Showing posts with label mualaf. Show all posts
Showing posts with label mualaf. Show all posts

02 October 2013

Perkahwinan Hani Mohsin & Tiara Jacquelina (1993)

Pelakon terkenal Hani Mohsin Hanafi (28 tahun), hero filem Nadia (1992), melangsungkan perkahwinan dengan Tiara Jacquelina Eu Abdullah (26 tahun) pada 11 September 1993 di kediaman keluarga Hani di Ipoh, Perak. Tiara juga ketika itu merupakan seorang pelakon yang semakin terkenal setelah muncul dalam filem Mat Som (1990), namun pastinya tidak ramai yang mengingati penglibatan awal Tiara sebagai finalis Miss Malaysia-World 1986 ketika usianya 19 tahun dan menggunakan nama Jacquie @ Jacqueline Eu. Jacquie telah diberi nama "Tiara Jacquelina" oleh seorang penerbit filem dari Indonesia semasa sedang berlakon dalam filem pertamanya, Irisan-Irisan Hati (1988). Apabila Jacquie memeluk agama Islam sebelum berkahwin dengan Hani pada 1993, nama "Tiara Jacquelina" dikekalkan sebagai nama barunya.


Foto-foto majlis pernikahan Hani & Tiara ini dipetik dari majalah Perempuan keluaran November 1993 (20 tahun yang lalu!). Majlis persandingan mereka diadakan beberapa bulan selepas pernikahan. Penulis majalah tersebut mencatatkan bahawa Hani & Tiara "ditangkap berkhalwat oleh pegawai pencegah maksiat beberapa bulan lalu", dan penulis itu menyimpulkan bahawa "setiap sesuatu yang berlaku ada hikmah yang tersembunyi di sebaliknya".


Beberapa lagi foto majlis pernikahan Hani & Tiara di bawah:

25 June 2013

Perkahwinan Jacinta Lee (1999)

Pelakon tempatan, Jacinta Lee, pernah menggemparkan negara pada 1986 apabila dia mengaku bergambar bogel untuk majalah Playboy edisi Hong Kong. Pada 1999, Jacinta tampil membuat satu lagi pengakuan yang tidak kurang mengejutkan juga, di mana dia mengesahkan bahawa dia telah pun berkahwin dengan seorang lelaki Islam.

Majalah Media Hiburan (MH) keluaran November 1999 melalui artikel yang bertajuk "Jacinta nikah 'misteri muslim man' Oktober lalu" menyatakan bahawa Jacinta telah memeluk agama Islam pada awal Oktober 1999 dengan menggunakan nama Jasmina Lee Abdullah sebelum berkahwin dengan lelaki yang dirahsiakan namanya itu (Sampaikan satu huruf daripada nama lelaki itu pun tidak dapat didedahkan kepada umum. Yang pasti, nama lelaki itu bermula dengan salah satu huruf di antara A hingga Z!). Majlis perkahwinan Jacinta dengan 'misteri muslim man' dilangsungkan di Bukit Kiara, Kuala Lumpur, secara sederhana tanpa kenduri dan tanpa sebarang publisiti.


Apabila MH bertanya lebih lanjut tentang suaminya, Jacinta menjelaskan, "...saya tak boleh nak mendedahkan identiti suami saya kepada umum. Bukannya apa, cuma saya hormat permintaannya. Kalau saya dah bersedia untuk memperkenalkannya, saya akan beritahu". Jacinta juga menyangkal andaian bahawa dia bermadu. "Sebenarnya suami saya tu masih bujang semasa mengahwini saya", dedah Jacinta. Perkahwinan mereka sememangnya direstui oleh keluarga masing-masing. "Alhamdulillah, rumahtangga kami bahagia tanpa sebarang gangguan", akui Jacinta.

