Showing posts with label girl group. Show all posts
Showing posts with label girl group. Show all posts

30 June 2013

Kumpulan M's Teen (1993)

Feb. 1993
Hampir serentak dengan kemunculan kumpulan Res2 pada awal 1993, turut muncul pada waktu itu ialah sebuah lagi kumpulan rap gadis remaja yang diberi nama M's Teen, yang membawa maksud Malaysia's Teenagers.

Kumpulan M's Teen ditubuhkan selepas 4 orang anggotanya - Shankey, Jaja, Myra & Intan - menyertai pertandingan Street Rap yang diadakan di Pasar Budaya, Kuala Lumpur pada awal 1993. Walaupun mereka tidak memenangi pertandingan itu, tetapi bakat yang ditunjukkan oleh mereka telah menarik minat syarikat rakaman Denoris Records yang menawarkan kepada mereka untuk menjadi artis rakaman. Bagi melengkapkan kumpulan M's Teen, seorang penyanyi yang pernah menyertai pertandingan akhir Asia Bagus 1992 iaitu Dilla telah dimasukkan ke dalam kumpulan itu. Kelima-lima anggota kumpulan M's Teen ketika itu berusia 16 tahun.

Album pertama kumpulan M's Teen keluar di pasaran seminggu selepas keluarnya album pertama kumpulan Res2, iaitu pada 29 November 1993. Album yang berjudul M's Teen itu menampilkan gabungan muzik genre rap, R&B dan pop. Sebagai kelainan, album itu turut menampilkan beberapa lagu duet bersama penyanyi lelaki, iaitu lagu Simfoni Kasih (nyanyian Dilla M's Teen & Johan Nawawi), dan lagu Don't Let Your Life Fade Away (nyanyian Jaja M's Teen & Razzi Rahman). Lagu berentak perlahan, Simfoni Kasih menjadi popular dan turut dijadikan lagu tema filem Femina arahan Aziz M. Osman yang ditayangkan pada Mac 1994.

Pada awal 1994, kumpulan M's Teen telah diberi peluang untuk menjadi pelakon undangan dalam siri TV popular Cili Padi arahan Aziz M. Osman. Mulai April 1994, mereka berlima mula mengurangkan aktiviti sebagai penyanyi untuk memberi tumpuan kepada peperiksaan SPM pada hujung tahun itu. Nama kumpulan M's Teen tenggelam selepas itu berbanding artis sealiran & seangkatan dengan mereka, kumpulan Feminin & Res2.

Dis. 1993

27 June 2013

RTM gam Elite (1999)

Pada Sabtu, 9 Oktober 1999, anggota kumpulan Elite, Watie (Norwati Sadali) yang berusia 23 tahun telah ditahan oleh pihak berkuasa di Jalan P. Ramlee, Kuala Lumpur pada sekitar pukul 3.40 pagi, atas 2 kesalahan trafik iaitu memandu kereta dalam keadaan mabuk dan memandu kereta tanpa lesen yang sah. Pada 12 Oktober 1999, Watie telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Kuala Lumpur di mana dia mengaku bersalah dan telah menerima hukuman denda sebanyak RM1800.

Pihak pengurusan kumpulan Elite iaitu KRU Records kemudiannya telah menggantung keahlian Watie selama 3 bulan berkuatkuasa mulai 24 Oktober 1999. Tidak cukup dengan hukuman-hukuman tersebut, pada 31 Oktober 1999, pihak akhbar melaporkan bahawa stesen penyiaran RTM pula mengambil tindakan susulan dengan mengharamkan (atau gam) penyiaran lagu-lagu kumpulan Elite melalui semua saluran radio & televisyen milik RTM. Walau bagaimanapun, tempoh pengharaman tersebut tidak dinyatakan.


Nota tambahan:
Watie Elite baru saja muncul sebagai pelakon tambahan dalam filem Pecah yang mula ditayangkan di pawagam sejak 13 Jun 2013.

22 June 2013

Isu gay dalam lagu kumpulan Elite (1998)

Dalam bulan Mac 1998, kumpulan Elite telah mengeluarkan album kedua mereka yang berjudul Tamparan. Terdapat beberapa lagu popular dalam album tersebut, antaranya ialah Tamparan Wanita, Sesuatu Di Dalam Dirimu & Trauma. Kumpulan KRU sebagai pencipta lagu-lagu kumpulan Elite turut menghasilkan sebuah lagu yang menyentuh isu gay.

