Showing posts with label 1980-an. Show all posts
Showing posts with label 1980-an. Show all posts

20 April 2014

Lagu Yasmin Yusuf diharamkan oleh RTM (1981)

15 Julai 1981
Miss Malaysia-Universe 1978, Yasmin Yusuf, ialah seorang penyanyi yang pernah mengeluarkan album pertama pada 1979. Yasmin berjaya mengeluarkan album keduanya yang berjudul Harapan pada 1981.

Album tersebut telah menimbulkan kontroversi melalui sebuah lagu yang berjudul "Goyang Goyang, Dansa Bersama", di mana lagu itu telah diharamkan oleh stesen penyiaran Radio & Televisyen Malaysia (RTM) kerana dikatakan "melanggar kesopanan dan tata kesusilaan masyarakat Melayu".

Pihak RTM menjelaskan, "Perkataan dalam lagu Goyang-Goyang itu mempunyai unsur-unsur yang kurang sopan didengar dan telah melanggar garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri. Oleh itu pihak RTM tidak teragak-agak mengambil langkah positif untuk mengharamkan lagu itu dari siaran melalui radio dan televisyen".

Namun begitu, lagu "Goyang Goyang, Dansa Bersama" diluluskan untuk siaran di Singapura. Lagu itu dicipta oleh Karim Iskandar dan senikatanya ditulis oleh A. Husaini Ajmain.

* Lagu "Goyang Goyang, Dansa Bersama" tidak dijumpai dalam internet & senikatanya tidak dapat disiarkan buat masa ini. Sekiranya sesiapa ingin berkongsi pautan lagu itu atau senikatanya, sila tinggalkan komen.

04 April 2014

Miss Malaysia - Puspa Mohd Salleh (1987)

Puspa Mohd Salleh ialah pemenang pertandingan ratu cantik Miss Malaysia-Universe pada 1983. Di bawah ini ialah gambarnya pada 1987. Ketika itu Puspa bekerja di sebuah firma guaman (jawatannya tidak dinyatakan), dan sebelum itu dia pernah muncul seketika dalam arena hiburan tempatan dengan berlakon dalam siri televisyen popular, Opah.


Puspa mewakili Malaysia dalam pertandingan Miss Universe yang diadakan di Amerika Syarikat pada 11 Julai 1983. Namun, dia tidak berjaya memenangi sebarang kategori.

12 January 2014

Feri Malaysia (1986)

Feri Malaysia ialah jenama sebuah kapal penumpang yang pernah wujud di Malaysia pada era 1980-an. Nama rasmi kapal tersebut yang didaftarkan di Pelabuhan Klang, Selangor, ialah Cruise Muhibah.


Idea penciptaan Feri Malaysia dicadangkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dr. Mahathir Mohamad, pada 1982, iaitu lebih kurang setahun selepas beliau memegang jawatan tersebut. Matlamatnya ialah supaya wujud satu khidmat pengangkutan alternatif bagi "merapatkan hubungan antara penduduk Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak", dan idea itu adalah berdasarkan kepada "kejayaan perkhidmatan feri di negeri-negeri Scandinavia antara Finland, Norway dan Denmark".


Jabatan Perdana Menteri kemudian memilih syarikat perkapalan Perbadanan Nasional Shipping Line Berhad (PNSL) bagi membuat kajian bagaimana idea projek pengangkutan alternatif itu dapat dilaksanakan. Setelah dibuat kajian dan perancangan rapi, pada Jun 1984 PNSL menubuhkan anak syarikatnya yang bernama Syarikat Feri Malaysia Sdn Bhd, bagi melaksanakan projek tersebut. Seorang pakar dari Eropah telah dilantik sebagai Pengurus Besar dan penasihat projek tersebut.


Pada 27 November 1984, laporan lengkap rancangan projek Feri Malaysia telah dikemukakan kepada mesyuarat kabinet dan projek tersebut akhirnya diluluskan oleh jemaah menteri.


Feri Malaysia yang berasal dari Helsinki, Finland, berjaya disiapkan pada 1986. Ia belayar selama sebulan dari Finland sebelum tiba di Pelabuhan Klang pada 6 Ogos 1986. Sultan Pahang kemudian membuat pelancaran rasmi khidmat Feri Malaysia pada 31 Ogos 1986 di Pelabuhan Kuantan, Pahang.

FERI MALAYSIA:

Berat: 7,900 tan
Panjang: 134 meter
Jumlah dek: 7 buah
Muatan penumpang: 600 hingga 650 orang
Muatan kenderaan: 240 buah kereta atau 40 buah lori treler (40 kaki panjang)
Laluan perjalanan: Kuantan (Pahang) - Kuching (Sarawak) - Kota Kinabalu (Sabah)
Tempoh perjalanan: 2 hari (Kuantan ke Kota Kinabalu)

Kemudahan yang disediakan: Restoran, Kafeteria, Kolam Renang, Bar, Disko, Bilik Mesyuarat, Kabin (tempat tidur, maksimum 4 orang dalam seunit), Surau dan lain-lain.
Aktiviti yang disediakan: Untuk kanak-kanak (pertandingan melukis, sukaneka, pakaian beragam dan sebagainya); untuk bersukan (pertandingan tarik tali, pertandingan aerobik dan sebagainya); dan pelbagai aktiviti dalaman seperti menonton video, pertandingan catur/karom/dart/bingo, persembahan tarian kebudayaan (Zapin, Inang, Joget, Sumazau, Dusun dan lain-lain), dan khusus untuk orang Islam diadakan ceramah agama.


Maklumat & gambar Feri Malaysia terdapat dalam Buku Daftar Hari Merdeka '86 (1986) yang diterbitkan oleh kerajaan Malaysia.

Nota tambahan:
  • Filem komedi Mr. Os yang mula ditayangkan pada 25 Jun 1987 merupakan antara bahan rujukan yang merakamkan suasana di atas Feri Malaysia, bermula daripada detik kemasukan watak Mr. Os dan rakan-rakannya ke dalam kapal tersebut, kemudian dipaparkan ruang kabin, kolam renang, disko dan sebagainya. Turut dirakamkan aktiviti para pemuzik yang mempersembahkan sebuah lagu yang senikatanya ada menyebut "Feri Malaysia". Adegan yang mengandungi dialog popular "Tulen bang.." turut berlokasikan Feri Malaysia.
Petikan filem: Perjalanan Mr. Os dari Kuantan ke Kuching dan Kota Kinabalu
  • Beberapa bulan selepas tayangan filem Mr. Os, iaitu pada 18 Oktober 1987, Feri Malaysia telah terbakar! (iaitu pada hari yang sama Prebet Adam mengamuk di Kuala Lumpur, rujuk entri akan datang). Kebakaran Feri Malaysia berlaku pada 2.45 petang ketika ia hampir sampai di Kuantan, iaitu sekitar 5 kilometer dari Pulau Tioman, Pahang. Ruang yang terbakar ialah di kawasan kritikalnya iaitu bilik enjin. Pada ketika itu terdapat seramai 228 orang penumpang di atas Feri Malaysia. Kesemua penumpang tersebut telah diselamatkan dan dibawa ke Pelabuhan Kuantan oleh 2 buah kapal lain yang membawa muatan kargo dan tangki minyak. Kebakaran Feri Malaysia berjaya dipadamkan dalam tempoh hampir 2 jam. Laporan akhbar (NST/19.10.1987) memberitahu bahawa kapal asal itu sudah pun berusia 16 tahun dan ia dibeli bagi dijadikan Feri Malaysia oleh PNSL dengan harga RM23.9 juta.

