Showing posts with label kartun. Show all posts
Showing posts with label kartun. Show all posts

16 November 2013

Memperjudikan Wawasan 2020 (1991)

Pada 9 Jun 1991, akhbar sisipan Pancaindera (Mingguan Malaysia) menyiarkan kartun berbentuk komentar yang bertajuk Boleh Jadi. Topik hangat ketika itu ialah mengenai idea Wawasan 2020 yang baru diperkenalkan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, Dr. Mahathir Mohamad, pada awal 1991. Kartun karya Adeputra tersebut secara selamba merakamkan sambil mengkritik sikap sesetengah golongan masyarakat yang telah "mengambil kesempatan" terhadap 'nombor bertuah' 2020 dengan menjadikannya sebagai ilham untuk berjudi!


Nota tambahan:
"2020 - 2,236 hari lagi"

20 June 2011

Majalah Gedung Kartun (2009)

Majalah Gedung Kartun keluaran pertama telah dikeluarkan pada 1 September 2009. "Majalah Jenaka Alternatif" setebal 68 muka surat ini telah diterbitkan oleh Sepakat Efektif Sdn Bhd dan dijual dengan harga RM4.00 senaskah. Pandangan awal berdasarkan nama majalah Gedung Kartun ini, ia boleh dikatakan hanyalah sebuah lagi majalah kartun tempatan yang biasa, tetapi apabila dilihat pada kartun utama di muka hadapannya, jelas sekali majalah ini mempunyai isi kandungan yang sangat jauh berbeza daripada majalah-majalah kartun yang pernah diterbitkan di Malaysia sebelum itu.

Muka hadapan Gedung Kartun Vol: 01 memaparkan karikatur Perdana Menteri (PM) Malaysia yang sedang mengibarkan sebuah bendera sambil melaungkan "Merdeka". Watak kanak-kanak bernama Dol Kerepek diperlihatkan menegur "Tuan" PM mengenai kesalahan beliau dalam memilih bendera untuk dikibarkan. Hanya melalui kartun utama itu dapat disimpulkan mengenai keberanian penerbit dalam menghasilkan majalah kartun "alternatif" ini. Adakah masyarakat umum dan pembaca di Malaysia semakin terbuka dan dapat menerima kritikan atau sindiran dalam bentuk kartun sebegitu? Mungkin ya dan mungkin tidak, bergantung sepenuhnya kepada siapa yang disindir dan pihak mana yang pembaca tersebut sebelahi. Adakah pihak yang disindir boleh berdiam diri dan menerima sindiran sebegitu? Mungkin ya dan mungkin tidak, bergantung kepada seserius manakah sindiran itu dan sebesar manakah kuasa yang mereka ada untuk bertindak balas.

Majalah Gedung Kartun dikelola oleh kartunis Zunar sebagai Ketua Editor dan juga pengkarya. Kartunis lain yang terlibat ialah seperti Jonos (turut melukis muka hadapan), Ronasina, Cabai dan lain-lain. Turut serta menyumbangkan karya ialah Pyanhabib dan A. Samad Said. Isi kandungan majalah ini keseluruhannya menyentuh mengenai dunia politik serta isu sosial dan semasa tempatan. Menurut tulisan prakata oleh Zunar, majalah ini "menawarkan kandungan dengan mesej berat yang disampaikan dalam bentuk santai", "tidak hanya bersifat lucu tetapi ia juga menyadur mesej yang mengkritik, mengulas, mengolah, memberi informasi dan kesedaran tentang isu-isu yang semasa". Dalam ruangan penafian pula tertulis: "Tulisan atau lukisan yang disiarkan tidak bertujuan untuk memburukkan sesiapa atau cuba melahirkan apa-apa provokasi tapi hanyalah satu idea atau pandangan dari setiap mata kaca pelukis/penulis itu sendiri"

Antara tajuk-tajuk kartun/tulisan yang disiarkan dalam Gedung Kartun ialah Perampok Merdeka, Ragam Datuk Nazak, Negaraku, Nostalgia 98, DemoKERASi, 2 Tun, Peludah Bahasa, Selangor Tanah Airku dan lain-lain. Karya-karya yang disiarkan sememangnya menarik dan sesungguhnya suatu alternatif kepada penggemar kartun yang sebelum itu hanya dihidangkan dengan lambakan kartun komedi biasa tanpa isi kandungan yang serius. Namun begitu pembaca yang kurang mengikuti perkembangan semasa di Malaysia mungkin agak sukar untuk memahami beberapa karya terutamanya yang 'terlalu ringkas tanpa penjelasan lanjut' yang dipaparkan (apa lagi kalau majalah ini dibaca semula oleh generasi akan datang). Gaya lukisan (termasuk sedikit muka surat berwarna) juga agak menarik terutamanya yang melibatkan seni karikatur.

Walau bagaimanapun, tema utama majalah Gedung Kartun yang jelas memihak kepada pihak 'pembangkang' pastinya sukar untuk diterima oleh sebahagian besar masyarakat umum, dan adalah tidak mengejutkan apabila majalah ini akhirnya telah diharamkan oleh pihak 'kerajaan' hanya selepas satu keluaran sahaja. Tentu menarik sekiranya majalah ini dapat terus diterbitkan dan pada masa yang sama mungkin para penerbit lain dapat menerbitkan pelbagai lagi majalah kartun sealiran yang memihak kepada beberapa golongan yang berbeza. Pastinya semua orang akan berpeluang mendapat bahan bacaan yang diinginkan mengikut citarasa masing-masing. Tapi apa kan daya, tahap keterbukaan dalam berkarya dan kebebasan untuk menyampaikan pendapat masih lagi disekat buat masa sekarang.

27 March 2011

Kartini Kembali (2006)

ISBN 983-3603-97-1
Terbitan Pertama 2006

Buku kartun Kartini Kembali ini telah diterbitkan oleh PTS Millennia Sdn Bhd pada 2006. Menurut maklumat dalam buku ini, kartun Kartini Kembali pernah disiarkan secara bersiri dalam majalah Aku Dan Sesuatu terbitan Aie Production. Buku Kartini Kembali karya kartunis Tembakau ini adalah setebal 94 muka surat dan berharga RM14.00

Sebelum itu, buku koleksi Kartini pernah diterbitkan pada 1998. Buku Kartini Kembali ini boleh dikatakan sebuah kesinambungan kepada buku pertama itu, tetapi ia bukanlah sebuah cerita sambungan yang menarik. Mengapa? Kerana watak Kartini boleh dikatakan tidak wujud dalam kisah Kartini Kembali ini yang lebih menumpukan kepada kisah watak Aryon semata-mata. Perkara itu jelas dinyatakan oleh Tembakau dalam tulisan pembukaan buku ini.

Kisah Kartini Kembali ini terbahagi kepada 2 segmen. Pembaca pada awalnya dihidangkan dengan kisah Aryon yang 'jiwa kacau' selepas 'kehilangan' Kartini dalam penutup cerita asalnya. Selepas itu pembaca dibawa untuk mengimbas kembali kisah Aryon semasa zaman persekolahannya dalam tingkatan 2 (iaitu zaman sebelum Aryon bertemu dengan Kartini) dan tingkatan 3. Pembaca hanya akan diperlihatkan dengan lukisan watak Kartini pada beberapa muka surat dalam babak-babak akhir, itu pun bukan watak Kartini yang hidup dan berkomunikasi, cuma sekadar imej yang diceritakan oleh Aryon kepada rakannya. Nama Kartini juga langsung tidak ditulis di sepanjang kisah Kartini Kembali ini, dan hanya dirujuk oleh Aryon sebagai "dia" sahaja.

