Showing posts with label kartunis Ujang. Show all posts
Showing posts with label kartunis Ujang. Show all posts

20 November 2010

Buku skrap Awas! KRU (1994)

Buku skrap Awas! diterbitkan oleh Kharisma Publications pada sekitar bulan September 1994. Kharisma Publications yang sebelum itu telah berjaya menerbitkan Majalah Ujang sejak awal tahun yang sama telah mengambil peluang untuk menerbitkan sebuah buku biografi mengenai kumpulan penyanyi KRU. Buku skrap Awas! diterbitkan di bawah label "Siri Produksi Ujang". Pada majlis pelancaran buku skrap Awas!, kartunis Ujang selaku editor memberitahu bahawa penerbitan buku skrap ini "merupakan pengenalan kepada orang ramai bahawa Kharisma Publications boleh menerbitkan buku seumpama ini". Kartunis Ujang juga memberitahu bahawa kos penerbitan buku skrap ini ialah sebanyak RM30,000 dan dicetak sebanyak 25,000 naskah. Buku skrap Awas! setebal 32 muka surat ini dijual dengan harga RM8.80 senaskah.

Walaupun isi kandungan buku ini dalam kategori biografi atau riwayat kehidupan anggota kumpulan KRU (Norman, Yusry & Edry), tetapi konsep persembahannya tidak sama seperti buku biografi lain yang biasanya memberi penekanan kepada penulisan serta sedikit gambar. Penerbitan biografi KRU ini dibuat dalam konsep buku skrap, yang menggabungkan tulisan, gambar, lukisan dan grafik yang disusun atur secara menarik, hampir menyerupai sebuah majalah. Penulis buku skrap Awas! ialah Norman KRU dan Lutfi Ismail, manakala kulit depan dan sedikit kartun di dalam adalah hasil lukisan kartunis Aie. Tajuk buku skrap ini (Awas!) adalah sempena tajuk album ketiga KRU yang telah dipasarkan dalam tahun yang sama.

