30 December 2012

Anugerah Bintang-Bintang Popular ke-7 (1993)

Pertandingan Anugerah Bintang-Bintang Popular (ABP) dianjurkan oleh akhbar Berita Harian (BH) bermula pada 1987. Pemenang ABP dipilih berdasarkan jumlah undian tertinggi oleh para pembaca BH yang menghantar borang undian melalui pos. Pada 1993, undian ABP juga boleh dilakukan melalui panggilan telefon. Keputusan ABP 1993 telah diumumkan pada Mei 1994. Berikut ialah senarai para pemenang dan calon akhir serta jumlah undian yang diterima oleh mereka, disusun mengikut jumlah undi tertinggi (pemenang) hingga terendah.

Artis Paling Popular:
  • Sofia Jane - 170,698 undi (pemenang)
Kategori ini tidak mempunyai calon. Pengundi perlu menulis nama Artis Paling Popular pilihan masing-masing di dalam borang undian. Dalam ABP 1993, Sofia Jane boleh dikatakan tiada tandingan apabila berjaya mendapat lebih 170 ribu undi. Sofia juga satu-satunya calon yang berjaya mendapat lebih 100 ribu undi dalam kategori lain iaitu Pelakon Filem Wanita Popular. Populariti Sofia adalah melalui filem-filem lakonannya iaitu Kekasih Awal Dan Akhir dan Perempuan, Isteri & ...? yang mendapat sambutan yang cukup hebat di pawagam pada 1993.

    Penyanyi Lelaki Popular:
    • Jamal Abdillah - 56,744 undi (pemenang)
    • Rahmat - 39,189
    • Nash - 27,929
    • Saleem - 24,400
    • Hasnol - 17,211
    Artis Paling Popular 1984, Jamal Abdillah, kembali popular pada 1992 melalui lagu Kekasih Awal Dan Akhir. Lagu tersebut dijadikan filem, juga lakonan Jamal, dan ia telah meningkatkan lagi popularitinya apabila ditayangkan pada 1993. Kemenangan ini adalah yang pertama buat Jamal dalam sejarah ABP. Pada awal 1990-an pudarnya populariti kumpulan rock yang antara lain berpunca daripada sekatan imej rambut panjang sehingga telah mengurangkan penyiaran lagu-lagu kumpulan rock di radio dan televisyen. Ramai penyanyi yang berasal daripada kumpulan rock seperti Rahmat (Ekamatra), Nash (Lefthanded) & Saleem (Iklim) kembali menjadi perhatian apabila mereka bergerak secara solo dengan menyanyikan lagu-lagu pop. Hasnol pula ialah antara penyanyi baru yang sedang meningkat popular ketika itu tetapi terbukti dia tidak mampu untuk mengatasi populariti penyanyi-penyanyi terdahulu, malah Hasnol juga ialah satu-satunya calon daripada kategori di atas yang sudah hilang daripada arena hiburan tempatan pada masa kini.

      Penyanyi Wanita Popular:
      • Ella - 67,051 undi (pemenang)
      • Fauziah Latiff - 42,124
      • Shima - 19,942
      • Ning Baizura - 15,857
      • Ziana Zain - 14,107
      Tiada penyanyi wanita lain yang mampu mengatasi populariti Ella yang hadir dengan album terlaris pada 1992 iaitu 30110 yang mengandungi lagu popularnya Sembilu. Populariti Ella terus meningkat pada 1993 dengan kehadiran filem terbaru lakonannya iaitu Pemburu Bayang. Kemenangan pertama Ella dalam kategori di atas telah menamatkan penguasaan Aishah yang bergelar Penyanyi Wanita Popular selama 3 tahun berturut-turut (ABP 1990-1992). Berdasarkan keputusan ABP 1993, dapat diperhatikan yang Ziana Zain ketika itu masih di peringkat awal untuk mencipta populariti dan hanya mampu mendapat tempat terakhir. Kesemua calon daripada kategori di atas boleh dikatakan masih wujud dalam arena hiburan tempatan pada masa kini walaupun ada sesetengahnya sudah tidak begitu aktif.

        Penyanyi Berkumpulan Popular:
        • 4U2C - 41,339 undi (pemenang)
        • Wings - 40,186
        • Feminin - 30,179
        • Spring - 29,243
        • Exist - 19,144
        Keputusan kategori di atas agak menarik kerana pemenangnya, artis baru 4U2C, dilihat bersaing hebat dengan Wings yang hanya kalah dalam jumlah undi yang kecil. Apa yang agak menyedihkan, Wings yang ketika itu baru muncul dengan album terbaru, Bazooka Penaka, sudah pun berada di ambang perpecahan. Feminin yang dipublisitikan sebagai 'kumpulan rap wanita tempatan yang pertama' sekadar mendapat tempat ketiga. Cuma yang agak aneh ialah kenapa KRU tidak berjaya dicalonkan dalam ABP 1993, sebaliknya kumpulan rock (yang terlebih pop), Spring & Exist, berpeluang membuktikan yang mereka masih ada sebilangan kecil peminat.

