30 December 2012

Anugerah Bintang-Bintang Popular ke-7 (1993)

Pertandingan Anugerah Bintang-Bintang Popular (ABP) dianjurkan oleh akhbar Berita Harian (BH) bermula pada 1987. Pemenang ABP dipilih berdasarkan jumlah undian tertinggi oleh para pembaca BH yang menghantar borang undian melalui pos. Pada 1993, undian ABP juga boleh dilakukan melalui panggilan telefon. Keputusan ABP 1993 telah diumumkan pada Mei 1994. Berikut ialah senarai para pemenang dan calon akhir serta jumlah undian yang diterima oleh mereka, disusun mengikut jumlah undi tertinggi (pemenang) hingga terendah.

Artis Paling Popular:
  • Sofia Jane - 170,698 undi (pemenang)
Kategori ini tidak mempunyai calon. Pengundi perlu menulis nama Artis Paling Popular pilihan masing-masing di dalam borang undian. Dalam ABP 1993, Sofia Jane boleh dikatakan tiada tandingan apabila berjaya mendapat lebih 170 ribu undi. Sofia juga satu-satunya calon yang berjaya mendapat lebih 100 ribu undi dalam kategori lain iaitu Pelakon Filem Wanita Popular. Populariti Sofia adalah melalui filem-filem lakonannya iaitu Kekasih Awal Dan Akhir dan Perempuan, Isteri & ...? yang mendapat sambutan yang cukup hebat di pawagam pada 1993.

    Penyanyi Lelaki Popular:
    • Jamal Abdillah - 56,744 undi (pemenang)
    • Rahmat - 39,189
    • Nash - 27,929
    • Saleem - 24,400
    • Hasnol - 17,211
    Artis Paling Popular 1984, Jamal Abdillah, kembali popular pada 1992 melalui lagu Kekasih Awal Dan Akhir. Lagu tersebut dijadikan filem, juga lakonan Jamal, dan ia telah meningkatkan lagi popularitinya apabila ditayangkan pada 1993. Kemenangan ini adalah yang pertama buat Jamal dalam sejarah ABP. Pada awal 1990-an pudarnya populariti kumpulan rock yang antara lain berpunca daripada sekatan imej rambut panjang sehingga telah mengurangkan penyiaran lagu-lagu kumpulan rock di radio dan televisyen. Ramai penyanyi yang berasal daripada kumpulan rock seperti Rahmat (Ekamatra), Nash (Lefthanded) & Saleem (Iklim) kembali menjadi perhatian apabila mereka bergerak secara solo dengan menyanyikan lagu-lagu pop. Hasnol pula ialah antara penyanyi baru yang sedang meningkat popular ketika itu tetapi terbukti dia tidak mampu untuk mengatasi populariti penyanyi-penyanyi terdahulu, malah Hasnol juga ialah satu-satunya calon daripada kategori di atas yang sudah hilang daripada arena hiburan tempatan pada masa kini.

      Penyanyi Wanita Popular:
      • Ella - 67,051 undi (pemenang)
      • Fauziah Latiff - 42,124
      • Shima - 19,942
      • Ning Baizura - 15,857
      • Ziana Zain - 14,107
      Tiada penyanyi wanita lain yang mampu mengatasi populariti Ella yang hadir dengan album terlaris pada 1992 iaitu 30110 yang mengandungi lagu popularnya Sembilu. Populariti Ella terus meningkat pada 1993 dengan kehadiran filem terbaru lakonannya iaitu Pemburu Bayang. Kemenangan pertama Ella dalam kategori di atas telah menamatkan penguasaan Aishah yang bergelar Penyanyi Wanita Popular selama 3 tahun berturut-turut (ABP 1990-1992). Berdasarkan keputusan ABP 1993, dapat diperhatikan yang Ziana Zain ketika itu masih di peringkat awal untuk mencipta populariti dan hanya mampu mendapat tempat terakhir. Kesemua calon daripada kategori di atas boleh dikatakan masih wujud dalam arena hiburan tempatan pada masa kini walaupun ada sesetengahnya sudah tidak begitu aktif.

        Penyanyi Berkumpulan Popular:
        • 4U2C - 41,339 undi (pemenang)
        • Wings - 40,186
        • Feminin - 30,179
        • Spring - 29,243
        • Exist - 19,144
        Keputusan kategori di atas agak menarik kerana pemenangnya, artis baru 4U2C, dilihat bersaing hebat dengan Wings yang hanya kalah dalam jumlah undi yang kecil. Apa yang agak menyedihkan, Wings yang ketika itu baru muncul dengan album terbaru, Bazooka Penaka, sudah pun berada di ambang perpecahan. Feminin yang dipublisitikan sebagai 'kumpulan rap wanita tempatan yang pertama' sekadar mendapat tempat ketiga. Cuma yang agak aneh ialah kenapa KRU tidak berjaya dicalonkan dalam ABP 1993, sebaliknya kumpulan rock (yang terlebih pop), Spring & Exist, berpeluang membuktikan yang mereka masih ada sebilangan kecil peminat.

          Senarai para pemenang & calon akhir ABP 1993 bersambung di bawah:

          28 December 2012

          Ratu Perak - Riguan Rashidi (1988)

          Peserta tunggal berbangsa Melayu dalam pertandingan akhir Ratu Malaysia-Dunia (Miss Malaysia-World) 1988 ialah Riguan Rashidi. Pertandingan tersebut yang berlangsung pada 14 September 1988 disertai oleh 14 orang ratu cantik yang mewakili negeri-negeri dalam Malaysia. Riguan yang ketika itu berusia 24 tahun mewakili negeri Perak setelah dia berjaya dipilih sebagai Ratu Perak pada tahun yang sama.


          Riguan berkelulusan diploma (lanjutan) dalam bidang Kajian Perniagaan daripada Institut Teknologi MARA (ITM). Dia bekerja sebagai pegawai pemasaran di sebuah syarikat swasta dan dalam masa yang sama menjadi peragawati secara sambilan. Menurut Riguan, namanya yang agak unik itu adalah pemberian daripada moyangnya.