31 December 2013

Konsert Sheila Majid di Universiti Malaya dibantah (1989)

Membantah penganjuran sesebuah konsert ialah 'aktiviti masa lapang' para mahasiswa Malaysia pada era 1980-an. Mungkin bukan oleh semua mahasiswa, tapi segelintir saja yang benar-benar membantah, manakala ramai peserta lain sekadar meramaikan suasana? Yang pasti, bukan semua konsert yang dibantah, tapi cuma konsert-konsert terpilih yang menampilkan penyanyi-penyanyi tertentu saja yang amat digeruni, dirisaukan & ingin ditentang habis-habisan oleh para mahasiswa yang membantahnya. Konsert Tina Turner di Kuala Lumpur pada 1988 antara yang pernah dibantah oleh para mahasiswa.

Pada 1989, konsert penyanyi tempatan, Sheila Majid, juga dibantah! Tidak dapat dipastikan sama ada pembantahan itu disebabkan oleh peribadi Sheila Majid atau adakah kerana lokasi konsert itu - di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, Kuala Lumpur - yang dirasakan kurang sesuai? Yang pasti, seramai 1000 orang mahasiswa dilaporkan berkumpul di luar dewan tersebut pada 17 September 1989 (Ahad) bagi mengadakan tunjuk perasaan sebagai membantah konsert tersebut. Situasi di situ menjadi tidak terkawal dan pihak polis dipanggil bagi mengawal keadaan. Lebih 20 orang mahasiswa Universiti Malaya ditahan oleh polis dalam kejadian tersebut.


Nota tambahan:
Antara konsert lain di Malaysia yang menjadi sasaran pembantahan (oleh mahasiswa atau bukan) ialah yang menampilkan Sudirman (1985, di Universiti Kebangsaan Malaysia), kumpulan Headwind (1987, di Universiti Malaya), Samantha Fox (1989, rujuk entri akan datang), La Toya Jackson (1990, berjaya dibatalkan) & Michael Jackson (1996, terpaksa tukar lokasi).

16 December 2013

Juwie Juwie Juwie (1987 & 1989)

Pada 1987, kumpulan rock BumiPutra Rockers (BPR) telah mengeluarkan album pertama mereka yang berjudul Selamat Pagi Malaysia. Salah satu lagu dalam album tersebut berjudul Juwie Juwie Juwie, hasil ciptaan kumpulan BPR sendiri, manakala senikatanya ditulis oleh penyanyi kumpulan itu, Joey.

Juwie mungkin satu-satunya penulis senikata Malaysia yang namanya diabadikan oleh penulis senikata lain sebagai subjek untuk sebuah lagu, dan ini berlaku seawal 1987. Walau bagaimanapun, senikata lagu Juwie Juwie Juwie bukanlah menceritakan tentang Juwie seorang penulis senikata, tetapi merujuk kepada Juwie (yang turut digelar "Mama") seorang wartawan hiburan yang sangat terkenal pada 1980-an.

Senikata lagu rock Juwie Juwie Juwie berbentuk santai & menunjukkan penghargaan penulisnya terhadap peranan wartawan hiburan bernama Juwie dalam memeriahkan dunia artis dan hiburan di Malaysia pada waktu itu. Dalam senikata itu, artis baru (termasuklah kumpulan BPR) digambarkan mendambakan perhatian Juwie bagi dipaparkan dalam ruangan kelolaannya yang sangat popular dalam majalah URTV dan akhbar Mingguan Malaysia.

Juwie menjadi ikon dalam bidang penulisan hiburan di Malaysia pada 1980-an. Di atas ialah logo untuk ruangan tetap "Auw!!" kelolaan Juwie yang diterbitkan secara mingguan dalam akhbar sisipan Pancaindera (Utusan Malaysia edisi Jumaat) pada 1987.

JUWIE JUWIE JUWIE
(pencipta lagu: BumiPutra Rockers / penulis senikata: Joey)

Majalah hiburan banyak di pasaran
Berbagai kisah di sana sini
Gosip para artis, cerita nan romantis
Di bawah kelolaan Juwie

Ramai artis Mama liputkan
Ramai muda-mudi yang turut serta
Mama paparkan penyanyi, Mama paparkan pelakon
Tapi kami yang Mama lupa

Juwie, Juwie, Juwie
Tulis nama ku di dalam ruangan mu
Juwie, Juwie, Juwie
Papar gambar ku di halaman majalah mu

Ku lihat Mama di URTV
Ku terbaca di Mingguan Malaysia
Poster warna-warni, fesyen menarik hati
Pasti akan ku beli



Pada 1989, sempena ulangtahun ke-50 akhbar Utusan Malaysia, wartawan hiburan senior, Bahyah Mahmud (BAM), telah menulis sebuah artikel khas bagi menghargai peranan besar Juwie dalam penulisan hiburan, khususnya zaman setelah Juwie berpindah kerja daripada Berita Harian kepada Utusan Malaysia.

BAM turut menceritakan serba sedikit kisah peribadi Juwie, yang nama sebenarnya ialah Abdul Jalil Salleh, dan merupakan seorang khunsa yang tidak berselindung mengenai status kejantinaannya. Menurut BAM, keadaan diri Juwie yang sebegitu menyebabkannya pernah mengalami tekanan jiwa yang kuat sehingga terpaksa mendapatkan khidmat pakar perubatan. Juwie dikatakan pernah cuba untuk menukar jantinanya di Singapura pada 1970 (zaman persekolahannya) tetapi membatalkan hasrat tersebut setelah mendapat nasihat oleh pakar jiwa dan ibu bapanya.

