25 December 2011

Kemalangan jalan raya 4 artis terkenal (1990)

Apabila mengimbas kembali kisah kemalangan jalan raya yang melibatkan artis terkenal pada 1990, nama Zaiton Sameon yang akan muncul dahulu kerana kesan yang menimpa beliau dianggap sangat tragis hingga ke hari ini. Oleh kerana itu tidak ramai orang yang mengingati kisah-kisah 'kemalangan popular' lain yang berlaku pada tahun yang sama.

Pada 18 Jun 1990 berlaku kemalangan yang melibatkan dua buah kereta di Gombak, Selangor. Salah sebuah kereta dinaiki oleh pemain gitar terkenal, Man Kidal, daripada kumpulan rock Lefthanded. Kemalangan yang berlaku pada pukul 10.00 malam itu mengakibatkan kematian anak bongsu Man Kidal iaitu Syafida yang berusia 18 bulan. Kereta yang mereka naiki ketika itu dipandu oleh pemain dram Lefthanded, Man Dayak, yang mengalami cedera ringan. Penumpang lain dalam kereta tersebut ialah 3 ahli keluarga Man Kidal iaitu isterinya, anak sulungnya (Farah) dan adik iparnya. Kesemua mereka mengalami kecederaan kecil.

Keesokan harinya, pada 19 Jun 1990 berlaku pula kemalangan yang melibatkan penyanyi Azmeer (kini pencipta lagu) dan Ramlah Ram. Kereta yang mereka naiki bersama ketika itu dipandu oleh sepupu Ramlah yang bernama Hamdan Harun. Mereka bertiga dalam perjalanan untuk keluar makan apabila kemalangan itu berlaku di Jalan Damansara, Kuala Lumpur pada pukul 11.30 malam. Akibat kemalangan tersebut, Azmeer yang duduk di kerusi penumpang bahagian depan cedera serius di bahagian muka dan mata kanannya dimasuki kaca, manakala Ramlah dan Hamdan sekadar cedera ringan.

Azmeer dibawa ke wad kecemasan Hospital Universiti pada pukul 12.33 tengah malam. "Menurut keterangan yang dikeluarkan oleh Pengarah Hospital Universiti, Dr. Gurmukh Singh, bahagian muka Azmeer dipenuhi kaca ketika dibawa ke wad kecemasan hospital tersebut". Pada awal pagi 20 Jun itu Azmeer terus menjalani pembedahan pertama yang tamat pada pukul 3.30 pagi. Pada petang hari yang sama keluarga Azmeer yang berasal dari Singapura telah mendapat kebenaran daripada Hospital Universiti untuk memindahkan Azmeer ke Hospital Besar Singapura. Azmeer dibawa keluar dari Hospital Universiti dengan kawalan rapi oleh ahli keluarganya yang menghalang para jurugambar daripada merakamkan wajah Azmeer secara dekat. Untuk pengetahuan, kemalangan tersebut bukanlah yang pertama buat Azmeer kerana beliau "pernah terlibat dalam satu kemalangan hingga mengakibatkan tangan kirinya cacat"

Kedua-dua kemalangan tersebut sememangnya tidak dapat 'menandingi' tragedi yang berlaku lebih awal pada 21 Februari 1990. Kisah sedih yang menimpa Zaiton Sameon itu kini sedang difilemkan dan akan ditayangkan pada 2012. Penyanyi popular 1980-an itu cedera parah di bahagian kepala setelah terlibat dalam kemalangan di Jalan Kuala Lumpur-Ipoh dekat Batang Kali. Kecederaan Zaiton dikatakan telah melemahkan daya ingatannya hingga memusnahkan terus kegemilangan yang pernah dikecapinya sebagai penyanyi suatu masa dahulu. Lebih menambahkan kesengsaraan ialah apabila anak tunggal Zaiton, Azirwan Abu Bakar, meninggal dunia dalam kemalangan yang sama. Van yang mereka naiki telah dilanggar oleh lori dalam kemalangan dahsyat itu (ada digambarkan dalam filem). Seorang lagi yang meninggal dunia ialah pemuzik pengiring Zaiton, Ismail Shaari.

Di bawah ialah gambar-gambar Zaiton Sameon semasa dirawat di Hospital Besar, Kuala Lumpur pada sekitar April 1990, iaitu semasa musim Hari Raya Aidilfitri:



Zaiton Sameon terlantar di Wad ICU & Wad 6A, Hospital Besar, Kuala Lumpur selama 83 hari sejak hari pertama kemalangannya. Gambar-gambar di bawah ialah keadaan beliau semasa hari terakhirnya di hospital itu pada 14 Mei 1990 sebelum dibenarkan pulang ke rumah. Masih kelihatan jelas kesan parut pada bahagian leher dan bawah mulutnya. Kakitangan hospital dan para peminat melambaikan tangan semasa melihat Zaiton dibawa pulang oleh ahli keluarganya.



Menurut cerita kakak Zaiton iaitu Lily Sameon, sejurus selepas kemalangan berlaku Zaiton dibawa ke Wad ICU dalam keadaan koma, mukanya bengkak serta patah kaki kiri. Melihat keadaan Zaiton ketika itu, doktor yang merawatnya meramalkan yang Zaiton tidak mempunyai harapan untuk hidup. Menurut Lily lagi, dalam proses rawatan selanjutnya semasa di hospital selepas itu, Zaiton sering meracau dan tidak dapat tidur. Keluarnya Zaiton dari hospital dalam keadaan selamat telah menidakkan ramalan awal doktor. Zaiton mungkin dilihat tidak sembuh sepenuhnya seperti keadaan asal semasa beliau bergelar penyanyi popular dahulu, tetapi pada ahli keluarganya Zaiton Sameon telah "hidup semula"

24 December 2011

Celebrity F.C (1995)



Celebrity F.C (Football Club) yang dianggotai oleh para selebriti dunia hiburan Malaysia dikatakan telah ditubuhkan pada 1990. Kelab bolasepak yang menyatukan para selebriti dalam aktiviti yang di luar daripada bidang mereka itu sering menerima jemputan untuk menyertai perlawanan terbuka dengan kelab-kelab bolasepak lain. Antara pencapaian terbaik Celebrity F.C ialah apabila mereka menjuarai Perlawanan Terbuka Piala Melati anjuran UMNO Selayang pada 1994 dengan mengalahkan 7 pasukan lain. Pada 1995 Celebrity F.C diterajui oleh penyanyi ND Lala yang bertindak sebagai Pengurus Pasukan. ND Lala yang turut bermain di bahagian tengah merupakan antara penyumbang gol buat Celebrity F.C. Lain-lain anggota pasukan Celebrity F.C termasuk pemain simpanan seperti dalam gambar di atas ialah:

Berdiri dari kiri - Roy (penyanyi / Penjaga Gol), Norazman (model & pelakon), Roy (kartunis), ND Lala (penyanyi / Pengurus Pasukan), Aris Ariwatan (penyanyi rock), Ijam Medicine (penyanyi rock, telah menyertai pasukan Malaysian Rockers United pada awal 2000-an), Isma Aliff (penyanyi & pelakon), Shahrul (pelakon), Along Kamaludin (pelakon / Penjaga Gol)

Duduk dari kiri - Amin (pendatang baru), Ahadiat Akashah (penerbit buku & komik), Kazar (pelakon / Ketua Pasukan), Accapan (pelakon), Yan Soper (penulis lirik), Redzuan Hashim (pelakon), Usop Kopratasa (penyanyi & penulis lirik)

Celebrity F.C kini telah berkubur. Mungkin faktor usia anggota pasukan, tambahan pula tiada pelapis dari kalangan selebriti muda yang berminat untuk meneruskan aktiviti sebegitu.

23 December 2011

Susu Mokhtar Dahari (1983)

Sebagai seorang selebriti terkenal, mengiklankan jenama atau barangan jualan adalah antara tugas-tugas khas yang sering ditawarkan kepada mereka. Bagi selebriti sukan, apa yang mereka makan tentu orang lain ingin makan, dan apa yang mereka minum tentu menyihatkan dan memberi tenaga dalam bersukan.