          Dalam pertandingan akhir Miss Malaysia-World 1988, nasib tidak menyebelahi Riguan apabila peserta bernama Sue Wong Choy Fun (Ratu Pahang berusia 19 tahun) dipilih sebagai pemenang utama. Riguan sekadar mendapat tempat keempat. Selepas daripada itu nama Riguan terus tenggelam kerana dia sememangnya tidak berminat untuk menceburi bidang hiburan. Kata Riguan, "saya tidak minat berlakon dan tidak ada suara nak menyanyi"

          23 December 2012

          Kereta Proton CARES (1992)

          "Edaran Otomobil Nasional (EON) telah memasarkan dua model baru kereta nasional yang dinamakan Proton CARES, Khamis lalu" (Utusan Malaysia, 2 Disember 1992)

          Proton CARES ialah jenama kereta Malaysia yang amat istimewa kerana ia hanya dikeluarkan sebanyak 200 unit sahaja pada 1992! Nama CARES ialah akronim untuk Clean Air Regulated Emission System (Sistem Penapis Udara Berkawal) iaitu ciri khas yang diperkenalkan pada kereta tersebut. Secara ringkasnya CARES bermaksud kereta tersebut mengandungi "sistem suntikan bahan api pelbagai punca" yang berfungsi untuk "menambahkan kelancaran dan mendatangkan prestasi yang lebih baik"


          Proton CARES yang dikeluarkan dalam 2 model, Salon SE & Aeroback GL, secara fizikalnya adalah berdasarkan rekabentuk Proton Saga Iswara yang telah dikeluarkan lebih awal. Model Salon SE berharga RM42,500 manakala model Aeroback GL berharga RM43,000 termasuk insurans, cukai jalan & aksesori. Identiti khas Proton CARES ialah pada rupa luarannya di mana ia hanya dikeluarkan dalam 1 warna sahaja iaitu hijau metalik sebagai simbol "keprihatinan terhadap alam sekitar"

          20 December 2012

          Novel-novel Yahya Samah (1983)

          Yahya Samah ialah seorang penulis novel yang terkenal pada 1980-an. Dalam tahun 1983, empat buah novel tulisannya telah diterbitkan oleh Penerbitan Pena Sdn Bhd. Novel-novel tersebut berjudul Kelkatu, Sofia, Anak Muda Karam Di Pantai & Pecah Berderai. Setiap satu daripada novel tersebut cuma berharga di antara $2.50 hingga $4.50.


          Menariknya, Yahya Samah bukan terkenal melalui penulisannya yang berstatus tinggi, tetapi kebanyakan novel Yahya Samah ketika itu menjadi perhatian kerana ia dikatakan mengandungi unsur lucah atau lebih baik lagi jika ia dikatakan sebagai bahan bacaan dewasa.

          Iklan 4 buah novel Yahya Samah terbitan 1983 tersebut telah mempergunakan nilai sensasi "Yahya Samah" bagi mempromosikan novel-novel tulisannya. Iklan itu memperkenalkan penulisan Yahya Samah sebagai "panas dan mendebarkan". Yahya Samah dikatakan "terkenal dengan novel-novel yang dianggap lucah"

          Iklan itu turut menyenaraikan novel lama Dahaga & Perahu Kecil Belayar Malam sebagai antara novel terlaris pernah ditulis oleh Yahya Samah. Manakala 4 buah novel terbaru yang diiklankan itu dikatakan mengandungi "kisah yang lebih panas!"


          Walau bagaimanapun, Yahya Samah tidaklah menumpukan penulisannya terhadap bahan bacaan dewasa samata-mata. Sebagai penulis terkenal, beliau juga menulis bahan bacaan umum, misalnya novel Jatuh Ke Laut yang juga terbit pada 1983 telah dipromosikan sebagai "novel kanak-kanak"

          Nota kemas kini (12 Jan 2013):
          1. Novel berjudul Sofia tulisan Yahya Samah yang diterbitkan oleh Penerbitan Pena Sdn Bhd telah diharamkan pada 6 Disember 1984 (maklumat daripada laman web KDN)
          2. Versi asal (dengan ejaan lama) novel berjudul Sofia tulisan Yahya Samah pernah diterbitkan oleh Pustaka Titiwangsa pada 1967 (tidak dapat diarkibkan kerana di luar daripada skop ANX, iaitu tahun 1970 ke atas)

          17 December 2012

          Azwan Ali ingin jadi Perdana Menteri (1991)

          Kata Seleb Kita:

          "Jangan terkejut kalau Azwan katakan bahawa cita-cita Azwan adalah untuk menjadi Perdana Menteri" - Azwan Ali
          (Media Hiburan, 11 Mei 1991)


          Petikan tersebut ialah jawapan Azwan Ali (25 tahun, pengacara TV terkenal) apabila ditanya oleh wartawan tentang cita-citanya selepas berjaya mendapat kelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang pada 1991.

          28 September 2012

          Bintang RTM - Sani Abu Yamin (1971)

          Pertandingan bakat nyanyian peringkat akhir Bintang RTM 1971 telah diadakan di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada 27 September. Dalam pertandingan itu Sani Abu Yamin yang berasal dari Kuala Lumpur telah berjaya menjadi johan dan menerima hadiah wang sebanyak $1000 di samping pingat dan piala pusingan.


          Sani Abu Yamin atau nama penuhnya Md Sani Abu Yamin kemudiannya mendapat peluang merakamkan album bersama syarikat rakaman EMI dengan menggunakan nama M. Sani. Antara album M. Sani yang pernah dikeluarkan ialah Kerna Senyum Ku Terpikat (1974) selain beberapa EP (album mini) seperti Rindu Hati Ku Tidak Terkira & Sedangkan Lidah Lagi Tergigit (duet bersama Sharifah Aini).

          Genap 30 tahun selepas bergelar johan Bintang RTM, M. Sani (50 tahun) yang tidak lagi menyanyi dan ketika itu menguruskan gerai makanan telah menggemparkan negara apabila dia didakwa di mahkamah atas tuduhan merogol anak perempuannya yang berusia 11 tahun. Tarikh kejadian rogol itu ialah pada 26 September 2001. Setelah dibicarakan, pada 2005 mahkamah mendapati M. Sani bersalah dan dia dijatuhkan hukuman penjara selama 19 tahun.

