akibat Perang Teluk (yang meletus pada 2 Ogos 1990). Selain itu beliau menyalahkan kejadian penyelewengan di kalangan "ajen-ajen".
  • 15 Januari 1991 - Keadaan semakin teruk, Pak Man Telo gagal membayar pulangan dividen yang dijanjikan. Para pelabur berkerumun di rumahnya bagi menuntut kembali wang pelaburan masing-masing. Kekecohan terjadi dan kereta Pak Man Telo turut dirosakkan.
  • 28 Februari hingga 5 Mac 1991 - Enam orang lelaki telah menculik anak lelaki Pak Man Telo, Abdul Razak Affendi (19 tahun), dan mengurungnya di Hotel Tropicana, Kuala Lumpur, namun mereka semua berjaya diberkas oleh pihak polis.
  • 15 Mac 1991 - Para penculik anak Pak Man Telo telah dihadapkan ke mahkamah.
  • 6 April 1991 - Seorang pelabur Skim Pak Man Telo akhirnya membuat laporan polis mengenai penyelewengan yang berlaku. Pak Man Telo kemudian telah ditahan selama beberapa minggu oleh pihak polis dari Bukit Aman, Kuala Lumpur. Selepas itu Pak Man Telo telah dibuang daerah di Kuala Terengganu, Terengganu.
  • 17 Julai 1991 - Hasil siasatan lanjut, Bank Negara Malaysia telah mendakwa Pak Man Telo di mahkamah atas tuduhan mengambil deposit sebanyak RM99.09 juta daripada orang ramai (dianggarkan 50 ribu orang) tanpa memiliki lesen. Pak Man Telo tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan. Beliau dibenarkan ikat jamin sebanyak RM2 juta sementara menunggu perbicaraan pada awal 1992.
  • 2 Mac 1992 - Setelah perbicaraan selesai, Pak Man Telo yang ketika itu berusia 65 tahun telah didapati bersalah buat kali kedua, dan mahkamah menjatuhkan hukuman 'penjara setahun' dan 'denda RM500 ribu atau penjara setahun'. Pak Man Telo akhirnya merengkok dalam penjara selama setahun bermula pada tarikh beliau ditahan (17 Julai 1991). Bagi hukuman kedua, Pak Man Telo gagal membayar denda RM500 ribu dan beliau dipenjarakan lagi selama setahun bermula pada 2 Mac 1992.

Akhbar melaporkan kes skim cepat kaya Pak Man Telo sebagai "salah satu skandal kewangan yang terbesar" di Malaysia, setanding dengan kes Bumiputra Malaysia Finance (BMF) dan kehilangan lebih RM22 juta dari Bank Negara Malaysia. Bezanya, Pak Man Telo hanyalah seorang bekas wartawan dan bukanlah pakar dalam bidang ekonomi atau pun berkemahiran dalam sistem kewangan, tetapi dengan hanya bersandarkan kepercayaan daripada orang ramai, beliau mampu 'berskandal' (walaupun akhirnya tumpas) melibatkan jumlah wang yang sangat melampau.

Nota tambahan:
  1. Menurut Kamus Dewan, skim bermaksud "rancangan", dan skim cepat kaya bermaksud "skim pelaburan yang kononnya boleh memberikan pulangan (keuntungan) yang segera dan sangat lumayan".
  2. Asal usul nama gelaran "Pak Man Telo" (Osman Hamzah) tidak diceritakan dalam artikel yang dirujuk. Dalam arena hiburan tempatan, seorang pelawak pentas pada hujung 1980-an pernah menggunakan nama Pak Man Telo (beliau pernah berlakon filem Janda Meletup pada 1990), tetapi beliau bukanlah Osman Hamzah.
  3. Selain Skim Pestama Berhad (Skim Pak Man Telo) yang secara haram mengumpul sebanyak RM99.09 juta wang deposit orang ramai, terdapat banyak lagi skim cepat kaya yang pernah beroperasi di Malaysia sehingga awal 1992, antaranya ialah:
  • Skim 350 (mengumpul deposit RM70 juta)
  • Skim Tingcon Credit Development Sdn Bhd (RM60 juta)
  • Skim Permata Bakti (RM30 juta)
  • Skim 120 (RM20 juta)
  • Skim Permata Mahir (RM19 juta)
  • Skim Sri Emas Enterprise (RM10 juta)

29 June 2013

Video lucah Kompleks Peruda, Kedah (1996 & 1997)

Gambar di bawah menunjukkan beberapa pita video lucah yang dirampas oleh pihak polis pada 1996, di antaranya ialah pita video lucah amatur buatan Malaysia yang dikenali sebagai video lucah Kompleks Peruda.


