Showing posts with label Fandi Ahmad. Show all posts
Showing posts with label Fandi Ahmad. Show all posts

06 May 2011

Perkahwinan Fandi Ahmad (1996)



Pemain bolasepak terkenal dari Singapura, Fandi Ahmad, telah melangsungkan perkahwinan dengan Wendy Jacobs pada 5 Disember 1996. Wendy atau nama Islamnya Nur Sarah Abdullah yang berusia 22 tahun merupakan seorang peragawati dari Afrika Selatan. Majlis perkahwinan mereka digelar sebagai "celebrity wedding of the year" oleh akhbar Singapura. Manakala sebuah majlis persandingan terbuka turut diadakan tiga hari kemudian bertempat di sebuah padang bolasepak di Yishun, Singapura. Majlis untuk orang awam itu pada mulanya dijadualkan berlangsung selama dua jam. Bagaimanapun pasangan pengantin popular itu dikejutkan dengan kehadiran lebih 13,000 para peminat Fandi dan orang ramai yang membanjiri padang tersebut. Sebahagian daripada pentas persandingan mereka turut pecah apabila diserbu oleh orang ramai yang ingin melihat mereka daripada dekat. Malangnya 10 orang pengawal yang bertugas serta dibantu oleh 40 ahli keluarga pengantin tidak mampu untuk mengawal suasana ketika itu. Akibatnya majlis tersebut terpaksa dipendekkan kepada cuma 15 minit sahaja.

17 April 2011

Singapura menang Piala Malaysia (1994)

Dalam perlawanan akhir bolasepak Piala Malaysia pada 17 Disember 1994, pasukan Singapura berjaya menewaskan pasukan Pahang dengan jaringan besar 4-0! Perlawanan hebat itu berlangsung buat pertama kalinya di Stadium Shah Alam, Selangor, yang baru dirasmikan pada Julai 1994. Sejak Malaysia merdeka pada 1957, perlawanan akhir Piala Malaysia berlangsung secara tradisi di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, yang hanya mampu memuatkan lebih 40,000 penonton. Sebaliknya pada hari itu, Stadium Shah Alam dibanjiri seramai 81,000 penonton, hampir 50,000 daripadanya merupakan penyokong Singapura!

Penyerang Singapura, Abbas Saad berjaya menyumbat sebanyak 3 gol dan melayakkannya dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan akhir, manakala kapten Singapura, Fandi Ahmad menjaringkan gol ke-4 pada minit ke-66. Semasa Fandi Ahmad menjulang piala berprestij itu, beberapa penyokong Singapura yang begitu teruja dengan kejayaan itu berjaya meloloskan diri masuk ke padang tetapi telah dihalang oleh pihak polis. Tahap kegembiraan penyokong dan pasukan Singapura sememangnya sangat tinggi kerana kali terakhir Singapura memenangi Piala Malaysia sebelum itu ialah pada 1980.

Hanya beberapa bulan kemudian, iaitu pada Februari 1995, pasukan Singapura yang diwakili oleh persatuan bolasepak Singapura (FAS - Football Association of Singapore) telah mengumumkan untuk menarik diri daripada pertandingan Piala Malaysia musim seterusnya dengan alasan untuk membangunkan pertandingan liga bolasepak mereka sendiri iaitu S-League yang kemudiannya berjaya dianjurkan bermula pada April 1996. Sebagai rekod, pasukan bolasepak Singapura merupakan juara pertama Piala Malaya pada 1921, dan sehingga 1994 mereka telah berjaya menjulang piala itu sebanyak 24 kali.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...