Nota tambahan:
Berdasarkan keratan akhbar lama yang baru ditemui, Jacinta Lee bukanlah wanita Malaysia pertama yang bergambar bogel untuk majalah Playboy. Telah ada wanita Malaysia lain yang mendahuluinya iaitu pada 1984 (rujuk entri akan datang, tapi bukan dalam masa terdekat, sebab senarai entri tertangguh sudah semakin banyak)

25 April 2013

Perkahwinan Wan Zaleha Radzi (1999)

Wan Zaleha Radzi ialah seorang personaliti televisyen yang terkenal sejak penghujung 1980-an. Dia pernah bertugas sebagai penyampai berita utama di TV3 dan pernah juga mengacarakan rancangan popular, Majalah 3. Boleh dikatakan Wan Zaleha begitu popular di kalangan penonton televisyen pada suatu ketika dulu, mungkin juga kerana kecantikan dan gayanya serta cara penyampaiannya yang sedap didengar menyebabkannya mudah menjadi perhatian ramai.

Wan Zaleha membuktikan bahawa personaliti televisyen juga boleh menjadi popular dan mempunyai peminat tanpa perlu terlibat dalam bidang hiburan. Walaupun begitu, majalah-majalah hiburan ketika itu tetap mengambil kesempatan terhadap populariti Wan Zaleha dengan menyiarkan poster serta rencana mengenainya seperti mana para selebriti hiburan yang lain. Sudah menjadi lumrah, setiap yang popular akan melalui zaman suram masing-masing, begitu juga dengan Wan Zaleha yang semakin dilupakan pada sekitar pertengahan 1990-an apabila munculnya para personaliti televisyen yang baru bagi menggantikan tempatnya.

Pada 8 Mac 1999, Wan Zaleha telah melangsungkan perkahwinan. Ketika itu dia berusia 35 tahun dan masih bertugas sebagai pengacara rancangan Dateline di ntv7. Berita perkahwinannya tidak dihebahkan kepada umum, namun dapat diketahui juga oleh para wartawan hiburan yang mungkin merasakan bahawa status selebriti Wan Zaleha masih kuat tarikannya dan pastinya ramai peminat ingin mengetahui kisah perkahwinannya yang ditunggu-tunggu sejak sekian lama.

Wan Zaleha berkahwin dengan seorang lelaki Australia bernama Peter Imran Abdullah yang berusia 50-an dan bertugas sebagai jurulatih sukan equestrian. Peter Imran turut menjadi jurulatih kepada Wan Zaleha yang sememangnya terlibat dalam sukan equestrian, dan mereka telah mula berkenalan sejak 1997. Majlis resepsi perkahwinan mereka dilangsungkan pada 4 April 1999 di sebuah hotel di Subang, Selangor. Dalam majlis itu, anak perempuan Peter Imran daripada perkahwinannya yang terdahulu, iaitu Alley, turut hadir dan menjadi pengapit kepada ibu tirinya, Wan Zaleha.


06 May 2011

Perkahwinan Fandi Ahmad (1996)



Pemain bolasepak terkenal dari Singapura, Fandi Ahmad, telah melangsungkan perkahwinan dengan Wendy Jacobs pada 5 Disember 1996. Wendy atau nama Islamnya Nur Sarah Abdullah yang berusia 22 tahun merupakan seorang peragawati dari Afrika Selatan. Majlis perkahwinan mereka digelar sebagai "celebrity wedding of the year" oleh akhbar Singapura. Manakala sebuah majlis persandingan terbuka turut diadakan tiga hari kemudian bertempat di sebuah padang bolasepak di Yishun, Singapura. Majlis untuk orang awam itu pada mulanya dijadualkan berlangsung selama dua jam. Bagaimanapun pasangan pengantin popular itu dikejutkan dengan kehadiran lebih 13,000 para peminat Fandi dan orang ramai yang membanjiri padang tersebut. Sebahagian daripada pentas persandingan mereka turut pecah apabila diserbu oleh orang ramai yang ingin melihat mereka daripada dekat. Malangnya 10 orang pengawal yang bertugas serta dibantu oleh 40 ahli keluarga pengantin tidak mampu untuk mengawal suasana ketika itu. Akibatnya majlis tersebut terpaksa dipendekkan kepada cuma 15 minit sahaja.

27 February 2011

Perkahwinan Edrie Hashim & Patricia (2002)

Edrie Hashim mula dikenali sebagai pemain gitar kumpulan rock Chapters pada 1991. Edrie yang juga seorang pencipta lagu pernah menerbitkan album kumpulan rock Candy pada 1997.