Kompleks Peruda terletak di Alor Setar, Kedah. Pada Julai 1996, pihak polis telah menerima maklumat mengenai pita video lucah Kompleks Peruda, dan mereka pun mula menjalankan siasatan. Menurut laporan akhbar, video lucah tersebut "menunjukkan sepasang remaja Melayu melakukan hubungan seks di dalam bilik kosong di Kompleks Peruda". Pita video lucah Kompleks Peruda itu telah diedarkan dengan meluas dalam pasaran gelap tempatan sehinggakan ia mendapat perhatian daripada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bertindak mendedahkan tentang video lucah tersebut semasa dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah pada Disember 1996.

13 Jan. 1997
Siasatan pihak polis sebelum itu telah membawa kepada penyerbuan sebuah kedai video di Taman Sultan Badlishah, Alor Setar. Sebanyak 4 pita video lucah dirampas dari kedai tersebut, tetapi tiada satu pun daripadanya adalah pita video lucah Kompleks Peruda. Seorang lelaki telah ditahan dalam serbuan itu. Susulan daripada serbuan pertama, pihak polis menyerbu pula sebuah rumah di Taman Jaya berhampiran Jalan Langgar, Alor Setar, dan merampas 15 pita video lucah, 1 daripadanya adalah pita video lucah Kompleks Peruda! Seorang lagi lelaki turut ditahan. Pihak polis juga merampas beberapa alat perakam video.

Kedua-dua lelaki yang ditahan itu akhirnya didakwa di mahkamah atas tuduhan "memiliki pita video lucah". Mereka juga dipercayai terlibat dalam membuat salinan dan mengedar pita video lucah Kompleks Peruda. Pada Januari 1997, pihak polis menyatakan bahawa 2 lelaki lain yang disyaki terlibat dalam merakam video lucah Kompleks Peruda sedang ditahan dan tindakan selanjutnya akan diambil terhadap mereka. Jelas pihak polis lagi, "Pasangan remaja Melayu dalam pita itu juga telah dikenal pasti dan akan dirujuk kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah untuk diberi kaunseling".

Nota tambahan:
  • Sesuatu yang tidak dijangka berlaku apabila ada pihak yang membuat laporan polis terhadap ADUN yang mendedahkan tentang video lucah Kompleks Peruda semasa dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah. Pihak polis kemudiannya telah melakukan siasatan berasingan terhadap ADUN yang mengaku menonton video lucah tersebut.
  • Video lucah Kompleks Peruda tersebar dalam tempoh lebih kurang 2 tahun selepas tersebarnya video lucah Made In Keratong pada 1994.
  • Pada 1999, dua tahun selepas selesainya kes pita video lucah Kompleks Peruda, era internet dan video/gambar digital sedang berkembang pesat di Malaysia. Dunia hiburan tempatan ketika itu gempar dengan penyebaran gambar-gambar lucah Linda Elite & Edry KRU melalui internet. Pelbagai pendapat timbul mengenai status ketulenan gambar-gambar tersebut.

24 June 2013

Made In Keratong - Koleksi Malam Pengantin (1994)

Pada 1994, pita video lucah buatan Malaysia yang berjudul "Made In Keratong - Koleksi Malam Pengantin", atau judul ringkasnya Made In Keratong, telah tersebar dalam pasaran gelap tempatan!

Pita video lucah Made In Keratong dirakamkan secara amatur dalam sebuah rumah di Felda Keratong Tiga, Pahang. Video tersebut 'dilakonkan' oleh sepasang suami isteri yang merupakan pengantin baru. Si suami itu bergelar "Abang Man", manakala identiti isterinya dirahsiakan. Sebelum menikahi "Abang Man", perempuan yang berusia 20-an itu adalah seorang janda. Perempuan itu telah dianiaya oleh suami keduanya iaitu "Abang Man", apabila lelaki itu secara paksa telah merakamkan video perlakuan seks mereka semasa di malam pertama pernikahan. Pita video lucah tersebut dikatakan telah jatuh ke tangan "pihak lain" yang mengambil kesempatan untuk memperdagangkannya.

Menurut laporan berita Harian Metro pada 14 Oktober 1994, pita video lucah Made In Keratong telah disalin dengan banyaknya dan "dijual hingga ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan serta Johor pada harga di antara RM25 dan RM100". Dalam laporan yang sama, dinyatakan bahawa "Abang Man" dan "pihak lain" yang terlibat dalam memperdagangkan pita video lucah tersebut telah menyembunyikan diri atau melarikan diri ke negeri lain sebaik sahaja kes tersebut terbongkar kepada umum. Harian Metro membuat laporan tersebut berdasarkan temubual bersama "pihak berkuasa agama daerah" yang mengendalikan kes itu.