Pemain bolasepak legenda, Mohktar Dahari, mencapai kemuncak popularitinya pada 1983 apabila dijemput berlakon watak istimewa dalam filem Mekanik. Ramai orang berpusu-pusu mahu melihat Mokhtar muncul di layar perak. Selain itu pada tahun yang sama Mokhtar turut dipilih untuk mengiklankan sejenis barangan, iaitu susu!

Susu berjenama Frisiana - "Susu tepung penuh krim", "Khasiat dari Holland", "Baik untuk yang sedang membesar. Baik untuk dewasa"

10 December 2011

Bohsia Reggae (1995)

Sekitar 1994, gelaran Bohsia mula diperkatakan apabila membicarakan tentang masalah sosial remaja perempuan yang sedang berleluasa di Malaysia. Bohsia ialah "gelaran remaja perempuan yang suka berpelesiran, berfoya-foya, melepak, dan sering terlibat dalam kegiatan maksiat" (Kamus Dewan, 2007). Akhbar Harian Metro ketika itu pantas mempergunakan isu tersebut dengan menyiarkan bersiri-siri laporan khas mengenai Bohsia sehingga berjaya mempopularkan gelaran tersebut melalui tajuk-tajuk besar di muka hadapan akhbar itu. Walau bagaimanapun, arena filem tempatan ketika itu dilihat tidak cuba untuk mengangkat isu Bohsia tersebut ke dalam filem, kemungkinan besar kerana masalah berkaitan dengan penapisan filem yang masih hangat apabila filem seperti Perempuan, Isteri dan Jalang (1993) serta Amok (1995) telah menjadi mangsa sekatan. Apabila sistem klasifikasi filem mula diperkenalkan pada 1996, sebuah filem berjudul Litar Kasih yang cuba menyentuh sedikit isu Bohsia (kisah gadis pelajar yang terlibat dengan kegiatan mat motor, di mana istilah rempit belum wujud ketika itu) telah diterbitkan dengan diberi klasifikasi 18SX. Selepas itu tiada lagi filem yang memfokuskan kepada isu Bohsia dihasilkan sehinggalah akhirnya pada 2009 sebuah filem berjudul Bohsia berjaya diterbitkan dengan diberi klasifikasi 18PL.

Berlainan pula dengan arena muzik tempatan yang dilihat mendahului filem dalam mengangkat gelaran Bohsia ke dalam arena hiburan. Tanpa menunggu lama, pada 1995 seorang penyanyi baru bernama Shajiry terus muncul bersama albumnya yang berjudul agak lawak (tetapi serius) iaitu Bohsia Reggae! Agak jarang sesuatu gelaran negatif mahu diangkat sebagai judul lagu mahu pun judul album. Tetapi tidak bagi Bohsia, di mana melalui album tersebut Bohsia telah dijadikan seakan label penting untuk menarik perhatian para pendengar lagu mahu pun pembeli album. Album Bohsia Reggae mungkin tidak tercatat dalam sejarah muzik tempatan sebagai album terlaris jualannya seperti yang diharapkan, tetapi Bohsia Reggae tetap menjadi judul album tempatan paling kewl dan bahan ketawa para peminat muzik reggae di seluruh Malaysia.

08 December 2011

Sharifah Aini digelar Dolly Parton (1996)

Siapa peminat hiburan Malaysia yang tidak kenal artis luar negara yang bernama Dolly Parton? Walaupun muzik country bukanlah kegemaran rakyat tempatan, malah boleh diragui wujudnya pasaran untuk muzik country di Malaysia, serta tidak menghairankan sekiranya country ditafsirkan oleh sebilangan besar peminat hiburan tempatan sebagai 'negara' dan bukannya sejenis muzik, tetapi percaya atau tidak nama Dolly Parton sebenarnya tidaklah asing kepada mereka yang boleh dikatakan semuanya yakin bahawa lagu popular I Will Always Love You adalah nyanyian asal Whitney Houston dan bukannya Dolly Parton. Terkenalnya Dolly Parton di Malaysia sekitar 1980-an bukanlah kerana hasil nyanyiannya, tetapi publisiti tentang dirinya yang disiarkan oleh penerbitan hiburan tempatan lebih memfokuskan kepada kisah bentuk tubuh badannya atau lebih tepat lagi saiz payudaranya yang besar. Jadi, begitulah Dolly Parton menjadi terkenal di Malaysia, bukan kerana muzik dan lagunya tetapi kerana payudaranya semata-mata.

Hasil daripada terkenalnya (payudara) Dolly Parton di kalangan peminat hiburan tempatan telah menyebabkan wujudnya gelaran Dolly Parton Malaysia yang diberikan kepada beberapa orang selebriti tempatan yang memiliki ciri-ciri yang sama dengan Dolly Parton di mana ciri-ciri tersebut langsung tidak melibatkan perihal muzik country. Ziela Jalil ialah salah seorang daripada selebriti yang pernah menerima gelaran Dolly Parton Malaysia. Selain itu Sharifah Aini juga telah digelar Dolly Parton Malaysia oleh para peminatnya walaupun album lagu-lagu country beliau masih tertangguh pembikinannya hingga kini. Menurut majalah URTV pada 1996, "Gelaran itu dulunya ditujukan kepada Sahara Yaacob. Tahu-tahu... Kak Pah kita pula mendapatkannya". Sharifah Aini dikatakan "ketawa BESAR" apabila mengetahui tentang gelaran yang diterimanya itu. Kata Sharifah Aini, "Peminat saya ni ada yang nakal suka mengusik". Sharifah Aini tidak menolak gelaran tersebut atau menafikan persamaannya dengan bahagian tertentu Dolly Parton seraya berkata, "Saya faham usikan peminat saya"

Nota tambahan:
Gelaran Dolly Parton tidak lagi diberikan kepada selebriti tempatan sejak terkenalnya Pamela Anderson (artis berpayudara besar) di Malaysia susulan popularitinya melalui siri televisyen Baywatch yang mula ditayangkan di saluran MetroVision pada 1996.

06 December 2011

Lagu-lagu yang diharamkan oleh RTM (1989)

Pada 1980-an, stesen penyiaran Radio & Televisyen Malaysia (RTM) terkenal dengan ketegasannya dalam menghalang penyiaran lagu-lagu atas pelbagai sebab. Lagu-lagu yang tidak diluluskan atau diharamkan penyiarannya oleh RTM ketika itu biasanya dirujuk oleh orang ramai dan wartawan hiburan sebagai 'kena gam'. RTM tidak hanya mengharamkan sesebuah lagu untuk mengawal penyebaran kandungan yang tidak elok misalnya lirik yang kurang sopan atau lucah, tetapi lebih 'menarik' sekali apabila RTM juga bertindak mengharamkan lagu-lagu yang disifatkan oleh mereka sebagai sumbang (tidak sedap didengar). Dalam erti kata lain, ketika itu RTM menganggap diri mereka seolah-olah pakar dalam penilaian teknik nyanyian dan permainan muzik, maka mana-mana lagu yang tidak mencapai mutu rakaman yang ditetapkan oleh mereka tidak akan disiarkan. Terdapat juga sebab-sebab lain yang tidak berkaitan dengan lagu atau muzik yang boleh menyebabkan sesebuah lagu itu diharamkan, misalnya penyanyi lagu tersebut ialah lelaki berambut panjang, maka lagu tersebut akan kena gam.

Sepanjang tempoh keaktifan RTM dalam mengharamkan lagu-lagu iaitu sehingga tahun-tahun awal 1990-an, banyak lagi sebab yang diwujudkan apabila perlu bagi mengharamkan sesebuah lagu. Ketika muzik rap dan hip hop mula berkembang dengan lahirnya artis seperti KRU, lagu-lagu dwibahasa (Melayu-Inggeris) dan yang menggunakan bahasa pasar (seperti "sempoi", "gua/lu") turut diharamkan. Kemunculan lebih banyak stesen penyiaran (terutamanya radio) swasta pada pertengahan 1990-an yang tidak menghalang penyiaran lagu-lagu sedemikian telah perlahan-lahan menyebabkan usaha pengharaman lagu oleh RTM menjadi kurang berkesan kerana pendengar boleh mendengar lagu tersebut melalui stesen swasta.

