Showing posts with label Watie Elite. Show all posts
Showing posts with label Watie Elite. Show all posts

27 June 2013

RTM gam Elite (1999)

Pada Sabtu, 9 Oktober 1999, anggota kumpulan Elite, Watie (Norwati Sadali) yang berusia 23 tahun telah ditahan oleh pihak berkuasa di Jalan P. Ramlee, Kuala Lumpur pada sekitar pukul 3.40 pagi, atas 2 kesalahan trafik iaitu memandu kereta dalam keadaan mabuk dan memandu kereta tanpa lesen yang sah. Pada 12 Oktober 1999, Watie telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Kuala Lumpur di mana dia mengaku bersalah dan telah menerima hukuman denda sebanyak RM1800.

Pihak pengurusan kumpulan Elite iaitu KRU Records kemudiannya telah menggantung keahlian Watie selama 3 bulan berkuatkuasa mulai 24 Oktober 1999. Tidak cukup dengan hukuman-hukuman tersebut, pada 31 Oktober 1999, pihak akhbar melaporkan bahawa stesen penyiaran RTM pula mengambil tindakan susulan dengan mengharamkan (atau gam) penyiaran lagu-lagu kumpulan Elite melalui semua saluran radio & televisyen milik RTM. Walau bagaimanapun, tempoh pengharaman tersebut tidak dinyatakan.


Nota tambahan:
Watie Elite baru saja muncul sebagai pelakon tambahan dalam filem Pecah yang mula ditayangkan di pawagam sejak 13 Jun 2013.

22 June 2013

Isu gay dalam lagu kumpulan Elite (1998)

Dalam bulan Mac 1998, kumpulan Elite telah mengeluarkan album kedua mereka yang berjudul Tamparan. Terdapat beberapa lagu popular dalam album tersebut, antaranya ialah Tamparan Wanita, Sesuatu Di Dalam Dirimu & Trauma. Kumpulan KRU sebagai pencipta lagu-lagu kumpulan Elite turut menghasilkan sebuah lagu yang menyentuh isu gay.

Lagu yang diberi judul Dirinya Dirimu Diriku itu berkisarkan tentang konflik percintaan seorang wanita apabila dia mendapat tahu rahsia bahawa teman lelakinya turut mempunyai hubungan percintaan dengan seorang lelaki lain. Senikata lagu itu menyarankan bahawa teman lelaki si wanita itu sekadar berpura-pura mencintai si wanita demi untuk mengaburi mata orang ramai daripada mengetahui bahawa dia sebenarnya adalah gay. Baris akhir senikata itu menyimpulkan bahawa motif penipuan si lelaki itu ialah kerana untuk menjaga statusnya yang berkemungkinan merupakan seorang yang ternama.

DIRINYA DIRIMU DIRIKU
(pencipta lagu & penulis senikata: KRU - Norman, Yusry & Edry)

Desas desus ku diberitahu
Apa berlaku di belakangku
Memang percaya memangnya benar
Tiada angin pohon tak bergoyang

Kini terjadi tidak dinafi
Mata sendiri menjadi saksi
Jangan kau tentang yang jelas terang
Cinta kau songsang hina dan curang

Dirinya dirimu diriku
Katakan padaku betapa malu
Dirinya dirimu diriku
Katakan saja rahsia dirimu
(Katakan saja rahsia hidupmu)

Apakah kau sangka ku boneka
Diam memejam mata
Maaf salah masa salah wanita untuk kau dusta
Kau bukan lelaki sebenar

Cukuplah sudah segala helah
Aku perintah berpaling arah
Tidak ku mahu lagi bertemu
Diriku malu apa berlaku

Cuba sedarlah cinta kau dosa
Dan sampai bila tidak ke mana
Guna wanita untuk mengabur mata
Berpura-pura status dijaga















Nota tambahan:
  • Suatu kebetulan yang menarik ialah, apabila album kumpulan Elite, Tamparan, dikeluarkan dalam bulan Mac 1998, pada bulan itu jugalah keluarnya album To'ki yang mengandungi lagu Joget Menyanyi yang senikatanya juga turut menyentuh isu gay.
  • Lebih kurang sebulan selepas keluarnya album Tamparan, kumpulan Elite telah dilanda masalah apabila salah seorang anggotanya, Abby Elite, telah digantung keahlian kerana "masalah disiplin" (menurut kenyataan pihak pengurusan kumpulan Elite). Setelah digantung keahlian sehingga Jun 1998, Abby Elite & pihak pengurusan kumpulan Elite masih tidak dapat menyelesaikan masalah tersebut sehingga menyebabkan Abby Elite terpaksa disingkirkan. Abby yang tidak lagi dibenarkan menggunakan nama gelaran Elite selepas itu telah menukarkan namanya kepada Abby Abadi.
  • Setahun selepas keluarnya album Tamparan, kumpulan Elite dilanda kontroversi apabila gambar lucah Linda Elite (yang dikatakan palsu) telah tersebar dalam internet pada Mac 1999, manakala pada lewat tahun yang sama Watie Elite telah mengaku bersalah di mahkamah atas dakwaan memandu kereta dalam keadaan mabuk. Sebagai hukuman tambahan, lagu-lagu kumpulan Elite kemudiannya telah diharamkan siarannya oleh stesen penyiaran RTM (rujuk entri-entri akan datang).

29 March 2013

Kumpulan Elite (1996)

Pada sekitar hujung 1996, syarikat penerbitan KRU Records telah mengeluarkan album artis pertama naungan mereka iaitu kumpulan penyanyi wanita yang diberi nama Elite. Album pertama Elite yang berjudul Catwalk mengandungi lagu-lagu popular seperti G.I.G dan Manisnya Senyuman Mu. Sebagai strategi pemasaran mungkin, album tersebut juga menampilkan Elite berpadu suara bersama kumpulan KRU dalam sebuah lagu yang berjudul Di Pintu Syurga.

Kumpulan Elite yang membawakan lagu-lagu berentak pop & tarian dianggotai oleh 5  orang gadis iaitu Watie, Linda, Sasha, Azza & Abby. Kumpulan Elite pantas menjadi sebutan ramai sejak kemunculan pertama mereka kerana pada ketika itu arena muzik Malaysia sememangnya kekurangan kumpulan penyanyi wanita selepas pudarnya populariti kumpulan muzik rap. Kelima-lima anggota kumpulan Elite kemudiannya telah melalui pelbagai kontroversi bermula dengan kes penyingkiran Abby selepas keluarnya album kedua mereka, Tamparan pada 1998.

Nota tambahan:
  • Album pertama kumpulan Elite keluar pada sekitar waktu yang sama dengan album pertama kumpulan penyanyi wanita antarabangsa, Spice Girls, yang juga dikeluarkan pada sekitar hujung 1996.
  • Kumpulan Elite pernah mengeluarkan VCD yang mengandungi rakaman temubual berserta koleksi klip video lagu-lagu mereka pada 1998 (akan cuba diarkibkan dalam entri akan datang, begitu juga dengan kisah-kisah kontroversi dan panas mereka yang pernah menggegarkan arena hiburan Malaysia, akan cuba diarkibkan walaupun bukan dalam masa terdekat)
  • Artis kedua selepas Elite yang bernaung di bawah syarikat penerbitan KRU Records ialah kumpulan penyanyi lelaki, Indigo pada 1997.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...