06 January 2013

Kiraan detik 2020 paling berwawasan (1995)

Selamat tahun baru 2013!

Kalau hendak dikirakan, hampir 7 tahun saja lagi tahun 2020 akan tiba, iaitu tahun yang amat ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia sejak bekas Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad mencetuskan idea tentang 'Wawasan 2020' pada 1991. Sejak itu, 2020 telah dijadikan sebagai penanda aras atau tahun penentu bagi merealisasikan impian Malaysia untuk menjadi sebuah negara yang berstatus maju di tahap antarabangsa.

'Wawasan 2020' bukan saja menjadi slogan popular dalam kempen politik Dr. Mahathir malah ia telah merentasi sempadan itu, misalnya dalam arena hiburan tempatan, 'Wawasan 2020' telah dijadikan inspirasi oleh para karyawan untuk menghasilkan lagu-lagu, tajuk album, komik dan sebagainya. Di zaman populariti 'Wawasan 2020', banyak pihak & individu merasa berbangga apabila dapat memperkatakan atau menunjukkan keprihatinan masing-masing terhadap 'Wawasan 2020'.

Pada pertengahan 1990-an, akhbar Utusan Malaysia telah menunjukkan kegigihan yang melampau dalam meraikan kehadiran tahun 2020 apabila ia telah memulakan kiraan detik atau countdown kepada tahun 2020 ketika tahun tersebut masih berada pada tahap melebihi 8,000 hari lagi! Utusan Malaysia edisi 1 November 1995 misalnya, telah menunjukkan pada muka hadapannya: "2020 - 8,828 hari lagi". Sangat gigih lagi berwawasan!

1995
Walau bagaimanapun, setiap yang popular akan melalui zaman suramnya, setiap yang di atas akan jatuh/turun ke bawah akhirnya. Begitu juga dengan 'Wawasan 2020', Dr. Mahathir & kegigihan kiraan detik 2020 oleh Utusan Malaysia. Dalam tahun 2001 tiada lagi kelihatan kiraan detik 2020 pada muka hadapan atau di dalam akhbar itu. Kemungkinan besar penerbit akhbar itu tiba-tiba tersedar tentang usaha sia-sia (namun murni) tersebut, tambahan pula ketika itu slogan 'Wawasan 2020' juga sudah jarang diperkatakan lagi. Tidak berapa lama kemudian, pada 2002, Dr. Mahathir tiba-tiba mengumumkan untuk meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri. Beliau akhirnya bersara daripada jawatan Perdana Menteri Malaysia pada 2003.

1998
2000
Kepada generasi 2013 yang merasakan tempoh 7 tahun menjelang 2020 terlalu mudah dan ringkas untuk dikira, sebaliknya mahukan cabaran kiraan detik ala Utusan Malaysia, ketahuilah bahawa "2020 - 2,550 hari lagi"!

2013

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...