Isi kandungan dan bab yang terdapat dalam buku skrap Awas! adalah seperti berikut. Disertakan juga beberapa petikan tulisan dan fakta yang dirasakan menarik:
  • Ruangan autograf (tanda tangan) KRU
  • Maklumat album Awas! & reKRUed
  • Maklumat album Canggih ("kesemua lagu melainkan Sekali Lagi telah diharamkan di radio. Sebabnya adalah penggunaan bahasa street seperti sempoi, gua, lu dan sebagainya. Satu lagi sebabnya adalah penggunaan dua bahasa dalam satu lagu iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia")
  • Penglibatan KRU dengan artis-artis lain (Ella, Seha, Feminin & Man Kidal)
  • Surat peminat (yang dihantar oleh Saliza Mohd Salleh, Ronisa Zaini & Azura Hj Ahmad)
  • Apa korang tau tentang muzik Rap ("Muzik Rap di Malaysia kini menghadapi dilema akibat pengharamannya oleh pihak kementerian. Maka banyak le kumpulan Rap yang terpaksa ubah sikit haluan demi masa depan sebagai artis rakaman. Macam tu jugalah kami dari KRU ini. Kita orang terpaksa banyak-banyakkan unsur R&B dan Soul pada lagu-lagu kami supaya mendapat tempat di radio dan TV")
  • Konsert! ("Konsert pertama - Persembahan bersama Eka dan Pak Pandir di Pesta Lumut, 29hb Ogos 1992", "Konsert solo pertama - Alor Setar, Kedah; 15hb Februari 1993", "Konsert terbaik - Life Centre, Kuala Lumpur; 23hb April 1994")
  • KRU sebagai usahawan (penubuhan KRU Productions pada 1 Oktober 1993, dan KRU Publishing pada 1 Januari 1994)
  • Dance KRU (kumpulan penari khas KRU yang dianggotai oleh Dino Azman bin Ramli, Hamzah bin Khalid, Suhaili bin Haron & Nurul Yakin bin Zakaria)
  • Lirik lagu Awas! ("Cerita di sebalik lagu ini mula tercipta apabila sering membaca kisah-kisah artis wanita bercinta dan mempunyai hubungan intim dengan golongan orang ternama dan berharta sedangkan perbezaan umur memang ketara sekali. Sesetengah itu, kurang pasti sama ada artis wanita itu benar-benar menyintai orang ternama itu atau hartanya", "Idea untuk menjudulkan lagu ini Awas! tercipta apabila sedang dalam kesesakan jalan raya di Kuala Lumpur dan melihat papan tanda Awas! di sepanjang jalan raya")
  • Lirik lagu Di Dalam Dilema ("Lagu ini tercipta apabila seorang penyanyi wanita terkenal meminta kami menulis sebuah lagu berkonsepkan dance ala Sepanyol". Setelah mendengar pendapat orang lain, KRU merakamkan lagu ini untuk album mereka sendiri dan memberi lagu lain kepada penyanyi wanita tersebut)
  • Lirik lagu KRU Is Wild ("Lagu ini tercipta setelah mendengar banyak kritikan dan kata-kata yang meruntuhkan semangat yang dilemparkan kepada kumpulan-kumpulan Rap di Malaysia. Ada yang mengatakan rappers di Malaysia tidak setanding rappers barat atau lebih teruk lagi rappers Malaysia tidak berkualiti")
  • Lirik lagu I.R.A ("muzik Rap dan Rock yang dimainkan oleh artis-artis Malaysia adalah selamat dan tidak bertentangan dengan moral orang timur. Untuk menjelaskan inilah, terciptanya I.R.A". Pemain gitar terkenal Man Kidal terlibat dalam rakaman muzik lagu I.R.A yang bermaksud Intelligent Rappers/Rockers Association)
  • Poster muka tengah (bersaiz 4 muka surat, terdapat beberapa gambar KRU di rumah & studio, serta gambar Norman sedang makan nasi bungkus dan menghidang air Coca Cola)
  • Lirik lagu Cherrina ("mengisahkan kisah benar yang terjadi kepada teman Norman di kolej semasa menuntut di Kuala Lumpur. Intro lagu ini membayangkan seolah-olah penyanyi itu bersendirian di tepi pantai mengingati pemergian kekasihnya ke rahmatullah. Kisahnya mengisahkan penyanyi itulah yang bertanggungjawab ke atas kematian kekasihnya disebabkan kecuaiannya di jalan raya")
  • Lirik lagu Mengerti ("dicipta pada penghujung tahun 1992, sebelum pelancaran album pertama kami Canggih. Melodi dan lirik lagu ini pulak diilhamkan ketika sedang main keyboard, dan ketika itu kami baru saja beli keyboard baru, KORG 01/W", "Kami serahkan kaset demo ini kepada EMI dengan harapan boleh diselitkan dalam album Canggih tapi mereka kata sudah terlambat", "Jadi terpaksalah lagu tu disimpan untuk album kedua kami")