Kemungkinan untuk pembaca baru yang tidak mengikuti cerita asal Kartini untuk dapat mengikuti kisah Kartini Kembali ini dengan mudah adalah tipis sekali. Pembaca cerita asal Kartini juga mungkin kecewa apabila tajuk Kartini Kembali ini tidak menggambarkan maksudnya. Daripada segi lukisan Tembakau pula, entah kenapa terasa seperti ada sesuatu yang kurang, gaya persembahannya agak tidak seragam, malah ada beberapa bahagian di mana lukisannya kelihatan kurang menarik dan seakan tidak siap (mungkin disengajakan?)

24 February 2011

Koleksi Blues Untuk Aku (1999 & 2001)

Kartun bersiri Blues Untuk Aku adalah sebuah karya kartunis Aie yang sebelum itu popular dengan siri kartun Abe (1994-1995). Siri Blues Untuk Aku mula disiarkan dalam Majalah Ujang (generasi baru) keluaran ke-75 pada 1 Ogos 1997. Penggunaan perkataan Blues pada tajuk siri kartun itu mengingatkan pembaca kepada novel bersiri Aku Hidup Dalam Blues yang ditulis oleh Toyon dan dilukis oleh Aie dalam keluaran awal Majalah Ujang pada 1994.

Siri Blues Untuk Aku merupakan satu percubaan berani Aie untuk lari daripada gaya persembahan kartun bersiri yang telah biasa dilihat sebelum itu. Siri Blues Untuk Aku menggabungkan karya penulisan dan lukisan yang dipersembahkan secara tidak konvensional. Contohnya ada bahagian tertentu yang mempunyai banyak tulisan dengan hanya berlatarkan sebuah lukisan yang tidak berdialog. Pada bahagian lain pula misalnya, tersusun beberapa panel (bingkai atau kotak) lukisan yang menggambarkan kronologi pergerakan sesuatu watak atau objek. Kadang-kadang pula lukisannya tidak berdialog langsung, hanya bercerita melalui imej. Begitu juga dengan kedudukan dan saiz panel lukisan yang dibuat secara tidak tetap dan akan berubah-ubah pada setiap muka surat, tetapi ia masih lagi kelihatan tersusun dan kemas. Teknik lukisan Aie dan variasi persembahan sebegitu di sepanjang siri Blues Untuk Aku menjadikannya begitu menarik dan tidak jemu untuk diikuti.

Buku Koleksi Blues Untuk Aku Jilid 1 telah diterbitkan oleh MOY Publications Sdn Bhd pada penghujung 1999. Buku Jilid 1 itu hanya mengandungi siri pertama hingga siri ke-12, dan ia dimulakan dengan tulisan prolog atau mukadimah (yang tiada dalam versi Majalah Ujang) yang menjelaskan lagi mengenai asas cerita itu serta memperkenalkan pembaca kepada watak utamanya iaitu Ishak (Sahak). Dalam ruangan prakata, kartunis Aie menceritakan mengenai kesukarannya untuk meyakinkan pihak penerbit supaya menerima karya Blues Untuk Aku yang bukan hanya tidak bergenre komedi, tetapi gaya persembahannya juga mungkin tidak digemari oleh pembaca yang telah biasa dengan gaya lama. Aie juga menyatakan bahawa beliau telah mengilhamkan karya itu sejak 1991 lagi. Dari segi pemasaran, buku Jilid 1 itu dipakejkan sekali dengan sebuah album (kaset) yang juga berjudul Blues Untuk Aku, dan ia dijual dengan harga RM13.90. Lagu tema berjudul Blues Untuk Aku merupakan ciptaan MOY dan liriknya ditulis oleh Aie sendiri. Dalam tahun 2000, Majalah Ujang melaporkan bahawa pakej buku Jilid 1 berserta kaset itu berjaya terjual sebanyak 60,000 unit.

Di sebalik kerancakan jualan buku Koleksi Blues Untuk Aku Jilid 1 pada awal 2000, kebanyakan peminat siri Blues Untuk Aku merasa begitu kecewa apabila kartun itu dihentikan siarannya dalam Majalah Ujang selama 4 bulan berturut-turut! Majalah Ujang hanya kembali menyiarkan siri Blues Untuk Aku pada bulan Mei 2000, itu pun dengan mengurangkan jumlah muka suratnya, seolah-olah memberi bayangan bahawa ada sesuatu yang tidak kena. Pada 1 Ogos 2000, Blues Untuk Aku siri ke-52 telah disiarkan. Manakala mulai 15 Ogos 2000 nama kartunis Aie secara tiba-tiba telah tiada dalam senarai nama kartunis Majalah Ujang! Apa yang sebenarnya telah terjadi kepada Aie tidak diberitahu dalam Majalah Ujang, malah sambungan siri Blues Untuk Aku yang seterusnya juga tidak lagi disiarkan selepas itu. Begitulah berakhirnya sebuah lagi cerita 'blues' yang tidak sempat ditamatkan, sama seperti nasib novel bersiri Aku Hidup Dalam Blues sebelum itu.

Dalam tahun 2001, MOY Publications Sdn Bhd mengambil kesempatan untuk menerbitkan buku Koleksi Blues Untuk Aku Jilid 2 yang berharga RM3.50. Buku Jilid 2 itu hanya mengandungi siri ke-13 hingga siri ke-31. Pada ketika itu gaya persembahan unik Blues Untuk Aku telah pun menjadi kegemaran ramai dan ia juga mula menjadi ikutan oleh siri-siri kartun lain. Pada kulit belakang buku Jilid 2 itu terdapat iklan mengenai sebuah siri kartun terbaru yang akan muncul yang diberi judul Aku Tetap Blues oleh kartunis Bacang. Terdahulu daripada itu, Majalah Ujang juga pernah menyiarkan beberapa kartun parodi seperti Blues Untuk Kambing oleh kartunis Manggis, Aku Untuk Blues oleh kartunis Bawang, dan lain-lain lagi.

"Masa create watak Sahak ni, grunge tengah hot. Tu yang timbulnya janggut sebaris tu!" - Aie

Nota tambahan:
  1. Terdapat satu muka surat berwarna dalam siri Blues Untuk Aku versi Majalah Ujang, tetapi dalam buku koleksi ini ia telah dihitam putihkan.
  2. Watak Yon, teman serumah Sahak, adalah watak yang sama dalam cerita Kartini (mula disiarkan dalam majalah Varia Lawak sebulan sebelum siri Blues Untuk Aku bermula). Malah terdapat satu babak Yon dalam Blues Untuk Aku yang mempunyai perkaitan jalan cerita dengan Yon dalam Kartini, iaitu tentang pertemuannya dengan bekas teman sekolah yang telah lama terpisah, cuma dalam siri Blues Untuk Aku nama Kartini tidak disebut.

22 January 2011

Koleksi Bersama Selamanya Vol. 2 (2000)

Kartun bersiri Bersama Selamanya adalah sebuah karya oleh kartunis Gayour yang mula disiarkan dalam Majalah Ujang keluaran ke-5 pada 15 April 1994. Buku Koleksi Bersama Selamanya Vol. 1 yang mengandungi siri pertama hingga siri ke-34 telah dipasarkan pada hujung tahun 1996. Buku Vol. 1 tersebut diterbitkan di bawah label "Siri Produksi Ujang" oleh Kharisma Publications Sdn Bhd. Siri kartun Bersama Selamanya pernah disiarkan dalam Majalah Varia Lawak apabila Majalah Ujang dihentikan penerbitannya buat seketika di antara bulan Mac hingga Ogos 1997.