Lagu yang diberi judul Dirinya Dirimu Diriku itu berkisarkan tentang konflik percintaan seorang wanita apabila dia mendapat tahu rahsia bahawa teman lelakinya turut mempunyai hubungan percintaan dengan seorang lelaki lain. Senikata lagu itu menyarankan bahawa teman lelaki si wanita itu sekadar berpura-pura mencintai si wanita demi untuk mengaburi mata orang ramai daripada mengetahui bahawa dia sebenarnya adalah gay. Baris akhir senikata itu menyimpulkan bahawa motif penipuan si lelaki itu ialah kerana untuk menjaga statusnya yang berkemungkinan merupakan seorang yang ternama.

DIRINYA DIRIMU DIRIKU
(pencipta lagu & penulis senikata: KRU - Norman, Yusry & Edry)

Desas desus ku diberitahu
Apa berlaku di belakangku
Memang percaya memangnya benar
Tiada angin pohon tak bergoyang

Kini terjadi tidak dinafi
Mata sendiri menjadi saksi
Jangan kau tentang yang jelas terang
Cinta kau songsang hina dan curang

Dirinya dirimu diriku
Katakan padaku betapa malu
Dirinya dirimu diriku
Katakan saja rahsia dirimu
(Katakan saja rahsia hidupmu)

Apakah kau sangka ku boneka
Diam memejam mata
Maaf salah masa salah wanita untuk kau dusta
Kau bukan lelaki sebenar

Cukuplah sudah segala helah
Aku perintah berpaling arah
Tidak ku mahu lagi bertemu
Diriku malu apa berlaku

Cuba sedarlah cinta kau dosa
Dan sampai bila tidak ke mana
Guna wanita untuk mengabur mata
Berpura-pura status dijaga















Nota tambahan:
  • Suatu kebetulan yang menarik ialah, apabila album kumpulan Elite, Tamparan, dikeluarkan dalam bulan Mac 1998, pada bulan itu jugalah keluarnya album To'ki yang mengandungi lagu Joget Menyanyi yang senikatanya juga turut menyentuh isu gay.
  • Lebih kurang sebulan selepas keluarnya album Tamparan, kumpulan Elite telah dilanda masalah apabila salah seorang anggotanya, Abby Elite, telah digantung keahlian kerana "masalah disiplin" (menurut kenyataan pihak pengurusan kumpulan Elite). Setelah digantung keahlian sehingga Jun 1998, Abby Elite & pihak pengurusan kumpulan Elite masih tidak dapat menyelesaikan masalah tersebut sehingga menyebabkan Abby Elite terpaksa disingkirkan. Abby yang tidak lagi dibenarkan menggunakan nama gelaran Elite selepas itu telah menukarkan namanya kepada Abby Abadi.
  • Setahun selepas keluarnya album Tamparan, kumpulan Elite dilanda kontroversi apabila gambar lucah Linda Elite (yang dikatakan palsu) telah tersebar dalam internet pada Mac 1999, manakala pada lewat tahun yang sama Watie Elite telah mengaku bersalah di mahkamah atas dakwaan memandu kereta dalam keadaan mabuk. Sebagai hukuman tambahan, lagu-lagu kumpulan Elite kemudiannya telah diharamkan siarannya oleh stesen penyiaran RTM (rujuk entri-entri akan datang).

28 April 2013

Kumpulan Res2 (1993)

Dalam tempoh 2 bulan selepas Feminin diperkenalkan sebagai kumpulan rap wanita yang pertama, muncul pula 2 buah lagi kumpulan rap wanita iaitu Res2 dan M's Teen, kedua-duanya diperkenalkan dalam waktu yang hampir sama pada awal 1993.

Kumpulan Res2 - disebut sebagai Restu - ditubuhkan pada penghujung 1992 ketika demam muzik rap sedang melanda Malaysia. Mungkin berinspirasikan nama kumpulan rap yg sedang popular iaitu 4U2C, maka Res2 juga memilih nama yang menggunakan nombor sebagai pengganti (sebahagian) perkataan. Pada mulanya pihak media cetak agak bercelaru untuk menulis nama Res2, ada yang menulisnya sebagai Rest-2 dan ada pula yang menulisnya sebagai Res'2. Hanya selepas album mereka dikeluarkan tidak lama kemudian barulah ejaan nama Res2 dapat dipastikan.


Anggota Res2 semasa awal kemunculan mereka ialah Baby Arin (15 tahun), Erin (18 tahun), Ezza (17 tahun), Yati (17 tahun) & Wati (17 tahun). Mereka berlima pada asalnya merupakan penari sambilan dalam kumpulan Tag Dancers pimpinan Shawal. Tugas mereka ketika itu ialah sebagai penari iringan kepada penyanyi-penyanyi popular yang membuat persembahan pentas. Pengarah Promosi syarikat rakaman Suria Records (SRC) iaitu Mas Omar telah mengesan bakat mereka dan seterusnya membentuk mereka menjadi sebuah kumpulan penyanyi.