          Nota tambahan:
          Naib johan Bintang RTM 1971 ialah Yusof Mohammad & A. Mohd Hassan, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Rozaimah Mustapha & Hassan Razak. Persembahan para peserta dalam pertandingan akhir Bintang RTM 1971 diiringi oleh persembahan muzik Orkes RTM dan ia telah dirakam dan dipasarkan dalam bentuk piring hitam. Berikut ialah senarai lagu dan nama para peserta yang bertanding. Lagu-lagu yang dipersembahkan terbahagi kepada 2 kategori:

          Jenis Baru:
          1. Jauh Jauh (Sani Abu Yamin)
          2. Oh Di-Mana (S. Razalie)
          3. Hanya Pada Mu (Zurina Hassan)
          4. Anak Siapa (A. Naob Harris)
          5. Satu Dalam Seribu (S. M. Buang)
          6. Perahu Ladju (Rozaimah Mustapha)
          7. Seruling Di-Lembah Sunyi (Yusof Mohammad)
          8. Hanya Sekejap (Majinah Ali)

          Jenis Lama:
          1. Resam Dunia (A. Mohd Hassan)
          2. Laksamana Mati Di-Bunoh (Shamsuddin Lamin)
          3. Kr. Terkenang2 (Zainal Abidin Udoh)
          4. Sri Tambak (Saftuyah Bujang)
          5. Gunong Bentan (Azmi Othman)
          6. Kr. Tumbang Harapan (M. Jamil Jamaluddin)
          7. Nasib Panjang (Hassan Razak)

          Rancangan Bintang RTM 1971 ditaja oleh Lever Brothers (Malaysia) Sdn Bhd.

          31 August 2012

          Facebook ANX

          Pelbagai cara dibuat oleh pelbagai pihak untuk menyambut atau memperingati Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-55 tahun hari ini. Blog Arkib Negara X (ANX) tidak mahu ketinggalan menumpang tarikh penting ini dengan membuka sebuah laman Facebook: www.facebook.com/arkibnegara

          Tujuan pembukaan Facebook ANX ialah bagi tujuan mempromosi blog ini selain untuk memudahkan perkongsian maklumat dengan lebih meluas. Selama ini ANX tidak pernah dipromosikan terutamanya di luar daripada jaringan blog, sama ada secara spam atau pun meninggalkan link di mana-mana yang sempat. Namun begitu terdapat ramai juga pembaca yang mahu berkongsi entri atau link ANX di pelbagai laman lain seperti forum dan media sosial seperti Facebook & Twitter, serta tidak lupa untuk mengkreditkan ANX apabila dijadikan rujukan dalam laman web lain. Berbanyak-banyak terima kasih diucapkan atas usaha tersebut.

          Dengan kewujudan Facebook ANX, diharapkan ia akan memudahkan lagi proses perkongsian maklumat dan menambahkan lagi bilangan pembaca yang terdapat di luar daripada jaringan blog. Like Facebook ANX!

          "Merdeka!"

          26 August 2012

          "Cun-lah" Richie Rachman (1990)

          Richie Rachman kembali terkenal sebagai pengacara rancangan Bilik 7 yang disiarkan oleh saluran ntv7 beberapa bulan lepas, iaitu sebuah rancangan yang membicarakan kisah kontroversi para artis tempatan masa kini. Setelah puas menyaksikan Richie menyiasat dan mencungkil rahsia para artis di dalam rancangan tersebut, kini Bilik ANX menyiarkan sekeping gambar Richie Rachman yang pernah disiarkan oleh akhbar Pancaindera pada 1990.

          Gambar Richie Rachman yang sedang menggayakan pakaian wanita ini disiarkan oleh wartawan hiburan terkenal, Juwie, yang memperkenalkan Richie sebagai "pengarang majalah Remaja". Di dalam majalah Remaja ketika itu Richie menggunakan nama "Kamal 'Richie' Rachman". Juwie dengan selamba mengusik Richie dengan menyatakan bahawa "Dia bukan awek tapi macam mama Juwie juga". Macam mama Juwie!

          Gambar Richie Rachman yang dikatakan "Cun-lah" ini dirakamkan semasa majlis Malam Wartawan yang diadakan di PWTC, Kuala Lumpur, di mana para wartawan berkumpul sambil berhibur dan menunjukkan bakat masing-masing. Richie Rachman memilih untuk menari mengikut irama lagu Copacabana lengkap dengan berpakaian wanita.

          05 August 2012

          Tin minuman 100 Plus - Sukan Olimpik (2012)

          Arkib Negara X (ANX) akan menyiarkan koleksi beberapa tin minuman yang mempunyai tema tertentu. Pertama sekali ialah yang terbaru iaitu tin minuman isotonik terkenal, 100 Plus, yang membawa tema Road To London sempena Sukan Olimpik yang sedang berlangsung di London sekarang.


          Tin minuman ini memaparkan grafik menarik "Pemain Badminton No. 1" dari Malaysia, Dato' Lee Chong Wei. Grafik tersebut mencantumkan wajah Chong Wei dengan wajah-wajah para penyokongnya. Tidak ketinggalan pada produk sebegini semestinya tandatangan Chong Wei, atlet harapan Malaysia yang akan bertarung pada malam ini dalam perlawanan akhir acara badminton perseorangan lelaki bagi merebut pingat emas. Semoga berjaya!


          03 August 2012

          A Man Of Malaysia (1976)

          Tun Razak atau nama penuhnya Abdul Razak Bin Hussein merupakan Perdana Menteri Malaysia kedua yang mula berkhidmat pada 1970. Beliau meninggal dunia pada 1976 dalam usia 53 tahun. Setelah kematian beliau, The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad telah menerbitkan sebuah buku kenang-kenangan yang berjudul A Man Of Malaysia. Tajuk sampingan buku dwi-bahasa ini ialah 'Seluruh hidupnya untuk Malaysia' dan ia dijual dengan harga $3.50. Buku setebal 104 mukasurat ini dimulakan dengan pendahuluan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Suffian, yang antara lain menulis: "Malaysia telah kehilangan seorang putera dan seorang patriot yang gagah dan ulung"

          Buku A Man Of Malaysia menghimpunkan rencana-rencana hasil tulisan A. Samad Ismail, Adibah Amin dan Mohamed Noordin Sopiee. Isi kandungan buku ini dibahagikan kepada beberapa bab bertulis atau bergambar seperti berikut:
          1. Tun Razak - Peribadinya (Tun Razak the man), oleh A. Samad Ismail
          2. Tun dan zamannya (The man and his times), oleh Mohamed Noordin Sopiee
          3. Detik-detik hidup Tun (Tun through the years)
          4. Tun dan keluarga (The family man)
          5. Tun yang saya kenali (The man I knew), oleh Zain Azraai & Tuanku Jaafar (Yang Dipertuan Besar Negri Sembilan)
          6. Petikan kata-kata Tun (Quotes)
          7. Keluarga yang ditinggalkannya (The family he leaves behind), oleh Adibah Amin
          Bahagian terbaik untuk buku sebegini tentulah himpunan gambar kenangan yang berpuluh-puluh keping (mungkin juga ratusan) dalam bentuk hitam putih mahu pun berwarna. Di mukasurat tengah buku ini terdapat sekeping poster Tun Razak bersama isterinya sedang berekreasi dengan sampan di sebuah tasik. Selain daripada gambar-gambar semasa zaman kegemilangan Tun Razak, buku ini juga turut merakamkan detik-detik sedih kepulangan jenazah beliau dari London dan juga suasana di hari pengkebumiannya pada 1976.

