Showing posts with label Berita Televideo. Show all posts
Showing posts with label Berita Televideo. Show all posts

27 April 2013

Nor Albaniah - ratu cantik menjadi pelakon (1989)

Pelakon yang terkenal melalui filem Adik, Nor Albaniah, berasal dari Ulu Kinta, Perak. Sebelum menjadi pelakon, dia pernah menyandang gelaran Ratu Taiping 1988 ketika berusia 19 tahun. Tidak lama selepas itu, dalam tahun yang sama, Nor Albaniah telah mendapat peluang untuk berlakon filem pertamanya iaitu Kolej 56 arahan Ahmad Fauzee. Filem Kolej 56 yang ditayangkan pada 1989 menampilkan lakonan Nor Albaniah dalam watak tambahan sebagai Tengku Noraini.

Nor Albaniah ketika berusia 20 tahun (1989)
Pada 1989 juga Nor Albaniah telah berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir pertandingan Miss Malaysia-Universe, di mana dia merupakan satu-satunya peserta akhir berbangsa Melayu. Namun, nasib tidak menyebelahi Nor Albaniah apabila dia tidak dapat hadir pada hari pertandingan itu kerana "gangguan kesihatan". Menurut Nor Albaniah, "Saya sakit mata sampai sepet sebelah". Jadi, terlepaslah peluang Nor Albaniah untuk membuktikan kehebatannya dalam arena ratu cantik peringkat kebangsaan.

Petikan filem Kolej 56 (1989)
Dalam arena filem pula, Nor Albaniah semakin mendapat perhatian apabila dia diberi peluang untuk berlakon filem keduanya, Main-Main Hantu (penggambaran pada 1989), juga dalam watak tambahan. Hanya melalui filem ketiganya, Adik (1990), barulah Nor Albaniah diberi peluang untuk melakonkan watak utama, di mana dia juga mula ditonjolkan dalam imej seksi. Poster gambarnya di tepi kolam renang dalam majalah URTV pada waktu itu turut meningkatkan lagi popularitinya (rujuk entri akan datang).

Nota tambahan:
  • Dalam kalangan artis tempatan, Nor Albaniah mempunyai hubungan kekeluargaan dengan penyanyi & pelakon 1980-an, Isma Aliff, yang merupakan abang iparnya.
  • Nor Albaniah pernah cedera parah di kepalanya selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya yang turut mengorbankan nyawa suaminya pada 1996 (rujuk entri akan datang).

28 December 2012

Ratu Perak - Riguan Rashidi (1988)

Peserta tunggal berbangsa Melayu dalam pertandingan akhir Ratu Malaysia-Dunia (Miss Malaysia-World) 1988 ialah Riguan Rashidi. Pertandingan tersebut yang berlangsung pada 14 September 1988 disertai oleh 14 orang ratu cantik yang mewakili negeri-negeri dalam Malaysia. Riguan yang ketika itu berusia 24 tahun mewakili negeri Perak setelah dia berjaya dipilih sebagai Ratu Perak pada tahun yang sama.


Riguan berkelulusan diploma (lanjutan) dalam bidang Kajian Perniagaan daripada Institut Teknologi MARA (ITM). Dia bekerja sebagai pegawai pemasaran di sebuah syarikat swasta dan dalam masa yang sama menjadi peragawati secara sambilan. Menurut Riguan, namanya yang agak unik itu adalah pemberian daripada moyangnya.


Dalam pertandingan akhir Miss Malaysia-World 1988, nasib tidak menyebelahi Riguan apabila peserta bernama Sue Wong Choy Fun (Ratu Pahang berusia 19 tahun) dipilih sebagai pemenang utama. Riguan sekadar mendapat tempat keempat. Selepas daripada itu nama Riguan terus tenggelam kerana dia sememangnya tidak berminat untuk menceburi bidang hiburan. Kata Riguan, "saya tidak minat berlakon dan tidak ada suara nak menyanyi"

28 December 2010

Poster Connie (1988)

Connie atau nama sebenarnya Norlida Ahmad merupakan antara pelakon wanita paling popular pada 1980-an. Beliau pernah berlakon dalam filem Tujuh Biang Keladi (1984), Bujang Lapok Kembali Daa (1986), Suara Kekasih (1986), Marah-Marah Sayang (1987), Gila-Gila Si Pikoy (1987), Dendang Remaja (1988) dan Guru Badul (1988). Dalam filem Guru Badul, Connie beraksi berani dengan berseluar pendek di tepi kolam renang serta adegannya di atas katil bersama Badul (ditapis daripada versi VCD).

