Showing posts with label 2009. Show all posts
Showing posts with label 2009. Show all posts

21 June 2013

Chronicle Of Singapore 1959-2009 (2009)

ISBN 978-981-4217-75-0
First Published 2009

Buku berbahasa Inggeris berjudul Chronicle Of Singapore 1959-2009 ini diterbitkan oleh Editions Didier Millet pada 2009. Tajuk sampingannya ialah "Fifty years of headline news". Walaupun harganya mungkin agak mahal iaitu RM138.00 tetapi nilai isi kandungan serta persembahan buku ini sememangnya amat menepati harganya. Buku setebal 380 muka surat yang berwarna warni ini mengandungi lebih kurang 2,270 tajuk berita mengenai Singapura yang pernah disiarkan oleh akhbar atau majalah dalam tempoh 50 tahun sejak 1959 hingga 2009. Terdapat lebih kurang 1,300 gambar dan ilustrasi yang menghiasi halaman buku ini yang menggunakan kertas bermutu tinggi. Berita-berita penting dan menarik dalam pelbagai topik seperti sukan, hiburan, politik, tragedi, jenayah, seni dan sebagainya disusun mengikut kronologi tahun bagi menggambarkan sejarah perjalanan negara Singapura. Sebagai bonus, disertakan sekeping cakera DVD khas yang tidak ada dijual di mana-mana, yang berdurasi 1 jam 8 minit dan mengandungi pelbagai petikan video sumbangan National Archives Of Singapore & Mediacorp. Buku dan DVD ini sememangnya sebuah penerbitan yang sangat menarik dan bernilai tinggi. Di bawah adalah senarai sekadar 14 entri ANX terdahulu yang ditulis berdasarkan maklumat dan gambar daripada buku Chronicle Of Singapore:

Pembedahan menukar jantina pertama di Singapura (1971)
Bolasepak wanita Piala Malaysia (1976)
Pesawat MAS dirampas dan terhempas di Johor (1977)
Separuh akhir Piala Malaysia - Singapura vs. Selangor (1977)

Mesin judi dalam pesawat Singapore Airlines (1981)
Singapura haramkan majalah Cosmopolitan (1982)
Patung gadis Melayu Singapura (1984)
Pawagam drive-in Singapura ditutup (1985)
Khidmat 'tong taik' di Singapura ditamatkan (1987)

Chewing Gum diharamkan di Singapura (1992)
Singapura menang Piala Malaysia (1994)
Konsert Kitaro di Singapura (1995)
Pemain bolasepak Abbas Saad (1995 & 2011)
Perkahwinan Fandi Ahmad (1996)

Beberapa imej video daripada DVD Chronicle Of Singapore 1959-2009:

1970-an
1980-an
2000-an

20 June 2011

Majalah Gedung Kartun (2009)

Majalah Gedung Kartun keluaran pertama telah dikeluarkan pada 1 September 2009. "Majalah Jenaka Alternatif" setebal 68 muka surat ini telah diterbitkan oleh Sepakat Efektif Sdn Bhd dan dijual dengan harga RM4.00 senaskah. Pandangan awal berdasarkan nama majalah Gedung Kartun ini, ia boleh dikatakan hanyalah sebuah lagi majalah kartun tempatan yang biasa, tetapi apabila dilihat pada kartun utama di muka hadapannya, jelas sekali majalah ini mempunyai isi kandungan yang sangat jauh berbeza daripada majalah-majalah kartun yang pernah diterbitkan di Malaysia sebelum itu.

Muka hadapan Gedung Kartun Vol: 01 memaparkan karikatur Perdana Menteri (PM) Malaysia yang sedang mengibarkan sebuah bendera sambil melaungkan "Merdeka". Watak kanak-kanak bernama Dol Kerepek diperlihatkan menegur "Tuan" PM mengenai kesalahan beliau dalam memilih bendera untuk dikibarkan. Hanya melalui kartun utama itu dapat disimpulkan mengenai keberanian penerbit dalam menghasilkan majalah kartun "alternatif" ini. Adakah masyarakat umum dan pembaca di Malaysia semakin terbuka dan dapat menerima kritikan atau sindiran dalam bentuk kartun sebegitu? Mungkin ya dan mungkin tidak, bergantung sepenuhnya kepada siapa yang disindir dan pihak mana yang pembaca tersebut sebelahi. Adakah pihak yang disindir boleh berdiam diri dan menerima sindiran sebegitu? Mungkin ya dan mungkin tidak, bergantung kepada seserius manakah sindiran itu dan sebesar manakah kuasa yang mereka ada untuk bertindak balas.