Selepas itu siri kartun Bersama Selamanya yang mempunyai jalan cerita yang begitu panjang ini telah disambung kembali siarannya dalam Majalah Ujang generasi baru. Dalam bulan Disember tahun 2000, buku Koleksi Bersama Selamanya Vol. 2 pula telah diterbitkan. Buku Vol. 2 ini diterbitkan oleh MOY Publications Sdn Bhd, dan ia dipakejkan sekali dengan sebuah album soundtrack (format kaset!) yang juga berjudul Bersama Selamanya. Kaset tersebut mengandungi 10 lagu baru nyanyian kartunis Taugeh termasuk lagu tema Bersama Selamanya ciptaan M. Nasir.

Buku Koleksi Bersama Selamanya Vol. 2 mengandungi siri ke-35 hingga siri ke-84 yang pernah disiarkan dalam Majalah Ujang di antara bulan September 1995 hingga April 1998. Semasa buku Vol. 2 ini dipasarkan, Majalah Ujang sedang menyiarkan kartun Bersama Selamanya siri ke-137! Mungkin ramai pembaca yang tidak sempat mengikuti siri Bersama Selamanya sehingga tamat, kerana selepas hampir 7 tahun berlalu, siri kartun tersebut masih belum mahu ditamatkan. Agak malang juga bagi pengikut siri Bersama Selamanya kerana buku Vol. 3 tidak diterbitkan, dan Gayour juga akhirnya telah berhenti berkarya untuk Majalah Ujang tidak lama kemudian.


29 November 2010

Servis Sidek diharamkan (1982)

Pada penghujung dekad 1970-an 'lahir'nya beberapa bintang sukan muda yang dikenali sebagai anak-anak Sidek atau adik beradik Sidek. Misbun Sidek, Razif Sidek dan Jalani Sidek mencipta nama dalam arena sukan badminton Malaysia dalam masa yang begitu cepat. Banyak kejuaraan yang mereka menang di dalam negara ketika itu hingga layak dipilih mewakili negara ke pertandingan badminton peringkat antarabangsa dalam usia yang masih remaja.

Adik beradik Sidek menjadi terkenal serta merta dalam arena badminton antarabangsa setelah mereka memperkenalkan teknik servis (pukulan bulu tangkis) yang luar biasa, yang tidak pernah terfikir boleh dilakukan oleh mana-mana pemain badminton di dunia. Teknik servis tersebut kini dikenali sebagai Servis Sidek.

Cara melakukan Servis Sidek ialah dengan sebelah tangan memegang kepala bulu tangkis ke arah atas, manakala bahagian bulunya pula menghala ke arah permukaan gelanggang. Sebelah tangan lagi yang memegang raket perlu berada dalam kedudukan untuk membuat pukulan backhand (memukul bulu tangkis dengan tolakan pergelangan tangan, dan bukannya dengan hayunan keseluruhan tangan). Setelah berada dalam kedudukan tersebut, servis akan dilakukan dengan tolakan raket ke arah bahagian bulu. Bulu tangkis yang dipukul sebegitu akan berpusing-pusing melayang ke arah gelanggang lawan. Servis Sidek dianggap menyukarkan pihak lawan untuk membalas pukulan kerana pihak lawan perlu betul-betul pasti bilakah kepala bulu tangkis yang berpusing-pusing itu akan menghadap ke arah mereka sebelum ia boleh dipukul kembali, kerana pukulan balas yang salah pada bahagian bulu akan menyebabkan hantaran yang tidak sempurna malah boleh menyebabkan bulu tangkis melekat pada jaringan raket pihak lawan.

Penggunaan Servis Sidek mendapat banyak bantahan dalam arena badminton antarabangsa ketika itu, tetapi bukanlah kerana ia memberi kelebihan kepada adik beradik Sidek semata-mata. Servis Sidek sebenarnya boleh digunakan oleh semua pemain badminton di seluruh dunia untuk kelebihan mereka sendiri, malah adik beradik Sidek sendiri juga tidak terlepas daripada menjadi 'mangsa' teknik servis ciptaan mereka itu. Kontroversi teknik pukulan bulu tangkis yang luar biasa itu memaksa Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF) mengambil keputusan untuk mengharamkan penggunaan Servis Sidek pada 1980. Oleh kerana terdapat perbezaan pendapat di mana beberapa buah negara selain Malaysia telah menyokong penggunaan Servis Sidek, maka pengharaman itu dibatalkan setahun kemudian.

Pada 29 Mac 1982, pasangan beregu Razif (19 tahun) dan Jalani (18 tahun) mencipta sejarah dengan memenangi pertandingan badminton berprestij All England yang sudah lama tidak dimenangi oleh Malaysia. Sejurus selepas itu IBF mengambil keputusan untuk mengharamkan terus Servis Sidek daripada digunakan dalam semua pertandingan badminton di seluruh dunia dengan alasan bahawa bulu tangkis dicipta untuk dipukul pada bahagian kepalanya dan bukan bulunya. Walaupun begitu, kejayaan adik beradik Sidek menjuarai satu demi satu pertandingan badminton antarabangsa selepas itu membuktikan kehandalan semulajadi mereka dalam sukan ini. Sekiranya Servis Sidek tidak diharamkan dulu, mungkinkah telah tercipta pula teknik pukulan balas yang tidak kurang hebatnya?

18 November 2010

Majalah APO? (1998)

Majalah APO? mempunyai sejarah penerbitan yang agak panjang, lebih kurang sama seperti sejarah penerbitan majalah Buletin Lubuk. Majalah APO? sepatutnya diterbitkan oleh Kharisma Publications tidak lama selepas mereka berjaya menghidupkan kembali Majalah Ujang pada bulan Ogos 1997. Kemungkinan besar pihak Kharisma Publications merasakan yang mereka tidak sepatutnya bergantung harapan kepada Majalah Ujang semata-mata berdasarkan masalah yang terjadi sebelum itu, atau sememangnya pihak penerbit itu telah bercadang untuk mengembangkan operasi penerbitan mereka dengan mewujudkan satu lagi majalah baru.

Nama APO? mula diperkenalkan dalam Majalah Ujang keluaran ke-78 (15 September 1997). "APO"? yang diberi maksud "Absolutely Pirate Organisation" sebenarnya merupakan komik bersiri lukisan kartunis Petai yang mengisahkan tentang pengembaraan para lanun di zaman silam. Komik APO? disiarkan sebanyak 15 siri dan berakhir dalam Majalah Ujang keluaran ke-92 (15 April 1998). Pada bulan Julai 1998, iklan mengenai penerbitan majalah APO? telah mula disiarkan pada kulit belakang Majalah Ujang.

Setelah menunggu begitu lama, akhirnya pada 1 Disember 1998 majalah APO? keluaran pertama berjaya diterbitkan oleh MOY Publications dengan harga pengenalan RM1.00 sahaja! Harga tersebut kekal untuk keluaran ke-2 dan ke-3. Mulai keluaran ke-4 harga sebenar majalah APO? telah ditetapkan sebanyak RM2.90. Majalah APO? pada mulanya diterbitkan secara bulanan. Setelah 4 keluaran berjaya diterbitkan, barulah majalah ini mula diterbitkan sebanyak dua kali dalam sebulan. Slogan majalah ini juga mengalami beberapa perubahan, di mana pada mulanya ia dikenali sebagai "Siri Pengembaraan ntah apo-apo ntah!", tetapi mulai keluaran ke-2 slogannya ditukar kepada "Majalah Komik Antara Benua". Mulai keluaran ke-8 sekali lagi slogannya ditukar kepada "Majalah Terbest Antara Benua", iaitu dengan menghapuskan perkataan Komik.

