Tempat pertama
Artis Paling Popular 1984 jatuh kepada penyanyi legenda
Jamal Abdillah yang ketika itu berusia
25 tahun. Kerjaya Jamal dalam bidang hiburan baru mencecah 5 tahun selepas kemenangannya dalam pertandingan nyanyian Bintang RTM 1979. Selepas merakamkan
album pertama pada 1980, Jamal pernah muncul sebagai penyanyi undangan dalam
filem Toyol pada 1981. Jamal kemudiannya merakamkan 4 buah album lagi di antara 1981 hingga 1984 dengan album terbarunya berjudul
Sendiri mendapat sambutan paling hebat. Lakonan pertama Jamal dalam filem
Azura telah mengangkat popularitinya ke tahap tertinggi. Filem
Azura yang ditayangkan dalam tahun 1984 sebenarnya bukanlah sebuah filem yang bagus, tetapi ia berjaya mencapai status cult dan menjadi pujaan ramai hingga kini. Jamal sebenarnya hanya sempat melakonkan watak
Z (Zek) dalam filem itu tetapi malangnya proses rakaman suara untuk watak itu terpaksa dilakukan oleh pelakon lain (adik Jamal sendiri) apabila Jamal telah ditangkap atas
kes dadah dan ditahan di pusat pemulihan. Jamal Abdillah sememangnya "
paling hangat diperkatakan" pada 1984.

Tempat
kedua jatuh kepada
Sharifah Aini iaitu antara
penyanyi popular tahun 70-an dan pernah juga
berlakon dalam beberapa buah filem seperti
Hapuslah Air Matamu (1976),
Sumber Ilhamku (1979) dan
Bintang Pujaan (1981). Ketika namanya berada di puncak populariti, Sharifah telah
berkahwin dengan Ali Bakar pada 1981, melahirkan seorang anak lelaki dan kemudiannya bercerai dalam tempoh tidak sampai setahun. Sharifah yang berasal dari Johor mendapat pengiktirafan di atas kecemerlangan kerjayanya apabila dikurniakan
pingat Setia Mahkota Johor pada 1982 iaitu ketika beliau berusia 29 tahun. Pada 1984, Sharifah yang telah 3 tahun berstatus
janda telah digosip berkaitan hubungannya dengan seorang jutawan misteri yang digelar
Datuk Darling. Status hubungan Sharifah Aini dengan Datuk Darling termasuk identiti lelaki itu terus menjadi
rahsia buat beberapa lama selepas itu.

Tempat
ketiga jatuh kepada
Fauziah Ahmad Daud, seorang
pelakon yang sudah terkenal sejak beliau masih kecil lagi. Fauziah atau
Ogy juga merupakan seorang
penyanyi yang pernah merakamkan album walaupun beliau agak kurang popular dalam bidang tersebut. Ogy memenangi
anugerah pertamanya iaitu
Pelakon Harapan semasa Festival Filem Malaysia 1980 melalui lakonannya dalam filem
Ceritaku Ceritamu. Ketika menerima anugerah itu Ogy baru berusia 18 tahun. Semasa
Festival Filem Asia Pasifik 1982, Ogy sekali lagi memenangi anugerah Pelakon Harapan melalui lakonannya dalam filem
Abang. Pada 1984, akhirnya Ogy diberi peluang melakonkan
watak utama dalam filem
Azura, bergandingan dengan Jamal Abdillah. Filem
Azura dan lagu duet Ogy bersama Jamal,
Sandarkan Pada Kenangan, telah meningkatkan populariti Ogy dan beliau kemudiannya telah digosip mempunyai hubungan
percintaan dengan seorang putera raja.
Nota tambahan:Ada beberapa lagi cerita, gambar dan poster Jamal Abdillah, Sharifah Aini dan Fauziah Ahmad Daud dalam entri-entri ANX akan datang. Hidup 1980-an!