Showing posts with label 2002. Show all posts
Showing posts with label 2002. Show all posts

05 April 2012

Aaron Aziz (2002)



Sepuluh tahun yang lalu Aaron Aziz adalah nama yang tidak dikenali langsung di Malaysia.

Di Singapura pada 2002, Aaron yang sudah pun berusia 26 tahun ketika itu baru hendak dikenali melalui lakonannya dalam watak-watak kecil untuk drama televisyen. Antara drama terawal lakonannya yang disiarkan oleh Channel 5 berjudul War Diary. Sebuah lagi drama Singapura yang popular berjudul Heartlanders menampilkan Aaron membawakan watak polis.

Setelah berlakon dalam beberapa buah drama televisyen di Malaysia, akhirnya Aaron mendapat peluang terbaiknya apabila ditawarkan berlakon dalam filem pertamanya Evolusi KL Drift (2008). Populariti Aaron memuncak naik pada pertengahan 2011 melalui lakonannya dalam drama bersiri Nora Elena. Kini Aaron Aziz ialah pelakon Singapura nombor dua* paling popular di Malaysia.

Majalah LiME keluaran September 2002 yang diterbitkan oleh Mediacorp Publishing pernah menemubual pelakon baru Aaron Aziz, dan soalan pertama yang ditanyakan oleh mereka ialah berkenaan nama Aaron yang tidak kedengaran seperti nama orang Melayu. Aaron menjelaskan bahawa keluarganya terdiri daripada keturunan yang bercampur aduk ("a rojak family") di mana arwah bapanya berketurunan "Siamese Chinese" manakala ibunya pula daripada keturunan "Orang Cocos" yang berasal dari Christmas Island, dan neneknya ialah orang Jepun.

Dalam temubual yang sama Aaron menceritakan pengalaman awalnya menyertai pertandingan Manhunt pada tahun 2000 di mana dia memenangi dua gelaran, Mr. Personality dan Mr. Charming. Dengan ketinggian 1.79 meter, berat 70 kg dan ukuran dada 40 inci, majalah LiME pada 2002 menggelarkan Aaron Aziz sebagai "Perfect hunk material!"

*Pelakon Singapura paling popular di Malaysia ialah S. Shamsudin!

Nota tambahan:
Pada awal 2012, Aaron Aziz telah memenangi Anugerah Selebriti Kacak dan Anugerah Hot Papa dalam Anugerah Pilihan Pembaca Media Hiburan 2011.

24 May 2011

DJ Nasa THR berpakaian wanita (2002)

Cara mudah untuk membuat lawak dalam bidang hiburan di Malaysia ialah dengan menyuruh seseorang selebriti lelaki menukar imejnya menjadi wanita. Terlalu banyak contoh untuk diberikan sejak dari zaman filem hitam putih hinggalah ke zaman Farouk Hussain. Jarang sekali terdapat seseorang selebriti wanita yang menukar imejnya menjadi lelaki dijadikan bahan lawak. Okey, memang ada, contohnya Nor Aliah Lee dan Sharmaine Farouk yang dipakaikan misai dalam filem XX Ray serta beberapa lagi contoh yang sangat terhad serta kurang diingati (Nota: Edika Yusof juga dipakaikan baju kurung di penghujung filem XX Ray itu untuk menimbulkan elemen komedi)

Bagaimana selebriti lelaki berpakaian wanita dianggap mudah untuk menghiburkan para penonton adalah sukar untuk dijelaskan. Mungkinkah faktor keterbukaan mereka yang dilihat seolah-olah memperbodoh atau memalukan diri sendiri mampu menggeletek hati segelintir penonton? Tetapi sekiranya formula tersebut dianggap berjaya menimbulkan elemen komedi, kenapa tidak ada lebih banyak adegan atau pertunjukan di mana selebriti wanita ditukarkan menjadi lelaki? Sukar untuk menyorokkan bentuk fizikal mereka agaknya, atau sememangnya wanita berpakaian lelaki adalah sesuatu yang sudah dianggap normal, maka ia tidak lagi mampu untuk dijadikan bahan ketawa?