Konsep majalah APO? agak berbeza daripada Majalah Ujang, di mana majalah APO? lebih kepada persembahan komik yang boleh dikatakan hampir semuanya bersiri. Terdapat juga beberapa kartun semuka yang dinamakan Lawak APO? & Ntah Apo-Apo Ntah sebagai selingan di antara setiap komik bersiri. Komik utama dalam majalah APO? ini sudah tentulah yang berjudul APO? karya kartunis Petai seperti yang pernah disiarkan dalam Majalah Ujang sebelum itu, cuma siri APO? kali ini telah ditukar jalan ceritanya dengan mengekalkan watak-watak utama. Apa yang menariknya komik APO? ini ialah gaya lukisan kartunis Petai yang tersendiri, dengan watak manusia yang semuanya bersaiz kecil, serta banyak gambaran permandangan dan latar belakang yang agak terperinci. Sekiranya komik APO? dalam Majalah Ujang tidak berwarna, tetapi dalam majalah APO? ini komiknya berwarna dan menambahkan lagi daya tarikan terhadap komik APO? yang bergenre aksi komedi ini.

Selain komik APO?, majalah APO? ini juga menyiarkan komik-komik lain seperti Karma (karya Ah Liow), Leona & Kage (Ah Tuck), Kersani (Keladi), The Fist Element (Blue), Watcher (Rambai), Wong Pek Kong (Genesis), Uma (Adonis), Cinta Gadis Bunian (Sireh), Paranormal Joe (Nizam Bachok) dan Ranjau karya pelukis komik veteran terkenal Zoy. Selain komik, majalah APO? juga menyiarkan beberapa buah cerpen dan novel bersiri.


12 November 2010

Majalah Buletin Lubuk (1998)

Majalah Buletin Lubuk mula diterbitkan sebagai majalah tumpangan di dalam majalah Lanun keluaran ke-12 (1 Oktober 1997). Dengan kewujudan Buletin Lubuk secara sedemikian, telah menjadikan ketebalan majalah Lanun ketika itu bertambah sebanyak 48 muka surat lagi dan harganya juga bertambah sebanyak RM1.00 daripada harga asal RM3.90. Penerbitan Buletin Lubuk ketika itu tidak begitu konsisten kerana ada juga keluaran majalah Lanun yang tidak mengandungi Buletin Lubuk. Setelah lebih 10 keluaran Buletin Lubuk berjaya diterbitkan di dalam majalah Lanun, akhirnya pada 1 September 1998 (hampir setahun kemudian) Buletin Lubuk mula diterbitkan secara berasingan.

Majalah Buletin Lubuk yang diterbitkan setiap bulan ini menampilkan slogan "Menggeledah Khazanah Alam". Keluaran pertama majalah ini berharga RM4.50 dengan menggunakan kertas yang agak bermutu tinggi sebanyak 80 muka surat. Keistimewaan persembahan Buletin Lubuk dapat dilihat pada kulit depannya yang menampilkan lukisan yang begitu cantik pada setiap keluaran. Maskot majalah ini pula menampilkan gambar kartunis Ujang yang bertopi merah jenama Marlboro sedang memegang joran dan seekor ikan yang besarr punya. Seperti mana majalah Lanun, Buletin Lubuk juga diterbitkan oleh Multi Triple Vision Sdn Bhd yang diterajui oleh kartunis Ujang sebagai Pengarah Urusan. Setelah 8 keluaran berjaya diterbitkan, Buletin Lubuk tiba-tiba hilang daripada pasaran selama sebulan. Keluaran ke-9 Buletin Lubuk dan seterusnya diterbitkan oleh syarikat penerbitan lain iaitu Giant-Add Publishers Sdn Bhd.

Isi kandungan Buletin Lubuk adalah berteraskan kartun dan komik serta ruangan tulisan dan gambar yang kesemuanya mempunyai tema yang khusus berkaitan dengan aktiviti memancing. Terdapat banyak kartun semuka yang dinamakan Lawak Lubuk selain daripada beberapa kartun bersiri. Salah satu karya penarik dalam majalah ini ialah Siri Komik Lubuk yang ditulis ceritanya oleh kartunis Ujang dan dilukis dengan menarik oleh Hulubalang Lubuk. Siri Komik Lubuk menampilkan cerita yang berbeza dalam setiap keluaran tetapi semuanya berkaitan dengan pengalaman unik & misteri yang dialami oleh watak-watak kaki pancing. Ruangan tulisan pula menampikan rencana seperti berita aktiviti memancing, tips berguna serta ulasan lokasi pelancongan yang menarik.

03 November 2010

Koleksi Kartini (1998)

ISBN 983-2013-01-1
Cetakan Pertama 1998

Koleksi Kartini diterbitkan oleh Multi Triple Vision Sdn Bhd, iaitu penerbit majalah Varia Lawak & Lanun. Kartun bersiri Kartini mula disiarkan dalam majalah Varia Lawak keluaran ke-5 (15 Jun 1997) dan seterusnya bersambung ke dalam majalah Lanun. Kartun dalam genre drama komedi ini adalah berdasarkan kisah benar pengalaman hidup kartunis Tembakau, dan ia disiarkan sebanyak 16 siri dan berakhir dalam majalah Lanun keluaran ke-20 (15 Februari 1998)

Penerbitan buku Koleksi Kartini ini membuktikan kuatnya pengaruh dan populariti kartun ini, malah nama Kartini mampu menjadi ikon kepada watak kartun gadis bertudung yang sebelum itu tidak pernah diketengahkan secara meluas. Populariti watak Kartini tidak berhenti selepas terbitnya buku koleksi ini tetapi diteruskan dengan penerbitan kartun animasi Kartini (2004) dan kemudiannya buku komik Kartini Kembali (2006)

Dalam buku Koleksi Kartini ini, kartunis Tembakau telah menceritakan sedikit sejarah panjang kartun ini yang sebenarnya mula diilhamkan oleh beliau pada 1988! Kata Tembakau: "10 tahun dulu, aku berangan nak buat satu cerita tentang catatan sepanjang tempoh aku berkawan dengan Kartini. Aku dah kumpul cerita tu sampai 80 muka (lebih kurang). Tahun 1990, aku tunjuk artwork aku tu kat kartunis Aman. Dia kata cerita aku tu terlalu jujur (kena rejek le tu). Aku give-up nak buat kartun lagi"

Selain itu, kartunis Tembakau juga menunjukkan sedikit lukisan kartun Kartini versi asal yang telah disiapkannya pada 27 Oktober 1988, di mana terdapat tulisan tangan asal Kartini yang tercatat pada bahagian bawah lukisan tersebut, membuktikan bahawa watak Kartini sememangnya benar-benar wujud.

Secara ringkasnya, cerita Kartini adalah mengenai zaman remaja watak Yon (tingkatan 3) di sebuah sekolah asrama di negeri Perak pada tahun 1988 di mana dia berkenalan dengan seorang pelajar junior (tingkatan 1) bernama Kartini. Hubungan mereka terputus setelah Yon tamat peperiksaan SPM, dan 4 tahun kemudian Kartini muncul semula dalam hidup Yon, tetapi semuanya telah berubah termasuk penampilan Kartini yang begitu jauh berbeza.

Satu lagi kandungan eksklusif dalam buku Koleksi Kartini yang tidak ditunjukkan semasa terbitan dalam majalah Lanun ialah gambar sebenar Kartini ketika zaman persekolahan yang disiarkan pada muka surat akhir buku ini.