Pada November 1993, album pertama Res2 berjudul 3C - Cita-Cita & Cinta mula dipasarkan oleh SRC. Album lagu-lagu pop, tarian dan berunsur rap itu mendapat perhatian meluas dan dilaporkan menerima tempahan awal sebanyak 30 ribu unit. Antara lagu popular Res2 ialah Kepastian Dan Pengertian yang muziknya digubah oleh kumpulan hip hop terawal Malaysia, Krash Kozz. Lagu-lagu lain dalam album tersebut ialah 3C, Rasa Sayang, Pesta Res2, Jejaka Idaman, Wawasan & Remaja. Sebuah lagi lagu yang berjudul Sentuhan Cinta ialah saduran daripada lagu popular "(Dying Inside) To Hold You" nyanyian asal penyanyi dari Amerika, Timmy Thomas.


Pada 1994, Res2 telah ditampilkan sebagai penyanyi undangan dalam filem Putera arahan Zulkeflie M. Osman. Pada waktu itu juga mereka mula ditonjolkan oleh majalah-majalah hiburan dalam gaya dan imej yang seksi, terutama sekali anggota dua beradik, Baby Arin & Erin.

Petikan filem Putera (1994)

Nota tambahan:
Baby Arin masih terlibat dalam bidang hiburan walaupun kurang aktif. Filem terbaru lakonannya, Kecoh! Hantu Raya Tok Chai, sedang ditayangkan di pawagam sejak 18 April 2013 yang lalu.

29 March 2013

Kumpulan Elite (1996)

Pada sekitar hujung 1996, syarikat penerbitan KRU Records telah mengeluarkan album artis pertama naungan mereka iaitu kumpulan penyanyi wanita yang diberi nama Elite. Album pertama Elite yang berjudul Catwalk mengandungi lagu-lagu popular seperti G.I.G dan Manisnya Senyuman Mu. Sebagai strategi pemasaran mungkin, album tersebut juga menampilkan Elite berpadu suara bersama kumpulan KRU dalam sebuah lagu yang berjudul Di Pintu Syurga.

Kumpulan Elite yang membawakan lagu-lagu berentak pop & tarian dianggotai oleh 5  orang gadis iaitu Watie, Linda, Sasha, Azza & Abby. Kumpulan Elite pantas menjadi sebutan ramai sejak kemunculan pertama mereka kerana pada ketika itu arena muzik Malaysia sememangnya kekurangan kumpulan penyanyi wanita selepas pudarnya populariti kumpulan muzik rap. Kelima-lima anggota kumpulan Elite kemudiannya telah melalui pelbagai kontroversi bermula dengan kes penyingkiran Abby selepas keluarnya album kedua mereka, Tamparan pada 1998.

Nota tambahan:
  • Album pertama kumpulan Elite keluar pada sekitar waktu yang sama dengan album pertama kumpulan penyanyi wanita antarabangsa, Spice Girls, yang juga dikeluarkan pada sekitar hujung 1996.
  • Kumpulan Elite pernah mengeluarkan VCD yang mengandungi rakaman temubual berserta koleksi klip video lagu-lagu mereka pada 1998 (akan cuba diarkibkan dalam entri akan datang, begitu juga dengan kisah-kisah kontroversi dan panas mereka yang pernah menggegarkan arena hiburan Malaysia, akan cuba diarkibkan walaupun bukan dalam masa terdekat)
  • Artis kedua selepas Elite yang bernaung di bawah syarikat penerbitan KRU Records ialah kumpulan penyanyi lelaki, Indigo pada 1997.

19 March 2013

Lagu Wawasan oleh Res2 (1993)

Res2 ialah kumpulan penyanyi wanita kedua selepas Feminin yang muncul semasa zaman 'muzik rap' sedang meningkat popular di Malaysia pada sekitar awal 1990-an. Res2 telah mengeluarkan album pertama berjudul "3C - Cita-Cita & Cinta" pada 1993. Salah satu daripada 10 buah lagu yang terdapat dalam album tersebut berjudul Wawasan.

Lagu Wawasan oleh Res2 berentak tarian dengan menampilkan gaya rap dalam nyanyian. Seperti yang diketahui umum, tajuk lagu tersebut merujuk kepada idea Wawasan 2020 yang dicetuskan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, Dr. Mahathir Mohamad, pada 1991.