  • Lirik lagu 20/20 ("Kami masih mengingati cara kami merakamkan demo lagu ini. Ketika itu, tidak mempunyai studio sendiri dan kami merakamkan lagu ini dengan hanya menggunakan hi-fi set dan satu microphone. Rakaman dilakukan secara serentak dan kami bersila mengelilingi microphone itu")
  • Lirik lagu Untukmu '94 ("Lagu ini telah dicipta pada tahun 1988 tetapi telah diberikan susunan muzik dan rentak baru pada tahun 1993 untuk kumpulan Feminin", "di atas permintaan ramai, kami membuat keputusan untuk menyanyikan lagu ini semula dengan cara penyampaian harmoni", "Norman menulis lagu asal ini pada tahun 1988 adalah untuk girlfriendnya ketika beliau terpaksa ke luar negara mengikut keluarga")
  • TV Recording & Video Shoot ("Video klip kita orang yang termahal sekali ialah untuk lagu Awas!. EMI syarikat rakaman kami keluar belanja sampai RM15,000. Termasuk le untuk sewa prop seperti Mercedes Limousine", "Untuk video klip Mengerti lagi best. Buat satu hari aje. Lepas habis show petang tu, kita orang terus pergi shooting kat parking kereta di KL. Pukul 2.00 pagi, lari ke Genting pulak, rehat kejap sampai pukul 7.00 pagi. Lepas tu sambung balik dan siap pada pukul 12.00 tengahari")
  • Sejarah KRU ("kita orang ni kaki bola jugak. Bukan main, tapi kaki tengok. Pantang je Selangor ada lawan, kita orang mesti turun punya", "Kita orang ni boleh kata penyokong setia Selangor le. Jadi dari situ, tergeraklah hati nak buat lagu untuk pasukan kesayangan kita orang", "Edry telah menulis lagu Viva Selangor dan dinyanyikan dalam rentak Rap oleh Norman dengan harapan lagu tu akan dimainkan pada setiap kali perlawanan Selangor turun ke Stadium Merdeka. Siap je lagu tu kita orang pun pergi la hantar ke Selangor F.A. Ntah macam mana dia orang kat Selangor F.A. tu suka lak dan setuju nak mainkan lagu tu. Punyalah suka hati kita orang. Dia orang mintak pulak kita buat satu lagu lagi. Kita orang pun buat le lagu Merah Kuning. Kemudian lagu-lagu tu telah dimainkan untuk lebih 40,000 penyokong Selangor di Stadium Merdeka. Tapi masa tu mutu rakamannya takde la best sangat, maklum le baru lagi kan. Jadi takde le sesiapa mengenali kita orang atau tau kumpulan KRU le yang buat lagu tu")
  • KRU sebagai production team
  • Famili (gambar keluarga KRU termasuk ibu bapa dan adik perempuan mereka, serta biodata ringkas ahli keluarga)
  • Nostalgia (koleksi gambar Norman, Yusry & Edry dari zaman bayi hingga ke zaman remaja)
  • Kata ibu tentang Norman, Yusry & Edry (Norman "pernah melompat dari beranda rumah ke bawah halaman konon nak jadi Superman". Bahagian ini turut menampilkan sedikit kartun lukisan kartunis Aie)
  • Rancangan masa depan ("kita orang nak berlakon dalam sebuah filem tempatan yang bercorak muzikal", "kemudian kita orang nak buat album soundtrack untuk lagu-lagu dari filem tu", "nak ambik artis baru dan bimbing di bawah syarikat KRU Productions", "cita-cita ingin meneroka industri dan pasaran antarabangsa", "nak rakam sebuah album Inggeris untuk dipasarkan sampai ke luar negara")
  • Tentang diri Norman ("Teenage idol: Simon Le Bon - Duran Duran", "Penyanyi kegemaran: Bobby Brown", "Kaset pertama yang anda beli: Prince")
  • Tentang diri Edry ("Teenage idol: The Beatles", "Penyanyi kegemaran: John Lennon, Morissey dan Depeche Mode", "Kaset pertama yang anda beli: Duran Duran")
  • Tentang diri Yusry ("Teenage idol: John Lennon / Paul Mc Cartney", "Penyanyi kegemaran: The Beatles", "Kaset pertama yang anda beli: Wham!", "Sekiranya anda boleh memutarkan masa dan pergi ke zaman silam, bila, ke mana, kenapa dan siapakah ingin anda ketemui: Ke Liverpool ketika The Beatles baru nak ditubuhkan untuk cuba memujuk dan bodek dia orang untuk dimasukkan dalam kumpulan mereka")
  • Press Release (koleksi keratan akhbar berkaitan KRU)
  • KRU Posse & Merchandise ("KRU Posse maknanya geng setia KRU", "KRU Posse ini adalah kelab peminat yang kami tubuhkan pada 1hb April 1993")