Walaupun secara jelas perempuan di dalam pita video lucah Made In Keratong itu merupakan mangsa yang teraniaya, Harian Metro telah merujuk kepada perempuan terbabit sebagai "Pelakon lucah" di dalam tajuk laporan berita berkenaan!

Nota tambahan:
  • Kes pita video lucah Made In Keratong terbongkar pada waktu yang hampir sama dengan kes disket artis bogel pada 1994.
  • Lebih kurang 2 tahun selepas tersebarnya pita video lucah Made In Keratong, pasaran gelap Malaysia digegarkan semula dengan penyebaran pita video lucah Kompleks Peruda pada 1996 (rujuk entri akan datang).

24 April 2013

Kes-kes ragging terkenal Malaysia (1988 & 1989)

"Peloncolan" ialah suatu perkataan asing pada hari ini. Pada 1980-an, "peloncolan" sering digunakan sebagai terjemahan untuk perkataan Inggeris, ragging. Di Malaysia, ragging bukanlah suatu perkataan asing walaupun kepada seseorang yang tidak fasih berbahasa Inggeris. Boleh dikatakan semua pelajar (atau bekas pelajar) tahu tentang apa itu ragging. Terjemahan ragging yang sedang popular pada hari ini ialah "buli", tapi mungkin masih ada lagi sesetengah orang yang lebih selesa menterjemahkannya sebagai "mendera".

1989
Kes ragging yang paling terkenal di Malaysia - walaupun mungkin telah lama dilupakan - berlaku pada Julai 1989. Akhbar New Straits Times (NST / 13.7.1989) menyifatkan kes ragging tersebut sebagai "barbaric" (sangat kejam) dan "sadistic" (penyeksaan untuk mendapat keseronokan). Kes itu melibatkan 6 orang pelajar lelaki tahun akhir atau "senior" dari Universiti Pertanian Malaysia (UPM di Selangor) yang mendera 6 orang pelajar lelaki junior atau "freshie" dari universiti yang sama. Kejadian berlaku di rumah sewa para pelajar senior itu yang terletak di Sri Serdang, 2km dari kampus UPM.

Penderaan yang dilakukan dalam kes ragging terkenal di UPM itu ialah:
  • Menampar freshies.
  • Memaksa freshies menari dalam keadaan bogel.
  • Mengikat zakar setiap freshie dengan tali yang disambungkan kepada kipas siling. Apabila kipas dihidupkan, setiap freshie terpaksa berlari mengikut pusingan kipas akibat zakar mereka yang sedang terikat.

Setelah mendapat aduan mengenai penderaan yang gila tersebut, lembaga disiplin UPM telah bersidang pada 12 Julai 1989 selama 5 jam dan mereka akhirnya mendapati bahawa 5 orang pelajar senior yang dituduh mendera itu telah terbukti bersalah. Daripada 5 orang pelajar senior tersebut, 3 orang telah dibuang daripada universiti, manakala 2 orang lagi telah digantung pengajian selama 2 semester, semuanya berkuat kuasa serta merta. Seorang lagi pelajar senior yang dikatakan terlibat dalam kes itu telah dibebaskan daripada tuduhan dan dia diberi teguran setelah didapati sekadar menjadi pemerhati.


1988
Lebih setahun sebelum kes ragging di UPM itu, masyarakat terlebih dahulu digemparkan dengan kes ragging yang melibatkan kematian seorang pelajar dari Sekolah Menengah Teknik (SMT) di Cheras, Kuala Lumpur. Kes ragging di SMT Cheras itu berlaku pada 24 Mac 1988 (Khamis), melibatkan seorang pelajar lelaki "senior" tingkatan 5 bersama beberapa orang bekas pelajar lelaki atau "super senior" yang hadir ke sekolah itu untuk mengambil keputusan peperiksaan SPM. Pelajar tingkatan 5 tersebut yang bernama Hishamuddin meninggal dunia akibat kerosakan organ dalaman badannya setelah dia dikatakan dibelasah oleh beberapa orang bekas pelajar di dalam tandas sekolah tersebut pada pukul 11.30 pagi.

