24 January 2011

ANX 2 tahun

Hari ini genaplah 2 tahun blog Arkib Negara X (ANX) bersiaran, walaupun sebenarnya dalam tempoh tersebut ia terpaksa direhatkan selama satu setengah tahun! Itulah sebabnya kini ANX baru sampai pada entri yang ke-79. Anda tidak perlu membaca seterusnya kerana entri kali ini sekadar ingin mengimbas kembali hasil pengumpulan bahan yang telah berjaya disiarkan setakat ini dan mungkin juga sedikit tip mengenai entri akan datang.

Melihat kembali tag atau kategori entri, nampaknya ANX telah berjaya menyiarkan bahan bagi setiap Dekad walaupun 1970-an masih terlalu kekurangan entri, manakala 1990-an pula sudah banyak entri berbanding Dekad lain. Bagi kategori Tahun pula, masih terlalu banyak Tahun yang belum mempunyai sebarang entri. Setakat ini 1988 dan 1992 merupakan Tahun yang mempunyai paling banyak entri. Jadi selepas ini saya akan memastikan supaya setiap Tahun mempunyai sekurang-kurangnya 2 entri, dan perhatian yang lebih akan diberikan kepada Dekad yang kekurangan entri. ANX juga nampaknya perlu menyiarkan lebih banyak entri untuk kategori Negara Lain walaupun bahan dari Malaysia masih tetap diutamakan.

Melihat kepada senarai 10 Entri Popular, setakat ini entri berkaitan selebriti hiburan tetap menjadi kegemaran ramai. Pastinya saya akan mencari lebih banyak bahan untuk Nama Popular seperti Zarina Zainuddin, Rozita Che Wan, Jacinta Lee, Ramziela dan Sahara Yaakob. Nama Popular lain seperti Mokhtar Dahari juga mendapat perhatian ramai, jadi ANX akan menyiarkan lebih banyak entri berkaitan selebriti sukan. Selain itu entri sulung ANX berkaitan punk masih mendapat perhatian ramai, mungkin juga saya perlu mencari bahan tambahan berkaitan topik tersebut untuk disiarkan. Entri Kisah Benar oleh Wahid Kasran dan Permata Yang Hilang juga terus mendapat perhatian ramai, tetapi tiada lagi bahan tambahan mengenai dua topik tersebut untuk disiarkan.

Sejak memulakan Musim ke-2 pada September 2010, ANX berjaya mencapai sasaran siaran sebanyak 3 entri seminggu. Cuma bermula pada Disember lalu banyak entri yang telah tertangguh kerana saya telah dijemput untuk menulis dalam sebuah majalah secara bulanan. Entri-entri yang tertangguh itu telah disiarkan dalam bulan ini. Bermula tahun 2011 ini saya mensasarkan pula untuk menyiarkan sekurang-kurangnya 15 entri sebulan, walaupun perlu meluangkan banyak masa juga untuk tugasan menulis dalam majalah. Bagi memudahkan urusan, sebentar tadi saya telah siap menyenaraikan 100 tajuk entri yang dirasakan menarik untuk disiarkan dalam tempoh 6 bulan akan datang.

Berkenaan kategori entri akan datang, ANX akan memperbanyakkan lagi senarai boyband, girl group dan kumpulan S. Gelaran seperti ratu cantik, Miss Malaysia dan Bintang RTM juga akan diberi perhatian. Semalam ANX baru menyenaraikan tag baru iaitu kahwin dan cerai, dan akan memperkenalkan pula tag mualaf tidak lama lagi. Dalam kategori Isu Sensasi pula, terdapat beberapa tag yang kekurangan entri seperti 18 tahun ke atas dan cross-dressing yang akan diberi perhatian. Secara peribadi saya berminat untuk menyiarkan lebih banyak entri berkaitan banned (pengharaman) dan censorship (penapisan). Beberapa hasil pengubahsuaian gambar (photoshop) dalam majalah memang menarik untuk ditelitikan.

