17 September 2010

Majalah Rileks! (1997)

Keluaran pertama majalah Rileks! diterbitkan pada 1 Mei 1997 dengan harga pengenalan RM4.90, dan mulai keluaran kedua harganya dikurangkan menjadi RM4.50. Rileks! adalah sebuah lagi majalah kartun tempatan yang muncul dalam dekad 1990-an setelah kejayaan besar Majalah Ujang sejak 1994. Rileks! menggunakan slogan "Majalah Syok Masa Depan, Kebanggaan Rakyat Malaysia", dan tidak lama kemudian turut meletakkan label "Majalah kartun tempatan paling berkualiti" pada muka depannya. Muka depan Rileks! biasanya menampilkan karikatur artis tempatan, di mana pada keluaran pertama ini menampilkan kumpulan KRU. Artis-artis lain yang pernah di-karikatur-kan pada muka depan Rileks! ialah seperti Farra, Ziana Zain, Ning Baizura, Amy Search, Awie, Siti Nurhaliza, Erra Fazira, M. Nasir, kumpulan Slam, A To Z dan sebagainya.

Majalah Rileks! diterbitkan oleh Tatsun Publishing Sdn Bhd. Dalam keluaran pertama, ketua editornya iaitu Mr. Rileks telah menulis bahawa "Rileks adalah satu-satunya majalah humor tempatan bahasa Melayu yang mendapat pembiayaan tertinggi, berkualiti dan bertaraf antarabangsa". Pelukis atau ilustrator yang terlibat dalam majalah ini menggunakan nama pena seperti Uranus, Pluto, Musytari, Mars, Zuhal J.C, Utarid K.C, Neptun C.F, Spencer, W.S, S.C, Roy dan Rodin. Manakala maskot rasmi Rileks! pula ialah se'ekor' makhluk asing atau alien.

Isi kandungan Rileks! boleh dikatakan sama seperti majalah kartun lain, terdapat ruangan surat pembaca, kartun semuka, cerpen lucu, komik bersiri, dan tidak ketinggalan ruangan khas berkaitan artis dan dunia hiburan yang terletak di bahagian tengah yang dinamakan Mega Rileks! Antara isi kandungan yang menarik perhatian dalam setiap keluaran ialah paparan poster muka tengah yang menampilkan wajah artis/penyanyi dalam bentuk ilustrasi, grafik komputer, atau pun karikatur. Selain itu tumpuan utama pembaca ialah kepada komik bersiri yang berjudul 2020, yang berkisar kepada kehidupan di Malaysia pada zaman akan datang yang serba berteknologi tinggi. Dalam episod pertama, komik 2020 telah disiarkan sebanyak 35 muka surat penuh. Komik lain yang disiarkan dalam Rileks! bertajuk Deen Sabotaj dan Lagenda Kuasa.

Pada keluaran ke-10 (1 Februari 1998), harga majalah ini telah dinaikkan kepada RM4.90, dan selepas itu kualiti kertasnya juga telah dikurangkan. Dalam keluaran ke-15 (1 Julai 1998), Mr. Rileks menulis dalam kolumnya, "Bukan menggulung tikar. Tapi hanya rileks untuk sementara. Setahun... barangkali dua tahun...! Yang pasti bila kekalutan ekonomi reda... kami gerenti kembali!", "Walau pun kami tidak dapat menemani anda lagi mulai bulan depan, apa yang kami harap... anda tetap sokong barangan buatan Malaysia"

Poster Ilustrasi Siti Nurhaliza

6 comments:

Amin Khalip said...

nak tanya la ! ada tak majalah nie dalam simpanan empunya blog nie. nak la tgk citer WAWASAN 2020. pasal budak 3 orang tu. tak tau ending dia mcm mana.. huhu.. cool sangat majalah nie.. tapi sayang dah tak ada.... huhu~

Mohd "Yob" Aidil Jamaludin said...

Wawasan 2020 tergantung ceritanya di episod ke 15 kerana itu merupakan edisi terakhir majalah rileks! dipasaran.. hingga kini.. :(

razzwey said...

saya masih menyimpan kesemua edisi majalah rileks! simpan kat kampung...

amin khalip said...

oh ye ke.. maknanya. kita tak tau apa yang jadi pada ketika itu.. aduh sedeh tul. cerita tu cukup2 membanggakan.. mmg futuristik abis. kalo jadi animation movie. mmt TERBAIK!. boleh tak minta pada tuan punya blog. scan kan sedikit gambar untuk citer 2020 tu. nak tgk la.. huhu..

Anonymous said...

yelah masa tu saya sanggup beli rileks ni walaupun lg mahal sbb kartun tu...mmg xde kt mana2 komik lain lah..mmg gempak

Daniel Hyicarl said...

awk ade lg x majalah tu?nk jual x? sy sanggup beli berapa harga yg awk bg...whatsaaps 01139900342

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...