Setelah dibelasah, Hishamuddin meminta kebenaran daripada guru kelasnya untuk pulang ke asrama atas alasan tidak sihat tanpa memberitahu apa yang sebenarnya berlaku. Pada pukul 7.30 malam hari yang sama, beberapa orang pelajar melaporkan kepada warden asrama bahawa Hishamuddin sedang dalam kesakitan. Atas arahan ketua warden, Hishamuddin dibawa ke hospital oleh warden asrama. Hanya beberapa ketika selepas dimasukkan ke dalam wad kecemasan, pada pukul 8.50 malam doktor mengesahkan bahawa Hishamuddin telah meninggal dunia. Pada mulanya, laporan kematian Hishamuddin yang dikeluarkan oleh pihak polis pada 25 Mac 1988 menyatakan bahawa dia mati akibat sakit di dalam perut. Hanya apabila bapa Hishamuddin membuat laporan kepada polis mengenai punca sebenar kematian anaknya, barulah kejadian itu bertukar menjadi kes jenayah.


Setelah disiasat, 2 orang bekas pelajar SMT Cheras telah didakwa menyebabkan kematian Hishamuddin. Perbicaraan kes itu berlarutan di mahkamah juvana sehingga awal 1990. Beberapa perkara telah terbongkar di sepanjang perbicaraan itu. Antaranya, mahkamah diberitahu mengenai wujudnya 'upacara' tradisi pemberian nama gelaran oleh para pelajar senior kepada para pelajar junior yang terpilih. Pelajar-pelajar yang diberi nama gelaran itu terpaksa menjalani 'ujian', antaranya melibatkan penderaan fizikal. Hishamuddin dikatakan telah terlibat dalam 'upacara' pemberian nama gelaran pada hari kejadian sehingga menyebabkannya terpaksa menjalani 'ujian' yang menyakitkan.

Ex-school head not aware of initiation rites by boys
Seorang pelajar yang menjadi saksi memberitahu mahkamah apa yang dilihatnya ketika berada di dalam tandas sekolah pada waktu kejadian. Saksi itu yang baru keluar daripada salah sebuah jamban mendapati Hishamuddin sedang dikelilingi oleh sekumpulan pelajar di dalam tandas itu. Saksi itu juga mengakui melihat salah seorang daripada bekas pelajar yang didakwa itu telah memukul Hishamuddin. Saksi itu kemudiannya melihat seorang lagi pelajar lain melakukan "starlight" pada dahi Hishamuddin. Sebagai salah seorang pelajar yang telah menerima nama gelaran, saksi itu diarahkan untuk bersalaman dengan Hishamuddin sebelum dia keluar daripada tandas itu tanpa dapat mengetahui kesudahan kepada 'ujian' itu.

Witness: I saw pupil being punched in toilet
Pada Julai 1989, atas arahan pihak pendakwa, pertuduhan dalam kes itu telah dipinda daripada 'menyebabkan kematian' kepada pertuduhan yang lebih ringan iaitu 'menyebabkan kecederaan parah'. Salah seorang bekas pelajar yang didakwa itu telah dibebaskan daripada pertuduhan apabila dia mengaku bersalah dan membuat permohonan maaf secara umum di dalam mahkamah kepada keluarga Hishamuddin. Pada Januari 1990 seorang lagi bekas pelajar yang didakwa akhirnya turut dibebaskan daripada pertuduhan (alasan pembebasan: "the prosecution had failed to prove a prima facie case against the 19-year old", "the prosecution had failed to prove the ingredients of the charge"). Kekurangan saksi yang meyakinkan ialah antara penyebab bekas pelajar yang didakwa itu tidak dapat dibuktikan bersalah.

Antara laporan NST berkaitan kes ragging SMT Cheras:
  1. Two juveniles plead not guilty to killing student (13.7.1988)
  2. Death of pupil: Hearing fixed (7.12.1988)
  3. Ex-school head not aware of initiation rites by boys (26.4.1989)
  4. Delay cost student his life, says warden (27.4.1989)
  5. Witness: I saw pupil being punched in toilet (7.6.1989)
  6. Warden tells of clash in school (9.6.1989)
  7. Charge against boys reduced (6.7.1989)
  8. Boy freed after saying sorry to victim's family (7.7.1989)
  9. Student freed of hurt charge (17.1.1990)
Nota tambahan:
Perkataan "peloncolan" seperti yang sering digunakan pada 1980-an untuk menterjemahkan "ragging" sebenarnya tidak wujud dalam Kamus Dewan. Perkataan yang sepatutnya ialah "memelonco" (yang berasal daripada perkataan Jawa, "pelonco") yang membawa maksud "menguji dan menduga dengan keras (berkenaan maha­siswa baharu yang hendak masuk menjadi anggota perkumpulan mahasiswa), mendera"

17 June 2011

Rajah ceraian badan jasad Datuk Mazlan yang ditetak (1995)