Nasa atau Nasaruddin Karim mula terkenal sebagai juruhebah radio (lebih popular dengan gelaran DJ) semasa bertugas di stesen Time Highway Radio (THR) sekitar pertengahan 1990-an. Sebelum itu beliau pernah menjadi DJ sambilan di stesen Reddifusion sejak 1987 selain bertugas sebagai Pegawai Perhubungan Awam di sebuah syarikat rakaman. Pada 2002, DJ Nasa terlibat di dalam Konsert Gegar THR.fm yang diadakan di Ipoh, Perak di mana beliau yang berusia 37 tahun ketika itu telah membuat persembahan pentas dengan melakonkan watak seorang wanita. Secara berjenaka majalah hiburan VariaPop telah melabelkan Cik Nasa sebagai "cun", "menggoda" dan "vogue"!

19 May 2011

Malaysian Rockers United vs. Westlife (2002)



Malaysian Rockers United (MRU) ialah nama pasukan bolasepak artis tempatan yang dibarisi oleh para penyanyi dan pemuzik rock, antaranya ialah Edrie Hashim (kapten pasukan), Shah Slam (penyerang utama), Ijam Medicine (penjaga gol, pernah aktif dalam Celebrity F.C pada 1990-an), Bandi Amuk (tetap bertopeng), Man Bai, Ali XPDC, Mie FTG, Black & Eddie Wings dan lain-lain. Pada awal 2000-an MRU aktif mengadakan perlawanan persahabatan dengan beberapa pasukan bolasepak bukan profesional.



Apabila kumpulan penyanyi pop terkenal dari Ireland iaitu Westlife hadir ke Kuala Lumpur untuk mengadakan konsert pada Oktober 2002, MRU telah dijemput untuk menentang pasukan Westlife XI yang dibarisi oleh 5 orang anggota Westlife serta 6 orang pemain tambahan. Dalam perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil itu (iaitu lokasi konsert Westlife) MRU memakai jersi kuning, warna rasmi pasukan kebangsaan Malaysia, manakala Westlife XI memakai jersi hijau, warna rasmi pasukan kebangsaan Ireland.



Perlawanan bermula pada pukul 9.15 malam dan Westlife XI berjaya menjaringkan gol pertama pada minit ke-25 menerusi anggota Westlife iaitu Shane Filan yang memakai jersi nombor 10. Pada minit ke-27 Man Bai dari MRU telah dijatuhkan dalam petak penalti dan MRU berjaya menyamakan kedudukan dengan sepakan penalti oleh Shah Slam. Pada minit ke-32 seorang lagi anggota Westlife iaitu Brian McFadden (kapten pasukan) berjaya menjaringkan gol kedua Westlife XI. Separuh masa pertama diakhiri dengan satu lagi jaringan oleh pasukan Westlife XI dan menjadikan kedudukan 3-1.



Semasa waktu rehat selama 10 minit, para penonton telah dihiburkan dengan persembahan ringkas oleh Ning Baizura. Apabila separuh masa kedua bermula, MRU menjadi semakin hilang tumpuan dan keadaan itu telah membuka peluang kepada Westlife XI untuk menjaringkan sebanyak 4 gol lagi, 2 oleh Brian dan 2 oleh Nicky Byrne yang juga anggota Westlife. Perlawanan berakhir dengan Westlife XI menang dengan kedudukan 7-1, sementara seorang lagi anggota Westlife, Kian Egan diberi gelaran Man Of The Match.

Nota tambahan:
Brian McFadden yang menjaringkan 3 gol telah meninggalkan kumpulan Westlife pada 2004.

10 May 2011

Skirt pendek Norlia Ghani (2002)

Norlia Ghani ialah salah seorang pelakon yang berani berpakaian seksi sama ada di dalam atau pun di luar filem. Keselambaan Norlia memakai pakaian renang dan seluar pendek dalam filem Sikit Punya Gila (1982) masih diperkatakan oleh para peminat filem tempatan. Ketika itu Norlia sebenarnya telah pun berusia 34 tahun dan mempunyai 3 orang anak.

Bagaimana pun, ketika usianya telah pun mencecah 54 tahun, Norlia kembali menimbulkan suatu lagi kontroversi apabila dengan selambanya tampil berskirt pendek dalam majlis Anugerah Bintang Popular (ABP) yang disiarkan secara langsung melalui televisyen pada 13 Oktober 2002. Kontroversi itu boleh dikatakan tercetus hanya kerana usia Norlia yang dianggap telah lanjut dan tidak lagi sesuai dengan pakaian sedemikian.