          Di bawah ialah beberapa lagi gambar menarik yang terdapat dalam buku A Man Of Malaysia:

          02 August 2012

          Majalah Tele-skop (1990 & 1991)

          Majalah Tele-skop mula diterbitkan pada Januari 1990. Slogan majalah ini ialah "Mingguan Hiburan Anda / Your Entertainment Weekly" dan pada mukasurat pertama keluaran awalnya terdapat tulisan berikut yang merupakan keterangan lengkap perihal majalah ini:

          "TELE-SKOP ialah majalah mingguan terbitan Sistem Televisyen Malaysia Berhad. Majalah dwi-bahasa ini, selain daripada memberi pembaca dan penonton TV3 intisari rancangan sepenuhnya untuk seminggu bermula setiap Sabtu, juga mengandungi rencana-rencana mengenai artis-artis tempatan dan luar negara serta temuramah dengan pelakon drama kegemaran anda. Dapatkan senaskah Tele-skop setiap minggu"

          Majalah Tele-skop bersaiz kecil tidak seperti majalah hiburan lain ketika itu. Dengan ketebalan hanya 32 mukasurat tidak termasuk kulit, ia dikira agak nipis dan dijual dengan harga $1.00 (Semenanjung) atau $1.50 (Sabah/Sarawak). Antara warga kerja majalah ini ialah Shamsul Khalid Ismail (penerbit); Aziz Hassan (pengarang); Francisca Voo, Yasmin Siddik, Lionel Morais (pemberita); Shahiman Sharip (jurugambar).

          Isi kandungan lain Tele-skop yang tidak dinyatakan dalam keterangan di atas ialah seperti ruangan TopSpin (ulasan album/kaset), Pin-Up (poster kecil), Surat Pembaca, dan ruangan khas Personaliti TV3 yang memperkenalkan pengacara mahu pun warga kerja di belakang tabir stesen TV3.

          Gambar muka hadapan Tele-skop biasanya memaparkan wajah artis tempatan atau artis luar negara yang sedang popular. Pada keluaran berkembar No. 14 & 15 (21 April 1990) sempena Hari Raya Aidilfitri, majalah ini memaparkan gambar 6 orang Personaliti TV3 pada muka hadapannya iaitu Wan Zaleha Radzi (pengacara Majalah 3), Abdul Razak & Nurfarahin Jamsari (pengacara Sekapur Sirih), Charmaine Augustin & Azwan Ali (pengacara Muzik-Muzik) dan Ezzah Aziz Fawzy (pengacara Nona). Untuk menggambarkan suasana Hari Raya di zaman itu, kad raya merupakan antara hiasan yang terpenting semasa bergambar. Di bahagian dalam majalah, di samping gambar para Personaliti TV3 sedang bermain bunga api, turut disiarkan biodata mereka:

          Wan Nor Zaleha Wan Ahmad Radzi
          Tarikh lahir: 25 Mac 1964
          Tempat lahir: Kuala Lumpur

          Abdul Razak Abdullah
          Tarikh lahir: 30 Januari 1955
          Tempat lahir: Kampung Gunung Senyum, Kuala Kurau, Pahang

          Nurfarahin Jamsari
          Tarikh lahir: 1 September 1962
          Tempat lahir: Singapura

          Charmaine Anne Augustin
          Tarikh lahir: 1 Januari 1968
          Tempat lahir: Kuala Lumpur

          Mohamed Azwan Haji Ali
          Tarikh lahir: 13 Februari 1966
          Tempat lahir: Singapura

          Ezzah Haji Abdul Aziz Fawzy
          Tarikh lahir: 11 Ogos 1963
          Tempat lahir: Kluang, Johor

          Tidak dapat dipastikan dengan tepat bilakah majalah Tele-skop dihentikan penerbitannya. Keluaran terakhir Tele-skop dalam simpanan ANX ialah yang bertarikh Julai 1991, tetapi dapat dikesan bahawa majalah ini masih wujud pada pertengahan 1992 (dan mungkin tahun-tahun selepas itu) dengan menggunakan rekabentuk muka hadapan yang berbeza.

          01 August 2012

          Restoran McDonald's pertama di Malaysia (1982)

          Restoran makanan segera yang terkenal di seluruh dunia, McDonald's, telah membuka cawangannya yang pertama di Malaysia pada 1982. Restoran yang beralamat di lot 120-120A, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur itu diuruskan oleh Golden Arches Restaurants Sdn Bhd.

          Sempena hari pembukaan yang bersejarah itu, restoran McDonald's Bukit Bintang telah menghadiahkan pelanggannya yang pertama sekali membeli burger Big Mac di Malaysia dengan memberinya satu Big Mac percuma pada setiap minggu selama setahun!

          Selain Big Mac, restoran McDonald's Bukit Bintang yang dibuka setiap hari dari pukul 8 pagi hingga 12 malam itu turut menjual hidangan Fillet-O-Fish, French Fries, Apple Pie, Milkshake dan lain-lain lagi.

          Berdasarkan sambutan yang menggalakkan terhadap restoran McDonald's yang pertama itu, menjelang hujung tahun yang sama, restoran McDonald's yang kedua telah dibuka di Plaza Yow Chuan (lot LG 8 & 9), Jalan Pekeliling/Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Restoran kedua itu dibuka setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.

