27 January 2013

Bakat RTM (1985)

Selain daripada Bintang RTM, iaitu pertandingan menguji bakat penyanyi, stesen penyiaran RTM juga turut pernah menganjurkan sebuah lagi pertandingan menguji bakat yang - tanpa perlu bersusah payah fikir - dinamakan sebagai Bakat RTM. Sementara Bintang RTM mengkhususkan kepada kategori nyanyian semata-mata, Bakat RTM pula dijadikan medan untuk mencari bakat-bakat baru dalam cabang hiburan yang berbeza iaitu muzik dan komedi.

Pertandingan akhir Bakat RTM 1985 telah diadakan pada penghujung tahun tersebut, dan ia diacarakan oleh penyampai radio terkenal, Ainol Jamal Zainal. Terdapat 3 kategori yang dipertandingkan iaitu Pemuzik Instrumental Solo, Pemuzik Pancaragam dan Lawak Jenaka.


Dalam kategori Pemuzik Instrumental Solo, peserta yang berjaya memenangi tempat pertama ialah Junenita Mohd Nor, gadis remaja berusia 15 tahun yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor. Junenita yang dilaporkan "berpakaian rugged" telah menunjukkan bakatnya dalam bermain organ Electone dengan mempersembahkan 2 buah lagu instrumental berentak jazz yang dikatakan agak mencabar untuk dimainkan. Pemenang tempat kedua kategori Pemuzik Instrumental Solo pula ialah seorang peniup flute, Jaafar Abdul Rahman yang berasal dari Johor. Manakala tempat ketiga kategori tersebut dimenangi oleh pemain piano dan organ, Isabella Pek, gadis remaja berusia 15 tahun yang berasal dari Kuala Lumpur.


Kategori Pemuzik Pancaragam menyaksikan sebuah kumpulan pemuzik yang berpengalaman luas iaitu Band Family Group berjaya memenangi tempat pertama. Kumpulan pemuzik tersebut yang berasal dari Ipoh, Perak, telah ditubuhkan pada 1967. Pemenang tempat kedua kategori Pemuzik Pancaragam pula ialah Band De RAMD yang berasal dari Sungai Besi, Kuala Lumpur. Manakala tempat ketiga kategori tersebut dimenangi oleh Kombo K.C. Lim (gambar E) yang berasal dari Klang, Selangor.


Untuk kategori Lawak Jenaka, kumpulan Mahmood & Zakaria Musa (gambar F) yang berasal dari Kelantan telah dipilih untuk memenangi tempat pertama. Manakala tempat kedua kategori tersebut dimenangi oleh kumpulan Yusuf Din Kicap (gambar G), dan tempat ketiga dimenangi oleh kumpulan Mohd Hatta (gambar H).

Kesemua pemenang pertandingan Bakat RTM 1985 menerima hadiah masing-masing yang disampaikan oleh tetamu pertandingan, Datin Masnah (isteri Datuk Rais Yatim, yang - selepas 26 tahun berlalu - tidak jemu-jemu membuat kemunculan istimewa dalam segmen penyampaian hadiah acara-acara hiburan, hairan). Pertandingan itu turut diserikan dengan persembahan artis jemputan iaitu kumpulan Blues Gang.

24 January 2013

ANX 4 tahun

Hari ini genap 4 tahun Arkib Negara X (ANX) beroperasi!

Ini adalah entri tahunan yang cuba untuk melihat kembali apa yang telah disiarkan oleh ANX dan beberapa kemungkinan yang akan dilakukan oleh ANX pada masa akan datang. Mungkin tiada apa yang menarik untuk dibaca pada kali ini, tambahan pula entri ini adalah teks panjang yang langsung tidak bergambar, jadi sila tunggu entri seterusnya untuk membaca dan melihat isi kandungan biasa yang akan disiarkan dalam beberapa hari lagi.

