Showing posts with label kereta. Show all posts
Showing posts with label kereta. Show all posts

28 June 2013

Kereta Proton Sembilu (1994)

Pada Jun 1994, syarikat pengeluar kereta Malaysia, Edaran Otomobil Nasional (EON), telah memperkenalkan kereta Proton Sembilu. Ia bukanlah model terbaru kereta berjenama Proton, tetapi merupakan nama 'body kit' kepada model kereta Proton Wira yang diubahsuai bentuk serta prestasinya bagi menjadi 'sporty'.

Ketika kereta Proton Sembilu diperkenalkan kepada umum, ia sedang dalam peringkat fasa pertama pengubahsuaian yang cuma melibatkan bahagian badan luar dan dalam kereta. Antara bahagian kereta yang telah diubahsuai ketika itu ialah:
  • Penghadang hadapan - lubang angin pada sebelah kiri & kanan untuk menyejukkan brek & enjin, manakala bahagian 'bibir' untuk menahan udara dari terbias ke bahagian bawah.
  • Penghadang tepi - untuk menambahkan kelajuan kereta, ia diubahsuai bagi mengelakkan angin terbias ke bahagian tayar.
  • Penghadang belakang - bertindak menekan angin supaya menolak kereta ke hadapan.
  • Stering - berukuran kecil dengan pemegang yang besar dan mudah dikendalikan akan membolehkan pemanduan menjadi lebih mantap dan stabil.
  • Tempat duduk - bentuknya yang dapat mengampu badan akan membolehkan pemandu berada dalam keadaan stabil dalam semua keadaan.
  • Tayar - memperkenalkan rim berukuran 15 inci.


Pihak EON ketika itu memberitahu bahawa Proton Sembilu atau "bahagian-bahagian yang diubahsuai" akan dipasarkan kepada orang ramai apabila proses pengubahsuaian sepenuhnya selesai dalam tempoh "kira-kira setahun lagi". Antara pengubahsuaian yang dirancang untuk dilakukan dalam fasa seterusnya melibatkan "bahagian enjin, sistem gegantung dan gear untuk tujuan perlumbaan". Namun begitu, tidak pula diterangkan tentang pemilihan nama "Sembilu" itu. Tak mungkin nama itu berdasarkan tajuk filem popular Sembilu (hanya mula tayang Ogos 1994), tapi mungkinkah ia berdasarkan tajuk lagu popular Ella, Sembilu (keluaran 1992)?

Nama "Sembilu" (kurang jelas)

23 December 2012

Kereta Proton CARES (1992)

"Edaran Otomobil Nasional (EON) telah memasarkan dua model baru kereta nasional yang dinamakan Proton CARES, Khamis lalu" (Utusan Malaysia, 2 Disember 1992)

Proton CARES ialah jenama kereta Malaysia yang amat istimewa kerana ia hanya dikeluarkan sebanyak 200 unit sahaja pada 1992! Nama CARES ialah akronim untuk Clean Air Regulated Emission System (Sistem Penapis Udara Berkawal) iaitu ciri khas yang diperkenalkan pada kereta tersebut. Secara ringkasnya CARES bermaksud kereta tersebut mengandungi "sistem suntikan bahan api pelbagai punca" yang berfungsi untuk "menambahkan kelancaran dan mendatangkan prestasi yang lebih baik"


Proton CARES yang dikeluarkan dalam 2 model, Salon SE & Aeroback GL, secara fizikalnya adalah berdasarkan rekabentuk Proton Saga Iswara yang telah dikeluarkan lebih awal. Model Salon SE berharga RM42,500 manakala model Aeroback GL berharga RM43,000 termasuk insurans, cukai jalan & aksesori. Identiti khas Proton CARES ialah pada rupa luarannya di mana ia hanya dikeluarkan dalam 1 warna sahaja iaitu hijau metalik sebagai simbol "keprihatinan terhadap alam sekitar"

31 July 2012

Majalah Saga (1988)

Seperti yang tertulis pada muka hadapan majalah ini, Saga ialah "majalah EON eksklusif untuk pemilik Proton Saga". Majalah Saga pertama kali diterbitkan pada September 1987 oleh Daniel J. Edelman Sdn Bhd bagi pihak Edaran Otomobil Nasional Sdn Bhd (EON). Majalah dwi-bahasa (Melayu & Inggeris) ini diterbitkan setiap 3 bulan sekali iaitu pada Mac, Jun, September dan Disember, dan ia diedarkan secara percuma untuk pemilik kereta Proton Saga sahaja.