          Nota tambahan:
          • Menurut buku Rojak Fakta Malaysia (ZI Publications, 2011) sebuah lagi restoran makanan segera terkenal, Burger King, juga telah membuka cawangannya yang pertama di Malaysia pada 1982, iaitu di Plaza OUG, Kuala Lumpur.
          • Restoran makanan segera terkenal yang paling awal dibuka di Malaysia ialah A & W di Batu Road, Kuala Lumpur pada 1961 diikuti oleh Kentucky Fried Chicken di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur pada 1973.

          31 July 2012

          Majalah Saga (1988)

          Seperti yang tertulis pada muka hadapan majalah ini, Saga ialah "majalah EON eksklusif untuk pemilik Proton Saga". Majalah Saga pertama kali diterbitkan pada September 1987 oleh Daniel J. Edelman Sdn Bhd bagi pihak Edaran Otomobil Nasional Sdn Bhd (EON). Majalah dwi-bahasa (Melayu & Inggeris) ini diterbitkan setiap 3 bulan sekali iaitu pada Mac, Jun, September dan Disember, dan ia diedarkan secara percuma untuk pemilik kereta Proton Saga sahaja.

          Walau bagaimanapun pada Jun 1988 majalah Saga melaporkan bahawa "EON membuat keputusan untuk menjualnya kepada orang ramai kerana sejak dilancarkan dalam bulan September tahun lalu, ia menerima banyak pertanyaan dari mereka yang berminat untuk melanggannya". Bermula bulan tersebut majalah Saga boleh dibeli dari semua cawangan EON di seluruh Malaysia dengan harga $2.50 senaskah untuk bukan pemilik kereta Proton Saga. Pada Jun 1988 jumlah pemilik kereta Proton Saga sejak ia mula dikeluarkan pada 1985 dilaporkan telah mencecah 70,000 orang, iaitu jumlah yang sama bagi pengedaran majalah ini.

          Daripada segi isi kandungan, majalah Saga lebih menekankan kepada maklumat gaya hidup & kesihatan serta mempromosikan budaya & lokasi Malaysia (atau negara serantau) selain menyiarkan sedikit ruangan khusus mengenai kereta. Fokus majalah ini boleh dilihat melalui paparan gambar pada kulit hadapannya, misalnya gambaran kehidupan di Pantai Timur, kesenian Indonesia, keaslian Langkawi dan sebagainya. Ruangan lain yang terdapat dalam majalah ini ialah seperti EON Semasa (berita), Klinik Saga (penjagaan kereta), Gambaran (foto menarik) dan Muzik Untuk Saga (ulasan album/kaset).

          30 July 2012

          Siri TV Rumah Kedai (1990)

          Pada 27 Mac 1990 bersamaan 1 Ramadan 1410, siri TV Rumah Kedai musim ketiga mula disiarkan oleh saluran TV3. Ia bersiaran mulai pukul 5.30-6.00 petang (Isnin-Jumaat) atau 4.40-5.00 petang (Sabtu-Ahad). Rumah Kedai ialah sebuah rancangan drama bersiri sebanyak 30 episod yang disiarkan khas pada setiap hari dalam bulan Ramadan. Musim pertama rancangan sukaramai itu telah disiarkan pada 1988. Menurut majalah Tele-skop, "siri ini lebih bertemakan soal-soal moral, keagamaan, politik dan keluarga". Pelakon utama Rumah Kedai musim ketiga ialah seperti berikut:

          Yusof Mohamad (sebagai Pak Halim)
          Kartina Aziz (Mak Lijah)
          Sudiro Sukirman (Tapa)
          Haron Salim Bachik (Remy)
          Rosnah Mohd Aris (Mak Limah)
          Zulkifli Zain (Pak Imam)
          Aliza Abdul Rafar (Aishah)
          Khatijah Tan (Habsah)
          Rosnani Yusof (Hanisah)
          S. Sachithananthan (Dr. Sham)

          Antara penerbit yang menghasilkan Rumah Kedai musim ketiga ialah Faridah Ishak, Ngu Chin Ho, Jefferi Haji Tik, Aidi Fitri Buyung, Megat Saiful Bahari dan Josephine Tan. Manakala penulis skrip pula terdiri daripada M. Jusoff Taib (episod Duit Halal, Duit Khayal), Anwar Idris (Luqothah), Hamidaton Ariffin (Aishah... Aishah), Halim Awang (Orang Sesat), Nurhalim Ismail (Mimpi), Aliah Ahmad (Seberat Mata Memandang), Siti Rohani Ismail (Anak Angkat), Azie M.L (Kunjungan) dan lain-lain.

          Sinopsis untuk beberapa episod Rumah Kedai musim ketiga:

          Tuah (27 Mac 1990) - 1 Ramadan
          Episod pertama bagi musim ini bermula di kawasan baru dan Pak Halim berpindah kerana terjadi pergaduhan dengan tuan punya kedai. Perniagaan Pak Halim bertambah maju sehinggakan Remy merasakan dia patut dilantik sebagai penolong pengurus tetapi cadangan ini dibantah oleh Halijah. Apabila perniagaan Pak Halim begitu baik, Sharif iri hati dan menuduh Pak Halim menggunakan ilmu. Kebetulan pula sewaktu itu perniagaan Sharif semakin malap.

          Duit Halal, Duit Khayal (28 Mac 1990)
          Apabila suaminya membayar cukai pendapatan secepat mungkin, Mak Lijah mula membebel manakala Tapa dan Remy berangan-angan mereka akan menjadi kaya apabila mereka terasa tapak tangan mereka gatal. Tapa terus menjadi murah hati manakala Remy membeli dua tiket loteri.

          Hadiah Istimewa (29 Mac 1990)
          Apabila sebuah pasaraya baru dibuka dan menawarkan jualan murah serta hadiah istimewa, Mak Limah mengajak Mak Lijah ke sana. Tapa pula mempunyai cadangan untuk kebaikan Pasar Mini Mesra dengan cara memberi hadiah kepada setiap pelanggan. Secara kebetulan Remy, Tapa dan Mak Lijah terjumpa bungkusan rempah yang disorokkan oleh Pak Halim. Rempah inilah yang mereka hadiahkan kepada pelanggan tanpa mengetahui kenapa bahan itu disorok.

