04 July 2011

Miss Malaysia-World (1985)

Pertandingan akhir ratu cantik Miss Malaysia-World 1985 telah diadakan di Merlin Subang dan disertai oleh seramai 14 orang gadis yang berusia di antara 17 hingga 24 tahun. Pertandingan itu akhirnya dimenangi oleh Rosalind Kong Siew Kuen yang berusia 20 tahun. Rosalind yang memakai nombor 8 dalam pertandingan itu merupakan seorang penuntut dalam jurusan Perhubungan Awam di sebuah institut di Kuala Lumpur. Hasil kemenangan itu Rosalind menerima hadiah wang tunai $3,500, jam tangan, kursus kecantikan selama 4 bulan dengan syarikat Dewi Ayu, hamper, sepasang baju pakaian petang dan keahlian selama setahun dengan Kelab Sapphire. Rosalind juga layak mewakili Malaysia dalam pertandingan Miss World 1985 yang diadakan di London pada November tahun yang sama.

Pemenang lain dalam pertandingan Miss Malaysia-World 1985 ialah Latonia Chang Pei Pei (18 tahun, menang tempat kedua, berdiri berbaju putih dalam gambar di atas), Penny Ong Seok Nee (21 tahun, menang tempat ketiga) dan Gail Martha De Silva (20 tahun, menang tempat keempat, berdiri di kiri sekali dalam gambar di atas). Peserta berbangsa Melayu yang turut bertanding ialah seorang jurutera bernama Nora Liza.

03 July 2011

Gambar majalah Mangga "ditapis!" (1995)

Terdapat pelbagai cara penapisan gambar dalam sesebuah penerbitan seperti majalah. Cara penapisan terkuno tentulah dengan menggunakan pen marker hitam bagi menconteng pada bahagian gambar yang tidak dibenarkan untuk disiarkan. Cara sebegitu biasanya digunakan pada majalah yang telah siap dicetak terutama sekali majalah yang diimport dari luar negara. Majalah terbitan tempatan sejak tahun 1970-an diketahui menapis gambar dengan cara meletakkan grafik kotak hitam (atau warna lain) pada bahagian yang perlu ditapis, contoh yang paling popular ialah penapisan pada bahagian mata penjenayah, dan sekali-sekala akan dapat dilihat tapisan sebegitu pada bahagian anggota badan lain yang bukan milik penjenayah.

Pada 1995, majalah Mangga yang ketika itu baru beberapa bulan diterbitkan telah menyiarkan sekeping gambar selebriti yang ditapis menggunakan kotak hitam. Selebriti itu ialah Tini Arshad, iaitu penerbit filem (panjang) Kaki Bakar arahan U-Wei Saari. Majalah Mangga memperkenalkan Tini sebagai "adik Maria Arshad" yang "masih anak dara lagi", dan "wajahnya mirip model antarabangsa". Oleh kerana Tini digambarkan berpakaian hitam, maka kotak hitam yang menutupi bahagian dadanya agak kurang jelas, dan mungkin kerana itulah agaknya pengarang majalah tersebut telah meletakkan perkataan "DI TAPIS!" pada kotak hitam tersebut. Penggunaan perkataan "DI TAPIS!" yang besar itu juga rasanya lebih kepada bertujuan untuk meningkatkan unsur sensasi dan kejutan, serta memberitahu para pembaca bahawa si pengarang itu telah berjaya melihat apa yang pembaca tidak dapat lihat. Sedangkan sebenarnya boleh sahaja sekiranya si pengarang itu sekadar meletakkan kotak hitam yang kecil sahaja!

Nota tambahan:
Penggunaan kotak hitam dalam menapis gambar sudah jarang dipraktikkan lagi pada masa kini. Cara penapisan gambar yang paling popular kini ialah dengan membesarkan pixel atau mengaburkan imej. Selain itu susun atur perkataan di atas gambar juga sering digunakan bagi menapis gambar supaya tidak terlalu kelihatan seperti ia sedang ditapis. Cara penapisan gambar yang lebih rumit juga ada digunakan di mana gambar itu akan diubah suai secara terus sehingga sukar untuk dikesan sama ada penapisan telah dilakukan kecuali dengan penelitian yang mendalam. Arkib Negara X akan memaparkan beberapa lagi contoh penapisan gambar di dalam entri-entri akan datang.