29 Mei 1989

Beberapa maklumat & petikan mengenai/oleh Juwie dalam artikel tersebut:
  • Juwie lahir di Singapura pada 9 Julai (tahun tidak dinyatakan). Bapanya berasal dari Johor dan merupakan bekas anggota polis di Singapura. Ibunya berasal dari Melaka.
  • Juwie mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Sang Nila Utama, Singapura; Yayasan Anda Akademik, Kuala Lumpur (Sijil Tinggi Persekolahan); Institut Teknologi MARA, Shah Alam, Selangor (kursus perhotelan selama 3 bulan).
  • Juwie mula bekerja pada 1974 sebagai wartawan di akhbar Berita Harian dan berkhidmat di situ hampir 10 tahun sebelum berpindah ke akhbar Utusan Malaysia pada sekitar pertengahan 1980-an.
Kata BAM:
  • "Dia menggunakan nama Juwie sebagai nama seorang mak nyah"
  • "Pernah juga orang menelefon bertanya: Juwie tu lelaki ke perempuan? Suaranya lembut.. romantik!"
  • "Juwie yang terkenal dengan sifat peramah dan mudah mesra"
  • "Dia mahu semua tulisannya adalah benar. Tidak ada penafian. Lantaran itu dia sentiasa berhati-hati pada setiap kisah yang dipaparkan"
  • "Juwie tidak pernah menghampakan harapan seseorang artis. Apa yang diceritakan oleh artis, itulah yang ditulisnya tanpa tokok tambah. Apa lagi untuk menulis hal-hal yang tidak pernah dibualkan"
  • "Pernah dulu dia membuat keputusan untuk berhenti kerja gara-gara dia diarahkan oleh boss nya menulis dengan tujuan jahat untuk memfitnahkan serta mendedahkan keaiban seorang artis ternama tanahair"
  • "Juwie telah banyak menempuh kesengsaraan, tekanan jiwa untuk hidup dan menyesuaikan diri dalam masyarakat yang kurang memahami kehidupan insan-insan mak nyah"
  • "Juwie mengaku jiwanya sering terseksa dengan cemuhan masyarakat"
  • "Demikian pengakuan Juwie yang terus terang menyatakan dia adalah bekas pesakit jiwa yang selama 14 tahun menerima rawatan, masuk wad keluar wad iaitu di wad sakit jiwa di Singapura, Johor Baharu dan Kuala Lumpur"
  • "Dia banyak mendapat bimbingan moral Islam dari Encik Anwar Ibrahim (Menteri Pendidikan) yang pada ketika itu (zaman persekolahan Juwie) menjadi Pengarah Yayasan Anda Akademik"
Kata Juwie:
  • "Saya ni pondan! Memang sudah ditakdirkan saya dilahirkan sebagai khunsa! Ini bukan kehendak ku. Dan bukan juga doa ibu bapa ku"
  • "Aku anggap penderitaan jiwa dalam diri ku ini sebagai dugaan Allah. Tentunya ada muslihat di sebalik derita dan keanehan insan seperti ku ini"
  • "Aku yakin, Tuhan tidak lahirkan aku untuk derita di dunia ini. Aku juga yakin, bahawa penderitaan itu suatu rahmat Allah. Dengan menghayati penderitaan itu aku bertambah insaf. Aku rasa bertambah dekat padaNya"

Nota tambahan:
  1. Maksud khunsa dalam Kamus Dewan: "orang yg mempunyai dua alat kelamin".
  2. Pada 1990, M. Nasir muncul dengan senikata lagu Midnight Blues (persembahan kumpulan Wings) yang seakan-akan merujuk kepada Juwie dalam rangkap pertama: "Si manis di belakang Kowloon rupanya sang khunsa. Ada jua wajah yang pernah ku lihat di akhbar, auw!". Rangkap lain senikata lagu itu turut menyentuh beberapa golongan "tersisih" yang disimpulkan sebagai "sampah masyarakat". Juwie melalui ruangannya dalam akhbar sisipan Pancaindera (Mingguan Malaysia, 18 Mac 1990) telah mengecam penulisan senikata oleh M. Nasir itu yang dianggapnya sebagai sangat kasar dan berunsur menghina. Kata Juwie, "Lirik itu ternyata menghina. Kita hidup tidak boleh menghina makhluk Allah. Siapalah diri kita hendak menghina orang lain?". Tambah Juwie, "Sepatutnya M. Nasir bersyukur atas nikmat Allah yang telah memberikan kemewahan padanya sebagai orang Singapura yang dapat menumpang mencari rezeki di Malaysia".
  3. Juwie pernah berlakon watak kecil dalam filem Tuan Badul (1979), tetapi ketika itu dia belum menggunakan nama Juwie, dan namanya dikreditkan sebagai "Jalil Salleh".
"Abang Din nak epal?" - antara dialog Jalil Salleh (Juwie)
yang melakonkan watak Siti dalam filem Tuan Badul (1979)

24 October 2013

Aleeza Kassim (1989)

Pada 1989, Aleeza Kassim yang kini dikenali sebagai pelakon telah ditampilkan dalam ruangan Poster Kelolaan Juwie dan ditemu bual oleh wartawan hiburan terkenal itu untuk ruangan Sehari Dalam Hidup. Ketika itu Aleeza baru berusia 19 tahun dan merupakan seorang peragawati yang sedang mencipta nama. Aleeza yang pernah memenangi pertandingan 'ratu cantik' Dewi Remaja 1988 semakin mendapat perhatian para peminat hiburan tempatan dalam tahun 1989 apabila dia muncul sebagai penyeri dalam video muzik lagu Janganlah Menghancurkan nyanyian Shidee (lihat video di bawah) yang disiarkan dalam rancangan popular Muzik-Muzik '89 terbitan TV3. Aleeza mengikut jejak seorang lagi peragawati, Julia Rais (rujuk entri akan datang), yang tiba-tiba dikenali ramai setelah muncul dalam video muzik lagu Isabella persembahan kumpulan Search beberapa bulan lebih awal pada tahun yang sama.

Lahir pada 26 April 1970 di Kuala Lumpur
Ruangan Sehari Dalam Hidup kelolaan Juwie menceritakan tentang aktiviti seharian para selebriti yang ditemu bual. Antara topik yang gemar diperbualkan oleh Juwie ialah mengenai pemakanan para selebriti. Aleeza Kassim dikatakan jarang bersarapan, tapi menu pilihannya ialah "roti dan air Horlicks". Makanan tengahari yang digemari Aleeza ialah Al-Turki Al-Bukhari ("campuran daging kerbau dengan lembu yang digulai sama rempah-rempah kari"). Waktu malam pula Aleeza jarang makan nasi, "cuma makan buah-buahan", dan dia suka "mengunyah buah asam" sebelum tidur. Selain itu, tidak banyak latar belakang Aleeza yang dikongsi oleh Juwie bersama para pembaca. Madah Juwie tentang Aleeza: "Senyumannya amat menggoda sehingga melemaskan jiwa lelaki di lautan asmara".

Gaya seksi yang lazim ketika itu,
kombinasi sut renang dengan kain pareo
Poster Kelolaan Juwie
Kanta lekap berwarna - terutamanya biru - menjadi trend artis ketika itu

29 April 2013

Letupan bom di Dayabumi, Kuala Lumpur (1989)

Sebutir bom telah diletupkan di kompleks Dayabumi, Kuala Lumpur, pada pukul 8.30 pagi hari Isnin, 10 April 1989. Letupan yang kuat itu mencederakan 4 orang. Tragedi itu bukanlah berlaku di bahagian menara Dayabumi, tetapi ia berlaku di tingkat dua bahagian podium atau City Point yang terletak bersebelahan dengan bahagian menara tersebut. Walaupun begitu, kesan letupan itu turut sama merosakkan bahagian bawah menara Dayabumi. Hasil siasatan menjumpai beberapa biji bateri di lokasi letupan. Disyaki bom tersebut diletupkan dengan menggunakan 'timer'.

New Straits Times - Lokasi letupan bom di Dayabumi:

Empat orang yang cedera merupakan pekerja Daya Urus Sdn Bhd, iaitu syarikat pengurusan kompleks Dayabumi. Mereka berempat yang bertugas di bahagian penyelenggaraan lif berada tidak jauh daripada lokasi letupan dan telah mengalami luka serta lebam akibat terkena serpihan kaca, besi dan siling yang pecah dan bertebaran ketika bom itu meletup. Seorang mangsa mengalami luka ringan, manakala 3 orang lagi dimasukkan ke Hospital Besar Kuala Lumpur. Salah seorang yang cedera parah terpaksa dibedah bagi mengeluarkan serpihan-serpihan kaca yang tertusuk pada badannya.