Tahun lepas jumlah entri ANX berkurangan dengan mendadak berbanding tahun-tahun sebelumnya. Alasan biasa, makin sibuk dengan kerja-kerja lain. Entri kali ini pun baru mencecah bilangan yang ke-183, sangat sedikit berbanding tempoh 4 tahun beroperasi. Walau bagaimanapun, dijangka dan diharapkan tahun 2013 ini akan menyaksikan ANX mencapai entri yang ke-200 dan berjaya mengatasi jumlah entri tahun-tahun sebelum ini. Untuk tahun ini ANX mensasarkan untuk menyiarkan 10 entri pada setiap bulan (walaupun sasaran yang biasanya dibuat sebelum ini semuanya gagal!).

Sempena 4 tahun ANX, satu akaun twitter rasmi telah dibuka beberapa hari lepas. Untuk mengikutinya sila ke laman twitter.com/ArkibNegaraX atau klik sahaja Follow pada widget yang terdapat di blog. Buat permulaan, twitter ANX akan digunakan untuk mempromosi entri terkini di blog sahaja. Pada masa akan datang, mungkin twitter ANX dapat digunakan untuk mengarkibkan bahan-bahan terbaru yang ringkas, sama ada teks mahu pun foto (belum difikirkan kesesuaiannya dengan batasan ruang di dalam twitter).

Sementara itu laman facebook.com/ArkibNegara yang dibuka pada Ogos 2012 juga masih belum memiliki isi kandungannya yang tersendiri, sekadar menyiarkan kembali entri-entri lama dengan sepenuhnya. Bahan-bahan terbaru yang dirancang untuk disiarkan di dalam facebook ANX ialah foto-foto tambahan kepada entri-entri terdahulu. Foto-foto tersebut tidak akan disiarkan di dalam blog, hanya khas untuk siaran di dalam facebook (dan mungkin twitter). Sila like atau follow!

Tentang sambutan para pengunjung dan pembaca blog ANX, bulan Disember 2012 telah mencatatkan peningkatan mendadak, iaitu melebihi 90,000 pageviews, rekod tertinggi selama 4 tahun ANX beroperasi (sebelum itu rekod tertinggi ialah pada Jun 2012 dengan lebih 53,000 pageviews). Entri yang membawa pengunjung dengan begitu banyak dalam bulan terakhir 2012 itu ialah kisah Kemalangan Jalan Raya 4 Artis Terkenal. Kemungkinan besar entri tersebut berjaya mendapat perhatian meluas hasil daripada tayangan filem terbaru kisah hidup Zaiton Sameon yang bermula pada November 2012. Jumlah keseluruhan pageviews ANX juga kini mencecah lebih 840,000 dan diharapkan akan dapat mencapai sejuta pageviews menjelang penghujung 2013.

Mengenai isi kandungan ANX pula, entri-entri berkaitan dengan kisah hiburan dan selebriti tempatan tetap menjadi tumpuan utama para pengunjung dan pembaca. Kisah Zarina Zainuddin masih lagi menjadi entri yang paling banyak diakses dalam tempoh 4 tahun ini. Sementara kata carian yang paling popular pula ialah tentang Rozita Che Wan. Mungkin ANX boleh menyiarkan beberapa lagi entri mengenai 2 nama popular tersebut. Nama yang tidak kurang hangatnya dan menjadi carian ramai selain Zaiton Sameon ialah pelakon seksi, Ziela Jalil. Perkara ini mengingatkan kepada rancangan ANX untuk menyiarkan entri mengenai Julia Rais dan Zila Bakarin yang masih belum tercapai (mungkin kedua-dua nama itu ramai juga peminatnya). Namun begitu, kisah selebriti lelaki kurang mendapat perhatian ramai walaupun telah hampir diseimbangkan jumlah entri mereka berbanding jumlah entri berkaitan selebriti perempuan.