12 November 2010

Majalah Buletin Lubuk (1998)

Majalah Buletin Lubuk mula diterbitkan sebagai majalah tumpangan di dalam majalah Lanun keluaran ke-12 (1 Oktober 1997). Dengan kewujudan Buletin Lubuk secara sedemikian, telah menjadikan ketebalan majalah Lanun ketika itu bertambah sebanyak 48 muka surat lagi dan harganya juga bertambah sebanyak RM1.00 daripada harga asal RM3.90. Penerbitan Buletin Lubuk ketika itu tidak begitu konsisten kerana ada juga keluaran majalah Lanun yang tidak mengandungi Buletin Lubuk. Setelah lebih 10 keluaran Buletin Lubuk berjaya diterbitkan di dalam majalah Lanun, akhirnya pada 1 September 1998 (hampir setahun kemudian) Buletin Lubuk mula diterbitkan secara berasingan.

Majalah Buletin Lubuk yang diterbitkan setiap bulan ini menampilkan slogan "Menggeledah Khazanah Alam". Keluaran pertama majalah ini berharga RM4.50 dengan menggunakan kertas yang agak bermutu tinggi sebanyak 80 muka surat. Keistimewaan persembahan Buletin Lubuk dapat dilihat pada kulit depannya yang menampilkan lukisan yang begitu cantik pada setiap keluaran. Maskot majalah ini pula menampilkan gambar kartunis Ujang yang bertopi merah jenama Marlboro sedang memegang joran dan seekor ikan yang besarr punya. Seperti mana majalah Lanun, Buletin Lubuk juga diterbitkan oleh Multi Triple Vision Sdn Bhd yang diterajui oleh kartunis Ujang sebagai Pengarah Urusan. Setelah 8 keluaran berjaya diterbitkan, Buletin Lubuk tiba-tiba hilang daripada pasaran selama sebulan. Keluaran ke-9 Buletin Lubuk dan seterusnya diterbitkan oleh syarikat penerbitan lain iaitu Giant-Add Publishers Sdn Bhd.

Isi kandungan Buletin Lubuk adalah berteraskan kartun dan komik serta ruangan tulisan dan gambar yang kesemuanya mempunyai tema yang khusus berkaitan dengan aktiviti memancing. Terdapat banyak kartun semuka yang dinamakan Lawak Lubuk selain daripada beberapa kartun bersiri. Salah satu karya penarik dalam majalah ini ialah Siri Komik Lubuk yang ditulis ceritanya oleh kartunis Ujang dan dilukis dengan menarik oleh Hulubalang Lubuk. Siri Komik Lubuk menampilkan cerita yang berbeza dalam setiap keluaran tetapi semuanya berkaitan dengan pengalaman unik & misteri yang dialami oleh watak-watak kaki pancing. Ruangan tulisan pula menampikan rencana seperti berita aktiviti memancing, tips berguna serta ulasan lokasi pelancongan yang menarik.

29 October 2010

Majalah Varia Lawak & Lanun (1997)

Majalah Varia Lawak pertama kali dikeluarkan pada 15 April 1997. Majalah ini adalah kesinambungan daripada Majalah Ujang yang dihentikan penerbitannya setelah keluaran ke-74 (1 Mac 1997). Penantian para pembaca dan peminat Majalah Ujang yang menunggu keluaran seterusnya pada 15 Mac & 1 April akhirnya terjawab pada 15 April 1997, tetapi bukan dengan kegembiraan sebaliknya dengan seribu pertanyaan pula, apabila yang hadir di pasaran bukanlah Majalah Ujang sebaliknya majalah Varia Lawak yang kelihatan begitu mirip sekali dengan Majalah Ujang, hinggakan bentuk dan warna perkataan Lawak pada muka depan majalah ini juga kelihatan sama seperti perkataan (atau jenama) UJANG sebelum itu. Apa yang pasti, majalah Varia Lawak menampilkan kartunis Ujang.

