23 April 2013

Datin Masnah Rais "kekal bentuk badan" (1994)

Datin ialah gelaran yang cukup popular di Malaysia, terutama sekali dalam arena politik serta hiburan. Wanita yang mendapat gelaran Datin dianggap telah menerima penghormatan yang tinggi walaupun ia sebenarnya sekadar bermaksud bahawa si wanita tersebut sedang bersuamikan seseorang yang dikurniakan dengan gelaran Datuk. Majalah-majalah kewanitaan tempatan secara tipikalnya sering memberi tumpuan kepada bahan-bahan yang berkaitan dengan kehidupan para Datin. Apa yang Datin pakai, apa yang Datin buat, apa yang Datin fikir, dan sebagainya - dianggap sebagai antara bahan yang amat menarik untuk dipaparkan kepada para pembaca majalah (terutama sekali golongan pembaca yang bukan Datin). Status para Datin - yang secara tipikalnya digambarkan sebagai golongan berada - telah berjaya dinaikkan melalui kekerapan paparan di dalam media cetak mahu pun media elektronik.

Para Datin di Malaysia sememangnya mudah menjadi tumpuan dari dulu hingga kini. Majalah Perempuan keluaran Januari 1994 misalnya, memberi tumpuan kepada Datin Masnah Rais yang digambarkan sebagai seorang Datin yang rajin menjaga kesihatan serta berjaya mengekalkan bentuk badan walaupun sudah berusia 40-an.

Bersenam untuk kesihatan (1994)
Selain bersenam 3 kali seminggu di gimnasium, Datin Masnah Rais juga
dikatakan aktif bermain badminton di Kelab Darul Ehsan (1994)

Nota tambahan:
  • Menurut Kamus Dewan, "Datin" ialah "gelaran bagi isteri seseorang yang telah dianugerahi gelaran Datuk (atau Dato'); Datin Seri gelaran bagi isteri seseorang yang bergelar Datuk Seri (Dato' Seri)".
  • ANX kini mewujudkan label/tag Datin di bawah kategori Malaysia Kita.

22 April 2013

Kebakaran di terminal bas Butterworth (2001)

Pada 20 Mei 2001, bangunan Kompleks Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) telah terbakar. Kejadian itu dilaporkan bermula pada sekitar pukul 5.00 pagi. Bangunan tersebut yang menempatkan terminal bas di tingkat bawahnya terletak berhampiran dengan pangkalan feri (yang sebahagiannya pernah runtuh pada 1988) di Butterworth, Seberang Prai. Kebakaran itu berlaku di tingkat dua bangunan tersebut yang menempatkan pasaraya terkenal Parkson dan juga Tops. Kebakaran yang boleh dikatakan sangat besar itu hanya dapat dipadam sepenuhnya dalam tempoh lebih kurang 12 jam kemudian iaitu pada sekitar pukul 5.00 petang. Kemusnahan teruk di tingkat teratas yang meliputi bahagian bumbung telah menyebabkan bahagian-bahagian lain bangunan lama itu tidak dapat digunakan seperti biasa dan ia akhirnya telah dirobohkan sepenuhnya tidak lama kemudian.



Nota tambahan:
  • Tingkat satu bangunan Kompleks SPPP menempatkan kedai-kedai kecil yang menjual pelbagai barangan serta gerai-gerai makanan yang sering menjadi tumpuan para pengguna terminal bas Butterworth. Tempat itu juga biasa dijadikan lokasi melepak generasi 1980-an.
  • Gambaran bahagian belakang bangunan Kompleks SPPP ada tersemadi dalam filem Ke Medan Jaya (1983) yang menunjukkan adegan kereta penjenayah sedang meluncur keluar daripada tingkat atas sebuah feri lalu menuruni laluan keluar berhampiran dengan bangunan tersebut.
Petikan filem Ke Medan Jaya (1983)

21 April 2013

Bendul - Mr. Bean Malaysia (1994)

Bendul ialah judul sebuah siri komedi situasi atau sitkom yang pernah disiarkan oleh stesen penyiaran RTM mulai 13 September 1994. Sitkom Bendul disadur - atau menurut pendapat umum, ia ditiru! - daripada sitkom terkenal luar negara, Mr. Bean, yang telah wujud sejak 1990. Seperti mana siri sitkom lain, slot siaran Bendul memakan masa 30 minit, dan ia disiarkan oleh TV1 setiap hari Selasa pada waktu perdana, 8.30 malam (sebaik sahaja selepas siaran berita perdana). Siaran musim pertama Bendul sebanyak 13 episod berakhir dalam bulan Disember 1994.