Kisah menarik yang tidak berkaitan dengan hiburan dan selebriti akan tetap disiarkan oleh ANX walaupun kebanyakannya kurang mendapat perhatian ramai (kisah budaya popular yang paling mendapat perhatian ramai ialah tentang Pembinaan Mimaland). Masih banyak isu semasa dan perkara atau benda yang pernah wujud serta peristiwa yang pernah berlaku tidak berapa lama dahulu yang mungkin ingin diketahui oleh segelintir orang yang berminat atau sesiapa sahaja yang ingin mengambil tahu, maka ia sangat wajar untuk diarkibkan. Sekadar pemberitahuan, ANX masih belum menyiarkan beberapa lagi entri berkaitan buku Chronicle Of Singapore (perlu diberi perhatian segera). ANX sememangnya berminat untuk menyiarkan lebih banyak lagi entri berkaitan bahan bacaan seperti buku, majalah dan akhbar/tabloid, terutama sekali terbitan lama yang sudah tidak wujud lagi (atau lebih baik, telah diharamkan!) pada masa sekarang.

Berkenaan kategori entri, nampaknya jumlah entri untuk dekad 1990-an semakin jauh mengatasi jumlah entri dekad-dekad lain. Sememangnya kisah-kisah 1990-an yang menarik terdapat begitu banyak dalam simpanan ANX dan banyak lagi yang hanya menunggu masa untuk disiarkan. Jika sebelum ini ANX cuba untuk menyeimbangkan jumlah entri bagi setiap dekad dan tahun, tetapi sejak beberapa bulan lepas peraturan itu telah dihentikan, sebaliknya kisah-kisah yang unik, luar biasa atau mempunyai daya penarik yang kuat akan diutamakan tanpa mengira dekad atau tahunnya. Walau pun begitu, ANX akan cuba memberi perhatian pada tahun yang masih kekosongan entri iaitu 1978, 2010 dan semestinya 2013 yang baru bermula.

Satu lagi kategori entri yang mungkin perlu diberi perhatian ialah tentang negara lain (kecuali Singapura, Brunei dan Indonesia sangat kekurangan entri). Buat masa sekarang, entri tentang selebriti Indonesia, Nike Ardilla Mati Kemalangan, semakin mendapat perhatian. Mungkin ANX boleh menyiarkan beberapa lagi entri berkaitan beliau yang sememangnya begitu popular dan pernah menghiasi muka hadapan majalah hiburan Malaysia suatu ketika dahulu. Selain itu, ANX akan cuba untuk mencari bahan-bahan lain yang menarik tentang Brunei dan Indonesia, tidak kiralah mengenai selebriti atau pun perkara-perkara lain.

Akhir sekali, sempena ulang tahun ANX yang kebetulan jatuh pada setiap awal tahun, foto header blog juga telah diganti dengan yang baru bagi menyertakan sekali tahun terkini, 2013. Tahun lepas, foto header 2012 bercirikan cacamarba dengan menampilkan imej-imej selebriti dan unsur-unsur popular serta sensasi. Kalau diperhatikan foto header tahun lepas itu, ada beberapa imej yang masih belum dijadikan entri (mungkin akan disiarkan tidak lama lagi. sepatutnya sudah disiarkan).

Terbaru, foto header 2013 (lihat di atas sekali, atau sila ke blog jika anda membaca entri ini daripada tempat lain) merujuk kepada kategori entri yang agak kurang popular iaitu Isu Semasa. Kisah yang terdapat dalam foto header terbaru itu juga sebenarnya belum pernah dijadikan entri. Sila ikuti blog/facebook/twitter ANX untuk mengetahui bilakah kisah tentang foto header itu akan disiarkan dan apakah kisah di sebaliknya.

Foto header terbaru itu, bertentangan dengan foto header lama yang cacamarba, memaparkan ciri kekemasan, dengan tulisan yang lebih kecil dan foto yang lebih besar, selaras dengan gaya terbaru entri ANX yang kini menyiarkan teks seringkas yang boleh (kadang-kadang panjang, kalau perlu) dan memberi perhatian kepada penyiaran foto yang lebih besar, dan kalau perlu, lebih daripada satu foto akan disiarkan (tidak seperti sebelum ini yang mengehadkan penyiaran foto bagi setiap entri).