29 October 2010

Majalah Varia Lawak & Lanun (1997)

Majalah Varia Lawak pertama kali dikeluarkan pada 15 April 1997. Majalah ini adalah kesinambungan daripada Majalah Ujang yang dihentikan penerbitannya setelah keluaran ke-74 (1 Mac 1997). Penantian para pembaca dan peminat Majalah Ujang yang menunggu keluaran seterusnya pada 15 Mac & 1 April akhirnya terjawab pada 15 April 1997, tetapi bukan dengan kegembiraan sebaliknya dengan seribu pertanyaan pula, apabila yang hadir di pasaran bukanlah Majalah Ujang sebaliknya majalah Varia Lawak yang kelihatan begitu mirip sekali dengan Majalah Ujang, hinggakan bentuk dan warna perkataan Lawak pada muka depan majalah ini juga kelihatan sama seperti perkataan (atau jenama) UJANG sebelum itu. Apa yang pasti, majalah Varia Lawak menampilkan kartunis Ujang.

Setelah membelek-belek muka depan majalah Varia Lawak, senarai kartunis dan warga kerja, serta isi kandungan di dalamnya, ternyata majalah ini adalah kelahiran semula Majalah Ujang, tetapi dengan menggunakan nama lain sahaja, iaitu nama ruangan hiburan (Varia Lawak) dalam muka tengah Majalah Ujang dahulu. Hampir semua kartun dan ruangan yang sebelum ini disiarkan dalam Majalah Ujang terdapat dalam keluaran pertama majalah Varia Lawak, kecuali dengan sedikit perubahan. Antara perubahannya ialah tiada lagi kartun semuka bernama Lawak Antarabangsa, ruangan Hoi Din Beramboi pula dinamakan sebagai Assalamualaikum Pak Din, manakala ruangan Editorial pula menjadi Tazkirah. Agak menarik juga apabila melihat iklan buku cerita Usop Sontorian yang sebelum ini pernah disiarkan dalam Majalah Ujang, tetapi dalam majalah Varia Lawak ini buku tersebut ditukar nama menjadi Usop Mersing! Daripada situ, pandangan awal pembaca dapat menduga bahawa kartunis Ujang ketika itu sedang berhadapan dengan masalah hakcipta.

Dalam ruangan Buletin Beramboi (nama yang sama seperti dalam Majalah Ujang), disiarkan berita pendek yang bertajuk "Ujang berpisah dengan Kharisma", disertai dengan gambar kartunis Ujang sedang merenung nasibnya di hadapan setimbun Majalah Ujang keluaran terakhir. Berita tersebut cuma menyatakan bahawa kartunis Ujang telah "menubuhkan syarikat penerbitannya sendiri iaitu Multi-Triple Vision Sdn Bhd", dan Varia Lawak adalah "majalah lama yang diberi nafas baru". Tiada penjelasan lanjut mengenai apa yang sebenarnya terjadi dengan Majalah Ujang.

Dalam keluaran ke-2 majalah Varia Lawak, ruangan Buletin Beramboi menyatakan: "Segala unsur-unsur syirik, takbur dan riak akan cuba disingkirkan dari majalah ini", "Diharapkan cita-cita murni ini dapat dilaksanakan demi menguatkan lagi kecintaan masyarakat kepada Islam". Selain itu terdapat poster kecil dengan lukisan gambar kumpulan nasyid Raihan yang bertajuk "Bersama Bangkitkan Syiar Islam". Ketika itu ramai pembaca sudah mula menyedari arah tuju majalah Varia Lawak yang banyak menyiarkan kartun dan isi kandungan yang berteraskan ajaran Islam dan pada masa yang sama mengurangkan unsur-unsur yang tidak baik dalam penyampaian humor.

Dalam keluaran ke-4 majalah Varia Lawak, terdapat kartun 6 muka surat yang bertajuk "Haaa? Ujang Dah Resign?!" lukisan kartunis Duku. Kartun tersebut menceritakan suasana di pejabat urusan Majalah Ujang ketika kartunis Ujang menghilangkan diri dan sudah beberapa hari tidak hadir ke pejabat. Khabar angin di kalangan kartunis dalam cerita itu mengatakan bahawa kartunis Ujang sudah meletakkan jawatan. Oleh kerana ketiadaan ketua yang boleh meluluskan bayaran claim mereka, ditunjukkan beberapa kartunis pergi untuk menjual kartun mereka kepada sebuah syarikat penerbitan di mana mereka semua terkejut apabila mendapati kartunis Ujang adalah pemilik syarikat baru tersebut. Di hujung kartun tersebut, kartunis Duku menulis: "Hidup Ujang! Eh, hidup Ibrahim Anon!!"

Selepas keluaran ke-4 majalah Varia Lawak, perubahan besar terjadi pada barisan kartunis yang menerajui majalah ini, di mana nama-nama seperti Gayour, Nik, Petai, Bawang, Ubi, Kobis Bunga, Keladi, Bacang, Padi & Manggis telah hilang daripada senarai nama kartunis, lantas menambahkan lagi misteri kepada kewujudan majalah Varia Lawak ini ketika itu.

Kartun bersiri paling popular dalam majalah Varia Lawak bertajuk Kartini, yang mula disiarkan dalam keluaran ke-5. Kartun drama komedi berdasarkan kisah benar karya kartunis Tembakau itu terus mencipta sejarahnya yang tersendiri dalam masa beberapa tahun selepas itu. Majalah Varia Lawak keluaran ke-7 (15 Julai 1997) merupakan keluaran terakhir, di mana pada muka belakangnya terdapat iklan majalah Lanun yang dikatakan "Akan Terbit!"

Setelah berakhirnya terbitan majalah Varia Lawak, muncul pula majalah Lanun pada 1 Ogos 1997 yang menggunakan slogan "Rekreasi Minda Anda!". Melihatkan nombor keluaran ke-8 yang tercetak pada muka depan majalah ini, dapatlah difahami bahawa Lanun bukanlah sebuah lagi majalah baru tetapi sekadar menukar nama dengan mengekalkan isi kandungan seperti keluaran majalah Varia Lawak sebelum itu, malah bentuk dan warna perkataan LANUN juga sama seperti Varia LAWAK. Satu perbezaan yang dapat dilihat ialah perubahan nama ruangan Assalamualaikum Pak Din yang ditukar menjadi Assalamulaikum Ujang.

Kehadiran majalah Lanun ini bersamaan tarikh dengan kemunculan semula Majalah Ujang keluaran ke-75, iaitu keluaran yang telah tergendala selama 5 bulan.

Pada keluaran ke-12 (1 Oktober 1997), majalah Lanun diterbitkan dalam edisi khas, iaitu berkembar sekali dengan majalah Buletin Lubuk. Sebelum itu, Buletin Lubuk merupakan ruangan berita aktiviti memancing yang disiarkan sejak daripada keluaran majalah Varia Lawak lagi. Uniknya majalah Buletin Lubuk ialah kerana semua kartun yang disiarkan mempunyai tema yang sama iaitu berkaitan dengan aktiviti memancing. Majalah tumpangan Buletin Lubuk akhirnya diterbitkan sebagai sebuah majalah yang berasingan pada 1 September 1998.

Pada keluaran ke-25 (1 Mei 1998), majalah Lanun telah menghentikan terus penggunaan maskot dan nama Din Beramboi atau Pak Din, satu tindakan yang dipercayai ada kaitannya dengan masalah hakcipta juga.