Selain itu sudah tentulah terdapat beberapa lagi poster dan gambar selebriti perempuan zaman dulu seperti Ziela Jalil, Julia Rais, Sofia Jane, Maria Farida, Wann, Zila Bakarin dan lain-lain yang menunggu giliran untuk disiarkan. Selebriti lelaki tidak terkecuali. Selain topik hiburan, selebriti dan budaya popular, tidak dilupakan juga pelbagai bahan berita dan isu semasa yang serius seperti kisah tragedi dan jenayah, yang mungkin sudah dilupakan atau belum pernah anda ketahui akan disiarkan sepanjang tahun ini. Untuk pengetahuan anda, ANX tidak dapat menyiarkan lebih banyak entri dalam kategori Barang Koleksi kerana kesukaran untuk memastikan tahun keluaran setiap barangan dengan tepat, tetapi mungkin ia boleh disiarkan dalam beberapa entri khas sebagai gambar hiasan sahaja.

23 January 2011

Perkahwinan Sharifah Aini & Ali Bakar (1981)



Perkahwinan penyanyi terkenal Sharifah Aini dengan penganjur konsert Ali Bakar telah berlangsung dalam tahun 1981. Sebelum itu mereka telah menjalinkan hubungan cinta selama hampir 6 tahun iaitu ketika Sharifah Aini baru berusia awal 20-an. Sharifah Aini berkahwin pada usia beliau 28 tahun, dan perkahwinan pertama tersebut hanya bertahan selama 10 bulan! Sharifah Aini mengandungkan anak sulungnya Aliff sebulan selepas berkahwin. Tidak lama selepas Aliff dilahirkan, Sharifah Aini dan Ali Bakar telah bercerai. Dalam satu temubual pada 1999, Sharifah Aini memberitahu bahawa perceraian tersebut terjadi kerana "kita melanggar pilihan keluarga Ali. Jadi perkahwinan tak ada restu... bila perkahwinan tak ada restu... ia menimbulkan berbagai-bagai masalah". Beliau juga membayangkan satu lagi punca perceraian tersebut dengan berkata, "I takkan maafkan seseorang yang menyebabkan I bercerai dengan Ali. Dia harus bertanggungjawab di atas keruntuhan rumah tangga kami", dan "Sampai hari ini saya masih marah dengan seseorang yang menjadikan kami bercerai"

22 January 2011

Koleksi Bersama Selamanya Vol. 2 (2000)

Kartun bersiri Bersama Selamanya adalah sebuah karya oleh kartunis Gayour yang mula disiarkan dalam Majalah Ujang keluaran ke-5 pada 15 April 1994. Buku Koleksi Bersama Selamanya Vol. 1 yang mengandungi siri pertama hingga siri ke-34 telah dipasarkan pada hujung tahun 1996. Buku Vol. 1 tersebut diterbitkan di bawah label "Siri Produksi Ujang" oleh Kharisma Publications Sdn Bhd. Siri kartun Bersama Selamanya pernah disiarkan dalam Majalah Varia Lawak apabila Majalah Ujang dihentikan penerbitannya buat seketika di antara bulan Mac hingga Ogos 1997.

Selepas itu siri kartun Bersama Selamanya yang mempunyai jalan cerita yang begitu panjang ini telah disambung kembali siarannya dalam Majalah Ujang generasi baru. Dalam bulan Disember tahun 2000, buku Koleksi Bersama Selamanya Vol. 2 pula telah diterbitkan. Buku Vol. 2 ini diterbitkan oleh MOY Publications Sdn Bhd, dan ia dipakejkan sekali dengan sebuah album soundtrack (format kaset!) yang juga berjudul Bersama Selamanya. Kaset tersebut mengandungi 10 lagu baru nyanyian kartunis Taugeh termasuk lagu tema Bersama Selamanya ciptaan M. Nasir.

Buku Koleksi Bersama Selamanya Vol. 2 mengandungi siri ke-35 hingga siri ke-84 yang pernah disiarkan dalam Majalah Ujang di antara bulan September 1995 hingga April 1998. Semasa buku Vol. 2 ini dipasarkan, Majalah Ujang sedang menyiarkan kartun Bersama Selamanya siri ke-137! Mungkin ramai pembaca yang tidak sempat mengikuti siri Bersama Selamanya sehingga tamat, kerana selepas hampir 7 tahun berlalu, siri kartun tersebut masih belum mahu ditamatkan. Agak malang juga bagi pengikut siri Bersama Selamanya kerana buku Vol. 3 tidak diterbitkan, dan Gayour juga akhirnya telah berhenti berkarya untuk Majalah Ujang tidak lama kemudian.


