20 June 2013

Rock N Roll 2020 - lagu kumpulan rock Erat (1993)

Arkib Negara X (ANX) meneruskan siri pengarkiban bahan atau karya seni & hiburan tempatan yang merujuk kepada idea Wawasan 2020 yang dicetuskan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, Dr. Mahathir Mohamad, pada 1991. Tidak lama selepas kumpulan rock Babylon mengeluarkan album kedua mereka yang berjudul 2020 pada 1992, muncul pula sebuah lagi kumpulan rock Malaysia yang menunjukkan keprihatinan mereka terhadap idea Wawasan 2020.

Kumpulan Erat muncul di kala musim muzik rock tempatan telah pun sampai ke penghujungnya. Kumpulan Erat mengeluarkan album pertama mereka yang berjudul Erat pada 1991. Nasib mereka kurang baik kerana ketika terbitnya album tersebut pihak berkuasa Malaysia mula bertindak tegas dalam menyekat karya-karya artis lelaki berambut panjang yang majoritinya terdiri daripada anggota-anggota kumpulan rock termasuklah kumpulan Erat.


Setelah mengorbankan imej berambut panjang, kumpulan Erat muncul kembali dengan album kedua mereka yang berjudul 2 pada 1993. Salah sebuah lagu yang terdapat dalam album tersebut berjudul Rock N Roll 2020 yang secara jelas merujuk kepada idea Wawasan 2020 yang masih hangat diperkatakan pada sekitar waktu itu. Walau bagaimanapun, selain daripada tajuknya, senikata lagu Rock N Roll 2020 itu tidak mengandungi ungkapan "2020" tetapi cuma mengandungi perkataan "wawasan".

ROCK N ROLL 2020
(pencipta lagu: Zul / penulis senikata: Sham)

Lima anak muda dengan langkah aksinya
Bergaya lincah di pentas-pentas kota
Rock N Roll muzik sensasi di jiwa
Tetapi jangan berkhayal pula

Irama Rock N Roll sains komputer
Tidak akan luput walau ditelan masa

Marilah kita serentak ke sana
Mara ke hadapan oh jangan ketinggalan
Ikutlah rentak irama gabungan
Rock N Roll serta juga wawasan

Mencakar mega hingga berjaya
Menjunjung langit dengan sempurna

Warna satu mimpi
Moden dan juga generasi
Buta mata bukan hati
Semua pantas cekal berdiri

Angan jadi realiti
Bukannya terkubur sangsi
Ternyatalah kini
Apa yang dihajati

Teruskan...

Nota tambahan:
  • Setelah mengarkibkan sekadar beberapa contoh lagu artis-artis tempatan dalam genre rap & rock yang merujuk kepada idea Wawasan 2020, ANX tertanya-tanya sama ada terdapat juga lagu artis-artis tempatan dalam genre lain (misalnya dangdut atau tradisional) yang pernah merujuk kepada "wawasan" atau pun "2020". Sekiranya dapat dikesan nanti, ia pasti akan diarkibkan.
  • "2020 - 2,386 hari lagi"

30 April 2013

Rozita Che Wan dalam Miss South East Asia Queen (1992)

Pertandingan ratu cantik Miss South East Asia Queen telah dianjurkan buat pertama kalinya oleh D'Touch Promotion pada 26 Julai 1992 di Hotel Crown Princess, Kuala Lumpur. Melalui nama pertandingan itu, dapat diketahui bahawa ia mempertandingkan bekas pemenang-pemenang pertandingan ratu cantik dari serata Asia Tenggara. Seramai 14 orang ratu cantik dari Malaysia (3), Filipina (3), Indonesia (3), Singapura (3), Brunei (1) & Thailand (1) telah menyertai pertandingan itu.

Peserta dari Malaysia & gelaran yang pernah dimenangi:
  • Samantha Schubert (23 tahun / Miss Malaysia-World 1991)
  • Rozita Che Wan (18 tahun / Miss Malaysia-Intercontinental 1992)
  • Penny Soon (21 tahun / Miss Malaysia-Dreamgirl 1992)

Antara peserta dari negara-negara lain & gelaran yang pernah dimenangi:
  • Kristina Rahman (Brunei / 18 tahun / Tempat ke-4 Miss Teen di Singapura)
  • Amelia Joy (Filipina / 21 tahun / Miss Philippines-Charm 1992)
  • Viftra Burgos (Filipina)
  • Sharon Tan (Singapura)
  • Indira Hasbullah (Indonesia)