Selepas Bendul disiarkan sebanyak 3 episod, wartawan Ku Seman Ku Hussain daripada akhbar Utusan Malaysia telah menulis sebuah ulasan di dalam ruangan Ulasan Drama TV. Jarang sekali sesebuah sitkom diberi perhatian yang sebegitu serius sehingga diulas seperti mana sebuah filem, telefilem mahu pun pementasan teater. Begitulah kuatnya impak kewujudan Bendul kepada penonton televisyen di Malaysia yang sememangnya sudah agak lama mengenali Mr. Bean sejak ia disiarkan oleh stesen penyiaran swasta, TV3 pada sekitar awal 1990-an.
Nota: Bendul disiarkan pada 1994 dalam tempoh yang hampir sama dengan siaran musim terbaru Mr. Bean, cuma hari & waktu siarannya saja yang berbeza. Mr. Bean disiarkan oleh TV3 setiap hari Isnin pada pukul 9.00 malam.

Watak "Bendul" dilakonkan oleh pelakon yang tidak terkenal ketika itu (mungkin juga hingga kini?) iaitu Huzir Sulaiman. Antara pelakon lain dalam sitkom arahan Harith Iskander itu ialah seperti Patrick Teoh, Ida Nerina & Deanna Yusoff. Di dalam ulasan Ku Seman, sitkom Bendul digelarnya sebagai "drama alihlakon", dan beliau berpendapat konsep persembahan Bendul itu "suatu yang cukup memalukan". Walau bagaimanapun, Ku Seman tetap mengakui bakat arahan yang dimiliki oleh Harith, begitu juga dengan bakat lakonan yang dimiliki oleh Huzir & Patrick, cuma beliau berpendapat bahawa mereka semua telah tenggelam oleh "tuntutan komersil" pihak-pihak yang terlibat dalam industri drama.

Nota tambahan 1:
Sitkom Bendul sehingga kini dianggap sebagai program yang tidak sepatutnya wujud, malah kaitan terhadapnya juga dianggap mungkin akan memalukan sesiapa saja. Walau bagaimanapun, apabila Huzir Sulaiman (bekas pelakon watak "Bendul") dipilih untuk menghiasi kulit majalah KLue pada 2003 (sempena pementasan teater karyanya, Atomic Jaya), siapa sangka bahawa artikel yang disiarkan di dalam majalah itu telah dimulakan dengan rujukan kepada Bendul! Adlin Rosli menulis:
    "Huzir Sulaiman once played a Mr Bean-like character in a TV show called Mr Bendul in the mid '90s. Just like the source material, Bendul was the sort of fool who could escape silly situations with comic ease"
    "Spend some time with Huzir, however, and you'd inevitably find yourself wondering how this sensitive and intelligent man could have anything to do with a Rowan Atkinson rip-off. The two are nothing alike. Huzir is a Princeton alumnus with a penchant for writing some of the wittiest plays ever performed on these shores"
    Nota tambahan 2:
    • Secara kebetulan, sitkom Mr. Bean yang bermula pada 1990 akhirnya telah ditamatkan pada penghujung 1995, iaitu lebih kurang setahun saja selepas kewujudan Bendul. Siaran ulangan Mr. Bean masih disiarkan sehingga kini (kadang-kadang dapat dilihat muncul di TV3).
    • Berdasarkan memori dan bukannya fakta (sebab belum berjumpa bukti yang kukuh): Sitkom Bendul berjaya disambung sehingga musim kedua di mana watak "Bendul" yang asalnya dilakonkan oleh Huzir Sulaiman telah digantikan dengan Harith Iskander (maklumat ini tidak dapat disahkan, perlu disemak).
    • Huzir Sulaiman ialah penulis skrip filem Dukun arahan Dain Said yang sepatutnya ditayangkan pada 2007 tetapi sehingga kini masih tidak dapat ditayangkan atas sebab kaitan kisah filem itu dengan kes jenayah sebenar.
    Nota tambahan 3:
    Dalam filem Aku Bukan Tomboy (2011), apabila watak lakonan Syamsul Yusof memperkenalkan namanya sebagai "Burn", watak lakonan Scha Al Yahya telah mengejek Burn yang berimej nerd dengan memanggilnya sebagai "Bendul".