Rujukan kepada idea Wawasan 2020 dalam bidang seni dan hiburan sememangnya menjadi ikutan ramai pada sekitar waktu itu. Di kalangan artis rap, kumpulan KRU memulakannya dengan mengeluarkan lagu 20/20 pada 1992. Selain artis rap, kumpulan muzik rock juga tidak ketinggalan dalam mengabadikan idea Wawasan 2020 ke dalam karya-karya mereka.

WAWASAN
(pencipta lagu: Mei Sian / penulis senikata: Mahzan B)

Kami Res2 datang lagi, era baru dikecapi
Satu arah ke wawasan, kami rakan tetap diteguh

Ikut rentak irama ini, jangan lupa wawasan ini
Demi satu matlamat untuk tari tarian bentuk seni
Hidup kita pasti berjaya, demi harga maruah diri
Harus ingat pada janji wawasan, cipta pasrah abadi

Kita perlu berani dalam menuju wawasan ini
Walau ada yang halangi, terus jua mengharungi
Walau letih menghantui, lincah pantas menari
Sering langkah murni walau mana kita pergi

Kami Res2! Kami Res2!
Usah cuba mengharapkan, pasti wujud kemajuan

Demi negara yang dicintai...

Kami Res2 datang lagi, era baru dikecapi (Yo! Yo! Yo!)

Kami Res2 datang lagi, era baru dikecapi
Satu arah ke wawasan, kami rakan tetap diteguh

Kami Res2 datang lagi, era baru dikecapi (Yo! Yo! Yo!)

Nota tambahan:
"2020 - 2,478 hari lagi"

22 April 2011

Kumpulan 3 Gees (1997)

3 Gees ialah nama sekumpulan penyanyi wanita atau girl group yang dianggotai oleh Adik, Atie dan Yanti. 3 Gees bermaksud Three Girls (Gs). Album pertama mereka berjudul 3 Gees diterbitkan oleh syarikat rakaman EMI Malaysia pada 1997. Berdasarkan imej dan gaya mereka pada kulit album dan iklan yang disiarkan, mungkin ramai yang menyangka bahawa 3 Gees membawakan lagu-lagu pop atau pun rap. Salah, 3 Gees sebenarnya adalah kumpulan dangdut! Ya, hujung 1990-an adalah zaman muzik dangdut kembali popular di Malaysia. Mungkin juga EMI tidak mahu menonjolkan 3 Gees dengan imej dangdut yang tipikal, maka jadilah imej mereka seperti yang dapat dilihat ini. Walau bagaimanapun terdapat satu tanda yang begitu jelas mengenai kedangdutan 3 Gees, iaitu dengan melihat kepada tajuk lagu popular mereka... Bang Pilih Bang! Begitu terserlah kedangdutannya.

26 December 2010

Feminin - kumpulan rap wanita yang pertama (1992)

Pada bulan Disember tahun 1992 peminat hiburan tempatan diperkenalkan kepada sekumpulan penyanyi wanita yang digelar Feminin. Wartawan Samsor Junet yang menemubual kumpulan Feminin untuk rencana pengenalan ini memastikan bahawa pembaca tidak tertanya-tanya siapakah di antara anggota kumpulan itu yang gemarkan minuman oren dan siapa pula yang gemarkan nasi goreng ayam. Kumpulan Feminin terdiri daripada 5 orang remaja yang masih bersekolah. Kesemua mereka sebelum itu pernah bergiat sebagai penari bersama syarikat Edrina Collection yang diuruskan oleh Eddriss Razhe yang kemudiannya juga bertindak sebagai pengurus kepada kumpulan Feminin.

Kemunculan kumpulan Feminin pada hujung 1992 ialah ketika demam muzik rap baru hendak bermula di Malaysia, iaitu setelah kumpulan 4U2C dan KRU berjaya mengeluarkan album pertama masing-masing dalam tahun yang sama. Oleh kerana itu, adalah tidak menghairankan apabila kumpulan Feminin yang baru hendak mencuba nasib dalam bidang nyanyian akan serta merta dibentuk untuk menjadi "kumpulan rap wanita tempatan yang pertama". Walau bagaimanapun, genre rap hanyalah merupakan batu loncatan untuk kumpulan Feminin menjadi popular kerana apabila mengeluarkan album pertama mereka dalam tahun 1993, kumpulan Feminin lebih dikenali dengan lagu pop dan lagu yang berentak tarian berbanding dengan lagu-lagu yang mempunyai banyak unsur rap.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...