02 July 2011

Singapura haramkan majalah Cosmopolitan (1982)

Cosmopolitan ialah sebuah majalah bulanan untuk pembaca wanita yang asalnya diterbitkan di Amerika Syarikat dan diedarkan ke banyak negara lain termasuk Singapura. Pada 1982, Kementerian Kebudayaan Singapura mula mengharamkan penjualan majalah Cosmopolitan setelah mendapati beberapa artikel yang terkandung di dalamnya mengandungi unsur seksual yang dianggap bertentangan dengan nilai dan budaya tempatan. Sebelum pengharaman itu, Cosmopolitan berjaya diedarkan sebanyak 3 keluaran di Singapura. Hanya setelah 22 tahun kemudian iaitu pada 2004, barulah pihak berkuasa Singapura membenarkan semula penjualan majalah Cosmopolitan, tetapi dengan beberapa syarat iaitu setiap majalah perlu dibungkus dengan plastik dan perlu meletakkan label bagi menjelaskan yang isi kandungannya tidak sesuai untuk bacaan remaja dan kanak-kanak. Majalah Cosmopolitan juga diterbitkan di Malaysia tetapi dalam edisi berbeza.

Nota tambahan:
Majalah bulanan Playboy khusus untuk pembaca lelaki mula diterbitkan di Amerika Syarikat pada 1950-an dan pernah dijual di Singapura dalam dekad tersebut dengan harga $2.10 senaskah. Mulai 1 Januari 1960, pihak berkuasa Singapura mula mengharamkan penjualan majalah Playboy yang banyak memaparkan gambar bogel wanita. Pengharaman tersebut adalah sebahagian daripada kempen kerajaan Singapura untuk membanteras budaya kuning. Akhbar tempatan melaporkan, "It was a sad moment for some, but the bunnies had to leave Singapore"

26 June 2011

Pemilihan Penyanyi Popular Tahun 70-an (1979)



Pada awal 1979, Persatuan Penyanyi Tanah Air (PAPITA) dengan kerjasama majalah URTV telah menganjurkan satu undian umum bagi memilih penyanyi tempatan popular 1970-an. Undian tersebut terbahagi kepada 2 kategori iaitu Penyanyi Lelaki & Penyanyi Wanita, dan ia dijalankan melalui pos dengan cara menghantar borang yang disediakan dalam majalah tersebut. Senarai penyanyi yang dicalonkan oleh PAPITA bagi Pemilihan Penyanyi Popular Tahun 70-an ialah seperti berikut.

Penyanyi-Penyanyi Lelaki Tahun 70-an (hingga 1978):
  1. A. Razak
  2. A.J. Ajmain
  3. Ahmadi Hassan
  4. Andre Goh
  5. Andy Yunus
  6. D.J. Dave
  7. Dahlan Zainuddin
  8. Deddy M. Borhan (lebih terkenal sebagai penerbit filem pada 1980-an)
  9. Hail Amir
  10. Hail Chik
  11. Hanafiah Yunus
  12. J. Mizan
  13. Jasmin Hussin
  14. Latiff Ibrahim
  15. M. Daud
  16. M. Daud Kilau
  17. M. Ramli
  18. M. Sani
  19. M. Shariff
  20. Rahman Kadir
  21. Ruslan Yuss
  22. S. Rosli
  23. S. Sudirman
  24. Shamsudin Lamin
  25. V. Sarangabani (paling rare!)
Penyanyi-Penyanyi Wanita Tahun 70-an (hingga 1978):
  1. Anita Sarawak (masih aktif!)
  2. Dahlia Ahmad
  3. Efa Rizan
  4. Faridah Mansor
  5. Fatimah Razak
  6. Habibah Yaakob
  7. Hamidah Ahmad
  8. Hamidah Buang
  9. Juli Remie
  10. Junainah M. Amin
  11. Khatijah Ibrahim
  12. Mazuin Hamzah
  13. Milah Hussin
  14. Mimi Loma
  15. Noor Kumalasari
  16. Rahimah Rahim
  17. Rina Rahman
  18. Rohani Aziz
  19. Rose Iskandar
  20. Rozita
  21. Saadiah Saat
  22. Salmiah Hassan
  23. Sarina Hashim
  24. Sharifah Aini (masih aktif!)
  25. Suhaili Shamsuddin
  26. Uji Rashid
  27. Zalifah Ibrahim
Sekiranya anda tidak mengenali sesetengah daripada nama-nama penyanyi popular di atas malah tidak pernah mendengar langsung lagu-lagu nyanyian mereka tidak mengapa, kerana generasi berikutnya pada 32 tahun akan datang juga akan bertanya soalan yang sama tentang siapakah itu Faizal Tahir, Mawi, Stacy atau pun Jaclyn Victor, nama seakan-akan pakcik dan makcik yang tidak glamor dan tidak mungkin pernah popular saja gayanya. Sudahlah cara mengundi pun melalui SMS, sangat ketinggalan zaman, orang dah tak guna telefon bimbit lah!

