Showing posts with label 1985. Show all posts
Showing posts with label 1985. Show all posts

27 January 2013

Bakat RTM (1985)

Selain daripada Bintang RTM, iaitu pertandingan menguji bakat penyanyi, stesen penyiaran RTM juga turut pernah menganjurkan sebuah lagi pertandingan menguji bakat yang - tanpa perlu bersusah payah fikir - dinamakan sebagai Bakat RTM. Sementara Bintang RTM mengkhususkan kepada kategori nyanyian semata-mata, Bakat RTM pula dijadikan medan untuk mencari bakat-bakat baru dalam cabang hiburan yang berbeza iaitu muzik dan komedi.

Pertandingan akhir Bakat RTM 1985 telah diadakan pada penghujung tahun tersebut, dan ia diacarakan oleh penyampai radio terkenal, Ainol Jamal Zainal. Terdapat 3 kategori yang dipertandingkan iaitu Pemuzik Instrumental Solo, Pemuzik Pancaragam dan Lawak Jenaka.


Dalam kategori Pemuzik Instrumental Solo, peserta yang berjaya memenangi tempat pertama ialah Junenita Mohd Nor, gadis remaja berusia 15 tahun yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor. Junenita yang dilaporkan "berpakaian rugged" telah menunjukkan bakatnya dalam bermain organ Electone dengan mempersembahkan 2 buah lagu instrumental berentak jazz yang dikatakan agak mencabar untuk dimainkan. Pemenang tempat kedua kategori Pemuzik Instrumental Solo pula ialah seorang peniup flute, Jaafar Abdul Rahman yang berasal dari Johor. Manakala tempat ketiga kategori tersebut dimenangi oleh pemain piano dan organ, Isabella Pek, gadis remaja berusia 15 tahun yang berasal dari Kuala Lumpur.


Kategori Pemuzik Pancaragam menyaksikan sebuah kumpulan pemuzik yang berpengalaman luas iaitu Band Family Group berjaya memenangi tempat pertama. Kumpulan pemuzik tersebut yang berasal dari Ipoh, Perak, telah ditubuhkan pada 1967. Pemenang tempat kedua kategori Pemuzik Pancaragam pula ialah Band De RAMD yang berasal dari Sungai Besi, Kuala Lumpur. Manakala tempat ketiga kategori tersebut dimenangi oleh Kombo K.C. Lim (gambar E) yang berasal dari Klang, Selangor.


Untuk kategori Lawak Jenaka, kumpulan Mahmood & Zakaria Musa (gambar F) yang berasal dari Kelantan telah dipilih untuk memenangi tempat pertama. Manakala tempat kedua kategori tersebut dimenangi oleh kumpulan Yusuf Din Kicap (gambar G), dan tempat ketiga dimenangi oleh kumpulan Mohd Hatta (gambar H).

Kesemua pemenang pertandingan Bakat RTM 1985 menerima hadiah masing-masing yang disampaikan oleh tetamu pertandingan, Datin Masnah (isteri Datuk Rais Yatim, yang - selepas 26 tahun berlalu - tidak jemu-jemu membuat kemunculan istimewa dalam segmen penyampaian hadiah acara-acara hiburan, hairan). Pertandingan itu turut diserikan dengan persembahan artis jemputan iaitu kumpulan Blues Gang.

02 August 2011

Pawagam drive-in Singapura ditutup (1985)



Satu-satunya pawagam drive-in (pandu masuk) di Singapura terletak di kawasan Jurong. Pawagam unik yang membolehkan penonton menonton filem dari dalam kereta itu dimiliki oleh Cathay Organisation. Pawagam tersebut mula beroperasi pada 14 Julai 1975 dengan menayangkan filem komedi berjudul Doctor In Trouble. Setelah 10 tahun beroperasi, akhirnya pawagam tersebut terpaksa ditutup pada 1985. Pihak Cathay memberitahu, penutupan itu terpaksa dilakukan akibat daripada kekurangan penonton yang dikatakan berpunca daripada meningkatnya populariti pita video cetak rompak sejak awal 1980-an.

Konsep pawagam drive-in mungkin tercetus pada awalnya untuk memberikan keselesaan dan privasi kepada setiap penonton tanpa perlu meninggalkan kereta masing-masing, tetapi ia pastinya tidak dapat menandingi keselesaan dan privasi menonton video di rumah sendiri walaupun dengan skrin yang jauh lebih kecil. Malah konsep kompleks pawagam moden pada masa kini jauh lebih menyelesakan walaupun penonton terpaksa meninggalkan kenderaan masing-masing dengan agak jauh. Apa yang pasti, para penumpang kereta di tempat duduk belakang amat bersyukur dengan kematian pawagam drive-in. Seksa doh nak tonton filem di celah-celah kerusi penumpang dan pemandu di depan! Dah la kereta Kancil je, bayangkan!

04 July 2011

Miss Malaysia-World (1985)

Pertandingan akhir ratu cantik Miss Malaysia-World 1985 telah diadakan di Merlin Subang dan disertai oleh seramai 14 orang gadis yang berusia di antara 17 hingga 24 tahun. Pertandingan itu akhirnya dimenangi oleh Rosalind Kong Siew Kuen yang berusia 20 tahun. Rosalind yang memakai nombor 8 dalam pertandingan itu merupakan seorang penuntut dalam jurusan Perhubungan Awam di sebuah institut di Kuala Lumpur. Hasil kemenangan itu Rosalind menerima hadiah wang tunai $3,500, jam tangan, kursus kecantikan selama 4 bulan dengan syarikat Dewi Ayu, hamper, sepasang baju pakaian petang dan keahlian selama setahun dengan Kelab Sapphire. Rosalind juga layak mewakili Malaysia dalam pertandingan Miss World 1985 yang diadakan di London pada November tahun yang sama.

Pemenang lain dalam pertandingan Miss Malaysia-World 1985 ialah Latonia Chang Pei Pei (18 tahun, menang tempat kedua, berdiri berbaju putih dalam gambar di atas), Penny Ong Seok Nee (21 tahun, menang tempat ketiga) dan Gail Martha De Silva (20 tahun, menang tempat keempat, berdiri di kiri sekali dalam gambar di atas). Peserta berbangsa Melayu yang turut bertanding ialah seorang jurutera bernama Nora Liza.

14 February 2009

Pembukaan Jambatan Pulau Pinang (1985)

Beberapa hari sebelum Jambatan Pulau Pinang dibuka kepada kenderaan awam melaluinya untuk pertama kali pada 1985, orang ramai telah diberi peluang untuk berjalan di atas jambatan sepanjang 13.5km itu. Ia satu peluang istimewa yang mungkin tidak akan berulang lagi, dan oleh kerana jambatan itu suatu binaan yang mengagumkan ketika itu, beribu-ribu orang mengambil peluang tersebut. Kini terdapat acara tahunan larian merentasi jambatan tersebut tetapi ia sudah tentu tidak sama dengan peristiwa 1985 itu. Apakah peluang yang sama akan diberikan apabila Jambatan Pulau Pinang yang ke-2 siap nanti?
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...