New Straits Times - Mangsa letupan bom di Dayabumi:

Pada 1980-an, menara Dayabumi yang setinggi 35 tingkat merupakan mercu tanda moden bandaraya Kuala Lumpur. Ia menempatkan pejabat syarikat Petronas, Kementerian Perusahaan Utama dan Bursa Komoditi Kuala Lumpur (KLCE). Letupan bom pada 1989 itu menyebabkan seramai 3,000 orang pekerja terpaksa mengosongkan kompleks Dayabumi bagi membolehkan siasatan dijalankan. Kejutan berlaku tidak sampai 2 jam selepas letupan itu apabila pihak Daya Urus menerima panggilan telefon pada pukul 10.15 pagi yang memberitahu bahawa bom kedua akan meletup dalam tempoh 8 minit kemudian, namun panggilan telefon itu terbukti palsu.

Foto ini disiarkan semula pada 26.3.2011 (Utusan Malaysia)

27 April 2013

Nor Albaniah - ratu cantik menjadi pelakon (1989)

Pelakon yang terkenal melalui filem Adik, Nor Albaniah, berasal dari Ulu Kinta, Perak. Sebelum menjadi pelakon, dia pernah menyandang gelaran Ratu Taiping 1988 ketika berusia 19 tahun. Tidak lama selepas itu, dalam tahun yang sama, Nor Albaniah telah mendapat peluang untuk berlakon filem pertamanya iaitu Kolej 56 arahan Ahmad Fauzee. Filem Kolej 56 yang ditayangkan pada 1989 menampilkan lakonan Nor Albaniah dalam watak tambahan sebagai Tengku Noraini.

Nor Albaniah ketika berusia 20 tahun (1989)
Pada 1989 juga Nor Albaniah telah berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir pertandingan Miss Malaysia-Universe, di mana dia merupakan satu-satunya peserta akhir berbangsa Melayu. Namun, nasib tidak menyebelahi Nor Albaniah apabila dia tidak dapat hadir pada hari pertandingan itu kerana "gangguan kesihatan". Menurut Nor Albaniah, "Saya sakit mata sampai sepet sebelah". Jadi, terlepaslah peluang Nor Albaniah untuk membuktikan kehebatannya dalam arena ratu cantik peringkat kebangsaan.

Petikan filem Kolej 56 (1989)
Dalam arena filem pula, Nor Albaniah semakin mendapat perhatian apabila dia diberi peluang untuk berlakon filem keduanya, Main-Main Hantu (penggambaran pada 1989), juga dalam watak tambahan. Hanya melalui filem ketiganya, Adik (1990), barulah Nor Albaniah diberi peluang untuk melakonkan watak utama, di mana dia juga mula ditonjolkan dalam imej seksi. Poster gambarnya di tepi kolam renang dalam majalah URTV pada waktu itu turut meningkatkan lagi popularitinya (rujuk entri akan datang).

Nota tambahan:
  • Dalam kalangan artis tempatan, Nor Albaniah mempunyai hubungan kekeluargaan dengan penyanyi & pelakon 1980-an, Isma Aliff, yang merupakan abang iparnya.
  • Nor Albaniah pernah cedera parah di kepalanya selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya yang turut mengorbankan nyawa suaminya pada 1996 (rujuk entri akan datang).

26 April 2013

Mesin judi dalam pesawat Singapore Airlines (1981)

Pada 1981, syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA) telah memperkenalkan khidmat perjudian di dalam pesawat-pesawatnya. Sebanyak 16 buah pesawat Boeing 747 milik SIA telah dipasang dengan mesin judi atau mesin jackpot seperti yang biasa terdapat di kasino. Bagi menyediakan ruang untuk pemasangan mesin-mesin judi tersebut, sebanyak 6 buah tempat duduk terpaksa dibuang daripada setiap pesawat. Mesin-mesin judi eksklusif itu menampilkan logo dan nama Singapore Airlines. "Fly Singapore Airlines and end up richer", lapor sebuah akhbar Singapura mengenai khidmat perjudian itu yang pastinya akan menggembirakan para penumpang yang suka berjudi (itu pun kalau mereka menang).


24 April 2013

Kes-kes ragging terkenal Malaysia (1988 & 1989)

"Peloncolan" ialah suatu perkataan asing pada hari ini. Pada 1980-an, "peloncolan" sering digunakan sebagai terjemahan untuk perkataan Inggeris, ragging. Di Malaysia, ragging bukanlah suatu perkataan asing walaupun kepada seseorang yang tidak fasih berbahasa Inggeris. Boleh dikatakan semua pelajar (atau bekas pelajar) tahu tentang apa itu ragging. Terjemahan ragging yang sedang popular pada hari ini ialah "buli", tapi mungkin masih ada lagi sesetengah orang yang lebih selesa menterjemahkannya sebagai "mendera".

1989
Kes ragging yang paling terkenal di Malaysia - walaupun mungkin telah lama dilupakan - berlaku pada Julai 1989. Akhbar New Straits Times (NST / 13.7.1989) menyifatkan kes ragging tersebut sebagai "barbaric" (sangat kejam) dan "sadistic" (penyeksaan untuk mendapat keseronokan). Kes itu melibatkan 6 orang pelajar lelaki tahun akhir atau "senior" dari Universiti Pertanian Malaysia (UPM di Selangor) yang mendera 6 orang pelajar lelaki junior atau "freshie" dari universiti yang sama. Kejadian berlaku di rumah sewa para pelajar senior itu yang terletak di Sri Serdang, 2km dari kampus UPM.

Penderaan yang dilakukan dalam kes ragging terkenal di UPM itu ialah:
  • Menampar freshies.
  • Memaksa freshies menari dalam keadaan bogel.
  • Mengikat zakar setiap freshie dengan tali yang disambungkan kepada kipas siling. Apabila kipas dihidupkan, setiap freshie terpaksa berlari mengikut pusingan kipas akibat zakar mereka yang sedang terikat.

Setelah mendapat aduan mengenai penderaan yang gila tersebut, lembaga disiplin UPM telah bersidang pada 12 Julai 1989 selama 5 jam dan mereka akhirnya mendapati bahawa 5 orang pelajar senior yang dituduh mendera itu telah terbukti bersalah. Daripada 5 orang pelajar senior tersebut, 3 orang telah dibuang daripada universiti, manakala 2 orang lagi telah digantung pengajian selama 2 semester, semuanya berkuat kuasa serta merta. Seorang lagi pelajar senior yang dikatakan terlibat dalam kes itu telah dibebaskan daripada tuduhan dan dia diberi teguran setelah didapati sekadar menjadi pemerhati.


1988
Lebih setahun sebelum kes ragging di UPM itu, masyarakat terlebih dahulu digemparkan dengan kes ragging yang melibatkan kematian seorang pelajar dari Sekolah Menengah Teknik (SMT) di Cheras, Kuala Lumpur. Kes ragging di SMT Cheras itu berlaku pada 24 Mac 1988 (Khamis), melibatkan seorang pelajar lelaki "senior" tingkatan 5 bersama beberapa orang bekas pelajar lelaki atau "super senior" yang hadir ke sekolah itu untuk mengambil keputusan peperiksaan SPM. Pelajar tingkatan 5 tersebut yang bernama Hishamuddin meninggal dunia akibat kerosakan organ dalaman badannya setelah dia dikatakan dibelasah oleh beberapa orang bekas pelajar di dalam tandas sekolah tersebut pada pukul 11.30 pagi.