Rozita Che Wan (ratu cantik remaja yang popular) mewakili Malaysia

Keputusan pertandingan Miss South East Asia Queen 1992:
  • Amelia Joy (Tempat pertama Miss South East Asia Queen 1992. Hadiah sampingan: Miss Body Beautiful & Miss Giamax Elegant)
  • Penny Soon (Tempat ke-2 Miss South East Asia Queen 1992. Hadiah sampingan: Miss Super Trim & Miss Crowning Glory)
  • Samantha Schubert (Tempat ke-3 Miss South East Asia Queen 1992. Hadiah sampingan: Miss Balenciaga)
  • Viftra Burgos (Tempat ke-4 Miss South East Asia Queen 1992)
  • Sharon Tan (Tempat ke-5 Miss South East Asia Queen 1992)
  • Rozita Che Wan (Hadiah sampingan: Miss Agfa Colour Photogenic & Miss A O Winning Look)
  • Kristina Rahman (Hadiah sampingan: Miss Friendship)
  • Indira Hasbullah (Hadiah sampingan: Miss Personality)

Peserta dari Malaysia memenangi tempat ke-3

Beberapa lagi gambar para pemenang di bawah:

29 April 2013

Letupan bom di Dayabumi, Kuala Lumpur (1989)

Sebutir bom telah diletupkan di kompleks Dayabumi, Kuala Lumpur, pada pukul 8.30 pagi hari Isnin, 10 April 1989. Letupan yang kuat itu mencederakan 4 orang. Tragedi itu bukanlah berlaku di bahagian menara Dayabumi, tetapi ia berlaku di tingkat dua bahagian podium atau City Point yang terletak bersebelahan dengan bahagian menara tersebut. Walaupun begitu, kesan letupan itu turut sama merosakkan bahagian bawah menara Dayabumi. Hasil siasatan menjumpai beberapa biji bateri di lokasi letupan. Disyaki bom tersebut diletupkan dengan menggunakan 'timer'.

New Straits Times - Lokasi letupan bom di Dayabumi:

Empat orang yang cedera merupakan pekerja Daya Urus Sdn Bhd, iaitu syarikat pengurusan kompleks Dayabumi. Mereka berempat yang bertugas di bahagian penyelenggaraan lif berada tidak jauh daripada lokasi letupan dan telah mengalami luka serta lebam akibat terkena serpihan kaca, besi dan siling yang pecah dan bertebaran ketika bom itu meletup. Seorang mangsa mengalami luka ringan, manakala 3 orang lagi dimasukkan ke Hospital Besar Kuala Lumpur. Salah seorang yang cedera parah terpaksa dibedah bagi mengeluarkan serpihan-serpihan kaca yang tertusuk pada badannya.

New Straits Times - Mangsa letupan bom di Dayabumi:

Pada 1980-an, menara Dayabumi yang setinggi 35 tingkat merupakan mercu tanda moden bandaraya Kuala Lumpur. Ia menempatkan pejabat syarikat Petronas, Kementerian Perusahaan Utama dan Bursa Komoditi Kuala Lumpur (KLCE). Letupan bom pada 1989 itu menyebabkan seramai 3,000 orang pekerja terpaksa mengosongkan kompleks Dayabumi bagi membolehkan siasatan dijalankan. Kejutan berlaku tidak sampai 2 jam selepas letupan itu apabila pihak Daya Urus menerima panggilan telefon pada pukul 10.15 pagi yang memberitahu bahawa bom kedua akan meletup dalam tempoh 8 minit kemudian, namun panggilan telefon itu terbukti palsu.

Foto ini disiarkan semula pada 26.3.2011 (Utusan Malaysia)

28 April 2013

Kumpulan Res2 (1993)

Dalam tempoh 2 bulan selepas Feminin diperkenalkan sebagai kumpulan rap wanita yang pertama, muncul pula 2 buah lagi kumpulan rap wanita iaitu Res2 dan M's Teen, kedua-duanya diperkenalkan dalam waktu yang hampir sama pada awal 1993.

Kumpulan Res2 - disebut sebagai Restu - ditubuhkan pada penghujung 1992 ketika demam muzik rap sedang melanda Malaysia. Mungkin berinspirasikan nama kumpulan rap yg sedang popular iaitu 4U2C, maka Res2 juga memilih nama yang menggunakan nombor sebagai pengganti (sebahagian) perkataan. Pada mulanya pihak media cetak agak bercelaru untuk menulis nama Res2, ada yang menulisnya sebagai Rest-2 dan ada pula yang menulisnya sebagai Res'2. Hanya selepas album mereka dikeluarkan tidak lama kemudian barulah ejaan nama Res2 dapat dipastikan.


Anggota Res2 semasa awal kemunculan mereka ialah Baby Arin (15 tahun), Erin (18 tahun), Ezza (17 tahun), Yati (17 tahun) & Wati (17 tahun). Mereka berlima pada asalnya merupakan penari sambilan dalam kumpulan Tag Dancers pimpinan Shawal. Tugas mereka ketika itu ialah sebagai penari iringan kepada penyanyi-penyanyi popular yang membuat persembahan pentas. Pengarah Promosi syarikat rakaman Suria Records (SRC) iaitu Mas Omar telah mengesan bakat mereka dan seterusnya membentuk mereka menjadi sebuah kumpulan penyanyi.