Sebuah laporan eksklusif pada 22 April 1989 menyatakan bahawa RTM telah mengharamkan "sebanyak 71 buah lagu dari 20 buah album tempatan" hanya dalam tempoh 3 bulan pertama tahun itu. Dinyatakan bahawa sebab pengharaman lagu-lagu itu ialah:

"Kerana nyanyian" - 48 lagu
"Kerana masalah teknikal iaitu vow" - 8 lagu
"Kerana lagu saduran" - 8 lagu
"Kerana senikata" - 1 lagu
"Kerana ciptaan dan gubahan yang tiada keaslian" - 6 lagu

Tajuk lagu-lagu yang diharamkan oleh RTM:

1. Ababil (nyanyian Ababil) - kerana nyanyian
2. Halu Haloba (Ababil) - kerana nyanyian
3. Umpama Mimpi (Ababil) - kerana nyanyian
4. Warna Cinta (Ababil) - kerana nyanyian
5. Ringgit (Ababil) - kerana nyanyian
6. Rindu (Ababil) - kerana nyanyian
7. Badai Cinta (Ababil) - kerana nyanyian
8. Mawar Jingga (Ababil) - kerana "vow"
9. Hidup Topengan (Ababil) - kerana "vow"

Nota: Dengan pengharaman 9 buah lagu daripada album pertama kumpulan rock Ababil (gambar mereka disiarkan sedang tersenyum, pastinya sebelum mengetahui tentang pengharaman lagu-lagu mereka) menjadikan mereka artis paling banyak lagu diharamkan dalam senarai yang dikeluarkan itu. Satu-satunya lagu Ababil yang diluluskan untuk siaran berjudul Cinta Belum Berakhir.

10. Sisa Cinta (nyanyian Viking) - kerana nyanyian
11. Jeritan Irama (Viking) - kerana nyanyian
12. Teruskan Perjuangan (Viking) - kerana nyanyian
13. Pastikan Kebebasan (Viking) - kerana nyanyian
14. Damai dan Darah (Viking) - kerana nyanyian
15. Viking (Dalam Pelayaran) (Viking) - kerana nyanyian

16. Pancaran Laser (nyanyian Laser Ray / album Pancakara Di Cakerawala) - kerana nyanyian
17. Selembut Sutera (Steeler / Pancakara Di Cakerawala) - kerana nyanyian
18. Ilusi Fenomena Cinta (Hydra / Pancakara Di Cakerawala) - kerana nyanyian
19. Dunia atau Neraka (Saxo / Pancakara Di Cakerawala) - kerana nyanyian
20. Salam Rindu (Rhythm Machine / Pancakara Di Cakerawala) - kerana nyanyian
21. Angkara Manusia (A.S.K / Pancakara Di Cakerawala) - kerana nyanyian

22. Jangan Kau Pergi (nyanyian Manimala) - kerana nyanyian
23. Selalu Di Hatimu (Manimala) - kerana saduran
24. Kau Yang Bergaya (Manimala) - kerana saduran
25. Bahagialah Bersama (Manimala) - kerana saduran
26. Beginikah Berakhirnya (Manimala) - kerana saduran
27. Seruling Bamboo (Manimala) - kerana saduran
28. Mandi Mandu (Manimala) - kerana saduran

29. Cik Cik Boom (nyanyian Melissa Saila) - kerana nyanyian & saduran
30. Tarian Kota (Melissa Saila) - kerana saduran
31. Irama Rinduku (Melissa Saila) - kerana ciptaan/gubahan
32. Pesan Untuk Teman (Melissa Saila) - kerana ciptaan/gubahan
33. Kerana Dia Aku Rela (Melissa Saila) - kerana ciptaan/gubahan
34. Harapan Gemilang (Melissa Saila) - kerana ciptaan/gubahan

35. Sengketa Damai (nyanyian Jefriddin & Norzie / album Jasamu Di Kenang Volume 2) - kerana nyanyian
36. Gurindam Jiwa (Jefriddin & Norzie / Jasamu Di Kenang Volume 2) - kerana nyanyian
37. Ikan Di Laut Asam Di Darat (Jefriddin & Norzie / Jasamu Di Kenang Volume 2) - kerana nyanyian
38. Terbuku Di Kalbu (L. Ramlie & Norzie / Jasamu Di Kenang Volume 2) - kerana nyanyian
39. Joget Malaysia (L. Ramlie & Norzie / Jasamu Di Kenang Volume 2) - kerana nyanyian
40. Gelora (L. Ramlie & Norzie / Jasamu Di Kenang Volume 2) - kerana nyanyian

41. Nyanyian Rindu (nyanyian Azman) - kerana nyanyian
42. Pesta Hari Jadi (Azman) - kerana nyanyian
43. Sentuhanmu (Azman) - kerana "vow"

44. Ingatlah (nyanyian Lovehunters) - kerana nyanyian
45. Hidup Sederhana (Lovehunters) - kerana nyanyian
46. Realiti (Lovehunters) - kerana nyanyian
47. Halusinasi (Lovehunters) - kerana nyanyian

48. Namamu Di Hatiku (nyanyian Moses Vadham) - kerana nyanyian
49. Perjalanan Cinta (Moses Vadham) - kerana nyanyian
50. Mencari Cinta Yang Hilang (Moses Vadham) - kerana nyanyian

51. Pelita Kasih (nyanyian Mathias Gomez) - kerana nyanyian
52. Rintik Hujan (Mathias Gomez) - kerana nyanyian
53. Kerasukan (Mathias Gomez) - kerana nyanyian

54. Katakanlah (nyanyian Roy) - kerana nyanyian
55. Sepanjang Perjalanan (Roy) - kerana nyanyian

56. Keredaan (nyanyian Shima & The Boys) - kerana nyanyian
57. Kelkatu Gugur Sayapnya (Shima & The Boys) - kerana nyanyian

58. Tragedi (nyanyian Helter Skelter) - kerana nyanyian
59. Digigit Bebayang Silam (Helter Skelter) - kerana nyanyian

60. Permata Budi (nyanyian Ibnor Riza) - kerana nyanyian
61. Damaikan Resahku (Ibnor Riza) - kerana nyanyian

62. Tugu Cinta (instrumental / album Juara Lagu '88) - kerana "vow"
63. Kau Kunci Cintaku (Dalam Hatimu) (instrumental / Juara Lagu '88) - kerana "vow"

64. Renungan (nyanyian Point Blank) - kerana nyanyian/vow
65. Perisai Cinta (Point Blank) - kerana nyanyian/vow

66. Hero (nyanyian Sharm) - kerana nyanyian/vow
67. Sepi Tak Bertemu (Sharm) - kerana nyanyian/vow

68. Hamba Yang Tak Tahu (nyanyian A. Ramlie) - kerana saduran

69. Cintaku Cintamu (nyanyian Zamree) - kerana nyanyian

70. Tanjung Puteri (nyanyian Loving Born) - kerana senikata

Jumlah lebih 70 buah lagu (tempatan sahaja) yang diharamkan oleh RTM hanya dalam tempoh 3 bulan pertama 1989 mungkin boleh dianggap sedikit dalam zaman tersebut di mana berpuluh-puluh buah album baru dikeluarkan dalam sebulan. Tetapi mengambil kira tempoh keseluruhan zaman di mana RTM aktif mengharamkan lagu, tidak keterlaluan untuk mengandaikan bahawa jumlah keseluruhan lagu-lagu yang pernah diharamkan oleh RTM telah mencecah angka beribu-ribu lemon. Dalam tahun 1989 sahaja sudah pasti beratus-ratus lagu menjadi mangsa sekatan RTM dalam usaha 'murni' mereka untuk memastikan rakyat Malaysia khususnya pendengar siaran radio dan televisyen RTM mendapat hiburan yang bermutu dan tidak sumbang.