22 October 2010

Majalah Boom! (1995)

Majalah Boom! pertama kali dikeluarkan pada 1 Julai 1995. Majalah bulanan bersaiz komik antarabangsa ini berharga RM2.80, dan ia dipercayai muncul setelah melihat kejayaan Majalah Ujang pada 1994. Pada muka depan Boom! keluaran pertama, terdapat logo bulat yang tertera nama Ahadiat Akashah, yang merupakan penerbit majalah ini. Ahadiah Akashah yang merupakan seorang novelis terkenal juga pernah muncul sebagai penulis undangan dalam beberapa keluaran awal Majalah Ujang.

Majalah Boom! menampilkan beberapa orang kartunis baru yang tidak terkenal. Boleh dikatakan persembahan majalah ini tidaklah begitu menarik dengan ruangan yang bercampur aduk dan tidak tersusun rapi. Selain mengandungi kartun humor biasa yang semuanya kelihatan sangat amatur, terdapat juga ruangan penulisan yang turut menampilkan Ahadiat Akashah dengan cerpen Balak Cun dan Streets Kid. Aznil Nawawi yang bertindak sebagai Co-Editor juga disenaraikan sebagai salah seorang penulis.

Seorang lagi penulis yang terlibat dalam majalah ini ialah Mior Ahmad, atau lebih dikenali hari ini sebagai Din Beramboi. Dalam majalah ini Mior menulis untuk watak yang bernama Che' Din The Original. Dalam ruangan Panas! Panas! Panas!, Che' Din telah menceritakan serba sedikit tentang perebutan nama dan watak Din Beramboi yang sebenarnya telah dicipta oleh Mior Ahmad sendiri sebelum ia diciplak oleh Majalah Ujang. Che' Din menulis dalam loghat daerah, kata beliau:

"Satu ketiko dulu, kalau ado yang ingek, pornah tak dongar kaset tentang kisah seorang tuo: Ha... pak cik dulu tinggal Kedah. Lepas tu pak cik beli bas mini duo, pak cik niagokan. Pak cik niago, niago, niago, lepas tu entah macam mano, pak cik kayo tau! Kayo sangat pak cik!!"

(Nota: kaset tersebut telah tersebar di kalangan orang ramai sebelum kewujudan Majalah Ujang)

Meneruskan ceritanya, Che' Din memberitahu, "Sobonar eh, tak do siapo yang gilo. Tak do lah pak cik sampai pakai selipor kek botis. Populariti kaset tu kalau nak diikuitkan, tersebar ke seluruh Malaysia. Lopeh tu, adolah berbagai-bagai pihak yang mengaku dio punya. Yang paling sodih, watak pak cik dijadikan watak utamo dalam sebuah majalah humur. Kalau iyo pun nak pakai watak tu, berbincanglah caro elok. Macam R.A.P (Roslan Aziz Production) tu, sanggup cari pak cik mintak kebonaran nak potik sebahagian isi kaset untuk lagu Zainal Abidin. Takkan lah ponorbit majalah tu tak bolu buat macam tu. Abih segalo idea, caro pak cik borcakap dalam kaset tu diciplak dan digunakan sewenang-wenangnyo"

Perjuangan Mior Ahmad (Din Beramboi / Che' Din The Original) untuk menuntut hakcipta sepenuhnya ke atas nama watak rekaannya itu akhirnya berjaya, dan Majalah Ujang telah tidak lagi menggunakan nama Din Beramboi mulai penghujung 1997, manakala majalah Lanun pula menghentikan penggunaan nama Din Beramboi mulai pertengahan 1998. Namun begitu nasib majalah Boom! sama seperti banyak lagi majalah kartun lain yang kurang identiti tersendiri, di mana majalah ini juga tidak dapat bertahan lama dalam pasaran.

15 October 2010

Koleksi Abe (1995)

ISBN 983-050-001-2
Cetakan Pertama 1995

Kartun bersiri Abe yang mula disiarkan dalam Majalah Ujang keluaran pertama (1 Januari 1994) merupakan sebuah cerita hasil karya kartunis Ujang dan dilukis oleh seorang kartunis baru berbakat besar iaitu Aie. Kartun bersiri Abe yang bergenre drama komedi ini disiarkan sebanyak 33 siri dan berakhir dalam Majalah Ujang keluaran ke-37 (15 Ogos 1995). Tidak lama kemudian Kharisma Publications telah mengeluarkan buku koleksi kartun bersiri Abe, lantas membuktikan betapa popularnya kartun Abe ini ketika itu.

Buku koleksi Abe ini dimulakan dengan Kata Pengantar oleh kartunis Ujang, merangkap penulis cerita Abe. Tulisan satu muka surat kartunis Ujang itu mengalu-alukan kehadiran kartunis Aie dalam arena kartun tempatan. Kata kartunis Ujang, "aku dianugerahkan seorang insan yang amat istimewa pada pengamatanku. Seorang kartunis yang bakal mencipta nama sebaris dengan mereka yang telah ternama", "Lukisannya begitu matang dan meyakinkan", "kartunis muda yang bakal menyambung perjuanganku!", "BRAVO untuk kartunis Aie...!"

Cerita Abe ini mengisahkan tentang seorang kanak-kanak terencat akal, atau lebih sedap disebut insan istimewa, yang digelar Abe, yang mengalami liku-liku hidup suka dan duka semasa tinggal di sebuah kampung. Siri pertama Abe dimulakan dengan sebaris tulisan, "Berdasarkan daripada kisah benar yang telah ditokok tambah dan diolah sehingga menjadi karut. Sebuah cerita yang pasti akan mengganggu jiwa anda, yang pasti menyentuh naluri kemanusiaan anda"

Dalam beberapa siri awal Abe kita dapat melihat gaya lukisan kartunis Aie yang baru hendak mencipta identitinya. Lukisan Aie ketika itu masih kelihatan ringkas dan kurang 'hidup', tetapi lama kelamaan di sepanjang cerita Abe ini, dapat dilihat lukisan beliau semakin menunjukkan kematangan dan nampak lebih terperinci, contohnya seperti gambaran yang menampakkan banyak bayang-bayang, begitu juga dengan sudut gambaran dan pandangan yang lebih pelbagai tidak seperti dalam siri-siri awal Abe. Lukisan terakhir dalam buku koleksi Abe ini menunjukkan gambaran dari atas sebuah kampung dan pekan kecil.

Satu perbezaan di antara kartun bersiri Abe yang disiarkan dalam Majalah Ujang dengan buku koleksi Abe ini ialah di bahagian permulaan dan penutupnya. Sebelum siri pertama Abe dalam buku ini dimulakan, terdapat tulisan Prolog sebanyak 5 muka surat. Prolog itu memberi pengenalan kepada pembaca mengenai watak-watak dan lokasi cerita yang akan ditunjukkan dalam bentuk kartun nanti. Prolog itu juga memberi penjelasan tentang imej pertama Abe yang ditunjukkan sedang berjalan dan bersiul, yang mungkin tidak diketahui oleh pembaca tentang asal usulnya dari mana hendak ke mana. Manakala pada bahagian penutup selepas siri terakhir Abe juga terdapat tulisan sebanyak 3 muka surat yang menjelaskan beberapa lagi perkara bagi lebih mengukuhkan penutup kepada cerita Abe ini.

