07 July 2011

Artis Paling Popular (1984)

Pada hujung 1984, akhbar Mingguan Malaysia/Pancaindera telah mengisytiharkan nama 3 orang artis yang dikatakan paling popular di sepanjang tahun itu.

Tempat pertama Artis Paling Popular 1984 jatuh kepada penyanyi legenda Jamal Abdillah yang ketika itu berusia 25 tahun. Kerjaya Jamal dalam bidang hiburan baru mencecah 5 tahun selepas kemenangannya dalam pertandingan nyanyian Bintang RTM 1979. Selepas merakamkan album pertama pada 1980, Jamal pernah muncul sebagai penyanyi undangan dalam filem Toyol pada 1981. Jamal kemudiannya merakamkan 4 buah album lagi di antara 1981 hingga 1984 dengan album terbarunya berjudul Sendiri mendapat sambutan paling hebat. Lakonan pertama Jamal dalam filem Azura telah mengangkat popularitinya ke tahap tertinggi. Filem Azura yang ditayangkan dalam tahun 1984 sebenarnya bukanlah sebuah filem yang bagus, tetapi ia berjaya mencapai status cult dan menjadi pujaan ramai hingga kini. Jamal sebenarnya hanya sempat melakonkan watak Z (Zek) dalam filem itu tetapi malangnya proses rakaman suara untuk watak itu terpaksa dilakukan oleh pelakon lain (adik Jamal sendiri) apabila Jamal telah ditangkap atas kes dadah dan ditahan di pusat pemulihan. Jamal Abdillah sememangnya "paling hangat diperkatakan" pada 1984.

Tempat kedua jatuh kepada Sharifah Aini iaitu antara penyanyi popular tahun 70-an dan pernah juga berlakon dalam beberapa buah filem seperti Hapuslah Air Matamu (1976), Sumber Ilhamku (1979) dan Bintang Pujaan (1981). Ketika namanya berada di puncak populariti, Sharifah telah berkahwin dengan Ali Bakar pada 1981, melahirkan seorang anak lelaki dan kemudiannya bercerai dalam tempoh tidak sampai setahun. Sharifah yang berasal dari Johor mendapat pengiktirafan di atas kecemerlangan kerjayanya apabila dikurniakan pingat Setia Mahkota Johor pada 1982 iaitu ketika beliau berusia 29 tahun. Pada 1984, Sharifah yang telah 3 tahun berstatus janda telah digosip berkaitan hubungannya dengan seorang jutawan misteri yang digelar Datuk Darling. Status hubungan Sharifah Aini dengan Datuk Darling termasuk identiti lelaki itu terus menjadi rahsia buat beberapa lama selepas itu.

Tempat ketiga jatuh kepada Fauziah Ahmad Daud, seorang pelakon yang sudah terkenal sejak beliau masih kecil lagi. Fauziah atau Ogy juga merupakan seorang penyanyi yang pernah merakamkan album walaupun beliau agak kurang popular dalam bidang tersebut. Ogy memenangi anugerah pertamanya iaitu Pelakon Harapan semasa Festival Filem Malaysia 1980 melalui lakonannya dalam filem Ceritaku Ceritamu. Ketika menerima anugerah itu Ogy baru berusia 18 tahun. Semasa Festival Filem Asia Pasifik 1982, Ogy sekali lagi memenangi anugerah Pelakon Harapan melalui lakonannya dalam filem Abang. Pada 1984, akhirnya Ogy diberi peluang melakonkan watak utama dalam filem Azura, bergandingan dengan Jamal Abdillah. Filem Azura dan lagu duet Ogy bersama Jamal, Sandarkan Pada Kenangan, telah meningkatkan populariti Ogy dan beliau kemudiannya telah digosip mempunyai hubungan percintaan dengan seorang putera raja.

Nota tambahan:
Ada beberapa lagi cerita, gambar dan poster Jamal Abdillah, Sharifah Aini dan Fauziah Ahmad Daud dalam entri-entri ANX akan datang. Hidup 1980-an!

5 comments:

i'm shin... i'm inesen said...

actually kan.. lagu lagu Fauziah Ahmad Daud banyak yg best best ler.. kalo nak bandingkan ngan lagu lagu skrg ni.. hurm... 3 org artis ni mmg hebat belaka... tp sayang.. Uji Rashid xpernah dapat anugerah popular ke?

Unknown said...

Sharifah Aini mmg the legend la. In fact, hgga ke era Francesca Peters & Ramlah Ram pun, dia masih top 5 utk kategori penyanyi wanita. Sy yang lahir mid 80's pn suka lagu2 Dato' Sharifah Aini nie....well, cerita Azura mmg best, no wonder Kak Ogy & Abg Jamal top stars at that time. Agk2 kalau Jamal Abdillah tak kena tangkap, adakah watak Ali Setan itu akan diberikan pada beliau? Hmmm...Azmil was good in that movie. Takpelah, itu semua ketentuan Allah. Hope dapat teruskan usaha tuan untuk info2 lain....thx.

BPS said...

terima kasih kerana mengembalikan kenangan lama dengan mencipta blog ini... ...sangat disyorkan kepada pembaca lain... ...kepada yang membaca, jangan lupa klik iklan...

khys said...

Shin: lagu2 80-an mmg byk yg best, ogy bertuah dpt rakam album pada zaman tu. uji rashid pun byk lagu best dan ada berlakon, tapi entah knp dia kurang popular, mungkin zaman dia saingan ramai.

Unknown: thanks. kalau jamal tak tertangkap, mungkin byk lagi filem dia berlakon, dan lebih byk album juga.

BPS: thanks.

L.E Schamitchella said...

Khys..info ttg Ramlah Ram dgn Francesca Peter boleh tolong carikan tak..Uji Rashid skali..Maria Arshad..Hail Amir..dan pelakon2 lama..zaman2 P.Ramlee..boleh tak..hehehe

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...