Nota tambahan:
  • Adakah lagu-lagu yang diharamkan dulu masih diharamkan kini? Tidak lagi, kebanyakannya telah boleh disiarkan tanpa sekatan. Contohnya lagu pertama dalam senarai di atas yang berjudul Ababil telah banyak kali disiarkan oleh stesen radio Muzik FM.
  • Antara cara perlaksanaan sekatan: Lagu-lagu yang diharamkan akan ditandakan secara manual pada kulit album sebagai panduan kepada juruhebah radio untuk tidak menyiarkannya. Di bawah ialah contoh kulit cakera padat untuk juruhebah radio RTM pada 1993.


29 August 2011

1000 Bintang Berhariraya (1993)

Sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri 1993, sebuah album khas telah diterbitkan oleh syarikat rakaman Suria Records (SRC). Album berjudul 1000 Bintang Berhariraya itu dianggap istimewa kerana menampilkan nyanyian 19 orang pelakon dan pengarah filem. Tulisan dalam kulit album itu menjelaskan, "Sebagai sebuah album percubaan dan tunggal memang terdapat cacat celanya, kerana mereka bukannya penyanyi profesional". Tujuan penerbitan album yang diterbitkan oleh M. Shariff itu dikatakan "sebagai satu momento atau kenangan kepada pelakun serta pengarah ini sendiri dan peminat semua". Semua lagu yang dirakamkan merupakan lagu Hari Raya klasik yang telah lama popular kecuali lagu terakhir, Boria Aidilfitri, yang merupakan lagu ciptaan terbaru. Senarai lagu dan nama penyanyi adalah seperti berikut:

Muka Satu
  1. Dendang Perantau - Jalil Hamid (Dato Majid)
  2. Di Pagi Aidilfitri - Nanu
  3. Menjelang Hari Raya - Zulkefli M. Osman
  4. Seloka Hari Raya - Maria Farida & Fauzi Abdullah
  5. Aidilfitri - Sofea Jane
  6. Suasana Hari Raya - Kuza & Kuna
  7. Hari Yang Mulia - Wafa
  8. Pulang Di Hari Raya - Laila Nasir
Muka Dua
  1. Pulang Di Hari Raya - Faizal Hussein
  2. Bila Takbir Bergema - Raja Azura
  3. Suara Takbir - Shaharuddin Tambi
  4. Selamat Hari Raya - Aida Rahim
  5. Hari Raya - Aziz M. Osman & Noraliah
  6. Dari Jauh Ku Pohon Maaf - Azwan Ali
  7. Selamat Hari Raya - Didie Alias
  8. Boria Aidilfitri - Mas Omar & 1000 Bintang


Nota tambahan:
  1. Jalil Hamid diperkenalkan bersekali dengan nama watak lakonannya iaitu Dato Majid, nama yang dipopularkannya dalam siri komedi 2+1. Jalil Hamid kemudiannya menjadi begitu popular sebagai penyanyi dengan merakamkan album lagu-lagu komedi.
  2. Setelah 15 tahun berlalu, pada 2008 Suria Records telah mengeluarkan kembali album tersebut dalam format cakera padat dengan menggunakan judul Seribu Bintang Berhari Raya. Walau bagaimanapun, album keluaran semula itu tidak lengkap seperti keluaran asalnya. Sebanyak 5 lagu yang melibatkan nyanyian Zulkefli M. Osman, Maria Farida & Fauzi Abdullah, Wafa, Laila Nasir, Mas Omar & 1000 Bintang telah dibuang. Bagi menggantikan lagu-lagu yang dibuang, pihak penerbit telah memasukkan lagu-lagu nyanyian Aznil Hj. Nawawi (lagu di trek pertama!), Jeffrydin (dia ni memang penyanyi terkenal!), Ida Mustafa, ND Lala, Nas Atea (3 orang ni pun rasanya memang asal penyanyi). Keterangan dalam kulit album versi baru itu juga telah ditukar menjadi: "Mereka terdiri daripada penyanyi, pelakun, pengacara serta pengarah yang cukup terkenal". Kesemua penyanyi yang terlibat juga diperkenalkan sebagai "artis-artis", iaitu gelaran yang tidak digunakan dalam album asal pada 1993.

28 August 2011

Pemain bolasepak Abbas Saad (1995 & 2011)

Abbas Saad ialah pemain bolasepak yang diimport oleh Singapura dan biasa bertanding dalam perlawanan bolasepak Piala Malaysia pada awal 1990-an. Abbas berasal dari Australia, dan kehebatannya bermain bolasepak di bahagian serangan menjadikannya popular dan digelar bintang bolasepak, setanding dengan rakan sepasukan, Fandi Ahmad. Pada 1994, Abbas membantu pasukan Singapura memenangi Piala Malaysia dengan menjaringkan 3 gol, dan melayakkannya dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan akhir. Abbas menjadi wira (buat seketika) setelah berjaya menamatkan penantian 14 tahun Singapura untuk memenangi kembali piala tersebut.

Tahun 1995 menjadi titik hitam dalam kerjaya Abbas Saad apabila dia didapati bersalah dalam mengatur atau merancang keputusan beberapa perlawanan Piala Malaysia yang disertainya pada 1994. Pada Jun 1995, Abbas telah didenda sebanyak $50,000 dan diharamkan daripada bermain bolasepak secara profesional buat selama-lamanya. Kesalahan besar yang dilakukan oleh Abbas tidak melunturkan semangat ratusan peminatnya yang datang mengucapkan selamat tinggal kepada Abbas di lapangan terbang sebelum dia pulang ke negara asalnya tidak lama kemudian.

Abbas Saad tiba-tiba muncul semula pada awal 2011 dalam sebuah iklan yang mempromosikan sebuah restoran di Kuala Lumpur. Dengan lengkap berjersi, makanan di tangan kiri dan bolasepak di kaki kanan, Abbas diperkenalkan sebagai Former International Footballer & Malaysia Cup Legend. Kata Abbas, "I have always liked to eat a good Chawarma in between goals. Al-Amar Express serves the best Chawarma in town". Tanda tangan, Abbas Saad.

Nota tambahan:
Penggunaan tandatangan selebriti pada iklan produk yang mereka tampil telah diamalkan sejak sekian lama. Adakah ia sekadar hiasan, atau untuk menambah lebih keyakinan kepada bakal pembeli, atau sememangnya suatu formula pemasaran yang terbukti berkesan dalam melariskan produk?

11 August 2011

Datsun Pulsar - Mazuin Hamzah (1982)

Kereta berjenama Datsun pernah menjadi kereta pilihan ramai rakyat Malaysia sebelum kewujudan jenama tempatan Proton Saga pada 1985. Datsun diiklankan sebagai kereta "ekonomi" yang "menjimatkan". Penyanyi Mazuin Hamzah telah dipilih menjadi model bagi mempromosikan kereta Datsun Pulsar E-Type 1300 yang dipasarkan pada 1982. Mazuin telah dikenali dalam dunia hiburan sejak beliau kecil lagi apabila tampil merakamkan album bersama abangnya, Mazlan Hamzah pada sekitar pertengahan 1970-an. Mereka berdua kemudiannya menjadi popular sejak muncul dalam sebuah kumpulan muzik bernama Quinary M pada awal 1980-an. Sebelum itu Mazuin juga pernah berlakon dalam filem Ceritaku Ceritamu pada 1979. Dalam iklan kereta Datsun di atas, kelihatan Mazuin sedang melambaikan tangannya, mungkinkah beliau berkata "Hai! Belilah kereta Datsun!!"?

Nota tambahan:
Tandatangan, Mazuin.

02 August 2011

Pawagam drive-in Singapura ditutup (1985)



Satu-satunya pawagam drive-in (pandu masuk) di Singapura terletak di kawasan Jurong. Pawagam unik yang membolehkan penonton menonton filem dari dalam kereta itu dimiliki oleh Cathay Organisation. Pawagam tersebut mula beroperasi pada 14 Julai 1975 dengan menayangkan filem komedi berjudul Doctor In Trouble. Setelah 10 tahun beroperasi, akhirnya pawagam tersebut terpaksa ditutup pada 1985. Pihak Cathay memberitahu, penutupan itu terpaksa dilakukan akibat daripada kekurangan penonton yang dikatakan berpunca daripada meningkatnya populariti pita video cetak rompak sejak awal 1980-an.