Setelah dibelasah, Hishamuddin meminta kebenaran daripada guru kelasnya untuk pulang ke asrama atas alasan tidak sihat tanpa memberitahu apa yang sebenarnya berlaku. Pada pukul 7.30 malam hari yang sama, beberapa orang pelajar melaporkan kepada warden asrama bahawa Hishamuddin sedang dalam kesakitan. Atas arahan ketua warden, Hishamuddin dibawa ke hospital oleh warden asrama. Hanya beberapa ketika selepas dimasukkan ke dalam wad kecemasan, pada pukul 8.50 malam doktor mengesahkan bahawa Hishamuddin telah meninggal dunia. Pada mulanya, laporan kematian Hishamuddin yang dikeluarkan oleh pihak polis pada 25 Mac 1988 menyatakan bahawa dia mati akibat sakit di dalam perut. Hanya apabila bapa Hishamuddin membuat laporan kepada polis mengenai punca sebenar kematian anaknya, barulah kejadian itu bertukar menjadi kes jenayah.


Setelah disiasat, 2 orang bekas pelajar SMT Cheras telah didakwa menyebabkan kematian Hishamuddin. Perbicaraan kes itu berlarutan di mahkamah juvana sehingga awal 1990. Beberapa perkara telah terbongkar di sepanjang perbicaraan itu. Antaranya, mahkamah diberitahu mengenai wujudnya 'upacara' tradisi pemberian nama gelaran oleh para pelajar senior kepada para pelajar junior yang terpilih. Pelajar-pelajar yang diberi nama gelaran itu terpaksa menjalani 'ujian', antaranya melibatkan penderaan fizikal. Hishamuddin dikatakan telah terlibat dalam 'upacara' pemberian nama gelaran pada hari kejadian sehingga menyebabkannya terpaksa menjalani 'ujian' yang menyakitkan.

Ex-school head not aware of initiation rites by boys
Seorang pelajar yang menjadi saksi memberitahu mahkamah apa yang dilihatnya ketika berada di dalam tandas sekolah pada waktu kejadian. Saksi itu yang baru keluar daripada salah sebuah jamban mendapati Hishamuddin sedang dikelilingi oleh sekumpulan pelajar di dalam tandas itu. Saksi itu juga mengakui melihat salah seorang daripada bekas pelajar yang didakwa itu telah memukul Hishamuddin. Saksi itu kemudiannya melihat seorang lagi pelajar lain melakukan "starlight" pada dahi Hishamuddin. Sebagai salah seorang pelajar yang telah menerima nama gelaran, saksi itu diarahkan untuk bersalaman dengan Hishamuddin sebelum dia keluar daripada tandas itu tanpa dapat mengetahui kesudahan kepada 'ujian' itu.

Witness: I saw pupil being punched in toilet
Pada Julai 1989, atas arahan pihak pendakwa, pertuduhan dalam kes itu telah dipinda daripada 'menyebabkan kematian' kepada pertuduhan yang lebih ringan iaitu 'menyebabkan kecederaan parah'. Salah seorang bekas pelajar yang didakwa itu telah dibebaskan daripada pertuduhan apabila dia mengaku bersalah dan membuat permohonan maaf secara umum di dalam mahkamah kepada keluarga Hishamuddin. Pada Januari 1990 seorang lagi bekas pelajar yang didakwa akhirnya turut dibebaskan daripada pertuduhan (alasan pembebasan: "the prosecution had failed to prove a prima facie case against the 19-year old", "the prosecution had failed to prove the ingredients of the charge"). Kekurangan saksi yang meyakinkan ialah antara penyebab bekas pelajar yang didakwa itu tidak dapat dibuktikan bersalah.

Antara laporan NST berkaitan kes ragging SMT Cheras:
  1. Two juveniles plead not guilty to killing student (13.7.1988)
  2. Death of pupil: Hearing fixed (7.12.1988)
  3. Ex-school head not aware of initiation rites by boys (26.4.1989)
  4. Delay cost student his life, says warden (27.4.1989)
  5. Witness: I saw pupil being punched in toilet (7.6.1989)
  6. Warden tells of clash in school (9.6.1989)
  7. Charge against boys reduced (6.7.1989)
  8. Boy freed after saying sorry to victim's family (7.7.1989)
  9. Student freed of hurt charge (17.1.1990)
Nota tambahan:
Perkataan "peloncolan" seperti yang sering digunakan pada 1980-an untuk menterjemahkan "ragging" sebenarnya tidak wujud dalam Kamus Dewan. Perkataan yang sepatutnya ialah "memelonco" (yang berasal daripada perkataan Jawa, "pelonco") yang membawa maksud "menguji dan menduga dengan keras (berkenaan maha­siswa baharu yang hendak masuk menjadi anggota perkumpulan mahasiswa), mendera"

24 March 2013

Kejohanan Gusti Wanita Dunia di Malaysia dibatalkan (1988)

Akhbar tempatan pada 1988 melaporkan bahawa Kejohanan Gusti Wanita Dunia bakal diadakan di Stadium Negara, Kuala Lumpur, pada 7 & 8 November tahun tersebut. Perlawanan gusti itu dirancang oleh Az Media Communications yang juga merupakan penyelaras penerbitan majalah Dunia Gusti. Seramai 12 orang penggusti wanita dari kelab-kelab gusti antarabangsa akan terlibat dalam perlawanan tersebut. Walau bagaimanapun, Kejohanan Gusti Wanita Dunia yang julung kali dianjurkan itu tidak berjaya diadakan apabila ia dibatalkan oleh pihak berkuasa Malaysia.

Menurut Az Media Communications - seperti yang disiarkan dalam majalah Dunia Gusti keluaran Disember 1988 - "Perlawanan tersebut terpaksa dibatalkan di saat-saat akhir kerana sebab-sebab teknikal yang sukar diterima akal pemikiran yang waras dan matang". Menurut syarikat itu lagi, "Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan dasar liberal tidak dapat menerima erti kenyataan tersebut, hanya berdasarkan kepada implikasi yang belum tentu diperkatakan atau disuarakan oleh mana-mana pihak yang kontra kepada pertunjukan tersebut".

F.L.A.I.R
5 Nov 1988
(Sabtu)
Akhbar New Straits Times pada November 1988 melaporkan bahawa kesemua 12 orang penggusti wanita itu hanya berjaya sampai ke Singapura tetapi tidak dibenarkan untuk memasuki Malaysia ("12 women wrestlers - entry still not approved"). Seorang lagi wartawan pula mempersoalkan rasional di sebalik pembatalan perlawanan tersebut sedangkan dalam masa yang sama stesen televisyen milik kerajaan iaitu RTM2 tidak menghadapi sebarang masalah dalam menyiarkan rancangan perlawanan gusti wanita yang berjudul F.L.A.I.R pada setiap minggu, yang sudah tentunya dapat ditonton oleh orang ramai tanpa halangan ("Women wrestling series on RTM2 contradicts government ban on the performers).