Patricia Robert ialah penyanyi kumpulan Candy yang telah ditubuhkan di Sarawak sejak 1992. Pat mula terkenal apabila sering muncul pada setiap kali stesen TV RTM ingin menamatkan siarannya dengan nyanyian lagu Sejahtera Malaysia. Ketika itu Pat mewakili penyanyi dari Sarawak. Kumpulan Candy berjaya merakamkan album pada 1997 dan popular dengan lagu berjudul Akan Ku Tunggu ciptaan Edrie Hashim.

Pada 2002, Edrie telah melangsungkan perkahwinan dengan Pat yang menukar namanya kepada Nurul Nadhirah.

25 January 2011

Poster Marion Caunter (2009)

Marion Caunter mula dikenali sebagai pengacara di saluran 8TV melalui rancangan bual bicara pendek berjudul Quickie. Pada 2009 Marion dipilih untuk menerima anugerah Hot Chick dalam program Shout! Awards yang pertama kali diadakan tahun itu. Apabila ditanya mengenai kemenangannya itu dia berkata, "Saya ingat Fazura yang akan menang pada malam itu. Malah kecantikan Daphne Iking juga tidak boleh dipertikaikan walaupun dia sudah bergelar ibu. Dia tetap hot mama di mata saya. Tetapi mungkin kerana tuah, saya terpilih sebagai pemenang". Apa yang pasti, Marion sememangnya mempunyai peminat yang ramai, kerana pemenang dipilih berdasarkan undian umum yang terbanyak. Dua lagi calon yang dikalahkan oleh Marion dalam kategori tersebut ialah Marsha (peserta Akademi Fantasia 2005) dan Andrea Fonseka (pemenang Miss Malaysia-Universe 2004). Selepas kemenangan tersebut, majalah Media Hiburan telah menerbitkan poster Marion Caunter yang bersaiz 3 muka surat ini.

Pada 16 Disember 2010, Marion yang berusia 30 tahun telah melangsungkan perkahwinan dengan SM Nasaruddin yang berusia 3 tahun lebih muda daripadanya. Marion mengekalkan nama penuh asalnya, Marion Rose Caunter.

Nota tambahan:
Filem pertama lakonan Marion Caunter pada 2009 yang berjudul Misteri Jalan Lama arahan Afdlin Shauki akhirnya akan ditayangkan dalam tahun 2011.

04 October 2010

Jacinta Lee dalam majalah Playboy (1986)

Seorang model tempatan yang juga bekas pemenang tempat kedua pertandingan Miss Malaysia, Jacinta Lee, telah menggemparkan negara apabila dilaporkan bahawa 5 keping gambarnya termasuk 1 gambar poster muka tengah, semuanya dalam keadaan berbogel ("topless", "braless"), telah disiarkan dalam majalah Playboy edisi Hong Kong keluaran bulan November 1986. Majalah Playboy diharamkan penjualannya di Malaysia, Brunei & Singapura.

Jacinta yang ketika itu berusia 26 tahun menerima bayaran sebanyak $26,000 untuk setiap keping gambar yang disiarkan. Sejak penyiaran gambar-gambar bogel tersebut, Jacinta menerima banyak tawaran untuk membintangi filem di Hong Kong. Walau bagaimanapun kerjaya dan prestasi lakonannya tidak begitu membanggakan. Antara filem yang dilakonkan oleh Jacinta ialah Keys To Freedom (1988), Angel II (1988), The Dadah Connection (1990), Kelisa (1992) dan The Deadly Disciple (2001)

Jacinta kurang aktif dalam dunia model dan hiburan setelah mendirikan rumahtangga pada 1999 dengan seorang lelaki Islam yang dirahsiakan identitinya.

Nota tambahan:
Hampir 20 tahun kemudian, iaitu pada April 2006, model dan pelakon tempatan, Amber Chia, telah muncul dalam keluaran pertama majalah Playboy edisi Indonesia. Ruangan Celebrity dalam majalah tersebut memaparkan 8 mukasurat gambar Amber yang berpakaian seksi tetapi tiada langsung aksi dia berbogel.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...