Setelah membelek-belek muka depan majalah Varia Lawak, senarai kartunis dan warga kerja, serta isi kandungan di dalamnya, ternyata majalah ini adalah kelahiran semula Majalah Ujang, tetapi dengan menggunakan nama lain sahaja, iaitu nama ruangan hiburan (Varia Lawak) dalam muka tengah Majalah Ujang dahulu. Hampir semua kartun dan ruangan yang sebelum ini disiarkan dalam Majalah Ujang terdapat dalam keluaran pertama majalah Varia Lawak, kecuali dengan sedikit perubahan. Antara perubahannya ialah tiada lagi kartun semuka bernama Lawak Antarabangsa, ruangan Hoi Din Beramboi pula dinamakan sebagai Assalamualaikum Pak Din, manakala ruangan Editorial pula menjadi Tazkirah. Agak menarik juga apabila melihat iklan buku cerita Usop Sontorian yang sebelum ini pernah disiarkan dalam Majalah Ujang, tetapi dalam majalah Varia Lawak ini buku tersebut ditukar nama menjadi Usop Mersing! Daripada situ, pandangan awal pembaca dapat menduga bahawa kartunis Ujang ketika itu sedang berhadapan dengan masalah hakcipta.

Dalam ruangan Buletin Beramboi (nama yang sama seperti dalam Majalah Ujang), disiarkan berita pendek yang bertajuk "Ujang berpisah dengan Kharisma", disertai dengan gambar kartunis Ujang sedang merenung nasibnya di hadapan setimbun Majalah Ujang keluaran terakhir. Berita tersebut cuma menyatakan bahawa kartunis Ujang telah "menubuhkan syarikat penerbitannya sendiri iaitu Multi-Triple Vision Sdn Bhd", dan Varia Lawak adalah "majalah lama yang diberi nafas baru". Tiada penjelasan lanjut mengenai apa yang sebenarnya terjadi dengan Majalah Ujang.

Dalam keluaran ke-2 majalah Varia Lawak, ruangan Buletin Beramboi menyatakan: "Segala unsur-unsur syirik, takbur dan riak akan cuba disingkirkan dari majalah ini", "Diharapkan cita-cita murni ini dapat dilaksanakan demi menguatkan lagi kecintaan masyarakat kepada Islam". Selain itu terdapat poster kecil dengan lukisan gambar kumpulan nasyid Raihan yang bertajuk "Bersama Bangkitkan Syiar Islam". Ketika itu ramai pembaca sudah mula menyedari arah tuju majalah Varia Lawak yang banyak menyiarkan kartun dan isi kandungan yang berteraskan ajaran Islam dan pada masa yang sama mengurangkan unsur-unsur yang tidak baik dalam penyampaian humor.

Dalam keluaran ke-4 majalah Varia Lawak, terdapat kartun 6 muka surat yang bertajuk "Haaa? Ujang Dah Resign?!" lukisan kartunis Duku. Kartun tersebut menceritakan suasana di pejabat urusan Majalah Ujang ketika kartunis Ujang menghilangkan diri dan sudah beberapa hari tidak hadir ke pejabat. Khabar angin di kalangan kartunis dalam cerita itu mengatakan bahawa kartunis Ujang sudah meletakkan jawatan. Oleh kerana ketiadaan ketua yang boleh meluluskan bayaran claim mereka, ditunjukkan beberapa kartunis pergi untuk menjual kartun mereka kepada sebuah syarikat penerbitan di mana mereka semua terkejut apabila mendapati kartunis Ujang adalah pemilik syarikat baru tersebut. Di hujung kartun tersebut, kartunis Duku menulis: "Hidup Ujang! Eh, hidup Ibrahim Anon!!"

Selepas keluaran ke-4 majalah Varia Lawak, perubahan besar terjadi pada barisan kartunis yang menerajui majalah ini, di mana nama-nama seperti Gayour, Nik, Petai, Bawang, Ubi, Kobis Bunga, Keladi, Bacang, Padi & Manggis telah hilang daripada senarai nama kartunis, lantas menambahkan lagi misteri kepada kewujudan majalah Varia Lawak ini ketika itu.

Kartun bersiri paling popular dalam majalah Varia Lawak bertajuk Kartini, yang mula disiarkan dalam keluaran ke-5. Kartun drama komedi berdasarkan kisah benar karya kartunis Tembakau itu terus mencipta sejarahnya yang tersendiri dalam masa beberapa tahun selepas itu. Majalah Varia Lawak keluaran ke-7 (15 Julai 1997) merupakan keluaran terakhir, di mana pada muka belakangnya terdapat iklan majalah Lanun yang dikatakan "Akan Terbit!"