          Niat Baik (30 Mac 1990)
          Niat baik yang dilakukan oleh Remy dan Tapa berakhir dengan kekecewaan. Seorang rakan datang menemui Remy mahu menumpang tinggal di biliknya untuk sementara. Remy serba salah kerana takut perbuatannya tidak akan disenangi oleh Pak Halim dan Mak Lijah tetapi akhirnya dia membenarkan juga rakannya menumpang. Tetapi rakan ini ternyata tidak boleh diharap. Tapa pula menolong seorang janda yang kemudian ditangkap berkhalwat. Ketika dia menolong janda ini, Tapa banyak menghabiskan wangnya. Akhirnya, apabila Remy dan Tapa begitu kecewa, Pak Halim menasihatkan mereka supaya berhati-hati sebelum membantu seseorang.

          Bulan (21 April 1990)
          Jusuh menuduh Pak Halim menggunakan duit saham orang kampung untuk membina pasar mini. Di sebabkan bulan puasa, Pak Halim tidak menjawab tuduhan itu dan ini menghairankan Mak Lijah, Remy dan Tapa. Akhirnya terbongkar rahsia yang bendahari koperasi telah menggunakan nama Pak Halim untuk kepentingan dirinya.

          Anak Angkat (22 April 1990)
          Sham amat gembira apabila Faruk mengamanahkannya untuk memelihara anaknya Nazim. Bagi Faruk, ini dianggap sebagai impian yang menjadi nyata. Bagaimanapun, Hanisah tidak bersetuju dengan cadangan Sham kerana dia tidak diajak berunding terlebih dulu. Abang Faruk (Ganesan) dan emak saudara Nazim, Rogayah, turut menentang rancangan Faruk kerana mereka juga ingin memelihara Nazim.

          Kunjungan (23 April 1990)
          Mak Limah menjadi syak apabila seorang perempuan muncul untuk bertanyakan mengenai Karim dan perempuan itu pergi secara tergesa-gesa apabila melihat Habsah. Sejak hati itu, keluarga Pak Halim mula diganggu pelbagai perasaan syak wasangka mengenai masa silam Karim. Hanya Pak Halim yang tidak mempunyai buruk sangka terhadap Karim. Siapakah perempuan itu?

          Amalan (24 April 1990)
          Rostam, yang menyebabkan kematian ibunya, pergi mengembara untuk mencari kedamaian dan pengampunan Allah. Kehadiran Rostam di kampung ini menyedarkan Remy dan Tapa betapa tingginya nilai kasih seorang ibu.

          Kata Putus Di Aidilfitri (25 April 1990) - 30 Ramadan
          Remy dan Tapa sering bergaduh untuk mendapatkan kuasa mutlak di kedai sepeninggalan Pak Halim dan Mak Lijah ke Makkah nanti. Leha pula sering dipukul oleh suaminya sehingga mukanya lebam-lebam. Bagaimana Pak Halim untuk menggunakan kebijaksanaannya dan menyelesaikan masalah ini?


          21 June 2012

          Personaliti Pilihan Pembaca Media Hiburan (1996)

          Majalah Media Hiburan (MH) diterbitkan secara mingguan sejak April 1984. Pada Mac 1996, majalah MH telah membuka peluang kepada para pembaca untuk mengundi personaliti (kini lebih popular dengan gelaran artis) pilihan masing-masing. Undian dibuat menggunakan borang yang terdapat dalam majalah MH dan ia perlu dihantar menggunakan pos kepada pihak penerbit. Untuk membezakan undian pembaca MH dengan undian yang dianjurkan oleh penerbitan lain, 5 kategori anugerah yang lain daripada lain telah dicipta. Undian berlangsung selama 9 bulan dan menurut majalah MH mereka menerima lebih kurang 100,000 penyertaan. Bagi mengumumkan para pemenang, satu majlis yang dinamakan Personaliti Pilihan Pembaca Media Hiburan (PPMH) telah diadakan pada 29 Disember 1996 di Hotel Holiday Inn City Centre, Kuala Lumpur. Seramai hampir 200 orang pembaca MH menghadiri majlis tersebut yang diacarakan oleh Seha dan Azwan Ali, dan mereka dihiburkan dengan persembahan nyanyian oleh Awie, Amy Mastura, Erra Fazira dan Fauziah Latiff.

          Senarai kategori anugerah dan para pemenang/calon adalah seperti berikut:

          Personaliti Jelita:
          Pemenang - Erra Fazira
          Calon lain - Lydiawati, Amy Mastura, Fauziah Latiff, Aleeza Kassim

          Personaliti Kacak:
          Pemenang - Eizlan Yusof
          Calon lain - Azhar Sulaiman, Rusdi Ramli, Zarul Umbrella, Hans Isaac

          Personaliti Wanita Seksi:
          Pemenang - Ziana Zain (satu-satunya pemenang yang tidak hadir bagi menerima anugerah)
          Calon lain - Sasha Saidin, Amelina, Vanida Imran, Mas Idayu

          Personaliti Lelaki Seksi:
          Pemenang - Awie
          Calon lain - Edika Yusof, Norman KRU, Riezman Khuzaimi, Norman Hakim

          Pasangan Cover MH Paling Menarik:
          Pemenang - Fauziah Latiff & Eizlan Yusof
          Calon lain - Amy Mastura & Azhar Sulaiman; Rosyam Nor & Lydiawati; Eddie Pak & Nanu Baharuddin; As Feminin & Zarul Umbrella

          Erra Fazira






















          Amy Mastura
          Aleeza Kassim

          Eizlan Yusof
          Sasha Saidin
          Awie
          Fauziah Latiff & Eizlan Yusof
          Cover MH Paling Menarik
          Calon-calon Cover MH Paling Menarik

          03 June 2012

          Poster Hannah Tan ditapis (2008)

          Poster Hannah Tan 'threesome' ini disiarkan di mukasurat tengah majalah Media Hiburan keluaran Ogos 2008. Hannah Tan ialah seorang pelakon dan penyanyi yang pernah memenangi gelaran Wanita Malaysia Paling Seksi 2006. Gambar Hannah Tan dalam poster majalah berbahasa Melayu ini tidaklah seseksi gambar-gambarnya dalam beberapa penerbitan berbahasa Inggeris yang lain. Tetapi percaya atau tidak, gambar dalam poster ini sebenarnya telah disunting atau ditapis.