21 January 2011

Anugerah Janda Hot (2011)



Majalah Media Hiburan keluaran bulan Januari 2011 telah menyiarkan senarai pencalonan awal untuk Anugerah PPMH (Pilihan Pembaca Media Hiburan) 2010/2011. Pelbagai kategori anugerah telah disediakan untuk para pembaca memilih siapakah selebriti Top 5 pilihan masing-masing bagi setiap kategori.

Salah satu kategori yang disediakan ialah Anugerah Janda Hot yang menyenaraikan selebriti wanita yang telah bercerai tetapi masih dianggap mempunyai daya tarikan tersendiri. Calon-calonnya ialah:

Abby Abadi, Norish Karman, Maya Karin, Watie Elite, Sarimah Ibrahim, Rozita Che Wan, Anne Ngasri, Wan Sharmila, Nurul Wahab, Raja Azura, Nora Danish, Natasha Hudson, Siti Nordiana, Ramlah Ram, Noraniza Idris, Fauziah Latiff, Azharina, Atilia, Dira, Azza Elite, Fiza Elite, Farah Asyikin, Wan Nor Azlin, Anne Abdullah, Emma Akma, Mas Idayu.

Anugerah Janda Hot mungkin sesuatu yang tidak terdapat dalam dunia hiburan di negara lain. Tetapi di Malaysia, terutamanya pada masa kini, status kejandaan seseorang selebriti wanita merupakan antara bahan gosip terlaris dalam media cetak dan elektronik. Situasi tersebut yang suatu masa dahulu mungkin kurang digembar-gemburkan malah dianggap tabu, tetapi kini siapa sangka gelaran Janda Hot sudah semakin hampir untuk menyaingi populariti gelaran Artis Seksi. Janda kini diiktiraf dengan anugerah dan populariti, malah Janda mampu dijadikan sebagai jenama produk. Dalam erti kata lain, Janda itu okey.

Kemaskini 29 Januari 2012:
Anugerah Janda Hot 2011 dimenangi oleh Nora Danish.

20 January 2011

Video cetak rompak (1993)

Sistem tayangan dan rakaman video di rumah atau nama rasminya Video Home System (VHS) mula diperkenalkan dalam tahun 1970-an. VHS mula popular pada 1980-an. Sistem tersebut menggunakan format pita video, dan ia secara ringkasnya dikenali umum di Malaysia sebagai video. Pemain atau perakam video pada ketika itu dianggap sebagai barangan mewah dan tidak semua pemilik TV mampu untuk memilikinya.

Kewujudan video memberi kesan yang agak besar kepada kehidupan masyarakat di Malaysia pada 1980-an. Filem tidak lagi hanya boleh ditonton di pawagam atau melalui siaran TV percuma, tetapi telah boleh ditonton dengan selesa di rumah pada bila-bila masa dan berulang-ulang kali. Kedai menyewa video wujud di setiap bandar kecil dan besar. Meminjam video menjadi lebih penting daripada meminjam buku di perpustakaan. Kedai makan atau restoran yang menyiarkan tayangan video akan mudah menjadi pilihan utama pelanggan, begitu juga dengan tayangan video di dalam bas ekspres yang boleh dianggap sebagai sesuatu yang hebat.

Perakam video digunakan dengan meluas untuk merakam rancangan TV bagi mengulang tonton. Ia juga berguna dalam memastikan rancangan TV yang bertembung waktu siaran tidak terlepas daripada ditonton, contohnya penonton boleh merakam rancangan di saluran TV1 sementara mereka menonton serentak rancangan lain di TV2. Hasil rakaman video peribadi sebegitulah yang kini dimuat naik dengan banyaknya dalam laman web perkongsian video seperti Youtube dan sebagainya, lantas mengiktiraf peranan besar video sebagai perakam zaman. Malah segelintir masyarakat ketika itu (1980-an) mengakui bahawa menonton video merupakan hobi mereka (berbanding kebanyakan masyarakat 1970-an yang mengakui mempunyai hobi mendengar radio)