Sekian.

20 January 2013

Sudir Shoppe (1990)

Sudir Shoppe ialah nama butik yang dimiliki oleh "Penghibur No.1 Asia", Sudirman Haji Arshad. Beliau yang dikenali dengan nama ringkasnya, Sudir, telah merasmikan Sudir Shoppe pada 7 April 1990. Butik tersebut yang menggunakan slogan "Shaped For The 90's" pada mulanya mempunyai dua buah cawangan yang terletak di Plaza Bukit Bintang, Kuala Lumpur dan Damansara Utama, Selangor.


Sudir Shoppe menjual pelbagai jenis pakaian seperti kemeja, t-shirt & seluar jeans. Selain itu ia juga turut menjual cermin mata hitam plastik yang unik kerana boleh digulung (Sudirman juga gemar memakai cermin mata hitam tersebut seperti yang dapat dilihat dalam gambar-gambar di bawah). Apa yang istimewanya, barangan yang dijual oleh Sudir Shoppe kesemuanya berjenama "Sudir".


Malangnya perniagaan tersebut tidak dapat bertahan lama kerana tidak lama kemudian Sudirman telah terlantar sakit yang berpanjangan dan beliau akhirnya meninggal dunia pada 22 Februari 1992, iaitu tidak sampai 2 tahun selepas pembukaan Sudir Shoppe.

18 January 2013

Isteri Dato' Najib Tak Takut Gossip (1984)

Pada April 1984, majalah Keluarga telah menyiarkan temubual bersama Toh Puan Tengku Puteri Zainah Binti Tengku Eskandar, iaitu isteri (kini bekas isteri) Menteri Besar Pahang ketika itu, Dato' Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak (kini Perdana Menteri Malaysia). Temubual oleh penulis bernama Hasnifalina itu dilabelkan sebagai "Eksklusif", mungkin kerana Tengku Puteri Zainah jarang atau pun tidak pernah ditemubual oleh pihak media cetak sebelum itu. Walau bagaimanapun, hasil temubual "eksklusif" itu tidaklah begitu menarik pun melainkan hanya tajuknya (seperti tajuk entri ini) yang boleh dikatakan sedikit mencuit hati.


Tengku Puteri Zainah agak segan untuk bergambar bagi disiarkan dalam majalah. "Badan saya gemuk sikit, tak payahlah ambil gambar", kata beliau yang ketika itu baru selesai berpantang selepas melahirkan anak ketiga. Apabila ditanya tentang bagaimana beliau menghadapi khabar angin yang biasa melanda kerjaya politik suaminya, Tengku Puteri Zainah menjawab, "Khabar angin memang perkara biasa dalam politik, samalah seperti gossip di kalangan artis. Yang penting kita harus dapat membezakan yang mana satu khabar angin dan yang mana satu khabar betul".


Tengku Puteri Zainah juga dikatakan bergiat dalam beberapa persatuan wanita atau pertubuhan sukarela yang bertujuan untuk mengeratkan hubungan orang kenamaan (contohnya isteri-isteri wakil rakyat) dengan rakyat biasa. Beliau berpendapat, hubungan erat dengan rakyat adalah perlu kerana "rakyat juga memainkan peranan yang penting dalam menentukan jatuh bangunnya seseorang menteri itu".

Nota tambahan:
Gambar Tengku Puteri Zainah juga pernah dijadikan hiasan muka hadapan majalah Wanita pada tahun 1980-an (rujuk entri akan datang)

10 January 2013

Dada Anita Sarawak ditapis (1995)

Majalah Pesta yang mula diterbitkan pada awal 1989 merupakan antara majalah hiburan tempatan yang agak cepat meningkat popular ketika itu. Pada Mei 1995, majalah Pesta telah menerbitkan edisi yang menampilkan penyanyi popular dari Singapura, Anita Sarawak, pada muka hadapannya. Gambar Anita Sarawak yang berusia 43 tahun pada kulit majalah Pesta edisi tersebut adalah sangat mendedahkan (mengikut standard kulit majalah tempatan) sehingga terpaksa ditapis dengan meletakkan kotak hitam pada bahagian dada beliau.