Dalam ABP 2002 itu Norlia telah naik ke pentas bagi menerima anugerah Pelakon Komedi Wanita Popular. Kemenangannya itu membuktikan Norlia masih mempunyai peminat yang ramai ketika itu, yang tidak kisah dengan usianya, janji lawak meletup.

Apabila diminta untuk mengulas mengenai pemilihan pakaiannya itu, Norlia memberitahu bahawa dia pada mulanya bercadang untuk memakai evening dress (gambar kanan) tetapi telah menukar fikiran lalu menggantikan kain asal itu dengan skirt pendek setelah mendapat cadangan daripada seorang artis lain (tidak dinamakan) yang memberitahu bahawa skirt pendek lebih sesuai dengan konsep majlis itu yang mahukan artis berpakaian ranggi.

27 February 2011

Perkahwinan Edrie Hashim & Patricia (2002)

Edrie Hashim mula dikenali sebagai pemain gitar kumpulan rock Chapters pada 1991. Edrie yang juga seorang pencipta lagu pernah menerbitkan album kumpulan rock Candy pada 1997.

Patricia Robert ialah penyanyi kumpulan Candy yang telah ditubuhkan di Sarawak sejak 1992. Pat mula terkenal apabila sering muncul pada setiap kali stesen TV RTM ingin menamatkan siarannya dengan nyanyian lagu Sejahtera Malaysia. Ketika itu Pat mewakili penyanyi dari Sarawak. Kumpulan Candy berjaya merakamkan album pada 1997 dan popular dengan lagu berjudul Akan Ku Tunggu ciptaan Edrie Hashim.

Pada 2002, Edrie telah melangsungkan perkahwinan dengan Pat yang menukar namanya kepada Nurul Nadhirah.

23 December 2010

VCD New Boyz The Telemovie diharamkan (2002)



Bermula pada tahun 2001 begitu banyak telefilem telah dikeluarkan dalam format VCD. Pelbagai penerbit tiba-tiba muncul untuk bersaing dalam pasaran telefilem VCD yang begitu popular ketika itu. Antara pihak penerbit yang muncul secara tiba-tiba itu ialah di kalangan syarikat rakaman muzik seperti FMC (dengan telefilem Helah contohnya), Life Records (Sakinah), Warner Music (Azura 2003), Music Valley (Gosok) dan lain-lain. Boleh dikatakan semua syarikat rakaman tersebut menampilkan artis atau penyanyi mereka sebagai pelakon utama bagi setiap telefilem yang diterbitkan. Puncanya ialah kerana kemerosotan pasaran muzik tempatan ketika itu. Syarikat rakaman tersebut perlu menanti beberapa tahun selepas itu untuk pasaran muzik kembali melonjak dengan popularnya kaedah muat turun lagu dan nada dering.



Syarikat rakaman Suria Records atau SRC juga tidak terkecuali daripada menyertai penerbitan telefilem VCD. Pada 2002, SRC telah menerbitkan New Boyz The Telemovie yang menampilkan lakonan semua anggota kumpulan New Boyz yang diketuai oleh penyanyinya Tomok. Walau bagaimanapun, New Boyz The Telemovie yang diarahkan oleh Azwan Ali itu telah diharamkan oleh pihak Lembaga Penapisan Filem (LPF) yang tidak membenarkan penampilan watak perempuan yang dilakonkan oleh lelaki. Dalam telefilem komedi tersebut watak pelajar perempuan bernama Siti Payung telah dilakonkan oleh Farouk Hussain. Oleh kerana Siti Payung merupakan salah seorang watak pembantu yang penting, maka cubaan penerbit untuk menyunting semula telefilem tersebut dengan membuang watak Siti Payung telah gagal dan menyebabkan VCD New Boyz The Telemovie tidak dapat dipasarkan.



Nota tambahan:
Penampilan watak perempuan yang dilakonkan oleh lelaki pernah dipopularkan oleh siri komedi 1990-an seperti Baba & Nyonya, Jangan Ketawa dan Senario. Beberapa episod siri komedi Senario pernah diharamkan daripada tayangan apabila peraturan sebegitu mula diperkenalkan oleh LPF. Farouk Hussain ialah antara pelakon yang pernah diundang bagi melakonkan watak perempuan dalam siri komedi Senario.