      20 April 2013

      Kulit album 2020 oleh kumpulan rock Babylon (1992)

      Babylon ialah salah sebuah daripada ratusan kumpulan muzik rock yang ditubuhkan di Malaysia dalam dekad 1980-an. Babylon dianggap unik apabila ia dianggotai oleh sepasang kembar yang bernama Hussein (penyanyi) dan Hassan (pemain gitar). Anggota lain Babylon semasa mereka mengeluarkan album pertama pada 1990 ialah Kamal (pemain bass) dan Nahar (pemain dram). Pada 1992, sebelum isu rambut panjang mencapai kemuncaknya, Babylon berjaya mengeluarkan album kedua dan terakhir mereka yang diberi judul 2020.


      Tajuk album 2020 oleh Babylon secara jelas merujuk kepada idea Wawasan 2020 yang dicetuskan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, Dr. Mahathir Mohamad, pada 1991. Walaupun tiada lagu berjudul 2020 dalam album rock tersebut, tetapi terdapat sebuah lagu yang berjudul Wawasan, yang senikatanya ditulis oleh Loloq (antara bait senikatanya, "Mari melintas laut yang terbelah, ke wawasan dua puluh dua puluh"). Selain itu, apa yang lebih menariknya mengenai album 2020 ialah tentang rekabentuk kulit albumnya yang menampilkan sebuah lukisan yang agak ringkas tetapi unik.

      Lukisan bertemakan fantasi pada kulit album 2020 menggambarkan keadaan bandaraya Kuala Lumpur yang sudah tentunya berlatarkan tahun 2020, iaitu tahun di mana Malaysia disasarkan bakal menjadi negara yang berstatus maju. Apa yang uniknya - dan mungkin mengejutkan - ialah gambaran oleh pelukisnya yang membayangkan bahawa Kuala Lumpur, atau lebih tepat lagi mercu tanda ikonik Bangunan Sultan Abdul Samad, bakal menjadi usang, malah ditenggelami oleh tanah pada tahun 2020! Manakala latar belakang lukisan itu pula menunjukkan kewujudan beberapa buah bangunan ala futuristik. Turut kelihatan dalam lukisan menarik itu ialah tinggalan tulang haiwan yang tersadai di suatu sudut.

      Tidak dapat dipastikan siapakah pelukis kulit album 2020 tersebut. Apa yang pasti, lukisan itu bukanlah mempunyai niat yang jahat, sebaliknya dapat disimpulkan bahawa karya unik itu sebenarnya mempunyai maksud tersirat dan mungkin juga komentar pelukisnya mengenai masa hadapan Malaysia dalam tempoh 28 tahun daripada waktu itu. Kulit album tersebut juga tidak bermasalah atau menimbulkan persoalan mahu pun konflik ketika ia dikeluarkan pada 1992. Mungkin juga isu rambut panjang ketika itu telah mengalihkan perhatian pihak berkuasa daripada menilai kulit album tersebut yang sekiranya disalah tafsir dahulu boleh saja dianggap sebagai cubaan untuk memburuk-burukkan Wawasan 2020.

      Nota tambahan:
      • Pihak berkuasa Malaysia suatu ketika dahulu sememangnya biasa menapis kulit-kulit album terutamanya daripada artis luar negara. Antara isu yang pernah menjadi bahan berita di peringkat antarabangsa ialah penapisan kulit album kumpulan metal dari Amerika, Megadeth, yang berjudul Youthanasia pada 1994 (rujuk entri akan datang, mungkin)
      • "2020 - 2,446 hari lagi"

      31 March 2013

      Homoseks dan lesbian dalam lagu To'ki (1998)

      To'ki pernah terkenal dengan lagu nyanyiannya, Biasan, pada sekitar awal 1990-an. Walaupun dengan suaranya yang mantap dan tersendiri, tetapi To'ki tidak berjaya untuk menjadi penyanyi yang bertahap popular. Situasi begitu, dari dulu hingga kini dianggap lumrah dalam arena hiburan tempatan yang lebih mengutamakan paras rupa berbanding bakat.