Dalam tahun 1988 nama Connie mencapai tahap yang paling popular. Gambar beliau banyak dijadikan poster dalam akhbar dan majalah. Pada 1989, Connie dipilih oleh peminat hiburan tempatan sebagai Pelakon Filem Popular menerusi Anugerah Bintang Popular (ABP). Connie terus menjadi rebutan penerbit filem dengan terbitnya 2 buah lagi filem lakonannya pada 1989, iaitu filem Awang Spanar dan Sumpahan Mahsuri. Populariti Connie kekal dengan menerima anugerah Pelakon Pembantu Filem Popular dalam ABP 1990.

Pada awal 1990-an Connie berjaya menambat hati penonton TV pula setelah membawakan watak baik dalam drama bersiri Siti Zubaidah dan Siti Zulaikha hingga melayakkannya dipilih menerima anugerah Pelakon TV Popular dalam ABP 1992. Nama Connie kemudiannya tenggelam setelah munculnya pelakon baru yang lebih popular seperti Sofia Jane dan Erra Fazira. Connie muncul semula pada 2004 dalam filem Bicara Hati dengan melakonkan watak ibu kepada Nur Fazura. Di sebalik kejelitaan asli Connie, status perkahwinan beliau hingga kini masih lagi menjadi tanda tanya.

25 December 2010

Charmaine Augustin (1988)

Charmaine atau nama penuhnya Charmaine Anne Augustin mula dikenali ramai setelah menjadi pengacara rancangan Muzik-Muzik di TV3 pada 1988. Ketika itu beliau berusia 20 tahun dan merupakan salah seorang pengacara bukan Melayu paling terkenal, terutama sekali di kalangan peminat muzik tempatan. Charmaine mengacara Muzik-Muzik '88 bersama ND Lala. Setahun selepas itu Charmaine digandingkan pula dengan Azwan Ali sebagai pengacara Muzik-Muzik '89. Gandingan Charmaine & Azwan menjadi semakin popular menerusi rancangan Muzik-Muzik '90 yang diingati ramai apabila menampilkan begitu ramai artis dan kumpulan muzik rock. Penampilan terakhir Charmaine di TV3 ialah semasa siaran langsung pertandingan Juara Lagu 1990 di mana pada penghujung siaran langsung tersebut Azwan mengumumkan pengunduran Charmaine sebagai pengacara rancangan Muzik-Muzik.

04 February 2009

Jenaka Hang Setia (1988)

Disiarkan oleh RTM1 setiap Selasa jam 9.30 malam. Konsep sitkom (komedi situasi) yang dirakamkan dalam studio ini sebenarnya masih lagi digunakan oleh RTM (contohnya Salam Pantai Timur), namun pada 1988 mungkin penonton tidak banyak pilihan (selain daripada TV3 yang masih tidak menyeluruh siarannya di Malaysia) dan tentu ramai yang masih ingat pada siri Jenaka Hang Setia yang sangat membosankan ini. Tetapi untuk meneruskan konsep sebegini pada masa sekarang adalah sesuatu yang ketinggalan zaman.

Jenaka Hang Setia menceritakan tentang kehidupan di sebuah kampung pada zaman kesultanan Melayu dulu-dulu dengan watak-watak bernama Sang Samba, Sang Gopoh, Dang Damai, Hang Utama dan Hang Setia. Pelakon-pelakonnya semua dianggap pelawak terkenal ketika itu seperti Hamid Gurkha, R. Jaafar, Norlia Ghani, Rominah Sidek dan turut serta P. Param dan Tan Ting untuk menghidupkan suasana muhibbah ala RTM.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...