Showing posts with label Tradisional. Show all posts
Showing posts with label Tradisional. Show all posts

20 November 2013

Anugerah Industri Muzik - AIM ke-2 (1995)

Majlis Anugerah Industri Muzik (AIM) kali ke-2 telah berlangsung pada 23 Mac 1995 (Khamis) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. AIM ke-2 juga dikenali sebagai AIM 1994 kerana ia mempertandingkan para artis & karya-karya yang dihasilkan pada tahun sebelumnya. Dalam AIM ke-2 yang diacarakan oleh Imuda & Sofia Jane itu, beberapa kategori baru telah diperkenalkan (lihat senarai di bawah).

Majlis dimulakan dengan persembahan tarian oleh Kumpulan Tarian Ratu, manakala artis yang membuat persembahan selingan pula terdiri daripada Ning Baizura (lagu Kau Dan Aku & Penjara Kasih), Zainal Abidin (Sabarlah), kumpulan U.K's (Pahit Akan Manis Akhirnya), kumpulan KRU (Awas!), Ella (Gemilang), Awie (Tragedi Oktober), Hattan, M. Nasir, Jamal Abdillah, serta gandingan kumpulan-kumpulan rap - Nico, Feminin, 4U2C & Res2.

Antara pasangan penyampai anugerah yang terlibat ialah Ziana Zain & Shamrin Fotograf; M. Nasir & Haleeda; AC 4U2C & Amy Mastura; Yusof Haslam & Erra Fazira; M. Shariff & Uji Rashid.


Berikut ialah senarai para pemenang AIM 1994 dalam kategori-kategori yang telah sedia wujud sejak AIM pertama:
  • Album Terbaik - Gamal (Artis: Zainal Abidin. Penerbit: Roslan Aziz)
  • Lagu Terbaik - Mentera Semerah Padi (Artis: M. Nasir. Pencipta: M. Nasir. Penulis lirik: Nurbisa)
  • Vokal Terbaik (Lelaki) - Amy (Album: Magic)
  • Vokal Terbaik (Wanita) - Aishah (Album: Klasik)
  • Vokal Terbaik (Berkumpulan) - KRU (Album: Awas!)
  • Artis Baru Terbaik (Berkumpulan) - Violet
  • Kulit Album Terbaik - Gamal (Artis: Zainal Abidin. Perekabentuk: Foo Chi Wei)
  • Video Muzik Terbaik - Seribu Impian (Artis: Casey. Pengarah: Virginia Kennedy)
  • Rakaman Album Terbaik - Gamal (Artis: Zainal Abidin. Jururakam: Guy Gray)
  • Anugerah Sri Wirama - Dato' Ahmad Daud

Berikut pula ialah senarai para pemenang AIM 1994 dalam kategori-kategori yang baru diwujudkan:
  • Album Pop Terbaik - Ning (Artis: Ning Baizura. Penerbit: Johan P. Abdullah)
  • Album Rock Terbaik - Samad (Artis: Samad. Penerbit: Samad)
  • Album Tradisional Terbaik - Canggung Mendonan (Artis: M. Nasir. Penerbit: M. Nasir)
  • Artis Baru Terbaik (Lelaki) - Casey
  • Artis Baru Terbaik (Wanita) - Nora
  • Album Antarabangsa Terbaik - Hadirlah Kasih (Artis: Hetty Koes Endang, dari Indonesia)

Nota:
  • Kategori yang dihapuskan ialah Artis Baru Terbaik (Solo) yang digantikan dengan kategori Artis Baru Terbaik (Lelaki) & Artis Baru Terbaik (Wanita).
  • Senarai lengkap calon-calon akhir bagi setiap kategori tidak dapat dikesan buat masa sekarang.


Imuda & Sofia Jane, pengacara AIM 1994.



Amy, pemenang kategori Vokal Terbaik (Lelaki), hadir bersama
bakal isterinya, Roslisa Ahmad.

Banyak lagi foto AIM 1994 di bawah:

31 March 2013

Homoseks dan lesbian dalam lagu To'ki (1998)

To'ki pernah terkenal dengan lagu nyanyiannya, Biasan, pada sekitar awal 1990-an. Walaupun dengan suaranya yang mantap dan tersendiri, tetapi To'ki tidak berjaya untuk menjadi penyanyi yang bertahap popular. Situasi begitu, dari dulu hingga kini dianggap lumrah dalam arena hiburan tempatan yang lebih mengutamakan paras rupa berbanding bakat.

Dalam bulan Mac 1998, To'ki telah mengeluarkan album barunya yang berjudul Hujan Emas. Salah satu lagu yang terdapat dalam album tersebut berjudul Joget Menyanyi. Lagu berentak tradisional yang agak popular dan menarik didengar itu adalah ciptaan dan tulisan To'ki sendiri. Apa yang mungkin kurang disedari oleh para pendengar ialah mengenai kisah di dalam senikata lagu itu.

Senikata lagu Joget Menyanyi mengandungi pemerhatian dan mungkin juga komentar tersirat penulisnya terhadap isu homoseks dan lesbian di Malaysia pada 1990-an. To'ki telah mengesahkan mengenai kandungan senikata lagu itu apabila ditanya oleh wartawan hiburan, Nas Ahmad. Kata To'ki, "Ini cerita benar Nas. Ada satu tempat peranginan terkenal kat sini dah jadi macam sarang homo dan lesbian. Saya pergi kat sana untuk berehat sambil cari ilham tapi terperanjat tengok perkara ni berlaku depan mata saya sendiri".

Artikel bertajuk "Homoseks dan lesbian dalam lagu To'ki" ditulis oleh Nas Ahmad pada 8 Jun 1998 dan hanya disiarkan beberapa bulan kemudian dalam majalah hiburan URTV pada 15 September 1998.



JOGET MENYANYI
(pencipta lagu & penulis senikata: To'ki)

Di kampung ini
Di depan tangga pohon melambai
Hai angin tiup
Katanya sepoi bahasa

Gerimis turun
Tak sangka kilat guruh berdentum
Di kampung ini
Ku rasa damai sekali

Jalan pesisiran pantai
Ramai gadis berpegangan tangan
Si pemudanya pula
Jatuh cinta sesama

Mari menyanyi
Mari menyanyi
Mari menyanyi
Menyanyi

Nota tambahan:
  • Dalam bulan Mac 1998 juga terbitnya sebuah lagi lagu - persembahan oleh penyanyi wanita tempatan - yang senikatanya berkisarkan isu gay (rujuk entri akan datang)
  • Dalam artikel yang sama, Nas Ahmad juga mengulas mengenai kulit album To'ki yang berjudul Hujan Emas, di mana To'ki dikatakan seolah-olah meniru gaya Amy Search (dalam album solo pertama pada 1994) dengan tidak berpakaian dan berkepala botak.
  • Memandangkan salah satu lagu dalam album Hujan Emas oleh To'ki merujuk kepada suatu 'gejala' seks, terlintas di fikiran mengenai kemungkinan wujudnya konotasi berkaitan seks - iaitu 'golden shower' - dalam terjemahan bahasa Inggeris tajuk album itu?
  • Kulit album Hujan Emas menggambarkan To'ki sedang 'menikmati' hujan emas. Walau bagaimanapun, tiada lagu berjudul Hujan Emas dalam album tersebut.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...