      Dalam bulan Mac 1998, To'ki telah mengeluarkan album barunya yang berjudul Hujan Emas. Salah satu lagu yang terdapat dalam album tersebut berjudul Joget Menyanyi. Lagu berentak tradisional yang agak popular dan menarik didengar itu adalah ciptaan dan tulisan To'ki sendiri. Apa yang mungkin kurang disedari oleh para pendengar ialah mengenai kisah di dalam senikata lagu itu.

      Senikata lagu Joget Menyanyi mengandungi pemerhatian dan mungkin juga komentar tersirat penulisnya terhadap isu homoseks dan lesbian di Malaysia pada 1990-an. To'ki telah mengesahkan mengenai kandungan senikata lagu itu apabila ditanya oleh wartawan hiburan, Nas Ahmad. Kata To'ki, "Ini cerita benar Nas. Ada satu tempat peranginan terkenal kat sini dah jadi macam sarang homo dan lesbian. Saya pergi kat sana untuk berehat sambil cari ilham tapi terperanjat tengok perkara ni berlaku depan mata saya sendiri".

      Artikel bertajuk "Homoseks dan lesbian dalam lagu To'ki" ditulis oleh Nas Ahmad pada 8 Jun 1998 dan hanya disiarkan beberapa bulan kemudian dalam majalah hiburan URTV pada 15 September 1998.



      JOGET MENYANYI
      (pencipta lagu & penulis senikata: To'ki)

      Di kampung ini
      Di depan tangga pohon melambai
      Hai angin tiup
      Katanya sepoi bahasa

      Gerimis turun
      Tak sangka kilat guruh berdentum
      Di kampung ini
      Ku rasa damai sekali

      Jalan pesisiran pantai
      Ramai gadis berpegangan tangan
      Si pemudanya pula
      Jatuh cinta sesama

      Mari menyanyi
      Mari menyanyi
      Mari menyanyi
      Menyanyi

      Nota tambahan:
      • Dalam bulan Mac 1998 juga terbitnya sebuah lagi lagu - persembahan oleh penyanyi wanita tempatan - yang senikatanya berkisarkan isu gay (rujuk entri akan datang)
      • Dalam artikel yang sama, Nas Ahmad juga mengulas mengenai kulit album To'ki yang berjudul Hujan Emas, di mana To'ki dikatakan seolah-olah meniru gaya Amy Search (dalam album solo pertama pada 1994) dengan tidak berpakaian dan berkepala botak.
      • Memandangkan salah satu lagu dalam album Hujan Emas oleh To'ki merujuk kepada suatu 'gejala' seks, terlintas di fikiran mengenai kemungkinan wujudnya konotasi berkaitan seks - iaitu 'golden shower' - dalam terjemahan bahasa Inggeris tajuk album itu?
      • Kulit album Hujan Emas menggambarkan To'ki sedang 'menikmati' hujan emas. Walau bagaimanapun, tiada lagu berjudul Hujan Emas dalam album tersebut.

      30 March 2013

      Ratu Kebaya Mak Nyah (1992)

      Mak nyah popular, Mimie Zarina, telah mengadakan majlis sambutan harijadinya yang ke-45 tahun pada 20 September 1992 di Dewan Kompleks Sukan Bangsar, Kuala Lumpur. Wartawan hiburan Juwie melaporkan bahawa "Hampir tujuh ratus kaum mak nyah dan artis turut hadir" ke majlis tersebut.

      Antara acara yang berlangsung dalam majlis tertutup itu ialah persembahan nyanyian oleh para penyanyi terkenal seperti DJ Dave, Iwan, Rohana Jalil dan Jaafar Onn. Acara kemuncaknya pula ialah suatu pertandingan yang dinamakan Ratu Kebaya Mak Nyah. Juwie tidak melaporkan lebih lanjut mengenai pertandingan tersebut, maka tidak diketahui berapa ramai mak nyah yang telah mengambil bahagian, atau siapakah para pengadil yang menentukan para pemenangnya.


      Pertandingan Ratu Kebaya Mak Nyah itu akhirnya dimenangi oleh 'Nazira Kassim' yang berasal dari Muar, Johor, yang memakai baju kebaya berwarna biru. Manakala tempat kedua dimenangi oleh 'Sharifah Azura Syed Anuar' yang berasal dari Melaka dan memakai baju kebaya berwarna hitam. Gambar kedua-dua pemenang di samping penganjur majlis, Mimie Zarina, telah disiarkan dalam akhbar Pancaindera pada 27 September 1992.
      Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...