Setelah berakhirnya terbitan majalah Varia Lawak, muncul pula majalah Lanun pada 1 Ogos 1997 yang menggunakan slogan "Rekreasi Minda Anda!". Melihatkan nombor keluaran ke-8 yang tercetak pada muka depan majalah ini, dapatlah difahami bahawa Lanun bukanlah sebuah lagi majalah baru tetapi sekadar menukar nama dengan mengekalkan isi kandungan seperti keluaran majalah Varia Lawak sebelum itu, malah bentuk dan warna perkataan LANUN juga sama seperti Varia LAWAK. Satu perbezaan yang dapat dilihat ialah perubahan nama ruangan Assalamualaikum Pak Din yang ditukar menjadi Assalamulaikum Ujang.

Kehadiran majalah Lanun ini bersamaan tarikh dengan kemunculan semula Majalah Ujang keluaran ke-75, iaitu keluaran yang telah tergendala selama 5 bulan.

Pada keluaran ke-12 (1 Oktober 1997), majalah Lanun diterbitkan dalam edisi khas, iaitu berkembar sekali dengan majalah Buletin Lubuk. Sebelum itu, Buletin Lubuk merupakan ruangan berita aktiviti memancing yang disiarkan sejak daripada keluaran majalah Varia Lawak lagi. Uniknya majalah Buletin Lubuk ialah kerana semua kartun yang disiarkan mempunyai tema yang sama iaitu berkaitan dengan aktiviti memancing. Majalah tumpangan Buletin Lubuk akhirnya diterbitkan sebagai sebuah majalah yang berasingan pada 1 September 1998.

Pada keluaran ke-25 (1 Mei 1998), majalah Lanun telah menghentikan terus penggunaan maskot dan nama Din Beramboi atau Pak Din, satu tindakan yang dipercayai ada kaitannya dengan masalah hakcipta juga.

15 October 2010

Koleksi Abe (1995)

ISBN 983-050-001-2
Cetakan Pertama 1995

Kartun bersiri Abe yang mula disiarkan dalam Majalah Ujang keluaran pertama (1 Januari 1994) merupakan sebuah cerita hasil karya kartunis Ujang dan dilukis oleh seorang kartunis baru berbakat besar iaitu Aie. Kartun bersiri Abe yang bergenre drama komedi ini disiarkan sebanyak 33 siri dan berakhir dalam Majalah Ujang keluaran ke-37 (15 Ogos 1995). Tidak lama kemudian Kharisma Publications telah mengeluarkan buku koleksi kartun bersiri Abe, lantas membuktikan betapa popularnya kartun Abe ini ketika itu.

Buku koleksi Abe ini dimulakan dengan Kata Pengantar oleh kartunis Ujang, merangkap penulis cerita Abe. Tulisan satu muka surat kartunis Ujang itu mengalu-alukan kehadiran kartunis Aie dalam arena kartun tempatan. Kata kartunis Ujang, "aku dianugerahkan seorang insan yang amat istimewa pada pengamatanku. Seorang kartunis yang bakal mencipta nama sebaris dengan mereka yang telah ternama", "Lukisannya begitu matang dan meyakinkan", "kartunis muda yang bakal menyambung perjuanganku!", "BRAVO untuk kartunis Aie...!"

Cerita Abe ini mengisahkan tentang seorang kanak-kanak terencat akal, atau lebih sedap disebut insan istimewa, yang digelar Abe, yang mengalami liku-liku hidup suka dan duka semasa tinggal di sebuah kampung. Siri pertama Abe dimulakan dengan sebaris tulisan, "Berdasarkan daripada kisah benar yang telah ditokok tambah dan diolah sehingga menjadi karut. Sebuah cerita yang pasti akan mengganggu jiwa anda, yang pasti menyentuh naluri kemanusiaan anda"

Dalam beberapa siri awal Abe kita dapat melihat gaya lukisan kartunis Aie yang baru hendak mencipta identitinya. Lukisan Aie ketika itu masih kelihatan ringkas dan kurang 'hidup', tetapi lama kelamaan di sepanjang cerita Abe ini, dapat dilihat lukisan beliau semakin menunjukkan kematangan dan nampak lebih terperinci, contohnya seperti gambaran yang menampakkan banyak bayang-bayang, begitu juga dengan sudut gambaran dan pandangan yang lebih pelbagai tidak seperti dalam siri-siri awal Abe. Lukisan terakhir dalam buku koleksi Abe ini menunjukkan gambaran dari atas sebuah kampung dan pekan kecil.

