Showing posts with label 2001. Show all posts
Showing posts with label 2001. Show all posts

22 April 2013

Kebakaran di terminal bas Butterworth (2001)

Pada 20 Mei 2001, bangunan Kompleks Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) telah terbakar. Kejadian itu dilaporkan bermula pada sekitar pukul 5.00 pagi. Bangunan tersebut yang menempatkan terminal bas di tingkat bawahnya terletak berhampiran dengan pangkalan feri (yang sebahagiannya pernah runtuh pada 1988) di Butterworth, Seberang Prai. Kebakaran itu berlaku di tingkat dua bangunan tersebut yang menempatkan pasaraya terkenal Parkson dan juga Tops. Kebakaran yang boleh dikatakan sangat besar itu hanya dapat dipadam sepenuhnya dalam tempoh lebih kurang 12 jam kemudian iaitu pada sekitar pukul 5.00 petang. Kemusnahan teruk di tingkat teratas yang meliputi bahagian bumbung telah menyebabkan bahagian-bahagian lain bangunan lama itu tidak dapat digunakan seperti biasa dan ia akhirnya telah dirobohkan sepenuhnya tidak lama kemudian.



Nota tambahan:
  • Tingkat satu bangunan Kompleks SPPP menempatkan kedai-kedai kecil yang menjual pelbagai barangan serta gerai-gerai makanan yang sering menjadi tumpuan para pengguna terminal bas Butterworth. Tempat itu juga biasa dijadikan lokasi melepak generasi 1980-an.
  • Gambaran bahagian belakang bangunan Kompleks SPPP ada tersemadi dalam filem Ke Medan Jaya (1983) yang menunjukkan adegan kereta penjenayah sedang meluncur keluar daripada tingkat atas sebuah feri lalu menuruni laluan keluar berhampiran dengan bangunan tersebut.
Petikan filem Ke Medan Jaya (1983)

31 March 2011

Farouk Hussain berpakaian wanita (2001)

Farouk Hussain adalah seorang pelakon yang sering membawakan watak komedi. Beliau mula terkenal melalui telefilem Anak Mami pada 1994. Entah bagaimana, lama kelamaan watak komedi yang dilakonkannya sering berkehendakkannya melakonkan watak wanita. Farouk semakin dikenali melalui watak sebegitu apabila muncul melakonkan watak wanita tua dalam siri komedi Senario pada hujung 1990-an. Farouk juga tidak segan silu membawakan watak wanita dalam acara hiburan, contohnya pada Malam Glamor Parti Cit Cat di Kuantan, Pahang pada 2001 (lihat gambar). Walau bagaimanapun, penyiaran lakonan lelaki dalam watak wanita tidak lagi dibenarkan. Telefilem New Boyz The Telemovie pernah diharamkan pada 2002 kerana menampilkan watak Farouk sebagai pelajar perempuan.

24 February 2011

Koleksi Blues Untuk Aku (1999 & 2001)

Kartun bersiri Blues Untuk Aku adalah sebuah karya kartunis Aie yang sebelum itu popular dengan siri kartun Abe (1994-1995). Siri Blues Untuk Aku mula disiarkan dalam Majalah Ujang (generasi baru) keluaran ke-75 pada 1 Ogos 1997. Penggunaan perkataan Blues pada tajuk siri kartun itu mengingatkan pembaca kepada novel bersiri Aku Hidup Dalam Blues yang ditulis oleh Toyon dan dilukis oleh Aie dalam keluaran awal Majalah Ujang pada 1994.

Siri Blues Untuk Aku merupakan satu percubaan berani Aie untuk lari daripada gaya persembahan kartun bersiri yang telah biasa dilihat sebelum itu. Siri Blues Untuk Aku menggabungkan karya penulisan dan lukisan yang dipersembahkan secara tidak konvensional. Contohnya ada bahagian tertentu yang mempunyai banyak tulisan dengan hanya berlatarkan sebuah lukisan yang tidak berdialog. Pada bahagian lain pula misalnya, tersusun beberapa panel (bingkai atau kotak) lukisan yang menggambarkan kronologi pergerakan sesuatu watak atau objek. Kadang-kadang pula lukisannya tidak berdialog langsung, hanya bercerita melalui imej. Begitu juga dengan kedudukan dan saiz panel lukisan yang dibuat secara tidak tetap dan akan berubah-ubah pada setiap muka surat, tetapi ia masih lagi kelihatan tersusun dan kemas. Teknik lukisan Aie dan variasi persembahan sebegitu di sepanjang siri Blues Untuk Aku menjadikannya begitu menarik dan tidak jemu untuk diikuti.