Nota tambahan:
  • Perlawanan gusti oleh para penggusti antarabangsa telah banyak kali diadakan di Malaysia, antara yang terawal ialah pada 13 Jun 1971 di Stadium Negara, Kuala Lumpur. Perlawanan tersebut membabitkan penggusti seperti 'Killer' Kowalski, 'Bulldog' Bob Brown, 'Tiger' Jeet Singh, Mr. Fuji, King Kurtis, Mark Lewin, Spiron Asrion dan Dino Lanza.
  • Antara penggusti wanita yang pernah ditampilkan dalam rancangan F.L.A.I.R pada 1988 ialah Devila, Miss Linda, Katie Kincaid, Athena, Blue Maxi, Viking Princess, Randy Rocket dan Sunset Rose.

26 February 2013

Khidmat 'tong taik' di Singapura ditamatkan (1987)

Sebelum kewujudan tandas dengan sistem pembetungan (penyaliran najis) moden seperti yang sedia ada kini, najis dibawa ke tempat pembuangan (kini loji pemprosesan) melalui kaedah manual! Untuk memberi gambaran yang lebih terperinci kepada mereka yang erm.. berminat (dan tidak sedang makan), pada suatu ketika dahulu semua najis yang dibuang di dalam tandas akan terkumpul di situ di dalam sebuah bekas yang biasanya dipanggil sebagai tong.

Pada setiap hari (mungkin malam), akan ada pekerja yang datang untuk mengangkut tong berisi najis tersebut bagi dibawa ke tempat pengumpulan untuk dibuang. Untuk memudahkan tugas tersebut, setiap tandas perlu dibina di luar rumah. Percaya atau tidak, kaedah mengangkut najis secara manual itu sebenarnya bukanlah suatu sejarah silam yang terlalu lama kerana ia masih digunakan di Singapura & Malaysia dalam dekad 1980-an, iaitu sekitar 26 tahun yang lalu sahaja.


Di Singapura, kaedah mengangkut najis secara manual telah ditamatkan pada 1987 apabila setiap kediaman telah dipastikan mempunyai tandas dengan sistem pembetungan moden. "The night-soil collector, balancing two buckets on a pole, would be a thing of the past" lapor sebuah akhbar pada 24 Januari 1987 mengenai penamatan khidmat 'tong taik' di Singapura. Menurut laporan tersebut, kaedah mengangkut najis secara manual mula diperkenalkan di Singapura pada 1890-an!

Nota tambahan:
  • Tidak dapat dipastikan bilakah khidmat 'tong taik' di Malaysia ditamatkan. Dengan kawasan yang lebih luas dan penduduk yang lebih ramai, tentulah Malaysia masih menggunakan khidmat tersebut dalam tempoh yang lebih lama selepas Singapura berjaya menamatkannya pada 1987.
  • Pekerjaan mengangkut najis secara manual biasanya menjadi bahan lawak kepada kebanyakan orang walaupun ia tidak sepatutnya berlaku. Pastinya ramai yang mengingati watak pengangkut 'tong taik' bernama Mat Deris dalam siri komedi Kampung Seri Wangi yang ditayangkan di Malaysia pada 1980-an.
  • Kerja pengangkut 'tong taik' juga pernah dijadikan bahan cercaan dalam filem 3 Abdul (1964) arahan P. Ramlee di mana watak utama filem itu, Abdul Wahub, memanggil bapa mertuanya, Sadiq Sigaraga, sebagai "pecacai tua angkat najis" (Perkataan rasmi "pecacai" ialah "pecacal" yang bermaksud "pacal" atau "hamba")
  • Satu-satunya visual mengenai pengangkut 'tong taik' di Malaysia ada terakam di dalam filem komedi Sikit Punya Gila (1982). Malah watak pengangkut 'tong taik' lakonan pelakon misteri itu mempunyai sebaris dialog. Gambar petikan filem di bawah menunjukkan bentuk 'tong taik' serta cara mengangkutnya yang berbeza daripada yang terdapat di Singapura (gambar di atas). Apa yang lebih menarik dalam babak selingan filem Sikit Punya Gila itu ialah komentar yang disampaikan dalam dialog lakonan Dharma Harun: "Kau ingat kerja tu hina ke, Mid? Itu pun cari makan jugak. Tu kerja halal tu, Mid"
"Abang, tak kerja ka?" - dialog pengangkut 'tong taik' yang peramah
dalam filem Sikit Punya Gila (1982) arahan Raja Ismail


Bacaan tambahan:
"memori jamban angkut dan pencacai angkat najis" - entri dan komen-komen 'menarik' mengenai khidmat 'tong taik' dan pengalaman menggunakannya di Malaysia.

23 February 2013

Persatuan Bola Sepak Artis Wanita Malaysia (1981)

Penyanyi terkenal Rafeah Buang, di dalam ruangan penulisannya yang diterbitkan oleh majalah URTV pada 1998, telah menceritakan mengenai penyanyi 1960-an, Rickino Bajuri daripada kumpulan pop yeh yeh, The Cliffters. Gambar yang menghiasi rencana tersebut menunjukkan Rickino Bajuri pada 1981 sedang bergambar bersama pasukan Persatuan Bola Sepak Artis Wanita Malaysia.


Ahli pasukan bola sepak tersebut terdiri daripada para pelakon atau penyanyi wanita, antaranya ialah Maria Arshad, Sukarni Jaafar, Rohana Jalil, Rosnah Mohd Noor, Maria Kamal, Anisah Yahya Sulung, Suhaili Shamsudin dan 7 orang lagi yang nama mereka tidak dinyatakan, mungkin juga kerana mereka tidak begitu terkenal. Pasukan bola sepak tersebut dilihat memakai jersi yang di hadapannya bertulis "ARTIS WANITA"

19 February 2013

Farit Ismeth Emir penyampai berita Dunia Jam 10 (1988)

Dunia Jam 10 (DJ10) ialah sebuah rancangan yang menyampaikan berita-berita dari luar negara. Ia disiarkan oleh saluran TV1 (atau RTM1) dalam tahun-tahun 1980-an hingga 1990-an. Waktu siaran DJ10 seperti mana nama rancangannya ialah pada pukul 10.00 malam. Rancangan yang terkenal pada suatu ketika dahulu itu sudah agak lama dihentikan siarannya dan telah diganti dengan rancangan lain yang berformat serupa iaitu Berita Dunia yang disiarkan pada pukul 11.00 malam di saluran yang sama.

Selain Harjit Singh Hullon, penyampai berita DJ10 yang terkenal sejak 1980-an ialah Farit Ismeth Emir. Sebelum bekerja sebagai penyampai berita, Farit pernah bekerja dalam industri perhotelan selama 13 tahun, di mana tempat kerja pertamanya ialah di Hotel Jaya Puri pada 1970-an. Pengalamannya yang lama dalam industri perhotelan membolehkan Farit memegang jawatan yang tinggi seperti Penolong Pengurus di Hotel Regent, Kuala Lumpur, dan kemudiannya menjadi Infront Office Manager di Hotel Hilton, Petaling Jaya.

Pada 1987, dalam usianya 33 tahun, Farit telah mengambil keputusan yang berisiko tinggi dengan meninggalkan jawatan selesanya dalam industri perhotelan untuk menceburi bidang "suara komersil". Farit mendapat dorongan yang kuat daripada individu yang terkenal dalam bidang tersebut iaitu saudara Ali Abdul Rahman dan Patrick Teo yang menyatakan bahawa dia "ada suara". Selepas menjalani uji suara di stesen penyiaran RTM pada Ogos 1987, dan kemudiannya menghadiri kursus lanjutan, Farit dan seorang lagi calon, Hajah Haslinda Hamzah, akhirnya berjaya terpilih untuk menjadi penyampai berita RTM.

