20 April 2013

Kulit album 2020 oleh kumpulan rock Babylon (1992)

Babylon ialah salah sebuah daripada ratusan kumpulan muzik rock yang ditubuhkan di Malaysia dalam dekad 1980-an. Babylon dianggap unik apabila ia dianggotai oleh sepasang kembar yang bernama Hussein (penyanyi) dan Hassan (pemain gitar). Anggota lain Babylon semasa mereka mengeluarkan album pertama pada 1990 ialah Kamal (pemain bass) dan Nahar (pemain dram). Pada 1992, sebelum isu rambut panjang mencapai kemuncaknya, Babylon berjaya mengeluarkan album kedua dan terakhir mereka yang diberi judul 2020.


Tajuk album 2020 oleh Babylon secara jelas merujuk kepada idea Wawasan 2020 yang dicetuskan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, Dr. Mahathir Mohamad, pada 1991. Walaupun tiada lagu berjudul 2020 dalam album rock tersebut, tetapi terdapat sebuah lagu yang berjudul Wawasan, yang senikatanya ditulis oleh Loloq (antara bait senikatanya, "Mari melintas laut yang terbelah, ke wawasan dua puluh dua puluh"). Selain itu, apa yang lebih menariknya mengenai album 2020 ialah tentang rekabentuk kulit albumnya yang menampilkan sebuah lukisan yang agak ringkas tetapi unik.

Lukisan bertemakan fantasi pada kulit album 2020 menggambarkan keadaan bandaraya Kuala Lumpur yang sudah tentunya berlatarkan tahun 2020, iaitu tahun di mana Malaysia disasarkan bakal menjadi negara yang berstatus maju. Apa yang uniknya - dan mungkin mengejutkan - ialah gambaran oleh pelukisnya yang membayangkan bahawa Kuala Lumpur, atau lebih tepat lagi mercu tanda ikonik Bangunan Sultan Abdul Samad, bakal menjadi usang, malah ditenggelami oleh tanah pada tahun 2020! Manakala latar belakang lukisan itu pula menunjukkan kewujudan beberapa buah bangunan ala futuristik. Turut kelihatan dalam lukisan menarik itu ialah tinggalan tulang haiwan yang tersadai di suatu sudut.

Tidak dapat dipastikan siapakah pelukis kulit album 2020 tersebut. Apa yang pasti, lukisan itu bukanlah mempunyai niat yang jahat, sebaliknya dapat disimpulkan bahawa karya unik itu sebenarnya mempunyai maksud tersirat dan mungkin juga komentar pelukisnya mengenai masa hadapan Malaysia dalam tempoh 28 tahun daripada waktu itu. Kulit album tersebut juga tidak bermasalah atau menimbulkan persoalan mahu pun konflik ketika ia dikeluarkan pada 1992. Mungkin juga isu rambut panjang ketika itu telah mengalihkan perhatian pihak berkuasa daripada menilai kulit album tersebut yang sekiranya disalah tafsir dahulu boleh saja dianggap sebagai cubaan untuk memburuk-burukkan Wawasan 2020.

Nota tambahan:
  • Pihak berkuasa Malaysia suatu ketika dahulu sememangnya biasa menapis kulit-kulit album terutamanya daripada artis luar negara. Antara isu yang pernah menjadi bahan berita di peringkat antarabangsa ialah penapisan kulit album kumpulan metal dari Amerika, Megadeth, yang berjudul Youthanasia pada 1994 (rujuk entri akan datang, mungkin)
  • "2020 - 2,446 hari lagi"

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...