Walau bagaimanapun pada Jun 1988 majalah Saga melaporkan bahawa "EON membuat keputusan untuk menjualnya kepada orang ramai kerana sejak dilancarkan dalam bulan September tahun lalu, ia menerima banyak pertanyaan dari mereka yang berminat untuk melanggannya". Bermula bulan tersebut majalah Saga boleh dibeli dari semua cawangan EON di seluruh Malaysia dengan harga $2.50 senaskah untuk bukan pemilik kereta Proton Saga. Pada Jun 1988 jumlah pemilik kereta Proton Saga sejak ia mula dikeluarkan pada 1985 dilaporkan telah mencecah 70,000 orang, iaitu jumlah yang sama bagi pengedaran majalah ini.

Daripada segi isi kandungan, majalah Saga lebih menekankan kepada maklumat gaya hidup & kesihatan serta mempromosikan budaya & lokasi Malaysia (atau negara serantau) selain menyiarkan sedikit ruangan khusus mengenai kereta. Fokus majalah ini boleh dilihat melalui paparan gambar pada kulit hadapannya, misalnya gambaran kehidupan di Pantai Timur, kesenian Indonesia, keaslian Langkawi dan sebagainya. Ruangan lain yang terdapat dalam majalah ini ialah seperti EON Semasa (berita), Klinik Saga (penjagaan kereta), Gambaran (foto menarik) dan Muzik Untuk Saga (ulasan album/kaset).

03 April 2012

Nissan Stanza - Noreen Noor (1983)

Sekiranya pada 1982 penyanyi pop Mazuin Hamzah terpilih untuk mengiklankan kereta Datsun Pulsar, pada tahun berikutnya pelakon terkenal Noreen Noor pula terpilih untuk mengiklankan sebuah lagi jenama kereta. Nissan Stanza 1600 dikatakan sebagai "kereta masa depan" dengan ciri seperti "kotak gear 5 kelajuan yang comel" dan sebagainya. Sebelum terkenal melalui filem Talak pada 1984, Noreen merupakan seorang penyanyi, tetapi agak kurang terkenal. Dalam tahun 1983 juga Noreen telah mengeluarkan sebuah album berjudul Kepastian di mana syarikat pengedar kereta Tan Chong & Sons turut terlibat dalam merekabentuk kulit album itu yang menampilkan gambar Noreen melentikkan badannya di sisi sebuah kereta.

Nota tambahan:
Tandatangan, Noreen Noor.

11 August 2011

Datsun Pulsar - Mazuin Hamzah (1982)

Kereta berjenama Datsun pernah menjadi kereta pilihan ramai rakyat Malaysia sebelum kewujudan jenama tempatan Proton Saga pada 1985. Datsun diiklankan sebagai kereta "ekonomi" yang "menjimatkan". Penyanyi Mazuin Hamzah telah dipilih menjadi model bagi mempromosikan kereta Datsun Pulsar E-Type 1300 yang dipasarkan pada 1982. Mazuin telah dikenali dalam dunia hiburan sejak beliau kecil lagi apabila tampil merakamkan album bersama abangnya, Mazlan Hamzah pada sekitar pertengahan 1970-an. Mereka berdua kemudiannya menjadi popular sejak muncul dalam sebuah kumpulan muzik bernama Quinary M pada awal 1980-an. Sebelum itu Mazuin juga pernah berlakon dalam filem Ceritaku Ceritamu pada 1979. Dalam iklan kereta Datsun di atas, kelihatan Mazuin sedang melambaikan tangannya, mungkinkah beliau berkata "Hai! Belilah kereta Datsun!!"?

Nota tambahan:
Tandatangan, Mazuin.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...