25 March 2013

Personaliti Pilihan Pembaca Media Hiburan ke-2 (1997)

Para pemenang PPMH 1997,
tanpa kehadiran Erra Fazira
Majlis anugerah Personaliti Pilihan Pembaca Media Hiburan (PPMH) kali ke-2 telah diadakan pada 21 Disember 1997 di Hotel Flamingo, Kuala Lumpur. Seramai hampir 400 orang pembaca majalah Media Hiburan (MH) turut hadir bagi memeriahkan majlis tersebut yang diacarakan oleh Seha & Aznil Nawawi. Majlis anugerah PPMH 1997 turut diserikan dengan persembahan artis-artis popular seperti kumpulan A To Z yang mempersembahkan lagu Kau Pikat & Dua Jiwa Dua Benua, serta Siti Nurhaliza yang mempersembahkan lagu Cindai & Aku Cinta Padamu. Penyanyi-penyanyi lain yang turut menghiburkan para hadirin ialah Safura (lagu Bukan Lupa Tapi Tak Ingat & Sedalam Mana Cintamu) dan Camelia (lagu Erti Kehidupan & Rindu Padamu). Berikut ialah senarai kategori anugerah, para pemenang dan calon-calon PPMH 1997:

Artis Wanita Jelita:
Pemenang - Siti Nurhaliza
Calon lain - Abby Elite, Aleeza Kassim, Erra Fazira, Fauziah Latiff
Siti Nurhaliza & Abby Elite ialah 2 orang artis baru yang berjaya dicalonkan dalam kategori di atas. Kemenangan Siti antara petanda bahawa dia akan diminati ramai dalam arena hiburan tempatan. Pencalonan Abby pula secara tidak langsung menandakan bahawa dia dianggap oleh para peminat hiburan sebagai anggota Elite yang paling jelita. Erra Fazira yang merupakan pemenang kategori di atas pada PPMH 1996 tidak berjaya mengekalkan kemenangannya walaupun berjaya mengekalkan kejelitaannya. Aleeza Kassim & Fauziah Latiff yang merupakan calon-calon akhir kategori di atas pada PPMH 1996 sekali lagi tidak berjaya mencapai kemenangan.
Artis Lelaki Kacak:
Pemenang - Azhar Sulaiman
Calon lain - Affa Nico, Eizlan Yusof, Rosyam Nor, Yusry KRU
Azhar Sulaiman & Eizlan Yusof ialah calon-calon akhir kategori di atas pada PPMH 1996 di mana Eizlan berjaya muncul sebagai pemenang. Dalam PPMH 1997 kali ini Azhar Sulaiman pula dipilih sebagai pemenang. Affa Nico, Rosyam Nor & Yusry KRU pula buat pertama kalinya berjaya dicalonkan ke peringkat akhir dalam kategori di atas.
Artis Wanita Seksi:
Pemenang - Ella
Calon lain - Amelia Rosnaida, Baby Res2, Haliza Misbun, Ziana Zain
Ella yang buat pertama kalinya dicalonkan ke peringkat akhir dalam kategori di atas telah berjaya memenanginya dengan menewaskan pemenang kategori yang sama pada PPMH 1996 iaitu Ziana Zain. Amelia Rosnaida, Baby Res2 & Haliza Misbun pula buat pertama kalinya berjaya dicalonkan ke peringkat akhir dalam kategori di atas.
Artis Lelaki Seksi:
Pemenang - Norman Hakim
Calon lain - Amy Search, Awie, Hans Isaac, Norman KRU
Norman Hakim, Awie & Norman KRU ialah calon-calon akhir kategori di atas pada PPMH 1996 di mana Awie berjaya muncul sebagai pemenang. Dalam PPMH 1997 kali ini Norman Hakim pula dipilih sebagai pemenang. Amy Search & Hans Isaac pula buat pertama kalinya berjaya dicalonkan ke peringkat akhir dalam kategori di atas.
Cover MH Tercantik:
Pemenang - Erra Fazira & Ning Baizura
Calon lain - Awie & Erra Fazira; Hans Isaac & Normala Samsudin; Norman Hakim & Vanida Imran; Siti Nurhaliza
Kesemua calon akhir dalam kategori di atas tidak pernah dicalonkan dalam kategori yang sama pada PPMH 1996. Pada asalnya kategori di atas mengkhususkan kepada gambar-gambar pasangan artis (terutamanya pasangan lelaki & wanita), tetapi dalam PPMH 1997 kali ini kategori di atas turut mencalonkan gambar artis secara bersendirian. Perubahan itu membolehkan artis seperti Siti Nurhaliza (yang diketahui tidak gemar bergambar dengan artis lelaki) turut sama bertanding. Namun begitu, dalam PPMH 1997, gambar pasangan artis-artis wanita telah dipilih sebagai pemenang. Gambar cover MH tersebut menampilkan Erra Fazira & Ning Baizura dalam posisi yang rasanya tidak pernah dilakukan oleh artis-artis lain sebelum itu.
Pemenang (kiri) & calon-calon Cover MH Tercantik PPMH 1997
Senarai Top 5 calon-calon PPMH 1997 dipilih sendiri oleh para pembaca
berdasarkan senarai panjang yang ditetapkan oleh pihak majalah MH

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...