          Senarai para pemenang & calon akhir ABP 1993 bersambung di bawah:

          Pelakon Filem Lelaki Popular:
          • Eman Manan - 55,875 undi (pemenang)
          • Jamal Abdillah - 30,295
          • Awie - 23,168
          • Azhar Sulaiman - 22,098
          • Aziz M. Osman - 21,131
          Walaupun Jamal Abdillah kembali mendapat perhatian sebagai pelakon pada 1993 melalui filem Kekasih Awal Dan Akhir, tetapi apabila bersaing dengan nama hebat dalam arena filem tempatan, Eman Manan, terbukti Jamal tidak mampu untuk mengatasi Eman yang telah pun mempunyai rekod kemenangan Pelakon Filem Lelaki Popular sebanyak 3 kali (ABP 1987, 1990 & 1992). Awie ialah pelakon baru yang muncul pada 1993 dengan filem pertamanya, Pemburu Bayang. Walaupun masih baru, Awie menunjukkan potensi untuk meningkat popular apabila dia berjaya menyaingi pelakon yang lebih berpengalaman dan popular sebelumnya seperti Azhar Sulaiman dan Aziz M. Osman.

              Pelakon Filem Wanita Popular:
              • Sofia Jane - 117,022 undi (pemenang)
              • Fauziah Ahmad Daud - 12,719
              • Deanna Yusof - 12,640
              • Wafa Abdul Kadir - 6,755
              • Ella - 5,016
              Dengan jumlah melebihi 100 ribu undi dalam kategori di atas, iaitu jumlah undian tertinggi di antara semua kategori yang dipertandingkan dalam ABP 1993, status Sofia Jane sebagai Artis Paling Popular tahun itu tidak dapat dinafikan lagi. Keempat-empat calon lain dalam kategori di atas hanya mampu mendapat sejumlah kecil undi dan mereka gagal menyerlah sebagai pesaing Sofia yang cukup popular dengan 2 buah filem pada 1993 iaitu Kekasih Awal Dan Akhir dan Perempuan, Isteri & ...?. Calon lain, Fauziah Ahmad Daud (Ogy)  juga muncul dengan 2 buah filem pada 1993, Balada & Ops Belantara, tetapi kedua-duanya tidak mendapat sambutan hebat dan tidak membantu meningkatkan popularitinya. Deanna Yusoff yang muncul dengan filem keduanya, Abang '92 pada 1993 hampir menyamai populariti Ogy. Manakala Wafa Abdul Kadir & Ella boleh dikatakan tidak begitu popular dalam arena filem tempatan.

                  Pelakon Filem Pembantu Lelaki Popular:
                  • Faizal Hussein - 58,206 undi (pemenang)
                  • Shaharuddin Thamby - 45,882
                  • Mustapha Kamal - 16,781
                  • Imuda - 15,892
                  • Rahim Razali - 9,952

                      Pelakon Filem Pembantu Wanita Popular:
                      • Erma Fatima - 77,476 undi (pemenang)
                      • Noraliah Lee Abdullah - 31,715
                      • Kuza - 20,428
                      • Sharmaine Farouk - 8,561
                      • Haliza Misbun - 8,253

                          Penghibur TV Lelaki Popular:
                          • Nash - 49,076 undi (pemenang)
                          • Jamal Abdillah - 48,803
                          • Rahim Maarof - 19,812
                          • ND Lala - 15,612
                          • Hattan - 13,140

                            Penghibur TV Wanita Popular:

                            • Fauziah Latiff - 69,943 undi (pemenang)
                            • Ziana Zain - 27,321
                            • Shima - 21,257
                            • Sheila Majid - 18,158
                            • Ning Baizura - 14,952 

                              Pelakon TV Lelaki Popular:

                              • Eman Manan - 81,590 undi (pemenang)
                              • Faizal Hussein - 29,452
                              • Shaharudin Thamby - 17,354
                              • Mustapha Kamal - 10,679
                              • Yusof Haslam - 7,235

                                Pelakon TV Wanita Popular:

                                • Raja Azura - 57,913 undi (pemenang)
                                • Erma Fatima - 38,879
                                • Sofia Jane - 19,884
                                • Fauziah Ahmad Daud - 16,950
                                • Norlida Ahmad - 14,965 

                                  Artis Komedi Lelaki Popular:

                                  • Sabri Yunus - 46,496 undi (pemenang)
                                  • Jalil Hamid - 44,242
                                  • Imuda - 42,102
                                  • Ahmad Busu - 10,473
                                  • Acapan - 4,374 

                                    Artis Komedi Wanita Popular:

                                    • Wan Maimunah - 89,054 undi (pemenang)
                                    • Susan Lankester - 22,567
                                    • Kartina Aziz - 20,963
                                    • Rosnah Mat Aris - 13,158
                                       

                                      No comments:

                                      Post a Comment

                                      Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...