Buku Koleksi Blues Untuk Aku Jilid 1 telah diterbitkan oleh MOY Publications Sdn Bhd pada penghujung 1999. Buku Jilid 1 itu hanya mengandungi siri pertama hingga siri ke-12, dan ia dimulakan dengan tulisan prolog atau mukadimah (yang tiada dalam versi Majalah Ujang) yang menjelaskan lagi mengenai asas cerita itu serta memperkenalkan pembaca kepada watak utamanya iaitu Ishak (Sahak). Dalam ruangan prakata, kartunis Aie menceritakan mengenai kesukarannya untuk meyakinkan pihak penerbit supaya menerima karya Blues Untuk Aku yang bukan hanya tidak bergenre komedi, tetapi gaya persembahannya juga mungkin tidak digemari oleh pembaca yang telah biasa dengan gaya lama. Aie juga menyatakan bahawa beliau telah mengilhamkan karya itu sejak 1991 lagi. Dari segi pemasaran, buku Jilid 1 itu dipakejkan sekali dengan sebuah album (kaset) yang juga berjudul Blues Untuk Aku, dan ia dijual dengan harga RM13.90. Lagu tema berjudul Blues Untuk Aku merupakan ciptaan MOY dan liriknya ditulis oleh Aie sendiri. Dalam tahun 2000, Majalah Ujang melaporkan bahawa pakej buku Jilid 1 berserta kaset itu berjaya terjual sebanyak 60,000 unit.

Di sebalik kerancakan jualan buku Koleksi Blues Untuk Aku Jilid 1 pada awal 2000, kebanyakan peminat siri Blues Untuk Aku merasa begitu kecewa apabila kartun itu dihentikan siarannya dalam Majalah Ujang selama 4 bulan berturut-turut! Majalah Ujang hanya kembali menyiarkan siri Blues Untuk Aku pada bulan Mei 2000, itu pun dengan mengurangkan jumlah muka suratnya, seolah-olah memberi bayangan bahawa ada sesuatu yang tidak kena. Pada 1 Ogos 2000, Blues Untuk Aku siri ke-52 telah disiarkan. Manakala mulai 15 Ogos 2000 nama kartunis Aie secara tiba-tiba telah tiada dalam senarai nama kartunis Majalah Ujang! Apa yang sebenarnya telah terjadi kepada Aie tidak diberitahu dalam Majalah Ujang, malah sambungan siri Blues Untuk Aku yang seterusnya juga tidak lagi disiarkan selepas itu. Begitulah berakhirnya sebuah lagi cerita 'blues' yang tidak sempat ditamatkan, sama seperti nasib novel bersiri Aku Hidup Dalam Blues sebelum itu.

Dalam tahun 2001, MOY Publications Sdn Bhd mengambil kesempatan untuk menerbitkan buku Koleksi Blues Untuk Aku Jilid 2 yang berharga RM3.50. Buku Jilid 2 itu hanya mengandungi siri ke-13 hingga siri ke-31. Pada ketika itu gaya persembahan unik Blues Untuk Aku telah pun menjadi kegemaran ramai dan ia juga mula menjadi ikutan oleh siri-siri kartun lain. Pada kulit belakang buku Jilid 2 itu terdapat iklan mengenai sebuah siri kartun terbaru yang akan muncul yang diberi judul Aku Tetap Blues oleh kartunis Bacang. Terdahulu daripada itu, Majalah Ujang juga pernah menyiarkan beberapa kartun parodi seperti Blues Untuk Kambing oleh kartunis Manggis, Aku Untuk Blues oleh kartunis Bawang, dan lain-lain lagi.

"Masa create watak Sahak ni, grunge tengah hot. Tu yang timbulnya janggut sebaris tu!" - Aie

Nota tambahan:
  1. Terdapat satu muka surat berwarna dalam siri Blues Untuk Aku versi Majalah Ujang, tetapi dalam buku koleksi ini ia telah dihitam putihkan.
  2. Watak Yon, teman serumah Sahak, adalah watak yang sama dalam cerita Kartini (mula disiarkan dalam majalah Varia Lawak sebulan sebelum siri Blues Untuk Aku bermula). Malah terdapat satu babak Yon dalam Blues Untuk Aku yang mempunyai perkaitan jalan cerita dengan Yon dalam Kartini, iaitu tentang pertemuannya dengan bekas teman sekolah yang telah lama terpisah, cuma dalam siri Blues Untuk Aku nama Kartini tidak disebut.