Konsep pawagam drive-in mungkin tercetus pada awalnya untuk memberikan keselesaan dan privasi kepada setiap penonton tanpa perlu meninggalkan kereta masing-masing, tetapi ia pastinya tidak dapat menandingi keselesaan dan privasi menonton video di rumah sendiri walaupun dengan skrin yang jauh lebih kecil. Malah konsep kompleks pawagam moden pada masa kini jauh lebih menyelesakan walaupun penonton terpaksa meninggalkan kenderaan masing-masing dengan agak jauh. Apa yang pasti, para penumpang kereta di tempat duduk belakang amat bersyukur dengan kematian pawagam drive-in. Seksa doh nak tonton filem di celah-celah kerusi penumpang dan pemandu di depan! Dah la kereta Kancil je, bayangkan!

01 August 2011

McDonald's milkshake perisa durian (1984)



Pada 1984, rangkaian restoran makanan segera terkenal antarabangsa, McDonald's cawangan Malaysia, mula memperkenalkan minuman milkshake perisa durian! Menurut laporan, "minuman istimewa" tersebut dicipta dan diuji oleh pakar masak McDonald's dan mendapat pengesahan daripada Encik Arend iaitu Ketua Tukang Masak Eksekutif McDonald's di Illinois, Amerika. Minuman milkshake perisa durian itu dikatakan "memenuhi keperluan tempatan dan dalam waktu yang sama untuk membangkitkan suasana keMalaysiaan". Pengarah Urusan McDonald's Malaysia ketika itu, Encik Vincent Tan berpendapat minuman tersebut "sesuai dengan selera tempatan dan berkemungkinan menjadi minuman berpotensi di negara ini"

Ketiadaan minuman milkshake perisa durian pada masa kini membuktikan yang ia sebenarnya tidaklah berpotensi langsung untuk mendapat sambutan ramai pada jangka masa panjang, walaupun tidak dapat dinafikan bahawa durian masih lagi mengekalkan gelarannya dari dulu hingga kini sebagai "raja buah-buahan tempatan". Cuma, mungkin, kombinasi milkshake dengan durian bukanlah sesuatu yang McDonald's mampu untuk pasarkan secara meluas hingga ke luar negara. Bila difikirkan dengan mendalam, kombinasi durian dengan apa-apa jenis minuman pun sebenarnya tidak pernah dan tidak akan menjadi suatu idea yang baik. "Bos, minum?" "Bagi air durian O ais kurang manis satu" "... (pengsan)"

31 July 2011

Rancangan Talivisyen Singapura (1976)

Negeri Singapura telah berpisah daripada negara Malaysia pada 1965. Selepas perpisahan itu terbentuklah negara republik Singapura. Oleh kerana kedudukan dan hubungan yang agak rapat antara Malaysia dan Singapura, maka banyak perkara masih saling berkait di antara kedua-dua buah negara selepas daripada itu. Salah satu kesan peninggalan Singapura yang kekal agak lama dalam dunia hiburan Malaysia ialah susunan rancangan yang disiarkan oleh stesen Talivisyen Singapura, iaitu Chanel 5 & Chanel 8. Susunan rancangan tersebut dihebahkan secara meluas dalam akhbar dan majalah tempatan seolah-olah siaran Talivisyen Singapura dapat ditonton di seluruh Malaysia sedangkan sebenarnya hanya beberapa bahagian kecil dalam negeri di selatan Malaysia sahaja yang dapat mengikuti siaran tersebut.

Publisiti terhadap rancangan Talivisyen Singapura itu berlangsung bertahun-tahun di sepanjang dekad 1970-an hingga hujung 1980-an. Pernah berlaku semasa di hujung hayat publisiti sebegitu di mana hanya akhbar mingguan (hari Ahad) sahaja yang akan menyiarkan susunan rancangan Talivisyen Singapura sedangkan akhbar harian tidak lagi menyiarkannya. Ia membayangkan seolah-olah rakyat Malaysia diberi keistimewaan untuk menonton siaran Talivisyen Singapura pada hari Ahad sahaja. Tidak mustahil juga sekiranya selepas melihat susunan rancangan tersebut ada penonton yang akan berusaha mencari siaran Talivisyen Singapura walaupun mereka sebenarnya berada di utara Malaysia. Pada awal 1990-an, selepas stesen TV3 di Malaysia memperkenalkan rancangan Sekapur Sirih & Melodi (dan mungkin juga Kuali) pada setiap hari Ahad, rakyat Malaysia tidak lagi berselera untuk menonton siaran Talivisyen Singapura, maka berakhirlah penyiaran susunan rancangan Talivisyen Singapura dalam akhbar dan majalah tempatan.

Antara rancangan yang pernah disiarkan oleh stesen Talivisyen Singapura pada 1976 ialah: Berita Rengkas, Pentas Kanak-Kanak, Mission Impossible, Tom & Jerry, Sesame Street, Bakat Remaja, New Adventures Of Superman, Space 1999, Woody Woodpecker, Atom Ant, Police Woman, Pusparama, Mary Tyler Moore Show, Panduan Pengguna, Lone Ranger, Combat, Boxing, June Allyson Show dan lain-lain.

18 July 2011

Bekas Miss Malaysia - Selina Pereira (2007)

Sempena Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-50 tahun, majalah Off The Edge keluaran September 2007 telah menemubual pelbagai golongan masyarakat tempatan bagi mengetahui kisah di sebalik kehidupan mereka. Salah seorang yang ditemubual ialah Selina Pereira yang diperkenalkan sebagai seorang suri rumah berusia 41 tahun. Selina juga merupakan bekas ratu cantik Miss Malaysia pada suatu ketika dahulu (tahun tidak dinyatakan). "Bekas" bermaksud beliau pernah dimahkotakan sebagai Miss Malaysia dan kemudiannya gelaran tersebut telah ditarik kembali. Selina dikatakan 'bersalah' kerana terlibat merakamkan gambar bogel ("nude photographs") dan tidak layak untuk bergelar Miss Malaysia. Komen Selina mengenai kisah silamnya, "I don't have any regrets in life. If things didn't happen the way it did, my life would not turn out to be the way it is now. I was young then, and people make mistakes. The only difference is just how big". Sambung Selina lagi yang lebih senang berfikiran positif, "At least I am one of the most remembered pageant winners"

15 July 2011

Bolasepak wanita Piala Malaysia (1976)

Perlawanan bolasepak wanita Piala Malaysia telah diadakan buat pertama kali pada 1976. Perlawanan akhirnya berlangsung pada 16 Ogos 1976 di Padang Stesen, Seremban, Negri Sembilan. Pasukan yang layak ke perlawanan akhir itu ialah pasukan Negri Sembilan dan pasukan Singapura. Seramai 2,000 orang penonton hadir bagi menyaksikan perlawanan untuk merebut Piala Malaysia kategori wanita yang julung kalinya diadakan.

Kelebihan bermain di tempat sendiri tidak menjamin kemenangan kepada pasukan Negri Sembilan yang akhirnya tewas kepada pasukan Singapura dengan jaringan 0-2. Pasukan Singapura menunjukkan kehebatan mereka dengan menjaringkan gol pertama seawal minit ke-4, dan kemudiannya gol kedua pada minit ke-45. Akhbar Singapura memuji pasukan Singapura dengan menulis, "It's dominance prevailed throughout the game, with accurate passing and clever moves". Walaupun tewas, pasukan Negri Sembilan tetap menunjukkan permainan yang baik. Secara keseluruhannya akhbar menyimpulkan, "The women really knew how to play football"

Nota tambahan:
Kemenangan pasukan bolasepak wanita Singapura dalam perlawanan akhir Piala Malaysia kategori wanita yang pertama seakan-akan mengulangi sejarah pasukan bolasepak lelaki Singapura yang merupakan pemenang perlawanan akhir Piala Malaya yang pertama pada 1921.