Kes pembunuhan paling terkenal di Malaysia pada 1990-an ialah kes yang melibatkan geng Mona Fandey yang didapati bersalah membunuh dengan kejam seorang ahli politik bernama Datuk Mazlan. Kes tersebut menjadi perhatian ramai kerana salah seorang daripada penjenayah tersebut ialah seorang selebriti, iaitu Mona Fandey yang pernah merakamkan sebuah album, dan apa yang lebih menjadikan pembunuhan itu 'hebat' ialah cara bagaimana jasad mangsa cuba dilupuskan. Anggota badan Datuk Mazlan dilaporkan telah ditetak kepada 18 bahagian sebelum ditanam ke dalam sebuah lubang! Pembunuhan itu berlaku pada sekitar Julai 1993 dan perbicaraan terhadap geng Mona Fandey telah berlangsung sehingga awal 1995. Setelah perbicaraan tersebut selesai dan geng Mona Fandey didapati bersalah, laporan mengenai kes tersebut telah disiarkan dengan panjang lebar di dalam akhbar, termasuk gambar rajah yang menunjukkan bahagian di mana anggota badan Datuk Mazlan telah ditetak.

Nota tambahan:
Tidak lama sebelum Datuk Mazlan menjadi mangsa pembunuhan, beliau dan beberapa orang VIP dari Pahang telah diundang untuk turut serta dalam acara tayangan perdana filem Tarik-Tarik pada 1993. Filem arahan M. Jamil itu mengisahkan mengenai seorang bomoh yang berkebolehan 'menarik duit'. Dalam filem itu terdapat adegan yang menunjukkan bomoh itu berjaya 'menarik duit' dan duit muncul dengan banyaknya. Ketika filem Tarik-Tarik sedang ditayangkan kepada umum pada penghujung 1993, M. Jamil telah menceritakan kepada majalah URTV mengenai pertemuannya dengan Datuk Mazlan selepas tayangan perdana tersebut, kata beliau, "arwah (Datuk Mazlan) sempat bercerita dan mengakui memang ada kepercayaan mengenai duit tarik ini"

21 March 2011

Botak Chin dihukum gantung (1981)

Botak Chin atau nama sebenarnya Wong Swee Chin ialah seorang penjenayah yang paling terkenal di Malaysia pada 1970-an. Dia mula terjebak dalam kes rompakan pada 1969 di Jinjang, Selangor ketika berusia 18 tahun! Setelah melakukan rompakan demi rompakan selama lebih 30 kali dalam tempoh 7 tahun tanpa terkantoi sekalipun, akhirnya Botak Chin tewas juga apabila berjaya diperangkap hidup-hidup oleh pihak polis pada 1976.

Kes jenayah kumpulan Botak Chin yang berprofil tinggi ialah semasa rompakan di Overseas Union Bank (OUB) di Jalan Imbi, Kuala Lumpur dan satu lagi rompakan di Selangor Turf Club yang melibatkan kecurian wang sebanyak $218,000 (nilai yang besar ketika itu). Pada 1980, Mahkamah Tinggi telah menjatuhkan hukuman mati kepada Botak Chin.

Pada 2 Januari 1981, akibat terdesak untuk melepaskan diri daripada hukuman mati, Botak Chin telah menikam 3 warden yang bertugas di Penjara Pudu, Kuala Lumpur tetapi situasi mencemaskan itu berjaya dikawal oleh pekerja penjara yang lain. Akhirnya pada 12 Jun 1981, Botak Chin telah digantung sampai mati di Penjara Pudu dalam usianya 30 tahun. Semasa pertemuan terakhirnya dengan ahli keluarga sebelum hukuman dijalankan, Botak Chin meminta supaya mayatnya dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai. Walaupun Botak Chin telah mati, tetapi dia tetap tidak berkubur.

04 February 2011

Lukisan dicuri dari National Art Gallery, Kuala Lumpur (1994)

Jika ada sebuah lukisan yang sepatutnya paling dikenali di Malaysia, inilah salah satu daripada calonnya. Lukisan ini berjudul Gadis Melayu, yang secara jelasnya menggambarkan wajah seorang gadis berbangsa Melayu yang mungkin benar-benar wujud atau mungkin juga khayalan. Lukisan ini menjadi semakin terkenal bukan kerana hasil seninya sahaja, tetapi kerana ia telah dicuri pada 15 September 1994 daripada tempat pamerannya di National Art Gallery, Kuala Lumpur. Pastinya ada sesuatu yang begitu istimewa mengenai lukisan Gadis Melayu ini sehingga ia menjadi mangsa jenayah. Apakah nasib lukisan ini sekarang? Mungkinkah ia sedang tergantung dengan megahnya di tempat pemiliknya yang baru?
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...