"Air matanya telah lama kering. Tuhan itu sesungguhnya maha adil"

08 October 2010

Majalah Ujang (1994)

Majalah Ujang pertama kali dikeluarkan pada 1 Januari 1994. Majalah kartun dan humor ini pada mulanya dikeluarkan hanya sekali dalam sebulan. Setelah 4 keluaran bulanan berjaya diterbitkan dan mendapat sambutan hebat, majalah Ujang mula dikeluarkan sebanyak 2 kali dalam sebulan pula. Majalah Ujang merupakan kesinambungan daripada kejayaan beberapa buah majalah kartun tempatan lain yang dipelopori dalam dekad 1970-an dan 1980-an, seperti majalah Gila-Gila, Gelihati dan Batu Api. Majalah Ujang menggunakan nama salah seorang kartunis tempatan paling terkenal iaitu Ujang. Kartunis Ujang mula terkenal ketika beliau berkarya dalam majalah Gila-Gila di mana beliau mencipta fenomenanya yang tersendiri ketika itu (dekad 1980-an) dengan menghasilkan beberapa karya popular seperti Aku Budak Minang, Aca, Atuk, Intelligent Blues Club dan Jibam. Keinginan kartunis Ujang untuk mencurahkan sepenuh ideanya dalam penerbitan majalah Gila-Gila pada awal dekad 1990-an tidak kesampaian lantas memaksa beliau menubuhkan Kharisma Publications Sdn Bhd pada 12 Oktober 1993 bagi menerbitkan Majalah Ujang.

Dalam ruangan editorial Majalah Ujang keluaran ke-5 (15 April 1994) seperti dalam gambar di atas, kartunis Ujang menulis: "Mula-mula aku handle produksi satu majalah humor sebelum UJANG ini, aku cuba menjadikannya majalah yang terkelakar dan menghiburkan. Tetapi mendapat tentangan dari editor dan pihak atasan dengan alasan konsep dan format yang aku buat tu nampak bodoh. Kononnya kita mesti nampak elit, kita mesti carry moral, mesti ada unsur-unsur educational dan macam-macam lagi. Merapu-merapu ni tak main, malu pada golongan cerdik-pandai. Maka sering le berselisih sehingga aku naik boring. Maka aku pun angkat kaki dan menerbitkan sendiri majalah yang benar-benar memberi kepuasan kepada diri aku sendiri dan pembaca semua. Tapi sejak akhir-akhir ni, aku tengok majalah tu pun dah berubah mengikut rentak UJANG dan begitu juga majalah-majalah humor lain. Kita dah boleh jumpa Pujaan Sirap (lagu-lagu merapu) di dalam majalah dia orang, kita dah boleh tengok pantun-pantun gila dalam column dia orang dan banyak lagi. Secara tak langsung dia orang telah mengiktirafkan UJANG sebagai market-leader"

Majalah Ujang pada mulanya berharga RM2.20 dan menggunakan slogan "Majalah Lawak Antarabangsa", manakala maskot majalah ini ialah watak lelaki kurang siuman yang dinamakan Din Beramboi. Selain watak Din Beramboi, Majalah Ujang juga terkenal dengan kartun bersiri Abe (karya Ujang, lukisan Aie) & Bersama Selamanya (karya & lukisan Gayour), dan juga novel bersiri Aku Hidup Dalam Blues (tulisan Toyon). Bahagian tengah Majalah Ujang yang dinamakan Varia Lawak menampilkan ruangan humor berkaitan dunia hiburan tempatan dan antarabangsa, serta pelbagai ruangan penulisan kreatif. Beberapa keluaran awal Majalah Ujang juga menampilkan penulis undangan seperti Ahadiat Akashah & Ras Adiba Radzi.

Dalam tempoh 3 tahun pertama kewujudan Majalah Ujang, tidak dapat dinafikan bahawa majalah ini berjaya menempa nama sebagai majalah kartun tempatan paling popular. Pelbagai barangan koleksi cenderamata Din Beramboi telah dihasilkan, termasuk 2 buah rakaman album komedi dalam bentuk kaset yang berjudul Radio 9 (1994) dan Live In Seremban (1995). Selain itu buku-buku kompilasi kartun Abe (1995) dan Bersama Selamanya Vol.1 (1996) juga turut diterbitkan. Malah watak kartun Usop Sontorian karya kartunis Ujang juga berjaya dihasilkan dalam bentuk animasi bersiri pada 1994 dan disiarkan oleh stesen TV tempatan tidak lama kemudian. Pada 1996 Kharisma Publications mula menerbitkan majalah Usop Sontorian khas untuk pembaca kanak-kanak dan pengikut siri TVnya. Dalam Majalah Ujang keluaran ke-70 (1 Januari 1997) sempena ulangtahun ke-3, ruangan Buletin Beramboi melaporkan bahawa Majalah Ujang berjaya mengekalkan jualan tertinggi sebanyak 360,000 naskah sebulan!

Di sebalik kejayaan yang dicapai, tanpa disangka-sangka oleh ribuan para peminat dan pembaca, Majalah Ujang keluaran ke-74 (1 Mac 1997) adalah merupakan keluaran terakhir Majalah Ujang! Selama 5 bulan berikutnya, Majalah Ujang 'hilang' daripada pasaran tanpa sebab yang pasti. Situasi tersebut menimbulkan keresahan dan tanda tanya di kalangan para peminat kartun tempatan. Tambahan pula ketika itu muncul sebuah majalah kartun lain yang hampir serupa dengan Majalah Ujang tetapi menggunakan nama Varia Lawak! (nama yang sama seperti segmen hiburan dalam bahagian tengah Majalah Ujang)

Akhirnya pada 1 Ogos 1997, Majalah Ujang kembali diterbitkan dengan keluaran yang ke-75, tetapi dengan beberapa perubahan, terutama sekali yang paling ketara ialah ketiadaan kartunis Ujang di dalam majalah yang menggunakan namanya sendiri! Selain itu novel bersiri Aku Hidup Dalam Blues juga dihentikan penyiarannya dengan tanpa kesudahan. Tiga bulan kemudian, Majalah Ujang telah menghentikan penggunaan nama maskotnya iaitu Din Beramboi, lalu digantikan dengan nama Pak Cik Din (maskot masih sama). Maka, bermulalah era baru Majalah "Ujang"

Mulai 1 Mac 1998, Majalah Ujang tidak lagi diterbitkan oleh Kharisma Publications apabila Pengarah Urusan yang baru iaitu Md. Othman Yusof (MOY) menukarkan nama syarikat penerbitan itu kepada nama MOY Publications Sdn Bhd.

Iklan keluaran pertama Majalah Ujang dalam surat khabar pada awal Januari 1994:

Utusan Malaysia (kiri) & Harian Metro (kanan)

01 October 2010

Majalah Mangga (1995)

Majalah Mangga diterbitkan oleh Utusan Melayu (M) Berhad mulai April 1995. Ketika itu konsep dan kandungan Mangga bukanlah seperti yang dikenali umum ketika ini. Majalah bulanan bersaiz kecil setebal lebih kurang 80 mukasurat ini pada mulanya menampilkan slogan Bukan Sebarang Komik. Ya, komik. Kerana itulah nama majalah ini tidak menjurus kepada dunia hiburan, muzik atau filem, sebaliknya nama yang lebih umum dan sedikit keanak-anakan.

Kandungan Mangga pada mulanya adalah gabungan separuh kartun dan komik, dan separuh lagi kisah dunia hiburan tempatan. Dengan itu muka depannya juga menampilkan gabungan lukisan (kartun atau karikatur) dan gambar-gambar artis pada masa yang sama. Kartun yang disiarkan di bahagian dalam juga kadang-kadang menyentuh isu semasa, dunia politik dan sukan, selain kartun komedi yang biasa dilihat. Terdapat juga beberapa ruangan komik bersiri yang bergenre drama, dan bukan komedi. Ruangan hiburannya pula seperti majalah hiburan lain, memaparkan kisah peribadi artis, dan sedikit publisiti album serta filem terbaru. Pengarang utama Mangga ketika itu seperti ramai yang telah tahu ialah Juwie.