07 July 2011

Artis Paling Popular (1984)

Pada hujung 1984, akhbar Mingguan Malaysia/Pancaindera telah mengisytiharkan nama 3 orang artis yang dikatakan paling popular di sepanjang tahun itu.

Tempat pertama Artis Paling Popular 1984 jatuh kepada penyanyi legenda Jamal Abdillah yang ketika itu berusia 25 tahun. Kerjaya Jamal dalam bidang hiburan baru mencecah 5 tahun selepas kemenangannya dalam pertandingan nyanyian Bintang RTM 1979. Selepas merakamkan album pertama pada 1980, Jamal pernah muncul sebagai penyanyi undangan dalam filem Toyol pada 1981. Jamal kemudiannya merakamkan 4 buah album lagi di antara 1981 hingga 1984 dengan album terbarunya berjudul Sendiri mendapat sambutan paling hebat. Lakonan pertama Jamal dalam filem Azura telah mengangkat popularitinya ke tahap tertinggi. Filem Azura yang ditayangkan dalam tahun 1984 sebenarnya bukanlah sebuah filem yang bagus, tetapi ia berjaya mencapai status cult dan menjadi pujaan ramai hingga kini. Jamal sebenarnya hanya sempat melakonkan watak Z (Zek) dalam filem itu tetapi malangnya proses rakaman suara untuk watak itu terpaksa dilakukan oleh pelakon lain (adik Jamal sendiri) apabila Jamal telah ditangkap atas kes dadah dan ditahan di pusat pemulihan. Jamal Abdillah sememangnya "paling hangat diperkatakan" pada 1984.

Tempat kedua jatuh kepada Sharifah Aini iaitu antara penyanyi popular tahun 70-an dan pernah juga berlakon dalam beberapa buah filem seperti Hapuslah Air Matamu (1976), Sumber Ilhamku (1979) dan Bintang Pujaan (1981). Ketika namanya berada di puncak populariti, Sharifah telah berkahwin dengan Ali Bakar pada 1981, melahirkan seorang anak lelaki dan kemudiannya bercerai dalam tempoh tidak sampai setahun. Sharifah yang berasal dari Johor mendapat pengiktirafan di atas kecemerlangan kerjayanya apabila dikurniakan pingat Setia Mahkota Johor pada 1982 iaitu ketika beliau berusia 29 tahun. Pada 1984, Sharifah yang telah 3 tahun berstatus janda telah digosip berkaitan hubungannya dengan seorang jutawan misteri yang digelar Datuk Darling. Status hubungan Sharifah Aini dengan Datuk Darling termasuk identiti lelaki itu terus menjadi rahsia buat beberapa lama selepas itu.

Tempat ketiga jatuh kepada Fauziah Ahmad Daud, seorang pelakon yang sudah terkenal sejak beliau masih kecil lagi. Fauziah atau Ogy juga merupakan seorang penyanyi yang pernah merakamkan album walaupun beliau agak kurang popular dalam bidang tersebut. Ogy memenangi anugerah pertamanya iaitu Pelakon Harapan semasa Festival Filem Malaysia 1980 melalui lakonannya dalam filem Ceritaku Ceritamu. Ketika menerima anugerah itu Ogy baru berusia 18 tahun. Semasa Festival Filem Asia Pasifik 1982, Ogy sekali lagi memenangi anugerah Pelakon Harapan melalui lakonannya dalam filem Abang. Pada 1984, akhirnya Ogy diberi peluang melakonkan watak utama dalam filem Azura, bergandingan dengan Jamal Abdillah. Filem Azura dan lagu duet Ogy bersama Jamal, Sandarkan Pada Kenangan, telah meningkatkan populariti Ogy dan beliau kemudiannya telah digosip mempunyai hubungan percintaan dengan seorang putera raja.

Nota tambahan:
Ada beberapa lagi cerita, gambar dan poster Jamal Abdillah, Sharifah Aini dan Fauziah Ahmad Daud dalam entri-entri ANX akan datang. Hidup 1980-an!

05 July 2011

Ratu Mak Nyah (1981)

Pada 12 September 1981, satu pertandingan Ratu Mak Nyah telah diadakan di Dewan Sharifah Rodziah, Kampung Baru, Kuala Lumpur. Majalah Keluarga telah melaporkan mengenai pertandingan itu dan menemubual para mak nyah yang bertanding. Majalah untuk bacaan umum itu turut menyiarkan gambar-gambar mak nyah yang sedang memperagakan pakaian renang (bikini) di atas pentas.

Wartawan majalah itu menulis, "Alangkah terpegunnya mata melihat sekujur tubuh dengan bentuk dan ukuran yang menggiurkan, menggoyang-goyang punggung di atas pentas. Inilah pertandingan ratu cantik yang berbeza dari pertandingan-pertandingan ratu sebelumnya. Sekali pandang ia memang pertandingan biasa tetapi ia sebenarnya luar biasa dan di luar dugaan kerana yang menyertainya bukan perempuan. Si manis jelita ini bukan perempuan. Walaupun cantik dan manja tidak mewakili kaum hawa. Mereka berbeza"

Salah seorang peserta yang ditemubual bernama Annie. Dia yang berusia 19 tahun merupakan lulusan Institut Kemahiran Mara dalam jurusan rekaan fesyen. Apabila wartawan bertanya sama ada dia ingin melakukan pembedahan jantina, Annie menjawab, "Saya tak akan menjalani sebarang pembedahan. Biarlah saya jadi adik-adik sahaja". Menurut wartawan itu, adik-adik adalah gelaran untuk lelaki yang memiliki sifat-sifat seperti perempuan, lemah-lembut, dan jiwa yang halus. Peserta lain pula mempunyai pendapat yang berbeza mengenai pembedahan jantina. Seorang kerani bernama Sharifah Nadiah (adakah nama asalnya Syed?) belum bercadang untuk menukar jantina atas alasan "belum lagi mempunyai teman lelaki yang dianggap setia"

Peserta lain yang bernama Bibah Yaakob dan bertugas di Universiti Kebangsaan Malaysia pula merasa agak sedih apabila menceritakan kisahnya. Kata Bibah, "Memang sejak kecil lagi saya telah memiliki sifat-sifat seorang perempuan. Kawan-kawan saya semuanya perempuan. Tetapi menyedar saya ini ialah kaum adik-adik. Memang hina hidup ni". Berlainan pula kisahnya dengan peserta bernama Sandra yang sentiasa riang kerana "telah memiliki seorang pemuda yang sangat setia". Sandra yang berketurunan Iban memberitahu bahawa dia telah mengumpul wang sebanyak $8,000 dan akan menjalani pembedahan jantina di Singapura pada hujung tahun itu. Sandra berpendapat, "Saya bukan lelaki dan bukan adik-adik lagi bila selamat dibedah nanti"

Seorang lagi peserta yang berasal dari Sarawak, Mona Sitira, juga memberitahu bahawa dia akan menjalani pembedahan jantina di Singapura pada hujung tahun itu. Mona yang berusia 21 tahun mengaku telah mempunyai teman lelaki bernama Manaf sejak setahun lalu. Apabila ditanya mengenai kehidupannya, Mona meluahkan, "Saya hairan kenapa masyarakat selalu memandang hina kepada saya. Jijiknya seperti memandang seekor anjing". Dalam pertandingan itu Mona memenangi tempat pertama dalam kategori pakaian bikini. Akhir sekali wartawan itu menemubual seorang peserta yang telah menukar jantina sejak 3 tahun lalu iaitu Sharifah Ramona. Apabila ditanya pandangannya tentang kehidupan mak nyah, Ramona berkata, "I faham derita batin yang ditanggung oleh adik-adik". Kata Ramona lagi, "I selalu memberikan harapan kepada adik I, yang juga seorang adik-adik, untuk tabah menghadapi pancaroba hidup"

04 July 2011

Miss Malaysia-World (1985)

Pertandingan akhir ratu cantik Miss Malaysia-World 1985 telah diadakan di Merlin Subang dan disertai oleh seramai 14 orang gadis yang berusia di antara 17 hingga 24 tahun. Pertandingan itu akhirnya dimenangi oleh Rosalind Kong Siew Kuen yang berusia 20 tahun. Rosalind yang memakai nombor 8 dalam pertandingan itu merupakan seorang penuntut dalam jurusan Perhubungan Awam di sebuah institut di Kuala Lumpur. Hasil kemenangan itu Rosalind menerima hadiah wang tunai $3,500, jam tangan, kursus kecantikan selama 4 bulan dengan syarikat Dewi Ayu, hamper, sepasang baju pakaian petang dan keahlian selama setahun dengan Kelab Sapphire. Rosalind juga layak mewakili Malaysia dalam pertandingan Miss World 1985 yang diadakan di London pada November tahun yang sama.