Satu perbezaan di antara kartun bersiri Abe yang disiarkan dalam Majalah Ujang dengan buku koleksi Abe ini ialah di bahagian permulaan dan penutupnya. Sebelum siri pertama Abe dalam buku ini dimulakan, terdapat tulisan Prolog sebanyak 5 muka surat. Prolog itu memberi pengenalan kepada pembaca mengenai watak-watak dan lokasi cerita yang akan ditunjukkan dalam bentuk kartun nanti. Prolog itu juga memberi penjelasan tentang imej pertama Abe yang ditunjukkan sedang berjalan dan bersiul, yang mungkin tidak diketahui oleh pembaca tentang asal usulnya dari mana hendak ke mana. Manakala pada bahagian penutup selepas siri terakhir Abe juga terdapat tulisan sebanyak 3 muka surat yang menjelaskan beberapa lagi perkara bagi lebih mengukuhkan penutup kepada cerita Abe ini.

"Air matanya telah lama kering. Tuhan itu sesungguhnya maha adil"

08 October 2010

Majalah Ujang (1994)

Majalah Ujang pertama kali dikeluarkan pada 1 Januari 1994. Majalah kartun dan humor ini pada mulanya dikeluarkan hanya sekali dalam sebulan. Setelah 4 keluaran bulanan berjaya diterbitkan dan mendapat sambutan hebat, majalah Ujang mula dikeluarkan sebanyak 2 kali dalam sebulan pula. Majalah Ujang merupakan kesinambungan daripada kejayaan beberapa buah majalah kartun tempatan lain yang dipelopori dalam dekad 1970-an dan 1980-an, seperti majalah Gila-Gila, Gelihati dan Batu Api. Majalah Ujang menggunakan nama salah seorang kartunis tempatan paling terkenal iaitu Ujang. Kartunis Ujang mula terkenal ketika beliau berkarya dalam majalah Gila-Gila di mana beliau mencipta fenomenanya yang tersendiri ketika itu (dekad 1980-an) dengan menghasilkan beberapa karya popular seperti Aku Budak Minang, Aca, Atuk, Intelligent Blues Club dan Jibam. Keinginan kartunis Ujang untuk mencurahkan sepenuh ideanya dalam penerbitan majalah Gila-Gila pada awal dekad 1990-an tidak kesampaian lantas memaksa beliau menubuhkan Kharisma Publications Sdn Bhd pada 12 Oktober 1993 bagi menerbitkan Majalah Ujang.

Dalam ruangan editorial Majalah Ujang keluaran ke-5 (15 April 1994) seperti dalam gambar di atas, kartunis Ujang menulis: "Mula-mula aku handle produksi satu majalah humor sebelum UJANG ini, aku cuba menjadikannya majalah yang terkelakar dan menghiburkan. Tetapi mendapat tentangan dari editor dan pihak atasan dengan alasan konsep dan format yang aku buat tu nampak bodoh. Kononnya kita mesti nampak elit, kita mesti carry moral, mesti ada unsur-unsur educational dan macam-macam lagi. Merapu-merapu ni tak main, malu pada golongan cerdik-pandai. Maka sering le berselisih sehingga aku naik boring. Maka aku pun angkat kaki dan menerbitkan sendiri majalah yang benar-benar memberi kepuasan kepada diri aku sendiri dan pembaca semua. Tapi sejak akhir-akhir ni, aku tengok majalah tu pun dah berubah mengikut rentak UJANG dan begitu juga majalah-majalah humor lain. Kita dah boleh jumpa Pujaan Sirap (lagu-lagu merapu) di dalam majalah dia orang, kita dah boleh tengok pantun-pantun gila dalam column dia orang dan banyak lagi. Secara tak langsung dia orang telah mengiktirafkan UJANG sebagai market-leader"