Seperti mana bahan rakaman hiburan sebelumnya seperti piring hitam, katrij dan kaset, pita video tidak terkecuali daripada dicetak rompak dengan berleluasa. Pengguna hanya perlu menghubungkan dua unit perakam video menggunakan kabel yang disertakan bagi menyalin pita video yang dikehendaki. Sekiranya tidak faham, sila rujuk buku panduan (manual) operasi yang dibekalkan oleh pengeluar perakam video tersebut, ianya begitu mudah.

Budaya penontonan video pada 1980-an juga memberi pendedahan meluas kepada orang ramai terhadap bahan pornografi atau lucah yang pantas digelar sebagai video blue (kemungkinan kerana pita video tersebut selalunya akan dimulakan dengan visual skrin biru yang kosong - yang menandakan tiada signal video). Obsesi segolongan masyarakat terhadap video lucah juga telah mencetuskan keinginan mereka untuk menghasilkan rakaman lucah sendiri. Terdapat beberapa kes ketika itu mengenai penyebaran pita video lucah buatan tempatan. Cetak rompak dan video lucah terus menjadi gejala yang tidak lagi mampu dicegah apabila teknologi rakaman dan tayangan video menjadi semakin maju dalam era digital dan internet.

Di Malaysia, pita video terus popular dalam awal 1990-an walaupun cakera optikal seperti laser disc telah wujud dengan kualiti audio visual yang jauh lebih bagus. Laser disc sememangnya terlalu mahal dan kurang mesra pengguna serta tidak sesuai untuk mengganti fungsi perakam video peribadi. Pada 1993, filem terhebat tahun itu Jurassic Park telah dikesan menjadi mangsa cetak rompak dan ketika itu dapat dilihat bahawa pita video masih merupakan format pilihan yang utama berbanding laser disc.

Pada hujung 1990-an pita video mula menurun popularitinya apabila cakera padat video (VCD) filem-filem terbaru mula diedarkan dengan meluasnya di seluruh Malaysia. Walaupun VCD mempunyai banyak kelebihan misalnya dari segi kualiti audio visual (jauh lebih bagus daripada pita video) dan saiz yang lebih kecil berbanding laser disc dan pita video, malah 'kelebihan' dari segi terlalu mudah untuk dicetak rompak, tetapi dari segi fungsi rakaman video peribadi nampaknya VCD tidak mampu untuk mencapai apa yang telah dilakukan oleh pita video pada 1980/90-an. Kebanyakan rakaman video lama era 1990-an yang dimuat naik ke dalam internet masih merupakan hasil rakaman pita video. Terima kasih VHS!

Nota tambahan:
Kini kebanyakan rakaman video peribadi dihasilkan dan disimpan dalam format digital menggunakan pelbagai alat elektronik dan teknologi terkini, namun tanpa usaha untuk memindahkan rakaman tersebut ke dalam format fizikal, dikhuatiri pelbagai rakaman penting dan sejarah budaya popular pada masa kini akan mudah pupus apabila perubahan teknologi berlaku. Penyimpanan video dalam internet dan alat elektronik (seperti telefon bimbit dan kamera digital) akan menemui penamatnya apabila tiba masa yang tertentu (akaun dipadam, laman web tamat tempoh perkhidmatan, kerosakan atau kecurian gajet, dan sebagainya), dan ketika itulah kita akan mula mencari semula salinannya dalam bentuk fizikal sekiranya ada.

19 January 2011

Miss Malaysia-World (1973)



Narimah Mohd Yusoff adalah wanita berbangsa Melayu pertama yang memenangi pertandingan Miss Malaysia-World pada 1973. Narimah kemudiannya mewakili Malaysia ke pertandingan Miss World 1973 yang diadakan di Royal Albert Hall, London.



Nota tambahan:
Miss Malaysia-World dan Miss Malaysia-Universe adalah dua pertandingan yang berbeza. Tiga orang wanita berbangsa Melayu pernah memenangi pertandingan Miss Malaysia-Universe dalam tahun 1960-an.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...