Pemenang lain dalam pertandingan Miss Malaysia-World 1985 ialah Latonia Chang Pei Pei (18 tahun, menang tempat kedua, berdiri berbaju putih dalam gambar di atas), Penny Ong Seok Nee (21 tahun, menang tempat ketiga) dan Gail Martha De Silva (20 tahun, menang tempat keempat, berdiri di kiri sekali dalam gambar di atas). Peserta berbangsa Melayu yang turut bertanding ialah seorang jurutera bernama Nora Liza.

03 July 2011

Gambar majalah Mangga "ditapis!" (1995)

Terdapat pelbagai cara penapisan gambar dalam sesebuah penerbitan seperti majalah. Cara penapisan terkuno tentulah dengan menggunakan pen marker hitam bagi menconteng pada bahagian gambar yang tidak dibenarkan untuk disiarkan. Cara sebegitu biasanya digunakan pada majalah yang telah siap dicetak terutama sekali majalah yang diimport dari luar negara. Majalah terbitan tempatan sejak tahun 1970-an diketahui menapis gambar dengan cara meletakkan grafik kotak hitam (atau warna lain) pada bahagian yang perlu ditapis, contoh yang paling popular ialah penapisan pada bahagian mata penjenayah, dan sekali-sekala akan dapat dilihat tapisan sebegitu pada bahagian anggota badan lain yang bukan milik penjenayah.

Pada 1995, majalah Mangga yang ketika itu baru beberapa bulan diterbitkan telah menyiarkan sekeping gambar selebriti yang ditapis menggunakan kotak hitam. Selebriti itu ialah Tini Arshad, iaitu penerbit filem (panjang) Kaki Bakar arahan U-Wei Saari. Majalah Mangga memperkenalkan Tini sebagai "adik Maria Arshad" yang "masih anak dara lagi", dan "wajahnya mirip model antarabangsa". Oleh kerana Tini digambarkan berpakaian hitam, maka kotak hitam yang menutupi bahagian dadanya agak kurang jelas, dan mungkin kerana itulah agaknya pengarang majalah tersebut telah meletakkan perkataan "DI TAPIS!" pada kotak hitam tersebut. Penggunaan perkataan "DI TAPIS!" yang besar itu juga rasanya lebih kepada bertujuan untuk meningkatkan unsur sensasi dan kejutan, serta memberitahu para pembaca bahawa si pengarang itu telah berjaya melihat apa yang pembaca tidak dapat lihat. Sedangkan sebenarnya boleh sahaja sekiranya si pengarang itu sekadar meletakkan kotak hitam yang kecil sahaja!

Nota tambahan:
Penggunaan kotak hitam dalam menapis gambar sudah jarang dipraktikkan lagi pada masa kini. Cara penapisan gambar yang paling popular kini ialah dengan membesarkan pixel atau mengaburkan imej. Selain itu susun atur perkataan di atas gambar juga sering digunakan bagi menapis gambar supaya tidak terlalu kelihatan seperti ia sedang ditapis. Cara penapisan gambar yang lebih rumit juga ada digunakan di mana gambar itu akan diubah suai secara terus sehingga sukar untuk dikesan sama ada penapisan telah dilakukan kecuali dengan penelitian yang mendalam. Arkib Negara X akan memaparkan beberapa lagi contoh penapisan gambar di dalam entri-entri akan datang.

02 July 2011

Singapura haramkan majalah Cosmopolitan (1982)

Cosmopolitan ialah sebuah majalah bulanan untuk pembaca wanita yang asalnya diterbitkan di Amerika Syarikat dan diedarkan ke banyak negara lain termasuk Singapura. Pada 1982, Kementerian Kebudayaan Singapura mula mengharamkan penjualan majalah Cosmopolitan setelah mendapati beberapa artikel yang terkandung di dalamnya mengandungi unsur seksual yang dianggap bertentangan dengan nilai dan budaya tempatan. Sebelum pengharaman itu, Cosmopolitan berjaya diedarkan sebanyak 3 keluaran di Singapura. Hanya setelah 22 tahun kemudian iaitu pada 2004, barulah pihak berkuasa Singapura membenarkan semula penjualan majalah Cosmopolitan, tetapi dengan beberapa syarat iaitu setiap majalah perlu dibungkus dengan plastik dan perlu meletakkan label bagi menjelaskan yang isi kandungannya tidak sesuai untuk bacaan remaja dan kanak-kanak. Majalah Cosmopolitan juga diterbitkan di Malaysia tetapi dalam edisi berbeza.

Nota tambahan:
Majalah bulanan Playboy khusus untuk pembaca lelaki mula diterbitkan di Amerika Syarikat pada 1950-an dan pernah dijual di Singapura dalam dekad tersebut dengan harga $2.10 senaskah. Mulai 1 Januari 1960, pihak berkuasa Singapura mula mengharamkan penjualan majalah Playboy yang banyak memaparkan gambar bogel wanita. Pengharaman tersebut adalah sebahagian daripada kempen kerajaan Singapura untuk membanteras budaya kuning. Akhbar tempatan melaporkan, "It was a sad moment for some, but the bunnies had to leave Singapore"

26 June 2011

Pemilihan Penyanyi Popular Tahun 70-an (1979)



Pada awal 1979, Persatuan Penyanyi Tanah Air (PAPITA) dengan kerjasama majalah URTV telah menganjurkan satu undian umum bagi memilih penyanyi tempatan popular 1970-an. Undian tersebut terbahagi kepada 2 kategori iaitu Penyanyi Lelaki & Penyanyi Wanita, dan ia dijalankan melalui pos dengan cara menghantar borang yang disediakan dalam majalah tersebut. Senarai penyanyi yang dicalonkan oleh PAPITA bagi Pemilihan Penyanyi Popular Tahun 70-an ialah seperti berikut.

Penyanyi-Penyanyi Lelaki Tahun 70-an (hingga 1978):
  1. A. Razak
  2. A.J. Ajmain
  3. Ahmadi Hassan
  4. Andre Goh
  5. Andy Yunus
  6. D.J. Dave
  7. Dahlan Zainuddin
  8. Deddy M. Borhan (lebih terkenal sebagai penerbit filem pada 1980-an)
  9. Hail Amir
  10. Hail Chik
  11. Hanafiah Yunus
  12. J. Mizan
  13. Jasmin Hussin
  14. Latiff Ibrahim
  15. M. Daud
  16. M. Daud Kilau
  17. M. Ramli
  18. M. Sani
  19. M. Shariff
  20. Rahman Kadir
  21. Ruslan Yuss
  22. S. Rosli
  23. S. Sudirman
  24. Shamsudin Lamin
  25. V. Sarangabani (paling rare!)
Penyanyi-Penyanyi Wanita Tahun 70-an (hingga 1978):
  1. Anita Sarawak (masih aktif!)
  2. Dahlia Ahmad
  3. Efa Rizan
  4. Faridah Mansor
  5. Fatimah Razak
  6. Habibah Yaakob
  7. Hamidah Ahmad
  8. Hamidah Buang
  9. Juli Remie
  10. Junainah M. Amin
  11. Khatijah Ibrahim
  12. Mazuin Hamzah
  13. Milah Hussin
  14. Mimi Loma
  15. Noor Kumalasari
  16. Rahimah Rahim
  17. Rina Rahman
  18. Rohani Aziz
  19. Rose Iskandar
  20. Rozita
  21. Saadiah Saat
  22. Salmiah Hassan
  23. Sarina Hashim
  24. Sharifah Aini (masih aktif!)
  25. Suhaili Shamsuddin
  26. Uji Rashid
  27. Zalifah Ibrahim
Sekiranya anda tidak mengenali sesetengah daripada nama-nama penyanyi popular di atas malah tidak pernah mendengar langsung lagu-lagu nyanyian mereka tidak mengapa, kerana generasi berikutnya pada 32 tahun akan datang juga akan bertanya soalan yang sama tentang siapakah itu Faizal Tahir, Mawi, Stacy atau pun Jaclyn Victor, nama seakan-akan pakcik dan makcik yang tidak glamor dan tidak mungkin pernah popular saja gayanya. Sudahlah cara mengundi pun melalui SMS, sangat ketinggalan zaman, orang dah tak guna telefon bimbit lah!