25 June 2011

MetroVision - TV4 (1995 & 1996)

Stesen televisyen swasta kedua di Malaysia selepas TV3 ialah MetroVision yang memulakan siarannya di kawasan Lembah Kelang mulai hari Sabtu, 1 Julai 1995. Ketika itu MetroVision juga disebut sebagai TV4 oleh orang ramai yang sudah biasa dengan penggunaan nama stesen TV berasaskan nombor. Pada peringkat awal, MetroVision cuma beroperasi daripada pukul 6.30 petang hingga 12 malam sahaja sebelum memanjangkan tempoh siarannya tidak lama kemudian dengan memulakan operasi lebih awal pada pukul 2 petang. Pada hari pertama siaran MetroVision, rancangan pertama yang disiarkan ialah ucapan khas oleh Pengerusi City Television Sdn Bhd iaitu Tunku Abdullah Tuanku Abdul Rahman.

Rancangan berita yang disiarkan oleh MetroVision diberi nama Warta Prima (8 malam) dan Metro News International (11.30 malam), masing-masing disiarkan selama setengah jam. Antara pembaharuan yang dapat dilihat oleh penonton rancangan berita tersebut ialah apabila terdapatnya seorang penyampai khas yang ditugaskan mengendali segmen ramalan cuaca. Selain laporan berita semasa dan sukan, diselitkan juga laporan hiburan seperti World Metro News Video Chart dan World Metro News Music Chart. Para penyampai berita MetroVision terdiri daripada John Byrne Abdullah, Norazlina Redzuan, Norizan Abu Samah (penyampai ramalan cuaca), Wan Nur Emily Daud, Habsah Omar (kini lebih dikenali dengan nama Abby Fana), Sulaiman Yahya, Syed Naquib Al-Attas, Ramli Abu Bakar dan Joseph Gonzales.

Rancangan-rancangan lain yang pernah disiarkan oleh MetroVision di antara 1995 hingga 1996 ialah seperti Seinfeld, Kayla Beverly Hills Showcase, The Bold & The Beautiful, Indian Movie, Justice Bao, By Demand, Models Inc, Yan Can Cook, Star Trek: Deep Space Nine, Under One Roof, Ultraman, The Simpsons, 18+ Movies, Over The Edge (rancangan muzik alternatif), Baywatch dan banyak lagi. Stesen televisyen percuma MetroVision telah menamatkan operasinya pada sekitar awal tahun 2000.

20 June 2011

Majalah Gedung Kartun (2009)

Majalah Gedung Kartun keluaran pertama telah dikeluarkan pada 1 September 2009. "Majalah Jenaka Alternatif" setebal 68 muka surat ini telah diterbitkan oleh Sepakat Efektif Sdn Bhd dan dijual dengan harga RM4.00 senaskah. Pandangan awal berdasarkan nama majalah Gedung Kartun ini, ia boleh dikatakan hanyalah sebuah lagi majalah kartun tempatan yang biasa, tetapi apabila dilihat pada kartun utama di muka hadapannya, jelas sekali majalah ini mempunyai isi kandungan yang sangat jauh berbeza daripada majalah-majalah kartun yang pernah diterbitkan di Malaysia sebelum itu.