Semasa di awal pembabitannya dalam bidang penyampaian berita, Farit yang terkenal dengan "gaya suaranya yang keInggerisan dan keAraban" turut menyampaikan berita RTM pada waktu tengahari (Sabtu & Ahad) selain daripada menjadi penyampai berita DJ10. Selain daripada itu, Farit turut bekerja memasukkan suara untuk iklan-iklan komersil, dan mungkin tidak ramai yang mengingati bahawa Farit juga pernah berlakon dalam drama radio terbitan RTM yang berjudul Nombor 5 Persiaran 1 dengan membawakan watak doktor. Farit Ismeth Emir kini berusia 59 tahun dan masih dapat dilihat menyampaikan Berita Dunia dalam gayanya yang tersendiri, yang meng-gegarr-kan peti televisyen anda!

30 January 2013

Susan Goh - pencipta lagu Toto (1987)

"Mungkin tidak ada yang menyedari, lagu I'll Be Over You nyanyian kumpulan pop bertaraf antarabangsa yang terkenal, Toto menerusi album mereka yang diberi judul (Fahrenheit) keluaran (1986) adalah ciptaan pencipta wanita dari Malaysia, Susan Goh" (Berita Minggu, 15 November 1987)


Fakta yang dilaporkan oleh akhbar tempatan lebih 25 tahun yang lalu itu sememangnya sesuatu yang agak mengejutkan kerana fakta itu sangat jarang diperkatakan oleh sesiapa pun, dan oleh kerana tidak ramai orang yang mengetahuinya, ia seolah-olah suatu rahsia dalam industri muzik antarabangsa. Namun dengan terbitnya laporan tersebut membuktikan bahawa fakta itu bukanlah suatu rahsia, cuma ia sengaja tidak digembar-gemburkan atas sebab yang tertentu. Walau bagaimanapun, sejarah telah tercipta, dan ia perlu diarkibkan. Lagu I'll Be Over You yang pernah dipopularkan oleh kumpulan dari Amerika, Toto, sesungguhnya adalah ciptaan warga Malaysia, Susan Goh, yang juga dikenali sebagai komposer lagu untuk penyanyi-penyanyi tempatan seperti Jay Jay, Rafeah Buang, Ibnor Riza, Azman Abu Hassan, Atai, DJ Dave & Syed Sobrie.


Susan Goh telah mencipta lagu I'll Be Over You yang berentak balada semasa beliau sedang menuntut ilmu di Berklee College Of Music, di Amerika pada 1980-an. Lagu tersebut kemudiannya telah dijual kepada persatuan pemuzik di sana dan ia telah dipilih oleh kumpulan Toto bagi dirakamkan ke dalam album keenam mereka yang berjudul Fahrenheit. Mungkin disebabkan oleh undang-undang penjualan lagu di sana, lagu asal ciptaan Susan Goh itu telah ditukar hakcipta keseluruhannya kepada pemiliknya yang baru. Dalam album Fahrenheit yang dikeluarkan pada Ogos 1986 itu, pencipta lagu I'll Be Over You dikreditkan kepada Steve Lukather (penyanyi lagu tersebut merangkap pemain gitar Toto) & Randy Goodrum (pencipta lagu). Lagu tersebut menjadi popular dan pernah menduduki tempat ke-11 dalam carta Billboard Hot 100 di Amerika.



Nota tambahan:
Kumpulan Toto yang masih aktif pernah membuat konsert di Malaysia pada 2008.

27 January 2013

Bakat RTM (1985)

Selain daripada Bintang RTM, iaitu pertandingan menguji bakat penyanyi, stesen penyiaran RTM juga turut pernah menganjurkan sebuah lagi pertandingan menguji bakat yang - tanpa perlu bersusah payah fikir - dinamakan sebagai Bakat RTM. Sementara Bintang RTM mengkhususkan kepada kategori nyanyian semata-mata, Bakat RTM pula dijadikan medan untuk mencari bakat-bakat baru dalam cabang hiburan yang berbeza iaitu muzik dan komedi.

Pertandingan akhir Bakat RTM 1985 telah diadakan pada penghujung tahun tersebut, dan ia diacarakan oleh penyampai radio terkenal, Ainol Jamal Zainal. Terdapat 3 kategori yang dipertandingkan iaitu Pemuzik Instrumental Solo, Pemuzik Pancaragam dan Lawak Jenaka.


Dalam kategori Pemuzik Instrumental Solo, peserta yang berjaya memenangi tempat pertama ialah Junenita Mohd Nor, gadis remaja berusia 15 tahun yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor. Junenita yang dilaporkan "berpakaian rugged" telah menunjukkan bakatnya dalam bermain organ Electone dengan mempersembahkan 2 buah lagu instrumental berentak jazz yang dikatakan agak mencabar untuk dimainkan. Pemenang tempat kedua kategori Pemuzik Instrumental Solo pula ialah seorang peniup flute, Jaafar Abdul Rahman yang berasal dari Johor. Manakala tempat ketiga kategori tersebut dimenangi oleh pemain piano dan organ, Isabella Pek, gadis remaja berusia 15 tahun yang berasal dari Kuala Lumpur.


Kategori Pemuzik Pancaragam menyaksikan sebuah kumpulan pemuzik yang berpengalaman luas iaitu Band Family Group berjaya memenangi tempat pertama. Kumpulan pemuzik tersebut yang berasal dari Ipoh, Perak, telah ditubuhkan pada 1967. Pemenang tempat kedua kategori Pemuzik Pancaragam pula ialah Band De RAMD yang berasal dari Sungai Besi, Kuala Lumpur. Manakala tempat ketiga kategori tersebut dimenangi oleh Kombo K.C. Lim (gambar E) yang berasal dari Klang, Selangor.


Untuk kategori Lawak Jenaka, kumpulan Mahmood & Zakaria Musa (gambar F) yang berasal dari Kelantan telah dipilih untuk memenangi tempat pertama. Manakala tempat kedua kategori tersebut dimenangi oleh kumpulan Yusuf Din Kicap (gambar G), dan tempat ketiga dimenangi oleh kumpulan Mohd Hatta (gambar H).

Kesemua pemenang pertandingan Bakat RTM 1985 menerima hadiah masing-masing yang disampaikan oleh tetamu pertandingan, Datin Masnah (isteri Datuk Rais Yatim, yang - selepas 26 tahun berlalu - tidak jemu-jemu membuat kemunculan istimewa dalam segmen penyampaian hadiah acara-acara hiburan, hairan). Pertandingan itu turut diserikan dengan persembahan artis jemputan iaitu kumpulan Blues Gang.