25 June 2011

MetroVision - TV4 (1995 & 1996)

Stesen televisyen swasta kedua di Malaysia selepas TV3 ialah MetroVision yang memulakan siarannya di kawasan Lembah Kelang mulai hari Sabtu, 1 Julai 1995. Ketika itu MetroVision juga disebut sebagai TV4 oleh orang ramai yang sudah biasa dengan penggunaan nama stesen TV berasaskan nombor. Pada peringkat awal, MetroVision cuma beroperasi daripada pukul 6.30 petang hingga 12 malam sahaja sebelum memanjangkan tempoh siarannya tidak lama kemudian dengan memulakan operasi lebih awal pada pukul 2 petang. Pada hari pertama siaran MetroVision, rancangan pertama yang disiarkan ialah ucapan khas oleh Pengerusi City Television Sdn Bhd iaitu Tunku Abdullah Tuanku Abdul Rahman.

Rancangan berita yang disiarkan oleh MetroVision diberi nama Warta Prima (8 malam) dan Metro News International (11.30 malam), masing-masing disiarkan selama setengah jam. Antara pembaharuan yang dapat dilihat oleh penonton rancangan berita tersebut ialah apabila terdapatnya seorang penyampai khas yang ditugaskan mengendali segmen ramalan cuaca. Selain laporan berita semasa dan sukan, diselitkan juga laporan hiburan seperti World Metro News Video Chart dan World Metro News Music Chart. Para penyampai berita MetroVision terdiri daripada John Byrne Abdullah, Norazlina Redzuan, Norizan Abu Samah (penyampai ramalan cuaca), Wan Nur Emily Daud, Habsah Omar (kini lebih dikenali dengan nama Abby Fana), Sulaiman Yahya, Syed Naquib Al-Attas, Ramli Abu Bakar dan Joseph Gonzales.

Rancangan-rancangan lain yang pernah disiarkan oleh MetroVision di antara 1995 hingga 1996 ialah seperti Seinfeld, Kayla Beverly Hills Showcase, The Bold & The Beautiful, Indian Movie, Justice Bao, By Demand, Models Inc, Yan Can Cook, Star Trek: Deep Space Nine, Under One Roof, Ultraman, The Simpsons, 18+ Movies, Over The Edge (rancangan muzik alternatif), Baywatch dan banyak lagi. Stesen televisyen percuma MetroVision telah menamatkan operasinya pada sekitar awal tahun 2000.

20 June 2011

Majalah Gedung Kartun (2009)

Majalah Gedung Kartun keluaran pertama telah dikeluarkan pada 1 September 2009. "Majalah Jenaka Alternatif" setebal 68 muka surat ini telah diterbitkan oleh Sepakat Efektif Sdn Bhd dan dijual dengan harga RM4.00 senaskah. Pandangan awal berdasarkan nama majalah Gedung Kartun ini, ia boleh dikatakan hanyalah sebuah lagi majalah kartun tempatan yang biasa, tetapi apabila dilihat pada kartun utama di muka hadapannya, jelas sekali majalah ini mempunyai isi kandungan yang sangat jauh berbeza daripada majalah-majalah kartun yang pernah diterbitkan di Malaysia sebelum itu.

Muka hadapan Gedung Kartun Vol: 01 memaparkan karikatur Perdana Menteri (PM) Malaysia yang sedang mengibarkan sebuah bendera sambil melaungkan "Merdeka". Watak kanak-kanak bernama Dol Kerepek diperlihatkan menegur "Tuan" PM mengenai kesalahan beliau dalam memilih bendera untuk dikibarkan. Hanya melalui kartun utama itu dapat disimpulkan mengenai keberanian penerbit dalam menghasilkan majalah kartun "alternatif" ini. Adakah masyarakat umum dan pembaca di Malaysia semakin terbuka dan dapat menerima kritikan atau sindiran dalam bentuk kartun sebegitu? Mungkin ya dan mungkin tidak, bergantung sepenuhnya kepada siapa yang disindir dan pihak mana yang pembaca tersebut sebelahi. Adakah pihak yang disindir boleh berdiam diri dan menerima sindiran sebegitu? Mungkin ya dan mungkin tidak, bergantung kepada seserius manakah sindiran itu dan sebesar manakah kuasa yang mereka ada untuk bertindak balas.

Majalah Gedung Kartun dikelola oleh kartunis Zunar sebagai Ketua Editor dan juga pengkarya. Kartunis lain yang terlibat ialah seperti Jonos (turut melukis muka hadapan), Ronasina, Cabai dan lain-lain. Turut serta menyumbangkan karya ialah Pyanhabib dan A. Samad Said. Isi kandungan majalah ini keseluruhannya menyentuh mengenai dunia politik serta isu sosial dan semasa tempatan. Menurut tulisan prakata oleh Zunar, majalah ini "menawarkan kandungan dengan mesej berat yang disampaikan dalam bentuk santai", "tidak hanya bersifat lucu tetapi ia juga menyadur mesej yang mengkritik, mengulas, mengolah, memberi informasi dan kesedaran tentang isu-isu yang semasa". Dalam ruangan penafian pula tertulis: "Tulisan atau lukisan yang disiarkan tidak bertujuan untuk memburukkan sesiapa atau cuba melahirkan apa-apa provokasi tapi hanyalah satu idea atau pandangan dari setiap mata kaca pelukis/penulis itu sendiri"

Antara tajuk-tajuk kartun/tulisan yang disiarkan dalam Gedung Kartun ialah Perampok Merdeka, Ragam Datuk Nazak, Negaraku, Nostalgia 98, DemoKERASi, 2 Tun, Peludah Bahasa, Selangor Tanah Airku dan lain-lain. Karya-karya yang disiarkan sememangnya menarik dan sesungguhnya suatu alternatif kepada penggemar kartun yang sebelum itu hanya dihidangkan dengan lambakan kartun komedi biasa tanpa isi kandungan yang serius. Namun begitu pembaca yang kurang mengikuti perkembangan semasa di Malaysia mungkin agak sukar untuk memahami beberapa karya terutamanya yang 'terlalu ringkas tanpa penjelasan lanjut' yang dipaparkan (apa lagi kalau majalah ini dibaca semula oleh generasi akan datang). Gaya lukisan (termasuk sedikit muka surat berwarna) juga agak menarik terutamanya yang melibatkan seni karikatur.

Walau bagaimanapun, tema utama majalah Gedung Kartun yang jelas memihak kepada pihak 'pembangkang' pastinya sukar untuk diterima oleh sebahagian besar masyarakat umum, dan adalah tidak mengejutkan apabila majalah ini akhirnya telah diharamkan oleh pihak 'kerajaan' hanya selepas satu keluaran sahaja. Tentu menarik sekiranya majalah ini dapat terus diterbitkan dan pada masa yang sama mungkin para penerbit lain dapat menerbitkan pelbagai lagi majalah kartun sealiran yang memihak kepada beberapa golongan yang berbeza. Pastinya semua orang akan berpeluang mendapat bahan bacaan yang diinginkan mengikut citarasa masing-masing. Tapi apa kan daya, tahap keterbukaan dalam berkarya dan kebebasan untuk menyampaikan pendapat masih lagi disekat buat masa sekarang.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...