Muka hadapan Gedung Kartun Vol: 01 memaparkan karikatur Perdana Menteri (PM) Malaysia yang sedang mengibarkan sebuah bendera sambil melaungkan "Merdeka". Watak kanak-kanak bernama Dol Kerepek diperlihatkan menegur "Tuan" PM mengenai kesalahan beliau dalam memilih bendera untuk dikibarkan. Hanya melalui kartun utama itu dapat disimpulkan mengenai keberanian penerbit dalam menghasilkan majalah kartun "alternatif" ini. Adakah masyarakat umum dan pembaca di Malaysia semakin terbuka dan dapat menerima kritikan atau sindiran dalam bentuk kartun sebegitu? Mungkin ya dan mungkin tidak, bergantung sepenuhnya kepada siapa yang disindir dan pihak mana yang pembaca tersebut sebelahi. Adakah pihak yang disindir boleh berdiam diri dan menerima sindiran sebegitu? Mungkin ya dan mungkin tidak, bergantung kepada seserius manakah sindiran itu dan sebesar manakah kuasa yang mereka ada untuk bertindak balas.

Majalah Gedung Kartun dikelola oleh kartunis Zunar sebagai Ketua Editor dan juga pengkarya. Kartunis lain yang terlibat ialah seperti Jonos (turut melukis muka hadapan), Ronasina, Cabai dan lain-lain. Turut serta menyumbangkan karya ialah Pyanhabib dan A. Samad Said. Isi kandungan majalah ini keseluruhannya menyentuh mengenai dunia politik serta isu sosial dan semasa tempatan. Menurut tulisan prakata oleh Zunar, majalah ini "menawarkan kandungan dengan mesej berat yang disampaikan dalam bentuk santai", "tidak hanya bersifat lucu tetapi ia juga menyadur mesej yang mengkritik, mengulas, mengolah, memberi informasi dan kesedaran tentang isu-isu yang semasa". Dalam ruangan penafian pula tertulis: "Tulisan atau lukisan yang disiarkan tidak bertujuan untuk memburukkan sesiapa atau cuba melahirkan apa-apa provokasi tapi hanyalah satu idea atau pandangan dari setiap mata kaca pelukis/penulis itu sendiri"

Antara tajuk-tajuk kartun/tulisan yang disiarkan dalam Gedung Kartun ialah Perampok Merdeka, Ragam Datuk Nazak, Negaraku, Nostalgia 98, DemoKERASi, 2 Tun, Peludah Bahasa, Selangor Tanah Airku dan lain-lain. Karya-karya yang disiarkan sememangnya menarik dan sesungguhnya suatu alternatif kepada penggemar kartun yang sebelum itu hanya dihidangkan dengan lambakan kartun komedi biasa tanpa isi kandungan yang serius. Namun begitu pembaca yang kurang mengikuti perkembangan semasa di Malaysia mungkin agak sukar untuk memahami beberapa karya terutamanya yang 'terlalu ringkas tanpa penjelasan lanjut' yang dipaparkan (apa lagi kalau majalah ini dibaca semula oleh generasi akan datang). Gaya lukisan (termasuk sedikit muka surat berwarna) juga agak menarik terutamanya yang melibatkan seni karikatur.

Walau bagaimanapun, tema utama majalah Gedung Kartun yang jelas memihak kepada pihak 'pembangkang' pastinya sukar untuk diterima oleh sebahagian besar masyarakat umum, dan adalah tidak mengejutkan apabila majalah ini akhirnya telah diharamkan oleh pihak 'kerajaan' hanya selepas satu keluaran sahaja. Tentu menarik sekiranya majalah ini dapat terus diterbitkan dan pada masa yang sama mungkin para penerbit lain dapat menerbitkan pelbagai lagi majalah kartun sealiran yang memihak kepada beberapa golongan yang berbeza. Pastinya semua orang akan berpeluang mendapat bahan bacaan yang diinginkan mengikut citarasa masing-masing. Tapi apa kan daya, tahap keterbukaan dalam berkarya dan kebebasan untuk menyampaikan pendapat masih lagi disekat buat masa sekarang.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...