29 September 2010

FHM 100 Sexiest Women (2001)



Majalah bahasa Inggeris, FHM (For Him Magazine) edisi Malaysia, mula diterbitkan pada Disember 1998. FHM Malaysia mula mendapat perhatian ramai terutama sekali setelah penampilan Ning Baizura pada muka depan keluaran Julai 2000, dan temubual bersamanya yang dianggap kurang sopan oleh seorang penulis pojok akhbar bahasa Melayu.

Satu lagi daya penarik utama FHM Malaysia ialah keluaran khas tahunannya yang memberi peluang kepada para pembaca tempatan untuk menyenaraikan 100 wanita paling seksi di dunia. Keluaran khas dalam bentuk buku yang terpisah daripada majalah ini diberi tajuk 100 Sexiest Women In The World.

Berikut adalah senarai selebriti wanita tempatan (Malaysia, Singapura, Brunei & Indonesia) dan nombor kedudukan mereka dalam siri pemilihan 100 wanita paling seksi di dunia bagi tahun 2001.

7. Paula Malai Ali (Brunei)
15. Soong Ai Ling (TV host & model)
19. Anggun (Indonesia)
21. Janet Khoo
43. Deanna Yusoff
47. Michelle Yeoh
63. Camelia
72. Tan Su Wei (Miss Malaysia World 2000)
91. Siti Nurhaliza

* nama bold = pertama kali masuk senarai

Selebriti wanita nombor 1 paling seksi 2001 ialah Jennifer Lopez.

Senarai 100 Sexiest Women In The World untuk tahun 2000 dan ke bawah tidak dapat dikesan.


Tan Su Wei

24 September 2010

Majalah Maskulin (2001)

Edisi Pengenalan majalah Maskulin telah dikeluarkan pada September 2001 dengan harga RM6.00. Majalah yang menumpukan kepada golongan pembaca lelaki ini menggunakan slogan "Takrif Terkini Lelaki Muda" dan terdapat label "Bacaan 18 Tahun Ke Atas" pada muka depannya. Maskulin diterbitkan oleh syarikat penerbitan Karangkraf. Editor Kanan Maskulin iaitu Richie Rachman menulis dalam Edisi Pengenalan bahawa "Majalah berbentuk 'wanita' terlalu banyak di pasaran sehingga sukar hendak memilihnya. Seolah-olah semua majalah itu diterbitkan khusus untuk wanita. Bagaimana pula dengan keperluan kaum lelaki? Adakah golongan ini tidak memerlukan bahan bacaan yang dapat membantu mengembangkan keperibadian dan minat? Jelas sekali tidak ada pihak penerbit yang memikirkan tentang keperluan lelaki. Jika adapun majalah itu diterbitkan dalam bahasa Inggeris ataupun diimport dari luar negara. Selebihnya hanyalah majalah berbentuk sukan dan motor". Jelas sekali kehadiran majalah Maskulin bertitik tolak daripada sambutan terhadap majalah bahasa Inggeris seperti FHM (edisi Malaysia bermula pada 1998) yang menumpukan terhadap isi kandungan yang menarik perhatian lelaki.

Setelah beberapa keluaran diterbitkan, Maskulin tidak lagi meletakkan label "Bacaan 18 Tahun Ke Atas" pada muka depannya. Malah selepas setahun berlalu, dan berlakunya pertukaran Editor, majalah Maskulin telah menerima saranan para pembacanya untuk turut meletakkan gambar lelaki pada muka depannya, dan tidak lagi semata-mata gambar model wanita seksi seperti keluaran-keluaran sebelumnya. Tidak berapa lama selepas itu, pihak penerbitan lain juga turut mengeluarkan majalah bahasa Melayu yang menumpukan terhadap golongan lelaki, malah mengikut jejak Maskulin yang menampilkan gambar lelaki pada muka depannya, tidak seperti majalah bahasa Inggeris lain yang terus mengekalkan kehendak lelaki sebenar yakni gambaran wanita seksi pada muka depan majalah.

07 February 2009

Sup (2001)

Salah sebuah kumpulan muzik pop yang menggunakan nama yang paling mengelirukan dalam sejarah muzik tempatan. Sup, kumpulan muzik yang mungkin sekiranya hadir pada masa kini akan digelar sebagai 'indie', iaitu cara mudah melabelkan sesebuah band sekiranya anda (terutama wartawan) tidak tahu atau tidak peduli genre muzik yang mereka mainkan. Tapi, nama Sup memang tidak sesuai untuk apa-apa genre sekalipun. Jadi, kenapa Sup?
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...