Majalah Ujang pada mulanya berharga RM2.20 dan menggunakan slogan "Majalah Lawak Antarabangsa", manakala maskot majalah ini ialah watak lelaki kurang siuman yang dinamakan Din Beramboi. Selain watak Din Beramboi, Majalah Ujang juga terkenal dengan kartun bersiri Abe (karya Ujang, lukisan Aie) & Bersama Selamanya (karya & lukisan Gayour), dan juga novel bersiri Aku Hidup Dalam Blues (tulisan Toyon). Bahagian tengah Majalah Ujang yang dinamakan Varia Lawak menampilkan ruangan humor berkaitan dunia hiburan tempatan dan antarabangsa, serta pelbagai ruangan penulisan kreatif. Beberapa keluaran awal Majalah Ujang juga menampilkan penulis undangan seperti Ahadiat Akashah & Ras Adiba Radzi.

Dalam tempoh 3 tahun pertama kewujudan Majalah Ujang, tidak dapat dinafikan bahawa majalah ini berjaya menempa nama sebagai majalah kartun tempatan paling popular. Pelbagai barangan koleksi cenderamata Din Beramboi telah dihasilkan, termasuk 2 buah rakaman album komedi dalam bentuk kaset yang berjudul Radio 9 (1994) dan Live In Seremban (1995). Selain itu buku-buku kompilasi kartun Abe (1995) dan Bersama Selamanya Vol.1 (1996) juga turut diterbitkan. Malah watak kartun Usop Sontorian karya kartunis Ujang juga berjaya dihasilkan dalam bentuk animasi bersiri pada 1994 dan disiarkan oleh stesen TV tempatan tidak lama kemudian. Pada 1996 Kharisma Publications mula menerbitkan majalah Usop Sontorian khas untuk pembaca kanak-kanak dan pengikut siri TVnya. Dalam Majalah Ujang keluaran ke-70 (1 Januari 1997) sempena ulangtahun ke-3, ruangan Buletin Beramboi melaporkan bahawa Majalah Ujang berjaya mengekalkan jualan tertinggi sebanyak 360,000 naskah sebulan!

Di sebalik kejayaan yang dicapai, tanpa disangka-sangka oleh ribuan para peminat dan pembaca, Majalah Ujang keluaran ke-74 (1 Mac 1997) adalah merupakan keluaran terakhir Majalah Ujang! Selama 5 bulan berikutnya, Majalah Ujang 'hilang' daripada pasaran tanpa sebab yang pasti. Situasi tersebut menimbulkan keresahan dan tanda tanya di kalangan para peminat kartun tempatan. Tambahan pula ketika itu muncul sebuah majalah kartun lain yang hampir serupa dengan Majalah Ujang tetapi menggunakan nama Varia Lawak! (nama yang sama seperti segmen hiburan dalam bahagian tengah Majalah Ujang)

Akhirnya pada 1 Ogos 1997, Majalah Ujang kembali diterbitkan dengan keluaran yang ke-75, tetapi dengan beberapa perubahan, terutama sekali yang paling ketara ialah ketiadaan kartunis Ujang di dalam majalah yang menggunakan namanya sendiri! Selain itu novel bersiri Aku Hidup Dalam Blues juga dihentikan penyiarannya dengan tanpa kesudahan. Tiga bulan kemudian, Majalah Ujang telah menghentikan penggunaan nama maskotnya iaitu Din Beramboi, lalu digantikan dengan nama Pak Cik Din (maskot masih sama). Maka, bermulalah era baru Majalah "Ujang"

Mulai 1 Mac 1998, Majalah Ujang tidak lagi diterbitkan oleh Kharisma Publications apabila Pengarah Urusan yang baru iaitu Md. Othman Yusof (MOY) menukarkan nama syarikat penerbitan itu kepada nama MOY Publications Sdn Bhd.

Iklan keluaran pertama Majalah Ujang dalam surat khabar pada awal Januari 1994:

Utusan Malaysia (kiri) & Harian Metro (kanan)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...