08 November 2010

Kumpulan Aku Kaya (2002)

Kumpulan pelawak Aku Kaya dianggotai oleh 3 orang bekas anggota Kumpulan Senario iaitu Hamdan, Yassin & Illya. Kumpulan Aku Kaya ditubuhkan secara tak sengaja setelah mereka bertiga terlibat sebagai pelakon dalam telefilem berjudul Aku Kaya pada 2002. Telefilem tersebut yang diedarkan dalam format VCD telah mendapat perhatian yang sangat menggalakkan ("jualan melebihi 100,000 unit") daripada para peminat komedi yang mungkin mulai bosan dengan Kumpulan Senario ketika itu. Hasil populariti Aku Kaya dalam masa yang singkat itu telah diteruskan pula dengan penerbitan filem Aku Kaya The Movie pada 2003. Pada 2004, sebuah lagi telefilem telah diterbitkan dalam format VCD yang berjudul Aku Kaya Giler.

Gambar - gimik Kumpulan Aku Kaya semasa di awal kemunculan mereka dulu. Lawak yang mengerikan.

18 October 2010

Pengakuan Ifa Raziah (2002)

10 Ogos 2002, temubual eksklusif bertajuk "Ifa Raziah bedah payudara". Mungkin tidak ada atau tidak ramai artis tempatan yang sanggup mengaku membuat pembedahan mencantikkan anggota badan, terutama sekali ketika mereka baru saja melakukannya. Ifa Raziah, penyanyi yang terkenal dengan irama dangdut, ketika temubual ini dia berusia 27 tahun, telah mengaku pernah membuat pembedahan membesarkan payudara ketika berusia 19 tahun! (mengikut perkiraan, sekitar tahun 1994)

Dalam temubual ini, Ifa mengaku membuat pembedahan memasukkan silikon murah jenis Jelly di sebuah hospital di Thailand dengan kos RM5000 akibat terpengaruh dengan rakan-rakannya yang pernah melakukan pembedahan yang serupa sebelum itu. Penjelasan terperinci Ifa menyatakan bahawa dia telah dibedah pada bahagian bawah ketiak bagi memasukkan silikon tersebut yang menjadikan ukuran payudaranya bersaiz 34B.

Walau bagaimanapun, 6 bulan selepas itu, akibat kesakitan dan bengkak, doktor telah menasihatkan Ifa untuk membuang silikon tersebut sebelum ia melarat menjadi kanser payudara. Ifa mengikut nasihat doktor dan kembali ke Thailand bagi membuang silikon tersebut secara percuma, kerana pembedahan sebelum itu telah diberikan jaminan selama 1 tahun. Oleh itu semua gambar terbaru Ifa Raziah selepas 1994 (atau gambar lama sebelum 1994) dipercayai memaparkan 'barang tulen'. Kata Ifa, "Dulu saya pakai bra saiz 34, sekarang dah pakai saiz 32"

06 October 2010

FHM 100 Sexiest Women (2002)


Pada tahun 2001 hanya 9 selebriti wanita tempatan (Malaysia, Singapura, Brunei & Indonesia) yang dipilih sebagai antara 100 wanita paling seksi di dunia. Tahun 2002 menyaksikan lebih ramai selebriti wanita tempatan menjadi pilihan para pembaca majalah FHM Malaysia. Berikut adalah senarai selebriti wanita tempatan dan nombor kedudukan mereka dalam siri pemilihan 100 wanita paling seksi di dunia bagi tahun 2002.

9. Paula Malai Ali (Brunei)
20. Maya Karin
27. Soong Ai Ling (TV host & model)
51. Anggun (Indonesia)
61. Camelia
62. Janet Khoo
70. Sarimah Ibrahim
79. Asha Gill (TV host & model)
89. Tan Su Wei (Miss Malaysia World 2000)
90. Erra Fazira
91. Siti Nurhaliza
94. Michelle Yeoh
97. Normala Shamsuddin
99. Kavitha Kaur

* nama bold = pertama kali masuk senarai

Selebriti wanita nombor 1 paling seksi 2002 ialah Anna Kournikova.


Paula Malai Ali, Erra Fazira & Siti Nurhaliza
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...