18 January 2013

Isteri Dato' Najib Tak Takut Gossip (1984)

Pada April 1984, majalah Keluarga telah menyiarkan temubual bersama Toh Puan Tengku Puteri Zainah Binti Tengku Eskandar, iaitu isteri (kini bekas isteri) Menteri Besar Pahang ketika itu, Dato' Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak (kini Perdana Menteri Malaysia). Temubual oleh penulis bernama Hasnifalina itu dilabelkan sebagai "Eksklusif", mungkin kerana Tengku Puteri Zainah jarang atau pun tidak pernah ditemubual oleh pihak media cetak sebelum itu. Walau bagaimanapun, hasil temubual "eksklusif" itu tidaklah begitu menarik pun melainkan hanya tajuknya (seperti tajuk entri ini) yang boleh dikatakan sedikit mencuit hati.


Tengku Puteri Zainah agak segan untuk bergambar bagi disiarkan dalam majalah. "Badan saya gemuk sikit, tak payahlah ambil gambar", kata beliau yang ketika itu baru selesai berpantang selepas melahirkan anak ketiga. Apabila ditanya tentang bagaimana beliau menghadapi khabar angin yang biasa melanda kerjaya politik suaminya, Tengku Puteri Zainah menjawab, "Khabar angin memang perkara biasa dalam politik, samalah seperti gossip di kalangan artis. Yang penting kita harus dapat membezakan yang mana satu khabar angin dan yang mana satu khabar betul".


Tengku Puteri Zainah juga dikatakan bergiat dalam beberapa persatuan wanita atau pertubuhan sukarela yang bertujuan untuk mengeratkan hubungan orang kenamaan (contohnya isteri-isteri wakil rakyat) dengan rakyat biasa. Beliau berpendapat, hubungan erat dengan rakyat adalah perlu kerana "rakyat juga memainkan peranan yang penting dalam menentukan jatuh bangunnya seseorang menteri itu".

Nota tambahan:
Gambar Tengku Puteri Zainah juga pernah dijadikan hiasan muka hadapan majalah Wanita pada tahun 1980-an (rujuk entri akan datang)

28 December 2012

Ratu Perak - Riguan Rashidi (1988)

Peserta tunggal berbangsa Melayu dalam pertandingan akhir Ratu Malaysia-Dunia (Miss Malaysia-World) 1988 ialah Riguan Rashidi. Pertandingan tersebut yang berlangsung pada 14 September 1988 disertai oleh 14 orang ratu cantik yang mewakili negeri-negeri dalam Malaysia. Riguan yang ketika itu berusia 24 tahun mewakili negeri Perak setelah dia berjaya dipilih sebagai Ratu Perak pada tahun yang sama.


Riguan berkelulusan diploma (lanjutan) dalam bidang Kajian Perniagaan daripada Institut Teknologi MARA (ITM). Dia bekerja sebagai pegawai pemasaran di sebuah syarikat swasta dan dalam masa yang sama menjadi peragawati secara sambilan. Menurut Riguan, namanya yang agak unik itu adalah pemberian daripada moyangnya.


Dalam pertandingan akhir Miss Malaysia-World 1988, nasib tidak menyebelahi Riguan apabila peserta bernama Sue Wong Choy Fun (Ratu Pahang berusia 19 tahun) dipilih sebagai pemenang utama. Riguan sekadar mendapat tempat keempat. Selepas daripada itu nama Riguan terus tenggelam kerana dia sememangnya tidak berminat untuk menceburi bidang hiburan. Kata Riguan, "saya tidak minat berlakon dan tidak ada suara nak menyanyi"

20 December 2012

Novel-novel Yahya Samah (1983)

Yahya Samah ialah seorang penulis novel yang terkenal pada 1980-an. Dalam tahun 1983, empat buah novel tulisannya telah diterbitkan oleh Penerbitan Pena Sdn Bhd. Novel-novel tersebut berjudul Kelkatu, Sofia, Anak Muda Karam Di Pantai & Pecah Berderai. Setiap satu daripada novel tersebut cuma berharga di antara $2.50 hingga $4.50.


Menariknya, Yahya Samah bukan terkenal melalui penulisannya yang berstatus tinggi, tetapi kebanyakan novel Yahya Samah ketika itu menjadi perhatian kerana ia dikatakan mengandungi unsur lucah atau lebih baik lagi jika ia dikatakan sebagai bahan bacaan dewasa.

Iklan 4 buah novel Yahya Samah terbitan 1983 tersebut telah mempergunakan nilai sensasi "Yahya Samah" bagi mempromosikan novel-novel tulisannya. Iklan itu memperkenalkan penulisan Yahya Samah sebagai "panas dan mendebarkan". Yahya Samah dikatakan "terkenal dengan novel-novel yang dianggap lucah"

Iklan itu turut menyenaraikan novel lama Dahaga & Perahu Kecil Belayar Malam sebagai antara novel terlaris pernah ditulis oleh Yahya Samah. Manakala 4 buah novel terbaru yang diiklankan itu dikatakan mengandungi "kisah yang lebih panas!"


Walau bagaimanapun, Yahya Samah tidaklah menumpukan penulisannya terhadap bahan bacaan dewasa samata-mata. Sebagai penulis terkenal, beliau juga menulis bahan bacaan umum, misalnya novel Jatuh Ke Laut yang juga terbit pada 1983 telah dipromosikan sebagai "novel kanak-kanak"

Nota kemas kini (12 Jan 2013):
  1. Novel berjudul Sofia tulisan Yahya Samah yang diterbitkan oleh Penerbitan Pena Sdn Bhd telah diharamkan pada 6 Disember 1984 (maklumat daripada laman web KDN)
  2. Versi asal (dengan ejaan lama) novel berjudul Sofia tulisan Yahya Samah pernah diterbitkan oleh Pustaka Titiwangsa pada 1967 (tidak dapat diarkibkan kerana di luar daripada skop ANX, iaitu tahun 1970 ke atas)

01 August 2012

Restoran McDonald's pertama di Malaysia (1982)

Restoran makanan segera yang terkenal di seluruh dunia, McDonald's, telah membuka cawangannya yang pertama di Malaysia pada 1982. Restoran yang beralamat di lot 120-120A, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur itu diuruskan oleh Golden Arches Restaurants Sdn Bhd.

Sempena hari pembukaan yang bersejarah itu, restoran McDonald's Bukit Bintang telah menghadiahkan pelanggannya yang pertama sekali membeli burger Big Mac di Malaysia dengan memberinya satu Big Mac percuma pada setiap minggu selama setahun!

Selain Big Mac, restoran McDonald's Bukit Bintang yang dibuka setiap hari dari pukul 8 pagi hingga 12 malam itu turut menjual hidangan Fillet-O-Fish, French Fries, Apple Pie, Milkshake dan lain-lain lagi.

Berdasarkan sambutan yang menggalakkan terhadap restoran McDonald's yang pertama itu, menjelang hujung tahun yang sama, restoran McDonald's yang kedua telah dibuka di Plaza Yow Chuan (lot LG 8 & 9), Jalan Pekeliling/Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Restoran kedua itu dibuka setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.

Nota tambahan:
  • Menurut buku Rojak Fakta Malaysia (ZI Publications, 2011) sebuah lagi restoran makanan segera terkenal, Burger King, juga telah membuka cawangannya yang pertama di Malaysia pada 1982, iaitu di Plaza OUG, Kuala Lumpur.
  • Restoran makanan segera terkenal yang paling awal dibuka di Malaysia ialah A & W di Batu Road, Kuala Lumpur pada 1961 diikuti oleh Kentucky Fried Chicken di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur pada 1973.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...