Majalah Gedung Kartun dikelola oleh kartunis Zunar sebagai Ketua Editor dan juga pengkarya. Kartunis lain yang terlibat ialah seperti Jonos (turut melukis muka hadapan), Ronasina, Cabai dan lain-lain. Turut serta menyumbangkan karya ialah Pyanhabib dan A. Samad Said. Isi kandungan majalah ini keseluruhannya menyentuh mengenai dunia politik serta isu sosial dan semasa tempatan. Menurut tulisan prakata oleh Zunar, majalah ini "menawarkan kandungan dengan mesej berat yang disampaikan dalam bentuk santai", "tidak hanya bersifat lucu tetapi ia juga menyadur mesej yang mengkritik, mengulas, mengolah, memberi informasi dan kesedaran tentang isu-isu yang semasa". Dalam ruangan penafian pula tertulis: "Tulisan atau lukisan yang disiarkan tidak bertujuan untuk memburukkan sesiapa atau cuba melahirkan apa-apa provokasi tapi hanyalah satu idea atau pandangan dari setiap mata kaca pelukis/penulis itu sendiri"

Antara tajuk-tajuk kartun/tulisan yang disiarkan dalam Gedung Kartun ialah Perampok Merdeka, Ragam Datuk Nazak, Negaraku, Nostalgia 98, DemoKERASi, 2 Tun, Peludah Bahasa, Selangor Tanah Airku dan lain-lain. Karya-karya yang disiarkan sememangnya menarik dan sesungguhnya suatu alternatif kepada penggemar kartun yang sebelum itu hanya dihidangkan dengan lambakan kartun komedi biasa tanpa isi kandungan yang serius. Namun begitu pembaca yang kurang mengikuti perkembangan semasa di Malaysia mungkin agak sukar untuk memahami beberapa karya terutamanya yang 'terlalu ringkas tanpa penjelasan lanjut' yang dipaparkan (apa lagi kalau majalah ini dibaca semula oleh generasi akan datang). Gaya lukisan (termasuk sedikit muka surat berwarna) juga agak menarik terutamanya yang melibatkan seni karikatur.

Walau bagaimanapun, tema utama majalah Gedung Kartun yang jelas memihak kepada pihak 'pembangkang' pastinya sukar untuk diterima oleh sebahagian besar masyarakat umum, dan adalah tidak mengejutkan apabila majalah ini akhirnya telah diharamkan oleh pihak 'kerajaan' hanya selepas satu keluaran sahaja. Tentu menarik sekiranya majalah ini dapat terus diterbitkan dan pada masa yang sama mungkin para penerbit lain dapat menerbitkan pelbagai lagi majalah kartun sealiran yang memihak kepada beberapa golongan yang berbeza. Pastinya semua orang akan berpeluang mendapat bahan bacaan yang diinginkan mengikut citarasa masing-masing. Tapi apa kan daya, tahap keterbukaan dalam berkarya dan kebebasan untuk menyampaikan pendapat masih lagi disekat buat masa sekarang.

25 January 2011

Poster Marion Caunter (2009)

Marion Caunter mula dikenali sebagai pengacara di saluran 8TV melalui rancangan bual bicara pendek berjudul Quickie. Pada 2009 Marion dipilih untuk menerima anugerah Hot Chick dalam program Shout! Awards yang pertama kali diadakan tahun itu. Apabila ditanya mengenai kemenangannya itu dia berkata, "Saya ingat Fazura yang akan menang pada malam itu. Malah kecantikan Daphne Iking juga tidak boleh dipertikaikan walaupun dia sudah bergelar ibu. Dia tetap hot mama di mata saya. Tetapi mungkin kerana tuah, saya terpilih sebagai pemenang". Apa yang pasti, Marion sememangnya mempunyai peminat yang ramai, kerana pemenang dipilih berdasarkan undian umum yang terbanyak. Dua lagi calon yang dikalahkan oleh Marion dalam kategori tersebut ialah Marsha (peserta Akademi Fantasia 2005) dan Andrea Fonseka (pemenang Miss Malaysia-Universe 2004). Selepas kemenangan tersebut, majalah Media Hiburan telah menerbitkan poster Marion Caunter yang bersaiz 3 muka surat ini.

Pada 16 Disember 2010, Marion yang berusia 30 tahun telah melangsungkan perkahwinan dengan SM Nasaruddin yang berusia 3 tahun lebih muda daripadanya. Marion mengekalkan nama penuh asalnya, Marion Rose Caunter.

Nota tambahan:
Filem pertama lakonan Marion Caunter pada 2009 yang berjudul Misteri Jalan Lama arahan Afdlin Shauki akhirnya akan ditayangkan dalam tahun 2011.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...