Pada November 1993, album pertama Res2 berjudul 3C - Cita-Cita & Cinta mula dipasarkan oleh SRC. Album lagu-lagu pop, tarian dan berunsur rap itu mendapat perhatian meluas dan dilaporkan menerima tempahan awal sebanyak 30 ribu unit. Antara lagu popular Res2 ialah Kepastian Dan Pengertian yang muziknya digubah oleh kumpulan hip hop terawal Malaysia, Krash Kozz. Lagu-lagu lain dalam album tersebut ialah 3C, Rasa Sayang, Pesta Res2, Jejaka Idaman, Wawasan & Remaja. Sebuah lagi lagu yang berjudul Sentuhan Cinta ialah saduran daripada lagu popular "(Dying Inside) To Hold You" nyanyian asal penyanyi dari Amerika, Timmy Thomas.


Pada 1994, Res2 telah ditampilkan sebagai penyanyi undangan dalam filem Putera arahan Zulkeflie M. Osman. Pada waktu itu juga mereka mula ditonjolkan oleh majalah-majalah hiburan dalam gaya dan imej yang seksi, terutama sekali anggota dua beradik, Baby Arin & Erin.

Petikan filem Putera (1994)

Nota tambahan:
Baby Arin masih terlibat dalam bidang hiburan walaupun kurang aktif. Filem terbaru lakonannya, Kecoh! Hantu Raya Tok Chai, sedang ditayangkan di pawagam sejak 18 April 2013 yang lalu.

27 April 2013

Nor Albaniah - ratu cantik menjadi pelakon (1989)

Pelakon yang terkenal melalui filem Adik, Nor Albaniah, berasal dari Ulu Kinta, Perak. Sebelum menjadi pelakon, dia pernah menyandang gelaran Ratu Taiping 1988 ketika berusia 19 tahun. Tidak lama selepas itu, dalam tahun yang sama, Nor Albaniah telah mendapat peluang untuk berlakon filem pertamanya iaitu Kolej 56 arahan Ahmad Fauzee. Filem Kolej 56 yang ditayangkan pada 1989 menampilkan lakonan Nor Albaniah dalam watak tambahan sebagai Tengku Noraini.

Nor Albaniah ketika berusia 20 tahun (1989)
Pada 1989 juga Nor Albaniah telah berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir pertandingan Miss Malaysia-Universe, di mana dia merupakan satu-satunya peserta akhir berbangsa Melayu. Namun, nasib tidak menyebelahi Nor Albaniah apabila dia tidak dapat hadir pada hari pertandingan itu kerana "gangguan kesihatan". Menurut Nor Albaniah, "Saya sakit mata sampai sepet sebelah". Jadi, terlepaslah peluang Nor Albaniah untuk membuktikan kehebatannya dalam arena ratu cantik peringkat kebangsaan.

Petikan filem Kolej 56 (1989)
Dalam arena filem pula, Nor Albaniah semakin mendapat perhatian apabila dia diberi peluang untuk berlakon filem keduanya, Main-Main Hantu (penggambaran pada 1989), juga dalam watak tambahan. Hanya melalui filem ketiganya, Adik (1990), barulah Nor Albaniah diberi peluang untuk melakonkan watak utama, di mana dia juga mula ditonjolkan dalam imej seksi. Poster gambarnya di tepi kolam renang dalam majalah URTV pada waktu itu turut meningkatkan lagi popularitinya (rujuk entri akan datang).

Nota tambahan:
  • Dalam kalangan artis tempatan, Nor Albaniah mempunyai hubungan kekeluargaan dengan penyanyi & pelakon 1980-an, Isma Aliff, yang merupakan abang iparnya.
  • Nor Albaniah pernah cedera parah di kepalanya selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya yang turut mengorbankan nyawa suaminya pada 1996 (rujuk entri akan datang).

26 April 2013

Mesin judi dalam pesawat Singapore Airlines (1981)

Pada 1981, syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA) telah memperkenalkan khidmat perjudian di dalam pesawat-pesawatnya. Sebanyak 16 buah pesawat Boeing 747 milik SIA telah dipasang dengan mesin judi atau mesin jackpot seperti yang biasa terdapat di kasino. Bagi menyediakan ruang untuk pemasangan mesin-mesin judi tersebut, sebanyak 6 buah tempat duduk terpaksa dibuang daripada setiap pesawat. Mesin-mesin judi eksklusif itu menampilkan logo dan nama Singapore Airlines. "Fly Singapore Airlines and end up richer", lapor sebuah akhbar Singapura mengenai khidmat perjudian itu yang pastinya akan menggembirakan para penumpang yang suka berjudi (itu pun kalau mereka menang).


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...