          Teknik penyuntingan gambar menggunakan kaedah klon sememangnya agak sukar dikesan apabila ia dipandang seimbas lalu. Jadi bagaimanakah pembaca boleh mengetahui bahawa gambar dalam poster ini telah ditapis? Dalam kes ini tidak susah sebenarnya, kerana gambar Hannah Tan yang tidak ditapis ada disiarkan di mukasurat lain yang memuatkan artikel Hannah Tan! Setelah dibandingkan kedua-dua gambar tersebut, terbuktilah bahawa bahagian yang ditapis dalam gambar poster ini ialah kawasan dada Hannah Tan. Tidak, bukan lurahnya, tetapi loket rantai Hannah Tan yang berbentuk salib telah dipadam!

          Adakah imej salib di dalam majalah berbahasa Melayu tidak dibenarkan? Sudah tentu tidak, kerana ia boleh disiarkan di ruangan artikel Hannah Tan. Jadi apakah rasionalnya di sebalik penggunaan dwi standard dalam penyiaran gambar-gambar Hannah Tan ini? Apa yang boleh difikirkan ialah tentang fungsi poster berbanding ruangan artikel, di mana poster biasanya dihasilkan untuk dilekatkan di dinding, manakala ruangan artikel jarang diperlakukan sedemikian. Mungkin dengan pemadaman imej salib pada poster ini akan membuatkan sasaran pembaca majalah ini - yang kebanyakannya orang Melayu - tidak merasa ragu-ragu untuk melekatkan poster ini di dinding masing-masing. Tidak mengapalah dengan pakaian gaun putih Hannah Tan itu, ia tidak sedikit pun menggugat keimanan.



          09 April 2012

          Lirik dua makna Zaleha Hamid (1993 & 1995)


          1995

          Penyanyi dangdut veteran Zaleha Hamid pernah mengeluarkan album Dankdut Bang pada 1993. Album tersebut menimbulkan sedikit kontroversi dan menjadi terkenal apabila menampilkan lagu-lagu yang mempunyai lirik yang dianggap berunsur lucah, iaitu lagu Keluar Masuk dan Jagung Bakar (duet bersama Salih Yaacob). Susulan daripada itu, pada 1995 sebuah lagi album berjudul Dankdut Bang Vol. 2 telah diterbitkan. Pihak penerbit album yang menyedari kontroversi mampu memberikan publisiti yang besar kepada sesebuah produk telah mengambil kesempatan dengan menampilkan beberapa buah lagi lagu yang mempunyai lirik dua makna yang menjurus ke arah berunsur lucah (walaupun sebenarnya tidak). Lagu-lagu seperti Sakit Tapi Asyik (duet bersama Salih Yaacob lagi), Takut Tapi Mengasyikkan dan Sini Enak Sana Enak telah dipertaruhkan untuk menarik perhatian para pendengar dan pembeli album. Malah iklan bagi mempromosikan album itu jelas menyatakan kesedaran pihak penerbit tentang kontroversi yang sedang mereka ciptakan: "Mengapa mesti konterversi jika ia sekadar lirik dua makna", "Konterversi bukan di cari, tapi albumnya yang anda ingin miliki"

          Lirik-lirik 'lucah' di bawah disalin semula daripada kulit album yang terdapat dalam laman web milik National Library Board Singapore:

          SAKIT TAPI ASYIK
          (lagu & lirik oleh Eddy Lestaluhu)

          Zaleha - Aduh-aduh sakit terasa, Hai sakit sekali, Aku tidak berdusta abang, Memang rasa ngeri.
          Salih - Baru sedikit sudah menjerit, Hai ribut bilang sakit.

          (dialog)
          Zaleha - Aduh sakit bang.
          Salih - Yea sakit nantikan enak.

          (korus)
          Zaleha - Memanglah sakit, Pertama terasa sakit, Perlahan saja agar aku tak menjerit.
          Salih - Tahanlah dulu, Jangan terburu menjerit, Walaupun sakit akhirnya enak sekali.

          Zaleha - Aduh-aduh sakit terasa, Hai sakit sekali, Tapi enak juga akhirnya, Hai enak sekali.
          Salih - Apa kataku tahanlah dulu, Anginnya biar pergi.

          TAKUT TAPI MENGASYIKKAN
          (lagu & lirik oleh Eddy Lestaluhu)

          Semalam aku mimpi bertemu ular,
          Aduh... (aduh...) Takut... (takut...),
          Panjang besar galak dan mengerikan.

          Dijulur-julurkan lidahnya, Dikibas-kibaskan ekornya,
          Saolah-olah dia mau memangsaku.

          Semalam aku mimpi bertemu ular.

          (korus)
          Lalu datang tiba-tiba, Satria gagah perkasa, Dia menolongku.
          Lalu aku terpesona, Dia juga jatuh cinta, Kepada diriku.

          Mimpi ku semalam, Takut-takut tapi mengasyikkan.

          SINI ENAK SANA ENAK
          (lagu & lirik Copyright Controlled)

          Paling enak orang jatuh cinta, Apa lagi sama-sama cinta, Duduk berdua bermesraan,
          Mana tahan, mana tahan, aduh mana tahan.

          Sini enak situ enak, Pa-pa-pa-pa-pa-pa-pa-pa-pa,
          Paling enak orang jatuh cinta, Apa lagi sama-sama cinta.

          (korus)
          Ha... Kalau sedang dimabuk cinta,
          Katanya dunia milik kita, Semua indah dipandang mata.

          Ha... Siang malam jalan berdua,
          Lupa nasihat orang tua, Yang celaka dirimu jua.

          Paling enak orang jatuh cinta, Apa lagi sama-sama cinta.


          1993

          KELUAR MASUK



          KONTERVERSI!

          05 April 2012

          Aaron Aziz (2002)



          Sepuluh tahun yang lalu Aaron Aziz adalah nama yang tidak dikenali langsung di Malaysia.

          Di Singapura pada 2002, Aaron yang sudah pun berusia 26 tahun ketika itu baru hendak dikenali melalui lakonannya dalam watak-watak kecil untuk drama televisyen. Antara drama terawal lakonannya yang disiarkan oleh Channel 5 berjudul War Diary. Sebuah lagi drama Singapura yang popular berjudul Heartlanders menampilkan Aaron membawakan watak polis.

          Setelah berlakon dalam beberapa buah drama televisyen di Malaysia, akhirnya Aaron mendapat peluang terbaiknya apabila ditawarkan berlakon dalam filem pertamanya Evolusi KL Drift (2008). Populariti Aaron memuncak naik pada pertengahan 2011 melalui lakonannya dalam drama bersiri Nora Elena. Kini Aaron Aziz ialah pelakon Singapura nombor dua* paling popular di Malaysia.