Gambar Anita Sarawak membuka baju sehingga mendedahkan sebahagian daripada buah dadanya itu diambil ketika beliau sedang membuat persembahan dalam majlis Minggu Setiausaha di hotel PJ Hilton pada April 1995. Pemilihan gambar yang dikatakan kontroversi tersebut bagi dijadikan kulit majalah tentunya bertujuan untuk melariskan lagi penjualan majalah tersebut dan bukannya untuk menimbulkan isu sangat walaupun artikel utamanya diberikan tajuk "Anita, penghibur yang tidak peka?".


Memandangkan Anita Sarawak sudah sememangnya dikenali dengan kisah-kisah sensasi & gaya yang berani, maka kejadian buka baju tersebut tidaklah meledak menjadi isu yang berpanjangan. Walau apa pun, kulit majalah Pesta edisi tersebut bolehlah dikatakan antara kulit majalah hiburan tempatan yang paling menarik perhatian kerana keberaniannya untuk tampil berbeza daripada paparan normal kulit majalah hiburan tempatan yang biasanya membosankan.

Nota tambahan:
  1. Majalah hiburan URTV ketika itu turut menyiarkan berita persembahan Anita Sarawak dalam majlis Minggu Setiausaha 1995 tersebut. Namun begitu, majalah URTV tidak pula menjadikan persembahan sensasi tersebut sebagai suatu isu, mungkin juga untuk menjaga hubungan baik mereka dengan Anita Sarawak.
  2. Majalah URTV era 1970-an pernah menyiarkan poster Anita Sarawak sedang membuat persembahan dengan berpakaian yang mendedahkan dada (rujuk entri akan datang).
  3. Majalah Pesta tidak lagi wujud pada masa sekarang. Kali terakhir ia diterbitkan ialah pada awal 2000-an.

08 January 2013

Persatuan Sasterawan Mati & Ingatan Semporna (1990)

Dua tahun lalu, pada Januari 2011, ANX telah menyiarkan entri bertajuk Terjemahan Tajuk Filem. Entri pada hari ini ialah kesinambungan kepada entri tersebut. Tidak banyak yang dapat diperkatakan lagi tentang topik tersebut kerana ia telah diceritakan dalam entri terdahulu.

Namun begitu, terdapat beberapa lagi terjemahan tajuk filem yang begitu menarik sekali hingga dirasakan agak rugi sekiranya ia diabaikan sebagai bahan arkib. Tambahan pula pada masa kini terjemahan tajuk-tajuk filem luar negara kepada bahasa kebangsaan sudah tidak lagi diamalkan dengan meluas.

Jadi, apa yang dikongsikan ini bolehlah dikatakan sebagai cebisan sejarah dunia hiburan tempatan yang tidak mungkin berulang kembali, melainkan kempen Cintailah Bahasa Kita dipergiatkan semula seperti suatu ketika dahulu.

Persatuan Sasterawan Mati - tajuk asalnya ialah Dead Poets Society (1990 - tayangan di Malaysia), sebuah filem drama Hollywood yang popular dan menjadi antara contoh filem berkualiti yang menghiburkan. Terjemahan tajuk filem itu mungkin terlalu lurus sehingga menimbulkan kelucuan kepada sebuah filem yang serius, tetapi terjemahan tersebut sememangnya menarik perhatian.


Ingatan Semporna - tajuk asalnya ialah Total Recall (1990), sebuah filem aksi Hollywood yang mengukuhkan lagi populariti pelakon Arnold Schwarzenegger ketika itu. Penggunaan ejaan lama 'Semporna' menambahkan lagi keunikan kepada terjemahan tajuk filem itu. Total Recall begitu popular hingga telah dibikin semula dalam versi baru yang ditayangkan pada 2012.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...