Hasil gabungan komik, kartun, dan dunia hiburan dalam kandungan Mangga ketika itu telah mendapat perhatian begitu ramai serta pelbagai golongan pembaca. Pada keluaran ke-8 (tidak sampai setahun diterbitkan) seperti yang ditunjukkan dalam gambar di atas, Juwie mengumumkan bahawa Mangga ketika itu telah mencecah edaran sebanyak 75,000 naskah sebulan. Dalam tahun 1997 (setelah lebih 2 tahun diterbitkan) muka depan Mangga dengan bangganya mencetak bahawa jumlah edarannya telah mencecah lebih 200,000 naskah sebulan! Dalam tahun 1998 pula terdapat label 'Lebih 1 juta pembaca' pada muka depan Mangga. Tidak lama kemudian bilangan mukasuratnya juga ditambah kepada lebih 100 mukasurat, di mana iklan para penaja berselang seli disiarkan dengan banyaknya.

Kemudian secara perlahan-lahan juga dapat dilihat pengurangan dalam penyiaran kartun dan komik yang menjadi tunjang awal kandungan Mangga, malah kadang-kadang tiada langsung gambaran komik pada muka depannya walaupun masih menggunakan slogan Bukan Sebarang Komik. Ruangan komik di bahagian dalam juga yang pada awalnya menggunakan lebih 40 mukasurat telah dikurangkan menjadi tidak sampai 10 mukasurat dan kian hari semakin berkurangan. Akhirnya dalam tahun 2002 (setelah 7 tahun diterbitkan) slogan majalah Mangga telah ditukar kepada Bukan Sebarang Hiburan.

Seperti yang diketahui umum ketika ini, majalah Mangga lebih dikenali sebagai sebuah majalah hiburan bahasa Melayu yang masih mengekalkan sesi fotografi di sekitar kolam renang mahupun kawasan sejenis dengannya seperti taman air, pantai, dan sebagainya. Sebelum kewujudan Mangga, telah banyak majalah hiburan lain yang mengambil pendekatan yang serupa, lihat sahaja majalah lama VariaPop, Media Hiburan, Pesta dan beberapa lagi yang terkenal dalam dekad 1980-an dan 1990-an, semuanya tidak lekang daripada sesi fotografi sebegitu. Namun kini majalah hiburan bersaiz besar tersebut sama ada telah tidak diterbitkan atau tidak lagi menerbitkan fotografi sedemikian rupa. Oleh itu yang kekal menerbitkan fotografi sekitar kolam renang sekarang cumalah majalah Mangga.

Kekerapan penyiaran gambar sekitar kolam renang dalam majalah Mangga kemudiannya mula disedari oleh orang ramai yang tidak gemarkan paparan sebegitu, tapi entah kenapa mereka sering saja mendapat peluang sama ada sengaja atau tidak untuk melihat gambar-gambar sedemikian. Mungkin atas hasil rungutan atau teguran golongan tersebut, maka dalam tahun 2005 muncullah slogan 'Berenang Untuk Kesihatan' atau 'Berenang Menyihatkan Badan' bagi menghiasi ruangan yang melibatkan fotografi sekitar kolam renang. Slogan tersebut dipelopori oleh gambar para peserta rancangan Akademi Fantasia 2.

Slogan 'Berenang Untuk Kesihatan' juga seakan menjadi penggalak kepada lebih banyak penyiaran gambar-gambar sedemikian rupa. Sekiranya dulu lebih banyak model yang bergambar di tepian kolam renang sahaja, kini banyak juga model yang disuruh menampilkan aksi seperti berenang di dalam kolam renang untuk menjadikan foto mereka selari dengan slogan tersebut.

Setelah lebih 10 tahun diterbitkan, akhirnya dalam tahun 2007 Juwie meninggalkan jawatan Pengarang majalah Mangga.


Osama Bin Laden pernah menghiasi muka depan Mangga keluaran November 2001. Gambar pin-up dan biodata beliau turut disiarkan di bahagian dalam.

Variasi poster muka tengah Mangga:

Keluaran Jun 2007 (kiri) & Julai 2007 (kanan)

17 September 2010

Majalah Rileks! (1997)

Keluaran pertama majalah Rileks! diterbitkan pada 1 Mei 1997 dengan harga pengenalan RM4.90, dan mulai keluaran kedua harganya dikurangkan menjadi RM4.50. Rileks! adalah sebuah lagi majalah kartun tempatan yang muncul dalam dekad 1990-an setelah kejayaan besar Majalah Ujang sejak 1994. Rileks! menggunakan slogan "Majalah Syok Masa Depan, Kebanggaan Rakyat Malaysia", dan tidak lama kemudian turut meletakkan label "Majalah kartun tempatan paling berkualiti" pada muka depannya. Muka depan Rileks! biasanya menampilkan karikatur artis tempatan, di mana pada keluaran pertama ini menampilkan kumpulan KRU. Artis-artis lain yang pernah di-karikatur-kan pada muka depan Rileks! ialah seperti Farra, Ziana Zain, Ning Baizura, Amy Search, Awie, Siti Nurhaliza, Erra Fazira, M. Nasir, kumpulan Slam, A To Z dan sebagainya.

Majalah Rileks! diterbitkan oleh Tatsun Publishing Sdn Bhd. Dalam keluaran pertama, ketua editornya iaitu Mr. Rileks telah menulis bahawa "Rileks adalah satu-satunya majalah humor tempatan bahasa Melayu yang mendapat pembiayaan tertinggi, berkualiti dan bertaraf antarabangsa". Pelukis atau ilustrator yang terlibat dalam majalah ini menggunakan nama pena seperti Uranus, Pluto, Musytari, Mars, Zuhal J.C, Utarid K.C, Neptun C.F, Spencer, W.S, S.C, Roy dan Rodin. Manakala maskot rasmi Rileks! pula ialah se'ekor' makhluk asing atau alien.

Isi kandungan Rileks! boleh dikatakan sama seperti majalah kartun lain, terdapat ruangan surat pembaca, kartun semuka, cerpen lucu, komik bersiri, dan tidak ketinggalan ruangan khas berkaitan artis dan dunia hiburan yang terletak di bahagian tengah yang dinamakan Mega Rileks! Antara isi kandungan yang menarik perhatian dalam setiap keluaran ialah paparan poster muka tengah yang menampilkan wajah artis/penyanyi dalam bentuk ilustrasi, grafik komputer, atau pun karikatur. Selain itu tumpuan utama pembaca ialah kepada komik bersiri yang berjudul 2020, yang berkisar kepada kehidupan di Malaysia pada zaman akan datang yang serba berteknologi tinggi. Dalam episod pertama, komik 2020 telah disiarkan sebanyak 35 muka surat penuh. Komik lain yang disiarkan dalam Rileks! bertajuk Deen Sabotaj dan Lagenda Kuasa.

Pada keluaran ke-10 (1 Februari 1998), harga majalah ini telah dinaikkan kepada RM4.90, dan selepas itu kualiti kertasnya juga telah dikurangkan. Dalam keluaran ke-15 (1 Julai 1998), Mr. Rileks menulis dalam kolumnya, "Bukan menggulung tikar. Tapi hanya rileks untuk sementara. Setahun... barangkali dua tahun...! Yang pasti bila kekalutan ekonomi reda... kami gerenti kembali!", "Walau pun kami tidak dapat menemani anda lagi mulai bulan depan, apa yang kami harap... anda tetap sokong barangan buatan Malaysia"

Poster Ilustrasi Siti Nurhaliza
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...