          Majalah LiME keluaran September 2002 yang diterbitkan oleh Mediacorp Publishing pernah menemubual pelakon baru Aaron Aziz, dan soalan pertama yang ditanyakan oleh mereka ialah berkenaan nama Aaron yang tidak kedengaran seperti nama orang Melayu. Aaron menjelaskan bahawa keluarganya terdiri daripada keturunan yang bercampur aduk ("a rojak family") di mana arwah bapanya berketurunan "Siamese Chinese" manakala ibunya pula daripada keturunan "Orang Cocos" yang berasal dari Christmas Island, dan neneknya ialah orang Jepun.

          Dalam temubual yang sama Aaron menceritakan pengalaman awalnya menyertai pertandingan Manhunt pada tahun 2000 di mana dia memenangi dua gelaran, Mr. Personality dan Mr. Charming. Dengan ketinggian 1.79 meter, berat 70 kg dan ukuran dada 40 inci, majalah LiME pada 2002 menggelarkan Aaron Aziz sebagai "Perfect hunk material!"

          *Pelakon Singapura paling popular di Malaysia ialah S. Shamsudin!

          Nota tambahan:
          Pada awal 2012, Aaron Aziz telah memenangi Anugerah Selebriti Kacak dan Anugerah Hot Papa dalam Anugerah Pilihan Pembaca Media Hiburan 2011.

          04 April 2012

          Fazira, Azeera & Erra (1990)

          Kepada kebanyakan peminat hiburan tempatan, Erra Fazira diketahui mula terkenal setelah dia menyertai pertandingan Miss Malaysia-World 1992 ketika usianya 18 tahun. Ketika itu Erra menggunakan nama asalnya Fazira Wan Chek. Tetapi rasanya tidak ramai yang mengetahui bahawa Erra sebenarnya telah mula memasuki dunia hiburan tempatan beberapa tahun lebih awal daripada itu. Ketika usianya 16 tahun (1990) dan masih bersekolah dalam tingkatan empat, Erra telah pun mula tampil dalam majalah-majalah hiburan dengan menggunakan nama glamor Azeera. Walau bagaimanapun Erra tidak berjaya merakamkan album dalam usia semuda itu dan hanya sekadar menjadi penyanyi picisan di pentas-pentas persembahan. Siapa sangka "artis remaja" Azeera yang berimejkan minah rock dalam tempoh dua tahun selepas itu mampu menjuarai pertandingan ratu cantik, seterusnya mewakili Malaysia ke pertandingan antarabangsa Miss World, dan akhirnya menjadi bintang filem paling popular selepas membintangi filem terlaris Sembilu (1994) & Sembilu II (1995). Cita-cita Erra untuk menjadi penyanyi rakaman juga tercapai apabila dia berjaya mengeluarkan album pertama yang popular dengan lagu Cinta Abadi pada 1994.

          03 April 2012

          Nissan Stanza - Noreen Noor (1983)

          Sekiranya pada 1982 penyanyi pop Mazuin Hamzah terpilih untuk mengiklankan kereta Datsun Pulsar, pada tahun berikutnya pelakon terkenal Noreen Noor pula terpilih untuk mengiklankan sebuah lagi jenama kereta. Nissan Stanza 1600 dikatakan sebagai "kereta masa depan" dengan ciri seperti "kotak gear 5 kelajuan yang comel" dan sebagainya. Sebelum terkenal melalui filem Talak pada 1984, Noreen merupakan seorang penyanyi, tetapi agak kurang terkenal. Dalam tahun 1983 juga Noreen telah mengeluarkan sebuah album berjudul Kepastian di mana syarikat pengedar kereta Tan Chong & Sons turut terlibat dalam merekabentuk kulit album itu yang menampilkan gambar Noreen melentikkan badannya di sisi sebuah kereta.

          Nota tambahan:
          Tandatangan, Noreen Noor.

          02 April 2012

          Sabda Bintang (1976 & 1979)


          URTV, 1976

          Sabda Bintang ialah ruangan ramalan nasib yang disiarkan oleh majalah URTV pada sekitar 1970-an. Ramalan nasib tersebut dibuat mengikut jenis zodiak/bintang atau tarikh kelahiran seseorang. Bintang seperti Aquarius, Leo, Cancer, Libra, Sagittarius dan sebagainya dikatakan dapat mengkategorikan manusia ke dalam kelompok tertentu yang berkongsi sifat-sifat dan pemikiran yang serupa. Pengkategorian sebegitu memudahkan para peramal nasib dalam memastikan ramalan mereka tepat kepada sebilangan besar pembaca. Sekiranya ramalan tersebut tidak tepat, bulan depan masih ada untuk ramalan seterusnya. Maka begitulah ruangan ramalan nasib dalam akhbar dan majalah mendapat pembaca setianya. Ruangan sebegitu mungkin biasa menggunakan nama seperti Horoskop dan sebagainya, tetapi majalah URTV memilih untuk menggunakan nama Sabda Bintang di mana Sabda bermaksud kata-kata yang diucapkan. Walau bagaimanapun pada masa kini Sabda tidak lagi boleh digunakan sewenang-wenangnya, apatah lagi oleh objek seperti bintang yang berlambangkan kepala kambing atau pun ketam. Sekian sabda ANX.


          URTV, 1979

          01 April 2012

          ANX 3 tahun

          Arkib Negara X sudah pun berusia 3 tahun pada 24 Januari lepas, tapi entri-entri yang disiarkan di sini sebenarnya belum pun mencecah 200 jumlahnya. Terlalu sikit! Tahun lepas ANX berehat selama 3 bulan, dan tahun ini pun ANX telah berehat selama 3 bulan. Alasan, macam biasa, sibuk buat kerja-kerja lain. Tapi sekarang rasanya sudah sampai masa untuk ANX kembali meneruskan proses pengarkiban ini. Walau bagaimanapun untuk kali ini ANX mungkin akan menyediakan entri secara lebih santai dengan tidak membuat banyak rujukan seperti sebelum ini yang mana telah memakan banyak masa dan menyebabkan tidak banyak entri dapat disediakan. Yang penting kini ialah kuantiti entri, dengan bahan-bahan bergambar, berserta dengan tulisan yang lebih ringkas, mungkin. Terima kasih kerana masih terus mengikuti perkembangan blog ANX yang kini menggunakan imej header yang baru!
          Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...